Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil |
Pesawat ringan terhempas di Melaka Posted: 07 Feb 2013 03:10 AM PST Juruterbang P. Devenessrao, 20, dari Bahau, Negeri Sembilan, merupakan pelatih Malaysian Flying Academy yang berada berseorangan di dalam pesawat itu hanya cedera ringan di bahagian kepala serta tengkuk dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan. Seorang saksi kejadian, Koperal Zameri Nawi, 50, dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berkata beliau melihat pesawat berkenaan dalam keadaan terhuyung-hayang dalam kejadian 12 tengah hari itu. "Pesawat itu kemudian merempuh beberapa batang pokok berhampiran kondominium tersebut menyebabkan dahan-dahan pokok terpelanting ke jalan raya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Beliau yang sedang melakukan tinjauan lalu lintas sempena Tahun Baru Cina kemudian menghubungi IPD Melaka Tengah bagi memaklumkan mengenai kejadian berkenaan. Sementara itu, Ketua Jabatan Trafik dan Ketenteraman Awam Melaka Supt Ahmad Adnan Basri berkata Devenessrao berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka, Batu Berendam pada 11.15 pagi untuk melakukan latihan penerbangan sebelum membuat panggilan kecemasan kepada menara kawalan pada 11.56 pagi. Beliau berkata, pesawat berkenaan kemudian terhempas kira-kira 30 meter daripada kondominium tersebut sebelum juruterbang terbabit keluar menyelamatkan diri. "Pihak polis akan mengawal keadaan di sekitar kawasan kemalangan ini sementara menunggu pasukan penyiasat Jabatan Penerbangan Awam yang difahamkan akan tiba esok bagi menyiasat punca kejadian," katanya. Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu Timbalan Penguasa Bomba Yazid Mohd Tahir berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.01 tengah hari sebelum tiba di lokasi kejadian bersama empat jentera dan 26 anggota dari balai itu pada 12.10 tengahari. Beliau berkata pihaknya kemudian melakukan kerja semburan buih selepas mendapati berlaku kebocoran minyak bagi mengelak percikan api dan kebakaran. Katanya bomba juga memasang tali pada bahagian ekor pesawat berkenaan bagi mengelak ia terjatuh ke jalan raya berhampiran. - Bernama Sumber : Sinar Harian |
Berhati-hati jebak Umno menjelang PRU13 Posted: 06 Feb 2013 03:05 PM PST MELAKA: Ahli PAS perlu berhati hati dengan jebak yang dipasang Umno dalam isu kalimah Allah yang bertujuan untuk mengelirukan dan memerangkap sesama kita kononnya PAS sudah lari daripada landasan sebenarnya. Menurut Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, ahli PAS perlu berhati- hati dengan jebak yang dipasang Umno yang memainkan isu kalimah Allah untuk memerangkap sesama ahli di dalam jemaah. "Sepatutnya Perlembagaan Malaysia dah boleh selesaikan isu ini tapi Umno sengaja membiarkannya bagi kepentingan politik mereka yang menggunakan isu agama, kaum dan raja dekat-dekat nak kalah ni. "Perlembagaan negara dengan jelas tidak mengizinkannya dan keputusan kita selari dengan Perlembagaan Malaysia. "Langsung tak bercanggah antara kenyataan Presiden dengan Majlis Syura PAS yang cuba dilaga lagakan oleh Umno sebab kenyataan awal Presiden itu dibuat dengan berhikmah," kata beliau dalam majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden yang diadakan di Hamas, Markas PAS Jasin di sini. Sementara itu, Salahuddin menegaskan kepada petugas parti agar meningkatkan gerak kerja dan akur dengan keputusan yang dibuat parti menjelang PRU13 terutamanya berkaitan soal calon dan sebagainya. "Bila diputuskan jemaah,patuhlah dan bertawakal kepada Allah, Insya-Allah ada keberkatannya dan menang atau kalah Allah yang tentukan yang penting kita laksanakan tanggungjawab parti yang kita pikul. "Kerana yang utama sekarang ini ialah kita menjatuhkan Umno-BN untuk kita gantikan dengan kerajaan Pakatan Rakyat yang akan mengangkat kembali maruah rakyat dan bagi menjamin keadilan kepada semua. "Umno dah terlalu lama menyamun dan merosakkan rakyat serta.negara ini, maka menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat yang cintakan negara ini berjuang bersungguh-sungguh menolak kerajaan yang korup ini," ujarnya. Selain Salahuddin antara pembentang kertas- kerja pada Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden yang diadakan di Hamas, Markas PAS Jasin itu adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dan Asmuni Awi. Sumber : Harakah 20 - 22 RABIULAWAL 1434 / 1 - 3 FEBRUARI 2013 |
Posted: 06 Feb 2013 03:01 PM PST MELAKA: Seorang Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd Isa Mohamad, 42, dari Kampung Solok Air Budi, Masjid Tanah, di sini, merayu bantuan pihak-pihak yang berkaitan agar memberikan bantuan yang sewajarnya kepada beliau. Beliau mengalami kelumpuhan separuh badan dari paras pinggang ke bawah sejak 2004 apabila terjatuh daripada pokok dan mempunyai dua anak iaitu Nurul Syafiqah, 17 tahun dan Mohd Loqman Hakim, 16 tahun yang masih bersekolah. Menurut Mohd Isa bahawa beliau dan dua anaknya kini bergantung hidup hasil daripada pendapatan isterinya, Siti Zarina Abdul Manan, 43, sebagai pekerja kilang sebanyak RM500 sebulan dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM180 sebulan. Pendapatan isterinya juga tidak menentu kerana sering sakit selepas diserang strok dan kini mempunyai masalah darah tinggi dan kencing manis serta terpaksa berulang-alik ke hospital setiap bulan. "Saya harap JKM menaikkan bantuan bulanan saya yang tak pernah naik sejak 2004 dan meminta bantuan kewangan daripada orang ramai bagi membeli kerusi roda khas berharga RM2,500 disebabkan kerusi yang sedia ada tidak sesuai. "Kerusi roda ini kusyennya keras telah menyebabkan punggung saya luka berlubang dan terpaksa dicuci dua kali sekali dengan ubat khas dan kapas yang juga memerlukan wang untuk membelinya," katanya kepada Harakah di sini baru- baru ini. Beliau juga mengharapkan pihak berkaitan membantunya untuk berdikari dengan memberi tunjuk-ajar dan bantuan modal bagi memulakan perniagaan kerana sebelum ini niat tersebut terhenti separuh jalan disebabkan JKM menolak permohonannya. "Saya boleh berjalan dengan bantuan kerusi roda tapi bila buat kertas kerja JKM tolak, kata saya tak layak sebab tak berkemampuan, jadi macam mana saya nak mulakan perniagaan tanpa bantuan modal walaupun telah mengikuti Kursus Usahawan JKM di bawah Program Pembangunan OKU," ujarnya. Sesiapa yang ingin membantu bolehlah menghubungi beliau di nombor 017-2290781 atau menyalurkan terus ke akaun Maybank beliau bernombor 154044754112. Sumber : Harakah 20 - 22 RABIULAWAL 1434 / 1 - 3 FEBRUARI 2013 |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda PAS Bukit Katil To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan