Ahad, 3 Mac 2013

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


PRU13: PAS sedia 1 peguam 1 parlimen

Posted: 02 Mar 2013 03:48 PM PST


KUALA LUMPUR: PAS akan menyediakan seorang peguam di setiap Parlimen yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti .

Menurut Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham), Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi, program yang  dinamakan 1P 1P itu bertujuan memantau penipuan dalam proses pilihan raya.

"Kita bersedia meletakkan peguam-peguam kita di setiap kawasan yang PAS bertanding supaya semua pihak tahu ada ahli perundangan yang yang memantau setiap penipuan pilihan raya yang berlaku," kata beliau kepada pemberita di Majlis Hi Tea Juham di sebuah hotel dekat sini hari ini.

Zamri berkata, program 1P1P akan dilancarkan sejurus pembubaran Parlimen kerana pihaknya yakin PRU kali ini lebih mencabar berbanding PRU yang lepas.

"Kita akan memantau apa-apa isu berkaitan perundangan bermula pembubaran Parlimen dan sebagaiya kerana kita yakin PRU kali ini lebih panas dan banyak isu melibatkan  peraturan dan undang-undang pilihan raya termasuk peraturan baru pilihan raya yang diperkenalkan tahun ini," katanya.

Tambah beliau, dengan meletakkan seorang peguam di setiap Parlimen, mereka akan lebih fokus untuk menyelesaikan aduan yang dibuat jentera parti dan pengundi.

Majlis tersebut dihadiri kira-kira 50 peguam PAS dan dirasmikan oleh Naib Presiden, Salahuddin Ayub.

Turut hadir ialah Pengerusi Lajnah Guaman PAS Pusat, Asmuni Awi.

Ceramah Perdana Di Dewan Majlis Daerah Machang Pada 02hb Mac 2013

Posted: 02 Mar 2013 03:48 PM PST













P Pinang sumbang RM30,000 setiap keluarga komando

Posted: 02 Mar 2013 03:42 PM PST

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga wira komando polis yang terkorban di Lahad Datu semalam.

Beliau juga mengumumkan bahawa Pulau Pinang akan menghulurkan sumbangan RM30, 000 kepada setiap keluarga komando tersebut.

Walaupun kedua-dua wira itu bukanlah anak jati Pulau Pinang, namun Lim Guan Eng menyatakan sumbangan tersebut adalah tanda penghargaan dan penghormatan serta penghargaan terhadap jasa mereka kepada negara.

Selain mengumumkan sumbangan tersebut, Lim Guang Eng turut menjemput Exco Kerajaan Negeri Datuk Abdul Malik Abul Kassim untuk mengetuai bacaan al -fatihah untuk disedekahkan kepada roh wira negara.

Dua anggota Komando Polis Malaysia, Inspektor Zulkifli Mamat dan Kopral Sabaruddin Daud meninggal dalam pertempuran di Lahad Datu di samping tiga yang ain cedera.

Di pihak penceroboh pula, 12 dipercayai terbunuh dalam pertempuran itu.

Kuliah Bulanan PAS Machang Pada 2 Mac 2013

Posted: 02 Mar 2013 03:42 PM PST









PAS Besut rakam takziah kepada Inspektor Zulkifli

Posted: 02 Mar 2013 03:36 PM PST


Ustaz Wan Azhar (empat dari kiri) bersama pemimpin PAS Besut turut menyertai solat jenazah Inspektor Zulkifli.

BESUT: PAS Kawasan Besut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat, 29, yang terkorban dalam tragedi berdarah pagi Jumaat di Lahad Datu, Sabah, semalam.

Yang Dipertuanya, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata PAS Besut turut bersedih dan sangat bersimpati dengan kejadian itu serta berharap agar ahli keluarga allahyarham bersabar dengan ujian Allah SWT.

Beliau turut mendoakan agar roh allahyarham Zulkifli serta rakannya yang terkorban itu dicucuri rahmat serta mendapat pahala yang besar di sisi Tuhan.

"Saya bagi pihak PAS Kawasan Besut dan kepimpinan PAS Terengganu khususnya ucap takziah kepada ahli keluarga allahyarham Zul (Zulkifli) dan bersabarlah dengan ujian ini. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan dianugerahkan pahala yang besar, insya Allah," ujarnya.

Wan Azhar berkata demikian ketika ditemui selepas solat jenazah anggota komando PDRM itu di rumah ibu allahyarham di Kampung Kubang Ikan, Kota Putra, Besut petang tadi.

Sehubungan itu, Ustaz Wan Azhar menegaskan PAS Besut mendesak satu siasatan menyeluruh dilakukan bagaimana 'pencerobohan' boleh berlaku dan mereka dapat memasuki negara ini.

Katanya, masalah keselamatan negara tidak boleh berkompromi dan jika terbukti mana-mana pihak terlibat perlu diambil tindakan segera sekali pun terhadap pemimpin kerajaan yang memerintah hari ini.

"Kita sangsi dan khuatir dengan tragedi pencerobohan oleh 'tentera Sultan Sulu' boleh masuk tanpa disedari oleh pihak keselamatan negara.

"Sebab, kerajaan telah menyediakan peruntukan besar kepada Kementerian Pertahanan untuk tujuan menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Ini memalukan rakyat dan negara di mata dunia," ujarnya.

Najib mesti perjelas status keselamatan negara

Posted: 02 Mar 2013 03:36 PM PST


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tampil memberi penjelasan mengenai status keselamatan negara berhubung dengan insiden yang berlaku di Lahad Datu.

Beliau bersetuju dengan kenyataan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub agar Najib memanggil segera persidangan Parlimen bagi tujuan penjelasan terhadap insiden tersebut.

Mahfuz turut mempertikaikan kawalan pengairan negara yang begitu lemah sehingga membolehkan pemberontak memasuki negara dan seterusnya berada  Lahad Datu.

"Najib perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas insiden yang berlaku, kelemahan pengawalan keselamatan negara menyebabkan anggota polis kita turut terkorban.

"Bercakap tentang soal kawalan pengairan, kenapa radar kita tidak dapat mengesan kapal yang penuh dengan senjata sehinggakan mereka boleh terlepas begitu sahaja," ujarnya.

Kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, rakyat sekarang menunggu penjelasan dari kerajaan mengenai tahap keselamatan negara ini kerana risau kejadian seumpama itu berulang lagi.

"Persidangan Parlimen segera perlu dilakukan bagi memastikan sebarang persoalan dapat kita ketengahkan, apatah lagi rakyat yang semakin meragui tentang soal kawalan keselamatan negara ini.

"Isu ini tidak boleh dilengah-lengahkan kerana ia turut melibatkan soal kedaulatan negara, bagaimana sebuah negara yang selamat boleh dicerobohi dengan begitu mudah," kata beliau sambil mempersoalkan apa jaminan yang boleh diberikan kerajaan agar insiden sedemikian tidak akan berulang lagi.

Mahasiswa protes Najib di Pekan sedikit kecoh

Posted: 02 Mar 2013 03:35 PM PST



KUALA LUMPUR: Sempena dengan kehadiran Perdana Menteri di Kuala Pahang, Pekan bagi melancarkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), semalam seramai 60 orang aktivis mahasiswa daripada Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Negeri Pahang berkumpul untuk menyatakan protes terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak yang telah terbukti gagal mengurus tadbir negara dengan baik dan menjadi keperluan mendesak bagi menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengerusi Gamis Pahang, Ahmad Fatihi Makhtar berkata, dalam protes tersebut, mahasiswa mendesak supaya Najib mengambil perhatian serius terhadap masalah bekalan air bersih di Negeri Pahang khususnya di sekitar parlimen beliau sendiri iaitu Pekan yang tidak berkesudahan sehingga sekarang.

Katanya, reaksi penduduk sekitar Kuala Pahang terhadap Protes Aman Mahasiswa menggambarkan Parlimen Pekan bukannya kubu kuat Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, dalam sejarah PRU ke-10 pada 1999, Najib Razak yang ditentang oleh Ustaz Ramli Mohamed daripada PAS, Najib hanya menang tipis dengan majoriti 241 undi.

"Terbukti bahawa sepanjang protes aman berlangsung, ramai penduduk sekitar menunjukkan sokongan terhadap protes ini," ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, mahasiswa turut menyatakan hasrat agar PRU akan datang dijalankan dengan adil, telus dan demokratik serta menuntut agar pihak kerajaan menghentikan budaya politik rasuah, politik perkauman, politik janji, politik samseng, politik ugut dan politik fitnah yang semakin subur di negara kita pada hari ini.

Selain daripada itu, ujarnya mahasiswa turut menuntut capaian media yang adil, telus & saksama semasa tempoh berkempen dijalankan.

"Menariknya, protes aman itu turut mendapat respons positif daripada pegawai-pegawai kerajaan yang melalui jalan tersebut," ujarnya.

Tambahnya, terbukti mereka yang hadir hanya kerana arahan dan kerahan tetapi mereka sedar akan kepincangan negara yang berlaku di bawah pemerintahan Najib.

Walau bagaimanapun, jelasnya kekecohan dan ketegangan protes aman berlaku apabila sekumpulan 'ahli Umno tegar' hadir dan cuba menghalau aktivis mahasiswa yang sedang berhimpun.

Menurutnya, mereka terus menerus mengatakan bahawa anak muda pada hari ini tidak bersyukur dan tidak berterima kasih pada kerajaan yang memberi banyak kemudahan kepada pelajar.

"Apabila ditanya tentang masalah air di sekitar Pekan yang telah berlaku sekian lama, mereka mengakui dan mereka mengatakan masalah tersebut perlu berbincang dengan penghulu kampung," katanya.

Katanya lagi, kekecohan selamat 10 minit ditenteramkan oleh beberapa anggota polis.

Selepas rundingan dibuat dengan pihak polis, ujar beliau mahasiswa bersetuju untuk menghentikan protes aman dengan mengambil pertimbangan faktor keselamatan yang tidak selamat walaupun di kawasan parlimen Perdana Menteri sendiri.

Baginya, PRU13 adalah landasan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menghentikan kezaliman Kerajaan BN yang tercatat secara fakta dan sejarah, selama 56 tahun BN memerintah Malaysia, terlalu banyak kes-kes penipuan pimpinan tertinggi negara, kronisme, nepotisme, menyekat hak royalti, menggadai hak orang melayu, meruntuhkan insitusi sultan dan sebagainya.

"Gamis akan menggerakkan seluruh jentera di seluruh negara untuk memastikan hasrat dan impian untuk menamatkan pemerintahan BN dalam PRU13 tercapai," ujarnya.


TG Nik Aziz rakam takziah, gesa siasatan menyeluruh

Posted: 02 Mar 2013 03:34 PM PST

KUALA LUMPUR: PAS turut merakamkan takziah kepada keluarga Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin dari Unit 69 Komando yang telah terkorban ketika mempertahankan negara berdepan penceroboh di Lahad Datu semalam.

Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, jasa kedua-dua mereka sangat besar kepada negara ini.

"Saya merakamkan takziah kepada keluarga anggota polis Malaysia yang terkorban dalam insiden tembakan antara pihak keselamatan Malaysia dan penceroboh di Lahad Datu semalam.

"Semoga jasa dan pengorbanan yang dicurahkan demi mempertahankan kedaulatan negara diberikan ganjaran yang baik di sisi Allah SWT," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Difahamkan selain kedua-dua mereka, 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu turut maut dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan polis semalam.

Akibat insiden itu juga, tiga anggota polis dilaporkan cedera.

Mengulas lanjut Tuan Guru berkata, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi merungkai persoalan kenapa perairan negara begitu mudah ditembusi sehingga terjadinya apa yang berlaku di Laha Datu sekarang ini.

"Saya juga mengharapkan satu siasatan yang serius dilakukan ekoran insiden yang tidak diingini ini khususnya dalam isu kawalan sempadan darat dan perairan negara yang nampaknya agak longgar sehingga berjaya ditembusi begitu mudah," katanya.

Sementara itu, isteri kepada Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat yang terkorban di Lahad Datu, Sabah, Nor Aziah Nor, 28, pengsan selepas memaklumkan kepada keluarganya suami beliau terkorban.

(Isteri Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat, Nor Aziah terpaksa dipapah keluarga selepas mendengar berita sedih itu. Gambar kecil anak-anak Allahyarham.)

Beliau terpaksa dipimpin oleh sanak saudara selepas mengetahui berita kematian suaminya, semalam.

Dewan Pemuda PAS pula telah menubuhkan tabung khas bagi membantu mangsa kejadian ini khasnya untuk membantu keluarga yang mereka tinggalkan.

Pengumuman ini dibuat oleh ketuanya, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan semalam.

Pemuda PAS lancar Tabung Perajurit Tragedi Lahad Datu

Posted: 02 Mar 2013 03:34 PM PST


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat akan melancarkan Tabung Perajurit Tragedi Lahad Datu bagi membantu keluarga perajurit yang gugur mempertahankan kedaulatan tanah air dalam insiden bersenjata di Lahad Datu, Sabah hari ini.

"Insya-Allah DPPM akan melancarkan Tabung Perajurit Tragedi Lahad Datu dan DPPN Terengganu juga Selangor akan menziarahi keluarga perajurit yang gugur di medan untuk menghulurkan sumbangan tanda kebersamaan DPPM.

"Semoga Allah menganugerahkan pahala syahid buat mereka yang gugur di medan Lahad Datu. Al Faatihah," tulis Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan di Facebook beliau.

Dua anggota keselamatan negara, Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin dari Unit 69 Komando bersama 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut dalam insiden tembakan. Tiga anggota polis dilaporkan cedera.

Dalam pada itu, Nasrudin (gambar kanan) turut menyeru rakyat berdoa mohon Allah swt selamatkan negara dan semua rakyat khasnya pasukan keselamatan yang sedang bertugas di Lahad Datu.

"Kebijaksanaan pihak berwajib sangat didambakan pada saat seperti ini. Keselamatan dan kedaulatan negara pastinya tidak boleh dipertaruhkan. Semoga negara, pasukan keselamatan dan penduduk Lahad Datu selamat.

"Ketegasan pihak kerajaan sangat diperlukan agar penceroboh tidak sampai mengancam nyawa rakyat kita serta merendahkan martabat serta kedaulatan negara," kata beliau.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib sementara itu dipetik berkata insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.

Beliau menegaskan bahawa kumpulan penceroboh dari Filipina yang terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.

"Pihak komando polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran antara kedua pihak," kata Hamza yang dipetik Bernama.

Lahad Datu: Takziah buat keluarga polis terkorban

Posted: 02 Mar 2013 03:33 PM PST


KUALA LUMPUR: Pengerusi Pejuang Perubahan Sabah (PPS), Datuk Seri Panglima Lajim Ukin mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis Malaysia yang terkorban dalam insiden tembakan antara pihak keselamatan Malaysia dan penceroboh di Lahad Datu hari ini.

"Saya mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis yang terkorban dalam insiden tersebut dan berharap mereka bersabar.

"Namun bagi saya isu tuntutan tersebut sepatutnya boleh dilakukan secara rundingan damai bukannya melalui keganasan, kerana akibat dari insiden tersebut menyebabkan banyak keluarga akan kehilangan ahli keluarga," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Malah menurut beliau lagi, isu pencerobohan ke negara ini tanpa melalui saluran yang sah adalah bertentangan dengan undang-undang negara ini.

Katanya, isu percerobohan ke atas Sabah sebenarnya mencabar kadaulatan negara ini dan perkara tersebut perlu dibendung secara aman.

"Kita doakan semoga pihak keselamatan negara ini akan terselamat dari sebarang mala petaka dan juga insiden ini kembali aman," sambung beliau lagi.

Lajim menolak desas desus mengatakan konflik yang berlaku di Lahad Datu itu ada kaitan dengan senario politik negara ini.

Sementara itu mengikut laporan media dua komando polis Malaysia terbunuh setelah terkena serangan mortar di Kampung Tanduo, yang menjadi kubu kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu.

Mereka dilaporkan terkena serangan itu ketika sedang berkawal di satu pos di sekitar Kampung Tanduo.

AFP melaporkan, sekitar jam 3.25 petang tadi, Jabatan Luar Filipina berkata tiga orang mati dan 10 telah ditangkap dalam kejadian itu.

Tiada ulasan:

Pengikut