Khamis, 19 Mei 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Orang Asal ditaja ’demo’ di Gua Musang

Posted: 19 May 2011 04:43 AM PDT

GUA MUSANG,19 Mei: Pagi semalam kelihatan dua bas disewa khas bagi membawa penduduk Orang Asal dari Kuala Betis, Jias dan Lambok berhimpun di hadapan Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang.
Selain itu beberapa orang lagi datang dengan motosikal. Jumlah keseluruhannya sekitar 100 orang yang ditaja pihak tertentu kononnya bagi membantah Ladang Rakyat.
Apakah benar isu Ladang Rakyat yang dibantah mereka, sedangkan di kawasan terbabit belum ada projek perladangan milik Ladang Rakyat dijalankan.
Penghulu Orang Asal di Gua Musang, Anjung Alang berkata, penduduk Orang Asal diangkut khas datang dari beberapa penempatan untuk berhimpun di sini semalam.
Katanya, setiap mereka diberi duit antara RM5 hingga RM10 sebagai sagu hati kerana datang ke perhimpunan tersebut.
"Isu sebenar bukan berkaitan Ladang Rakyat sebaliknya bantahan terhadap perobohan rumah ibadat yang dibina di tanah rezab kerajaan beberapa tahun lalu.
"Pihak tertentu membawa penduduk Orang Asal dari beberapa penempatan untuk berhimpun di sini dan bukan berkaitan isu Ladang Rakyat seperti dilaporkan media," katanya di sini.
Difahamkan isu perobohan sebuah rumah ibadat tersebut dibawa ke mahkamah oleh pihak tertentu dan sudah diselesaikan kerajaan negeri.
Beberapa media hari ini melaporkan seramai 500 penduduk Orang Asal dari 40 kampung di pedalaman berhimpun di hadapan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang menyerah memorandum menuntut supaya menghentikan pengambilan balik tanah adat mereka.
Penyelia Parlimen Gua Musang, Ustaz Abdullah Hussin berkata, memorandum yang diserah penduduk Orang Asal kepada kerajaan negeri pada Febuari lalu bukan berkaitan isu Ladang Rakyat.
"Isu sebenar mereka mahu kerajaan negeri mengiktiraf tanah adat untuk masyarakat Orang Asal dan tidak timbul projek perladangan di bawah Ladang Rakyat.
"Lagi pun isu syarikat yang memajukan projek Ladang Rakyat di Pos Balar sudah diselesaikan apabila tiga penduduk Orang Asal yang memiliki enam batang pokok getah disodok syarikat telah dibayar pampasan.
"Setiap seorang mendapat sebanyak RM1,200. Jadi isu tersebut tidak berbangkit lagi," katanya.
Malah kata beliau dakwaan Adun Galas, Abdul Aziz Yusof kononnya kerajaan negeri merampas tanah milik Orang Asal tidak berasas sama sekali.
Sementara itu di Kota Bharu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sehingga kini telah memberi kelulusan sebanyak 78 lot kepada penduduk Orang Asal di Gua Musang.
"Selain itu kerajaan negeri sedang berusaha mewartakan melalui Seksyen 62 Kanun Tanah Negara di empat kawasan di Gua Musang.
"Ini termasuk seluas 428 ekar di Pos Jedip, di mana susun atur dan pelannya sudah siap cuma kita hanya menunggu pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia mengukur," katanya di pejabatnya hari ini.
Selain itu, katanya sebanyak 600 ekar lagi di Pos Blau, Kuala Betis, 3,500 ekar termasuk di Tanah Tinggi Lojing akan direzabkan untuk masyarakat terbabit.
Oleh itu beliau menasihat Orang Asal tidak mudah diperalatkan pihak tertentu bagi memburukkan kerajaan negeri.
Pada April lalu Suhakam mengakui kerajaan Kelantan prihatin terhadap masyarakat Orang Asal di mana usaha sedang dilakukan bagi mewartakan kawasan penempatan mereka.

Ustaz Kasim Ahmad kembali ke rahmatullah

Posted: 19 May 2011 04:42 AM PDT

KUALA TERENGGANU, 19 Mei: Pengerusi Kelab Veteran PAS Terengganu, Ustaz Kasim Ahmad, 74, (gambar)kembali ke rahmatullah kira-kira jam 10.30 pagi tadi di rumahnya di Kampung Tuan Mandak, Pekan Batu Enam.
Beliau meninggal dunia di sisi isteri keduanya, Puan Zainab Awang, 41, dan anak-anak setelah diserang penyakit angin ahmar hampir sebulan lalu dan pernah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.
Ustaz Kasim yang juga Bendahari Dewan Ulamak PAS Terengganu meninggalkan dua balu, Puan Noraidah Sulaiman dan Puan Zainab Awang bersama 13 orang anak hasil perkongsian hidup dengan kedua-dua isterinya.
Jenazah allahyarham disembahyangkan di Masjid at-Taqwa, Pekan Batu Enam yang diimamkan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Terengganu, Datuk Husain Awang yang disertai oleh kira-kira 1,000 orang selepas solat Asar tadi dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Che Limah.
Semasa hayat, beliau yang dilahirkan pada 11 September 1937 di Kuala Rompin, Pahang pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Terengganu pada 1972 hingga 1975 dan Pengerusi Tetap PAS Pusat.
Selain pesuruhjaya negeri, beliau pernah diamanahkan sebagai setiausaha, bendahari dan ketua penerangan PAS negeri, Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun, Hulu Terengganu dan Marang.
Selain itu, beliau juga merupakan Bendahari Pembangunan Ma'ahad Darul Quran (MDQ) Rusila dan Pengerusi Koperasi Insaf Negeri Terengganu (KoINSAF).
Antara pimpinan PAS yang menziarahi allahyarham pagi tadi ialah Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Ketua dan Setiausaha Muslimat PAS negeri, Safinah Jusoh dan Raja Endun Raja Abdul Rahman, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) negeri, Dr B Chandran dan Ketua Penerangan PAS Kuala Nerus, Ustaz Ismail Dagang.
Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada enam beradik juga pernah menjadi Exco Kerajaan Terengganu pada 1972 hingga 1974 dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Marang.

Ketua Pemuda: Keputusan malam ini?

Posted: 19 May 2011 04:41 AM PDT

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Pucuk pimpinan Dewan Pemuda PAS akan mengadakan mesyuarat khas malam ini  antaranya untuk membincangkan pertandingan untuk jawatan utama dewan itu dalam muktamar akan datang.

Sehingga ini, tidak ada calon ketua pemuda yang mengesahkan pertandingan untuk jawatan yang disandang oleh Nasrudin Hassan itu. 

Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar berkata, beliau menolak untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda PAS biarpun dicalonkan.

Ketika dihubungi Harakahdaily, beliau bagaimanapun memberitahu, akan bertanding merebut kerusi timbalan ketua.

"(Bertanding) ketua pemuda tak kot, timbalan sahaja,"katanya yang juga ahli parlimen Jerai.

Selain beliau, dua lagi calon yang layak bertanding jawatan nombor satu sayap pemuda PAS itu ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS sekarang ini, Azman Shapawi Abd Rani dan Ketua Penerangan, Suhaizan Kaiat.

Azman ketika dihubungi bagaimanapun memberitahu keputusan sama ada beliau akan bertanding atau tidak jawatan tersebut, bergantung kepada keputusan rasmi Ketua Pemuda PAS sekarang ini, Nasruddin Hassan.

"Saya ambil sikap begini, kalau Ustaz Nasruddin nak kekal, saya tak lawan, saya akan bagi laluan mudah.

"Kalau dia kata nak berundur untuk diberi calon lain, saya akan lawan.

"Apapun saya tunggu pendirian rasmi Ustaz Nasruddin dahulu,"katanya.

Seorang lagi calon, Suhaizan pula berkata, beliau masih belum membuat keputusan untuk bertanding atau tidak jawatan tersebut.

"Saya belum buat keputusan lagi. Lagi pun masa panjang lagi.

"Malam ni ada mesyuarat khas pemuda, dan saya akan bincang dahulu," katanya yang juga Ketua Pemuda PAS Johor.

Sementara itu, keputusan rasmi calon yang bertanding hanya akan diketahui selepas 26 Mei ini apabila kesemua calon menjawab surat tawaran dari Jawatankuasa Pemilihan 2011.

Berikut ialah senarai penuh calon layak bertanding jawatan tertinggi Dewan Pemuda PAS Pusat sesi 2011-2013:

Ketua

1. Azman Shapawi Abd Rani, ustaz
2. Mohd Firdaus Jaafar, ustaz YB
3. Nasruddin Hassan, usaz
4. Suhaizan Kaiat 

Timbalan Ketua

1.    Ahmad Sabki
2.    Azman Shafawi
3.    Firdaus Jaafar, YB
4.    Mohd Nor Hamzah, YB
5.    Nasaruddin Hassan
6.    Nik Abduh Nik Aziz
7.    Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob
8.    Riduan Mohd Nor
9.    Suhaizan Kaiat

Naib Ketua

1.    Azman Shafawi, Ustaz
2.    Firdaus Jaafar, YB
3.    Kamaruzaman Mohamad
4.    Khairi Faizi Kamil
5.    Mohd Nor Hamzah
6.    Mohd Sany Hamzan
7.    Nasir Zakaria, YB
8.    Nik Abduh Nik Aziz
9.    Raja Ahmad Al-Hiss Raja Yaakob
10.    Riduan Mohd Nor
11.    Sabki Yusof
12.    Suhaizan Kaiat

Naib presiden: Mujahid tolak, Idris sahkan tanding

Posted: 19 May 2011 04:41 AM PDT

KUALA LUMPUR, 18 Mei: Bekas calon Naib Presiden PAS sessi lepas, Mujahid Yusof mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan itu kali ini manakala Ketua Penerangan, Idris Ahmad sahkan akan bertanding.
Dalam kenyataannya kepada Harakadaily hari ini, Idris mengesahkan beliau akan bertanding untuk jawatan itu dalam muktamar kali ini.
Dengan pengesahan ini, sudah dua calon mengesahkan bertanding iaitu Idris dan Salahudin Ayub manakala Mujahid Yusof mengesahkan beliau tidak akan bertanding jawatan itu.

Dalam kenyataan bertulisnya kepada Harakahdaily, Mujahid berkata, buat masa ini beliau belum mampu membawa pertanggungjawaban di tahap tersebut namun untuk masa hadapan "saya serahkan kepada Allah dan kepada ahli untuk menilai prestasi saya."

"Walaupun demikian saya bersetuju menerima pencalonan untuk jawatan AJK PAS Pusat dan selagi khidmat saya diperlukan saya akan terus berkhidmat untuk parti demi agama, bangsa dan negara," kata beliau.
Dalam Muktamar 2009, Mujahid bertanding jawatan naib presiden tetapi tewas. Namun begitu beliau menang jawatan AJK PAS Pusat.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub pula berkata, beliau akan mempertahankan jawatannya itu kerana menganggap tidak layak untuk bertanding jawatan yang lebih tinggi.
Seorang lagi naib presiden, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau akan mengumumkan pendiriannya Ahad ini melalui satu sidang media yang akan diadakan. Beliau kini berada di Singapura untuk menyertai satu majlis di sana.
AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman pula akan membuat keputusan 24 Mei nanti iaitu dua hari sebelum tarikh tutup pengesahan penerima pencalonan ini sebagaimana yang ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan 2011.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak juga belum membuat sebarang keputusan sehingga kini. Ketika ditanya wartawan dalam sidang medianya tengahari tadi, beliau berkata akan membuat keputusan selepas menerima surat pengesahan pencalonan dari JK Pemilih, beritahu Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid.
Selain naib presiden, Azizan juga layak untuk bertanding timbalan presiden dan juga AJK PAS Pusat.
Bekas Naib Presiden, Datuk Husam Musa juga belum membuat sebarang keputusan dan mengambil sikap tunggu dan lihat dahulu. Selain naib presiden, sebagaimana Azizan, Husam juga layak bertanding timbalan presiden dan AJK.
Ketika dicalonkan sebagai presiden oleh PAS Kawasan Bukit Bintang, Husam menolaknya dengan membuat kenyataan sokongan penuhnya kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi dan berkata beliau hanya akan bertanding AJK sahaja.
Jawatankuasa Pemilih PAS 2011 memaklumkan, 14 calon layak untuk bertanding dalam pemilihan kali ini.

Enam dari mereka turut dicalonkan untuk jawatan timbalan presiden iaitu timbalan presiden sekarang, Nasharudin Mat Isa,  Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, naib-naib presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub, ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Selain mereka, turut layak bertanding jawatan naib presiden adalah:

1. Idris Haji Ahmad (ketua penerangan)
2. Mahfuz Omar (naib presiden)
3. Mazlan Aliman (AJK PAS Pusat)
4. Datuk Mohd Amar Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan)
5. Mohd Hatta Md Ramli (Bendahari PAS Pusat)
6. Mujahid Haji Yusof Rawa (AJK PAS Pusat)
7. Nik Zawawi Nik Salleh (Ketua Peneranagn Dewan Ulamak)
8. Datuk Seri Nizar Jamaluddin (AJK PAS Pusat).

Forum Keluarga

Posted: 19 May 2011 12:03 AM PDT

Tiada ulasan:

Pengikut