Rabu, 12 Oktober 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil


Kereta Rempuh Tiang Elektrik

Posted: 11 Oct 2011 09:00 PM PDT



MASJID TANAH - Lima sekeluarga nyaris maut apabila kereta pacuan empat roda dinaiki terbabas ke kiri jalan merempuh sebatang tiang elektrik hingga terpatah dua di Lubok China, dekat sini, tengah malam semalam. 

Dalam kejadian itu, mangsa, Shahidah Ghani, 33, bersama empat anaknya berusia antara dua hingga 13 tahun dalam perjalanan pulang dari Jasin ke rumahnya di Taman Wira Indah, Lubok China. 

Difahamkan, mangsa ke Serkam pada petang kejadian atas urusan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori membawa bekalan susu ke sekolah-sekolah. 

Saksi kejadian, Norliza Abdullah, 43, berkata, dia yang sedang menjahit dikejutkan dengan bunyi dentuman kuat sebelum terdengar suara kanak-kanak menangis dan terus keluar melihat apa yang berlaku. 

Menurutnya, dia terus keluar sebelum memanggil jiran sebelah dan menahan dua remaja yang melalui jalan ini. 

"Saya meminta mereka melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila mendapati mangsa adalah individu yang sering saya tegur. 

"Saya kenal dengan mangsa disebabkan anak bongsu saya bersekolah di tempat sama dengan anak mangsa, apatah lagi turut mengenali keluarga mertua mangsa yang tinggal di Felcra Ramuan China Kechil, tidak jauh dari kejadian," katanya. 

Remaja terbabit, Mohd Shafie Norizan, 18, dan Mohd Zaki Zulkifli, 18, dalam perjalanan ke pekan Lubok China terkejut apabila dilambai Norliza yang meminta pertolongan sebelum menyedari terdapat sebuah pacuan empat roda terbabas di kiri jalan. 

Menurut mereka, sebaik memberhentikan motosikal, mereka mendapati mangsa terdiam akibat panik dan kami meminta mereka sekeluarga keluar menerusi pintu penumpang sebelah pemandu. 

"Kami dimaklumkan mereka sedang mencari telefon bimbit tetapi kami meminta mereka keluar terlebih dahulu kerana bimbang sekiranya tiang elektrik yang sudah terpatah dua itu rebah menimpa kereta berkenaan yang remuk teruk di bahagian hadapan," kata mereka. 

Sementara itu, ibu mertua mangsa, Habibah Bakar, 53, ketika ditemui di lokasi kejadian masih terkejut dengan panggilan diterima daripada mangsa sendiri. 

Menurutnya, bersyukur kerana anak, menantu dan cucu-cucunya tidak mengalami sebarang kemalangan jiwa. 

Difahamkan, mangsa dan empat anaknya dibawa ke Klinik Kesihatan Lubok China untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan.

Langgar Meter Air Selepas Curi Kereta

Posted: 11 Oct 2011 06:30 PM PDT



TELOK EMAS - Sebuah kereta dipercayai dinaiki sepasang kekasih yang terbabas sehingga merempuh meter air beberapa buah rumah di Kilometer 12 Kampung Pernu di sini malam kelmarin, rupa-rupanya membongkar satu kes jenayah. 

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Melaka Tengah, Deputi Superintendan Gan Chip Pho berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, anggota polis mendapati pemandu kereta jenis Proton Gen2 itu tiada di situ. 

Menurutnya, pemandu lelaki terbabit lari meninggalkan rakannya, seorang wanita berusia lingkungan 20-an. 

"Semakan nombor plat pendaftaran kenderaan terbabit mendapati ia adalah kereta curi kerana kenderaan sama dilaporkan hilang di Taman Sea, Petaling Jaya, Selangor. 

"Justeru, kami menahan wanita terbabit dan menyerahkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut. Pemandu kereta terbabit turut dicari bagi membantu :siasatan," katanya, semalam. 

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, kereta jenis Proton Gen2, dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar secara tiba-tiba melakukan pusingan U di bahu jalan lalu melanggar longgokan meter paip air milik beberapa penduduk. 

Menurut saksi yang enggan dikenali, sejurus kemudian keluar seorang lelaki bersama seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an. 

Katanya, dia melihat berlaku pertengkaran sehingga lelaki itu bertindak menampar beberapa kali wanita terbabit. 

Tidak lama selepas itu, datang beberapa lelaki lain yang cuba meleraikan pergaduhan itu sehingga hampir-hampir mencetuskan ketegangan antara mereka. 

Bagaimanapun, lelaki yang memandu kenderaan terbabit menghilangkan diri sebelum kehadiran anggota polis di tempat kejadian. 

Kejadian berkenaan juga turut mengakibatkan lebih empat rumah terputus bekalan air selama hampir empat jam.

Tiada ulasan:

Pengikut