Selasa, 15 Januari 2013

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah


Masalah Tiada Bekalan Air Juga Berlaku di Sabah

Posted: 15 Jan 2013 08:49 PM PST


BEAUFORT: Pemuda PAS Sabah mendesak pihak Umno Barisan Nasional agar lebih menumpukan perhatian mereka terhadap permasalahan di peringkat negeri yang dikuasainya daripada berterusan 'menyerang' dan 'memperbodohkan' rakyat di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Ketuanya, Lahirul Latigu (gambar) berkata masalah kemudahan dan infrastruktur dilihat lebih bermasalah di Sabah berbanding negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat, antara yang paling ketara ialah, masalah ketiadaan bekalan air yang kerap berlaku di beberapa buah daerah di negeri ini.

Menurutnya, masalah air turut sering berlaku di daerah Beaufort yang dikatakan daerah maju oleh sesetengah wakil rakyatnya.



"Ada wakil rakyat di Beaufort mendakwa banyak kemajuan sudah dibuat, tapi saya nak beritahu bahawa wakil rakyat ini cuba untuk membohongi rakyat setempat.

"Sudah bertahun-tahun penduduk kampung terseksa dengan bekalan air yang sering terputus ditambah elektrik yang 'sekejap ada sekejap tiada' seolah-olah ini kemajuan yang dibangga-banggakan pemimpin Umno," jelasnya.

Lahirul mendakwa, pemasangan saluran paip ke Labuan melalui Beaufort turut menghampakan sebilangan besar penduduk setempat di daerah itu yang lebih memerlukan bekalan air untuk kegiatan harian.

"Saluran pemasangan paip air dipasang melalui Beaufort ke Labuan, tetapi apa yang penduduk sekitar dapat.

"Masalah air di sini masih keadaan kritikal, sedangkan air merupakan sumber utama kegiatan rakyat... nak mandi, nak berniaga... apa semua orang Beaufort ni tak perlukan air ke," dakwa Lahirul yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Beaufort.

Beliau turut kecewa dengan pentadbiran negeri ini yang langsung tidak mempedulikan nasib rakyat, sebaliknya hanya mementingkan diri sendiri.

"Inilah satu kezaliman yang dibuat oleh Umno. Saban hari mereka memburuk-burukkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat... TV1, TV2, TV3... saling bersilih ganti memutarbelitkan isu.

"Tapi masalah rakyat yang ada di negeri mereka sendiri, mereka tidak nampak," ujar Lahirul.

Rasa Dulu Masakan, Baru Tahu Sedap Atau Tidak

Posted: 15 Jan 2013 06:27 PM PST


BEAUFORT: Rakyat di negeri ini, khususnya di Sipitang tidak perlu ragu-ragu memilih Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.

Yang Dipertua PAS Kawasan Sipitang, Ahmad Khambar berkata sudah tiba masanya rakyat di negeri ini perlu melakukan perubahan demi kelangsungan hidup dan masa depan yang lebih baik.

"Kita adalah tuan, tuan kepada wakil-wakil rakyat yang ada sekarang. Sebab itu kita mesti tahu hak kita," katanya.

Katanya, demokrasi di Malaysia yang mengadakan pilihanraya setiap lima tahun menunjukkan bahawa rakyat mempunyai kuasa memilih pemimpin dan membentuk kerajaan yang lebih merakyat.

"Rakyat yang lebih berkuasa, bukan Datuk Seri Najib. Sebab itu ada pilihanraya dan pengundian memilih wakil rakyat.

"Insya Allah, kalau Pakatan Rakyat diberi peluang untuk memimpin negeri Sabah, kita akan berusaha menyelesaikan permasalahan yang dialami rakyat khususnya di daerah ini," ujarnya selepas mengadakan pertemuan dan penyampaian sumbangan kepada penduduk di Kampung Suasa dekat sini petang kelmarin.

Beliau turut menyentuh mengenai Himpunan Kebangkitan Rakyat yang diadakan beberapa hari lalu yang menyaksikan ribuan rakyat berhimpun di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu sebagai petanda bahawa rakyat sudah bersedia melakukan perubahan.

"Kita di sini, kata orang... mesti rasa dulu masakan. Baru dapat tahu sedap atau tidak. Jangan kita terus menolak dengan mengatakan 'tidak sedap'.

"Justeru, cuba dulu Pakatan Rakyat, baru dapat tahu bagus atau tidak," jelas beliau.

Pertemuan dan penyampaian bantuan tersebut turut dihadiri Ketua Pemuda PAS Sabah yang juga Yang Dipertua PAS Beaufort, Lahirul Latigu serta beberapa pimpinan PAS kawasan yang lain.

Tiada ulasan:

Pengikut