Isnin, 20 Jun 2011

Dewan Pemuda PAS Petaling Jaya Utara

Dewan Pemuda PAS Petaling Jaya Utara


POLIS JANGAN UGUT RAKYAT

Posted: 19 Jun 2011 08:01 PM PDT

KENYATAAN MEDIA
JABATAN UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA (JUHAM)
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

JABATAN UNDANG-UNDANG DAN HAK ASASI MANUSIA (JUHAM) DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA menyelar kenyataanTimbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar pada 15 Jun 2011 bahawa pihak polis akan mengambil tindakan termasuk membuat tangkapan pencegahan sekiranya perlu, sebelum dan semasa perhimpunan BERSIH yang dijadual berlangsung pada 9 Julai depan.
Kenyataan itu tidak mencerminkan bahawa Timbalan Ketua Polis Negara memahami PERKARA 10 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN yang menjamin hak warganegara untuk berhimpun secara aman. Kami amat simpati dengan rakyat Malaysia kerana mempunyai seorang Timbalan Ketua Polis Negara yang buta undang-undang dan tidak memahami hak asasi rakyat yang sangat fundamental dalam sebuah Negara demokrasi.
Tindakan menangkap berbentuk pencegahan ("pre-emptive") untuk satu kesalahan yang belum lagi berlaku jelas menyalahi prinsip asas perundangan jenayah dan hak asasi manusia. Adakah kenyataan ini bermaksud pihak polis ingin menghalalkan penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri bagi menangkap orang yang tidak bersalah? Tindakan penangkapan seperti ini tidak syak lagi adalah satu salah guna kuasa ("abuse") yang sangat jelas oleh pihak eksekutif dan sekutunya.
JUHAM juga melihat kenyataan tersebut sebagai suatu ugutan yang tidak wajar dilakukan oleh Timbalan Ketua Polis Negara yang mewakili pasukan polis selaku penjaga kepentingan awam ("guardian of public interest"). Pihak yang ingin berhimpun secara aman mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan sekiranya berlaku apa-apa kemudaratan awam atau kesalahan jenayah, maka barulah pihak polis menyuraikannya selaras dengan Seksyen 27 Akta Polis 1967. Sehingga perkara sebegitu berlaku, tindakan menghalang ini adalah satu salahguna kuasa pihak polis ke atas hak yang telah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Seksyen 27 Akta Polis tersebut bertujuan untuk mengawal dan menjaga ketenteraman sewaktu perhimpunan berlangsung dan bukannya digunakan untuk MENGHALANG hak rakyat dari BERHIMPUN!
JUHAM menggesa pihak polis meneruskan tanggungjawab selaku penguatkuasa undang-undang dan mematuhi kuasa dan tanggungjawab yang diperuntukkan melalui Seksyen 20(1), Bahagian VII Akta Polis 1967 yang menyatakan bahawa :
"Tiap-tiap pegawai polis hendaklah melaksanakan tugas-tugas dan menjalankan kuasa-kuasa yang dipertanggungkan atau DIBERIKAN OLEH UNDANG-UNDANG ke atas atau kepada seorang pegawai polis, ..."
Perlaksanaan tugasan dan tanggungjawab pihak polis DENGAN MEMATUHI UNDANG-UNDANG dan menggunakan budibicara yang adil untuk kesemua pihak tanpa amalan "double standard" akan mengembalikan kepercayaan rakyat kepada institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Oleh itu, JUHAM menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mempertahankan hak berhimpun dan berkumpul secara aman sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan konvensyen undang-undang serta amalan hak asasi manusia sejagat. JUHAM juga berikrar akan mempertahankan hak ini dan bersedia untuk memberikan khidmat perundangan kepada mangsa-mangsa tangkapan polis yang dibuat secara tidak sah. Kami akan memberikan "legal representation" kepada mereka yang terlibat seawal dari tangkapan dibuat sehinggalah ke peringkat rayuan di mahkamah tertinggi dengan segala kos guaman ditanggung sepenuhnya. Ayuh, rakyat Malaysia, bangkitlah dan pertahankan hak kita sebagai warganegara Malaysia tanpa rasa takut dan gentar!!!
Sekian,
AHMAD ZAMRI BIN ASA'AD KHUZAIMI
Pengarah
Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda PAS Malaysia
17 Jun 2011
16 Rejab 1432

Dewan Pemuda PAS Bertekad Teruskan BERSIH 2.0

Posted: 19 Jun 2011 07:05 PM PDT

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak serta sahabat-sahabat Dewan Pemuda PAS Negeri-negeri yang telah memberikan sepenuh komitmen untuk menggerakkan seluruh jentera pemuda bagi menjayakan Himpunan AMAN BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) pada 9 Julai 2011 yang akan datang. Dewan Pemuda PAS Negeri Perak akan mengerahkan lebih kurang 30,000 pemuda Negeri Perak untuk bersama-sama menyertai program tersebut. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga dengan ini menyatakan sokongan penuh dan komitmen untuk menjayakan program BERSIH 2.0 ini dan akan menggerakkan 50,000 tenaga anak muda dan belia yang ada di Negeri Selangor ini. InsyaAllah.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor telah mengarahkan supaya pemakluman dan hebahan mengenai agenda BERSIH 2.0 menjadi agenda utama Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan di seluruh Negeri Selangor dengan mengadakan Ceramah BERSIH 2.0 serta sebaran risalah berkenaan program tersebut di kawasan masing-masing bermula 1 Julai sehingga 7 Julai 2011 untuk mempastikan rakyat memahami keperluan sebenar BERSIH 2.0 ini perlu dijayakan. Rakyat tidak perlu berasa takut atau terancam untuk menyertai Program BERSIH 2.0 kerana ianya adalah Himpunan AMAN yang dinaungi oleh badan-badan NGO yang berusaha untuk memastikan sistem pilihanraya di dalam Negara Malaysia ini dijalankan secara bersih dan adil. Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohamad Sabu bahawa kita menentang sistem pilihanraya yang kotor yang dimonopoli oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan bukannya himpunan ini diadakan untuk mencetuskan huru-hara dan kekacauan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan pandangan yang diutarakan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dan PAS Kawasan Miri bahawa Himpunan AMAN BERSIH 2.0 ini boleh untuk tidak diteruskan sekiranya pihak SPR dan Kerajaan Pusat memenuhi tuntutan 8 perkara yang diutarakan oleh pihak BERSIH 2.0 iaitu bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media bebas dan adil, masa berkempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Oleh itu Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyeru seluruh rakyat warga Selangor untuk turut bersama-sama menjayakan Himpunan AMAN BERSIH 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur. Bersama-samalah kita memBERSIHkan sistem pilihanraya Negara kita daripada segala kekotoran dan salah laku yang ada kepada sistem yang lebih baik dan adil.

HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA DEWAN PEMUDA PAS

NEGERI SELANGOR

18 Jun 2011

Tiada ulasan:

Pengikut