Selasa, 17 Disember 2013

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUBANG PASU

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUBANG PASU


Lembap macam Barisan Nasional

Posted: 17 Dec 2013 08:17 AM PST

Oleh ZULKIFLI YAHAYA
KENYATAAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Shahidan Kassim bahawa pengurusan banjir di Malaysia adalah yang terbaik di Asia Tenggara ternyata hanya propaganda untuk membohongi rakyat Malaysia. Zaman di mana makLumat cuma di hujung jari, rakyat dapat membuat perbandingan dengan pantas sekali. 
Di media sosial, tersebar foto pengurusan banjir di Thailand di mana khemah dan sekatan disediakan untuk setiap mangsa banjir. Thailand bukan negara majoriti umat Islam tetapi mereka tahu menghormati hak persendirian. Malaysia sebuah negara Islam yang akan meletakkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam perlembagaan, mangsa banjir diuruskan ala kadar oleh kerajaan BN. Lelaki, perempuan, kecil, besar, tua, muda dihimpunkan dalam satu dewan – langsung tidak mengikut Sunnah.
Masalah bagi kaum wanita hendak menyalin pakaian atau menyusu anak. Kalau wanita Muslim diasingkan pada satu  tempat, boleh juga mereka membuka tudung.
Bagi yang mahu mempertahankan syariat terpaksalah menutup aurat 24jam sepanjang berada di pusat penempatan banjir. Kerajaan BN tidak sempat untuk memikirkan itu semua, Mungkin kerana menganggap semua itu bukan masalah besar. Isteri Perdana Menteri pun sentiasa berbogel kepalanya.
Banjir melanda lima buah negeri kali ini iaitu Johor, Melaka, Pahang, Terenggau dan Kelantan.
Hampir 70 ribu terpaksa dipindakan di seluruh negara merupakan jumlah yang sangat besar.
Pahang dan Terengganu adalah dua buah negeri yang paling terkesan. Ada kawasan air banjir hingga mencecah bumbung. Kawasan yang jarang ditimpa banjir turut mengalaminya untuk kali pertama.
Ada yang berpindah ke pusat penempatan yang juga dinaiki air. Pelbagai kerumitan dialami oleh mangsa banjir. Mereka tidak dipindahkan segera dengan bantuan pelbagai unit dalam kerajaan. Ramai yang terpaksa menyelamatkan diri dengan inisiatif sendiri.
Foto seorang ibu mengharung air paras dada sambil mendukung bayi sangat menyayat hati. Ramai yang menitiskan air mata melihatnya, lalu bertanya apa kerajaan buat untuk bantu mangsa banjir?
Dalam keadaan mangsa banjir keputusan bekalan makanan, terdapat pusat penempatan yang tidak dapat menyediakan makanan dengan segera dan mencukupi. Keadaan diburukkan lagi dengan ketiadaan bekalan air dan elektrik. Bayangkan anakanak kecil yang kelaparan dan kesejukan. Jika tidak kerana bantuan NGO dan Unit Amal PAS yang turut membantu, mungkin terdapat mangsa yang kebuluran.
Dilaporkan pada peringkat awal hanya Jabatan Pertahanan Awam yang turun membantu.
Masalah kekurangan bot, lori dan pacuan empat roda menghantui gerakan membangtu mangsa di peringkat awal. Selepas hari ketiga baru tentera turut serta.
Seperti diduga kerajaan akan memberi alasan bahawa banjir yang berlaku adalah di luar jangkaan, justeru berlaku kelemahan di sana sini. Alasan seperti itu jangan diberitahu kepada rakyat yang cerdik kerana mereka tahu bahawa ia cuma alasan untuk menutup kelembapan kerajaan BN.
Pengerusi Majlis Keselamatan Negara adalah Perdana Menteri sendiri. Beliau mempunyai jentera yang cukup untuk menangani isu banjir tetapi mengapa tidak buat persediaan dari awal?
Di negara lain, melalui kajian saintifik mereka mampu mengesan ancaman ribut yang bakal berlaku lalu membuat persediaan. Di Malaysia sudah termaklum setiap hujung tahun terdapat ancaman banjir.
Dengan kadar air hujan yang turun sepatutnya, banjir sama ada kecil atau besar sudah mampu diramal. Apakan daya kerajaan kerajaan Malaysia terlalu lembap. Perkara semudah itupun tidak mampu diuruskan.
Jika ada pertandingan kerajaan paling lembap di dunia dari segi menghadapi bencana, mungkin Malaysia boleh dapat tempat teratas.
Sewaktu mangsa banjir bertarung nyawa dan alami penderitaan akibat kemusnahan harta benda, para pemimpin Umno sibuk bergelak ketawa di perhimpunan agung, sibuk memaki hamun pembangkang dan menabur fitnah.
Sibuk pula memuja-muji 'Wanita Pertama Malaysia' hingga ada kalangan rakyat yang termuntah-muntah.
Nyawa rakyat seolah-olah bukan keutamaan lagi bagi para pemimpin Umno.
Banyak perkara sudah yang Allah tunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa BN bukanlah kerajaan yang baik untuk mengurus kebajikan rakyat.
Banjir besar kali ini adalah satu dari bukti kelembapan BN itu.
Soalnya berapa ramai rakyat yang sedar bahawa BN adalah peneraju kerajaan yang lembap dan perlu ditukarkan?

Tiada ulasan:

Pengikut