Isnin, 20 Jun 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Bersih 2.0: Hasrat 80 NGO sangat murni

Posted: 19 Jun 2011 08:05 PM PDT

Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) menyokong penuh inisiatif lebih 80 buah NGO's yang telah bergabung di dalam BERSIH 2.0 untuk menganjurkan satu program penting dalam sejarah tuntutan demokrasi negara ini yang juga dipanggil sebagai Walk For Democracy atau "Berjalan Untuk Demokrasi" pada 9 Julai 2011 akan datang.
DMPP turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh Jawatankuasa Bersih 2.0 atas kejayaan Majlis Pelancaran Bersih 2.0 yang diadakan malam tadi bersamaan Ahad, 19 Jun 2011.
DMPP percaya hasrat dan tujuan mereka ini adalah sangat murni, sebagai tanggungjawab sosial mereka kepada seluruh warga dan tentulah juga merupakan manifestasi kehendak seluruh rakyat yang mahu melihat satu sistem dan perjalanan Pilihan Raya yang Bersih, Adil dan Kredibil (boleh dipercayai). Apatah lagi jika kita melihat NGO-NGO yang terbabit di dalam BERSIH 2.0 ini merupakan NGO-NGO yang aktif dalam hal-hal berkaitan hak asasi manusia, pemberdayaan wanita dan rakyat, pembela terhadap masyarakat tertindas hatta dipimpin pula oleh bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia (Bar Council) iaitu Datuk Ambiga Sreenavasan yang tentulah tahu dan faham ruang lingkup yang menjadi hak rakyat hatta batasan serta sempadan-sempadan yang ada, selari dengan undang-undang serta peraturan dalam negara.
Hakikatnya, selepas tempoh 12 kali Pilihan Raya Umum negara dan yang terbaru ialah Pilihan Raya Negeri Sarawak serta 16 kali Pilihan Raya Kecil membabitkan hampir kesemua negeri dalam Malaysia kecuali Perlis dan Wilayah Persekutuan; jelas terbukti bahawa terdapat pelbagai kelemahan ketara di dalam sistem dan perjalanan Pilihan Raya dalam negara ini. Kelemahan-kelemahan ini dapat kita lihat dan fahami melalui 8 Tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH 2.0.
Seandainya kelemahan tadi berterusan dan tiada usaha bersunguh untuk memperbaikinya daripada semua pihak khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri, maka negara akan terdedah dengan satu situasi di mana keputusan-keputusan pilihan raya itu tidak atau kurang kredibil yang seterusnya akan mewujudkan ketidakpuasan hati dan hilang kepercayaan para warga terhadap sistem dan perjalanan pilihan raya itu sendiri. Fenomena ini nantinya boleh mengakibat satu ledakan cemas dan kebangkitan rakyat. Dan andai ianya tidak terpimpin secara bertanggungjawab maka ia akan memberi implikasi buruk kepada kita semua.
Justeru, DMPP percaya bahawa tindakan Jawatankuasa BERSIH 2.0 ini dilihat bertujuan mengimbangi kemarahan serta kebangkitan rakyat dan melorongkan "kemarahan dan ketidakpuasan hati ini" kepada satu tindakan yang lebih terarah, bertanggungjawab, terpimpin hatta mengikut lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan khususnya yang terkandung dalam Perkara 10 berkaitan Kebebasan Bercakap, Berhimpun Dan Menubuhkan Persatuan: secara aman dan tanpa senjata.
Oleh yang demikian, DMPP menyeru pihak berkuasa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) khususnya agar mengambil pendekatan lebih bertanggungjawab dan mesra rakyat. Tindakan berterusan mengeluarkan "ancaman tangkap" kepada rakyat adalah suatu yang sangat tidak wajar, tidak menghormati rakyat, membelakangi semangat keluhuran Perlembagaan dan mencabuli serta menyalahgunakan undang-undang itu sendiri. "Ancaman Tangkap" itu berbaur satu ugutan keras dan ia tidak manis untuk menjadi satu budaya kerja pasukan polis terhadap rakyat. Kalau sikap dan budaya ini berterusan, jangan salahkan rakyat jika polis menjadi satu Institusi Awam yang tidak akan lagi dihormati hatta dipandang rendah.
Sudah sampai masanya PDRM berhenti daripada menjadi "Budak Suruhan Pihak Atasan". Sudah sampai masanya PDRM mengambil pendekatan "memahami dan menyantuni" kehendak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
DMPP menyedari betapa BERSIH 2.0 sendiri telah menegaskan bahawa mereka dalam hasrat membimbing rakyat mempraktiskan hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan. BERSIH 2.0 juga bersedia dan sanggup bekerjasama di pihak Polis bagi memastikan program pada 9 Julai nanti akan berlangsung dalam keadaan yang aman, tertib dan terkawal. Justeru, DMPP mendesak Ketua Polis Negara agar segera membuka ruang perbincangan di antara kedua belah pihak demi kepentingan negara.
DMPP juga sangat memandang serius akan kenyataan berbau "ancaman dan ugutan" yang dikeluarkan oleh Ibrahim Ali bersama Perkasa yang menegaskan "mereka akan menganjurkan protes bagi menghalang rancangan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) untuk mengadakan perhimpunan".
DMPP menyifatkan kenyataan ini adalah sangat bahaya dan mengancam keselamatan awam khususnya pada hari tersebut. Apatah lagi Ibrahim Ali secara emosional melulu menegaskan bahawa "apa sahaja boleh berlaku pada 9 Julai itu nanti". DMPP menyifatkan kenyataan ini sangat biadap, tidak ada kelas dan bersifat kebudak-budakan. Ia juga sangat bersifat anti establishment. Amat malang ianya dituturkan oleh seorang Ahli Parlimen tidak berparti (yakni Bebas) atau dalam  konteks Malaysia kita fahami mereka ini sebagai Ahli Parlimen "Lompat" (Katak)!
Lebih malang bilamana kenyataan "ancaman dan ugutan" seperti ini tidak pula diambil sebarang tindakan oleh pihak berkuasa dan hanya menampakkan PDRM bertindak tidak professional serta double standard.
DMPP tidak berhasrat untuk menghalang sesiapapun untuk turut Turun pada 9 Julai nanti, atau berhimpun bila-bila masa dan di mana sahaja; tetapi yang penting perhimpunan itu mestilah diadakan secara aman, tanpa senjata, dengan objektif yang jelas dan bukan berniat untuk menimbulkan sebarang kekecohan atau sebarang tindakan vandalism atau anti sosial.
DMPP sangat berdukacita terhadap segala kenyataan tidak bertanggungjawab yang dilontarkan oleh beberapa Menteri terhadap BERSIH 2.0. Ini termasuklah tuduhan Rais Yatim yang mengaitkan "Serangan Siber" ke atas beberapa laman web kerajaan baru-baru ini sebagai berkait dengan BERSIH 2.0. Manakala  Muhyidin Yassin membuat tuduhan bahawa Walk For Democracy itu adalah bertujuan untuk menumbangkan BN. DMPP melihat kenyataan-kenyataan itu sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan hanya menampakkan bahawa UMNO BN sekarang berada pada tahap "ketakutan yang melampau" sehingga "bayangan sendiri difikirkan hantu!".
DMPP mengajak seluruh rakyat dan semua pihak memahami bahawa apa yang akan berlaku pada 9 Julai 2011 itu nanti ialah satu program bersifat merakyat ; Walk For Democracy . Dan ianya secara khusus berkaitan dengan 8 Tuntutan BERSIH 2.0 untuk kita semua upaya menikmati satu sistem dan perjalanan Pilihan Raya yang bersih dan adil. Ianya bukan berkaitan persoalan politik kepartian yang sempit. Ianya bukan berkaitan persoalan individu orang tertentu. Ianya konsistant berkaitan Tuntutan Rakyat untuk SPR dan pihak berwajib bertindak segera Mereformasi Sistem Dan Perjalanan Pilihan Raya yang ada dalam negara ini agar lebih seimbang kepada semua pihak yang mengambil bahagian.
Akhirnya, DMPP menyeru seluruh rakyat jelata khususnya para wanita yang mahukan 8 Tuntutan BERSIH ini didengar dan tercapai agar hadir beramai-ramai dan bersama-sama kita BERJALAN UNTUK DEMOKRASI secara aman dan tertib. DMPP juga sedang dalam proses menggerakkan seluruh kekuatan organisasi dan jentera Dewan Muslimat PAS di seluruh negara untuk bersama menggerakkan rakyat HADHIR PADA TEMUJANJI KITA, 9 JULAI DI KUALA LUMPUR. DMPP yakin dan percaya, insyaAllah Kita akan lalui dan hadapi 9 Julai ini dengan penuh kewarasan, kejelasan tujuan dan penuh bertanggungjawab. Sungguhlah benar jihad yang paling besar adalah berkata benar di hadapan pemimpin yang zalim.
Kembalikan Kuasa Rakyat! Bersihkan Pilihan Raya! Allahu Akbar!
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Pusat
20 Jun 2011, Kuala Lumpur .

Kerajaan guna teknik menakutkan rakyat

Posted: 19 Jun 2011 08:04 PM PDT

Hasrat aspirasi rakyat untuk memastikan proses pelantikan pemimpin negara menerusi lunas demokrasi dan pilihan raya yang adil serta telus sukar diterima oleh sebuah kerajaan yang angkuh.
PAS bersama semua parti politik pembangkang serta NGO yang menganggotai koalisi BERSIH, bersiap sedia untuk berhimpun secara aman tanpa senjata untuk menyerahkan memorandum khas kepada Yang di-Pertuan Agong.  
Kerajaan perlu jelas bahawa himpunan yang akan diadakan pada 9 Julai ini ialah satu himpunan AMAN. Ia diambil daripada ruh demokrasi yang diperuntukkan dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia.
Ini bermakna, perlembagaan yang dijunjung oleh seluruh rakyat Malaysia telah menjamin dan membenarkan hak yang diberikan kepada mereka. Oleh yang demikian, BERSIH tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang.
Selain daripada mensinonimkan himpunan aman dengan himpunan haram dan himpunan yang boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan, seolah-olah satu lagi teknik yang dicipta untuk menyekat himpunan aman iaitu teknik 'TAKUTKAN RAKYAT'.
Teknik 'TAKUTKAN RAKYAT' ini dilihat sebagai satu ugutan untuk menafikan hak berhimpun rakyat. Daripada pemerhatian yang dibuat, kami mendapati:
a)      Pada 13 Jun 2011, PERKASA secara agresif akan turun ke jalan raya bagi membentuk satu kumpulan untuk bertembung dengan kumpulan BERSIH. Ini bertujuan bagi meningkatkan sentimen tidak aman pada 9 Julai nanti.  
b)      Pada 15 Jun 2011, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar memberi amaran untuk tidak mengeluarkan permit termasuk membuat tangkapan awal sebagai langkah pencegahan.  
c)       Pada 17 Jun 2011, Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) pula mencadangkan kepada pihak polis supaya mengambil tindakan yang lebih tegas dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada perancang himpunan aman BERSIH 2.0.  
d)      Pada 18 Jun 2011, Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim telah mengaitkan serangan siber atau godam terhadap laman web kerajaan bermotifkan politik dan mempunyai kaitan dengan BERSIH.  
e)      Pada 18 Jun 2011 juga, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin pula telah cuba memiripkan himpunan aman BERSIH 2.0 umpama himpunan rakyat yang dilakukan secara besar-besaran pada tahun 1998. Dia bermaksud himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai ini tidak mustahil boleh berlaku huru hara dan pelbagai ancaman provokasi.  
f)       Pada 19 Jun 2011, Timbalan Perdana Menteri mendakwa himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan untuk membangkitkan kemarahan rakyat seterusnya menjatuhkan kerajaan sah hari ini.  
g)      Pada 19 Jun 2011 juga, Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) menuduh bahawa BERSIH 2.0 tidak harus mencontohi perhimpunan rakyat di negara Asia Barat seperti Mesir, Syria dan Libya.
Mereka cuba menafikan hak rakyat yang telah diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan. Maka, kedaulatan undang-undang tersebut telah dicemari. Malah, apa yang diamalkan oleh kerajaan adalah undang-undang rimba.
Ingat, kerajaan yang angkuh dan menggunakan kuasa fizikal untuk menekan hak rakyat tidak akan selama-lamanya berkuasa. Rakyat tidak boleh disekat kerana akal, budi dan jiwa mereka sebenarnya bebas. 

Buku Hijau perinci konsep negara berkebajikan

Posted: 19 Jun 2011 08:04 PM PDT

KUALA LUMPUR, 20 Jun: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub akan mengetuai satu panel khas pelaksana parti yang akan memperincikan konsep negara berkebajikan yang diketengahkan dalam ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada 3 Jun lalu dalam bentuk 'Buku Hijau' secepat mungkin menjelang pilihan raya umum ke 13.
"Kita akan dokumenkan konsep ini dalam bentuk buku dan Buku Hijau ini akan diedarkan di seluruh negara dalam masa terdekat," kata Salahuddin, yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Panel tersebut yang ditubuhkan minggu lepas, katanya akan turut dianggotai oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dua ahli jawatankuasa kerja pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Idris Ahmad, Pengerusi Institut Kajian Polisi PAS, Dr Zuhdi Marzuki dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud.
"Melalui panel ini, kami akan memperincikan konsep negara berkebajikan dengan mengemukakan ciri-ciri sebuah negara berkebajikan," tambah beliau.
Semenjak PAS membentangkan penubuhan sebuah negara berkebajikan di Muktamar ke 57, pimpinan Umno and medianya telah menyerang bertubi-tubi untuk menguasai pemikiran rakyat terhadap parti Islam tersebut dengan tuduhan kononnya PAS telah mengubah dasar perjuangan.
"Walhalnya konsep negara berkebajikan, keadilan, keselamatan, kesejahteraan, kemakmuran adalah intipati dari negara Islam," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya minggu lalu.
Meskipun ini bukan kali pertama PAS mengetengahkan konsep negara berkebajikan kerana manifesto pilihan raya umum 2008 PAS juga bersandarkan tema negara kebajikan tetapi ia tetap diserang hebat oleh Umno.
Sebagai reaksi balas, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, negara berkebajikan boleh dibuktikan sekiranya rakyat memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah negara pada pilihan raya umum akan datang.

Tiada ulasan:

Pengikut