Jumaat, 11 November 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Islam Dijunjung, Raja Disanjung, Rakyat Dipayung

Posted: 11 Nov 2011 03:35 AM PST

KOTA BHARU, 11 Nov: Sultan Muhammad V, Tuanku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra selamat menyempurnakan upacara Istiadat Pemeriksaan Perbarisan Kehormatan di Padang Merdeka di sini sebentar tadi.
Istiadat sempena Pemasyhuran Perayaan Menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-42, 2011 itu turut dihadiri Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.
Turut hadir pada upacara itu Kerabat Diraja dan pembesar negeri.
Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya, Datuk Ahmad Yakob, Speaker Dewan Negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Negara serta pimpinan politik, Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan.
Perayaan keputeraan bertema "Islam Dijunjung, Raja Disanjung, Rakyat Dipayung" itu bermula seawal 6.30 petang semalam dengan mengadakan majlis solat Hajat dan doa selamat di Masjid Muhammadi di sini dan di semua masjid utama jajahan.
Istiadat 'meletak kerja' pula diadakan di Istana Balai Besar di sini seawal 7.45 pagi tadi sebelum diadakan jamuan rakyat di Masjid Muhammadi di sini selepas solat Jumaat nanti.
Sementara Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri serta Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia akan diadakan esok mulai 9.00 pagi di Istana Balai Besar di sini.
Menurut kenyataan rasmi, perayaan menyambut Ulang Tahun Hari Keputeraan itu bermula 10 hingga 12 November 2011.
Majlis Santapan Malam Persembahan Kerajaan Negeri diadakan pada malam ini di Dewan Jamuan Utama, Kota Darulnaim di sini.

Allahyarham Kamarulzaman 'wira royalti' Kelantan

Posted: 11 Nov 2011 03:34 AM PST

KOTA BHARU, 11 Nov: Anggota Exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, menyifatkan, pegawai khasnya, Allahyarham Kamarulzaman Abdullah, yang meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya di Paloh kira-kira 2.30 pagi tadi sebagai wira royalti.

Menurutnya, semua urusan tuntutan royalti telah diurus oleh Allahyarham dengan baik dan penuh amanah demi untuk kesejahteraan rakyat Kelantan.

"Allahyarham seorang pegawai saya yang amanah, jujur, rajin berusaha terutama dalam tuntutan royalti ini.

"Dia yang banyak menyelidik, mencari bahan bukti dan memang dia wira termasuk sahabatnya yang turut cedera dalam kemalangan itu," ujarnya.

Husam berkata demikian ketika ditemui selepas solat jenazah di rumah keluarga allahyarham di Kampung Kota, di sini tengahari tadi.

Selepas itu, jenazah dibawa ke Masjid Kampung Kota untuk disolatkan kali ketiga sebelum di kebumikan di perkuburan Islam Tok Panjang, dekat sini.

Sebelum ini Husam sendiri mengimamkan solat jenazah di rumah keluarga allahyarham di sini.

Allahyarham berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Husam sejak tiga tahun lalu.

Allahyarham merupakan Ketua Penerangan PAS Kawasan Kota Bharu, Anggota Exco Pemuda PAS Negeri serta beberapa lagi jawatan lain.

Allahyarham Kamarulzaman, 32, terlibat dalam kemalangan maut ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero yang dinaikinya, bertembung dengan sebuah kereta Produa Myvi di kilometer 40 jalan Kuala Krai-Gua Musang

Ketika itu mereka dalam perjalanan pulang dari Kula Lumpur selepas menghadiri majlis penyerahan 'Amanat Tun Razak' kepada perdana menteri di parlimen berhubung tuntutan bayaran royalti semalam.

Bagaimanapun, dua orang lagi rakannya Penolong Pengurus Sumber Manusia PKINK Mohd Roslan Mohd Zain cedera dikepala pegawai di Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Ridwan Elias hanya cedera ringan.

Roslan yang juga suami kepada kakitangan Harakah Cawangan Kelantan (Noraisiah Deraman), mulanya dirawat di Hospital Kuala Krai kini mendapat rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab ll, Kota Bharu manakala Ridwan kini dibenarkan pulang.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman yang turut hadir pada majlis pengebumian itu mengucapkan takziah pada anggota keluarga.

"Semoga Allah menempatkan allahyarham di tempat orang yang soleh,"ujarnya.

Turut menziarahnya Anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof, yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat



Pembantu khas Husam meninggal dunia

Posted: 10 Nov 2011 05:32 PM PST

KUALA KRAI, 11 Nov: Pembantu khas kepada Datuk Husam Musa, Kamarulzaman Abdullah(gambar, berdiri kiri) meninggal dunia selepas kenderaan dinaikinya terbabit kemalangan dekat Paloh di sini awal pagi ini.
Ketika kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, beliau bersama dua lagi rakannya menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero, bertembung dengan sebuah kereta Produa Myvi di kilometer 40 jalan Kuala Krai-Gua Musang.
Mereka ketika itu dalam perjalanan pulang dari Kula Lumpur selepas menghadiri majlis penyerahan 'Amanat Tun Razak' kepada perdana menteri di parlimen berhubung tuntutan bayaran royalti Kelantan.
Akibat kemalangan itu, beliau yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan jenazah Allahyarham kini dibawa ke Hospital Gua Musang.
Dua lagi rakannya Roslan Mohd Zain juga cedera di kepala dibawa ke Hospital Kula Kerai manakala Ridwan Elias hanya mengalami mengalami cedera ringan.
Pemandu dan penumpang Myvi juga cedera parah dan turut dibawa ke Hospital Kula Kerai untuk rawatan lanjut.
Solat jenazah allahyarham akan diadakan di rumah ayahnya di Batu 4 Wakaf Che Yeh selepas solat Jumaat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Panjang, Kampung Kota.
Allahyarham yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Kelantan, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.
Sementara itu, Exco Kelantan, Datuk Husam Musa yang kini dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Kamarulzaman.
"Semoga roh beliau ditempatkan di kalangan mereka yang beriman...Al-Fatihah," katanya.
Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Kamarulzaman.

Tiada ulasan:

Pengikut