Isnin, 6 Jun 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


PAS lulus usul himpun 300,000 untuk Bersih 2

Posted: 05 Jun 2011 05:00 PM PDT

KUALA LUMPUR, 5 Jun: PAS meluluskan usul menggesa seluruh rakyat Malaysia menyertai Himpunan Bersih II pada 9 Julai di ibu negara dengan sasaran 300,000 peserta dari PAS sahaja.

Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu ketika membentangkan usul tersebut berkata, seluruh ahli PAS di semua peringkat harus menyertai himpunan tersebut kerana empat tuntutan Bersih 2007 lalu tidak dipenuhi kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya juga, usaha mendaftarkan warga asing sedang berleluasa di Selangor dan turut berlaku di negeri-negeri lain.

"Satu pun tuntutan Bersih pada 10 November 2007 tak ditunai pemerintah.

"Daftar automatik tak ditunai walaupun kes di Likas Sabah yang dibuktikan di mahkamah oleh Hakim Datuk Kamil Awang adanya kes pemberian kad pengenalan kepada warga asing," kata beliau yang merupakan salah seorang penggerak Bersih.

Tambah beliau juga, amat menghairankan apabila daftar pengundi di Terengganu meningkat secara mendadak sejak 1999 hingga 2004.

Perkara ini katanya mustahil berlaku tanpa bantuan SPR dan Jabatann Pendaftaran Negara (JPN).

"Kalau aktif daftar pemilih boleh naik dari 4 hingga 7 peratus sahaja tapi di Terengganu dari tahun 1999 hingga 2004 daftar pemilih naik 17 peratus.

"Ini tidak mampu dilakukan parti politik melainkan bantuan SPR, polis dan Jabatan Pendaftaran Negara yang lakukan kerja itu," katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai undi pos yang meragukan seperti yang berlaku dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.

"Undi pos terus kita ragu bayangkan di Tenang (PAS) hanya dapat undi pos 3 undi BN 115. Undi Senadin Pakatan mendahului lebih 1000 undi tapi bila datang undi pos calon Pakatan kalah 58 undi," katanya.

Tambahnya juga, media di Malaysia masih berada di zaman Tok Kadok (kuno) apabila hanya menyiarkan berita sebelah pihak sahaja.

"Kita lihat di muktamar, kita ditemubual, pelbagai pandangan kita beri, kamera berkelip di depan mata sampai kelabu tapi bila tengok berita tak ada (keluar).

"PRU di Singapura walaupun Singapura sama dengan Malaysia dari segi kongkongannya tapi semua pemimpin pembangkang boleh bercakap di radio dan televisyen.

"Di Malaysia media masih di zaman Tok Kadok tak ada kebebasan diberi kepada pemimpin walaupn dalam saluran kerajaan," katanya.

Utusan cuba lagakan 3 dewan PAS - Zailah

Posted: 05 Jun 2011 04:59 PM PDT

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) kesal dengan laporan Utusan Malaysia yang mengandaikan mereka tidak mengiktiraf kepimpinan Dewan Ulama.
Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof sebaliknya berkata, DMPP menyanjung tinggi kepimpinan ulama yang merupakan pemantau segala dasar dan perancangan dalaman parti.
Beliau berkata, Utusan Malaysia hanya berniat melaga-lagakan keakraban ketiga-tiga dewan dalam PAS.
"DMPP menyanjung tinggi kepimpinan ulama dan kesal dengan laporan media yang kata muslimat tidak mengiktiraf Dewan Ulama.
"Ini satu propaganda yang dibuat media untuk melaga-lagakan dalaman parti dan menampakkan tiada kesepakatan di antara dewan-dewan," kata beliau sewaktu menyampaikan ucapan pengangguhan di Muktamar PAS kali ke- 57 di Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohammad (KUIZM) hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan DMPP mendakwa kepimpinan ulama yang tidak agresif menjadi punca utama golongan tersebut diganti dengan barisan kepimpinan baru yang dilihat pro Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berharap persepsi tersebut diperbetul segera.
Sementara itu, beliau mengemukakan gagasan untuk memartabatkan kemuliaan golongan wanita di negara ini.
"DMPP kemukakan gagasan sebagai tawaran kepada wanita di negara kita iaitu gagasan untuk memartabatkan kemuliaan wanita di Malaysia.
"Kita ingin lahirkan muslimat yang bukan sahaja berperanan dalam rumahtangga, dalam kerjaya tapi nak melahirkan wanita yang menjadi pemimpin yang bertakwa seharusnya berbeza dengan wanita Umno yang hanya nak memperkasa dari sudut wanita tanpa tekankan ketinggian moral," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.
Selain itu beliau turut menyeru semua ahli menjalinkan hubungan baik dengan Pakatan Rakyat di semua peringkat.
"Saya menyeru semua ahli parti untuk mengadakan hubungan baik dengan Pakatan Rakyat di semua peringkat dan supaya perancangan dan strategi bersesuaian dengan lokaliti dan muafakat dalam perkara yang melibatkan kepentingan parti," katanya.

Jalan ke Putrajaya 'makin jelas' - Nik Aziz

Posted: 05 Jun 2011 04:59 PM PDT


KUALA LUMPUR, 5 Jun: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nikmat membayangkan saf kempipinan baru PAS yang dipilih pada muktamar ke-57 parti itu semalam menjadikan jalan menuju ke Putrajaya 'makin jelas'.

Bercakap ketika ditemubual Harakah dan Harakahdaily hari ini, beliau yakin kabinet baru PAS itu mampu melakar masa depan baru untuk PAS khususnya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

"Jalan menuju Putrajaya makin jelas.

"Jangan ada jual kad pengenalan, bagi kepada warga asing mengundi insyaAllah.

"Kalau demokrasi dijalankan dengan betul, maka tidak ada sebab PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh sampai ke Putrajaya," katanya.

Pada pemilihan semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding menerima timbalan baru iaitu Mohamad Sabu.

Mohamad menang jawatan itu terhadap penyandangnya Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon bertanding, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagi tiga jawatan Naib Presiden pula, perwakilan telah memilih Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Mengulas penyertaan Mohamad Sabu yang dilihat bakal memberi energi baru dalam saf hadapan kepimpinan PAS, beliau memberi analogi begini.

"Mohamad Sabu ni macam enjin la, drivernya Tuan Guru Haji Hadi, dan kita semua adalah penumpangnya.

"Kereta tak jalan walau enjin buka, kena driver tekan minyak juga,"katanya.

Berhubung isu ulama-profesional yang dimainkan media Umno pula, Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ianya petanda kabinet baru itu digeruni Umno BN.

Sejak keputusan pemilihan semalam, media pro Umno sama ada internet dan media cetak, tidak putus-putus memainkan isu kepimpinan ulama dalam PAS tidak lagi diterima.

Majoriti tajuk akhbar mereka hari ini juga menggambarkan PAS tidak lagi islamik kerana mendakwa pemimpin utama didominasi kelompok profesional.

"Sebut Islam mesti berkait politik. Bila politk mesti ada kerajaan. Maka untuk ada kerajaan mesti ada profesional.

"Dalam PAS, sebut kata ulama automatik profesional, sebut profesional mesti berjiwa ulama.

"Yang menduakan barang satu ini adalah Umno, sebab dia ada profesional sahaja tiada ulama. Ulama dalam Umno kena singkir," jelasnya.

Umno akan jatuh bukan kekuatan Islam sahaja tetapi..

Posted: 05 Jun 2011 04:58 PM PDT

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Kerajaan BN yang ditunjangi Umno BN pasti akan jatuh suatu masa nanti bukan hanya kerana kekuatan umat Islam semata-mata, tetapi juga kerana kezalimannya sendiri sepanjang memerintah negara ini sejak lebih 50 tahun lalu.

Catatan sejarah membuktikan kejatuhan kerajaan Parsi dan Rom bukan sahaja kerana kekuatan umat Islam, tetapi juga kerana kezallman pemerintahnya  terhadap rakyatnya sendiri, walaupun kedua-duanya merupakan kuasa besar dunia pada masa lalu.

Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Umno BN juga pasti akan mengalami nasib serupa suatu masa nanti ekoran kezalimannya terhadap rakyat sejak sekian lama.
Menurut beliau, ini terbukti dengan pelbagai tindakan buruk Umno  BN terhadap rakyat dengan menaikkan harga petrol dan barangan keperluan utama sehingga rakyat hidup dalam keadaan amat terhimpit.

Katanya, selain itu, Umno BN turut mengabaikan perintah Allah dalam pemerintahannya sehingga menyebabkan munculnya pelbagai gejala sosial di tanah air.

"Untuk kepentingan sendiri termasuk untuk menyekat kebangkitan rakyat bersama PAS dan Pakatan Rakyat, para pemimpin Umno BN juga sanggup menggunakan wang rakyat," katanya ketika menyampaikan ceramah perdana malam tadi.

Dalam ceramah yang diadakan di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor  di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, beliau menegaskan, PAS sebenarnya tidak mahu berkelahi dengan Umno, tetapi hendak membawa Umno ke jalan selamat.

"PAS menyertai demokrasi pilihanraya untuk mendidik manusia ke arah kebaikan kerana membawa manusia ke jalan kebaikan itu walaupun seorang, pahalanya berpanjangan hingga ke akhirat sampai bila-bila," tegasnya.

Kini, menurut beliau, rakyat sendiri boleh menilai perbezaan Umno BN dan PAS bersama Pakatan Rakyat dengan hasrat PAS untuk memerintah negara ini dengan negara berkebajikan.

"Bagi umat Islam yang buta sejarah, mereka tentu berasa asing dengan negara berkebajikan.Tetapi bagi pemerintahan Islam, ia tidak terpisah dengan negara berkebajikan," katanya.

Konsep negara berkebajikan, jelas beliau, bagaimanapun telah dilaksanakan di negeri-negeri yang pernah diperintah oleh PAS beberapa tahun lalu iaitu di Terengganu dan Perak dan kini turut dilaksanakan di negeri-negeri yang berada dalam Pakatan Rakyat.

"Hasilnya di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, walaupun disekat dari bantuan kewangan oleh Kerajaan Pusat, tetapi tetap ternyata lebih baik dari negeri- negeri yang berada di bawah Umno BN," katanya.

Untuk membolehkan rakyat di negara ini mengetahui perkara itu dengan lebih jauh, katanya, rakyat perlu memberi peluang kepada PAS dan Pakatan Rakyat memerintah negara ini hanya untuk satu penggal.

"Kami akan tunjukkan buktinya dengan apa yang kami kata. Kepada Umno pula, bertaubatlah dan marilah bersama-sama dengan kami untuk memperjuangkan dasar Islam," ujar beliau.

Bob Lokman salahkan Umno

Sementara itu, bekas pelakon, pelawak dan penulis lirik lagu terkenal, Bob Lokman dalam ceramah ringkasnya di tempat yang sama menyuarakan kekesalannya dengan tindakan Umno yang menyesatkan umat Islam di negara ini.

"Disebabkan Umnolah, saya jauh dari PAS sehingga 25 tahun. Tapi kini saya bersyukur kepada Allah kerana diberikan kesempatan berada dalam PAS untuk bersama-sama berjuang di jalan Allah," tegasnya.

Beliau diberikan peluang berucap oleh pihak penganjur ceramah sempena Muktamar PAS Ke-57 yang berlangsuing di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad, bagi melancarkan derma jihad.

"Inilah kali pertama saya berucap di Taman Melewar ini yang dulunya Markas Tarbiyah PAS Pusat, tapi kini dah menjadi Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad.

"Tak sangka pula saya diminta berucap di sini malam ini. Saya hanya hadir untuk berrsama kawan-kawan dalam PAS di sini pada malam ini untuk mendengar ceramah," katanya bersahaja.

Antara yang turut berucap di majlis itu malam tadi termasuk Timbalan Presiden PAS yang baru, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS yang baru, Datuk Husam Musa dan dua orang Naib Presiden PAS terdahulu yang terus dipilih, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Manakala antara yang turut hadir termasuklah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang baru, Siti Zailah Mohd Yusof dan Timbalan Ketua DMPP  yang baru, Dr Siti Mariah Mahmud.

Kira-kira 10,000 ahli PAS hadir di majlis tersebut sehingga menyebabkan orang ramai bukan sahaja sekadar memunuhi dewan, tetapi bertaburan di tepi-tepi jalan raya di sekitar Kolej yang mulai dihias cantik itu.

Tiada ulasan:

Pengikut