Mak cik Senah, juara karaoke kampung sebelah pada hari itu dengan bangganya berkata kepada semua orang di kedai runcit bahawa dia tidak suka politik. Baginya politik itu kotor dan apa yang berlaku di Putrajaya atau jalan raya tidak ada kaitan dengan dirinya.Mak cik Senah meneruskan lagi sambil tawar-menawar harga sayur kangkung yang mahu dibelinya.
Pak cik Bakar bertanya dengan tiba-tiba kepada Mak cik Senah, "kangkung ni dulu naik, sekarang dah turun". Terbakar dengan kata-kata seperti pemimpin sanjungannya, Mak cik Senah mengatakan, "harga kangkung boleh kasi turun lagi ke Bakar oii, mahal lagi ni".
"Itu makanan kegemaran kau, apa kena-mengena dengan aku sebagai penjual sayur. Aku pun nak bayar itu ini, dan nak beri makan pakai bini. Ini semua salah Putrajaya. Kos hidup meningkat! Dan kau pun terlibat sebagai rakyat yang membayar cukai dan wajar mendapat perkhidmatan selayaknya."- sindir Pak Cik Bakar.
"Ah, kau jangan nak berpolitik dengan aku pagi-pagi ni, aku cepat mengamuk"- jawab Senah sebelum membayar dan pulang ke rumahnya.
Di rumahnya, "kau layan lagi ke Pak Bakar tu? Politik bukan boleh beri aku makan!"- marah suaminya yang sering dijuluki orang kampung sebagai Si Leman.
Pertama, mak cik senah mungkin belum sedar bahawa sebaik sahaja dia bangun dari tidur dan berfikir hari itu mahu masak lauk kangkung atau satay adalah sebahagian daripada proses membuat keputusan dan tawar-menawar itu bertujuan mempengaruhi orang lain agar menurut kehendaknya adalah maksud mudah bagi kuasa. Itu sendiri berpolitik. Manusia ialah haiwan politik (political animal).
Kedua, harga kangkung, ayam, garam, gula (makanan) – antara keperluan harian – juga dipengaruhi oleh pembuatan keputusan di peringkat kerajaan maupun desakan orang awam. Ini belum disentuh lagi pendidikan, pengangkutan yang merupakan hak yang perlu dituruti kerajaan dalam berkhidmat (bukan berbudi) kepada warganya.
Senario ini bukanlah sesuatu yang aneh. Terdapat ramai lagi "mak cik Senah" dan "Si Leman" tanpa mengira batas gender di setiap kampung dan bandaraya. Gejala seperti ini mudah didapati dalam mana-mana perbincangan sama ada di warung kopi, hotel-hotel, bilik kuliah, whatsapp group dan sebagainya.
Tidak sedikit yang cuba memonopoli perbincangan tanpa menyiapkan diri dengan dengan hujah atau ilmu sewajarnya. Tidak salah juga untuk menyamakan gejala ini dengan penyakit bebal.
Apakah yang dimaksudkan dengan bebal? Syed Hussein Alatas mengupas bentuk pemikiran bebalisme dengan mendalam dalam Intelektual Masyarakat Membangun antaranya seperti berikut;
Tidak mampu mengenali masalah
Jika diberitahu, dia tidak berupaya menyelesaikannya
Tidak mampu mempelajari apa yang diperlukan, malah tidak memiliki kemahiran belajar
Tidak boleh menghubung-kaitkan sesuatu dalam konteks ruang dan waktu dan dengan faktor lain
Hanya memberikan tindak balas kepada suasana sementara tetapi tidak memikirkan akibat / perkiraan jangka panjang
Berfikir hanya melalui sebab terhad dan tidak melalui urutan sebab-akibat
Terpenjara dengan tabiat sendiri tanpa berfikir secara kritis tentang asas pemikirannya
Tidak berfikir dengan mendalam
Tidak konsisten
Tidak mempunyai tenaga akal dan hanya menurut apa yang mudah
Ia lebih jelas dalam perdebatan antara ahli politik atau bakal ahli politik yang tidak mampu mencerna isu. Ini merupakan tragedi sekiranya golongan inilah yang merangka dasar kerajaan. Malangnya, tragedi inilah yang sedang menimpa Malaysia. Tidak mustahil dengan adanya ahli politik bebal, isu-isu rakyat tidak dapat ditangani dengan tuntas.
Disebabkan inilah, isu sensasi mengambil tempat dalam pentadbiran negara dan pembuatan dasar. Kesannya, korupsi meningkat, perkhidmatan dan mutu hidup rakyat menurun. Kebiasaannya, mereka yang dijangkiti penyakit oblomovisme ini lebih gemar beretorik daripada bekerja – ini menjadikan itulah tujuan dia dijadikan di dunia.
Harapan kita ialah bukan menternak pemikiran seperti ini ataupun menidakkan kelompok Mak Cik Senah dan Si Leman tetapi menjadikan kelompok ini sedar dan lebih bertanggungjawab dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka dalam perbuatan dan perbualan kita sehari-hari kerana kematangan itu sebahagian daripada proses yang perlu dijalani. Dan bebal terjadi apabila kita berhenti untuk belajar. – Roketkini.com
ISU air kembali hangat di Selangor apabila Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim
baru-baru ini dikatakan melakukan u-turn dengan bersetuju untuk memberi kebenaran kepada kerajaan persekutuan untuk meneruskan pembinaan loji air Langat 2.Bekas EXCO dan juga ADUN Sri Andalas Dr Xavier Jayakumar mempersoalkan tindakan kerajaan Selangor yang dikatakan mengelirukan rakyat Selangor apabila secara tiba-tiba tunduk kepada desakan kerajaan persekutuan untuk akur kepada Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Water Services Industry Act 2006).
Akta itu membenarkan kerajaan persekutuan mengambil alih aset industri air di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia danWilayah Persekutuan Labuan bagi mengstruktur semula industri air di Malaysia.
Pertama, untuk membincangkan isu industri air di Selangor, elok kita ketepikan politik dalaman parti tertentu, pertembungan peribadi antara ahli politik dan hal tidak berkaitan.
Isu air melibatkan kepentingan rakyat Selangor bukannya kepentingan individu tertentu yang sibuk menggunakan isu itu sebagai modal politik untuk menjatuhkan musuh politik mereka.
STRUKTUR AIR DI SELANGOR
Industri air di Selangor agak kompleks kerana ia melibatkan pemegang aset air, konsesi-konsesi air melibatkan syarikat swasta dan juga kerajaan persekutuan.
Mari kita lihat lebih mendalam pemegang konsesi air dan pemilik atau pemegang saham syarikat konsesi air:
a) Konsesi yang merawat air mentah dan menguruskan loji rawatan air:
Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB): Pemegang 2 konsesi yang bertanggungjawab mengurus 29 loji rawatan air di Selangor dan Kuala Lumpur dengan kapasiti pengeluaran 1,909 juta liter air setiap hari.
Ia dimiliki oleh Puncak Niaga Holdings Berhad (syarikat tersenarai di Bursa Saham) yang pemiliknya ialah Tan Sri Rozali Ismail [melalui syarikat persendirian Central Plus Sdn Bhd dan Corporate Line Sdn Bhd] (41.25%), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (6.19%) dan Lembaga Tabung Haji (5.74%).
ii) Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH)
Syarikat itu diberi konsesi 30 tahun oleh kerajaan Selangor pada Januari 2009 untuk membina, mengurus dan menyelenggara Skim Bekalan Air Sungai Selangor Fasa 1 dan Fasa 3.
Ia dimiliki oleh Gamuda Bhd (40%), The Sweet Water Alliance Sdn Bhd [syarikat milik Tan Sri Wan Azmi Hamzah] (30%) dan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd [61% milik kerajaan Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad] (30%)
iii) Konsortium ABASS Sdn Bhd
Konsortium itu dianugerah konsesi 30 tahun oleh kerajaan Selangor pada 2001 untuk mengurus dan menyelenggara Skim Bekalan Air Sungai Semenyih
Ia 100 peratus dimiliki oleh Titisan Modal Sdn Bhd [55% milik Kumpulan Perangsang Selangor Bhd yang juga milik kerajaan negeri Selangor melalui KDEB].
b) Pengedar air terawat:
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS)
- Pengedar/pengagih air terawat tunggal bagi seluruh kawasan Selangor,Kuala Lumpur dan Putrajaya.
- Mengurus dan menyelenggara pam air, takungan air dan stesen pam.
SYABAS dianugerah 30 tahun konsesi mengedar air oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor pada 2005.
- Dimiliki oleh Tan Sri Rozali yang juga pengerusi eksekutif sebanyak 70% melalui Puncak Niaga Sdn Bhd, dan kerajaan negeri Selangor memiliki 30% SYABAS melalui KDEB (15%) dan Kumpulan Perangsang (15%). Kerajaan persekutuan memiliki satu golden share.
CADANGAN AMBIL ALIH KONSESI AIR OLEH KERAJAAN SELANGOR
Sejak 2009 kerajaan Selangor membuat bidaan rasmi untuk mengambil alih seluruh aset dan ekuiti pemegang konsesi. Tujuan pengambilalihan ialah:
- Menggabungkan industri air di bawah kerajaan Selangor melalui KDEB bagi melindungi kepentingan rakyat negeri ini dari beban kenaikan tarif yang tinggi.
- Menyusun semula industri air bagi mewujudkan perkhidmatan air yang holistik.
- Memastikan kecekapan pengurusan rawatan dan pembekalan air seperti menurunkan kadar non-revenue water (NRW) atau air yang hilang melalui ketidakcekapan pengedar air (SYABAS) akibat kebocoran paip.
Kerajaan Selangor, demi melindungi kepentingan rakyat menghalang kenaikan tarif air yang sepatutnya dinaikkan oleh SYABAS sebanyak 37 peratus pada 2009 dan 25 peratus pada 2012.
Kerajaan negeri berpendapat SYABAS gagal mengoptimum bekalan air kepada pengguna air berikutan 34 loji rawatan air mempunyai kapasiti merawat 4,807 juta liter air sehari tetapi SYABAS hanya berupaya mengedar 4,411 juta liter air sehari.
Pada masa sama, SYABAS memberi alasan pembekuan Capital Expenditure (CAPEX) atau perbelanjaan modal untuk menyelenggara pam lama dan sebagainya sebagai halangan untuk mengedar air secara optimum.
Sejak 2009 sehingga hujung 2013, kerajaan Selangor membuat lima kali tawaran untuk mengambil alih aset dan ekuiti konsesi air Selangor.
Berikut ialah cadangan pengambilalihan aset dan ekuiti konsesi air di Selangor dan maklum balas terhadap tawaran oleh pemegang konsesi air:
Semua tawaran kerajaan Selangor kepada empat pemegang konsesi air dibuat berdasarkan beberapa perkara iaitu:
- Jumlah pelaburan yang dibuat pemegang konsesi air.
- Tempoh pelaburan pemegang konsesi sejak penswastaan air di Selangor.
- Jumlah hutang yang ditanggung (bon dan pinjaman bank) pemegang konsesi air.
- Tawaran yang dibuat entiti kerajaan persekutuan iaitu Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
- Pulangan ke atas pelaburan (Return on Investment) sebanyak 12 peratus.
Walaupun tawaran ke atas pemegang konsesi dianggap berpatutan tetapi ia tetap ditolak atas alasan harga yang tidak berpatutan. Pemegang konsesi mahukan ROI sebanyak 15 peratus, bukan 12 peratus, penilaian ke atas aset yang dikatakan kurang daripada nilai sebenar (undervalued) dan sebagainya.
Kita maklum syarikat swasta berperanan menjana keuntungan maksimum dan kepentingan rakyat selaku pengguna air bukan objektif utama oleh semua pemegang konsesi.
AKTA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR (2006)
Pada 2005, Parlimen meluluskan pindaan perlembagaan bagi Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang memindahkan perkara berkaitan dengan bekalan dan perkhidmatan air daripada Senarai Negeri kepada Senarai Bersama (kecuali Sabah dan Sarawak).
Pindaan diwarta pada 10 Februari 2005 dan dikuat kuasa mulai 21 Mac 2005. Ini bermakna air yang sebelum 2005 dalam bidang kuasa negeri, dipinda kepada senarai bidang bersama yang bermaksud selepas pindaan perlembagaan itu, hal berkaitan air berada dalam tanggungjawab kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
Dengan pindaan itu, kerajaan persekutuan akan mengawal selia industri perkhidmatan air dari segi pelesenan dan kawal selia operator perkhidmatan. Kerajaan Negeri pula mengekalkan kuasa terhadap sumber air, kawasan tadahan air dan embangan sungai.
Pada pertengahan 2006, Parlimen meluluskan dua undang-undang yang mengubah cara Malaysia menguruskan perkhidmatan air iaitu Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara iaitu Akta 654 atau Akta SPAN dan Akta Industri Perkhidmatan Air iaitu Akta 655. Akta 654 (WSIA) menggariskan peranan, fungsi dan bidang tugas SPAN manakala Akta 655 memperuntukkan kawal selia meliputi ekonomi, teknikal dan sosial serta perlindungan hak pengguna.
Seksyen 114 akta itu memberi kuasa kepada kerajaan persekutuan untuk mengambil alih aset konsesi-konsesi air Selangor.
Setelah lima tawaran kepada syarikat konsesi ditolak, kerajaan Selangor tidak dapat mengambil alih konsesi sebelum 31 Disember 2013, tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan.
Maka, kerajaan persekutuan hampir pasti akan mengambil alih aset konsesi air di Selangor iaitu:
LOJI RAWATAN PROJEK LANGAT 2
Ia merupakan projek membina Loji Rawatan Air Langat 2 yang juga sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor untuk merawat 1.89 bilion liter air mentah sebelum disalur ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.
Projek itu yang dicadang kerajaan persekutuan seawal tahun 2007 bertujuan menampung permintaan bekalan air terawat dari Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya yang meningkat saban tahun.
Langat 2 yang sepatutnya mula dibina pada 2012 tertangguh kerana kerajaan Selangor tidak membenarkan Langat 2 dibina selagi pengstrukturan industri air tidak diselesaikan.
Kerisauan kerajaan Selangor jelas untuk melidungi kepentingan rakyat Selangor dari beban kenaikan tarif air jika Langat 2 diteruskan.
Pada awal bulan ini, rakyat dikejutkan dengan berita Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim bersetuju supaya Langat 2 diteruskan walaupun beliau sebelum ini, menafikan projek itu satu keperluan dengan alasan air mentah di Selangor mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.
Secara jelas, MB menerangkan bahawa Langat 2 boleh diteruskan hanya selepas pengstrukturan industri air di Selangor selesai. Status terkini Langat 2 juga masih berada dalam proses rundingan dan belum dimuktamad dan bersyarat.
Syarat yang dikenakan oleh kerajaan Selangor kepada kerajaan persekutuan untuk persetujuan meneruskan projek Langat 2 ialah:
- Aset loji Langat 2 mesti diserap ke dalam program pengstrukturan air Selangor.
- Kerajaan negeri akan terlibat dalam semua urusan tender Langat 2.
- Kerajaan negeri berhak mendapatkan harga terbaik bagi sebarang struktur binaan Langat 2.
- Harga/tarif air akan ditetapkan oleh kerajaan Selangor.
- Operasi seluruh industri air akan disatu dan diuruskan oleh sebuah Special Purpose Vehicle (SPV) yang akan ditubuh oleh kerajaan negeri.
- Pelantikan dua pentadbir yang dicadangkan oleh kerajaan negeri untuk mentadbir industri air Selangor.
Kerajaan Selangor juga memberi jaminan, program air percuma melalui skim Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) akan kekal walaupun Langat 2 dibina.
Untuk menunjukkan betapa seriusnya kerajaan Selangor menyelesai program pengstrukturan industri air, kerajaan negeri membatal lesen air mentah yang sebelum ini diberi kepada Puncak Niaga Holdings Berhad dan lesen air mentah diserahkan kepada Kumpulan Darul Ehsan Berhad yang juga syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor.
Malah, Kerajaan Selangor juga akan memulakan projek 'Hybrid Off River Augmentation System' (HORAS) yang akan membekalkan air terawat antara 600 juta hingga 700 juta liter sehari kepada pengguna air sementara menunggu kerajaan persekutuan menguatkuasakan Seksyen 114 WSIA.
Projek HORAS akan mengurangkan kebergantungan Selangor kepada Langat 2 untuk mendapatkan bekalan air terawat.
RUMUSAN
Tidak adil menuduh MB Selangor u-turn ataupun tunduk kepada tekanan kerajaan persekutuan kerana kerajaan Selangor sudah menawarkan RM9.65 bilion kepada empat konsesi air dan tawaran itu ditolak dengan alasan penilaian aset air yang tidak memuaskan sedangkan kerajaan Selangor mengambil kira pelbagai faktor seperti pulangan ke atas pelaburan (ROI), liabiliti konsesi dan sebagainya.
Kita sedia maklum syarikat swasta dan persendirian akan mengutamakan keuntungan tanpa mengambil kira kepentingan rakyat terbanyak.
MB Selangor juga tegas untuk tidak tunduk kepada kerajaan persekutuan dalam urusan mengstruktur semula industri air di Selangor. Kebajikan rakyat tetap dijaga melalui penetapan tarif air yang akan ditentukan oleh kerajaan negeri dan program air percuma tetap diteruskan walaupun kerajaan persekutuan mengambil alih aset menggunakan Seksyen 114 WSIA.
Isu air tidak patut dipolitikkan dan dijadikan modal untuk menyerang individu tertentu. Kerjasama dengan kerajaan persekutuan perlu kerana perlembagaan persekutuan sudah dipinda dan meletakkan kuasa ke atas air dalam senarai bersama.
Seperti yang dilaungkan sesetengah pemimpin parti, kita perlu mencari titik temu bersama kerajaan persekutuan demi menjaga kepentingan rakyat.
Jangan hanya kerana permusuhan politik dalaman, isu air tidak selesai dan berlarutan sehingga menjejaskan kelancaran penstrukturan industri air Selangor.
* Disunting dari blog oskortos.blogspot.com.
Oleh : AFEEQA AFEERASHAH ALAM: Pembabitan Tun Mahathir Mohamed dalam gerakan menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak bukan sesuatu yang menghairankan kerana sejarah membuktikan perkara sama pernah berlaku ketika era bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.
Penulis buku politik, Shahbudin Husin, berkata tindakan menjatuhkan pemimpin yang tidak sebulu dengannya adalah perkara biasa bagi Mahathir, bahkan membuat penafian juga sudah sebati dalam gerak kerja politiknya selama ini.
Beliau berkata, perkara sama turut menimpa beberapa bekas pemimpin terkemuka Umno sebelum ini antaranya Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas disingkirkan Mahathir.
"Ketika hubungan tidak mesranya dengan Musa dihidu ramai pada awal 1980-an dulu, Mahathir beberapa kali menafikannya, bahkan beliau juga kerap menunjukkan sifat mesranya di depan umum dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
"Begitu juga dengan Anwar apabila beliau sering menafikan hubungan renggang mereka dan berulang kali menegaskan Anwar adalah penggantinya,bahkan sehari sebelum pemecatan Anwar ,pada 2 September 1998, beliau sekali lagi menafikan hubungan mereka bermasalah.
"Namun ,akhirnya Anwar bukan saja dipecat, bahkan juga dimalu, diaibkan dan dihantar ke penjara seperti tidak pernah bersahabat baik serta duduk makan semeja sebelum itu. Tetapi itulah Mahathir, apa yang dinafikan selalu yang dilakukannya," katanya di dalam blog.
Shahbudin berkata, gerakan untuk menggulingkan Najib yang dikaitkan dengan Mahathir bukan lagi rahsia Umno berikutan beberapa blogger pro-bekas Perdana Menteri Malaysia keempat itu semakin giat meningkatkan serangan dan kritikan terhadap Najib.
Beliau berkata, desakan supaya Najib segera berundur daripada jawatannya sebagai Perdana Menteri adalah bagi mengelakkan Barisan Nasional (BN) hilang kuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.
Katanya, selain Datuk A Kadir Jasin; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin juga secara terbuka mengkritik kelemahan Najib, sambil mengingatkan bahawa BN akan tumbang jika pilihan raya akan datang diadakan dalam suasana seperti yang ada kini.
"Kritikan terbuka Daim segera dikaitkan dengan Mahathir berikutan mereka mempunyai hubungan rapat yang kekal sehingga ke hari ini dan dikatakan selalu bertemu untuk berbincang berkenaan isu politik semasa.
"Walaupun menafikan berada di belakang gerakan mahu menjatuhkan Najib, beliau pada masa sama mulai kritis terhadap Najib dengan mengkritik sikap bermewah kerajaan dan menyokong kenyataan Daim dengan menyatakan pandangan bekas Menteri Kewangan itu ada asas dan kebenarannya.
"Mahathir juga seperti menyindir Perdana Menteri bahawa pemimpin sekarang lebih mengutamakan mencari kekayaan berbanding memberi khidmat kepada rakyat. Siapa pemimpin sekarang yang ghairah mencari kekayaan kalau bukan Najib dan keluarganya?" katanya.-NFN-
Oleh : NAZLI IBRAHIMSHAH ALAM- Demi kepentingan politik, MCA dilihat mula membuat 'pusingan U' dengan memberikan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menggagalkan rancangan membawa masuk Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Dewan Negeri Selangor.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berkata sebelum ini MCA adalah salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) juga dilihat kerap melancarkan pelbagai serangan yang tidak masuk akal terhadap Abdul Khalid.
"Sehinggakan MCA kini berkempen mereka sokong Abdul Khalid dan kata mereka kalau ingin Abdul Khalid kekal sebagai Menteri Besar, pengundi kena kalahkan Anwar.
"MCA sendiri sudah pandai guna nama Menteri Besar. Ini lawaknya arena politik Malaysia," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.
Kenyataan itu membuktikan MCA sebelum ini secara diam mengakui sokongan padu rakyat Selangor di atas prestasi cemerlang pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Selangor yang diterajui Abdul Khalid.
Bagaimanapun, Khalid yakin pengundi di Kajang tidak mudah diperbodohkan dengan permainan politik 'batu api' yang dimainkan parti MCA itu.
Sementara itu, ketika mengulas isu Pilihan Raya Kecil Kajang, Khalid berkata kemenangan Anwar mampu memperkukuhkan lagi kubu kerajaan PR Selangor darpadai serangan BN dan menyelesaikan isu dalaman PKR.-NFN-
Oleh : NAZLI IBRAHIMSHAH ALAM: Pakatan Rakyat (PR) dijangka mempunyai kelebihan berbanding Barisan Nasional (BN) daripada segi penggunaan isu yang mampu menambat hati pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang bakal dilangsungkan dalam masa terdekat.
Penganalisis Politik, Dr Maszlee Malik, berkata antara isu dijangka mampu mempengaruhi pengundi akan dibawa PR dalam PRK terbabit seperti kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.
"Di pihak PR memang kelebihan ada dengan isu berkisar kos sara hidup seperti kenaikan harga barang, kegagalan BN menunaikan janji sebelum pilihan raya umum tidak menaikan harga barangan keperluan utama atau tarif perkhidmatan tertentu," katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.
Dr Maszlee yang juga pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), berkata beliau menjangkakan pengundi Cina di Kajang ketika ini masih kekal dalam mood memilih calon PR sebagai wakil mereka di Dewan Negeri Selangor.
Sementara itu, BN pula pada peringkat awal akan memainkan isu perletakkan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang.
Katanya, isu peletakan jawatan itu secara perlahan akan hilang ekoran penerangan yang dibuat barisan kepimpinan PR.
"Ramai terkejut dengan perletakkan jawatan, tidak kira penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau pengundi biasa di peringkat akar umbi tetapi kita lihat dua tiga hari ini penjelasan oleh Rafizi, Dr Manuaty, Khalid Samad dan kepimpinan PR lain akan meredakan suasana. Jadi isu letak jawatan ini akan hilang.
"Manakala, isu prestasi ADUN lama bukan isu besar sebab bila Anwar bertanding, banyak isu nasional yang timbul," katanya.
Dr Maszlee berkata, BN tidak mempunyai banyak pilihan melainkan menggunakan strategi politik tipikal mereka dengan menyerang peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PR dalam PRK Kajang itu.
"Tun Mahathir sendiri sudah mula tidak menekankan isu persoalan perletakan jawatan ADUN PKR tetapi main isu peribadi Anwar. Menyerang peribadi Anwar juga bukan isu yang besar sebenarnya tetapi hanya itu sahaja pilihan yang BN ada ketika ini," katanya.-NFN-
Oleh : NAZLI IBRAHIMSHAH ALAM: Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) didapati gagal bersaing disebabkan kebanyakan harga barangan yang ditawarkan kedai serbaneka terbabit tidak kompetitif dengan pesaing lain.
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, kegagalan itu disumbangkan wang RM40 juta yang diperuntukkan tahun ini kepada projek KR1M tidak disalurkan bagi membantu menurunkan harga barangan yang dijual, sebaliknya dilaburkan untuk membuka lebih banyak cawangan kedai berkenaan.
"Tahun ini, peruntukan RM40 juta diberikan untuk menubuhkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) kerana kononnya KR1M adalah jawapan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat tetapi Barisan Nasional (BN) tidak memperuntukan satu sen pun untuk menurunkan harga barang yang dijual di kedia itu.
"Keseluruhan peruntukan RM40 juta itu adalah untuk ubah suai kedai untuk dijadikan KR1M. Jadi, sebab itu KR1M tidak ada kesan langsung untuk meringankan kos sara hidup rakyat tetapi lebih banyak memberi manfaat kepada mereka yang berada di belakangnya yang saya difahamkan banyak membabitkan pasaraya Mydin.
"Keadaan ini seperti memberi satu lagi jalan kepada pihak swasta bagi mendapat wang daripada kerajaan untuk membuka KR1M, namun tidak beri kesan positif kepada kehidupan rakyat," katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, baru-baru ini.
Katanya, kerajaan harus peka dengan mengambil langkah drastik dan menyediakan barangan yang mempunyai kualiti munasabah pada harga berpatutan di saat rakyat bergelut menanggung tekanan kos sara hidup yang semakin melonjak sejak kebelakangan ini.
"Seharusnya, pada masa ini BN kena bertindak bagaimana untuk menunaikan akujanji dalam manifesto mereka yang kononnya mahu bantu ringankan kos sara hidup rakyat tetapi masih tidak nampak langkah konkrit yang diambil," katanya.
Beliau berkata, langkah mewujudkan lebih banyak cawangan KR1M seperti yang terkandung dalam manifesto tidak akan membantu meringankan kos sara hidup rakyat jika KR1M gagal menawarkan harga kompetetif berbanding pesaing lain.
Ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN dalam manifestonya menyatakan akan menambah bilangan KR1M bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.-NFN-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan