Jumaat, 23 Ogos 2013

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


ALHUSSEYN

Posted: 23 Aug 2013 03:28 PM PDT

Melalui entri saya kelmarin di sini, saya telah menerima komentar dari seorang pengunjung yang menulis :

Masih wujudkah Agenda UG(PAS)? Selepas sekian lama berlalu, hari ini jelas apa yang berlaku bukan pertembungan "Profesional vs Ulamak", tetapi hakikat sebenarnya adalah rentetan kemelut "Pertembungan Ijtihad TGNA dengan TGHH" dalam soal UG (PAS). 2009, TGHH sudah menarik balik cadangan UG. Adakah ia ditarik secara mutlak, atau ditarik sementara waktu kerana ramai yang belum memahami konsep UG dan diberi harapan akan dikaji di masa depan (iaitu sehingga hari ini)? Momentum UG masih kuat?? 

Jawapan saya adalah seperti berikut ~ Salam, baca dgn teliti apa yg telah saya nyatakan , persoalan anda itu ada jawapannya dalam entri tersebut. Walau apa pun saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengulas lebih lanjut mengenai isu "Profesional vs Ulamak" 

 Sebenarnya tidak ada apa yang dinamakan sebagai "Profesional vs Ulamak" di dalam PAS. Yang sepatutnya ada ialah memprofesionalkan Ulama dan mengulamakan Profesional. Itulah gandingan Profsional dan Ulama yang sepatutnya berlaku didalam PAS.

Akan tetapi ada segolongan yang lebih suka memisahkan diri mereka dan menganggap bahawa mereka sahaja yang berhak untuk memimpin PAS. Kalangan ini menggelarkan diri mereka sebagai 'ulama' walaupun sekadar berstatus ustaz biasa sahaja. 

Golongan yang mengaku sebagai ulama bersama penyokong-penyokongnya pula melabelkan kalangan yang tidak ada status 'Ustaz'sebagai golongan 'Profesional'.

Pertembungan "Profesional vs Ulamak" masih lagi berterusan. 

Cumanya golongan UG ini (yang mengaku/menyamar sebagai 'Ulama') melabelkan kalangan 'profesional' ini dengan label-label seperti Anwarinas, Islam Liberal, Erdogan dan menjadikan 'Isu Syiah' dikhususkan kepada Mat Sabu.

Geng UG terhegeh-hegeh mahukan jawatan dalam kerajaan atas kuasa perpaduan Melayu.Sebaliknya Umno hanya mahu melemahkan PAS dan memecahkan PR dgn isu ini.

Yang menjadi persoalannya ialah kenapa sehingga ke hari ini TGHA tidak pernah cuba mengadakan seminar mengenai ideanya itu, sedangkan beliau begitu optimis sekali dengan berkata - "dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dasarnya, Abdul Hadi berkata, beliau yakin idea kerajaan perpaduan akan difahami dan diterima semua pihak suatu hari nanti(di sini)

Setiap ahli PAS berhak untuk bertanding mana-mana jawatan didalam parti. 

Tidak dinafikan, bahawa jawatan-jawatan penting dalam hirarki kepimpinan PAS seperti presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, perlu dipegang oleh kalangan tertentu yang berwibawa.

Selain menunjukkan akhlak yang terpuji, bebas dari sebarang bentuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa, mereka ini perlu lebih bijak dalam mengolah strategi politik dan dalam menghadapi tipu helah politik.

Para perwakilan perlu bijak dalam menilai kewibaan mereka untuk dipilih ke jawatan kepimpinan eksekutif PAS ini melalui kad laporan mereka selama ini. 

Kesinambungan Konsep Kepimpinan Ulama.

Namun ada juga yang mahukan jawatan presiden dan timbalan presiden dikhususkan hanya kepada mereka yang bergelar ulama sahaja. Alasan mereka ialah, PAS perlu meneruskan konsep kepimpinan ulama.

Atas alasan dan keperluan mahu meneruskan konsep kepimpinan ulama ini, maka secara otomatis, muncul kecenderungan melabelkan orang ini ulama dan orang itu bukan ulama.Lalu terpancullah istilah Ulama vs Profesional. Istilah sebegini muncul setiap kali akan datangnya pemilihan dalam muktamar Agong PAS.

Ada yang menganggap ramai kalangan ahli yang salah erti konsep kepimpinan ulama ini lalu menimbulkan sedikit kekeliruan.

Dalam perlembagaan parti, jawatan presiden dan ke bawah boleh sesiapa sahaja yang layak untuk memimpin; tiada masalah baik ulama atau profesional.

Konsep kepimpinan ulama sepatutnya ditekankan dalam Majlis Syura, bukannya diterjemahkan ke atas jawatan-jawatan eksekutif parti Islam itu. 

Golongan ulama seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Dr Harun Din, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Taib Azzamudin dan lain-lain lagi, lebih layak menduduki Majlis Syura Ulama PAS Pusat dan Dewan Ulama PAS.

Mereka ini perlu memfokuskan agenda memahamkan rakyat dengan ciri-ciri negara Islam yang diperjuangkan PAS yang selari dengan nilai-nilai demokrasi dan keadilan sejagat.

Dalam masa yang sama, mereka inilah yang akan mengawasi dan menasihat kepimpinan eksekutif PAS jika timbul sebarang percanggahan dengan prinsip perjuangan Islam PAS. Di sinilah berlaku timbangtara di antara kepimpinan eksekutif dengan kepimpinan dalam Majlis Syura Ulama PAS.Bukankah sepatutnya begini konsep kepimpinan ulama dalam PAS atau bagaimana?

DIALOG RAKYAT

Posted: 23 Aug 2013 03:09 PM PDT

Zahid 'cabar' Waythamoorthy letak jawatan Timb. Menteri

Posted: 23 Aug 2013 03:55 AM PDT


gambar hiasan

gambar hiasan

KUALA LUMPUR,: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,P. Waythamoorthy supaya berhenti memegang jawatannya sekarang berikutan tidak puas hati dengan tindakan pihak polis.

Cabaran Zahid ekoran Waythamoorthy mempersoalkan tindakan pihak polis berhubung kes tembakan ke atas lima penjenayah yang disyaki ahli kongsi gelap 04 di Pulau Pinang Ahad lalu.

Menurut Zahid sebagai seorang anggota kerajaan Waythamoorthy tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan dasar yang ditentukan kerajaan.

"Jangan ingat beliau masih lagi pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) saya cadangkan dia (Waythamoorthy) berhenti (memegang jawatan timbalan menteri) kalau nak bercakap di luar dari bidang dia." kata Zahid yang dipetik dari laporan media cetak arus perdana.

Waythamoorthy sebelum ini mempersoalkan tindakan pihak polis kerana mendakwa sukar mempercayai berlaku kejadian tembak -menembak selepas melihat gambar mayat yang mati ditembak.

Sebelum ini juga Pakatan Rakyat juga turut membuat bantahan berikutan persepsi yang sama dengan apa yang dicetuskan Waythamoorthy. – mza

Modus operasi terbaru penjenayah di stesen minyak

Posted: 23 Aug 2013 03:50 AM PDT


Berikut tulisan yang saya petik daripada beberapa blog berhubung dengan taktik penjenayah di stesen untuk diambil perhatian oleh pembaca.

Berhati-hati dengan jenayah terbaru di Malaysia!

Sila share kan sebanyak mungkin untuk kebaikan bersama.

Ini telah dihantar asalnya oleh seorang anggota polis Malaysia pada FB.
Berkongsilah dengan semua orang yang anda tahu, terutamanya isteri, adik-beradik anda, kawan-kawan perempuan dan rakan-rakan.

Di stesen minyak, akan seorang lelaki datang dan memperkenalkan diri beliau sebagai pelukis kepada wanita untuk menawarkan perkhidmatan mengisi petrol ke dalam kereta wanita itu dan meninggalkan biznes kad. Beliau tidak berkata apa-apa tetapi menerima kad beliau kerana kebaikan lelaki itu dan terus masuk ke dalam kereta. Lelaki itu kemudian masuk kedalam kereta yang dipandu oleh orang lain.

Apabila wanita meninggalkan stesen minyak, dia melihat lelaki tersebut keluar dari stesen itu pada masa yang sama. Hampir serta-merta, dia mula berasa pening dan tidak dapat manarik nafas dengan sempurna.

Dia cuba untuk membuka tingkap dan menyedari bahawa bau adalah pada tangannya; tangan yang sama digunakan menerima kad dari orang di stesen minyak semasa menerima perkhidmatan dari lelaki tadi.

Biarkan Ordinan Darurat dalam kubur

Posted: 23 Aug 2013 03:48 AM PDT


Baik dalam Parlimen atau di luar Parlimen ahli ahli Parlimen BN kuat meneriak agar Ordinan Darurat ( EO )  yang telah dimansuhkan dan kini berehat di dalam kubur untuk dihidupkan semula. Alasan mereka hanya dengan EO gejala jenayah berat dapat diselesaikan. Mantan Ketua Menteri Melaka , Ali Rustam pergi lebih jauh lagi - beliau menyalahkan pemimpin Pakatan Rakyat ( PR ) di atas segala jenayah pembunuhan ala mafia yang berlaku sekarang. Mahathir pula menyatakan Kerajaan BN menggadaikan kebebasan dengan pemansuhan EO.

Mantan Ketua Polis Negara (KPN ) , Rahim Noor dan KPN pula mahukan Kerajaan menghidupkan semula EO. Agak lucu juga Rahim Noor bercakap tentang jenayah dalam keadaan beliau sendiri telah gagal memastikan keselamatan orang yang ditahan di lokap polis-tempat yang sepatutnya paling selamat-benar benar selamat. Adakah beliau telah lupa bagaimana beliau sebagai KPN telah mencederakan Anwar Ibrahim di dalam lokap polis. Jika polis melakukan jenayah sudah dikira jijik bagaimana pula jika Ketua Polis  yang melakukan jenayah dan jenayah pula dilakukan di dalam lokap polis?

Adakah benar EO ubat yang mujarab bagi menyelesaikan jenayah berat seperti kongsi gelap? Jika benar sudah pasti sudah lama gejala kongsi gelap telah dapat diselesaikan kerana EO hanya dimansuhkan setelah usia EO  mencapai usia emas.Seperti yang kita tahu EO membenarkan penahanan tanpa bicara seperti ISA, maka sepanjang tempoh EO masih hidup dan bernyawa logiknya sudah tentu sudah ramai ketua ketua kongsi gelap yang berjaya ditahan sekaligus segala kegiatan dan modus operandi mereka sudah boleh dikenal pasti. Jadi mengapakah ketua polis masih mengeluh kita masih masih perlukan EO?

Hakikatnya EO bukan sahaja digunakan ke atas penjenayah berat malahan penjenayah biasa yang terlibat dengan kesalahan yang dikira kecil juga menjadi mangsa EO. Peguam yang biasa mengendalikan jenayah tahu sangat perkara ini. Tapi itu bukan isunya mengapa PR dan mana mana individu yang prihatin meminta EO dimansuhkan.

Ya, jenayah berat isu kita bersama.Namun sejahat mana pun seorang penjenayah mereka masih seorang manusia. Mereka ada hak iaitu hak sebagai seorang manusia. Hak ini adalah hak yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia itu. Hak itu wujud sebelum wujudnya mana mana undang undang di negara di dunia ini. Hak itu hak yang sentiasa ada sekalipun tiada apa apa undang undang dalam mana mana negara. Di dalam bahasa ingggeris ianya dikenali sebagai "inalienable rights".

Atas dasar itu apabila Presiden Amerika Thomas Jefferson mengumumkan Perisytiharan Kemerdekaan ( Declaration of Independence ) di dalam perenggan kedua Perisytiharan Kemerdekaaan tersebut wujudnya kata kata ini " kami menerima perkara berikut sebagai satu kebenaran yang nyata iaitu semua manusia dilahirkan sama dan mereka dikurniakan oleh Pencipta mereka beberapa hak yang tidak boleh dipisahkan dari mereka ..". Ada sarjana undang undang yang menyatakan kata kata tersebut menunjukkan wujudnya pengaruh Islam dalam Perisytiharan Kemerdekaan tersebut. Mereka yang mempelajari sejarah Islam sudah tentu arif dengan kata kata Khalifah Islam Syaidina Umar r.a kepada Gabenor Mesir , Amru Al-As " sejak bilakah kamu diberi izin memperhamba sesama manusia sedangkan ibu ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan bebas". Kata kata syaidina Umar itu ditujukan kepada Gebenornya sendiri apabila anak Gabenor memukul rakyat biasa sambil membanggakan dirinya dengan kata-kata " ana ibnu al -akramin" ( aku anak orang yang mulia).

Antara hak orang yang ditahan yang tidak boleh dipisahkan dari mereka sejahat mana mereka sekalipun adalah hak untuk dianggap tidak bersalah melainkan dibuktikan bersalah dan termasuk hak itu adalah hak untuk dibicarakan dan sekaligus hak untuk membela diri. Kerana hak itu bersifat azali maka sebab itu Perlembagaan Persekutuan juga mengiktiraf hak tersebut dalam Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan. Malangnya pemimpin Umno/BN , Rahim Noor dan KPN yang ada ini tidak ambil peduli hak hak ini. Bagi mereka menahan tanpa bicara sekalipun bertentangan dengan prinsip keadilan dan prinsip asas undang undang jenayah iaitu seseorang dianggap tidak bersalah adalah suatu perkara yang remeh dan tidak perlu diambil berat. Persoalannya bagaimanakah kita nak meremehkan sesuatu hak yang Pencipta manusia itu sendiri berikan?

Satu kesilapan dalam berfikir pemimpin Umno , Rahim Noor dan KPN adalah mereka membuat anggapan apabila ada rakyat yang bercakap tentang hak orang yang ditahan mereka dikira tidak ambil berat kepada mangsa jenayah. Anggapan ini amat amat salah. Mana mungkin PR memandang remeh kepada mangsa penjenayah kerana mana mana mangsa penjenayah itu  sudah tentu dalam apa keadaan sekalipun mempunyai hubungan dengan mana mana pemimpin atau ahli ahli PR sama ada saudara mereka atau jiran mereka atau paling kurang rakyat senegara.

PR mahu gejala jenayah berat dibanteras. Mereka perlu ditangkap tetapi mestilah dibicarakan. Jika perbicaraan ke atas mereka sukar disabitkan kerana  masalah untuk dikemukakan keterangan dan bukti apa yang perlu dilakukan bukan menahan mereka tanpa bicara sebaliknya undang undang keterangan bagi pengemukaaan bukti bagi kes berat boleh dikaji semula tanpa kompromi perbicaraan yang adil. Sebagai satu contoh amat sukar untuk membuktikan pengedaran dadah dalam perbicaraan kes dadah. Sebab itulah undang undang dadah dipinda dengan memperkenalkan pembuktiaan melalui anggapan atau pembuktian melalui agen provokator (polis yang menyamar). Ini dilakukan tanpa melenyapkan hak orang yang ditahan untuk dibicarakan.

Apa yang kita  takut dan mempunyai sebab untuk takut apabila didedahkan oleh bekas bekas pegawai polis yang berpangkat tinggi gejala jenayah kongsi gelap dan pembunuhan ala mafia ini terus berlaku kerana penglibatan pegawai pegawai polis  dan ahli ahli politik. Apa yang berlaku kepada mendiang Altantuya membuktikan dakwaan itu bukan suatu yang kosong. Bagaimanakah bom C4 yang digunakan untuk meletup banggunan boleh terlepas begitu sahaja. Bagaimanakah anggota anggota keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan Menteri boleh terlibat dalam pembunuhan ngeri sebegitu. Ini yang patut kita bincangkan bukan beri nyawa sekali lagi kepada EO!!!

*Penulis adalah Ahli Parlimen Sepang

PAS: Siapakah yang membunuh Altantuya?

Posted: 23 Aug 2013 03:29 AM PDT

Persoalan berhubung siapakah pembunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibu timbul kembali berikutan dengan keputusan mahkamah hari ini.

Mohamad Sabu (gambar) menyatakan rasa terkejut beliau berhubung pembebasan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia itu oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Menurut Timbalan Presiden PAS itu, perkara seperti tu tidak seharusnya berlaku kerana pembebasan tersebut menambah lebih banyak persoalan yang belum terjawab.

 "Saya amat terkejut dan tidak menyangka mahkamah akan membuat keputusan begini, jadi sekarang ini semua rakyat Malaysia tertanya-tanya apakah yang berlaku sekarang ini? Siapakah yang membunuh Altantuya? bagaimanakah Altantuya ini boleh terbunuh, adakah dia meletupkan dirinya sendiri atau bagaimana" kata Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu itu apabila dihubungi The Malaysian Insider.

"Seperti ada sesuatu yang tidak kena namun bila kita cuba nak suarakan keraguan nanti pihak kerajaan kata kita cuba menghina keputusan mahkamah, saya pula akan didakwa maka inilah yang rakyat kena terima maka kes ini akan dibiarkan tidak berkesudahan seperti kes lain yang melibatkan kalangan pemimpin tertinggi," tambah beliau lagi.

Mohamad mengulas pembebasan dua bekas komando polis hari ini selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan mengubah sabitan terhadap tuduhan membunuh warga Mongolia itu pada 2006.

Panel tiga hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara membenarkan permohonan rayuan Azilah dan Sirul.

Kedua-duanya sebelum ini disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan membunuh Altantuya, 28, di hutan simpan, Shah Alam pada 2006.

Mereka pada ketika itu bertugas di UTK Bukit Aman dan berada dalam pasukan keselamatan Datuk Seri Najib Razak.

Najib pada ketika itu merupakan timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan.

Keputusan mahkamah hari ini turut mendapat perhatian dan menjadi topik bagi warga siber di Internet apabila rata-ratanya meluahkan kecurigaan.

Antara persoalan paling kerap diutarakan ialah bagaimana rupa bekas polis Azilah Hadri dan Siru Azhar Umar? Mengapa DSP Musa Safri tidak dipanggil memberi keterangan?

Dan soalan yang terus berada di ruang siber, siapa bunuh Altantuya?

Kebanyakan ulasan yang dibuat di talian bernada sinis dengan salah seorang pengguna Internet, Isana berkata: "Wow! Kalau begitu, Altantuya pasti masih hidup kerana tidak ada sesiapa membunuhnya. `Endless Possibilities' hanya berlaku dalam 1Malaysia.

Kes Altantuya: Warga internet luah marah di ruang siber

Posted: 23 Aug 2013 03:27 AM PDT

Altantuya Shaariibuu. Altantuya Shaariibuu. 

Bagaimana rupa bekas polis Azilah Hadri dan Siru Azhar Umar? Mengapa DSP Musa Safri tidak dipanggil memberi keterangan?

Ini adalah dua soalan yang kerap ditanya di ruang siber apabila pengguna internet (netizen) memberi ulasan yang meluap-luap terhadap pembebasan dua anggota polis berkenaan daripada tuduhan membunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Berikutan keputusan mahkamah hari ini, ada pelbagai kemungkinan yang tiada berpenghujung mengenai apa yang berlaku kepada kes Altantuya, yang meletakkan Malaysia di peta dunia atas sebab yang salah.

 Dan soalan yang terus berada di ruang siber, siapa bunuh Altantuya?

Kebanyakan ulasan yang dibuat di talian bernada sinis dengan salah seorang netizen, Isana berkata:"Wow! Kalau begitu, Altantuya pasti masih hidup kerana tidak ada sesiapa membunuhnya. `Endless Possibilities' hanya berlaku dalam 1Malaysia."

Satu lagi, Rayfire mengulas,"Ya, `Endless possibilities' untuk menipu, membunuh dah bebas! Keadilan mesti dan akan ditunjukkan oleh Yang Berkuasa."

Sebahagian yang lain tertanya-tanya sama ada masyarakat akan dapat mengenali bagaimana rupa Azilah dan Sirul.

"Muka mereka ditutup dari hari pertama, setiap kali mereka dibawa masuk dan keluar mahkamah," kata Mr M.

"Bagaimana mereka berdua dibenarkan menutup muka mereka sejak hari pertama? Adakah itu supaya apabila mereka dibebaskan, tidak ada sesiapa yang tahu siapa mereka dan bagaimana rupa mereka? Jika mereka tidak dibebaskan sekali pun, tidak ada siapa akan tahu sama ada mereka benar-benar digantung sebab tiada yang tahu rupa mereka! *teori konspirasi*".

Sebahagian yang lain meluahkan rasa kecewa terhadap sistem keadilan yang memutuskan pembebasan itu walaupun ada yang kata, itu memang dijangkakan berlaku.

Netizen Angel mendakwa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sengaja tidak memanggil DSP Musa memberi keterangan di mahkamah.

"Peguam negara tidak tahu bagaimana hendak mengendalikan kes itu. Dia sengaja tidak memanggil Musa Safri, pegawai khas Najib. Dia akan mengikut arahan Najib," kata Angel dalam ulasannya.

Pihak pendakwa tidak memanggil Musa, perkara yang dibangkitkan dalam penghakiman Mahkamah Rayuan hari ini, bahawa `saksi material tidak dipanggil beri keterangan, termasuk Musa'.

Altantuya dikatakan menjadi kekasih penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, tetapi, kemudian memburunya dan meminta komisen yang tinggi, kononnya atas bantuan membantu dalam urusan pembelian dua kapal selam untuk Malaysia.

Razak kemudian mengupah penyiasat upahan P Balasubramaniam untuk memerhatikan wanita itu ketika dia datang ke Malaysia.

Apabila Altantuya muncul di luar rumah Razak pada 18 Oktober 2006, polis menahannya dan itu adalah kali terakhir dia dilihat hidup.

Netizen Justice Pao memberi komen:"Sungguh memalukan! Altantuya tidak dibunuh, jadi mesti dia menjerut dan menembak dirinya di belakang kepala menggunakan alat khas, kemudian guna C4 untuk meletupkan dirinya!"

Seornag lagi netizen, Longjaafar dalam postingnya berkata:"Satu ketika dulu, seseorang kata Anwar Ibrahim menumbuk mukanya sendiri. Sama seperti ini, Altantuya bom dirinya."

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga terkait dalam kontroversiti itu.

Satu tweet berkata,"Keputusan berunsur politik untuk melindungi Najib, Rosmah? Bekas pengawal peribadi bebas daripada pembunuhan Altantuya".

Ramai netizen turut mengucapkan takziah kepada bapa Altantuya, Dr Setev Shaariibuu, yang mereka gelar sebagai `adalah lelaki paling sedih di dunia hari ini'.

KJ jangan lupa kementeriannya ialah belia dan sukan

Posted: 23 Aug 2013 03:17 AM PDT


Oleh Shahbudin Husin

Sebaik habis mesyuarat kabinet tengahari tadi, Khairy Jamaluddin menulis di twitternya memaklumkan kerajaan bersetuju membatalkan cadangan menyenaraikan peminjam PTPTN yang gagal membuat pembayaran daripada disenaraikan melalui CCRIS atau Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno dan Menteri Belia dan Sukan, turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan atas keputusan itu yang disifatkannya sebagai memahami kehendak orang muda.

Soalnya, kenapa KJ begitu tergesa-gesa membuat makluman mengenai keputusan kabinet itu sedangkan portfolio pendidikan bukan bidang tugasnya. Kementerian Pendidikan di bawah tanggungjawab Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Pendidikan Pertama dan Idris Jusoh sebagai Menteri Pendidikan Kedua.

Sebelum ini cadangan mahu menggunakan CCRIS diumumkan oleh Idris Jusoh dan ia mendapat mendapat reaksi yang pelbagai. Pembangkang rata-ratanya tidak bersetuju dengan cadangan itu dan mengecam Idris Jusoh atas lontaran cadangan yang disifatkan bakal membebankan lagi graduan lepasan universiti.

Dalam Umno pula, KJ sebagai Ketua Pemuda Umno adalah satu-satunya pemimpin kanan Umno yang membantah cadangan itu atas alasan ia akan membebankan anak muda yang baru keluar universiti, selain pinjaman PTPTN juga dianggapnya berbeza dengan pinjaman bank atau institusi kewangan yang memerlukan tindakan sekeras itu perlu diambil.

Sikap KJ itu, walaupun dipuji tetapi turut mendapat kritikan beberapa pihak dalam Umno yang menyifatkan KJ sebagai anggota pentadbiran kerajaan sepatutnya menyokong cadangan itu atau membantu memberi penjelasan mengenainya dan bukannya mengemukakan bantahan secara terbuka melalui media.

Ada juga yang berpendapat, kalau pun tidak bersetuju, KJ sepatutnya menyuarakannya melalui saluran mesyuarat dan bukannya menunjukkan penentangan terhadap cadangan menteri lain secara terbuka.

Selepas kabinet yang bermesyuarat hari ini bersetuju pula membatalkan cadangan yang dikemukakan Idris Jusoh itu, KJ juga dianggap tidak sepatutnya begitu cepat memaklumkan perkara itu kepada umum melalui tulisan di twitternya.

Sepatutnya berilah peluang Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan yang mengumumkannya. Atau biarkan Idris Jusoh yang dulunya melontarkan cadangan itu memaklumkan keputusan kabinet itu.

Dalam hal ini, walaupun KJ satu-satunya menteri yang membantah cadangan penggunaan CCRIS itu tetapi tidak bermakna apabila kabinet membatalkannya, beliau juga mempunyai hak untuk mengaut kredit daripadanya.

Ramai yang menyifatkan apabila kabinet yang memutuskan pembatalan cadangan itu, ia sudah menjadi hak Kementerian Pendidikan pula mengumumkannya manakala menteri yang lain sepatutnya menghormati portfolio yang dipertanggungjawabkan kepada masing-masing serta tidak cuba melangkaui sempadan yang sepatutnya.

Dalam isu CCRIS ini nampaknya keuntungan politik semuanya menjadi milik KJ. Sama ada ini disebabkan keghairahannya yang keterlaluan sebagai menteri paling muda atau kecekapannya menggunakan media sosial, hakikatnya ini sesuatu yang tidak seharusnya dibiarkan berterusan dalam kerajaan pimpinan Najib ini.- shahbudindotcom.blogspot.com

100 hari Mukhriz masih dibayangi Mahathir

Posted: 23 Aug 2013 03:13 AM PDT

Oleh Zulkifli yahaya 
 
Datuk Mukhriz Mahathir - dengan imej jubah berkopiah muncul di mana-mana, di paparan billboard dan banner seluruh Kedah. Di luar papan iklan pun imej sebenar Mukhriz kelihatan agak 'Islamik'. 

Sewaktu para Exconya turun ke program rasmi dengan baju Melayu bersamping, Menteri Besar Kedah itu pula hanya berkopiah putih dan berkain pelikat. Di waktu Subuh, ramai jemaah masjid yang terkejut kerana tiba-tiba Mukhriz muncul bersolat subuh.  

 Jarang sekali para pemimpin Umno dapat turun ke pondok-pondok pengajian di Kedah tetapi Mukhriz boleh melakukannya. Beliau hadir dan diraikan.

Dahulu, penguasa pusat pendidikan Islam, khususnya pondok dan sekolah agama rakyat di Kedah agak terasing dengan Umno. Mungkin kerana dianggap kubu PAS. Di era Mukhriz bukan setakat Umno tiada masalah dengan banyak pondok, NGO yang bergerak atas nama tahfiz dan pusat pengajian juga tidak kekok berkunjung hormat ke pejabat Menteri Besar. Itu kelebihan Mukriz yang tidak mampu dilakukan oleh Menteri Besar Kedah dari Umno sebelum ini.

Kuliah agama di Seri Mentaloon yang diwujudkan di zaman Ustaz Azizan, diteruskan selepas terhenti beberapa ketika, walaupun kehadiran orang ramai yang mengikuti kuliah jauh merosot. 

"Kita akan meneruskan apa-apa program yang baik untuk rakyat yang dimulakan oleh kerajaan lalu," katanya. Beliau meneruskan pemberian sumbangan saguhati untuk guru-guru Al-Quran dan bidan kampung. Khabarnya juga mereka akan meneruskan pemberian bantuan untuk para pelajar yang memasuki IPTA dan pemberian Kafalah seperti yang dimulakan oleh kerajaan lalu.

Hari ini gambar Mukhriz terpampang di mana-mana, di seluruh negeri Kedah. Ala-ala Sadam Husein sewaktu jadi Presiden Iraq dulu. Hinggakan banner kuliah agama di Seri Mentaloon pun bukan gambar penceramah yang terpampang tapi wajah Mukhriz.

"Kalau macam ni susahlah nampaknya PAS nak ambik balik Kedah," ujar seorang rakan aktivis. "Baru 100 hari mana boleh buat andaian, masih ada empat tahun lebih lagi... macam-macam boleh berlaku," lantas saya menyanggah.

Sebenarnya lebih banyak sisi yang tempang bagi Mukhriz sepanjang 100 hari, namun berjaya diselindungi di sebalik imej lahiriah bikinannya. Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid pernah 'berpesan' kalau jadi menteri jangan layan sangat wartawan. Mengapa? "Supaya apabila wartawan bertanya, tak nampak sangat bahawa kita tak tahu," ujar Sanusi.

Mukhriz menerima bidasan dari Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar apabila mendakwa Kolej Universiti Insaniah (KUIN) adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) apabila KUIN dijadikan badan berkanun oleh kerajaan negeri.

"Ini Mukhriz bercakap tanpa panduan bapanya, kalau bapanya yang nasihat boleh tahan jugalah kenyataan, bila dia bercakap sendiri terus tak betul," ujar Mahfuz.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, pendaftaran KUIN dibuat adalah mengikut Akta IPTS 1996 dan sijil yang  dikeluarkan mengesahkan bahawa KUIN adalah IPTS dan bukan IPTA, walaupun kemudian KUIN jadi badan berkanun.

Kemelut KUIN yang berpanjangan tidak dapat diselesaikan oleh Mukhriz dalam masa 100 hari sekalipun KUIN menjadi agenda utama dalam manifesto Umno dalam PRU13 lalu dan sekalipun beliau sendiri 'mencemar diri' turut menyertai himpunan pemberontak KUIN membelasah kerajaan PR sewaktu jadi pembangkang dahulu. Insaniah Holdings Sdn. Bhd. (IHSB) merupakan anak syarikat KUIN dianggap Umno sebagai bebanan suatu masa dahulu, kini selepas Mukhriz terajui kerajaan beliau kelihatan tidak tahu untuk membuat keputusan terhadap IHSB.

IHSB digantung tidak bertali dan 268 kakitangannya dilaporkan tidak menerima sesen pun gaji sejak Umno mengambilalih Kedah 5 Mei lalu. Mukhriz tersasul lagi apabila mendakwa IHSB tiada kaitan dengan kerajaan negeri sedangkan ia adalah syarikat milik penuh KUIN, manakala Mukhriz selaku Menteri Besar adalah Pengerusi Lembaga Pengarah IHSB. Jawapan popular yang diberikan beliau apabila diajukan soalan berhubung KUIN ialah kerajaan 'sedang mengkaji'. 100 hari masa berlaku, roket Apollo mampu berulangalik dari bumi ke bulan lebih enam kali namun kerajaan Umno Kedah belum selesai mengkaji.

Menurut sumber dalaman banyak isu tertunggak, khususnya berkaitan GLC tidak dapat dibuat keputusan oleh Mukhriz. Berbeza dengan Ustaz Azizan Razak yang mendalami sendiri setiap isu berkaitan pentadbiran ataupun GLC, sebaliknya Mukhriz hanya menyerahkan mandat kepada exconya sedangkan sebahagian exco termanggu-manggu tidak berani membuat keputusan. Pentadbiran Mukriz jauh lebih lemah berbanding Ustaz Azizan.

Soalan cepu emas, dalam masa 100 hari adakah Mukhriz masih dibayangi oleh arahan bapanya Tun Mahathir? Ramai yakin bahawa beliau belum bebas sepenuhnya dalam membuat keputusan. Pernah satu keputusan dibuat di peringkat pentadbiran negeri untuk membangunkan Pantai Chenang, Langkawi dengan susunatur baru sesuai dengan imej Langkawi sebagai pusat pelancongan bertaraf dunia. Cadangan ini juga mula dicetuskan sewaktu kerajaan PR dahulu. Apabila maklumat tersebut sampai kepada Tun Mahathir, beliau membantah. Maka Mukhriz pun  dengan muram durja datang membawa 'titah' kepada pihak berkuasa tempatan bahawa "Tun tidak benarkan." Mungkin Tun ada hujah sendiri tetapi soalnya siapa Menteri Besar sebenarnya, Mukhriz atau Tun?

Begitu juga pelan kompleks Pekan Rabu baharu yang bakal dibina. Sehingga mendapat persetujuan Tun, baru projek boleh dimulakan.

Di awal pentadbiran, Mukhriz pernah menegaskan bahawa kerajaan hanya bersedia melaksanakan projek yang bawa keuntungan. Projek pendidikan KUIN, katanya, hanya ibarat mencurah air ke daun keladi. Ini cara berfikir Tun Mahathir yang sering nampak duniawi sahaja seolah-olah tiada perhitungan akhirat.

100 hari berlalu sepatutnya Mukhriz mampu menggilap diri dengan bebas tanpa bayangan sesiapa tapi nampaknya beliau masih dibayangi Tun.

Karpal panggil PM, Musa Safri dalam tuntutan sivil bapa Altantuya

Posted: 23 Aug 2013 03:03 AM PDT

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas pegawai khasnya, DSP Musa Safri akan disapina untuk memberi keterangan dalam tuntutan sivil yang difailkan Setev, bapa Altantuya Shaariibuu.

Peguam Karpal Singh (gambar), yang menjadi peguam pemerhati bagi pihak Setev, berkata beliau akan mendesak tuntutan itu didengar tidak lama lagi.

Setev memfailkan tuntutan sivil RM100 juta terhadap Abdul Razak Baginda, Azilah Hadri, Sirul Azhar Umar dan kerajaan Malaysia pada Jun 2007.

 Tuntutan itu ditangguhkan berikutan memberi laluan terlebih dahulu kepada rayuan yang difailkan Azilah dan Sirul. Kedua-dua anggota polis itu dibebaskan hari ini sementara Razak yang dituduh bersubahat dengan kedua-duanya itu dibebaskan pada Oktober 2008.

"Kita kini akan memanggil perdana menteri dan Musa. Musa tidak boleh bertindak sendiri," katanya di Shah Alam, hari ini.

Karpal berkata, di sebalik pembebasan Azilah dan Sirul, Setev masih mempunyai jalan menerusi tuntutan sivil.

"Ini akan menjadi peluang membuktikan salah di atas keseimbangan kemungkinan.

"Saya akan mengaktifkan tuntutan itu untuk kes itu ditetapkan bagi pengurusan kes," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ada kemungkinan tuntutan kes itu kekal ditangguh berikutan rayuan yang mungkin difailkan Pejabat Peguam Negara berikutan keputusan mahkamah hari ini.

Ketika ditanya sama ada pembebasan itu akan dibawa kepada tuntutan sivil, Karpal berkata,`ya'.

"Kita masih boleh menggunakan ini untuk menghukum mereka. Kes pemain bola Amerika, OJ Simpson contohnya. Dia dibebaskan atas tuduhan membunuh isterinya, tetapi kemudian didapati boleh dihukum menerusi tuntutan sivil atas kematian isterinya dan diperintah membayar kemusnahan," katanya.

"Perkara ini (merujuk kepada kes Altantuya) adalah perkara serius. Seseorang datang ke negara kita, diletupkan dan akhirnya tidak ada sesiapa bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku."

Karpal juga mengkritik pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes itu.

"Mereka patut dipertanggungjawabkan atas kecacatan yang berlaku," katanya merujuk kepada beberapa perkara yang dibangkitkan panel Mahkamah Rayuan dalam penghakiman mereka pagi ini.

"Ia menunjukkan mereka tidak melakukan tugas sebaiknya," katanya

Sirul, Azilah bebas pertuduhan bunuh Altantuya

Posted: 23 Aug 2013 02:59 AM PDT


Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul bercakap dengan pemberita selepas penghakiman dibacakan di luar Mahkamah Rayuan. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 23 Ogos, 2013. Peguam Kamarul Hisham Kamaruddin yang mewakili Sirul bercakap dengan pemberita selepas penghakiman dibacakan di luar Mahkamah Rayuan. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari

Dua bekas komando polis bebas hari ini selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan mereka dan mengubah sabitan terhadap mereka atas tuduhan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Panel  tiga hakim iaitu Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan sebulat suara membenarkan permohonan rayuan bekas ketua inspektor Azilah Hadri dan bekas korperal Sirul Azhar Umar.

Kedua-duanya sebelum ini disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam atas tuduhan membunuh model dan penterjemah, Altantuya, 28, di hutan simpan di Shah Alam pada 2006.

 Mereka pada ketika itu bertugas di Unit Tindakan Khas Bukit Aman dan berada dalam pasukan keselamatan Datuk Seri Najib Razak. Najib pada ketika itu ialah timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan.

Keputusan ringkas selama lima minit yang dibacakan Tengku Maimun itu, beliau berkata hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan alibi pembelaan yang difailkan oleh Azilah.

"Tidak ada dalam asas penghakiman hakim perbicaraan bahawa beliau ada mempertimbangkan sama ada diari stesen itu menunjukkan kehadiran perayu pertama (Azilah) di Bukit Aman pada masa yang dikatakan. Dia tidak boleh berada di tempat kejadian.

"Dalam log panggilan dan ramalan liputan (yang dikemukakan pihak pendakwaan untuk menunjukkan pergerakan Azilah pada malam pembunuhan), saksi daripada syarikat telekomunikasi meletakkan isu mengenai ketepatan log panggilan dan ramalan liputan itu.

"Adalah penting untuk hakim perbicaraan untuk melihat apa yang dibangkitkan pembela mengenai eksibit dan mencari dapatan sama ada wujud perbalahan atau kerosakan data, dan sama ada keaslian data berkenaan dipersoalkan atau tidak.

"Kesalnya, hakim gagal berbuat demikian dan ini menyebabkan salah arah yang serius hingga menjejaskan eksibit itu," katanya.

Beliau berkata, hakim juga gagal memeriksa sama ada terdapat kontradiksi atau tidak konsisten dalam bahan bukti dan saksi pendakwa adalah material, dan sama ada wujud maklumat yang dibekalkan oleh perayu atau daripada sumber lain.

"Berkait dengan isu pemilikan dan kawalan bahan letupan, hakim perbicaraan juga gagal membuat dapatan lanjut untuk mengaitkan bahan letupan itu dengan perayu.  Dengan tidak membuat sebarang dapatan mengenai pemilikan perayu terhadap bahan letupan, hakim gagal menyelesaikan sambungan yang hilang, mengakibatkan satu lagi salah arah," kata Tengku Maimun.

Beliau bersetuju dengan pihak pembela bahawa DSP Musa Safri, yang pada ketika itu dalam pasukan pegawai Najib patut dipanggil untuk membuka naratif terhadap asas kes pendakwaan.

Mahkamah turut mendapati hakim perbicaraan tidak menemui dapatan mengenai sama ada pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa terdapat pelan awal tersusun oleh perayu untuk melakukan pembunuhan itu.

"Melihat kepada keseluruhan keadaan, penghakiman kami ialah daripada kesan terkumpul dan salah arah oleh hakim perbicaraan menjejaskan sabitan," kata Tengku Maimun.

Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar, sementara Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Redzua Merican mewakili Sirul.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah yang mewakili responden berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Sementara itu, Ketua Undang-Undang Nasional DAP, Gobind Singh Deo, berkata rayuan dibenarkan kerana kegagalan memanggil saksi material.

"Bukti terkuat sepatutnya ialah siapa yang memberi arahan dan kepada siapa ia diberikan. Bolehkah Peguam Negara beritahu kami siapa orang itu?" kata Gobind dalam akaun Tweeternya.

Isu CCRIS: Umno BN gagal sedia pendidikan percuma – Anwar

Posted: 22 Aug 2013 06:53 PM PDT

KUALA LUMPUR : Umno BN sebagai Kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan tanggungjawab keadilan sosial bagi menyediakan pendidikan percuma khususnya kepada golongan yang memerlukan.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menentang cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menyenaraikan peminjam PTPTN yang tidak membayar pinjaman di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

Anwar lagi

"Ia merupakan tindakan yang akan terus membebankan kewangan kepada peminjam selepas mereka dibebankan untuk membuat bayaran pinjaman pendidikan," katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata, isu utama yang perlu diberi perhatian bukannya usaha kerajaan untuk memperolehi semula pinjaman berkenaan tetapi tanggungjawab bagi melaksanakan keadilan sosial dalam bidang pendidikan.

Terdahulu, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, tindakan menyenaraikan peminjam PTPTN di dalam CCRIS sebagai tidak mempedulikan kebajikan terutamanya anak muda.

Katanya, tindakan ini akan digunakan oleh institusi kewangan untuk menafikan kemudahan pinjaman perumahan, kenderaan dan peribadi kepada peminjam PTPTN yang didaftarkan oleh PTPTN di dalam CCRIS.

"Ini bermakna peminjam PTPTN seolah-olah jatuh ditimpa tangga, sudahlah dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang rendah, mereka kini diugut oleh PTPTN untuk dinafikan hak memiliki rumah dan kereta," kata Rafizi.

Beliau memberi amaran kepada Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh supaya tidak meneruskan niat untuk mengugut dan menghukum anak muda peminjam PTPTN dengan menyenaraikan mereka di dalam CCRIS.

"KEADILAN akan menggerakkan kempen di seluruh negara untuk menentang hasrat ini sehinggalah ia dibatalkan oleh Barisan Nasional," kata Rafizi.

Tidak sampai beberapa hari selepas isu ini dibangkitkan, kerajaan hari ini membatalkan tindakan PTPTN dalam melaksanakan CCRIS terhadap peminjamnya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan di facebooknya hari ini memaklumkan sejurus selesai bermesyuarat bersama Jemaah Menteri.

Keputusan ini dibuat mungkin berdasarkan tekanan dari pelbagai pihak yang tidak bersetuju berikutan pengumuman Idris bahawa PTPTN akan melaksanakan CCRIS dengan kerjasama Bank Negara untuk menyenarai hitam peminjam yang gagal membayar pinjaman PTPTN.

CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.

K'jaan perlu dedah kos pampasan kepada 2 syarikat AES

Posted: 22 Aug 2013 06:52 PM PDT

KUALA LUMPUR : Kerajaan digesa mendedahkan jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada dua syarikat swasta yang mengendalikan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Beta tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd jika kerajaan berhasrat mengambilalih sistem tersebut.

kamera aes

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain jumlah pampasan yang akan dibayar, kerajaan juga perlu mendedahkan perjanjiaan yang ditandatangani sebelum AES dilaksanakan.

"Untuk mengambil alih AES sudah pasti satu bayaran pampasan yang tinggi perlu diberikan kepada kedua-dua syarikat pengendali tersebut.

"Kita minta kerajaan dedahkan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan jika pengambilalihan tersebut dilaksanakan, selain itu juga kita turut mengesa agar kandungan perjanjian didedahkan untuk pengetahuan umum," jelasnya yang juga merupakan Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (Kase).

Mahfuz berkata, keputusan itu juga turut membuktikan kerajaan tidak cekap serta menunjukkan mereka tidak membuat kajian sepenuhnya berhubung pelaksanaan AES.

"Saya lihat kerajaan sebelum ini tidak mengkaji terlebih dahulu apa impak sebenar jika ia diberikan kepada syarikat swasta terutama kesan dari sudut kewangan dan kerugian yang akan dialami.

"Kita dari Pakatan Rakyat dari awal lagi membantah pelaksanaannya terutama jika dilihat dari sudut tekanan yang diberikan kepada pemandu yang diperah poket mereka untuk kayakan syarikat swasta serta menjadi sumber kewangan negara," katanya dipetik Harakah Daily.

Beliau turut mempersoal kenyataan kerajaan sebelum ini bahawa pelaksanaan AES akan mengurangkan jumlah kemalangan apabila melihat jumlah angka pada Ops Selamat yang dilancarkan pada 1 hingga 15 Ogos lalu mencatatkan 258 kes kemalangan maut iaitu meningkat sebanyak 14.2 peratus berbanding 226 kes tahun lalu.

Sementara itu, Penasihat Undang-Undang Kase, Zulhazmi Shariff mengesa agar kerajaan menghentikan serta merta pelaksanaan AES sehingga selesai kajian oleh Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Malah katanya lagi, kerajaan juga perlu memulangkan kesemua bayaran yang dibuat oleh mereka yang dikenakan saman serta membatalkan saman-saman yang dikeluarkan sejak 22 September lalu sehingga sekarang.

PTPTN: Khairy beri harapan palsu

Posted: 22 Aug 2013 06:49 PM PDT

Oleh Masdar Wahid

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin dibidas kerana cuba memberi harapan palsu apabila mengumumkan kabinet bersetuju membatalkan cadangan menggunakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar.

Menurut Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, Menteri Belia dan Sukan itu menyatakan jemaah menteri membatalkan CCRIS adalah seperti memberi harapan palsu walaupun sebenarnya apa yang dilaporkan media arus perdana adalah jemaah menteri menangguhkan pelaksaan sistem itu.
Rafizi 
"Ia adalah satu salah faham yang tidak patut berlaku bagaimana seorang menteri boleh menyampaikan maklumat salah, jadi beliau harus segera tampil jelaskan adakah kabinet sebenarnya mahu ia ditangguh atau dibatal," kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya hari ini.

Oleh itu, tegas Rafizi, KEADILAN tidak akan berhenti berjuang mengenai ini sehingga mendapat kepastian, CCRIS tidak akan digunakan terhadap peminjam PTPTN.

Sebelum itu, Khairy melalui laman Facebook miliknya mengumumkan kabinet membatalkan cadangan menggunakan CCRIS terhadap peminjam PTPTN.

"Baru selesai Mesyuarat Jemaah Menteri. Alhamdulillah, PTPTN tidak akan meneruskan cadangan untuk menyenaraikan peminjam di bawah CCRIS.

"Terima kasih kepada PM dan Menteri-menteri Pendidikan kerana mendengar suara orang muda," kata Khairy laman sosial miliknya.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini mengumumkan peminjam ingkar PTPTN akan dikenakan tindakan di bawah CCRIS, namun memberi jaminan tindakan itu tidak akan menindas peminjam yang majoritinya golongan belia.

Pakatan tubuh j/kuasa belanjawan 2014

Posted: 22 Aug 2013 06:46 PM PDT

Oleh: Masdar Wahid

PETALING JAYA  : Pakatan Rakyat akan melancarkan Belanjawan Alternatif 2014 sebagai bukti bahawa pakatan politik itu mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat berbanding kerajaan Umno-BN.

Oleh itu, bagi merealisasikan perkara itu satu jawantankuasa dianggotai golongan profesional dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah dibentuk hari ini.

Jawantankuasa ini akan dibantu Institut Rakyat, sebuah badan pemikir yang dibarisi pakar ekonomi dan akademik bagi memberi pandangan ke arah pembentukan Malaysia lebih baik.

jawatankuasa_belanjawan_PR

"Antara yang turut dimuatkan dalam belanjawan ini termasuklah tawaran sebagaimana diumum dalam manifesto pada pilihan raya umum lalu serta beberapa langkah lain yang akan diumumkan kelak," kata wakil Institut Rakyat, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin.

Bekas Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia itu akan memantau Kementerian Kewangan yang diterajui Datuk Seri Najib Razak.

Antara jawatankuasa yang hadir ialah Dr Ong Kian Ming(Ahli Parlimen Serdang), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Kuala Terengganu), Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), G.Manivanan (Kapar),Datuk Dr Idris Jauzi (Batu Pahat), Julian Tan (Stampin, Sarawak) dan Datuk Dr Tan Kee Kwong (Wangsa Maju).

Sementara itu, Ong berkata, setiap pandangan Adun dan Ahli Parlimen Pakatan turut dikutip dalam penyediaan belanjawan itu selepas mereka mengumpulnya melalui dialog dengan pengundi di kawasan masing-masing.

"Setiap Adun dan MP Pakatan ini akan dibahagi kepada Sembilan kumpulan iaitu Antarabangsa dan Kebangsaan; Ekonomi dan Kewangan; Keselamatan; Pendidikan dan Pekerjaan; Pertanian, Perladangan dan Pembangunan Luar Bandar; Pengangkutan dan Pembangunan Bandar; Pengurusan sumber Alam; Masyarakat, Kebajikan dan Gender; serta Polisi melibatkan sabah dan Sarawak," katanya.

Bagi Raja Kamarul, sekretariat katanya memfokuskan keberkesanan belanjawan kepada rakyat dan bukannya semata-mata berapa banyak jumlah wang yang diumum sebagaimana amalan Umno BN.

Sub-editor Suara Keadilan dipanggil SKMM beri keterangan

Posted: 22 Aug 2013 06:44 PM PDT

Oleh: Mohd Arif Juhani

Sub-editor Suara Keadilan, Sidiqin Omar hari ini dipanggil Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membantu siasatan kes terhadap sebuah blog bebas.

Ditemani peguam, Farhan Read, Sidiqin hadir ke pejabat SKMM di Bangunan Sultan Abdul Samad pagi ini untuk memberi keterangan berkenaan hubungannya dengan blogger tersebut.

Diqin_SKMM

"Saya hadir sebagai saksi yang mana tujuannya ialah jika kes blogger itu dibawa ke mahkamah, maka seksyen 114(A) akan digunakan," ujarnya ketika ditemui selepas siasatan.

Dalam siasatan tersebut yang mengambil masa selama hampir dua jam, Sidiqin memaklumkan, beliau memberi keterangan berdasarkan kepada lebih 20 soalan.

Sementara itu, Farhan pula menjelaskan, punca Sidiqin dipanggil hanyalah kerana beliau ada memiliki nombor telefon blogger berkenaan.

Azalina mahu remajakan Umno

Posted: 22 Aug 2013 06:38 PM PDT

SINAR HARIAN
KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said, yang berhasrat meremajakan Pergerakan Wanita Umno, menawarkan diri bertanding bagi merebut jawatan Ketua Wanita pada pemilihan parti itu, yang dijadual Oktober ini.

Beliau berkata ini selaras dengan tranformasi yang ingin dilihat Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin melihat hasrat meremajakan Umno menjadi realiti.

"Saya tawarkan diri kerana ingin membawa beberapa perubahan serta pendekatan kepada sayap Wanita kerana saya tidak mahu melihat berlakunya tsunami golongan muda yang menolak Umno pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

"Pemilihan kali ini bagi saya merupakan persaingan yang sihat bagi memastikan Umno masih relevan kepada Melayu," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan bual bicara Helo Malaysia terbitan BernamaTV di saluran 502 Astro malam tadi.

Mengulas teguran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan semangat Umno untuk memperjuangkan masa depan rakyat, agama dan negara sudah lama hilang dan sifat setia terhadap parti bertukar kepada kepentingan individu, Azalina berkata ia bertujuan mengingatkan anggota Umno agar tidak leka.

"Teguran itu menunjukkan bahawa kita perlu menremajakan parti.

Jangan samakan kita dengan pembangkang yang hanya cakap kosong, kita perlu ada pemimpin baru untuk bimbing generasi muda supaya bersama-sama Umno," katanya bekas Ketua Puteri Umno itu. - Bernama

Polis S'gor tahan 3 lelaki disyaki Geng 08

Posted: 22 Aug 2013 06:36 PM PDT

Polis Selangor memberkas tiga lelaki dipercayai anggota Geng 08 di Padang Jawa, Klang selepas kejadian tembakan di Subang Perdana dan Lebuhraya Koridor Guthrie dekat Shah Alam, awal pagi ini.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A Thaiveegan berkata polis turut merampas sepucuk pistol jenis Smith & Wesson serta beberapa butir peluru hidup daripada mereka.

"Ketiga-tiga suspek adalah individu dikehendaki oleh IPD Klang Selatan dan seorang darinya mempunyai empat rekod jenayah lampau bersabit kes dadah dan samun," katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 26 dan 27 tahun dan berasal dari Klang dan Shah Alam itu akan ditahan reman esok, katanya.

Menceritakan detik sehingga membawa kepada penahanan ketiga-tiga suspek, Thaiveegan berkata sebuah kereta peronda polis terserempak dengan kereta Perodua Viva yang dinaiki tiga suspek itu dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah restoran di Subang Perdana kira-kira 2.30 pagi.

Hasil maklumat awal, polis tidak menolak kemungkinan mereka ke situ untuk melakukan samun ke atas restoran berkenaan, katanya dan menurutnya suspek memecut laju kereta sambil melepaskan dua das tembakan ke arah kereta peronda polis selepas diarahkan keluar untuk pemeriksaan.

"Kereta peronda polis terus mengejar suspek dari Subang Perdana sehingga ke Lebuhraya Koridor Guthrie dan ketika itu juga, suspek melepaskan tembakan (ke arah kereta peronda) namun tidak mengena.

"Ekoran kejadian tembakan itu, kita terpaksa meminta bantuan dari pasukan peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam," katanya.

Thaiveegan berkata sebaik tiba di Seksyen 20, Shah Alam, suspek sekali lagi melepaskan dua lagi das tembakan ke arah polis sebelum memasuki kawasan Padang Jawa dan kemudiannya Taman Sentosa di Klang sebelum terbabas dan melanggar sebuah Toyota Hilux serta penghadang jalan.

"Kenderaan rosak dan tidak boleh bergerak menyebabkan ketiga-tiga suspek akhirnya keluar dari kereta dan melarikan diri.

"Namun, dengan bantuan polis dari IPD Klang, seorang daripada mereka dapat ditahan manakala suspek kedua yang menyembunyikan diri dalam longkang berhampiran diberkas sejam kemudian manakala suspek ketiga diberkas kira-kira 9.15 pagi ini dalam kawasan kebun kelapa sawit di kawasan sama," kata Thaiveegan.

Sementara itu, Polis Perak menahan tiga individu dipercayai anggota kongsi gelap yang mempunyai kaitan dengan lima lelaki ditembak mati oleh pihak berkuasa di Pulau Pinang baru-baru ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata penahanan itu merupakan sebahagian daripada Ops Cantas yang dilaksanakan di negeri ini.

"Mereka dari kumpulan yang sama contohnya macam Geng 04 atau Geng 08. Di Perak ada (kumpulan itu) dan di sana pun ada, cuma kita tak boleh hendak pastikan sama ada mereka terlibat secara langsung atau tidak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan perpisahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di sini hari ini sempena pertukarannya ke Selangor mulai bulan depan.

Katanya ketiga-tiga individu mengenali lima lelaki yang ditembak mati itu.

Mohd Shukri berkata polis turut mengenal pasti beberapa kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam kegiatan jenayah di negeri ini.

"Saya tak boleh beritahu berapa (kumpulan). Ada geng 04,06,08,36 termasuk kumpulan lain," katanya.

Dalam kejadian di Sungai Nibong Isnin lepas, polis menembak mati lima anggota kumpulan kongsi gelap dipercayai pembunuh upahan yang dikehendaki kerana terbabit dalam kes bunuh dan cubaan bunuh di Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.-Bernama

Nahas bas: Syarikat bas 'kunci mulut'

Posted: 22 Aug 2013 06:29 PM PDT

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang kenyataan dikeluarkan setakat ini oleh syarikat bas yang mengendalikan perkhidmatan ulang alik dari Kuala Lumpur ke Genting Highlands mengenai kemalangan yang meragut 37 nyawa membabitkan bas mereka di Genting Highlands petang semalam.
 
Bernama yang cuba menghubungi pihak pengurusan syarikat itu sejak pagi gagal mendapatkan sebarang komen sehingga pukul 5.30 petang ini.
 
Kakitangan yang menjawab panggilan wartawan asyik memberi alasan pihak pengurusan sedang bermesyuarat manakala panggilan terakhir pada 5.35 petang dijawab dengan alasan para pegawai sudah pulang.
 
Bagaimanapun, kakitangan berkenaan mengakui bas yang terlibat dalam kemalangan itu adalah milik syarikat itu yang beribu pejabat di Jalan Segambut di sini.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.22 petang semalam, 37 penumpang maut manakala 16 cedera parah selepas bas ulang-alik yang dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Kuala Lumpur terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Km3.5 Jalan Genting Highlands.

Resorts World Genting, pemilik pusat peranginan di Genting Highlands, dalam kenyataannya semalam menjelaskan bahawa bas terbabit adalah pengangkutan awam yang berulang alik membawa penumpang dari Kuala Lumpur ke pusat peranginan itu setiap hari.
 
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA)  Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata persatuan itu dimaklumkan oleh pengurusan syarikat bas itu bahawa syarikat itu akan memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa relevan.
 
"Kami (persatuan) dalam industri bas benar-benar terkejut dan sedih dengan banyaknya nyawa yang terkorban. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang kepada mangsa yang maut.
 
"PMBOA telah dimaklumkan oleh pengurusan syarikat bas itu bahawa mereka akan lakukan apa yang termampu untuk membantu keluarga mangsa yang terkorban dan yang cedera," katanya dalam kenyataan kepada Bernama. - Bernama

Cuti berakhir tragedi buat sepasang kekasih

Posted: 22 Aug 2013 06:26 PM PDT

KUALA LUMPUR -  "Saya tak sangka akan kehilangan adik saya dalam sekelip mata," kata Yun Bao Ing, 28, kakak ipar kepada Kwan Chin Yii, 22, yang terkorban dalam nahas bas henti-henti yang terjunam ke dalam gaung di Kilometer 3.5 Genting Highlands, kelmarin.

Beliau berkata, adiknya merupakan penuntut jurusan Sains Komputer di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan kini sedang bercuti semester.

Menurutnya, sebelum kejadian, adiknya pergi ke pusat peranginan terkenal itu untuk menemui teman lelakinya, Sia Chin Shin, 22, yang turut maut dalam kejadian.

Katanya, teman lelaki adiknya bekerja sambilan di sana bagi menghabiskan cuti semester.

Beliau berkata, selepas bertemu Chin Yii, lelaki itu menemani adik saya untuk pulang.

"Tapi saya tak sangka mereka menaiki bas tersebut. Lebih mengejutkan, kedua-duanya maut dalam keadaan yang sangat tragis," katanya menahan sebak.

Bao Ing berkata, adik iparnya seorang yang baik dan kehilangannya sangat dirasai.

Difahamkan kedua-dua mangsa adalah penuntut tahun ketiga di UPM dan berkenalan di sana.

Sehingga setakat jam 12 tengah hari semalam, keluarga Chin Yii difahamkan masih belum tiba dari Segamat, Johor untuk proses pengecaman.

CEC: Ahli DAP yang dipecat, digantung boleh mengundi

Posted: 22 Aug 2013 06:20 PM PDT

Ahli DAP yang dipecat atau digantung layak untuk kembali sebagai perwakilan dan mengundi dalam pemilihan semula jawatankuasa kerja pusat (CEC) parti itu pada 29 September depan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan hari ini bahawa semua ahli yang sama ada dipecat atau digantung oleh CEC yang dipertikaikan itu, selepas Disember 2012, akan dibenar mengundi mengikut senarai perwakilan lama.

Pemilihan semula CEC akan berlangsung di lokasi yang belum disahkan di sekitar Lembah Klang, kata Lim.

"Semua 17 ahli yang sama ada dipecat atau digantung, boleh kembali sebagai perwakilan jika mereka mahu dan mengundi," katanya dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat DAP hari ini.

Senarai calon juga akan mengikut senarai calon yang sama ketika pemilihan CEC 2012 pada bulan Disember tahun lepas di Pulau Pinang.

"Senarai calon adalah akan sama, kecuali satu nama," kata Lim.

Satu-satunya perbezaan dalam senarai calon itu ialah tanpa John Fernandez, bekas MP Seremban yang meletak jawatan dari parti sebelum pilihan raya umum Mei lalu.

dap annouce sept 29 re-election 220813 03Namun, kata Lim, John boleh kembali sebagai perwakilan dan
mengundi.

Sementara itu, Lim (kiri dalam gambar) juga berkata bahawa parti itu akan mendapatkan perakuan pos untuk semua jemputan yang dihantar kepada para perwakilan supaya ia tidak lagi boleh dituduh tidak memaklumkan mengenainya kepada mereka.

"Kami tidak akan memberi Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebab untuk mencari alasan yang sama terhadap DAP," katanya.

Lim menegaskan bahawa parti itu mengadakan pemilihan semula "dalam protes" dan hanya mematuhi ROS untuk mengelakkan pendaftaran parti itu dibatalkan.

Kalimah Allah: Ketua biskop gagal batal rayuan k'jaan

Posted: 22 Aug 2013 06:18 PM PDT

Ketua Biskop Roman Katolik Murphy Pakiam hari ini gagal dalam permohonannya untuk membatalkan rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan berhubung penggunaan kalimah Allah.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Abu Samah Nordin sebulat suara menolak permohonan ketua biskop untuk membatalkan rayuan tersebut.

Mereka memutuskan bahawa perkara itu tidak akademik dan masih menjadi 'isu langsung'.

"Kami kini menolak permohonan perayu (ketua biskop)," kata beliau.

Dua lagi hakim ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusof.

NONEKetua biskop dan jurnal gereja, Herald Catholic Weekly telah mengemukakan usul untuk membatalkan rayuan itu atas alasan penyelesaian 10 perkara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diserahkan kepada masyarakat Kristian pada tahun 2011.

Penyelesaian 10 perkara itu membenarkan import dan Bible dalam Bahasa Malaysia/Bahasa Indonesia dan dalam bahasa orang asal.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Abu Samah memutuskan bahawa surat Najib berhubung penyelesaian 10 perkara bertarikh 11 April 2011, dan dialamatkan kepada Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, Ng Moon Hing, bukan sebahagian daripada perkara itu apabila isu tersebut dibawa ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Oleh itu, katanya, tidak apa-apa mengenainya untuk Mahkamah Rayuan mempertimbangkan dalam permohonan ketua biskop itu.

NONEMenurutnya, bekas menteri dalam negeri (Datuk Seri Hishammuddin
Hussein) telah memfailkan afidavit dan menjelaskan isu Allah itu bukan sebahagian daripada penyelesaian 10 perkara itu dan ia tidak terpakai dalam kes ini.

Oleh itu, tambahnya, perkara itu bukan akademik dan masih menjadi isu langsung dan kontroversi tersebut belum dapat diselesaikan.

Mahkamah selanjutnya mempersoal ketua biskop kerana membawa usul itu sebelum rayuan yang betul didengar.

"Ia adalah satu tindakan drastik untuk membatalkan rayuan yang telah difailkan dengan betul di mahkamah ini dan untuk menafikan perayu hak untuk merayu," kata hakim.

Abu Samah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kontroversi berhubung isu penggunaan kalimah 'Allah' dalam sebuah akhbar mingguan Katolik 'The Herald' perlu diselesaikan.
   
Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Abu Samah Nordin mengarahkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'Allah', didengar pada 10 September ini.
   
Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Rohana Yusuf itu membuat keputusan berkenaan selepas sebulat suara menolak permohonan Gereja Katolik untuk membatalkan rayuan kerajaan.
   
Dalam penghakimannya, Abu Samah berkata bekas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memfailkan afidavit yang memperjelas bahawa isu penggunaan kalimah 'Allah' bukanlah sebahagian daripada penyelesaian 10perkara.
   
"Oleh itu, ia tidak terpakai dalam kes ini. Perkara ini (rayuan) tidak boleh dianggap akademik kerana masih terdapat isu dan kontroversi yang perlu diselesaikan," katanya.
   
Berdasarkan persetujuan bersama pihak gereja, Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan dan Majlis Agama Islam di enam negeri, Mahkamah Rayuan tidak membuat sebarang perintah berhubung kos.
   
Gereja Katolik memfailkan permohonan bagi membatalkan rayuan kerajaan pada 8 Julai lepas.
   
Pada 16 Februari 2010, pihak gereja memfailkan semakan kehakiman dengan menamakan KDN serta kerajaan sebagai responden, dan memohon antara lain, satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam The Herald adalah tidak sah.
   
Akhbar mingguan itu, yang dicetak dalam empat bahasa, menggunakan kalimah 'Allah' sebagai terjemahan untuk 'God' bagi seksyen bahasa Malaysia terutama bagi memenuhi keperluan masyarakat di Sabah dan Sarawak.
   
Bagaimanapun, kerajaan berhujah penggunaan kalimah 'Allah' hanya boleh digunakan secara eksklusif oleh umat Islam.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan KDN melarang The Herald menggunakan kalimah 'Allah' adalah salah, batal dan tidak sah.
   
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.
    
Terdahulu, peguam Porres Royan, yang mewakili pihak gereja, berhujah rayuan kerajaan harus dibatalkan kerana tidak ada sebarang kontroversi atau pertikaian berhubung penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Katolik.
   
Beliau berkata ini kerana penyelesaian sepuluh perkara yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dialamatkan kepada pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia Ng Moon Hing membenarkan penganut Kristian menggunakan kalimah 'Allah' dalam kitab Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi Iban, Kadazan-Dusun dan Lun Bawang.
   
"Kami berpendapat kerajaan sudah mengubah pendiriannya berhubung penggunaan kalimah berkenaan," katanya sambil menambah penyelesaian sepuluh perkara itu merupakan keputusan kolektif Kabinet dan ia turut membincangkan isu kalimah 'Allah'.
   
Porres berkata kesannya ialah kalimah 'Allah' kini boleh digunakan dalam Bible Bahasa Indonesia/Bahasa Malaysia serta bahasa pribumi lain dan kitab ini boleh diimport serta dicetak.
   
"Jika kabinet sudah memberi kebenaran berhubung penggunaan kalimah itu dalam Bible, maka sudah semestinya ia boleh juga digunakan dalam penerbitan," katanya.
   
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan yang mewakili KDN dan kerajaan berhujah bahawa rayuan mereka tidak harus dibatalkan kerana terdapat isu yang perlu diputuskan.
  
"Permohonan yang difail pemohon adalah remeh dan perlu ditolak," katanya.
   
Beliau berkata isu di depan Mahkamah Tinggi adalah berkaitan kuasa budi bicara Menteri Dalam Negeri mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan berhubung permit pencetakan The Herald manakala penyelesaian sepuluh perkara membincangkan isu kitab Bible.
   
Peguam Mubashir Mansor, yang mewakili Majlis Agama Islam Terengganu pula berhujah semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhad kepada keputusan pentadbiran KDN bertarikh 7 Januari 2009.
   
Oleh itu, beliau berkata penyelesaian sepuluh perkara tidak boleh diambil kira kerana dibuat selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah berhubung permohonan semakan kehakiman oleh pihak gereja.
"Surat Perdana Menteri bertarikh 11 April 2011 itu tidak menyentuh perjara dalam rayuan berkenaan. Beliau tidak mengatakan bahawa The Herald boleh menggunakan kalimah Allah," kata Mubashir.
   
Peguam Hanif Khatri Abdulla, yang mewakili Persatuan Cina Muslim Malaysia

(Macma) berkata arahan Kabinet adalah khusus untuk import dan eksport kitab Bible secara fizikal namun tidak menyentuh kandungannya.
   
Beliau berkata Hishammuddin, dalam afidavitnya memperjelas mengapa penyelesaian sepuluh perkara dikeluarkan dan apa yang dipertimbang serta sebaliknya.
   
Hishammuddin juga berkata Kabinet tidak membuat sebarang keputusan berhubung penggunaan kalimah Allah.
   
Hishammuddin berkata keputusan Kabinet pada 11 April 2011 hanyalah mencari jalan untuk mengatasi masalah berhubung import, pencetakan, pengagihan serta penggunaan kitab Bible dalam Bahasa Malaysia di negara ini.

Reaksi editor Herald Weekly
NONESementara itu, editor Herald Catholic Weekly, Father Lawrence Andrew (kanan) yang menyuarakan kekecewaannya dengan keputusan hari ini, berkata beliau amat merasakan bahawa penyelesaian 10 perkara Najib adalah satu lagi bukti bahawa penggunaan kalimah 'Allah' sepatutnya diterima, kerana ia telah digunakan dalam Bible Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia

"Sudah tentu kita kecewa, tetapi kita menerima keputusan itu dengan semangat muhibah," katanya sambil menambah bahawa ia bukan kalah keseluruhannya kerana rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan akan didengar pada 10 September ini.

Peguam S Selvarajah pula berkata, pasukannya bersedia untuk berdepan dengan rayuan kerajaan kerana penghakiman Mahkamah Tinggi memihak kepada mereka.

Satu arahan kabinet yang diwartakan pada tahun 1982, katanya, membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan ditambah lagi dengan Penyelesaian 10 perkara Najib.

"Oleh itu, arahan Menteri Dalam Negeri untuk tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Herald adalah tidak rasional, kerana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskannya," kata Selvarajah.

Selain itu, tambahnya, terdapat faktor-faktor lain, selain penyelesaian 10 perkara itu yang akan mereka kemukakan apabila rayuan kerajaan itu didengar nanti.
Lebih 300 anggota badan bukan kerajaan (NGO) seperti PERKASA, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Macma berhimpun di pekarangan mahkamah seawal 7 pagi.

Tiada ulasan:

Pengikut