Ahad, 3 Mac 2013

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah


Pencerobohan: Sampaikan Maklumat Secara Jelas

Posted: 03 Mar 2013 05:40 PM PST

KOTA KINABALU: Kerajaan diingatkan agar tidak mempunyai niat untuk mempertaruhkan keselamatan negara yang sudah sekian lama dibina dan diperkukuhkan.

Ketua Pemuda PAS Sabah, Lahirul Latigu menegaskan, sikap cuba menyembunyikan sesuatu dan menafikan perkara yang benar merupakan tindakan yang menjurus kepada 'menyimbah api ke dalam sekam'.

Rakyat Sabah, khususnya di sekitar Semporna katanya, gusar terhadap keadaan semasa dan ada yang tidak mendapat maklumat jelas mengenai kedudukan sebenar situasi.

"Maklumat perlu jelas sampai kepada rakyat. Tidak rakyat tertanya-tanya dan gusar mengenai perkembangan isu yang berlaku.

"Media tempatan perlu lebih ke hadapan dalam menyampaikan mesej kepada rakyat dan begitu juga kepada media-media elektronik yang lain," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban semasa insiden berkenaan.

Dalam insiden berdarah Jumaat lalu di Lahad Datu, dua anggota komando PDRM terkorban manakala enam lagi terkorban dalam serang hendap kumpulan penceroboh di Semporna, kelmarin.

Lahad Datu: Umat Islam Diseru Adakan Solat Hajat

Posted: 03 Mar 2013 05:19 AM PST

KOTA KINABALU: Dewan Ulamak PAS Negeri Sabah hari ini menyeru kepada semua umat Islam di seluruh negara untuk mendirikan solat hajat secara berterusan bagi memelihara dan menyelamatkan negara ini daripada pencerobohan luar yang kini telah menumpahkan darah.

Ketuanya, Nuruddin Ibrahim berkata, pihaknya juga mencadangkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) agar dapat mengeluarkan arahan kepada seluruh masjid dan surau di negeri ini untuk melakukan solat hajat bagi tujuan tersebut.

"Kita minta kepada semua masyarakat Malaysia agar sama-sama mendirikan solat hajat sama ada secara bersendirian mahupun berjemaah bagi mendoakan keselamatan di bumi Sabah ini.

"Kita juga telah memohon kerjasama pihak berkuasa agama negeri untuk mengarahkan masjid dan surau di seluruh negeri ini bagi mengadakan solat hajat.

"Ini dapat menunjukkan kebersamaan dalam memastikan negara dan negeri ini berada dalam keadaan aman dan terpelihara daripada bahaya petaka," ujarnya.

Sehingga kini, dua anggota polis Malaysia dilaporkan terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filiphina, Raul Hernandez bagaimanapun dilaporkan berkata pencerobohan pengikut Sultan Sulu di Sabah telah tamat.

ABC-CBNnews memetik Hernandez berkata bahawa pihak berkuasa Malaysia, khususnya pasukan polis, sedang memburu kumpulan tersebut.

Lahad Datu: Kenapa Polis Bukan Tentera Kendali

Posted: 02 Mar 2013 10:26 PM PST

KOTA KINABALU: PAS mendesak agar pihak kerajaan tampil memberikan penjelasan sebenar berhubung insiden yang berlaku di Lahad Datu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Ali berkata, ketelusan pihak kerajaan memberikan penjelasan adalah penting bagi menjaga integriti dan maruah Malaysia.

"Kita harap kerajaan kena telus, kena bertanggungjawab... kerana ini melibatkan masalah integriti dan maruah negara.

"Apa lagi sudah sampai ke tahap ada yang sudah terbunuh dalam kejadian ini. Jadi, tak boleh dianggap sebagai satu perkara yang tidak serius," jelas beliau.

Tambah beliau, isu tersebut seolah-olah ada sesuatu yang hendak disembunyikan oleh pihak kerajaan apabila melibatkan polis dibarisan hadapan pertahanan negara.

"Pada pandangan kita, isu ini sepatutnya ditangani oleh tentera bukan polis. Kenapa sebaliknya, adakah ada sesuatu yang cuba disembunyi oleh kerajaan. Ini penjelasan yang kita minta," kata beliau.

Mustapha berkata demikian kepada Harakahdaily selepas menyertai program dengan bakal-bakal calon PAS di sebuah hotel dekat sini, semalam.

5 lagi polis mati

Insiden di Lahad Datu naik ke fasal yang sangat membimbangkan sekarang apabila lima lagi anggota polis diberitakan terkorban di Semporna.

Bernama melaporkan, seorang pegawai dan empat anggota polis meninggal dalam serangan di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah semalam.

Menurut Bernama, ia disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada sidang media di Lahad Datu pagi ini.

Tiada ulasan:

Pengikut