Jumaat, 22 April 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Muhyiddin memburu guru, kebajikan terabai

Posted: 22 Apr 2011 01:57 AM PDT


18 Jamadilawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 22 April: PAS kesal terhadap sikap Kementerian Pelajaran di bawah kendalian Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Dr Fuad Zarkashi yang sibuk memburu guru-guru yang terlibat dengan pembangkang sebaliknya mengabaikan kebajikan guru-guru di sekolah.

Terkini, tindakan pertukaran Cikgu Maaruf Mutalib daripada Sekolah Menengah Tenang ke Sekolah Menengah Kebangsaan Pengelih Pengerang Kota Tinggi, adalah satu contoh "politik barbarian" yang diulang semula di Kementerian Pelajaran.

Pertukaran kerana surat cuti sakit Cikgu Maaruf semasa pilihan raya kecil Tenang.

"Persoalannya surat sakit yang dikemukakan ialah daripada doktor hospital kerajaan, bukan daripada dukun," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar).

Beliau berkata, sepatutnya Muhyiddin dan Dr Fuad perlu turun ke padang melihat sendiri kebajikan guru-guru yang dibebankan dengan berbagai tugas.

Menurutnya, pendedahan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengenai tuntutan perjalanan yang dibuat oleh guru-guru yang pergi kursus anjuran Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah sejak bulan Mac 2010 masih tidak dapat.

Begitu juga, katanya lambakan guru Sains dan Matematik seramai 26,000 merupakan satu lagi ukuran kegagalan Muhyiddin dan Dr Fuad untuk membuat unjuran keperluan guru-guru di sekolah-sekolah.

"Akhirnya guru ini terpaksa mengajar mata pelajaran lain daripada pengkhususannya.

"Apabila keadaan ini berlaku yang menjadi mangsanya ialah murid-murid sedangkan Muhyiddin begitu lantang mengkritik tawaran Pakatan Rakyat kepada guru-guru, imbuhan bulanan RM500, sehingga menuduh negara akan hancur dan bankrap.

"Nampaknya sekarang siapa yang bankrap sehingga peruntukan untuk kementerian beliau tidak cukup," ujarnya.

Beliau berkata, jika itulah watak menteri yang menguruskan kilang yang melahirkan modal insan, maka negara akan hancur kerana meritnya bukan kebolehan tetapi ketaksuban kepada Umno.

Idris turut mempersoalkan kenapa Pengarah Pendidikan Johor, Markom Giran tidak diambil tindakan kerana berkempen kepada guru-guru ketika pilihan raya kecil Tenang.

"Akhirnya kita ingin mengingatkan kepada Tan Sri Muhyiddin janganlah kamu melakukan kezaliman, kerana doa orang yang zalim tidak ada hijab dengan Allah.

"Ingatlah bahawa kamu ada anak isteri dan keluarga, kalau kamu tidak suka dizalim, Cikgu Maaruf dan Cikgu Normala juga tidak suka dizalimi," ujarnya.

Beliau turut memberi peringatan khas untuk Fuad Zarkashi mengenai kata-kata Asy-syahid Syed Qutb di dalam buku yang dibaca sewaktu bersama PAS dahulu iaitu "kezaliman walaupun nampak kuat, ia tidak kekal, sedangkan kebenaran walaupun nampak lemah, ia akan menang".

Anwar masuk ke ICU Azizah

Posted: 22 Apr 2011 01:42 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 April: "Alhamdulillah kesihatan terkawal - belum ke ICU hanya ICU khas jagaan Azizah," tulis Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui twitternya hari ini ekoran berita yang tersebar kononnya sakit tulang belakang beliau berulang kembali. 

"Insyaallah akan terus dengan jadual ke PK (sabtu) dan Kuching (Ahad)," sambung beliau.

Malayskini hari ini menyiarkan berita Ketua pembangkang dan ketua umum PKR itu telah membatalkan lawatan dua harinya ke Pulau Pinang yang sepatutnya dijadualkan bermula hari ini.

Menurut sumber dalaman parti, Anwar, yang juga ahli parlimen Permatang Pauh terpaksa mendapatkan rawatan perubatan di Kuala Lumpur kerana sakit tulang belakangnya berulang.

Sumber itu bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sejauh keseriusan sakit tersebut berikutan jadual ketat Anwar ketika berkempen pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu.

Timbalan presiden PKR Azmin Ali dijangka menggantikan Anwar di Pulau Pinang.

Anwar dijadualkan menghadiri beberapa majlis termasuk menghadiri perbincangan 'maqasid syariah' di Dewan Sri Pinang di Georgetown.

Tiada kempen berlebihan dalam PAS

Posted: 22 Apr 2011 01:39 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 April: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menegaskan tidak berlaku kempen berlebihan dalam parti itu sehingga menyebabkan perpecahan.
"Calon sendiri tak berkempen. Tapi kalau pengikut-pengikiut yang berkempen, itu saya tak boleh nak halanglah.

"Dalam PAS budaya kita, masing-masing dah tahu etika kempen dan kempen macam pilihan raya tak berlaku dalam PAS," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini hari ini..
PAS, tambahnya tidak terikut-ikut dengan parti lain yang menangguhkan muktamar kerana ingin memberi tumpuan kepada pilihan raya umum yang dijangkakan selewat-lewatnya awal tahun hadapan.

"Saya agak parti lain menangguhkan mesyuarat agung mereka kerana takut pertandingan dalam parti akan menyebabkan perpecahan sebab kempen yang terlalu hebat.
"Tapi PAS  ada budaya sendiri. Walaupun ada pertandingan tapi tak akan merosakkan perpaduan dalam parti .

"Jadi tak ada masalah nak teruskan (muktamar) melainkan pilhan raya diadakan pada Jun," katanya.

Beliau juga memberithau tarikh tutup bagi setiap kawasan menyerahkan borang pencalonan untuk jawatan tertinggi dalam PAS adalah pada 15 Mei ini.

Katanya, ianya bagi memberi peluang kepada setiap kawasan yang belum selesai mengadakan mesyuarat agung mereka untuk turut membuat pencalonan.

Jumlah pencalonan setiap kawasan tidak akan dibuka kepada umum termasuk Harakah dan Harakahdaily sehinggalah semua kawasan selesai membuat pencalonan.

"Pencalonan dari setiap kawasan tidak akan dibuka, diletakkan di satu tempat dan hanya akan dibuka setelah semua selesai.

"Saya sendiri pun tidak akses kepada jumlah pencalonan dan Harakah dan Harakahdaily pun tak boleh siar jumlah pencalonan itu," kata beliau.

Beliau berkata, setelah 179 kawasan selesai membuat pencalonan, ia akan dihantar kepada calon-calon tersebut dan mereka boleh memilih sama ada menerima atau menolak pencalonan tersebut.

Tempoh untuk menarik diri sehingga 26 Mei, sebelum kertas undi dicetak pada 28 Mei.

"Calon yang berhasrat diri untuk bertanding mesti menjawab surat tawaran yang dikeluarkan jawatankuasa pemilihan.

"Kelayakan bertanding ialah apabila seseorang itu mendapat minima dua pencalonan," jelasnya.

Pengerusi jawatankuasa pemilihan ialah Pengarah jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Muktamar Tahunan PAS Pusat akan berlangsung pada 1 hingga 5 Jun dengan majlis perasmian pada 1 Jun bagi Muktamar Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat pada 2 Jun manakala muktamar penuh bermula 3 hingga 5 Jun.
Bagaimanapun tempat berlangsungnya muktamar akan dimaklumkan kemudian.

Menyentuh mengenai isu-isu yang akan dibangkitkan pada muktamar nanti, Mustafa berkata, ianya berdasarkan ucapan dasar Presiden dan menjangkakan pilihan raya umum ke-13 menjadi salah satu isu utama yang akan dibincangkan.

"Isu yang akan dibangkitkan berdasarkan ucapan dasar Presiden dan drafnya pun belum lagi siap. Jadi bergantung pada ucapan Presidenlah. Tapi berkenaan pilihan raya umum akan dibincangkan," katanya.

Kenapa PAS dikritik

Posted: 22 Apr 2011 01:35 AM PDT

TEMERLOH, 21 April: Kenapa PAS dikritik pedas oleh beberapa orang penulis, penganalisis politik dan juga blogger sejurus selepas kegagalan parti menawan sebarang kerusi di Sarawak?
"Kerana kekecewaan yang amat sangat terhadap sistem politik negara, berleluasanya rasuah, salah tadbir, salahguna kuasa dan perlanggaran undang-undang dan peraturan yang terang-terang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional, maka lahirnya pelbagai kritikan pedas beberapa penulis, penganalisis politik dan blogger terhadap PAS.
"Barangkali inilah juga yang menyebabkan terlahirnya pandangan pedas daripada Dr Aziz Bari, kerana keinginan melihat Barisan Nasional tumbang hari ini dan terlahirlah sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang lebih baik," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) ketika mengulas kritikan penganalisis politik, Dr Abdul Aziz Bari terhadap PAS dan Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata besar kemungkinan kerana Aziz lebih "menyayangi" (menaruh harapan tinggi) PAS serta kegagalan parti dalam beberapa pilihan raya kecil dan juga pilihan raya negeri Sarawak dan didorong dengan kebosanan yang meluap-luap terhadap Barisan Nasional, Aziz telah mengkritik PAS dan Hadi sejurus kegagalan parti untuk menawan sebarang kerusi Dun di Bumi Kenyalang.
"Beliau tidak menyerang DAP atau PKR mungkin kerana beliau lebih sayangkan PAS berbanding parti lain.
"Sebagai seorang yang amat pakar dan matang dalam analisa politik negara, sebagai contoh, beliau tentu faham akan impak politik yang terpaksa dihadapi oleh PAS dan PKR di kawasan majoriti Melayu dan Islam apabila Umno dan BN memainkan isu perkauman, justeru Baru Bian diumumkan akan dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang.
"Akan tetapi, mungkin kerana kebosanannya kepada BN yang meluap-luap - sehinggakan beliau merasakan bahawa PAS tidak sepatutnya kalah dalam pertandingan ini. Apabila kita tewas, sudah tentu beliau kecewa kerana harapan tingginya pada PAS," terangnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.
Beliau juga menjelaskan adalah mudah untuk Tuan Guru Abdul Hadi menjadi tumpuan pengkritik apabila parti tidak dapat mencapai apa yang dihajatkan, namun beliau menasihatkan supaya para pengkritik turut menghargai jasa yang ditumpahkan oleh mereka dalam perjuangan PAS dan memberi cadangan penambaikan agar mereka yang tercedera tidak tersinggung dan mereka yang masih belum hilang kepenatan akan berasa sedikit terhibur.
"Tentulah mereka yang bertungkus-lumus berusaha untuk memenangi sebuah perjuangan tidak akan sama dengan mereka yang membuat ulasan selepas mengetahui keputusan," katanya.
Tambahnya, penasihat yang baik ialah mereka yang mencadangkan sesuatu sebelum berlaku, dan pengkritik yang mengulas sesuatu selepas berakhir sesuatu pilihan raya dengan menyatakan, 'sekiranya itu dan sekiranya ini' walaupun penting, namun sudah tentu tidak banyak membantu jika dibandingkan dengan seorang penasihat.
"Yang pasti kritikan itu lahir kerana keghairahan yang tinggi untuk melihat tumbangnya BN," ulasnya secara positif.

Tukar pemimpin langgar syariat, bukan kalah p'raya

Posted: 22 Apr 2011 01:26 AM PDT

KUALA LUMPUR, 21 April: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menegaskan PAS tidak mengubah pemimpin termasuk presiden hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak minggu lalu.
Katanya, PAS mempunyai cara tersendiri menilai kepimpinan dan faktor kalah pilihan raya bukan satu alasan tepat untuk mengubah kepimpinan.

"Pada saya, menukar pemimpin hanyalah apabila jika pemimpin tersebut melanggar syariat Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian semalam sebagai mengulas komen penganalisis politik Prof Abdul Aziz Bari, yang berpendapat Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai liabiliti kepada PAS dan Pakatan Rakyat.
Selain itu, kegagalan PAS memperoleh sebarang kerusi pada Pilihan Raya Sarawak lalu juga dakwanya adalah berpunca dari kelemahan Presiden PAS.

"Menukar pemimpin semata-mata kerana kalah dalam pilihan raya adalah satu langkah kurang tepat. Ini kerana belum tentu jika individu lain dipilih, PAS boleh menang pilihan raya," kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

Pandangan Aziz Bari itu juga turut disanggah Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang mendakwa pensyarah undang-undang itu asyik mengulangi isu kekalahan PAS di Terengganu pada 2004 untuk memalukan Presiden PAS.

Sementara itu, media hari ini melaporkan Abdul Hadi menyatakan kesediaan ditentang pada pemilihan pusat Jun ini.

"Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selamanya.

"Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis," kata beliau dipetik media.

Tambahnya, PAS juga mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin selain memantapkan kepimpinan parti.

"Pertandingan digalakkan bukan sahaja bagi jawatan parti peringkat cawangan dan kawasan, tetapi meliputi kesemua jawatan termasuk peringkat tertinggi melibatkan jawatan presiden, timbalan dan naib," kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini.

Tiada ulasan:

Pengikut