Khamis, 28 April 2011

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

DIALOG RAKYAT

Posted: 28 Apr 2011 03:27 PM PDT

Keterangan saksi tidak konsisten punca utama SPRM kalah kes

Posted: 28 Apr 2011 07:08 AM PDT

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Antara punca utama kekalahan kes rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mahkamah adalah disebabkan saksi-saksi pendakwaan tidak memberi keterangan yang konsisten.

SPRM dalam Laporan Tahunan 2010, berkata terdapat juga saksi-saksi yang enggan memberi keterangan dan berpaling tadah sama ada kerana tertuduh adalah pihak yang berkepentingan dengannya atau saksi takut akan keterangannya boleh mendatangkan implikasi negatif terhadap diri dan mata pencariannya.

Ini adalah antara hasil kajian Panel Khas SPRM yang ditubuhkan untuk mengkaji kekalahan kes perbicaraan kes-kes rasuah dan isu-isu saksi belot atau berpaling tadah semasa memberi keterangan di mahkamah.

"Kebanyakan saksi pendakwaan dalam kes rasuah adalah saksi-saksi yang diminta untuk bekerjasama memberi keterangan dan bukannya tampil secara sukarela.

"Keterangan saksi di mahkamah adalah di luar kawalan pihak pendakwaan dan SPRM," kata laporan itu.

Menurut laporan itu, antara langkah yang diambil untuk menangani masalah saksi belot atau berpaling tadah ialah dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Sebagai contoh katanya, dalam kes bekas Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Norza Zakaria dan ejennya Halimi Kamaruzaman, sembilan orang saksi pendakwaan yang belot atau berpaling tadah dituduh mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan kerana memberi keterangan palsu.

SPRM berkata, tindakan sedemikian boleh memberi pengajaran kepada saksi-saksi yang berkecenderungan melakukan perbuatan yang sama.

Selain itu, SPRM berkata, terdapat juga masalah kekurangan Timbalan Pendakwa Raya atau Pegawai Pendakwa yang berpengalaman untuk menghadapi barisan peguam bela yang berpengalaman, peguam senior dan sangat mahir mengendalikan kes-kes rasuah.

Katanya, usaha sudah dibuat untuk menempatkan Timbalan Pendakwa Raya yang mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman sebelum mengendalikan kes-kes rasuah.

"Namun, kefahaman hakim Mahkamah Sesyen atau Majistret mengenai kaedah dalam penyiasatan dan pembuktian kes-kes rasuah juga menjadi faktor di mana banyak kes di Mahkamah Rendah didapati tidak memihak kepada pihak pendakwaan," kata laporan itu.

Laporan itu berkata, analisis berkenaan adalah berdasarkan statistik 2010 di mana terdapat 31 kes yang asalnya diputuskan tiada kes prima facie oleh Mahkamah Rendah diperintahkan membela diri oleh hakim Mahkamah Tinggi selepas rayuan didengar.

Anwar beri keterangan, enggan sumpah laknat

Posted: 28 Apr 2011 05:35 AM PDT

Beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira 2.40 petang tadi diiringi tiga buah kereta yang dipenuhi keluarga serta pemimpin PKR.


KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hadir memberi keterangan berhubung isu video seks yang didakwa dikaitkan dengan dirinya.

Anwar tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira 2.40 petang tadi diiringi tiga buah kereta yang dipenuhi keluarga serta pemimpin PKR.

Turut hadir menemani Anwar, isterinya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anak sulungnya Nurul Izzah, Pengarah Biro Komunikasi Nik Nazmi Nik Ahmad.

Turut hadir Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, dan peguam mewakili Anwar yang juga Ahli Parlimen PKR Subang R Sivarasa.

Anwar hadir memberi keterangan kali kedua kepada polis berkenaan siasatan video lucah yang ditayangkan kepada media di Carcosa Seri Negara 21 Mac lalu. Keterangan pertama diberikannya pada 22 Mac lalu.

Selepas kira-kira sejam selesai memberikan keterangan, Anwar ketika ditemui pemberita berkata beliau turut membuat laporan polis berhubung klip video seks kedua berdurasi 1minit 47 saat yang disebarkan semalam melalui beberapa blog dan You Tube yang bertajuk "Papa Nurul Izzah Part II".

Beliau menegaskan, "pengedaran video lucah secara terangan dan saya percaya polis memberikan perlindungan kepada penyebarnya.

"Jika tidak mustahil bab kedua boleh disebarkan tanpa apa-apa tindakan…..saya dah maklumkan kepada pihak polis…… ini adalah satu jenayah penyebaran bahan lucah diadakan tanpa apa-apa rasa tekanan polis," katanya.

Selain itu, beliau turut membuat laporan polis berhubung ugutan salah seorang trio 'Datuk T' Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang mengugut dirinya dan Azizah supaya mengundurkan diri daripada dunia politik jika tidak mahu video seks tersebut disebarkan.

"Motif politik umno ini memang jelas ada…..ternyata Umno dan pemimpinnya (Datuk Seri) Najib Tun Razak harus menjawab kenapa jenayah dan porno menjadi strateginya untuk mempertahankan kuasa termasuk menggunakan akhbar Utusan dan blog Agenda Daily menjadi perkakas menyebarkan fitnah, menghina, dan mencalarkan maruah keluarga," katanya.

Anwar enggan sumpah laknat

Sementara itu, ketika ditanya tentang cabaran Eskay supaya bersama-sama hadir untuk bersumpah laknat di Masjid Amru Al Ash, Bandar Baru Sentul esok, Anwar bertegas enggan melakukannya memandangkan mengikut hukum syariah, seseorang yang mengangkat sumpah mubahalah harus bebas daripada dosa besar iaitu tidak pernah minum arak dan berzina.

Namun Anwar kelihatan berang apabila menerima soalan bertubi-tubi daripada wartawan termasuk mempersoalkan kesediaannya untuk memberikan sampel DNA kepada polis seperti yang dilakukan Eskay semalam serta misteri jam tangan Omega miliknya.

"DNA apa yang perlu saya beri? Kenapa saya perlu bersumpah? Saudari orang Islam? Sekarang saya tanya saudari ikut hukum mana yang saya perlu bersumpah? Tak boleh jawab bukan?," soalnya sebelum meninggalkan perkarangan IPD Dang Wangi.

Sementara itu, Sivarasa ketika ditemui berkata, pegawai penyiasat DSP Shanmugamoorthy telah menyoal siasat Anwar sepanjang keterangan diberikan manakala ASP Asrul merekodkan kenyataan beliau.

Katanya, sepanjang sesi soal siasat wujud beberapa soalan yang tidak relevan ditanya polis kepada Anwar dan dakwanya soalan tersebut kemungkinan 'sudah dirancang' pihak tertentu untuk memerangkap dan mengenakan Anwar.

"Ada beberapa soalan yang tidak berkenaan Anwar tidak jawab kerana tidak perlu. Apa soalan yang ditanyakan itu kita tak boleh dedahkan kerana ia masih dibawah siasatan polis," katanya yang tidak pasti sama ada polis akan memanggil Anwar sekali lagi untuk memberikan keterangan lanjut.

Sementara itu, PKR dijangka akan mengadakan sidang media esok berhubung klip video seks kedua yang disebarkan di ibu pejabat PKR di Tropicana Petaling Jaya 12 tengahari esok.

Pembantu khas Zahid Hamidi maut dalam kemalangan

Posted: 28 Apr 2011 05:09 AM PDT

BERNAMA

Ahmad Shaari Abdul Rani, pembantu khas Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, terbunuh apabila motosikal berkuasa besar yang ditungganginya terbabas di KM 83.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian pada 3.30 petang itu, Ahmad Shaari, 55, yang menunggang motosikal 1100 cc sedang dalam perjalanan ke Langkawi untuk menghadiri kursus di sana mulai esok.

Jurucakap polis berkata kejadian berlaku ketika hujan lebat.

Ahmad Shaari meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani.

SPRM syor biayai politik atas nama parti

Posted: 28 Apr 2011 04:56 AM PDT

MALAYSIA KINI

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyorkan supaya pembiayaan politik dibuat atas nama parti dan dimasukkan ke dalam akaun parti dan bukan akaun individu bagi memastikan perbelanjaan secara telus dan mengelak peluang rasuah dan penyelewengan.

Menurut Laporan Tahunan 2010 SPRM, pembiayaan politik di negara ini juga harus direkodkan dengan sempurna dan diaudit pada setiap akhir tahun kewangan agar tidak menimbulkan persepsi amalan rasuah dalam kalangan masyarakat.

Laporan itu menyebut tindakan susulan telah diambil oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dengan mengkaji semula dan mendraf peraturan atau garis panduan mengenai prosedur sumbangan politik.

Pindaan yang dicadangkan melibatkan Seksyen 14 Akta Pertubuhan yang menyatakan apa-apa sumbangan kepada parti politik hendaklah dibuat atas nama parti politik tersebut dan tidak boleh sama sekali dibuat atas nama individu.

"Setiap Bahagian (parti) adalah bertanggungjawab untuk memastikan apa-apa sumbangan yang diterima dimasukkan ke dalam akaun parti, direkodkan dan dikeluarkan perakuan penerimaan serta digalakkan mengaudit akaun dengan juruaudit bertauliah pada setiap tahun kewangan berakhir," menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, pemeriksaan yang telah dijalankan dengan kerjasama daripada Bahagian Pemantauan dan Penyelerasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) - Perangi Rasuah, mendapati pembiayaan politik di negara ini dibuat secara tidak telus dan boleh membuka peluang rasuah dan penyelewengan.

Berhubung pengagihan rumah kos rendah yang tidak adil di Ara Damansara seperti yang dilaporkan media pada tahun lepas, SPRM berkata, pemeriksaan mendapati seramai 22 pegawai dan kakitangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperoleh rumah kos rendah itu.

Lebihan rumah kos rendah itu tidak dilaporkan oleh pemaju kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) bagi mendapatkan tambahan peserta.

SPRM mencadangkan pemilik rumah kos rendah yang dipilih oleh pemaju hendaklah didaftarkan dengan LPHS dan mana-mana pemaju yang gagal berdaftar hendaklah dikenakan kompaun dengan kadar lebih tinggi berbanding sekarang.

"Pihak berkuasa juga harus memasukkan klausa penguatkuasaan denda terhadap pemaju yang tidak mendaftarkan mana-mana pemilik yang berjaya dipilih oleh pemaju dalam Dasar Perumahan kos Rendah dan mewujudkan sistem 'networking' antara pemaju dan LPHS bagi memantau pembinaan rumah kos rendah di Selangor," kata laporan itu.

Susulan itu, LPHS telah mengemukakan cadangan yang diberikan oleh SPRM kepada Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Selangor untuk diambil tindakan bagi mewartakan keseluruhan enakmen berkaitan rumah kos rendah.

Pemeriksaan SPRM dalam pembekalan Skim Subsidi Diesel dan Petrol kepada nelayan pula mendapati kerajaan terpaksa menangung ketirisan yang serius dianggarkan minimum lima peratus pada setiap tahun bagi tempoh lima tahun.

Menurut laporan tahunan itu, sebanyak 5.32 bilion diesel disalurkan kepada nelayan dari 2006 hingga 2010 dan kerajaan menanggung kerugian RM479 juta bagi tempoh lima tahun itu.

Susulan itu, Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM bertindak menjalankan kajian menyeluruh terhadap sistem dan prosedur sedia ada bagi mengenal pasti kelemahan yang wujud dan seterusnya mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan bagi mengekang salah laku.

Kajian itu merangkumi aspek-aspek berkaitan dasar pemberian kuota, permohonan, pemprosesan dan kelulusan kad pintar e-nelayan, pesanan, penghantaran dan penerimaan bekalan diesel bersubsidi, urus niaga pembelian dan penjualan diesel bersubsidi dan pemantauan dan penguatkuasaan.

"Tugasan ini diteruskan dalam tahun ini," menurut laporan itu.

Laporan itu menyebut fenomena itu secara tidak langsung mengakibatkan usaha dan matlamat kerajaan untuk membantu golongan sasar tidak tercapai.

Skim Subsidi Diesel dan Petrol yang dikendalikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia diperkenalkan bagi membantu menampung sebahagian kos operasi menangkap ikan akibat kenaikan harga diesel dan petrol kepada nelayan.

PKR gantung Murali

Posted: 28 Apr 2011 04:55 AM PDT

Harakahdaily

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggantung keanggotaan Murali a/l Subramaniam dari Cabang Puchong berkuatkuasa serta-merta.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata, jawatankuasa telah menerima aduan daripada empat anggota PKR pada tahun 2010 dan setelah mengadakan pendengaran dan mendapat penjelasan daripada S. Murali, secara sebulat suara mendapati beliau bersalah atas beberapa dakwaan.

Jelasnya, kesalahan itu kerana mengkritik kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor mengenai peruntukan Kerajaan Selangor terhadap Sekolah-Sekolah Tamil di dalam media, merusuh atau mengganggu perjalanan dialog yang dipengerusikan Dr. Halimah Ali, Exco Kerajaan Negeri Selangor di Annexe SUK Selangor serta mengetuai sekumpulan orang menyerang Kumareval a/l Subrayan dalam dialog tersebut dan bersikap kasar terhadap Teresa Kok ketika beliau melawat Sekolah Tamil di Puchong.

"Justeru, keputusan Jawatankuasa Disiplin tentang Sdr Murali telah dimaklumkan kepada Biro Politik pada 27 April 2011, dan dengan menggunakan kuasa yang diberikan oleh Majlis Pimpinan Pusat, Biro Politik memutuskan untuk menggantung keanggotaan Murali dengan serta-merta," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Kelantan failkan permohonan dokumen daripada Petronas

Posted: 28 Apr 2011 04:53 AM PDT

Rizal Tahir

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan telah memfailkan satu notis penzahiran kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkan kerajaan negeri memperolehi 38 data atau dokomen dari Petronas.

Permohonan itu telah didaftarkan oleh peguam kerajaan negeri Tommy Thomas dua minggu lalu bagi menguatkan hujah serta bukti terhadap kerajaan negeri untuk mendapatkan royalty dari Petronas.

Pengerusi Jawatankuasa Tuntutan Royalti Petroleum, Datuk Husam Musa, ketika memberitahu Harakahdaily berkata antara 38 dokumen itu termasuk pengagihan wang daripada telaga minyak, penyata akaun dan lain-lain.

"Kita memerlukan data-data itu bagi menguatkan saman untuk membolehkan kerajaan negeri mendapatkan royalti yang dituntut melalui mahkamah.

"Kita telah memfailkan notis penting ini dua minggu lalu oleh peguam kita, Tommy Thomas kerana kita berhak untuk mendapatkan penzahiran notis itu,"ujarnya yang juga anggota exco kerajaan negeri.

Difahamkan kerajaan negeri melalui peguamnya terpaksa memohon notis tersebut melalui mahkamah berikutan kegagalan pihak kerajaan negeri mendapatkan notis itu dari Petronas sebelum ini.

Sebelum ini kerajaan negeri Kelantan telah menyaman Petronas kerana tidak membayar royalti kepada kerajaan negeri Kelantan sebagaimana perjanjian yang dibuat antara kerajaan negeri dan Petronas.

Namun begitu, baru-baru ini kerajaan Pusat memohon kepada mahkamah untuk menjadi defendan dalam kes ini dan dibenarkan mahkamah.

Tiada hak rampas selipar, apatah negeri berdaulat

Posted: 28 Apr 2011 04:17 AM PDT

Harakahdaily

KOTA BHARU: "Saya katakan, sepasang selipar pun tidak ada sesiapa yang berhak merampasnya dari tuannya yang asal, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat.

"Insya Allah, harapan saya mesej ini sampai kepada dunia," tulis Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di laman twitter.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menyatakan demikian yang menyentuh mengenai isu Palestin selepas selesai mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Paul W Jones di pejabatnya di sini, tengah hari ini.

Menurutnya, banyak perkara yang dibincangkan dengan duta berkenaan seperti isu pendidikan, senario politik di Malaysia dan lain-lain.

"Tidak lupa saya tegaskan pendirian saya terhadap isu Palestin dan rasa tidak puas hati dengan polisi Amerika Syarikat di Palestin," tulis beliau lagi.

Video seks: Polis soal siasat Anwar kali ke-2

Posted: 28 Apr 2011 04:15 AM PDT

Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang ini hadir ke IPD Dang Wangi untuk dirakam kenyataan berhubung laporan polisnya berkaitan video seks yang ditayangkan di Hotel Carcosa Seri Negara, bulan lalu.

Beliau yang berbaju kameja biru berkot kelabu cair dilihat tiba di sini kira-kira jam 2.50 petang.

Turut menemani beliau hari ini adalah isteri dan anaknya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah serta peguamnya, R.Sivarasa Rasiah.

Ini adalah kali kedua Anwar akan memberi kenyataan berhubung perkara tersebut selepas kali pertama 22 Mac lalu apabila beliau membuat laporan polis selepas video yang memaparkan aksi seks seorang lelaki, ditayangkan di hotel mewah itu pada 21 Mac lalu.

Anwar telah pun menafikan lelaki itu dalam video tersebut adalah beliau.

Beliau berkata, penayangan video berkenaan merupakan konspirasi yang pasti melibatkan golongan atasan.

Beliau juga mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengetahui mengenai video lucah itu.

Selain peguam, turut mengiringi beliau adalah Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sementara itu lebih 30 petugas media menunggu di sini sejak jam 2.00 petang tadi.

Difahamkan satu sidang media akan diadakan sejurus selepas soal siasat selesai.

Media berbohong dakwa Kelantan rampas tanah

Posted: 28 Apr 2011 04:15 AM PDT

M Faqih
KUALA KRAI: Mungkin ramai terpengaruh dengan laporan media yang mendakwa kononnya kerajaan negeri merampas tanah yang diteroka penduduk di Kampung Jeram Panjang, Mukim Manjor.

Lebih-lebih lagi apabila dipaparkan visual lelaki dan perempuan tua menangis seperti disiarkan RTM melalui slot berita perdana, baru-baru ini.

Tahukah anda, tidak pernah berlaku sebarang rampasan tanah seperti didakwa media massa, sebaliknya penduduk terbabit didakwa menceroboh hutan simpan kekal (HSK).

Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim berkata, penduduk yang menceroboh HSK tersebut telah diberi beberapa kali peringatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri, namun mereka tidak mengendahkan.

Katanya, HSK di mana-mana negeri sekali pun tidak boleh diceroboh kerana ia merupakan zon penampang.

"Jabatan Perhutanan Negeri sejak dari awal lagi melarang penduduk meroboh kawasan tersebut. Renjer Hutan sudah beberapa kali memberi amaran dan menghalang mereka namun tidak diendahkan.

"Sebaliknya seramai 18 penduduk berdegil dan menanam pokok getah di kawasan HSK di Mukim Manjor," katanya di sini.

Menurutnya juga Jabatan Perhutanan melaksanakan program penanaman getah jenis klon di kawasan tersebut bagi tujuan melestari alam sekitar termasuk di kawasan yang diceroboh penduduk.

Kata beliau syarikat yang mendapat tender menanam getah jenis klon di kawasan tersebut telah menandakan kawasan yang akan dilaksanakan program berkenaan.

"Bagi menyelesaikan masalah dengan penduduk, Jabatan Perhutanan telah memanggil kesemua 18 orang yang menceroboh kawasan HSK terbabit.

"Perjumpaan itu diadakan awal tahun ini bertempat di Taman Tengku Anis, Cabang Tiga Sungai Syam yang mana saya juga hadir. Selain itu anggota polis dari Balai Polis Laloh, Renjer di Manek Urai dan Jabatan Perhutanan Negeri.

"Pada perjumpaan tersebut syarikat yang diberi tanggungjawab melaksanakan program menanam getah klon bersetuju membayar pampasan kepada penduduk mengikut batang getah yang ditanam.

"Penduduk yang hadir bersetuju dan telah menerima bayaran mengikut bilangan pokok getah yang ditanam. Namun hari ini mengapa pula media cuba membohongi perkara sebenar yang berlaku," ujarnya.

Beberapa akhbar hari ini melaporkan penduduk yang mengusahakan kebun getah dan dusun buah-buahan di Kampung Jeram Panjang mendakwa tanah diteroka sejak 40 tahun lalu dirampas kerajaan negeri.

Dilaporkan 30 penduduk berdepan dengan kerugian apabila pokok getah yang mereka tanam akan ditebang bila-bila masa sahaja bagi membolehkan pembangunan Ladang Rakyat dijalankan.

Oleh itu Arifabillah bercadang mengambil tindakan mahkamah ke atas media yang menyembunyikan fakta sebenar sehingga memperlihatkan kerajaan negeri merampas tanah rakyat.

"Saya sungguh kecewa dengan laporan akhbar dan televisyen yang menyembunyikan cerita sebenar. Ini bukan pertama kali berlaku.

"Isu ini sengaja diputar belit oleh pihak ketiga yang mengharap mendapat imbalan politik secara tidak bermaruah," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, pihaknya tidak pernah melaksanakan projek perladangan di kawasan berkenaan.

Katanya, apa yang disiarkan media adalah tidak benar sama sekali dan perkara itu disahkan Pejabat Tanah dan Galian Negeri.

Rasuah: SPRM perlu tegas pada pihak atasan

Posted: 28 Apr 2011 04:09 AM PDT

Aziz Muda

KUALA LUMPUR-: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta bertindak lebih tegas dan adil dalam menangani masalah rasuah di negara ini, dengan turut mengambil tindakan terhadap pihak atasan atau menteri-menteri yang terbabit dalam rasuah.

Sekiranya tangkapan yang dilakukan hanya membabitkan para penjawat awam dan pihak-pihak lain yang terbabit, tindakan yang dilakukan tidak akan memberikan kesan yang diharapkan kerana pihak atasan yang terbabit terlepas begitu sahaja tanpa mendapat pengajaran yang sewajarnya.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) menegaskan, sebaliknya, sekiranya tindakan ke atas pihak atasan yang terbabit tidak dilakukan, kenyataan SPRM bahawa mereka sudah semakin berjaya mengatasi masalah rasuah di negara itu tetap meragukan.

Menurut beliau, malah pengakuan kejayaan itu hanya boleh ditertawakan oleh orang ramai kerana ia tidak boleh dikategorikan sebagai berjaya selagi tindakan tersebut hanya terbatas kepada para penjawat awam sahaja.

Katanya, sedangkan masalah rasuah terbesar di negara ini diyakini membabitkan pihak atasan atau para menteri dan ia antara lain boleh dirujuk dalam kes kehilangan wang sebanyak RM800 billion dalam aliran keluar wang negara sejak 10 tahun lalu.

"Kehilangan wang sebanyak itu tentunya termasuk dalam kategori rasuah. Perbuatan itu tentunya turut membabitkan menteri-menteri. Tetapi kenapa SPRM tidak bertindak ke atas menteri-menteri terbabit?" katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan SPRM hari ini yang membuat 944 tangkapan, berhubung kesalahan rasuah sepanjang tahun lepas, yang juga merupakan tangkapan tertinggi dalam sejarah sejak agensi pencegahan rasuah diwujudkan pada 1967.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 414 atau 43.8 peratus tangkapan adalah di kalangan pemberi rasuah dan ia merupakan peningkatan ketara berbanding tangkapan terhadap penerima rasuah seperti yang dicatatkan tahun-tahun sebelumnya.

"SPRM memaklumkan bahawa buat pertama kali juga jumlah orang yang ditangkap kerana memberi rasuah dengan orang yang ditangkap kerana menerima rasuah sudah bersilang.

"Ini merupakan satu peningkatan yang besar hasil daripada usaha kerajaan meningkatkan kesedaran di kalangan pegawai-pegawai perkhidmatan awam untuk mengambil tindakan atas mereka yang memberi rasuah," katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

Beliau dilaporkan berkata demikian pada sidang media selepas menyerahkan buku laporan tahunan SPRM kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah tangkapan yang berbeza terhadap mereka yang memberi berbanding yang menerima rasuah juga merupakan satu indikator tentang peningkatan integriti di kalangan pegawai-pegawai perkhidmatan awam bertambah baik sejak kempen 'Hindar Menerima: Perangi Pemberi Rasuah'dilancarkan pada 26 April tahun lepas.

Mengulas perkara itu dengan lebih lanjut, Mujahid berkata, kenyataan SPRM itu juga, walaupun dikatakan satu kejayaan, tetapi ternyata masih begitu mengelirukan kerana ia tidak dinyatakan kes-kes tangkapan secara nyata dan jelas.

"Begitu juga dengan jumlah rasuahnya. Berapakah jumlahnya? Adakah hanya RM1, RM2, beberapa ringgit, puluhan ringgit atau ratusan ringgit sahaja. Sedangkan rasuah yang membabitkan para menteri jauh berlipat kali ganda lebih besar daripada jumlah itu tetapi kenapa tak diambil tindakan, tak ditangkap dan tak dihadapkan ke muka pengadilan untuk dikenakan hukuman?

"Jadi dengan itu, pengakuan kejayaan SPRM itu tentunya meragukan kerana ia ternyata hanya membabitkan para penjawat awam atau pihak-pihak lain sahaja, tetapi tidak menyeluruh sehingga ke peringkat atasan atau para menteri," tegasnya yang juga ahli Parlimen Parit Buntar.

Misteri Tisu Dalam Video Lucah Babak Dua

Posted: 28 Apr 2011 04:03 AM PDT

TVS NEWS
SHAH ALAM : Sejurus selepas video lucah babak kedua Datuk T dinaikkan di Youtube semalam, pelbagai "kecacatan" mengenai rakaman itu terdedah, sama seperti video babak satu yang disebarkan sebelum ini untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain wajah pelaku utama video 1 minit 46 saat itu yang berjudul 'Papa Nurul Izzah Part II' tidak jelas, susuk badan pelaku dan gaya rambutnya terus menguatkan hujah bahawa Datuk T dan juak-juak Umno termasuk media arus perdana menabur fitnah yang begitu jijik sekali.

Faktor paling menonjol dalam klip terbaru adalah visual yang jelas menunjukkan seorang individu membaling kertas tisu ketika orang yang dikatakan mirip Anwar memakai seluar dalamnya.

Sebelum itu pelaku dalam video seks dilihat bersedia memakai seluar dalamnya apabila beliau tiba-tiba berhenti, meletakkan kembali seluar dalam itu di atas katil.

Beliau kemudiannya mengambil kotak tisu di meja bersebelahan katil untuk diserahkan kepada seseorang yang tidak kelihatan.

Ketika ini rakaman menunjukkan wanita berkenaan menuju ke bilik air.

Jelas kelihatan dalam video - segumpal tisu kemudian dilontar - mungkin disasarkan ke dalam tong sampah yang berhampiran terletak di bawah meja.

Pelacur pada masa ini berada di dalam bilik air.

Gumpalan tisu yang dilontar itu jelas kelihatan pada saat 0:45 hingga 0:47 dalam video yang disunting itu.

Ia menjadi petunjuk penting kehadiran orang ketiga dalam bilik itu, sekurang-kurangnya ketika pelaku yang dikatakan mirip Anwar dan wanita berada dalam keadaan bogel.

Persoalannya adakah logik Anwar membiarkan orang lain melihatnya berbogel malah melakukan aksi seks dan kemudian menawarkan kertas tisu kepada individu berkenaan.

Dalam video pertama yang dimuatkan di Youtube 4 April lalu, bayang-bayang yang begitu ketara di dinding bilik mengundang hujah, kamar berkenaan diterangkan dengan lampu perfileman.

Kamera night vision pula digunakan untuk mendapatkan rakaman hitam putih yang hanya menunjukkan wajah pelaku secara samar-samar.

GMI Kerjasama Dengan Selangor Kempen Mansuhkan ISA

Posted: 28 Apr 2011 04:01 AM PDT

Ditulis oleh Ayie

SHAH ALAM : Usaha kerajaan negeri Selangor untuk memasang 56 papan iklan Kempen Selamatkan Malaysia : Mansuhkan ISA di seluruh negeri mendapat sokongan penuh Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh.

Beliau yang memperjuangkan gerakan kempen mansuhkan ISA sejak 2001 lagi percaya bahawa Pakatan Rakyat mampu meyakinkan rakyat bahawa ISA adalah sebuah akta zalim yang tidak relevan lagi pada masa kini.

Malah ia menandakan satu transformasi menyeluruh bakal dilakukan oleh Pakatan Rakyat apabila gagasan itu mentadbir Putrajaya kelak.

"Saya sangat sambut baik saranan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri Selangor dan ianya bermula daripada cadangan kami melalui YB Saari Sungib yang telah buat usul supaya menubuhkan sekretariat untuk membantu menggerakkan kempen mansuhkan ISA," kata Syed Ibrahim.

Kempen pemasangan iklan ini selari dengan Buku Jingga yang diterbitkan Pakatan Rakyat yang meletakkan agenda mansuhkan ISA sebagai agenda kedua.

Syed Ibrahim juga tidak menolak sekiranya desakan terus dilakukan oleh Pakatan Rakyat, ia mampu memberi tekanan hebat kepada kerajaan Persekutuan untuk menghapuskan akta zalim ini.

"Kita tahu Pakatan Rakyat sekarang menguasai 5 negeri, oleh kerana itulah kita lihat sekiranya ada tekanan begini dari kerajaan negeri PR, ia akan memberi satu mesej yang jelas dan kesedaran kepada masyarakat bahawa ini bukan isu kecil tetapi memerlukan satu pandangan dan usaha yang serius,"tambahnya lagi.

Jelas beliau, sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah berkata pada tahun 2009 bahawa beliau akan mengkaji semula akta ini, namun sehingga kini tiada apa-apa pembentangan yang dibuat di Parlimen.

Beliau ketika dihubungi TV Selangor turut menyatakan bahawa GMI akan memberikan sepenuh kerjasama untuk menjayakan lagi kempen ini.

Semalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan peruntukan lebih RM600,000 untuk memasang 56 papan iklan Kempen Selamatkan Malaysia: Mansuhkan ISA di seluruh negeri Selangor.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, papan iklan Selamatkan Malaysia: Mansuhkan ISA ini akan dipasang di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan.

Peguam Bantah Penguatkuasaan Ordinan Darurat Ke Atas Remaja 19 Tahun

Posted: 28 Apr 2011 03:58 AM PDT

TVS NEWS

PETALING JAYA : Lawyer for Liberty (LFL) membantah keras penguatkuasaaan undang-undang Ordinan Darurat di negara ini yang disifatkan zalim dan kejam.

Ini berikutan penahanan seorang remaja, Mohamad Arif Abu Samah, 19 tahun di bawah Seksyen 3 Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 yang membenarkan penahanan tanpa bicara selama 60 hari.

Menurut Peguamcara LFL, Fadiah Nadwa Fikri, penggunaan undang-undang ini begitu kejam dan zalim memandangkan remaja terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah untuk disabitkan kesalahan.

"Dalam kes ini kita dapat lihat betapa kejamnya Ordinan Darurat ini digunakan kepada rakyat Malaysia terutamanya dalam kes-kes yang telah kita dokumentasikan
dan diikuti berhubung penahanan-penahanan remaja yang berumur bawah 21 tahun yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.

Mohamad Arif ditahan di rumahnya di Selayang pada 8 Mac 2011 pada jam 5.00 pagi setelah didatangi oleh tiga individu yang memperkenalkan diri sebagai polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak kerana didakwa terlibat dalam kegiatan mencuri motosikal.

Beliau menambah, pihak keluarga hanya menerima notis tangkapan di bawah Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (KA & MJ) No. 5/69 pada 18 Mac, 10 hari selepas Arif ditahan.

Didalamnya tercatat bahawa Arif ditahan di tepi jalan Besar Bukit Idaman, Batu Caves dan tarikh 8 Mac.

"Bayangkan dengan apa yang berlaku di bawah Ordinan Darurat. Ini bermaksud semua semua yang disyakki tidak dibawa ke mahkamah dan mereka tidak mempunyai peluang untuk menerangkan apa sebenarnya berlaku," ujar beliau.

Lebih mengejutkan, pihak keluarga menerima satu panggilan yang dikatakan dari pihak polis yang meminta pihak keluarga menyediakan wang sejumlah RM 15,000
sekiranya ingin Arif dibebaskan.

Malah ujarnya, keluarga yang melawat Arif turut dimaklumkan oleh remaja berkenaan bahawa beliau telah dipukul menggunakan wayar, batang besi dan batang paip
supaya mengakui kesalahan terbabit.

Bapa tahanan, Abu Samah Ab. Rahim, ketika ditemui pemberita ternyata kecewa dengan tindakan polis yang menyerbu rumahnya tanpa sebarang notis dan ia jelas satu penganiayaan kepada keluarganya.

"Pada 21 Mac, saya berjumpa dengan ASP Tuan Mohd Fadhil Mihat saya menyatakan kenapa anak saya dikenakan macam ini (penahanan tanpa bicara 60 hari)? Dia kata anak saya mengaku. Kalau anak saya mengaku mencuri kenderaan mengapa tidak disabitkan kesalahannya, kalau sekiranya anak saya melakukan kejadian sedemikian rupa.

"Kenapa dan mengapa anak saya ditahan di bawah Ordinan Darurat? Itu yang membuatkan saya menjadi serba salah ke mana hala tuju yang seharusnya saya tuju," katanya lagi.

Mohamad Arif merupakan anak ke-2 daripada tiga adik beradik kini ditahan di Lokap Balai Polis Rawang dan pihak keluarga hanya dibenarkan melawat pada setiap Jumaat mulai jam 11.30 pagi hingga jam 12.00 tengahari dalam tempoh 15 minit.

Mufti, Tokoh Agama Tolak Sumpah Laknat Eskay Mahu Qazaf Ditegakkan (Kemaskini)

Posted: 28 Apr 2011 03:51 AM PDT

Ditulis oleh Shakira Buang

SHAH ALAM : Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay hari ini mengaku hanya beliau seorang sahaja akan mengambil sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul esok untuk memperkuatkan dakwaan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video lucah yang disebarkannya.

Eskay tidak memberitahu kenapa Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim enggan bersama beliau untuk mengambil lafaz itu, tetapi menegaskan beliau berbuat demikian kerana "agama, bangsa dan negara."

Eskay turut mencabar Anwar untuk mengambil sumpah itu bersamanya di Masjid Amru al-Aas, Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat esok.

Bagimanapun dua tokoh agama iaitu Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Dr Badrulamin Bahrom berkata cara terbaik menyelesaikan isu video lucah adalah mengikut syariat Islam iaitu dengan menfailkan pertuduhan qazaf.

"Kalau semua orang boleh bersumpah (laknat) saja, ramai orang yang boleh melakukannya. Takut apa sumpah ini," kata Tan Sri Harussani kepada TvSelangor.

"Selepas dia membuat tuduhan orang itu berzina, dia perlu kemukakan bukti bukannya bersumpah.

"Menuduh orang berzina itu maknanya Qazaf, qazaf ini bukan bersumpah tetapi perlu bawa bukti," tambah beliau.

Pada 4 April lalu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) menfailkan pertuduhan qazaf terhadap Datuk T dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Anwar sendiri sebelum ini bersetuju hukum qazaf adalah cara terbaik untuk menangani dakwaan-dakwaan yang disebarkan oleh Datuk T dan pihak lain untuk mengaibkan beliau sekeluarga dan sekali gus menghancurkan karier politiknya.

Penceramah bebas Badrulamin menegaskan sumpah laknat jelas tidak sesuai digunakan dalam isu video lucah dan ia akan hanya mengusutkan keadaan.

"Sumpah laknat dalam kes video seks ini tidak menurut ajaran Islam dan hanya menurut logik dan akal manusia. Ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang sedang berleluasa dalam masyarakat kerana andai kata kedua-dua pihak sanggup bersumpah ia tidak akan selesaikan sebarang masalah," kata beliau.

"Jika kita hendak menghentikan fitnah yang sedang melanda ummat ini hanya ada satu jalan iaitu melaksanakan hukum Qazaf," kata beliau.

Eskay berkata gadingan Datuk T bertekad "tidak akan membenarkan orang bernama Anwar yang merupakan pelaku seks menjadi pemimpin negara Islam."

Mengulas lanjut sumpah laknat yang bakal dilakukan oleh Eskay, Harunsani berkata cara itu selalunya membabitkan pertuduhan zina antara suami isteri.

"Selalunya orang yang membuat sumpah laknat ini adalah kalau pertuduhan Li'an iaitu suami tuduh isteri.

"Qazaf ini, kalau dia(trio 'Datuk T') tidak boleh mengemukakan bukti, ikut hukum Islam dia (trio 'Datuk T') yang kena sebat. Itu saja hukumnya. Sebab itu tidak semudah ini untuk menghukum orang berzina," kata Harussani.

Badrulamin berkata Menteri yang bertanggung jawab mengenai hal ehwal Islam, Jamil Khir Baharom sepatutnya mengusulkan gadingan Datuk T untuk disiasat mengikut hukum qazaf dan bukannya menyokong tindakan membuat sumpah laknat.

"Jamil Khir sepatutnya menyokong pelaksanaan hukum qazaf bukan sebaliknya menutup fail yang diajukan kepada mahkamah syariah dibawah kes qazaf dan menyuburkan pula budaya sumpah menyumpah ini," tegas beliau.

Johari : Juak Umno Perhebatkan Usaha Fitnahkan Anwar

Posted: 28 Apr 2011 03:47 AM PDT

TVS NEWS

SHAH ALAM : Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul yakin juak-juak Umno akan terus memuatkan klip-klip dari video lucah ke Youtube untuk terus mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun taktik itu akan ditolak oleh masyarakat Melayu yang cuba dipengaruhi.

Klip video terbaru yang dimuat naik di Youtube itu merakamkan seorang lelaki sedang mengenakan pakaian, seorang perempuan dalam keadaan bogel.

Ratusan ribu gambar daripada klip video itu dicetak dan diedarkan di sekitar Lembah Klang sejak malam tadi khsusnya di kawasan penghuni Melayu yang tinggi, dalam cubaan terdesak untuk menfitnah dan mengaibkan Anwar.

Seperti klip pertama, suntingan video kali ini juga membawa petanda-petanda tertentu video itu dirakamkan secara terbuka dan dengan pengetahuan pelaku serta kehadiran pihak ketiga dalam kamar berkenaan.

Datuk Johari yakin klip video yang disunting akan terus dimuat naik ke Internet oleh individu-individu tertentu. Beliau tidak menolak kemungkinan angkara itu didalangi oleh gandingan Datuk T iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik, bekas bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim dan ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah.

Namun berita baik di sebalik itu katanya, semakin banyak bahagian-bahagian dalam klip video berkenaan didedahkan, semakin banyak kecacatan dan perkara 'aneh' dapat disaksikan.

" Ia amat menjijikkan. Malah pada video klip pertama pun, orang yang berpakaian penuh itu ke hulu ke hilir. Dalam keadaan persiadaan seolah-olah satu lakonan seks bakal berlaku.

" Dan klip kedua ini pula seolah-olah ada orang ketiga yang campak tisu. Bukan itu sahaja, saya cabar ini bukanlah dilakukan dalam bilik gelap kerana ianya memang dilakukan untuk difilemkan sebab kalau lihat didinding ada tiga bayang untuk satu-satu objek. Ini mengesahkan ada tiga lampu yang disuluhkan pada objek-objek ini.

Sehingga ke hari ini blog-blog pro Umno terus menayangkan video selama 1 minit 46 saat yang berjudul 'Papa Nurul Izzah Part II'.

Sama seperti bahagian pertama dahulu, ia sekali lagi memaparkan watak pelaku yang tidak jelas, susuk tubuh dengan perut boroi yang nyata bukan mirip Anwar.

" Tujuan video ini asalnya bukan untuk apa-apa. Bukan untuk cari kebenaran, bukan untuk mengajar, semua itu bukan. Tujuannnya adalah untuk menghancurkan karier politik Anwar," kata Johari.

Malah kata Johari, video fitnah ini adalah talian hayat Umno-BN demi kelangsungan politik mereka.

" Apa pun juga, saya tahu mereka akan terus siarkan video ini secara berterusan untuk penontonnya kerana berfikiran orang Melayu suka perkara-perkara yang sensasi seperti ini," kata Johari.

Beliau berkata Umno begitu terpinggir daripada isi hati masyarakat Melayu sehingga membelakangkan isu-isu ekonomi dan cara memperbaiki akhlak anak-anak. Mereka memikirkan orang Melayu akan lebih tertarik kepada video ini, tambah beliau.


Lombong Nadir Bumi : Belajarlah Dari Pengalaman Lepas Kata Boon Chye

Posted: 28 Apr 2011 03:45 AM PDT

Ditulis oleh Ayie

SHAH ALAM : Kerajaan tidak pernah belajar dari pengalaman lepas dan hanya memikirkan kantong sendiri termasuk pihak luar kata ahli parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berhubung satu lagi projek mencari galian nadir bumi di Bukit Merah.

Malah lebih malang katanya, apabila risiko dan ancaman yang bakal dihadapi oleh rakyat tidak pernah difikirkan sama sekali.

" Isu tanah jarang di Bukit Merah (dahulu) dibantah oleh rakyat dan apabila pakar-pakar yang dibawa untuk menjadi saksi dalam kes mahkamah menunjukkan bahawa ini memang satu industri yang mencemarkan alam sekitar dan mengancam alam sekitar penduduk persekitaran," katanya.

" Kesan pencemaran alam sekitar bukan sekadar semasa perlombongan itu berlaku, tetapi kesan pencemaran adalah puluhan tahun dan mungkin mencapai ratusan tahun. Dan kesan kepada kesihatan rakyat juga mungkin berlarutan," tambah beliau ketika dihubungi Tv Selangor, hari ini.

Walaupun rakyat di serata negara membantah hebat pembinaan pusat pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan, namun kerajaan negeri Perak di bawah Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Kadir berbuat sebaliknya.

Tanpa menghiraukan suara rakyat, kerajaan negeri itu sedang bekerjasama dengan sebuah firma Hong Kong untuk mencari galian nadir bumi di Bukit Merah, berhampiran Ipoh.

Menurut pengumuman CVM Minerals Ltd kepada Bursa Saham Hong Kong, syarikat berkenaan telah memeterai perjanjian persefahaman (MOU) dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada 18 Apri lalu bagi tujuan itu.

PKNP adalah syarikat pelaburan bagi kerajaan negeri Perak.

" Kerajaan Barisan Nasional di bawah Menteri Besar Zambry Kadir dan exco yang berkenaan nampaknya tidak belajar dari pengalaman.

" Sekarang kita lihat apa yang berlaku di Gebeng Kuantan memang ada bantahan yang keras dari rakyat.Saya hairan kenapa ini industri ini hendak dibuat sekali lagi di Bukit Merah. Saya rasa Datuk Zambry Kadir perlu jelaskan hal ini,"tambahnya lagi.

Untuk rekod, kilang sama pernah cuba dibina di Bukit Merah Perak pada 1980-an namun ia mendapat bantahan keras penduduk kerana memberi kesan buruk kepada kesihatan seperti kanser, leukemia, cacat, malah ada yang meninggal dunia.

Bantahan berkenaan bukan sahaja melalui demonstrasi jalanan malah dibawa ke muka pengadilan.

Ia akhirnya membawa penutupan kepada Asian Rare Earth (ARE) di Bukit Merah, Ipoh pada 19 Januari, 1994 setelah didesak rakyat sejak sekian lama.

Anwar : Najib Bergantung Kepada "Politik Lucah" Untuk Menang PRU

Posted: 28 Apr 2011 03:36 AM PDT

Ditulis oleh Hadri Yaziz

KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan fitnah video lucah sebagai modal politik untuk melemahkan pembangkang.

"Strategi utama Najib ialah mengguna video lucah, institusi awam dan media seperti Utusan Malaysia, Agenda Daily dan Tv3 untuk mengaibkan. Mereka tak boleh lawan kita di atas isu polisi. Jadi dia terpaksa gunakan politik lucah," kata Anwar selepas member kenyataan tambahan kepada polis di Ibu pejabat Dang Wangi Kuala Lumpur petang tadi.

Anwar berkata Najib memperalatkan media arus perdana untuk berkelakun biadap semata-mata bagi mengembar-gemburkan fitnah yang ditabur.

Pada sidang akhbar itu, wartawan TV3 sekali lagi cuba mendapatkan reaksi Anwar bersabit isu jam Omega dan sama ada Ketua Pembangkang itu akan menyerahkan DNA kepada pihak polis.

"DNA apa yang kamu mahu mahu? Jangan biadap dengan saya. Tanya soalan lain," tegas Anwar kepada wartawan itu.

Wartawan berkenaan kemudian cuba mendapatkan reaksi Anwar terhadap cabaran ahli perniagaan Shazryl Eskay supaya hadir bersamanya melafazkan sumpah laknat bersabit isu video lucah.

Anwar yang sebelum ini bersetuju isu itu ditangani mengikut hukum qazaf , bertanya sama ada wartawan itu faham hukum haram sumpah laknat namun tidak mendapat respon.

"Hukum mana suruh angkat sumpah? Tak boleh jawab, tak payah," Anwar memberitahu wartawan itu sekali lagi.

Anwar berkata orang yang membuat sumpah laknat seharusnya memeriksa diri sama ada beliau bebas daripada dosa besar untuk membuat tuduhan terhadap pihak lain dan melafazkan sumpah itu.

Dua tokoh agama – Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Badrulamin Baharom berkata cara terbaik menyelesaikan isu video lucah adalah mengikut syarak Islam iaitu dengan menfailkan pertuduhan qazaf.

"Kalau semua orang boleh bersumpah (laknat) saja, ramai orang yang boleh melakukannya. Takut apa sumpah ini," kata Datuk Harunsani kepada TvSelangor.

"Selepas dia membuat tuduhan orang itu berzina, dia perlu kemukakan bukti bukannya bersumpah.

Dia tuduh orang berzina itu maknanya Qazaf, qazaf ini bukan bersumpah tetapi kena bawa bukti," tambah beliau.

Pada sidang medianya, Anwar turut menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk menyiasat pembabitan anggota badan itu dalam penyebaran video lucah oleh gadingan Datuk T.

Gadingan Datuk T merangkumi Eskay, Pengerusi Risda Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari Perkasa Shuib Lazim.

Anwar berkata mustahil bagi Datuk T melakukan jenayah tersebut tanpa perlindungan dari pihak polis.

Justeru beliau sekali lagi bertegas agar polis mengambil tidakan terhadak trio Datuk T kerana secara terang melakukan intimidasi jenayah bermotifkan politik.

"Mana ada orang boleh sebar secara terang kalau tiada kalau polis tak ambil bahagian," jelas beliau.

Keputusan rayuan MP Gobalakrishnan ditangguh

Posted: 28 Apr 2011 03:35 AM PDT


Gobalakrishnan tidak hadir di mahkamah hari ini. — gambar fail
GEORGE TOWN — Keputusan kes rayuan Ahli Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas pada tahun 2002 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Laporan Bernama Online menyebut, Timbalan Pendakwa Raya Tan Guat Cheng berkata keputusan kes rayuan itu yang sepatutnya dibuat hari ini, ditangguhkan berikutan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zamani Abdul Wahab bercuti kerana ibunya meninggal dunia semalam di Terengganu.

Gobalakrishnan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Mei tahun lepas selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas dakwaan menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan dikenakan denda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret.

Beliau dituduh dengan sengaja menghalang Cif Insp V. Saravanan daripada menjalankan tugasnya di Jalan Utama di sini kira-kira 12.20 tengah hari, 29 Januari 2002 dan ditahan selepas mempersoalkan tindakan polis menghalang kira-kira 30 penyokong Parti Keadilan Rakyat daripada menari ketika sambutan Thaipusam di George Town.

Berikutan itu, Gobalakrishnan berdepan risiko hilang kelayakan sebagai wakil rakyat bagi kawasan Parlimen Padang Serai kerana berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Malaysia, seseorang Anggota Parlimen akan hilang kelayakannya apabila disabitkan atas suatu kesalahan oleh mahkamah dan dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.

Gobalakrishnan dan peguamya RSN Rayer tidak hadir di mahkamah hari ini.

Nakhaie: Imam Besar bukan isu tapi pengikut fanatik Wahabi di Malaysia

Posted: 28 Apr 2011 03:34 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR— Kehadiran Imam Besar Masjidil Haram Sheikh Dr Abdul Rahman Ibn Abdul Aziz As-Sudais, yang dikaitkan dengan Wahabi bukan isunya tetapi pegawai Jakim yang mengesyaki beliau hanya patut memberi tumpuan mengekang pengikut fahaman itu di negara ini, kata bekas Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Menurut Datuk Nakhaie Ahmad, walaupun Imam Besar itu berfahaman Wahabi namun sepanjang berada di Malaysia, Sheikh Abdul Rahman menghormati amalan Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi pegangan umat Islam Malaysia.

Justeru, beliau menyifatkan dakwaan pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Zamihan Mat Zain yang mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi melalui platform kerajaan dengan kerajaan adalah tidak wajar.

"Beliau (Sheikh Abdul Rahman) ini datang hanya seminggu sahaja, macam mana beliau nak suntik (fahaman Wahabi), lagipun saya tidak risau kerana beliau adalah Imam Besar Masjidil Haram dan ulama Arab Saudi menghormati kita punya pegangan dan mazhab Shafie walaupun beliau berpegang fahaman Wahabi.

"Kalau kita lihat sepanjang Sheikh Abdul Rahman berada di Malaysia, beliau menghormati pegangan kita dan mengikut apa yang kita lakukan, jadi kalau tuduh beliau cuba suntik fahaman Wahabi di Malaysia tidak wajar," katanya kepada The Malaysian Insider.

Kata beliau, Sheikh Abdul Rahman adalah seorang tokoh agama yang berfikiran terbuka dan tidak akan melakukan sesuatu yang di luar jangkaan seperti menyuntik fahaman Wahabi.

"Beliau menghormati umat Islam di Malaysia malah turut mengatakan negara kita adalah contoh negara Islam.
"Saya percaya tujuan beliau datang ke Malaysia adalah baik iaitu untuk satukan umat Islam dan bukan nak suntik fahaman Wahabi yang bertentangan dengan pegangan kita," katanya.

Bagaimanapun tegas Nakhaie, apa yang perlu dibimbangkan bukan kehadiran Sheikh Abdul Rahman namun pengikut fanatik Wahabi yang tidak menghormati pegangan Ahli Sunah Waljamaah.

"Tapi yang membimbangkan adalah pengikut Wahabi di Malaysia yang tidak menghormati mazhab Shafie dan amalan Ahli Sunnah Waljamaah yang kita amalkan.

"Kalau Sheikh Abdul Rahman datang ke Malaysia beliau akan menghormati mazhab Shafie, yang menjadi mazhab rasmi di Malaysia tapi kalau pengikut fanatik Wahabi ini kalau kita ikut mazhab Shafie dikatakan bida'ah... itu beza Imam Besar Masjidil Haram dengan pengikut Wahabi di sini.

"Jurang antara Imam Besar Masjidil Haram dan pengikut Wahabi di Malaysia berbeza, imam ini menghormati mazhab kita tapi pengikut Wahabi tidak menghormati pegangan kita . . . itu beza antara orang yang mempunyai ilmu luas dengan orang yang berfikiran sempit," tegasnya.

Justeru kata beliau, Zamihan sepatutnya memberikan tumpuan atau menghalang pergerakan pengikut Wahabi di Malaysia bukan mengkritik Sheikh Abdul Rahman.

"Tindakan Zamihan itu tidak betul, malah Sheikh Abdul Rahman tidak ada gerakan untuk melakukan perkara itu.

"Jadi saya minta supaya selepas ini kalau nak kata apa-apa berfikir dulu sebab walaupun imam ini berfahaman Wahabi tapi bukan semua pandangannya kita perlu tolak . . . ada yang kita boleh terima dan ada yang kita tidak boleh terima," katanya.

Kelmarin Zamihan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider berkata, beliau mengesyaki Sheikh Abdul Rahman cuba menyuntik fahaman Wahabi di kalangan umat Islam negara ini dengan menggunakan platform kerajaan dengan kerajaan.

Justeru, Zamihan meminta pihak berkuasa berhati-hati dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelakkan penyebaran amalan Wahabi di negara ini.

Beliau berkata lawatan kerja lima hari Sheikh Abdul Rahman yang berakhir Ahad lalu kemungkinan membawa metodologi yang bertentangan dengan amalan Ahli Sunah Waljamaah, yang menjadi pegangan umat Islam di Malaysia.

Namun tindakan Zamihan itu dinafikan Ketua Pengarah Jakim Othman Mustapha, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya.

Jakim juga telah memanggil Zamihan berhubung perkara itu dan menjelaskan kunjungan Sheikh Abdul Rahman ke Malaysia.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Datuk Sheikh Abdul Halim Abdul Kadir berkata tindakan Zamihan itu tidak melambangkan individu yang berpegang kepada Ahli Sunah Waljamaah.

Selain itu, kata beliau, kritikan Zamihan terhadap Sheikh Abdul Rahman akan menjejaskan imej Jakim dan negara.

Tiada pilihan raya kecil Parlimen mulai esok, DUN masih ada masa

Posted: 28 Apr 2011 03:32 AM PDT

Oleh G Manimaran


KUALA LUMPUR — Negara yang menyaksikan 16 pilihan raya kecil — jumlah yang sama dengan sepanjang tempoh 1986 hingga 1995 — tidak akan mengadakan pilihan raya kecil bagi peringkat Parlimen selepas hari ini melainkan jika ada keperluan khas untuk berbuat demikian.

Ini termasuklah kerusi Parlimen Batu, yang disandang PKR, yang statusnya menanti keputusan mahkamah rayuan.

Mengikut perundangan negara, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu mengadakan pilihan raya kecil melainkan jika ada keperluan khas.

"Selepas hari ini jika ada kekosongan, bagi kerusi Parlimen, tidak akan diadakan lagi pilihan raya kecil," kata Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

"Tarikh Dewan Rakyat bersidang 28 April, jadi mengambil kira tarikh itu, bermakna jika ada kekosongan selepas hari ini, pilihan raya kecil tidak akan diadakan," kata beliau.

"Jadi, jika berlaku kekosongan luar jangka, mengambil kira genap tiga tahun persidangan Dewan Rakyat, maka tidak akan ada pilihan raya kecil," kata beliau sambil menyifatkan sebanyak 16 pilihan raya kecil dalam tempoh tiga tahun sebagai satu jumlah yang banyak dan menjadi "ruang latihan praktikal" kepada kakitangan SPR.

Artikel 54 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa satu-satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat mandat Parlimen. Mandat semasa kerajaan pusat akan berakhir April 2013.

Pilihan raya umum ke-12 diadakan pada 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, Wan Ahmad berkata tempoh akhir bagi mengadakan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri adalah berbeza kerana kali pertama persidangan adalah berbeza mengikut negeri masing-masing.

"Mengikut maklumat yang ada, Pahang negeri terakhir mengadakan sidang pertama Dewan Undangan Negeri selepas pilihan raya umum, akhir bulan Mei.

"Jadi ada masa lagi masa untuk (diadakan) pilihan raya kecil (jika berlaku kekosongan luar jangka) bagi kebanyakan negeri dengan Pahang sehingga bulan Mei," katanya lagi.

Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Pahang mengangkat sumpah pada 21 Mei 2008 — dua bulan selepas pilihan raya umum ke-12.

Daripada 16 pilihan raya kecil, kerusi-kerusi Parlimen yang menyaksikan pilihanr raya kecil ialah Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Hulu Selangor, Sibu dan Batu Sapi.
Kecuali kerusi Hulu Selangor dan Batu Sapi, yang lain dimenangi Pakatan Rakyat (PR). Barisan Nasional (BN) merampas Hulu Selangor daripada PR manakala PR pula menawan Kuala Terengganu dimenangi BN pada 2008.

Kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri yang menyaksikan pilihan raya kecil ialah Bukit Selambau, Batang Ai, Penanti, Manek Urai, Permatang Pasir, Bagan Pinang, Galas, Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Untuk mengadakan 16 pilihan raya kecil, kerajaan telah menanggung kos lebih RM11 juta.

Mengikut maklumat diberikan di Dewan Rakyat akhir bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Permatang Pauh menelan kos RM409,000, Kuala Terengganu (RM325,416), Bukit Gantang (RM460,971), Bukit Selambau (RM318,000), Batang Ai (RM391,700), Penanti (RM514,600), Manik Urai (RM548,003), Permatang Pasir (RM461,367), Bagan Pinang (RM449,485), Hulu Selangor (RM1.2 juta), Sibu (RM1 juta), Batu Sapi (RM1.29 juta), Galas (RM1.05 juta), Tenang (RM1.1 juta), Merlimau (RM755,000) dan Kerdau (RM915,000).

Katanya, kerajaan tidak bercadang untuk menggunakan kaedah lain bagi menggantikan pilihan raya kecil kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pilihan Raya Kecil 1958.

Menurut Wan Ahmad, kos itu hanya membabitkan pihak SPR tanpa mengambil kira perbelanjaan oleh agensi-agensi lain seperti polis.

Mengikut rekod, negara menyaksikan 16 pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ketujuh dan tiga bulan sebelum pilihan raya umum kelapan pada November 1990.
Malah, sebanyak 16 pilihan raya kecil diadakan antara tempoh selepas pilihan raya umum 1990 menjelang pilihan raya umum April 1995.

Pun begitu negara pernah berhadapan dengan 17 pilihan raya kecil — jumlah tertinggi sejak awal 1980-an — yang diadakan sepanjang tempoh selepas pilihan raya umum 1995 dan sebelum pilihan raya umum 1999.

Kini tiga kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Seputeh, Pelabuhan Klang dan Lenggeng menunggu keputusan mahkamah rayuan.

Bagaimanapun pemerhati dan penganalis melihat kemungkinan tidak akan ada pilihan raya kecil membabitkan ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri itu dan kawasan Parlimen kerana ia boleh melalui peringkat rayuan lebih tinggi selepas ini.

Loji nadir bumi: DAP dakwa kerajaan BN hanya kejar keuntungan

Posted: 28 Apr 2011 03:31 AM PDT

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — DAP mendakwa laporan perlombongan nadir bumi bakal dimajukan di Bukit Merah dekat Ipoh ketika isu loji Lynas Corporation masih panas menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sama ada peringkat negeri ataupun pusat hanya "mengejar keuntungan" dengan sanggup mengetepikan keselamatan publik.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, rakyat hanya Pakatan Rakyat (PR) adalah satu-satunya kerajaan yang akan mengutamakan kesihatan rakyat dan kepentingan umum dari mengejar keuntungan syarikat dengan memastikan tiada kemudahan nuklear mahupun projek pemprosesan nadir bumi di Pulau Pinang.

"Sangat mengejutkan apabila kerajaan negeri Perak secara senyap telah bersetuju dengan sebuah syarikat di Hong Kong untuk membenarkan projek pelombongan nadir bumi dibina di negeri itu sedangkan kemarahan orang ramai masih timbul ke atas kontroversi pembinaan loji Lynas di Gebeng, Pahang," kata beliau.

Dalam maklumannya kepada Bursa Saham Hong Kong bertarik 18 April, CVM Minerals Limited telah mengumumkan bahawa satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani bersama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) bagi melaksanakan projek meneroka dan perlombongan di Bukit Merah.

Syarikat Hong Kong tersebut melalui anak syarikat tempatan, CVM Metal Recycle Sdn Bhd telah memohon lesen kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri bagi membolehkan mereka meneroka kawasan yang dijangka meliputi 250 hektar bagi melombong nadir bumi.

Bukit Merah juga merupakan kawasan bagi loji nadir bumi di Malaysia 20 tahun lalu, yang masih berhadapan dengan kerja-kerja pelupusan sisa radioaktif yang berjumlah RM300 juta.

Sebaik memperolehi lesen, CVM Mineral dan PKNP akan menandatangani perjanjian bagi menetapkan terma dan syarikat dalam melaksanakan projek tersebut.

CVM Mineral dipercayai akan menjadi pemegang saham utama sementara PKNP akan menguruskan 135,300, 000 saham CVM iaitu kira-kira 4.73 peratus dari keseluruhan saham syarikat itu.

Aktivis alam sekitar telah menimbulkan kebimbangan akan sisa radioaktif yang bakal dikeluarkan dan disimpan di kompleks loji pemprosesan Lynas di Gebeng dengan merujuk kepada nasib yang menimpa Asian Rare Earth Milk yang dikaitkan dengan lapan kes leukemia termasuk tujuh kematian.

Baru-baru ini kerajaan persekutuan telah mengumumkan bahawa laporan lengkap sebulan dari Lynas hampir siap dan diikuti dengan peraturan dan langkah-langkah keselamatan.

"Bukan hanya rakyat Perak, malah seluruh rakyat Malaysia menentang keputusan yang pendek fikiran ini," kata beliau sambil menegaskan kerajaan BN seolah-olah bertindak "buta dalam mengutamakan masalah lingkungan hidup, keselamatan dan kesihatan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat."

Justeru, Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata Perak harus bangkit semula bagi mengembalikan kerajaan PR di bawah pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengelakkan projek pelombongan nadir bumi terus beroperasi di Perak.

"Pada mulanya Pahang dan sekarang Perak. Pelombongan nadir bumi ini sememangnya tidak boleh dipandang ringan tanpa mengadakan rundingan yang sewajarnya kerana risiko yang bakal ditanggung amat tinggi.

"Hanya negeri diperintah Pakatan Rakyat yang mengambil sikap tegas dan tanpa berkompromi menentang pemprosesan dan pelombongan nadir bumi ini," katanya.

Kata Lim, kerajaan negeri PR Pulau Pinang telah bertindak lebih maju dengan terlebih dahulu menulis surat kepada kerajaan persekutuan untuk menentang setiap kemudahan loji nuklear untuk ditempatkan di negeri ini.

Pemilihan perlu tampil ramai muka baru, kata pemimpin PAS

Posted: 28 Apr 2011 03:30 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR — Pemimpin-pemimpin PAS pusat menyambut cadangan Datuk Husam Musa bahawa parti Islam itu perlu "disegarkan" dengan disuntik elemen-elemen baru termasuk membawa masuk muka-muka baru dalam barisan kepimpinan parti itu.

Selain bersetuju agar Datuk Seri Abdul Hadi Awang dikekalkan sebagai presiden parti, pemimpin-pemimpin PAS juga mahu lebih banyak ruang diberikan kepada pemimpin muda dan perubahan dilakukan agar parti itu mampu bersaing dalam era globalisasi.

Minggu lalu Husam, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat mempertahankan kepimpinan Hadi dengan menegaskan parti Islam itu hanya perlu "disegarkan" dengan elemen-elemen baru yang boleh memperkukuhkan parti tersebut.

Beliau berkata kepimpinan pusat ini berkata, kepimpinan Hadi selaku presiden parti masih diperlukan, cuma ia perlu mengambil tindakan untuk memperkasakan kedudukannya.

Selain itu, Husam juga berkata, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang perlu memberikan ruang kepada profesional dan muka baru supaya terlibat dalam barisan kepimpinan PAS.

Menurut Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusuf Rawa, cadangan yang berikan Husam itu amat bernas memandangkan kepimpinan Hadi selaki presiden parti sangat diperlukan ketika parti Islam itu dilihat menjadi serangan politik Umno-Barisan Nasional (BN).

"Saya setuju dengan pandangan Husam bahawa soal Hadi dicabar atau tidak, itu tidak timbul kerana kepimpinan Hadi masih diperlukan, malah beliau telah membawa banyak perubahan semenjak memegang jawatan itu.

"Jadi apa yang paling penting adalah kepimpinan hari ini perlu mampu memberi keyakinan kepada golongan pelapis yang bawa hasrat pembaharuan dan golongan-golongan ini perlu diberi peluang untuk melonjakkan PAS dalam konteks politik sekarang.

"Ini bukan bermaksud pemimpin muda tapi adalah muka-muka baru yang boleh membantu melonjakkan PAS, saya yakin kepimpinan Hadi mampu memberi lebih ruang sebab selama ini beliau (Hadi) banyak memberi ruang agar perubahan dilakukan dalam parti," katanya.

Tegas ahli jawatankuasa kerja PAS pusat itu, elemen-elemen dan muka-muka baru dalam PAS boleh membawa satu perubahan besar, terutamanya untuk meyakinkan rakyat terutamanya orang Melayu bahawa parti itu bersedia untuk melakukan perubahan tanpa meninggalkan asas perjuangan iaitu menegakkan Islam.

"Jika PAS boleh melakukan pembaharuan dan perubahan sama ada dari segi pendekatan atau kepimpinan parti tidak mampu untuk menjadi sebuah parti yang kuat, kukuh dan diyakini rakyat di negara ini.

"Sebab itu, saya kata kepimpinan PAS bukan terletak atas bahu presiden tapi keseluruhan kepimpinan perlu memikul tanggungjawab ini tanpa meninggalkan dasar perjuangan parti . . . jadi amat jelas sekali PAS perlu melakukan perubahan ini, jika kita mampu melonjakkan PAS, maka ia akan kekal releven di masa mengundi dan pada masa sama ia boleh membuktikan kepada rakyat bahawa PAS menuju ke arah perubahan yang lebih besar," kata Mujahid yang juga penulis buku "Menuju PAS Baru: Krisis, Peluang dan Dinamisme", yang dihasilkannya dengan hasrat untuk memperbaiki organisasi parti.

Sementara itu Yang Dipertua PAS Shah Alam Khalid Samad berkata pada pemilihan PAS Jun ini perwakilan perlu memilih pemimpin yang boleh memikul tanggungjawab yang diberikan itu.

"Perwakilan kena ambil kira tugas yang hendak dimainkan pemimpin yang akan mereka pilih, perwakilan perlu pilih pemimpin yang boleh memainkan jawatan itu... pemimpin yang boleh memikul tanggungjawab yang diberikan itu.

"Perwakilan perlu lihat jawatan dengan peranan yang akan dipikul, jawatan bukan penghormatan tapi adalah tugas yang harus dipikul jika dipertanggungjawabkan," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam itu juga berkata PAS perlu melakukan perubahan yang lebih dinamik dalam menarik sokongan rakyat.

"Kita perlu pemimpin yang sentiasa sensitif terhadap imej parti dan juga orang di peringkat akar umbi, kita perlukan fikirkan keadah yang baru untuk tarik perhatian rakyat serta untuk menafikan setiap tuduhan yang dilemparkan lawan kepada kita.

"Untuk melakukan perubahan dan menghadapi suasana baru kita memerlukan kaedah-kaedah baru, pemimpin yang lebih segar dan kita tidak lagi boleh menggunakan keadah lama," katanya.

Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat memberitahu, dalam menghadapi cabaran politik semasa PAS perlu menampilkan lebih banyak kaedah dan pendekatan yang lebih "segar" sekiranya mahu menjadi sebuah parti dinamik dan diterima rakyat.

"Saya melihat dalam menghadapi cabaran politik sekarang, maka PAS memerlukan lebih ramai tenaga muda serta mempunyai pendekatan dan kaedah lebih kreatif, inovatif dan dinamik.

"Justeru dalam menghadapi cabaran politik semasa, maknanya PAS perlu ada muka-muka baru supaya kita nampak lebih segar, bukan bermaksud tukar semua pemimpin tapi menampilkan tenaga-tenaga baru dalam parti," katanya.

Selain itu, beliau berkata PAS juga perlu berubah dari segi pendekatan atau kaedah yang digunakan untuk mendekati rakyat yang mana parti Islam itu tidak boleh terlalu bergantung kepada strategi lama seperti ceramah dan penyebaran risalah.

"Dalam konteks politik sekarang, kita banyak cabaran baru dalam negara dan ia memerlukan satu buah fikiran yang baru, cara kreatif dan inovatif untuk menghadapi cabaran-cabaran ini.

"Dulu kita hanya parti pembangkang tapi sekarang kita adalah bakal menjadi kerajaan, jadi masalah-masalah semasa yang berkaitan dengan negara dan sebagainya memerlukan kita sentiasa melakukan perubahan...kalau tiada penyegaran kita akan jadi tepu," katanya.

Oleh itu, tegas Suhaizan, sekiranya PAS gagal untuk melakukan perubahan atau transformasi seperti mana yang dilakukan DAP sudah pasti parti Islam itu tidak mampu bersaing terutamanya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Itu akan jadi masalah, sebab itu kita perlukan perubahan dan pembaharuan seperti bagaimana untuk menggerakkan negara, keperluan idea yang lebih kreatif dan penyegaran dari segi pendekatan dan kepimpinan parti.

"Sudah cukup dari segi penyegaran parti, kalau kita tak buat perubahan kita takut akan jadi parti yang mundur, pada saya semua parti politik mesti kena sentiasa ada suasana dinamik dalam parti," katanya.

Seorang lagi ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mazlan Aliman berkata parti itu memerlukan pemimpin yang sentiasa peka dengan perkembangan semasa selain bijak dalam mengangani setiap itu yang berbangkit.

Menurut beliau, dalam era globalisasi ini pemimpin-pemimpin PAS perlu sentiasa bergerak satu langkah di hadapan dan boleh menjangka apa yang akan berlaku.

"Saya sokong kenyataan beliau (Husam), yang mana kalau kita lihat arus pembangunan negara yang sentiasa berubah dan cabaran yang semakin besar memerlukan kita melihat dunia ini secara intelektual dari pelbagai sudut dan pandangan.

"Sebab itu, kita perlukan barisan kepimpian yang pantas untuk menghadapi cabaran-cabaran semasa selain harus memiliki kepekaan yang tinggi terhadap perkembangan semasa dan setiap pemimpin harus bijak menangani apa jua cabaran semasa," katanya.

Tegas Mazlin, sekiranya pemimpin parti lambat bertindak untuk melakukan perubahan sudah pasti banyak perkara tidak dapat diselesaikan.

"Kalau lambat tangani masalah, nanti rakyat akan jadi korban sebab itu kepimpinan PAS harus peka dan sentiasa berada di hadapan selain boleh membaca apa yang akan berlaku.

"Kalau kita pasif, kita akan gagal untuk memahami kehendak rakyat dan apa yang kita mahu lakukan juga akan gagal," katanya.

Mazlan yang juga Pengerusi Persatuan Anak-Anak Felda Kebangsaan (Anak) bersetuju agar muka-muka baru ditampilkan untuk membawa perubahan dalam PAS.

"Saya sokong bahkan kita harus beri ruang kepimpinan dalam parti dengan muka-muka baru, bukan hanya golongan profesional tapi aktivis-aktivis parti juga kerana kita perlukan kepimpinan yang boleh mewarnai politik masa depan.

"Selain itu ruang untuk berinteraksi pada masa sekarang begitu banyak . . . kita tidak boleh berceramah dan mengedarkan risalah tapi kita peru menggunakan kaedah-kaedah baru seperti Internet dan sebagainya untuk menyebarkan maklumat, kalau lambat kita akan ketinggalan," katanya.

MCA tak patut salahkan Perkasa kerana hilang undi Cina, kata Ibrahim

Posted: 28 Apr 2011 03:27 AM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

KUALA LUMPUR — Datuk Ibrahim Ali menyifatkan Ketua Publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie sebagai "buat sejarah" kerana mendakwa Perkasa dan Utusan Malaysia yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan masyarakat Cina sejak 2008.

Sebaliknya tegas Ibrahim, BN hilang sokongan masyarakat Cina kerana MCA memilih pemimpin yang tidak bermoral untuk menerajui parti itu.

"Sebab utama MCA ditolak pada pilihan raya umum ke-12 adalah kerana video seks Chua Soi Lek (Presiden MCA) didedahkan kepada umum, yang mana ketika itu Perkasa belum lagi ditubuhkan.

"Jadi MCA ditolak masyarakat Cina kerana mereka malu mempunyai pemimpin yang tidak bermoral dan MCA juga ditolak kerana ramai pemimpin dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan rasuah," katanya.

Kata beliau, kehilangan sokongan masyarakat Cina kepada BN bukan disebabkan Perkasa kerana pertubuhan membela hak Melayu itu ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008.

"Nampaknya Datuk Heng Seai Kie buta sejarah kerana mendakwa Perkasa dan Utusan Malaysia penyebab MCA ditolak masyarakat Cina sejak 2008 dan pada pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.

"Saya nak ingatkan beliau (Heng), bukan Perkasa yang sebabkan MCA ditolak masyarakat Cina pada 2008 dan kerana Perkasa belum wujud pada pilihan raya umum ke-12, Perkasa diwujudkan lima bulan selepas pilihan raya umum ke-12 dan Perkasa juga bukan penyebab Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) tewas banyak kerusi di Sarawak," kata Presiden Perkasa itu dalam satu kenyataan.

Kata Ibrahim, kekalahan SUPP tidak ada kaitan dengan Perkasa kerana pertubuhan bukan kerajaan itu tidak mengambil bahagian dalam kempen pilihan raya negeri Sarawak yang menyaksikan parti itu tewas banyak kerusi kepada DAP.

"Perkasa tidak ambil bahagian dalam kempen pilihan raya di Sarawa, perlu ambil perhatian mengapa etnik lain di Sarawak boleh beri sokongan kepada BN di Sarawak jika tidak kerana mereka percaya kepada BN. Masyarakat Cina semuanya beri sokongan kepada BN dan BN juga tidak boleh membentuk kerajaan sekiranya etnik Bumiputera lain menolak BN.

"Mana yang lebih penting, 100 peratus sokongan Bumiputera atau 100 peratus sokongan Cina?" soalnya.

Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengingatkan Heng bahawa Perkasa bukan membenci masyarakat Cina tetapi pemimpin Cina dari BN dan Pakatan Rakyat yang mendesak Putraraja agar menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera,

"Mereka tidak menghormati Perlembagaan negara, ramai juga pemimpin Cina yang menghina Islam dengan mempermainkan ayat-ayat suci al-Quran.

"Perkasa tidak akan berpeluk tubuh, Perkasa akan terus berjuang mempertahankan hak orang Melayu dan Bumiputera serta kesucian Islam dan saya memberi amanaran kepada MCA supaya jangan sakiti orang Melayu kerana undi orang Melayu juga penting," katanya.

Kelmarin Heng mendakwa Utusan Malaysia dan Perkasa yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan sokongan masyarakat Cina sejak 2008.

Oleh itu beliau juga menggesa Kementerian Dalam Negeri agar mengambil tindakan terhadap Utusan Malaysia kerana mengesyorkan gelombang "1Melayu, 1Bumi" yang mana disokong Perkasa walaupun ditolak penaungnya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Heng memberitahu The Malaysian Insider bahawa akhbar milik Umno itu secara berterusan menerbitkan artikel yang bersifat perkauman dan ia akan memberi kesan kepada perpaduan negara.

Utusan Malaysia meminta Umno supaya menggerakkan gelombang "1Melayu, 1Bumi" yang melibatkan semua parti Melayu, dan mendakwa DAP berniat untuk menjatuhkan kepimpinan negara.

Jumaat lalu, Timbalan Ketua Publisiti MCA Loh Seng Kok mengingatkan gerakan "1Melayu, 1Bumi" yang disyorkan akhbar harian berbahasa Malaysia itu akan mewujudkan suasana kurang senang di kalangan rakyat Malaysia.

Polis siasat sedutan klip kedua video seks didedah 'Datuk T'

Posted: 28 Apr 2011 03:26 AM PDT

TERKINI

Oleh Asrul Hadi Abdullah Sani

KUALA LUMPUR — Polis telah memulakan siasatan terhadap penyebaran sedutan klip kedua video seks oleh beberapa portal dan blog sejak tengah hari semalam, mengaitkan si pelakunya mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar.

Khalid berkata pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengenal pasti pihaknya yang bertanggungjawab memuat naik bahan itu di Youtube.

"Kami bersama dengan MCMC telah memulakan siasatan untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab memuat naik klip video itu, itu yang saya hendak komen," kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata tiada laporan polis dibuat berhubung perkara tersebut dan tiada aduan diperlukan bagi membolehkan pihaknya memulakan siasatan.

"Tetapi jika ada sesiapa hendak membuat laporan, lagi bagus," kata beliau lagi.

Satu lagi rakaman klip video hitam putih aksi seks yang dikatakan membabitkan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat dimuat naik dalam laman Internet semalam.

Sedutan klip video dengan durasi satu minit 47 saat itu menampilkan seorang lelaki dan wanita dalam keadaan bertuala dan kemudian berbogel sebelum lelaki itu memakai seluar.

Klip video tersebut dimuat naik di Youtube dan laman web blogger Papagomo kira-kira 1.30 tengah hari.

Pada 4 April lalu, satu klip video berdurasi yang sama tersebar luas di Internet.

Pada 21 Mac lalu, tiga individu yang menggelarkan diri mereka "Datuk T" telah mendedahkan kewujudan video seks yang didakwa mereka membabitkan seorang pemimpin kanan pembangkang.

Hari ini polis memanggil Anwar datang untuk memberikan kenyataan kedua.

Justeru kata Khalid, adalah prosedur normal untuk memanggil Anwar memberikan kenyataan kedua.

"Ia proses siasatan. Ada perkara yang pendakwa melihat dengan mendalam daripada (sudut) penyiasat, itu sebab pendakwa mahukan lebih banyak siasatan dalam sesetengah perkara.

"Jadi itu yang kami lakukan. Saya tidak boleh mengatakan bila ia akan berakhir tetapi kami akan melakukan semua yang diperlukan," katanya lagi.

Khalid yakin polis dapat menyerahkan semua laporan siasatan kepada Peguam Negara minggu ini.

Tiada kelulusan projek nadir bumi di Bukit Merah, kata Perak

Posted: 28 Apr 2011 03:16 AM PDT

Oleh Clara Chooi

KUALA LUMPUR— Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menjelaskan kerajaan negeri tidak meluluskan sebarang projek nadir bumi di Bukit Merah kepada mana-mana syarikat.

PKNP, sayap pelaburan negeri Perak berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 18 April dengan CVM Minerals Limited dari Hong Kong hanya membenarkan firma itu untuk mengkaji elemen daya maju operasi perlombongan nadir bumi di Bukit Merah.

"Kedua-dua pihak berhasrat untuk mengadakan kajian kebolehlaksanaan atau eksplorasi mengenai viabiliti perlombongan nadir bumi.

"PKNP dan CVM tidak berhasrat untuk membangunkan apa-apa projek memproses nadir bumi di Perak," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Samsudin Hashim dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini.

Kata beliau, tempoh hayat MoU itu hanya enam bulan dan akan terbatal secara automatik jika firma itu tidak memperoleh sebarang kelulusan daripada mana-mana pihak berkuasa tempatan atau jika projek itu tidak berdaya maju.

Samsudin juga berkata, tiada "kesan terikat" MoU ke atas kedua-dua pihak dan CVM akan menanggung keseluruhan kos kajian daya maju.

"Jika kajian daya maju itu menyentuh kemungkinan diadakan perkongsian, ia akan bergantung pada kelulusan daripada kedua-dua pihak," katanya.

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

Posted: 28 Apr 2011 03:22 PM PDT

Kehidupan politik umat harus segera diselamatkan sebelum terlambat, sebelum timbulnya keyakinan bahawa "politik" itu benar-benar "kotor" dan kerananya semua orang politik juga kotor, sebelum meluasnya rasa jijik terhadap politik yang nanti akan menyebabkan umat yang inginkan kemurnian membenci politik lalu menyerahkannya kepada orang-orang "kotor". Kita perlu mendaulatkan moral politik bagi mewujudkan politik yang bermoral sebagaimana yang pernah dibincangkan oleh al-GhÉzÉli dalam pembicaraannya tentang SiyÉsatu 'l-akhlÉq. 

Usaha menyelamatkan kehidupan politik ini meminta penyertaan seluruh kalangan umat terutama ahli-ahli politik Islam sendiri. Mereka harus punya rasa tanggungjawab bukan sahaja memperjuangkan aspirasi politik Islam tetapi juga menghayati etika politik Islam dalam tindak-tanduk politik mereka. Prinsip penyatuan agama dan negara dalam Islam seharusnya membawa implikasi bahawa politik dan kehidupan berpolitik harus diatur dan dikendalikan menurut agama dan secara agama. Malang sekalilah andainya ahli-ahli politik Islam sendiri ikut hanyut dalam arus budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita.

Kaum cendekiawan – intelektual dan ulamanya – juga harus ikut berperanan menegakkan moral dalam kehidupan berpolitik. Hendaknya para cendekiawan kita tidak mengulangi skandal intelektual yang pernah dilakukan oleh generasi intelektual Perancis tahun 1920-an yang telah melakukan apa yang disebut oleh Julien Benda sebagai The Betrayal of the Intellecruals – Pengkhianatan Kaum Intelektual. 

Menurut Benda, Plato telah menganjurkan bahawa moral yang harus menentukan politik. Machiaveli merubahnya dengan tesis bahawa moral tidak punya hubungan apa pun dengan politik. Kaum Intelektual Peranchis merubahnya lagi dengan tesis bahawa politiklah yang menentukan moral. Itulah betrayal yang telah dilakukan oleh kaum intelektual Perancis itu apabila mereka mengkhianati tanggungjawab moral mereka sebagai intelektual dalam mengejar keuntungan-keuntungan politik.

Sejarah dan tradisi politik kita di zaman kegemilangan kesultanan Melayu memperlihatkan peranan dan partisipasi positif para ilmuan dalam menegakkan politik bermoral. Kerjasama dan persefahaman terjalin erat di antara ilmuan dan sultan dalam menegakkan keadilan. Para ilmuan Melayu telah menghasilkan kitab-kitab ketatanegaraan untuk panduan sultan-sultan dalam menegakkan keadilan. Para ilmuan Melayi telah menghasilkan kitab Bustanu 's Salatin dan Raja Ali Haji yang menulis kitab al-ThamarÉt al-Muhimmah (mengandungi persamaan-persamaan dengan NasÊhatu'il-Muluk oleh al-GhÉzÉli) dan kitab Intizamu WazÉ'ifi 'l-Malik (mengenai tugas-tugas raja).

Sementara itu ramai pula dari kalangan sultan-sultan Melayu yang meminati ilmu seperti Sultan Maliku 'z-Zahir (Samudera-Pasai), Sultan Mansur Shah (Melaka) dan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (Aceh). Malah ramai pula dari kalangan raja-raja Melayu yang mengamalkan Tasawwuf atau didampingi oleh guru-guru tasawwuf. Mereka termasuklah Sultan Muhammad Yusuf al-Khalidi al-Naqshabandiy (Riau), Sultan Musa al-Mu'azzam Shah dan puteranya Sultan Abdul Aziz Abdul Jalil Rahmat Shah (Langkat) dan Sultan Ageng Tirtayasa (Banten) yang didampinginya oleh menantunya yang sufi Syeikh Yusuf Tajul Khalwati Makassary.

Potret raja-raja Melayu yang sering ditampilkan sebagai raja-raja zalim sebenarnya bukanlah gambaran yang representative. Dalam hubungan ini Prof Taib Osman, sarjana yang banyak menekuni pengkajian tentang peradaban Melayu menyatakan, " Gambaran raja-raja yang zalim yang terbit daripada tulisan orang-orang putih pada abad kesembilan belas sebenarnya bukanlah satu gambaran yang mewakili peradaban Melayu, tetapi mungkin dalam masa manusia Melayu sedang mengalami transisi, kerana kalau mengikut kitab-kitab tatanegara itu, pemerintahan tidak boleh yang lain daripada bersifat adil." (Rampaian pengajian Melayu, hlm. 246).

Demikianlah sepintas sorotan sejarah dan budaya politik moral umat Melayu. Politik bermoral yang terhasil dari komitmen bersama raja dan ilmuan. Sehubungan ini kami ungkapkan satu dokumen wasiat Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam kepada zuriatnya:

"…dan lagi Raja-raja hendaklah mengamalkan lapan perkara. Pertama, hendaklah selalu ingat akan Allah dan meneguhi janji dengan sekalian Wazir-wazir dan Menteri Hulubalang dan sekelian pegawai dan dengan sekalian rakyat. Kedua, janganlah Raja-raja menghinakan Alim ulama dan yang ahli akal bijaksana.Ketiga, segala yang datang pada pihak musuh daripada seterunya jangan sekali-kali raja percaya. Keempat, hendaklah raja memperbanyak alat senjata dan membeli kesayangan rakyat dan wazir Sipahi (tentera), supaya jauhlah musuh raja, sebab ada yang menghalaukan dengan sayang. Kelima, hendaklah raja menurun tangan, yakni murah. 

Hendaklah mengingat kesetiaan rakyat, wazir dan Alim ulama dan sekalian Sipahi dengan membalas jasanya masing-masing dengan tertib. Keenam, hendaklah raja menjalankan hukum dengan hukum Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Iaitu seperti yang telah tetap di dalam Qanun Al-Asyi Darussalam; Pertama al-Quran, Kedua al-Hadith, Ketiga Ijma', Keempat Qiyas, maka…keluar daripada itu pun empat perkara: pertama hukum, kedua adat, ketiga qanun, keempat resam. Ketujuh, janganlah raja-raja itu duduk dengan orang yang jahat budi dan jahil. 

Kedelapan, hendaklah Raja-raja itu memelihara hati orang yang berbuat baik kepada raja dan kepada negeri dan kepada rakyat. Maka hendaklah raja memandang kepadanya serta memaniskan muka raja memandang mereka itu senantiasa senang hati, kerana ia banyak kebaktian kepada Raja. Hendaklah raja itu memeriksa sekalian wazir-wazir dan Hulubalang dan segala orang yang jahat dan durhaka dan tiada ia mengikut qanun kerajaan. Maka tiap-tiap yang salah itu hendaklah di hukum dengan tertib menurut kesalahan dosa yang diperbuat, sesudah diperiksa dengan sehalus-halusnya, supaya jangan zalim menjatuhkan hukum.

Dan demikian lagi raja-raja hendaklah senantiasa ia memandang sekalian ulama dan bermesyuarat dengan Alim ulama dan mendengar nasihat ulama. Dan hendaklah raja-raja itu menjauhkan diri daripada bersahabat dengan ulama jahat dan ulama jahil dan ulama tamak, iaitu ulama-ulama yang suka memuji-muji raja dan maghzulkan dia dan mengharap minta keredhaan raja. Maka ulama itu tamak, yakni tamak kepada dunia. Maka ulama itulah yang membikin huru-hara negeri dan yang memecah-belah rakyat seperti dajal…...(Petikan dari Qanun Aceh Daru 's-Salam)

Memang sejarah Islam keseluruhannya banyak memaparkan komitmen para ilmuan dalam menegakkan politik moral ini. Ketika diminta oleh Khalifah HÉrËn al-RashÊd untuk menulis kitab tentang cukai, QÉÌi AbË YËsuf tidak menolak, lalu dihasilkannya kitab al-KharÉj yang terkenal itu. Tetapi dalam mukaddimah kitab tersebut AbË YËsuf memuatkan nasihat-nasihat dan peringatan-peringatannya kepada khalifah agar beliau bertaqwa, adil, cekap dan sebagainya.

Ketika 'Abdu 'r-RaÍmÉn an-NÉÎir membangun projek mewah bandar al-ZahrÉ' di Sepanyol, beliau dibantah oleh qÉÌinya, Mundhir ibn Sa 'id yang menganggapnya sebagai suatu pembaziran yang menjolok. Khalifah 'Abdu 'r-RahmÉn an-NÉÎir menerimanya dengan baik lalu menyederhanakan projeknya dengan menggunakan bahan-bahan yang lebih murah. Demikianlah sekadar contoh ilmuan yang sedia bekerjasama dengan pemerintah tetapi tidak pernah lupa kepada misi besar menegakkan kebenaran, keadilan dan nilai-nilai murni lainnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Pengikut