Khamis, 1 Januari 2015

BLOG - BLOG PARTI PKR

BLOG - BLOG PARTI PKR


Anwar Ibrahim

Posted: 31 Dec 2014 07:15 PM PST

Anwar Ibrahim


PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2015

Posted: 31 Dec 2014 10:11 AM PST

Tahun 2014 melabuhkan tirai dengan penuh hiba dan tragis, dengan bencana banjir besar yang melanda sebahagian besar Pantai Timur Semenanjung khususnya Kelantan. Dengan angka mangsa banjir yang terkesan mencecah ratusan ribu, ia boleh diklasifikasikan sebagai bencana banjir terburuk dalam sejarah. Sekalung takziah bagi yang terkesan atas bencana berkenaan, semoga terus tabah menjalani kehidupan di samping koordinasi bantuan diselaraskan oleh pihak berwajib.

Tahun ini juga kita tinggalkan dengan seribu satu keresahan. Belumpun misteri MH370 dan MH17 dirungkai sepenuhnya, kita dikejutkan dengan insiden kehilangan pesawat QZ8501. Pastinya bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi oleh sekalian ahli keluarga yang menanti khabar berita dan hujung pangkal misteri kehilangan. Keadilan wajar dituntut sehingga ke akhirnya.

Perihal masalah kekurangan air di awal tahun, disusuli masalah jerebu, Malaysia ditimpa pelbagai dugaan. Pastinya ia datang dari Tuhan sebagai satu peringatan, agar kita tidak alpa dan terus leka.

Tidak cukup dengan itu, masalah-masalah perihal kemelut perkauman, kesenjangan ekonomi, kebejatan sosial dan jenayah, kepincangan sistem demokrasi, pendakwaan terpilih serta kelemahan pengurusan tatakelola dan dana awam seakan silih berganti mengisi slot tayangan perdana rakyat.

Senario ini nyata sekali membimbangkan rakyat terbanyak. Kemelut yang sedang melanda pasti memberi dampak yang bukan kecil kesannya. Sementelahan masalah sedia ada masih belum terungkai, kita seakan diasak agar bersedia untuk menghadapi pelbagai rintangan yang bakal mendatang. Ditambah dengan kemurungan ekonomi nasional yang disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi dunia, ini bukan satu senario yang menyenangkan sebagai pembuka tirai.

Tahun baharu kebiasaannya menjanjikan satu cabaran dan menuntut keazaman yang bukan sekadar baharu, tetapi segar dan bertenaga. Pastinya hari – hari yang telah dilalui sebelumnya mencoret pelbagai kenangan, dan pengajaran untuk dijadikan pegangan.

Saya kembali memperingatkan kepentingan kita untuk bermuhasabah diri: memperingat kelemahan lampau dan memperbaiki masa hadapan. Pepatah Arab ini acapkali melintasi pemikiran saya:

Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam; rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam; dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam.

Tahun 2015 mendambakan kesiap-siagaan total di kalangan segenap lapisan rakyat. Cabaran ekonomi dan sosio-politik nyata sekali merupakan cabaran terbesar yang harus dihadapi bersama.

Di samping kebersediaan rakyat, harapan besar disandarkan kepada pemerintah agar kawalselia sektor ekonomi diperkemaskan supaya tidak membebani rakyat terbanyak. Demikian juga komitmen pemerintah dalam menolak sepenuhnya agenda perkauman sempit serta pendakwaan terpilih yang mampu mendorong kepada ketidakseimbangan sosio-politik dan perpaduan rakyat seluruhnya.

Komitmen KEADILAN dan Pakatan Rakyat jelas dan tuntas: Malaysia harus diurus dalam kerangka humanistik yang menjamin keadilan setiap warganya. Baik sudut politik, ekonomi mahupun social, inilah tekad yang mesti dipegang dan terus ditambah baik dari semasa ke semasa.

Memetik nukilan tersohor penyair Amerika Syarikat TS Eliot dalam puisi 'Little Gidding', for last year’s words belong to last year’s language; and next year’s words await another voice. Kita mengharapkan sinar harapan baharu menjelang 2015, meski pelbagai cabaran dijangka menanti di ambang tahun baharu. Pakatan Rakyat khususnya, akan terus memperkemas tekad serta mempertingkat upaya tadbirurus yang telus lagi berintegriti.

Malaysia harus terus dipacu dengan gagah dan bertenaga, berdiri sebagai sebuah Negara merdeka yang adil lagi demokratik berpaksi keluhuran perlembagaan. Negara ini tidak mempunyai ruang untuk ditadbir secara cemerkap, nanar dan tidak berhala tuju jelas.

Justeru, muafakat menjelang tahun baharu harus dipupuk, dengan merai jamak agama dan budaya yang toleran serta harmonis; dengan pengurusan khazanah Negara yang manusiawi lagi seimbang; melalui tatakelola dan pengurusan awam yang berakauntabiliti.

Kita mampu merealisasikan agenda ini, seandainya iltizam politik disemat di seluruh peringkat masyarakat, melangkaui perbedaan ideologi politik yang nyata sekali merugikan sekalian rakyat.

Kepada Tuhan harapan disandarkan, semoga iktikad ini disemai rapi dalam setiap jiwa rakyat Malaysia, yang meyakini keupayaan Negara untuk bebas daripada pasungan kecapikan dan kelelahan.

Selamat Menyambut Tahun Baharu 2015 dari seluruh kepimpinan dan akar umbi KEADILAN buat sekalian rakyat Malaysia.

ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan:

Pengikut