Pakatan Rakyat |
Posted: 10 Mar 2013 04:23 PM PDT Oleh Zurairi AR dan Ida Lim KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat (PR) telah memohon untuk semakan kehakiman bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membersihkan daftar pemilih di Selangor, selain dari semakan pengesahan bagi mengelakkan pengundi yang mencurigakan, kata penggubal undang-undangnya. Anggota parlimen Klang Charles Santiago akan mengetahui pada Khamis depan jika percubaannya untuk "memaksa" SPR menyemak daftar pemilih di kawasannya berjaya, tetapi dia juga terkejut suruhanjaya itu berpendapat adalah "normal" untuk mempunyai 28 peratus pengundi tidak dikenalpasti daripada 500,000 yang terbaru di negeri Malaysia paling maju, kerana masyarakat bergerak ke seluruh negara. "Apabila saya baca berita tersebut, saya merasakan ianya kenyataan paling tidak bertanggungjawab," kata Santiago berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar Jumaat lalu. Santiago telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam bulan lalu untuk memaksa suatu penyiasatan oleh SPR, yang beliau dakwa cuba melengah-lengahkan ke atas isu pengundi diragui. Santiago mengatakan terdapat 6,000 pengundi diragui, 3,457 pengundi dikeluarkan dari daftar pemilih tanpa kebenaran dan tidak diberitahu serta 2,195 pengundi dipindahkan tanpa kebenaran. Pemimpin PR lain sedang memerhatikan keputusan "percubaan" Santiago sebelum mengikutinya termasuk anggota parlimen Shah Alam Khalid Samad. "Sebenarnya, pilihan yang tinggal kepada kami adalah untuk membawa ke mahkamah," kata ahli parlimen PAS itu, walaupun beliau percaya peluangnya mungkin tipis. Mahkamah Shah Alam akan membuat keputusan pada Khamis depan mengenai pemberian kebenaran bagi permohonan semakan kehakiman Santiago manakala Khalid bergantung kepada sokongan orang ramai untuk meneutralkan kesan pengundi hantu. Teresa Kok dari DAP bersetuju dengan Khalid, mengatakan beliau akan mengarahkan penyokongnya untuk mengumpulkan pengundi sebenar untuk keluar semasa hari mengundi. Beliau mencadangkan agar pengundi membantu semasa tempoh berkempen, dan untuk berkhidmat sebagai agen mengundi dan agen mengira bagi memantau sebarang kemungkinan penipuan. "Tidak banyak yang boleh kita lakukan, kerana semua (pegundi diragui) digazetkan dalam daftar pengundi, katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, mengatakan akan memastikan senarai pengundi yang tidak dikenali disemak di kawasan DUN beliau. "Diperingkat kami, kami sudah sediakan orang-orang kami, mereka diberikan senarai nama pengundi tidak dikenalpasti, kata Zuraida Kamaruddin dari PKR kepada The Malaysian Insider. "Jadi jika orang-orang ini keluar mengundi, kami akan melakukan inisiatif sendiri untuk mengesahkan mereka sebagai pengundi," kata anggota parlimen Ampang itu, menjelaskan tiga peringkat pengesahan yang beliau akan lakukan. Dua langkah awal adalah ahli parti akan membantah kepada SPR termasuk melalui borang-borang berkenaan, jika pengundi disenarai hitam atau pengundi dengan alamat meragukan muncul dalam daftar pemilih terkini yang digazetkan. Terakhir mereka akan membantah jika terdapat penyelewengan semasa semakan pada hari mengundi, dimana ahli parti akan menyemak sama ada pengundi adalah rakyat asing atau tidak tinggal begitu lama dalam negara sebelum menerima kad pengenalan. Sebarang penyelewengan dalam daftar pemilih akan difailkan dan direkodkan untuk tujuan dokumentasi supaya tindakan mahkamah boleh diambil selepas pilihan raya jika diperlukan, kata Zuraida. "Tetapi pada masa sama, kami tidak menolak kemungkinan untuk menghalang mereka dari mengundi, katanya walaupun beliau sedar ia merupakan satu kesalahan pilihan raya untuk melakukan perkara tersebut. SPR telah mengatakan mereka tidak boleh menghalang mereka yang berdaftar daripada mengundi, kerana ini adalah hak mereka walaupun mereka tidak boleh dikenalpasti. Inisiatif Selangor mendapat pujian daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang mendesak kerajaan negeri agar terus memperjuangkan perkara ini termasuk menggunakan saluran undang-undang. "Mereka harus terus menerbitkan ini… Mungkin mereka boleh ke mahkamah untuk memaksa SPR untuk bertindak. Mereka juga perlu membuat laporan polis," Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk Ambiga Sreenevasan memberi cadangan. Gabungan independen itu menyatakan sokongan terhadap Selangor, mengatakan mereka akan memberikan maklumat diperlukan kepada kerajaan negeri, tetapi tidak memberikan butiran lanjut mengenai tindakan sendiri dalam isu ini, yang mana ia digambarkan sebagai "menjejaskan semua orang". Pengarah Projek Analisis Daftar Pemilih Rakyat Malaysia (Merap) yang juga anggota DAP Dr Ong Kian Ming mengakui bahawa parti politik tidak boleh melakukan banyak perkara, dengan mengambil kira undang-undang mengatakan daftar pemilih tidak boleh dicabar di mahkamah. Selangor boleh meneruskan tindakan undang-undang atau menyediakan senarai pengundi tidak boleh dikesan untuk ejen mengundi parti-parti politik," kata Syed Ibrahim Syed Noh, presiden Malaysian for Free and fair Elections (Mafrel). Zuraida merumuskan Pilihan Raya 2013 sebagai "pilihan raya penting" dan mengingatkan rakan seperjuangannya untuk berhati-hati, kerana satu undi akan menentukan siapa yang bakal menang. PR menang 36 daripada 56 kerusi DUN di Selangor dalam pilihan raya umum lalu dimana Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR menggantikan Dr Mohd Khir Toyo dari Umno sebagai menteri besar. Beberapa pemimpin PR telah menuduh peningkatan pengundi baru di negeri tersebut adalah sebahagian daripada konspirasi BN untuk menjatuhkan Abdul Khalid melalui penipuan. Pemimpin BN walau bagaimanapun telah menafikan tuduhan tersebut. Analisis pengundian baru-baru ini menemui senarai pengundi diragui adalah tertinggi di Selangor, negeri terkaya dimana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikrar untuk merampas semula "dengan apa cara sekalipun". |
Posted: 10 Mar 2013 04:12 PM PDT NORIZZAH BAHARUIN dan SITI SHAHROSAMIRAH SHAHARMAN [DIKEMAS KINI] ALOR GAJAH - Adun Lendu, Datuk Idderis Kassim, 66, meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putra di sini, petang tadi. Idderis yang juga Timbalan Speaker Dun Negeri Melaka disahkan meninggal dunia pada jam 6.50 petang dengan semua ahli keluarga berada di sisi beliau. Menurut anak sulung Allahyarham, Zamran, arwah yang menghidap barah sejak tahun 2011 dimasukkan ke hospital pada 19 Februari lalu selepas keadaan kesihatannya merosot. "Tekanan darah mulai rendah kira-kira jam 4.30 petang dan pada jam 6.40 kami melihat dia tidak lagi bernafas sebelum memaklumkan doktor lalu mengesahkan arwah sudah meninggal dunia pada jam 6.50 petang. "Arwah meninggal dengan mudah dan kami tidak jangka. Semua ahli keluarga ada termasuk adik-beradik arwah," katanya. Sementara itu anak ketiga Allahyarham, Zulkarnain berkata, kali terakhir dia bertemu arwah kira-kira jam 3.30 petang tadi. "Sebelum pulang, saya minta izin arwah untuk mengadakan bacaan Yasin untuknya yang dirancang selepas solat Isyak dan ayah memberi isyarat setuju dengan kerlipan mata," katanya kepada Sinar Harian. Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Rohani Yunus, 60, serta dua anak, Zamran, 38, dan Zulkarnain, 35, dan empat cucu. Turut mengiringi jenazah Allahyarham ke rumahnya di Kampung Ayer Limau ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta pemimpin kenamaan lain. Allahyarham telah melibatkan diri dengan politik sejak 1970-an dengan memegang pelbagai jawatan di peringkat cawangan, bahagian dan negeri. Beliau yang juga seorang penceramah aktif berdakwah di surau dan masjid sekitar Melaka akan dikebumikan jam 11 pagi esok di Ayer Limau, Masjid Tanah. Pada pilihan raya umum ke-12 8 Mac 2008, Allahyarham Idderis yang mewakili Barisan Nasional menewaskan calon Pas, Mohd Amir Yaakub dengan majoriti 1,633 undi. Sementara itu, Mohd Ali melahirkan rasa dukacita dan menyifatkan pemergian Idderis menghadap Ilahi sebagai satu kehilangan besar kepada kerajaan negeri dan rakyat Melaka. Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Allahyarham cukup komited dan berdedikasi ketika hayatnya dalam menjalankan tugas sebagai Adun dan Timbalan "Allahyarham amat disenangi rakyat di kawasannya, marilah kita sama-sama berdoa agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman," |
You are subscribed to email updates from Pakatan Rakyat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan