Rabu, 5 Disember 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Najib tidak rasa beliau Perdana Menteri

Posted: 04 Dec 2012 03:32 PM PST

Tuan Ibrahim menunjukkan lambang 'gunting' sebagai respons kepada cabaran Adnan yang sanggup dipotong telinga jika DAP menang di Bentong.

TEMERLOH: PAS berpendapat ucapan Datuk Seri Najib Tun Razak di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini tidak menggambarkan beliau seorang Perdana Menteri sebaliknya hanya pemimpin sebuah parti perkauman yang mengajak kepada perpecahan.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jika beliau sedar sebagai seorang Perdana Menteri sudah pasti tidak akan terikut-ikut dengan perwakilan dengan begitu emosional menyerang Pakatan Rakyat (PR).

"Jika diteliti ucapan Najib bermula daripada ucapan dasar hinggalah kepada penggulungan, penuh dengan emosi, serangan peribadi, semangat perkauman dan mempergunakan agama.

"Jika perwakilan yang berbahas dengan nada emosional seperti itu kita faham, tetapi Najib tidak sepatutnya terikut-ikut dengan rentak perwakilan sehingga dia terlupa sebagai seorang Perdana Menteri.

"Cuba ambil contoh Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) berucap dalam muktamar, walaupun macam-macam dibahaskan oleh perwakilan akhirnya Tuan Guru akan mengajak rakyat kepada perpaduan," katanya dalam sidang media di pejabat PAS Pahang hari ini.

Turut hadir Ketua PKR Pahang Datuk Fauzi Abdul Rahman, Timbalan Pengerusi DAP Pahang Tengku Zulpuri Tengku Puji serta pimpinan negeri ketiga-tiga parti.

Tuan Ibrahim berkata, kesimpulan yang dibuat Najib hanyalah lahir daripada rasa tertekan menghadapi pilihan raya.

Ketika berucap pada penggulungan, Najib berkata "satu undi untuk PKR bermaksud satu undi untuk kerosakan akidah dan kerosakan umat. Satu undi untuk PAS bermakna satu undi untuk perpecahan. Satu undi untuk DAP bermakna satu undi penindasan bangsa tercinta. Sebaliknya satu undi untuk Umno dan BN adalah satu undi untuk keselamatan akidah orang Islam. Satu undi untuk BN, satu undi untuk perpaduan dan kekuatan umat. Satu undi untuk BN, satu undi pembelaan bangsa Malaysia.

Jelas Tuan Ibrahim, barangkali Najib tidak diberitahu trend golongan muda di bawah 40 tahun yang mewakili 52 peratus penduduk negara ini, adalah menolak parti dan politik bersifat perkauman.

"Jadi apa gunanya beliau meminta maaf kepada rakyat Malaysia sebelum itu, dalam perhimpunan yang sama, sedangkan terus menyalakan api dendam dan kebencian walaupun kewujudan PAS, PKR dan DAP lahir daripada amalan demokrasi?" soalnya.

Sementara itu Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, PR mensasarkan kehadiran 40,000 rakyat dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat Pahang (HKRP) pada 9 Disember ini di Kerdau.

Katanya, komitmen ini penting bagi merealisasikan perubahan rakyat di negeri ini ke arah pemerintahan yang lebih baik dan membela rakyat.

Fauzi pula berkata, HKRP ini penting kerana melambangkan perubahan rakyat di peringkat bawah dan mesti dilakukan apabila di peringkat kepimpinan atasan (kerajaan) tidak mahu berubah.

Katanya, rakyat sendiri sudah melihat kepincangan kerajaan negeri dengan penyelewengan, salah guna kuasa dan salah urus tadbir sehingga tidak ada apa-apa kebaikan lagi melainkan terpaksa ditukar kerajaan baru.

Dalam pada itu, Tengku Zulpuri berkata, DAP sudah bersiap sedia menggalas cabaran untuk merampas Parlimen Bentong daripada BN dalam pilihan raya akan datang.

"Kita pandang serius cabaran (Menteri Besar Pahang Datuk Seri) Adnan Yaakob yang sanggup dipotong telinga dan terjun Sungai Pahang jika DAP menang di Bentong," tegasnya.

Isu Adnan sanggup dipotong telinga jika DAP menang di Bentong, hangat diperkatakan apabila beliau menyebut 'tawaran' itu kepada pemberita semasa Pau di PWTC.

Namun keesokan harinya beliau berdolak-dalik mengatakan 'sanggup potong telinga' itu hanyalah satu kiasan.

Kelantan sasar rumah mampu milik semua jajahan

Posted: 04 Dec 2012 03:32 PM PST


GUA MUSANG: Kerajaan negeri tetap berusaha bagi membolehkan rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri, biar pun disisih daripada mendapat peruntukan membina rumah awam kos rendah sejak 1990.

(Datuk Ahmad Yakob berucap di Gua Musang)

Antara usaha dilakukan termasuk membina rumah mampu milik bagi membantu rakyat mendiami kediaman sendiri yang lebih selesa.

Rumah mampu milik pertama dilaksanakan di Labok Machang lebih setahun lalu. Projek berkenaan sekarang diperluaskan ke jajahan lain.

Usaha tersebut kini turut dibantu anak syarikat kerajaan negeri, Tunjong Development Corporation Sdn Bhd (TDC) bagi membina rumah jenis berkenaan di Kelantan.

TDC melaksanakan projek usahasama dengan ML Synergy Sdn Bhd. Syarikat berkenaan diterajui anak Kelantan yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri pembinaan. TDC pula syarikat milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, projek terbabit akan dibangunkan di kawasan seluas 62 ekar di Mukim Pulai, Daerah Galas.

Katanya, rumah mampu milik yang akan dibina meliputi 30 peratus daripada keseluruhan projek tersebut.

"Sebanyak 123 unit rumah mampu milik bakal dibina daripada 410 unit bangunan di kawasan berkenaan.

"Walaupun kurang menarik berbanding projek-projek lain dari segi keuntungan, namun konsep cross subsidy di antara pembangunan komersial dan bercampur ia berupaya menampung kerugian yang ditanggung.

"Rumah mampu milik harga jualan dihadkan sehingga RM100,000 seunit. Harganya lebih murah berbanding harga pasaran," katanya pada majlis pecah tanah projek tersebut baru-baru ini.

Perasmiannya disempurnakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Ceramah Merdeka Rakyat kecoh, seorang cedera

Posted: 04 Dec 2012 03:31 PM PST

(Cedera dibahu akibat tusukan benda tajam)

GOMBAK: Majlis ceramah Jelajah Merdeka Rakyat dekat sini kecoh dan seorang petugas luka dibahu akibat tusukan benda tajam.

Ia berlaku apabila sekumpulan pemuda Umno Gombak dikatakan merempuh tempat ceramah Merdeka Rakyat itu.

Menurut Adun Batu Caves, Amirudin Shari,  Pemuda Umno yang diketuai oleh Ketua Pemuda Umno Gombak dan exco Pemuda Pusat cuba rempuh untuk menghalang ceramah itu.

(Pemuda Umno cuba menganggu ceramah Merdeka Rakyat di Gombak)

Menurut beliau, batu juga dilemparkan ke tengah orang ramai yang menyertai ceramah itu.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) juga kelihatan di kawasan ceramah itu.

Walaupun diganggu, orang ramai tetap datang untuk mendengar ucapan para pemimpin Pakatan Rakyat.















(Anggota FRU yang dikerah untuk mengawal keadaan)


(Sebahagian orang ramai yang mahu mendengar ceramah tetapi diganggu)

Kembara Oren Selamatkan Felda di T’ganu 7-8 Dis

Posted: 04 Dec 2012 03:30 PM PST

Shalahuddin Jaafar (kanan) dan Noraza Muda menunjukkan poster Kembara Oren Selamatkan Felda pada sidang media hari ini.

KUALA TERENGGANU: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan menganjurkan konvoi Kembara Oren Selamatkan Felda peringkat Negeri Terengganu pada 7 hingga 8 Disember ini.

Pengerusi Anak Terengganu, Shalahuddin Jaafar berkata program konvoi Kembara Oren Selamatkan Felda akan bermula di Kemaman dan berakhir di Besut.

Menurutnya, peserta konvoi sebanyak 30 buah kenderaan pacuan empat roda 4x4 akan berkumpul di Dataran Ketengah Jaya bersama lebih 200 warga Felda Kertih 5, 6, 4 dan 1.

"Kami (Anak) mempelawa kepada anak-anak peneroka Felda yang mempunyai kenderaan pacuan empat roda 4x4 untuk menyertai program Kembara Oren Selamatkan Felda dari Kemaman hingga ke Besut.

"(Kembara Oren) Ini akan diketuai oleh Pengerusi Anak, Mazlan Aliman dengan mengadakan program gempur dan mengedar risalah untuk selamatkan warga Felda," ujarnya pada satu sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.

Katanya, rombongan konvoi akan bergabung pula dengan para peserta di Felda Kertih 2 dan 3 sebelum meneruskan perjalanan ke Dungun.

Selepas itu, kata beliau sejumlah 60 buah kenderaan pacuan empat roda yang diiringi 20 buah motosikal cup akan tiba di Felda Jerangau, di Dewan Undangan Negeri (Dun) Bukit Besi, Dungun.

Menurutnya, peserta konvoi Kembara Oren menjadi lebih besar apabila tiba di Felda Bukit Bading, di Dun Ajil Hulu Terengganu berjumlah 90 buah kenderaan 4x4 tersebut.

Kemuncaknya, kata Shalahuddin, jumlah peserta konvoi tersebut semakin besar dengan penyertaan lebih 110 buah kenderaan pacuan empat roda tiba di Masjid Felda Selasih, Setiu.

"Kami (Anak) dijangka sampai di Masjid Felda Selasih untuk solat asar dengan jumlah peserta lebih 110 buah kenderaan 4x4 sebelum bertolak lagi ke Felda Tenang di Hulu Besut.

"Pada malamnya, diadakan Ceramah Kembara Oren Selamatkan Felda di Felda Tenang, Hulu Besut untuk memberi pendedahan kepada warga masyarakat Felda di negeri ini," ujarnya.

Harakah dimaklumkan, antara pemidato ceramah tersebut iaitu Pengerusi Anak, Mazlan Aliman, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Haji Muhyidin Abdul Rashid, Penaung Mampat, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim, Shalahuddin Jaafar (Pengerusi Anak Terengganu), Presiden NGO Waris, Haji Roslan Ismail dan Pengerusi NGO Royalti Terengganu, Mohd Fauzi Abu Samah.

Setiausaha Anak Terengganu, Noraza Muda berkata Anak Terengganu perlu membuat sesuatu tindakan bagi menyedarkan warga Felda mengenai bahaya FGVH.

Katanya, para peneroka perlu mengetahui kedudukan Felda berisiko jika saham Felda (FGVH) terus merudum jatuh.

"Kita (Anak) rasakan perlu buat sesuatu untuk menyedarkan masyarakat di Felda seluruh negeri Terengganu ini. Felda dalam bahaya jika saham FGVH terus rendah dan jatuh merudum.

"Mereka (peneroka) perlu tahu risiko dari kejatuhan saham FGVH yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia hari ini," jelasnya.

Menurut beliau, di Terengganu terdapat sejumlah 21 buah tanah rancangan Felda yang mempunyai penerokanya.

Manakala, katanya Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) Terengganu mempunyai tujuh cawangan di negeri ini dengan keahlian lebih 700 orang.

Tambahnya lagi, antara cawangan Anak di Terengganu iaitu di Felda Kertih 5 & 6, Felda Kertih 1 & 2, Felda Kertih 4, Felda Jerangau, Felda Bukit Bading, Felda Chalok, Felda Tenang.

Tiada ulasan:

Pengikut