Isnin, 31 Oktober 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Laporan audit petanda ikan busuk di kepala

Posted: 30 Oct 2011 11:39 PM PDT

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Setiap kali Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan masalah yang berlaku tetap sama, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

"Kita boleh andai sebelum Laporan dikeluarkan, antaranya harga kerajaan bayar beratus kali ganda daripada harga pasaran, projek tidak siap, belanja lebih," ujarnya kepada Harakahdaily.

Ini, katanya adalah skema yang ada kepada urus tadbir kerajaan BN selama ini, walaupun Perdana Menteri bercakap soal transformasi tetapi tidak ada penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN.

"Kenapa pegawai kerajaan yang dituding jari?

"Adakah mereka berani lakukan jika tidak ada arahan," soalnya.

Justeru, ujarnya adalah tidak elok kalau hendak menyalahkan pegawai kerajaan sahaja, sedangkan bapa menteri boleh tidur lena.

Menurutnya, musibah yang menimpa kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad dalam kes tuduhan pecah amanah wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), patut diambil iktibar.

Beliau berkata, Dr Aziz terpaksa turun naik ke mahkamah sedangkan menteri tidak diapa-apakan, hanya kereta menteri sahaja yang dirampas.

"Patutlah Laporan Audit 2010 diberi lewat kepada ahli Parlimen, sehingga selepas didesak. Rupa-rupanya ada udang di sebalik batu," katanya.

Tambahnya, Laporan Audit Negara telah tenggelam bajet gula-gula pilihanraya.

Menurutnya lagi, jika Laporan Audit 2010 mengekalkan rekod yang sama, apalah yang hendak diharapkan dengan Belanjawan 2012.

Baginya, pemimpin BN cuba hendak bermain silap mata, dengan kenyataan yang keras supaya diambil tindakan terhadap penyelewengan.

Inilah juga, katanya kenyataan yang dikeluarkan setiap tahun selepas laporan audit dikeluarkan untuk meredakan kemarahan rakyat.

Tambahnya lagi, tabiat buruk kerajaan BN bukan perkara baru, ia sudah menjadi darah daging di dalam pentadbiran.

"Jika kita mengimbau kembali Laporan Audit Negara 2006, bagaimana Kementerian Pertahanan boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta (hampir RM1 bilion) walaupun tanpa baucer.

Katanya, ini satu misteri sedangkan pegawai kerajaan yang mahu buat tuntutan perjalanan yang berharga RM100 tidak diluluskan jika tanpa resit rasmi.

Katanya lagi, kerajaan menghabiskan wang rakyat untuk membayar set pen yang berharga RM1146 sedangkan harga pasaran RM60, lebihan RM986.

Begitu juga, ujarnya jek kereta harga pasaran RM50, tetapi kerajaan membayar sebanyak RM1,664, lebihan RM1,614.

Begitu juga, katanya dengan laporan audit untuk kerajaan negeri Pahang pada tahun 2009 di mana minyak kereta kerajaan ada yang diisi RM100 untuk satu liter.

"Macam mana Proton Perdana kapisiti tangki hanya untuk 64 liter tapi kereta Perdana kerajaan Pahang boleh diisi 130 liter, apakah tangki kereta jenis stokin yang boleh kembang?" soalnya.

Beliau berkata, laporan juga ada menyebut kereta yang sudah lupus tetapi kad untuk isi minyak masih digunakan.

"Ini hanya contoh-contoh kelakar Laporan Audit Negara.

"Persoalannya, kenapa masih tidak ada penambahbaikan, apakah ini transformasi Datuk Seri Najib?" tanya beliau lagi.

Katanya, sebab apa berlaku demikian, jawapannya ikan busuk di kepala.

Audit: PAS kemuka petisyen kepada Agong

Posted: 30 Oct 2011 11:35 PM PDT

KUALA LUMPUR, 31 Okt: PAS akan mengemukakan satu petisyen kepada Majlis Raja-Raja dan kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pembaziran dan salah urus kewangan negara seperti didedahkan Laporan Ketua Audit Negara 2010.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, petisyen itu merupakan suara bantahan dari rakyat yang akan dikumpul melalui satu laman web yang akan dilancarkan dalam masa terdekat.

"Kita akan lancarkan petisyen dalam internet...dalam tempoh seminggu dua lagi.

"Kita akan kumpul nama-nama rakyat dan bawa kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata petisyen itu bagi memberi maklum kepada Tuanku dan bagaimana baginda boleh bertindak atas bidang kuasa baginda untuk menasihatkan kerajaan.

"Audit ni macam buku laporan murid sekolah la. Kalau tengok banyak merah tentu mak ayah kecewa. Sama la dengan rakyat yang kecewa dengan prestasi kerajaan dalam laporan audit itu.

"Sebab itu perlu ada satu tindakan dari Yang Dipertuan Agung. Pendedahan ini sangat berat," katanya merujuk kepada kepincangan pengurusan wang negara yang didedahkan oleh laporan audit itu.

Ditanya tuntutan petisyen itu sampai ke tahap mana, Mahfuz berkata sehingga "PM lepaskan jawatan, kerana ini satu kegagalan seorang PM".

"Kalau dalam syarikat korporat, jika berlaku kerugian, CEO mesti bertanggungjawab dan perlu melepaskan jawatan tukar orang lain," tambahnya.

Peserta Ijtimak Tarbawi bersiap hadapi PRU 13

Posted: 30 Oct 2011 11:35 PM PDT

KUALA LUMPUR, 31 Okt: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada Dewan Pemuda PAS Malaysia di atas kejayaan menganjurkan Ijtimak Tarbawi 2011 yang bermula pada 28 Oktober sehingga 30 Oktober di Dewan KUIZM, Taman Melewar dengan kehadiran ribuan peserta yang terdiri daripada para pemuda PAS di semua peringkat jentera parti.

"Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga melahirkan rasa syukur dan bangga kerana dapat memberikan kerjasama di dalam menjayakan penganjuran ini bersama-sama Dewan Pemuda PAS Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan," kata ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan.

Tambahnya, lebih-lebih lagi ijtimak itu telah dapat menghimpunkan tokoh-tokoh Gerakan Islam Antarabangsa seperti Mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Sheikh Dr. Mehdi Akif, pemikir Ikhwanul Muslimin, Dr. Kamal Al Helbawi dan wakil Hamas, Palestin iaitu Syeikh Ahmad Najjar.

Tidak ketinggalan juga, katanya Al Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang turut sama meraikan program ini dengan memberikan kuliah ilmu dan taujihat tarbiyyah yang telah mencetuskan motivasi semangat jihad dan perjuangan kepada para peserta ijtimak.

Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor turut mengucapkan tahniah kepada seluruh peserta ijtimak yang hadir daripada seluruh negara yang terdiri daripada para pemuda PAS di semua peringkat selain penglibatan muslimat yang sangat dahaga dan mendambakan ilmu tarbiyyah gerakan Islam.

"Semoga program pentarbiyyahan yang dilalui dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan akan dapat memberikan kesan dan membekas di jiwa peserta bagi menghadapi segala cabaran dan dugaan di dalam menelusuri perjuangan gerakan Islam ini," katanya.

Tambahnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan misi Dewan Pemuda PAS Malaysia melalui ijtimak tarbawi kali ini dengan tema "Mantapkan Tarbiyah Menangi Pilihan raya" telah mencapai matlamat penganjurannya dan berkeyakinan bahawa seluruh peserta ijtimak telah bersedia sepenuhnya dari segi jasmani dan rohani untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang mendatang.

Tiada ulasan:

Pengikut