Rabu, 20 Mac 2013

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


Kerabu Bersuara ®

Posted: 20 Mar 2013 03:28 PM PDT

BN tidak gentar Anwar tanding di Perak

IPOH - Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata Barisan Nasional (BN) Perak tidak gentar sekiranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen di negeri Perak pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Zambry berkata ia merupakan satu sistem demokrasi yang mana pemimpin parti pembangkang berhak memilih kawasan yang mereka ingin bertanding pada PRU-13.

"Macam mana kita nak gentar kerana tiada istilah gentar dalam dunia politik, tambah lagi apabila kita berada dalam suasana pilihan raya.

"Kalau dia (Anwar) merasakan dia pemimpin 'touch and go', dia buatlah apa yang dia suka...ia tidak mendatangkan kehairanan kepada saya dengan keputusan yang dia buat itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai pengumuman Anwar akan bertanding kerusi Parlimen di Perak atau Selangor.

Anwar sepatutnya gentar mengapa dia tidak mahu mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh, kata Zambry.

"Apa yang dia telah buat di Permatang Pauh? Saya tak mahu ambil reaksi terlalu awal kerana saya difahamkan dia baru bercadang, biarlah saya dengar kenyataan rasmi nanti," katanya.

Mengenai titah Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah semalam, bahawa terdapat pihak tertentu yang memanipulasi dan mengolah semula kandungan titah baginda demi kepentingan politik, Zambry melahirkan rasa kecewa terhadap pihak tertentu yang bertindak demikian.

"Kerajaan negeri amat berdukacita kerana ada pihak tertentu yang mengeluarkan (kenyataan) seolah-olah titah tuanku menyatakan bahawa parti mereka adalah parti pilihan tuanku. Ini tidak dipersetujui oleh tuanku kerana titah tuanku bukan begitu kandungannya," katanya.

Beliau berkata BN Perak tidak pernah menggunakan titah baginda demi kepentingan politik kerana menghormati kedudukan baginda sebagai raja di Perak.

"Kita (BN) tidak memanipulasi dengan menyebar atau mencetak ucapan tuanku bagi tujuan politik dan saya tidak mahu menuduh mana-mana pihak.

Titah tuanku semalam adalah untuk makluman semua, bukan hanya kepada pihak mereka (pembangkang) tetapi juga kepada pihak kita," katanya.

Mengenai perbalahan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak dengan Pas berhubung pengumuman Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri Datuk Seri Mohammad Nizar

Jamaluddin sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Changkat Jering, Zambry berkata perbalahan itu adalah perebutan kerusi (di kalangan pembangkang) untuk bertanding. - Bernama

Biaqpila

Posted: 20 Mar 2013 03:13 PM PDT


Kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang akan melaksanakan tiga projek lebuhraya dan satu terowong bawah laut penghubung ketiga antara pulau dan Seberang Perai bernilai RM6.3 bilion jika dipersetujui 1.6 juta rakyat Pulau Mutiara itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam surat terbukanya kepada rakyat negeri itu hari ini berkata, pelaksanaan projek itu adalah demi kemajuan ekonomi negeri dan mengatasi kesesakan lalu lintas pada masa depan.


"Kerajaan negeri juga terpaksa menjelaskan dakwaan mengelirukan oleh sesetengah NGO dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang menentang cadangan projek berkenaan yang dianugerahkan melalui tender terbuka yang kompetitif pada harga RM6.3 bilion.

"Saya harap usaha "terdesak" kerajaan negeri selama lima tahun sebelum ini dapat mengatasi kesesakan lalu lintas dalam kawasan pulau serta aliran lalu lintas di kawasan Seberang Perai, termasuk membina sistem trem yang paling sesuai untuk Pulau Pinang kerana George Town adalah Bandar Warisan Dunia UNESCO.

"Sekiranya PR memenangi kuasa di Putrajaya, PR akan cadangkan sistem trem di seluruh negeri bagi menghubungkan Pulau dan Seberang Perai. kerana monorel yang dicadang BN tidak sesuai untuk bandar warisan dunia seperti Pulau Pinang, dan strukturnya yang ditinggikan akan merosakkan keindahan Pulau Pinang.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang bertindak tegas mengambil keputusan untuk memperluaskan rangkaian jalan raya dengan membina jalan alternatif di kawasan paling sesak menghubungkan Seberang Perai dan Pulau bagi merapatkan jurang antara kedua-dua kawasan itu serta memastikan Seberang Perai Utara tidak ketinggalan dalam pertumbuhan ekonomi," katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, projek berkenaan diumumkan pada 2011 dan tender dikeluarkan untuk membina terowong bawah laut sepanjang 6.5km yang menghubungkan Gurney Drive ke Bagan Ajam, jalan raya berkembar 12km dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang, jalan pintas 4.2km yang menghubungkan Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan jalan pintas 4.6km yang menghubungkan lebuhraya itu ke Bandar Baru Air Itam.

"Kerajaan negeri menganugerahkan projek itu kepada Consortium Zenith BUCG, sebuah syarikat kegunaan khas ditubuhkan dengan usahasama di antara syarikat tempatan Construction Zenith, China Railway Construction Corporation Ltd (CRCC) bersama Beijing Urban Construction Group, Sri Tinggi Sdn Bhd serta Juteras Sdn Bhd. Beijing Urban Construction Group adalah sebuah syarikat pembinaan utama dari negara China yang berpengalaman membina Stadium Olimpik "Sarang Burung" Beijing, dan CRCC membina kebanyakan landasan kereta api di China termasuk landasan kereta api yang tertinggi ke Tibet. Semua syarikat itu bukan syarikat RM2 seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Manakala projek monorel BN tidak akan menjadi kenyataan walaupun BN menang di Pulau Pinang kerana monorel tidak akan diizinkan oleh UNESCO dan pembinaannya akan mengakibatkan kehilangan taraf Bandar Warisan Dunia UNESCO tambahan BN tidak pernah menepati janji termasuk yang dibuat mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2006 dan diikuti Najib.

"PR juga menolak cadangan mengenakan caj kepada semua kenderaan yang memasuki George Town, Pulau Pinang kerana komited kepada pergerakan bebas orang dari dalam dan luar negeri Pulau Pinang. Amalan "model Singapura" untuk mengurangkan kesesakan trafik adalah elitis kerana menghadkan George Town kepada penghuni sedia ada adalah diskriminasi kerana hanya orang berada dapat memasuki George Town, Pulau Pinang," tambahnya.

Menurutnya, kontrak rasmi projek itu masih dibincangkan dan dijangka akan ditandatangani dalam beberapa bulan akan datang selepas pilihan raya dan projek itu tidak akan diteruskan jika ditolak rakyat.-Roketkini.com

Tiada ulasan:

Pengikut