Ahad, 17 Mac 2013

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


PAS pastikan hak cipta artis tempatan terpelihara

Posted: 16 Mar 2013 04:39 PM PDT



KUALA LUMPUR: PAS akan memastikan hak cipta artis tempatan terpelihara dan dihormati oleh rakyat negara ini apabila Pakatan Rakyat diberi mandat menerajui Putrajaya pada pilihan raya kali ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, hanya melalui pendidikan sebagai platform yang paling berkesan untuk memberi perubahan kepada rakyat negara ini supaya menghormati hak cipta artis tempatan.

Katanya, hak cipta tidak kira sama ada dalam bidang nyanyian, lakonan atau penerbitan buku sekali pun, ianya perlu dihormati kerana ia menjaga masa depan artis tempatan.

"Di negara ini, satu perkara yang tidak dihormati oleh rakyat negara ini iaitu hak cipta. Misalnya Datuk Shahnon Ahmad yang menulis novel 'Shit" telah dicetak rompak ratusan ribu, sampai sekarang Shahnon tidak dapat apa-apa.

"Begitu juga dalam bidang nyayian, setengah besar rakyat tidak suka mengekalkan yang asli tetapi cari yang tidak 'original', ini sangat berleluasa," katanya dalam sidang media di program Malam Seni Untuk Perubahan yang berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, malam ini.

Tambahnya, apabila hak cipta artis ini terpelihara sekali gus ia membantu kehidupan dan masa depan artis tersebut.

"Saya ambil contoh, biduanita Saloma yang terlantar sakit di hospital, sehingga tidak mampu untuk membayar bil hospital. Anak beranak P. Ramlee juga hidup melarat," katanya.

Mohamad turut melahirkan rasa terharu atas sokongan khasnya para artis yang secara berani menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk melihat perubahan besar ke atas nasib mereka.

"Saya berkeyakinan penuh, mereka (artis) perlu dihargai dan mereka memerlukan perubahan melalui PAS dan Pakatan Rakyat," katanya.

Pada malam ini juga Mohamad Sabu turut melancarkan 'Sukarelawan PRU13' di mana PAS akan mensasarkan seramai mungkin penyertaan orang ramai untuk menjadi sukarelawan bagi memastikan pilihan raya berlaku adil dan saksama.

Beliau juga akan melancarkan buku 'Prima Facie' yang ditulis oleh peguam Hanipa Maidin berdasarkan pengalamannya dalam mengendalikan kes-kes di mahkamah termasuklah kes Datuk Seri Anwar Ibrahim. (Gambar atas)

Turut bersama dalam sidang media itu, Dr Muhaimin Sulam, Dr Syed Azman Syed Nawawi dan artis Ito serta Hairie Othman.

48 pemuda Dun Guar Sanji sertai PAS

Posted: 16 Mar 2013 04:39 PM PDT


Mohamad Azimar dan Zulfahmi menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Dr Haron.

ARAU: Kekuatan Umno BN Parlimen Arau dan Dun Guar Sanji tergugat lagi apabila seramai 48 orang pemuda menyerahkan borang untuk menyertai PAS, hari ini.

Majlis penyerahan borang keahlian PAS ini telah diadakan di Markas PAS Kampung Jelempok dekat sini dengan dihadiri oleh Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Dalam majlis berkenaan, Dr Haron telah menerima borang keahlian yang diserahkan oleh bekas Ketua Pemuda Umno Cawangan Jelempok, Mohamad Azimar Razak dengan ditemani oleh Zulfahmi Mansor bagi pihak rakan-rakanya yang lain.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin; Ketua Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaacob serta pemimin PAS kawasan dan Dun Guar Sanji.

6 tokoh Imam Muda isytihar sokong PAS

Posted: 16 Mar 2013 04:38 PM PDT



KUALA LUMPUR: Seramai enam tokoh Imam Muda mengisytiharkan sokongan kepada PAS sempena Xpresi Ulama Muda Haraki yang berlangsung di Maahad Ehya Asy Syarif Gunung Semanggol, Perak.

Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairudin Aman Razali mengumumkan perkara itu di pentas expresi tersebut.

Mohd Fakhrurrazi Hussin mewakili 6 orang Imam Muda berucap dan menyatakan sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi dan berikrar akan turut membantu perjuangan Islam sehinggalah bumi Allah dapat diimarahkan dengan syariat-Nya.
Selain Mohd Fakhrurrazi (IM Fakhrul), lima lagi Imam Muda berkenaan ialah Khairul Azhar Ghazali (IM Azhar), Abdul Fattah Ridzwan (IM Fatah), Syed Faris Syed Roslan(IM Faris), Megat Mohd Zahid Megat Azmuddin (IM Megat) dan Fakhrulrazi Ibrahim ( IM Ar Razi)

Pilihan raya Umum ke-13 menjadi turning point untuk melakukan perubahan dalam negara kita dan Ulama Muda Haraki akan Memacu Kebangkitan dan Memimpin Perubahan.

Insya Allah seorang lagi tokoh ulama muda negara kita akan turut menyatakan sokongan kepada perjuangan suci ini pada sebelah malam sempena Pentas Ulama Haraki di tapak program yang sama.


Krisis air Pahang semakin meruncing

Posted: 16 Mar 2013 04:37 PM PDT


KUALA LUMPUR: Sesuatu yang amat memalukan buat negeri kelahiran Perdana Menteri yang masih bergelumang dengan isu gangguan bekalan air sehingga ke hari ini.

Setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang, Huzir Sulaiman berkata, kerajaan negeri mengambil sikap mendiamkan diri walaupun Solidariti Hijau dan PAS negeri mengambil sikap terbuka untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat di Negeri Pahang merupakan satu sikap yang amat mengecewakan.

Oleh kerana itu, ujarnya tidak ada pilihan lain buat Rakyat Pahang kecuali menolak Umno BN di dalam PRU13 ini.

"Negeri Pahang amat memerlukan mereka yang masih ada 'telinga' untuk mentadbir negeri ini," katanya dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan beliau berhubung masalah tersebut.

Selepas Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) PAS Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh Andansura Rabu melahirkan kekecewaan beliau terhadap kegagalan pengurusan air di negeri itu pada bulan Ogos tahun lalu akibat kekerapan gangguan bekalan air setiap kali tibanya Ramadhan dan Syawal,  80 NGO dari seluruh negara yang berpayung di bawah Solidariti Hijau dan dipimpin oleh Zulkefly Mohamad Omar bersama-sama kepimpinan PAS negeri menyerahkan pula memorandum kepada Menteri Besar Pahang pada bulan Disember tahun lalu menuntut satu reformasi segera dilakukan terhadap tahap kualiti perkhidmatan yang mengecewakan dari Syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (P.A.I.P) walaupun telah diswastakan beberapa tahun yang lalu.

Beberapa siri gangguan bekalan air di seluruh negeri Pahang sepanjang 2 tahun yang lalu telah pun disenaraikan di dalam memorandum yang diserahkan itu termasuklah potensi gangguan bekalan air kepada penduduk Kuantan dari operasi kilang Lynas yang dikatakan akan menggunakan 500 meter padu sejam bekalan air untuk operasi harian mereka.

Selepas penduduk Kuantan dihantui gangguan bekalan air sebelum ini akibat kerosakan teknikal di Loji Air di Empangan Kobat, paip yang kerap pecah di Felda Bukit Kuantan serta kerosakan sistem bekalan air ketika sambutan perayaan, penulis dikejutkan dengan rungutan beberapa penduduk dari Taman Bukit Pelindung dan Taman Alor Akar Kuantan semalam yang mengeluh dengan kekerapan gangguan bekalan air yang sudah berlanjutan selama beberapa minggu ini lebih-lebih lagi selepas Lynas memulakan operasinya.

Lebih 100 penduduk mengambil keputusan untuk melahirkan kekecewaan mereka secara terbuka kepada P.A.I.P petang semalam di Bukit Pelindung Kuantan, menuntut P.A.I.P untuk mengambil tindakan segera memastikan bekalan air yang stabil kepada kediaman mereka dalam tempoh 2 minggu dari sekarang sebelum satu tindakan susulan diambil terhadap P.A.I.P.

Malah mereka juga menuntut penjelasan P.A.I.P sama ada gangguan bekalan air yang sedang berlaku mempunyai kaitan secara langsung dengan penggunaan bekalan air yang tinggi dari kilang Lynas sehingga bekalan air dilihat seolah-olah dicatu oleh P.A.I.P untuk memastikan bekalan air yang mencukupi disalurkan kepada kilang itu.

Penduduk juga tidak boleh dipersalahkan kerana mempunyai beberapa andaian punca gangguan bekalan air kerana sehingga hari ini, sebahagian dari mereka masih tidak dimaklumkan oleh pihak yang berkenaan. Ramai yang tertanya-tanya, apakah puncanya? Dan sampai bilakah masalah gangguan bekalan air ini akan dapat diselesaikan?

Penulis selaku Setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar (LPPAS) PAS negeri ingin mendesak maklum balas segera dari pihak Kerajaan Negeri Pahang dan P.A.I.P terhadap memorandum yang diserahkan pada bulan Disember tahun lalu kerana sehingga hari ini, tiada satu pun maklum balas yang diterima oleh Solidariti Hijau dan PAS Negeri seolah-olah ia dibakulsampahkan oleh mereka walaupun cadangan penambahbaikan yang telah banyak disenaraikan dalam memorandum itu adalah untuk kebaikan seluruh rakyat di negeri ini.

Mengambil sikap mendiamkan diri walaupun Solidariti Hijau dan PAS negeri mengambil sikap terbuka untuk bekerjasama demi kebaikan rakyat di Negeri Pahang merupakan satu sikap yang amat mengecewakan.

Oleh kerana itu, tidak ada pilihan lain buat Rakyat Pahang kecuali menolak Umno BN di dalam PRU13 ini.

Negeri Pahang amat memerlukan mereka yang masih ada 'telinga' untuk mentadbir negeri ini. Sesuatu yang amat memalukan buat negeri kelahiran Perdana Menteri yang masih bergelumang dengan isu gangguan bekalan air sehingga ke hari ini.

Transformasi Najib gagal, dituduh PAS pula berdosa

Posted: 16 Mar 2013 04:36 PM PDT


TASEK GELUGOR: Akibat terlalu kecewa dengan kegagalan transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak segan silu menuduh kononnya PAS melakukan tujuh kesalahan besar di Kelantan.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa (gambar) ketika berceramah di Taman Pokok Sena, di sini malam tadi hairan tiba-tiba Najib bersuara begitu dalam keadaan PAS semakin melonjak ke persada politik tanah air dan antarabangsa.

Menurut Mujahid lagi, apa sudah jadi kepada transformasi yang dilancarkan oleh Najib sendiri dengan harapan ingin membawa Malaysia sebaris dengan negara maju.

"Hari ini tiba-tiba Najib menghalakan senjatanya pada PAS kononnya melakukan tujuh dosa besar kepada rakyat Kelantan. Sepatutnya beliau mengkaji kenapa transformasi yang diilhamkannya gagal, bukan bertindak sehingga menambah kemarahan rakyat lagi," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Baginya, Najib tidak perlu melabelkan tujuh dosa PAS untuk menyembunyikan kelemahan pentadbiran kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebaliknya menumpukan kepada pembubaran parlimen supaya rakyat boleh menghukum mana-mana pemimpin yang tidak amanah.

Menruutnya, semasa Najib menuduh tujuh dosa besar PAS, tiba-tiba negara dihimpit dengan hutang yang berlipat kali ganda.

"Melihatkan kedudukan kewangan negara yang makin parah, Najib begitu risau untuk bubar parlimen," kata beliau.

Selain itu, ujarnya negara juga mengalami ketirisan wang yang tinggi iaitu RM23 bilion manakala moral Najib sendiri jatuh merudum ekoran rakyat mempertikaikannya terutama membabitkan pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu serta pembelian senjata ketenteraan Malaysia.

Bagi membolehkan rakyat menilai keberhasilan transformasi atau reformasi pentadbiran baru oleh Pakatan Rakyat, Njib seharusnya segera membubarkan parlimen bukannya terus menimbulkan teka teki yang berpanjangan.

PRU13: PAS sedia tanding 76 kerusi parlimen

Posted: 16 Mar 2013 04:36 PM PDT


Tuan Guru Abdul Hadi bersama Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran.

KUALA TERENGGANU: PAS sedia bertanding lebih satu pertiga daripada 222 kerusi parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS sebagai parti teras orang Melayu Islam akan bertanding sekurang-kurangnya 76 kerusi parlimen pada pilihan raya kali ini.

Ini bermakna, kata beliau, PAS akan bertanding lebih dari satu pertiga jumlah kerusi yang diperuntukkan sebanyak 222 di seluruh negara.

"Kerusi parlimen seluruh Malaysia ada 222 kerusi dan dari jumlah itu, saya hendak beritahu insya Allah, PAS akan bertanding sekurang-kurangnya 76 kerusi Parlimen.

"Insya Allah, mungkin akan ada lagi jika rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat memberi lagi kerusi kepada kita untuk bertanding," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Khas PRU13 di pekarangan Pasar Chabang Tiga, Dewan Undangan Negeri (Dun) Bandar, di sini malam tadi.

Hadir sama pada tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Pengerusi DHPP Terengganu, Dr Bala Chandran, Pengarah MTD Bandar, Ahmad Shah Mohammad serta tetamu khas, mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Fauzi Shaari.

Tiada ulasan:

Pengikut