DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUBANG PASU |
Umno kembali dengan ragam lamanya Posted: 10 Jun 2013 01:20 AM PDT Oleh Aspan Alias Presiden Persatuan Bekas Wakil Rakyat Umno, Tan Sri Aziz Shamsuddin, berkata Najib dan Muhyiddin tidak perlu ditandingi sebagai Presiden dan Timbalan Presiden. Pandangan beliau selari dengan pandangan Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaludin baru-baru ini. Naib Presiden, Ahmad Zahid Hamidi juga berpendapat begitu. Tan Sri Aziz berkata kedua-dua Presiden dan Timbalan Presiden itu sudah elok dan yang perlu hanya untuk diperbaiki Umno itu sahaja. Bagi jawatan-jawatan selain dari Presiden dan Timbalan Presiden itu, bolehlah dipertandingkan. Saya pula berpendapat elok semua kerusi jangan dipertandingkan jika itu menjadi masalah kepada semua yang sedang menyandang jawatan dalam parti. Senang, tidak payah bergaduh-gaduh lagi. Elok kita bertanya kepada TS Aziz, apa yang perlu diperbaiki dalam Umno itu? Persoalannya lagi siapa yang hendak memperbaiki Umno itu? Apakah Tan Sri Aziz tahu apakah yang hendak diperbaiki itu? Saya tidak yakin ada diantara pimpinan hari ini tahu apakah yang perlu diperbaiki kerana merekalah yang menyebabkan Umno itu menjadi kucar-kacir pada hari ini. Bagaimana mereka yang melakukan kucar-kacir itu boleh memperbaiki keadaan parti itu? Melakukan kucar-kacir itu bukan kehendak mereka sendiri, tetapi mereka tidak sedar yang segala yang mereka lakukan dalam Umno itu adalah penyebab kepada kucar-kacir itu. Itu sebab Umno sudah dianggap tidak relevan lagi dan ramai yang bercakap hari ini, yang parti itu akan hanya mampu bertahan selewat-lewatnya sehingga pilihanraya ke14 sahaja. Memperbaiki Umno itu bukan seperti memperbaiki ‘remos’ dikepala. Kalau memperbaiki remos sahaja maka cukup jika kita bawa sikat dan minyak rambut sahaja. Umno sekarang ibarat kepala yang sudah tidak ada remos lagi. Jadi apa yang hendak diperbaiki keatas remos itu kerana remosnya pun sudah tiada. Bagi setengah persepsi orang, Umno sudah tidak lagi boleh diperbaiki dan parti itu hanya menunggu waktu untuk jatuh secara rasmi sahaja. Jadi kalau Umno masih dengan kepimpinan yang sama dari acuan yang sama, maka ia bukan perubahan atau penambah-baikan. Tindakan mengekalkan kerusi Presiden kepada Najib dan Timbalan Presiden kepada Muhyiddin itu pun betul jika kita hanya mahu mengekalkan Umno itu setakat sampai pilihanraya yang akan datang sahaja. Kalau itu matlamatnya, maka langkah mengekalkan kerusi-kerusi Presiden dan Timbalan Presiden itu kepada penyandang sekarang adalah tindakan yang tepat. Lagi pun jika diganti Najib dengan Muhyiddin atau dengan sesiapa pun dikalangan pimpinan Umno di Majlis Tertinggi sekarang, keadaannya bukannya ada perubahan pun. Jika Pakatan Rakyat masih wujud semasa pilihanraya nanti dan PR mengambil langkah untuk menukar imej pucuk pimpinannya maka bukan lagi kerja susah untuk menggantikan BN itu. Jika PR tidak melakukan kesilapan seperti yang mereka lakukan semasa pilihanraya yang lalu, BN akan tetap menghadapi kekalahan dalam PRU 14 yang akan datang. Saya selalu berkata Umno dan pimpinannya bercakap tentang perubahan ini seolah-olah perubahan itu boleh dilakukan oleh mereka yang sedang menduduki MT pada hari ini. Itu sahaja sudah menunjukkan yang mereka mahu melakukan perubahan tetapi tidak tahu apa yang hendak diubahnya. Tan Sri Aziz sendiri tidak menyatakan apa yang perlu diubah itu. Siapa yang hendak mengubahnya dan bila hendak dilakukan perubahan itu? Kenyataannya, jika pun tahu siapa yang hendak mengubahnya serta apa yang hendak diubah itu, semuanya mesti dilakukan sekarang jika hendak menghadapi pilihanraya lima tahun yang akan datang. Ini juga adalah kemestian, kerana jika ada pun perubahan yang pada ramai tidak akan berlaku itu, ia mesti dilakukan secara drastik sekarang juga. Ia akan memakan masa untuk menampakkan kesan kepada perubahan itu. Jika tanggungjawab untuk melakukan perubahan itu kepada yang ada pada hari ini maka hasilnya adalah ‘predictable’. Ia akan diibaratkan sebagai ‘tikus memperbaiki labu’. Justeru Umno tidak akan berubah dan yang akan berlaku nanti akhirnya ialah Umno itu akan diubah oleh rakyat. Jika ada pun sedikit harapan untuk BN kekal ialah jika Pakatan Rakyat berada dalam keadaan hari ini. Jika PR masih seperti hari ini kemungkinan BN boleh kekal ada sedikit kebarangkaliannya. Jika selama ini blog ini selalu menekankan betapa pentingnya perubahan berlaku dalam BN, kali ini blog ini juga menyarankan PR untuk melakukan transformasi juga jika ia masih berkeinginan untuk mempunyai ‘consequence’ yang jelas dalam apa yang di sebut mereka untuk melaksanakan slogan ‘ubah’ yang dicanangkan dengan begitu hebat pada hari ini. Pakatan Rakyat masih tidak dapat mencari ‘point of reconciliation’ dalam beberapa hal penting. Perhubungan diantara parti diperingkat pertengahan dan bawahan masih lagi ‘fluid’ dan tidak ada penyatuan yang betul-betul jitu antara mereka. PR hanya dilihat sebagai pihak yang mahu mengalahkan BN semata-mata untuk mendapatkan kuasa. Walaupun mereka faham yang mereka perlukan kekuatan untuk menundukkan BN tetapi ia masih lagi tercari-cari kebersamaan dalam siapa atau parti mana yang mempunyai keupayaan untuk mengepalai kumpulan itu. Ini penting kerana rakyat terutamanya yang diatas pagar masih mempunyai keraguan samada Anwar benar-benar pemimpin alternatif yang secocok dengan kehendak perubahan itu. Alasan untuk merasa ragu terhadap Anwar itu bukan sahaja jelas ada dikalangan rakyat dan ia juga ada dikalangan pimpinan PKR sendiri dan juga diantara parti-parti dalam ‘coalition’ itu sendiri. Walaupun ramai diantara pengikut beliau membentak dengan kenyataan ini, tetapi masa akan menentukan kebenaran dengan apa yang dikatakan ini hanyalah fenomena sementara sahaja. Perlu diingat walaupun isu yang dihangatkan tentang rasuah dan berbagai-bagai terhadap BN hari ini, hanyalah isu yang ‘expedient’ buat sementara sahaja. Walaupun isu itu BENAR, tetapi belum lagi mencukupi untuk membawa PR kepada kuasa kerana banyak lagi ‘variables’ kepimpinan yang baik yang masih belum nyata berada dipihak Pakatan Rakyat. Tidak kuasa saya untuk memberikan alasan atau sebab-sebabnya kerana ia memakan ruang yang panjang untuk menulisnya. Tulisan yang panjang selalunya tidak digemari oleh pembaca terutamanya dikalangan kita orang Melayu ini. Biarkan sahaja masa menentukannya. — aspanalias.blogspot.com |
You are subscribed to email updates from DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KUBANG PASU To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan