Rabu, 6 Mac 2013

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah


Ceroboh: PAS Tubuh JK Bertindak Kedaulatan Negara

Posted: 06 Mar 2013 05:54 PM PST

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengambil berat dan memantau dengan serius perkembangan isu pencerobohan yang berlaku di Sabah kerana ia berkaitan dengan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat Malaysia dalam negara mereka sendiri.

Kehilangan nyawa anggota keselamatan yang menjalankan tugas secara professional menjaga keselamatan negara ini pula tentulah akan dikenang dalam lipatan sejarah sebagai satu pengorbanan yang teramat tinggi nilainya.

Pada masa yang sama, pendedahan demi pendedahan terhadap wujudnya kelemahan wibawa kepimpinan negara dalam menguruskan isu tuntutan serta menyelesaikan punca masalah (root–cause) krisis ini dari mula berputik sehingga kini menjadi satu tragedi sebagaimana yang dipaparkan kepada kita melalui berbagai bentuk media, telah membuka mata kita betapa bahayanya negara ini jika kita meletakkan masa depan negara di tangan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah selama lebih 50 tahun ini.

PAS juga berpendirian dalam situasi hari ini keselamatan rakyat Malaysia sama ada dari kalangan pasukan keselamatan yang sedang bertugas dan rakyat keseluruhan perlu menjadi keutamaan, bukannya mempertikaikan kesetiaan mana-mana pihak terhadap negara.

PAS yakin seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai kaum termasuklah mereka dari keturunan Sulu yang menjadi warga negara Malaysia itu akan menumpahkan taat setia kepada Malaysia.

Dengan sebab itu, tindakan mana-mana pihak yang menggelar rakyat Malaysia yang lain sebagai pengkhianat atau musuh dalam selimut boleh mencetuskan ketegangan kaum dan akan menimbulkan satu lagi masalah baru kepada Malaysia.

Menyedari betapa pentingnya isu kedaulatan negara yang bukan sahaja menjadi tanggungjawab pasukan keselamatan, serta keperluan rakyat Malaysia bersatu padu menumpahkan taat setia kepada negara dalam keadaan yang genting seperti ini, PAS dalam Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihanraya semalam telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Kedaulatan, Keselamatan  Negara dan Rakyat.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Timbalan Pengerusi Datuk Fauzi Shaari (mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Di Raja Malaysia, Bukit Aman) dan akan dianggotai oleh tokoh-tokoh dari kalangan bekas-bekas pegawai tinggi polis dan tentera, mantan pegawai-pegawai kerajaan dan veteran politik.

Jawatankuasa ini berperanan utama untuk meneliti, menilai dan membuat cadangan terhadap isu-isu kedaulatan dan keselamatan negara serta rakyat setelah kita melihat kegagalan dan kelemahan ketara di pihak kerajaan pimpinan BN yang ada ini.

PAS juga mengalu-alukan langkah pro-aktif Dewan Pemuda PAS yang mewujudkan tabung khusus bagi membantu keluarga anggota keselamatan yang ditimpa musibah ini, dan saya meminta agar setiap ahli PAS di seluruh negara turut sama memberikan sumbangan sekurang-kurangnya seringgit bagi setiap orang sebagai satu amal kebajikan.

Akhir sekali, PAS menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya mempertingkatkan iltizam kita untuk mempertahankan kedaulatan negara dan terus memupuk semangat perpaduan bagi mengelakkan ketegangan kaum yang boleh timbul akibat isu pencerobohan ini.

Rakyat Malaysia keseluruhannya mesti menghindari provokasi mana-mana pihak yang cuba 'menangguk di air keruh' untuk meraih kepentingan mereka yang sempit, dan mengutamakan solidariti rakyat Malaysia di saat-saat genting seperti ini.

TABAH Semak Warga Asing Dapat Tanah Di Sabah

Posted: 06 Mar 2013 05:47 PM PST

KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan NGO berkaitan tanah di Sabah, Lajnah Pembela Tanah Rakyat Sabah (TABAH) membuat semakan berhubung jumlah warga asing yang mendapat tanah di negeri itu khususnya di Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, semakan tersebut termasuk di Gugusan Felda Sahabat yang berkeluasan 104,000 hektar.

Ini kerana katanya, pemilikan tanah di kawasan tersebut dikhuatiri ada kaitan dengan isu pemberian kad pengenalan segera kepada warga asing sewaktu Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

"Saya minta TABAH buat kajian dan semakan. Kebimbangan saya ialah bila mereka dapat kad pengenalan lama dahulu masa Tun Datu Mustapa. Tapi isu tanah tak berbangkit masa itu sebab Felda belum ada.

"Tapi zaman Tun Dr. Mahathir jadi PM, Felda dah ada dan bila dia beri kad pengenalan segera, masa itu Gugusan Felda Sahabat dibuka.

"Kita akan buat semakan adakah jumlah peneroka dan pekerja ladang ini termasuk puak-puak (yang diberi kad pengenalan) ini," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, jalan Raja Laut hari ini.

Hasil semakan itu akan dibincangkan dalam seminar melibatkan pakar-pakar mengenai isu tanah yang berkait dengan perundangan yang sedia ada.

"Apakah dia reformasi yang boleh kita kita lakukan terhadap dasar-dasar tenah negara supaya tanah ini yang kepentingan strategiknya patut menjadi keutamaan negara kita tidak mudah terdedah kepada pihak asing.

"Kita akan bentang apa langkah penambahbaikan terhadap akta kanun tanah negara, kedudukan tanah rezab Melayu dan juga enakmen tanah negeri yang sebahagiannya perlu dikaji semula," katanya.

Mazlan juga menyuarakan kebimbangan isu pencerobohan Lahad Datu sekarang ini ada kaitan dengan janji Kerajaan Malaysia untuk memberikan tanah kepada mereka seperti yang didakwa.

"Saya tegaskan, isu kedaulatan terutamanya dalam konteks pemilikan tanah tak harus menjadi percaturan kepada pihak asing. Ini soal dan pemilikan tanah rakyat dalam negeri dan negara dan dengan kata lain kita tak boleh pertaruh soal kedaulatan dan pemilikan tanah ini untuk kepentingan politik.

"Saya merujuk versi cerita bagaimana kononnya tanah di Felda nak diberi kepada pihak luar sebagai janji politik.

"Rakyat dalam negeri kita pun masih terlalu ramai yang perlukan tanah, mereka masih hidup menumpang dan menyewa. dengan kehidupan yang begitu sukar tiba-tiba ada percaturan politik," katanya yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Tingkatkan pemantauan di Felda Sahabat

Sementara itu, Mazlan turut menyeru pihak keselamatan meningkatkan pemantauan di Gugusan Felda Sahabat sepanjang Ops Daulat di Kampung Tandou.

Katanya, nyawa peneroka dan pekerja ladang harus diutamakan dan aktiviti mereka untuk mengeluarkan hasil sawit tidak dibiarkan tergendala.

"Aktiviti mengeluarkan hasil sawit mesti diteruskan kerana sawit hanya bertahan hingga sepuluh hari. Kalau tak buah menjadi busuk dan kadar berat tan sawit dan kadar perahan gred merosot," katanya.

Gugusan Felda Sahabat yang berhampiran Kampung Tanduo ialah Felda Sahabat 17, 18, 19, 22 dan 56.

Tiada ulasan:

Pengikut