Selasa, 19 Julai 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Hiburan: Umno lulus mengapa MCA, Gerakan serang PAS

Posted: 18 Jul 2011 06:03 PM PDT

KUALA LUMPUR, 19 Julai: Pelik bin Ajaib. Itulah kiasan yang paling tepat untuk mereka yang terlibat meluluskan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 tersebut yang kini menyerang PAS.
Sedangkan PAS yang sekadar menunaikan tanggungjawab sebagai kerajaan untuk menguatkuasakan enakmen tersebut untuk membantu umat Islam menumpukan perhatian kepada ibadah semasa bulan Ramadhan.
Sebagai reaksi balas kepada tuduhan bahawa tindakan kerajaan Kedah melaksanakan mempunyai agenda mewujudkan negara Islam, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam satu kenyataan bertanyakan kepada pemimpin MCA dan Gerakan, mengapa minda mereka tidak timbul pun soal ada agenda untuk negara Islam ketika Umno membentangkan perkara itu 14 tahun yang lalu.
"Sewaktu enakmen ini diluluskan tentulah kajian telah dibuat, tapi minda MCA dan Gerakan tidak timbul pun soal ada agenda untuk menubuhkan negara Islam," ujarnya.
Katanya, kalau tindakan kerajaan negeri Kedah dikatakan ada agenda negara Islam, maka Barisan Nasional yang sepatutnya ditujukan tuduhan itu kerana mereka yang meluluskan enakmen tersebut.
Tuan Ibrahim juga turut menimbulkan beberapa persoalan mengenai kenyataan MCA Kedah semalam yang mengakui bahawa Barisan Nasional sememangnya meluluskan enakmen tersebut, tetapi ia tidak dikuatkuasakan.
"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan BN negeri di Kedah pada masa itu tidak pernah melaksanakan dasar-dasar ini yang memberi kesan kepada bukan Islam kerana kerajaan BN negeri mempunyai keyakinan bahawa orang bukan Islam akan mempunyai sikap saling hormat-menghormati cara hidup Islam, yang merupakan teras intipati Barisan Nasional (BN) di bawah 1Malaysia," kata Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong Itt Chew.
"Adakah MCA sedang mengatakan bahawa mereka menyokong enakmen tersebut diadakan di Kedah kerana dari awal mereka dah tahu Umno tiada niat untuk melaksanakannya, sebelum dan selepas era 1Malaysia?" tanya Tuan Ibrahim.
Menurutnya, sememangnya dari awal itulah cara Umno dan MCA untuk menipu umat Islam di Kedah, dengan memperjuangkan Islam secara zahir, dengan membuat enakmen yang kononnya ingin mewujudkan suasana yang lebih baik untuk Ramadhan tetapi langsung tidak berniat untuk melaksanakannya.
Katanya, kerajaan Kedah kini hanya melaksanakan apa yang telah diluluskan oleh kerajaan Umno BN 14 tahun yang lalu, itupun setelah melihat adanya kelemahan dalam pelaksanaan enakmen tersebut, kerajaan Kedah telah mengambil inisiatif untuk membuat rombakan pelaksanaannya supaya ia boleh diterima baik oleh semua pihak.
Tambahnya, ini bermakna pada zaman Umno, para pengusaha hiburan tidak segan-silu untuk menerima pelanggan umat Islam yang ingin bersuka ria ketika bulan Ramadhan tanpa memahami tanggungjawab sosial untuk mewujudkan suasana yang baik di bulan Ramadhan untuk masyarakat Islam sekitar.
Sekarang di bawah PAS, katanya para pengusaha hiburan sedar mereka mempunyai tanggungjawab untuk memastikan umat Islam tidak memasuki premis mereka dalam membantu kerajaan negeri menggalakkan umat Islam keseluruhan untuk menunaikan ibadah untuk mendapat keredhaan Allah.
Takut istilah negara Islam
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menyifatkan sikap ketakutan terhadap negara Islam sebagai isu yang sentiasa dimomok oleh MCA dan Gerakan bagi menjaga sokongan masyarakat bukan Muslim terhadap mereka.
Dalam hal ini juga, beliau berkata ia jelas menunjukkan sikap dan pemikiran dan permainan politik lama Barisan Nasional yang masih tidak berubah-ubah sedangkan hari ini, maklumat boleh diperolehi dengan senang dan mudah.
Namun, menurutnya sehingga kini kebanyakan umat Islam, kecuali pemimpin-pemimpin Umno yang suka bersekongkol dengan MCA dan Gerakan masih tertanya-tanya apakah yang sangat dikhuatiri oleh mereka dalam agama Islam.
"Dalam 20 tahun PAS membangunkan kerajaan Kelantan secara Islam; apakah benda yang amat menakutkan mereka dalam pentadbiran Islam PAS?
"Apakah yang mereka tidak puas hati? Apakah kerana ada amalan agama dan budaya bukan Muslim terancam di Kelantan?
"Apakah kuil-kuil, tokong-tokong dan gereja-gereja diganggu? Apakah mereka dilarang menjual dan memakan daging khinzir?
"Apakah mereka dianiayai dan sering dikecam secara indirect sebagai kaum pendatang seperti apa yang Umno buat di peringkat persekutuan dan juga negeri?
"Apakah kerana kerajaan Kelantan tidak boleh dirasuah, tidak pemimpin yang suka berat sebelah atau yang suka salah guna kuasa seperti Umno?
"Apakah kerana kesukaran untuk berjudi?" soalnya.
Justeru, ujarnya tengoklah kehidupan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan dan bandingkan dengan kehidupan Menteri-Menteri Besar Umno, termasuk yang sudah tercicir ke mahkamah kerana rasuah.
"Sebenarnya, apa dia yang mereka takut sangat pada pentadbiran Islam PAS?" soal beliau.
Seandainya ditanya apakah yang menakutkan MCA dan Gerakan dengan istilah negara Islam, Tuan Ibrahim berkata beliau sebenarnya yakin apa yang mereka bimbang hanyalah sesuatu yang akan menggambarkan kejahilan mereka terhadap negara Islam, walaupun setelah 54 tahun berkawan dengan Umno yang mengaku dirinya pejuang Islam.
"MCA dan Gerakan yang menakutkan orang lain terhadap istilah negara Islam sendiri tidak mengetahui maksud yang sebenarnya – lebih sedih lagi, di dalam Barisan Nasional, ada orang Islam yang sengaja membiarkan orang bukan Islam untuk terus salah faham mengenai negara Islam yang sebenar," bidas beliau.
Sebagai manusia, nasihat beliau, kita tidak sepatutnya takut kepada perkara yang kita tidak tahu kerana manusia menjadi musuh kepada apa yang dia tidak mengetahuinya.
"Sebagai seorang Muslim, kita harus menerangkan kepada rakan-rakan kita yang salah-faham dan ketakutan mengenai istilah negara Islam dan bukan membiarkan mereka terus dikelirukan oleh orang yang jahil.
"Istilah negara Islam tidak perlu ditakuti semata-mata kerana tidak tahu – PAS sentiasa berbuka hati untuk menjelaskannya, dan PAS juga menjemput rakyat, terutamanya bukan Muslim yang masih takut dengan istilah negara Islam datang melawat Kelantan dan menghayatinya sendiri konsep pentadbiran 'Membangun Bersama Islam' ala-PAS," pelawa beliau.

Bersih: Hishammuddin jangan berlagak ugut rakyat

Posted: 18 Jul 2011 06:02 PM PDT

KUALA LUMPUR, 19 Julai: PAS mengucapkan tahniah di atas keberanian 11 doktor Hospital Tung Shin yang tidak berganjak daripada pendirian mereka mengatakan bahawa sememangnya polis menembak gas pemedih mata dan air berasid ke pekarangan hospital pada himpunan Bersih 9 Julai lalu.
AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, walaupun pihak polis dan menteri cuba menafikan, namun mereka tetap bertegas sememangnya polis melakukan tindakan itu.
Menurutnya, mereka bersedia untuk memberi keterangan kepada polis pada bila-bila masa mengenai perkara tersebut.
11 orang doktor terdiri daripada Dr Ng Kwee Boon, Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Swee Choon, Dr Ronald Macoy, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Dr Pixie Low dan Dr Steve Wong.
Mereka juga hairan kenapa Lembaga Hospital Tung Shin memaklumkan bahawa insiden pelepasan gas pemedih mata dalam kawasan hospital berkenaan tidak berlaku, sedangkan mereka tidak berada di situ.
"Rakyat tertanya-tanya mana pergi Datuk Seri Hishammuddin Hussein, selaku Menteri Dalam Negeri, beliau mesti mengambil tanggungjawab terhadap apa yang berlaku, selaku menteri yang menjaga hal ehwal kepolisan," ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.
Idris menambah, Hishammuddin tidak boleh melepaskan diri dengan tragedi 9 Julai kerana sikap tidak profesional polis dan keganasan mereka sudah ditonton oleh dunia.
"Hishammuddin mesti dipertanggungjawab, jangan beliau hanya berlagak dengan kuasanya sahaja untuk membuat ugutan kepada rakyat, tetapi tidak mempunyai kebolehan untuk mengurus anak buahnya supaya bertindak secara profesional," ujarnya.
Beliau berkata, di dalam peperangan pun hospital dan mereka yang terlibat dalm paramedik dilindungi.
"Sedangkan ini hanya himpunan aman, undang-undang mana Hishammuddin ajar polis untuk bertindak sedemikian rupa," katanya lagi.
Tambahnya, terdapat bukti bergambar yang dirakam memang berlaku tembakan gas pemedih mata dan air berasid di perkarangan Hospital Tung Shin dan Bersalin Cina di Jalan Pudu, bukan hospital di Gaza Palestin.

Pemukiman PAS rangka pendekatan hadapi PRU 13

Posted: 18 Jul 2011 06:01 PM PDT

KUALA LUMPUR 18 Julai: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan, pemukiman yang dibuat oleh PAS telah mempersiapkan PAS menghadapi pilihan raya umum akan datang melalui projek Roadmap to Putrajaya.
"Kita telah berbincang panjang berdasarkan kajian dan perbentangan yang dibuat dan kita gembira sekarang kerana mempunyai fokus yang jelas dalam mempersiapkan diri kita menghadapi PRU ke 13," kata Abdul Hadi dalam wawancara khas dengan Harakah dan Harakahdaily hari ini.
Wawancara itu diadakan selepas pemukiman khas yang diadakan oleh PAS selama dua hari bermula 17 Julai hingga hari ini di sebuah hotel dekat Ampang.
Ia melibatkan semua pimpinan utama PAS khasnya AJK PAS Pusat dengan dipimpin oleh Abdul Hadi sendiri.
Dalam mencapai hasrat ini, katanya, PAS akan melaksanakan dua pendekatan iaitu memulihkan demokrasi dan memecahkan kebuntuan maklumat bagi mempastikan maklumat sampai ke peringkat akar umbi.
"Pertama kini akan gunakan sepenuhnya sumber tenaga manusia yang kita ada dan kedua menggunakan sepenuhnya saluran media alternatif," kata beliau.
PAS, katanya, akan menggunakan sepenuhnya ahlinya yang berjumlah kira-kira satu juta bagi mempastikan maklumat yang hendak di sampaikan PAS sampai ke bawah.
Untuk itu, katanya, PAS akan memperkuatkan jentera di semua peringkat.
"Tentu kita memerlukan tenaga dan wang yang banyak dan yakin ahli kita dapat memberikan sumbangan sewajarnya untuk menjayakan projek ini," kata Abdul Hadi penuh yakin.
Bagi beliau, kejayaan PAS di Kelantan, Kedah dan sebelum ini di Terengganu adalah hasil kekuatan jentera PAS di negeri itu.
"Kita tidak mahu lagi menang hasil dari kelemahan musuh," katanya.
Untuk mencapai hasrat itu juga, katanya, PAS sedang menyusun langkah untuk menggunakan sepenuhnya media alternatif dengan seluas mungkin.
Berhubung dengan media, Abdul Hadi meminta orang Melayu khasnya mencontohi kekuatan media di kalangan orang Cina dan India.
"Media berbahasa Melayu tidak mengembangkan minda tetapi terikat dengan agenda pemimpin BN semata-mata. Sebab itu, isu-isu di kalangan orang Melayu tidak ke mana berbanding dengan isu-isu di kalangan orang Cina," katanya.
Beliau merujuk kepada beberapa isu yang sama di kalangan orang Cina yang sangat berkesan namun ia tidak ke mana apabila berlaku di kalangan orang Melayu.
Misalnya isu kematian Teoh Beng Hock menjadi isu besar tetapi kematian pegawai Kastam, Ahmad Sarbani yang juga jatuh dari bangunan SPRM tidak ke mana.
Begitu juga kematian Allahyarham Baharudin Ahmad tenggelam di celah asap gas pemedih mata yang ditembak ke dalam kawasan hospital Tung Shin.

Facebook: Lebih 200,000 mahu Najib letak jawatan

Posted: 18 Jul 2011 06:00 PM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Kumpulan rakyat yang majoritinya "majoriti senyap" terus menyatakan pendirian mereka mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

Desakan dizahirkan mereka pada laman peminat Facebook yang bertajuk '100,000 Rakyat meminta Najib Tun Razak meletak jawatan' (100,000 People Request Najib Tun Razak Resignation) yang kini sudah mencecah 202,020 peminat sehingga jam 2.07 petang tadi.

Ketika Harakahdaily membuat liputan perkara ini Julai 11 yang lalu, jumlah peminat telah pun mencecah angka 119,000.

Angka peminat Facebook terus meningkat apabila kerajaan Barisan Nasional meneruskan tindakan mereka memperlekehkan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Selepas seminggu, hari ini peminat telah meningkat lebih daripada 80,000 kepada angka 202,020 seperti yang tertera di gambar.

Peminat Facebook yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dan agama, menulis komen menyeru Najib untuk meletak jawatan ekoran tindakan tidak bertamadun polis dan kerajaan Barisan Nasional dalam menangani perhimpunan aman rakyat itu.

Antara komen itu berbunyi :

Ampun Tuanku Beribu-ribu Ampun,
Sembah Patik Harap DiAmpun,
Khabar Buruk Patik Sembahkan,
Harap Diteliti Dimurka Jangan.

Perdana Menteri menjadi kebencian,
Pasukan Diraja menjadi cacian,
Rakyat mahukan keharmonian dan keadilan,
Mohon Tuanku Terajui Pemerintahan.


Seorang lagi peminat pula berkata tujuan beliau menyokong laman Facebook tersebut adalah untuk memberitahu Najib bahawa rakyat yang tidak dapat menyertai perhimpunan aman Bersih 2.0 bukan bermaksud mereka tidak menyokong agenda yang dibawa Bersih 2.0.

"Beliau (Najib) berkata ramai rakyat tidak menyertai Bersih 2.0 kerana mereka tidak menghiraukan Bersih 2.0. Sini untuk bagi tahu beliau, tak menyertai tidak bermaksud tidak menyokong," tulis beliau.

Disebabkan populariti laman tersebut, ramai peminat juga mewujudkan laman-laman lain untuk menuntut perletakan jawatan pemimpin Barisan Nasional yang lain yang lantang mengutuk perhimpunan Bersih 2.0.

Di antaranya ialah laman peminat menuntuk perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein dan juga Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang kesemuanya mengkritik Bersih 2.0 di samping membela polis yang menggunakan kekerasan melampau terhadap para peserta himpunan.

Namun begitu, ketiga-tiga laman tersebut hambar sambutannya jika dibandingkan dengan laman menuntut perletakan jawatan Najib.

Yang paling tinggi hanyalah laman menuntut perletakan jawatan Hishamuddin, itupun hanya dapat mencapai 8 peratus atau 16,244 peminat saja daripada apa yang diterima oleh sepupunya.

Sementara itu, ada pihak yang menamakan dirinya Patriot telah membuka satu laman Facebook menyokong Najib untuk melawan popularati Facebook mendesak peletakan jawatan Najib..

Akan tetapi, sambutannya amat hambar, dengan setakat ini hanya mendapat 9,590 peminat atau 5 peratus sahaja daripada lawan mereka.

Tiada ulasan:

Pengikut