Rabu, 14 November 2012

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


DIALOG RAKYAT

Posted: 14 Nov 2012 03:49 PM PST

Hadi: Selamatkan Melayu Islam dari khurafat Umno

Posted: 14 Nov 2012 03:47 PM PST

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

 

KOTA BHARU - Dewan Muslimat Pas Pusat digesa bersama-sama parti itu menyelamatkan masyarakat Melayu Islam di negara ini daripada terus terperangkap dalam "khurafat Umno".

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata: "Hari ini bukan musuh masuk dalam parti, musuh masuk dalam rumah, serangan pemikiran."

"Kita tidak boleh kawal anak-anak kita, maka jihad menjadi Fardu Ain, selamatkan orang Melayu kita yang mengaku Islam, yang tenggelam dengan khurafat Umno seolah-olah tidak ada kerajaan lain dalam dunia," kata Abdul Hadi ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Muslimat Pas kali ke-52 di sini, malam tadi.

Justeru menurut Abdul Hadi, adalah penting muslimat Pas mempunyai pemahaman dan ilmu agama yang tinggi bagi menyampaikan mesej Islam sebenar kepada rakyat di negara ini.

"Saya mahu supaya muslimat kita berilmu dan faham. Jangan berilmu sahaja (tapi) tak faham.

"Tak ada ilmu tapi buat-buat faham juga tak boleh khususnya ilmu hendak menyampaikan mesej Islam kepada orang Melayu Islam yang termakan dengan khurafat Umno.  

"Islam adalah agama yang mendahului hak rakyat, menentang pemimpin-pemimpin yang berlagak jadi Tuhan, seolah-olah kerajaan itu maha suci, tak buat salah. Semua nabi-nabi menentang kerajaan yang seperti ini," kata Abdul Hadi lagi.

Abdul Hadi turut mengulas berhubung peranan parti itu dalam berdakwah kepada masyarakat bukan Islam terhadap agama ini.

"Kita perlu perkenalkan Islam kepada masyarakat bukan Islam... ajak mereka kepada Islam tanpa paksaan.

"Tapi kalau mereka (bukan Islam) tak mahu masuk Islam, perkenalkan kepada mereka konsep Islam adil untuk semua," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya pada sidang media mengapa beliau begitu menekankan aspek ilmu dan faham dalam ucapannya, Abdul Hadi berkata, "kita kalau hendak buat apa pun mesti kena ada ilmu."

"Nak bawa kereta mesti kena ada ilmu pandu kereta. Nak kena lulus lesen pula untuk lulus ilmu itu.

"Dan ilmu itu mengikut keadaan semasa. Perkembangan semasa itu berkembang dan kita kena ikut lah. Islam itu sendiri adalah agama yang selaras dengan perkembangan semasa," katanya.

Sementara itu, beliau turut ditanya apakah Dewan Muslimat akan diberi lebih kerusi pada pilihan raya kali ini.

Katanya, ia "telah ditimbangkan. Insya-Allah di samping kawasan yang sedia ada, ada tambahan lain."

Pemuda Pas mahu jawatan PM dan Menteri Kewangan disandang individu berbeza

Posted: 14 Nov 2012 03:46 PM PST

HAZELEN LIANA KAMARUDIN dan SAPINAH ABD GHANI

KOTA BHARU - Pemuda Pas Pusat mahu jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, yang disandang Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang, dipegang oleh individu yang berbeza bagi menjamin fungsi semak dan imbang dalam pengurusan kewangan negara.

Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, perkara tersebut  merupakan salah satu polisi yang akan diangkat dalam kerangka 10 agenda negara berkebajikan.

"Polisi ini telah diutarakan oleh golongan profesional muda sempena program Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya yang dianjurkan Ogos lalu," katanya dalam ucaptama Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-53 yang diadakan di Dewan Jubli Perak di sini.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, itu turut dihadiri oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, mereka juga berbesar hati untuk mengangkat beberapa polisi yang pernah diutarakan oleh perwakilan profesional muda yang mewakili pelbagai disiplin ilmu.

Beliau berkata, ia bagi merealisasikan dan mencorak masa depan di dalam kerangka 10 agenda negara berkebajikan.

Katanya, selain itu perkara lain yang akan ditekankan ialah cadangan mewujudkan Parlimen Belia di setiap negeri bagi memberi peluang golongan itu yang berumur antara 15 hingga 35 tahun mengupas isu-isu anak muda serta isu nasional.

Nasrudin berkata, peluang tersebut dilihat dapat melibatkan mereka dalam perbincangan dan penggubalan dasar serta memberi peluang menyalurkan idea dan pandangan.

"Saya yakin dengan sumbangan dan kreativiti anak muda di pelbagai peringkat penyertaan mereka , Negara Berkebajikan yang diimpikan akan menjadi kenyataan," katanya.

Dalam ucapan tersebut, Nasrudin turut menekankan soal agama, anak muda, politik, ekonomi sosioekonomi dan kepenggunaan.

Beliau berkata, dalam soal sosioekonomi Pemuda Pas mahu memperkenalkan polisi cukai baru bagi golongan yang disifatkan sebagai terlampau kaya serta untuk memastikan golongan yang layak membayar cukai tidak ingkar.

Menurutnya, mereka juga akan memberikan perhatian serius terhadap agenda pendidikan di dalam jamaah bermula daripada institusi Pasti, seterusnya sekolah rendah dan menengah serta institusi pengajian tinggi yang dikelolakan oleh Pas.

"Kami yakin berkat usaha dan bimbingan cerdik pandai, dapat melahirkan gerakan mahasiswa yang bakal menerpa sejarah sebagai pencorak kebangkitan Malaysia baru dengan kekuatan sebagai gerakan keilmuan yang mendidik dan bersifat inklusif," katanya.

Selain itu, Nasrudin turut menggesa agar Pas Pusat bekerja kuat bagi memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Kita perlu memposisikan diri di khalayak anak muda dan perlu tampil dilihat mewakili generasi muda yang memahami kehendak serta suara anak muda.

"Turut sama mendokong aspirasi dan memperjuangkan idealisme mereka selama mana tidak bertentangan dengan Islam sebagai dasar perjuangan kami, " katanya.

Harussani: Nurul Izzah wajib bertaubat, tarik balik kenyataan

Posted: 14 Nov 2012 03:45 PM PST

SINAR HARIANIPOH - Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan supaya anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar bertaubat serta memohon keampunan daripada Allah SWT serta menarik kembali kenyataannya berhubung kebebasan beragama pada sebuah forum di Subang Jaya baru-baru ini.
  
Beliau juga mengulangi nasihat itu untuk seluruh pengikut pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) terbabit yang menyokong serta bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan itu kerana ia adalah berdosa besar.
  
"Dia (Nurul Izzah) terlampau mudah buat kenyataan seperti itu. Dia perlu bertaubat, bertaubatlah dan tarik balik kenyataan dalam ucapannya itu. Minta maaflah kepada semua. Manusia ini tidak lari daripada melakukan kesilapan, kita mudah melakukan kesilapan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
  
Katanya pengikut pemimpin pembangkang itu juga bersubahat dalam tindakan atau perbuatan yang tidak dibenarkan oleh agama Islam dan berdosa besar.
  
"Orang ini (pengikut) ini bersubahat dan berdosa besar, mereka wajib bertaubat...perlu menggunakan akal yang waras. Jangan permain-mainkan agama," katanya.

Katanya kenyataan seperti yang diungkapkan oleh Nurul Izzah itu akan memudahkan perbuatan atau tindakan yang dilarang oleh agama Islam.
  
Beliau berkata sekiranya Nurul Izzah tahu, sedar dan faham yang diucapkannya maka akidah pemimpin parti pembangkang itu telah rosak dan telah keluar daripada pegangan akidah sebagai seorang Islam.
  
"Islam terima kewarasan akal, jika dia tahu, sedar, faham serta ada pengetahuan dan keyakinan (tentang apa yang diucapkannya) maka dia wajib bertaubat," katanya.
  
Laporan portal berita propembangkang pada 3 Nov lepas memetik Nurul Izzah sebagai berkata: "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.
  
"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata," kata Nurul Izzah.
  
Beliau berkata demikian pada forum bertajuk "Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?" di Subang Jaya, Selangor pada 3 Nov. - Bernama

Muktamar :Nasha di luar negara, tak hadir muktamar PAS

Posted: 14 Nov 2012 03:42 PM PST

Bekas timbalan presiden PAS Nasharudin Mat Isa dilaporkan tidak akan hadir ke Muktamar PAS ke-58 yang bakal berlangsung di Kota Bharu bermula Jumaat kerana memenuhi undangan rasmi ke luar negara.

Akhbar Berita Harian menyebut, Nasharudin berada di luar negara sejak Ahad dan undangan tersebut diterima sejak awal lagi.

Nasharudin memberitahu akhbar tersebut bahawa ketidakhadirannya itu "bukan isu besar" dan yakin PAS tidak akan mengenakan apa-apa tindakan ke atasnya.

"PAS tiada masalah kalau memang beliau atau mana-mana ahli muktamar ada urusan lain yang lebih penting. Tak adalah sampai nak ambil tindakan sebab ini biasa.

"Mungkin ramai yang mahu melihat tempat duduknya selepas tidak lagi berada di atas pentas itu saja," katanya seperti dipetik akhbar itu.

PAS dalam satu kenyataan pada September lalu menyatakan kontroversi melibatkan Nasharudin dan parti itu dibincangkan atas prinsip "sahabat" dan tidak melayan MP Bachok itu sebagai musuh.

Kontroversi itu timbul ekoran kenyataan Nasharuddin sebelum ini yang mencadangkan supaya PAS keluar daripada Pakatan jika DAP menentang hudud – seperti dilaporkan meluas oleh TV3 dan Utusan Malaysia.

Susulan itu, timbul saranan daripada pemimpin parti supaya majlis syura ulama PAS menasihatkan Nasharuddin Mat Isa supaya berundur daripada menganggota jawatankuasa tersebut bagi mengelakkan isu berkaitannya dieksplotasi.

Antaranya, bekas naib presiden Datuk Ahmad Awang yang menyarankan Nasharudin berundur daripada majlis syura secara "elok-elok", memandangkan MP Bachok itu menurutnya tiada penyokong.

Mesyuarat majlis syura – yang berkuasa memecat keanggotaan ahlinya – pada 9 September lalu bagaimanapun mengekal Nasharudin sebagai anggota jawatankuasa tersebut.

Susulan itu, Nasharudin terus mengeluarkan kenyataan yang boleh dianggap mempertikai kerjasama PAS dalam Pakatan dan juga hala tuju partinya itu dalam memperjuangkan Islam.

Dalam satu ucapan pada Oktober lalu, Nasharudin mendakwa seorang pemimpin parti itu pernah memberitahunya bahawa kemenangan Islam tidak pernah dibantu oleh orang kafir tetapi hanya oleh umat itu sendiri.

Dalam ucapan sama, Nasharudin turut mendakwa bahawa satu majlis kesyukuran yang diadakan di Sarawak tahun lalu menganjurkan doa supaya "Malaysia menjadi negara Kristian".

"Selepas pilihan raya di Sarawak baru-baru ini, untuk meraikan kemenangan, parti DAP contohnya, di Sarawak, telah ada satu perhimpunan yang diadakan di satu tempat sebagai majlis kesyukuran.

"Dan dalam majlis kesyukuran itu antara perkara yang disebut dan didoakan adalah doa supaya Malaysia menjadi negara Kristian. Kerana kemenangan yang besar sudah ada doa supaya Malaysia jadi negara Kristian," katanya.

Terbaru, dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia Nasharudin turut mengulas mengenai kenyataan kontroversi MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dalam satu forum pada 3 November lalu.
Katanya, kenyataan Nurul Izzah itu bermaksud bagi "memberi kebebasan kepada orang Melayu memilih agama atas prinsip kebebasan manusia".

Kenyataannnya itu dilihat berbeza dengan pandangan yang disuarakan pemimpin PAS termasuk ahli jawatankuasa pusatnya Khalid Samad yang berpendapat, tafsiran bahawa ucapan kontroversi Nurul Izzah Anwar itu difitnah sebagai menyokong murtad.

Khalid yakin bahawa fitnah tersebut digembar-gemburkan untuk menunjukkan bahawa bapa Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga keluarga ketua umum PKR itu "penganut Islam liberal" dan juga bagi menggambarkan bahawa PAS tidak mampu menghalang perkara itu.Mkini

Muktamar Harapan ahli bawahan

Posted: 14 Nov 2012 03:39 PM PST

Oleh Mohd Afif Rabbani bin Abdullah,

Insya-Allah, Muktamar PAS ke-58 akan berlansung pada 2-4 Muharram 1433H bersamaan dengan 16-18 November 2012. Dua hari sebelumnya akan diadakan terlebih dahulu muktamar peringkat dewan-dewan, iaitu Dewan Ulama, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda. Muktamar pada kali ini pasti mendapat perhatian ramai pihak, ditambah pula dengan kesabaran menanti tarikh PRU-13 yang masih belum dijumpai oleh Dato' Seri PM.

 Secara lojiknya, muktamar ini pasti banyak memberi fokus kepada persiapan dan komitmen PAS dalam perjalanan menuju ke Putrajaya bersama-sama rakan Pakatan Rakyat yang lain. Selain itu, beberapa isu besar yang berlaku sepanjang tempoh setahun yang lalu, pasti akan turut diketengahkan dan dibincangkan secara bersama nanti.

Hakikatnya, bukan sahaja para pimpinan PAS di semua peringkat yang teruja dan mengambil maklum akan perkembangan Muktamar ini nanti, tetapi ahli-ahli bawahan juga pasti turut ternanti-nanti akan hasil dan resolusi daripada muktamar ini - termasuklah saya sendiri. Pasti ahli-ahli bawahan ini mempunyai harapan dan hasrat masing-masing terhadap muktamar pada kali ini. Walaupun tidak dapat menyertai secara langsung dan dekat, namun ahli-ahli bawahan ini sedar bahawa para perwakilan yang telah mereka berikan amanah dan mandat untuk mewakili mereka, akan melaksanakan tanggungjawab seikhlas mungkin, dan dapat membawa suara mereka dan pandangan mereka ke peringkat yang tertinggi.

Ingatlah para perwakilan sekalian, kehadiran kalian ke muktamar ini bukanlah atas faktor individu, atau mewakili diri kalian sendiri, sebaliknya kalian mewakili kami semua, ahli-ahli bawahan. Kami mewakilkan diri kami kepada kalian, yang lebih layak dan mampu pada pandangan kami, untuk menyampaikan hasrat dan pandangan kami, agar Jemaah ini mampu bergerak dengan lebih lancar dan tersusun. Laksanakan amanah ini sebaik mungkin, dan jangan kalian mengkhianati kami. Jauhkan daripada membawa agenda individu, dan jangan sesekali kalian menggunakan medan muktamar ini untuk melakukan sesuatu di luar batas syariat Islam.

Ketahuilah para perwakilan sekalian, muktamar kita ini adalah lain daripada perhimpunan mahupun mesyuarat agung parti-parti pilitik yang lain, lain secara fizikal, lain secara rohnya. Muktamar kita ini di dalamnya dipenuhi dengan roh dan nilaian Islam, yang sering kita ajarkan dan tarbiyahkan kepada ahli-ahli semua peringkat. Cukuplah dalam mewakili kami ahli-ahli bawahan, kalian mengikhlaskan niat kalian dan menjaga adab dan akhlak sebagai seorang ahli gerakan Islam. Banyakkan bersangka baik dan berlapang dada sepanjang perjalanan muktamar ini nanti.

Saya berpendapat, tema muktamar pada kali ini iaitu "Negara Berkebajikan Teras Perpaduan" dengan jelasnya dan tegasnya menunjukkan kesediaan dan kemampuan PAS untuk mentadbir Malaysia ini dengan lebih baik, berbanding apa yang telah dilakukan oleh BN selama ini. Sedangkan tema ini juga merupakan satu kesinambungan daripada tema muktamar yang lepas iaitu, "Membangun Negara Berkebajikan", yang dilihat telah membuka mata ramai pihak akan kesediaan dan kemampuan PAS menawarkan sesuatu yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. Sedarlah kita semua, bahawa sekarang ini rakyat sedang melambai-lambai, dan menghulurkan tangan penuh pengharapan, untuk melihat PAS bersama PKR dan DAP, mengambil alih pemerintahan di Putrajaya, dan seterusnya membentuk sebuah pemerintahan yang lebih adil, bersih dan berkebajikan.

Sebagai ingatan kepada saya sendiri dan kepada kalian semua para perwakilan, bahawa kenderaan PAS ini bergerak dengan tiga agenda besar, iaitu Tarbiyah, Dakwah dan Siasah. Ya benar sekali, kita dalam fatrah persedian dan mood menghadapi PRU-13, jadi tidak salah untuk memberi fokus yang lebih kepada hal-hal siasah dalam muktamar ini nanti. Namun, harapan saya agar dua lagi agenda penting iaitu Tarbiyah dan Dakwah tidak dilupakan untuk disebut dan diperingatkan sepanjang muktamar ini nanti. Yang saya faham, tiga agenda ini sebenarnya saling melengkapi antara satu sama lain. Apalah gunanya, jika hanya agenda Siasah yang diberikan keutamaan, sehinggakan kita lupa untuk memuhasabah gerak kerja Tarbiyah dan Dakwah kita, yang saya yakin, dua agenda inilah yang akan menjadi asas kepada kemampuan kita untuk menyempurnakan amanah siasah yang besar kelak.

Sepanjang pemerhatian saya yang serba terbatas dan lemah ini, banyak kelompongan dan kekurangan dalam gerak kerja tarbiyah dan dakwah yang perlu dinilai dan dimuhasabah bersama. Hal tarbiyah ini adalah berkaitan kefahaman ahli-ahli gerakan. Bagaimana mungkin jika masalah kefahaman ini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, Jemaah mampu melahirkan ahli yang komited dan bersedia untuk bersama-sama mentadbir negara kelak? Kita tidak mahu segala penyakit yang menimpa Umno-BN semasa memerintah negara, berjangkit kepada ahli-ahli kita kelak. Justeru, amatlah penting untuk kita mempersiapkan semua ahli dari awal lagi, dan memberikan kefahaman yang sejelasnya, agar tidak berlaku sebagaimana yang menimpa Umno-BN. Semua ini adalah berkaitan Tarbiyah dan Dakwah.

Semoga Muktamar PAS ke-58 ini berjalan dengan lancar dan diberkati Allah SWT. Selamat datang kepada semua perwakilan ke Negeri Kelantan Darul Naim. Semoga kehadiran kalian ke negeri ini membawa rahmat dan berkat. Selamat bermuktamar. Barakallahu lakum.

Ketua Pengarah Kesihatan didenda RM3,000 kerana khalwat

Posted: 14 Nov 2012 03:34 PM PST

SINAR HARIAN

PUTRAJAYA - Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman hari ini didenda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah setelah mengaku bersalah atas tuduhan khalwat.
  
Jika Dr Hasan, 56, gagal membayar denda itu, beliau boleh dipenjara selama tiga bulan.
  
Beliau didakwa berkhalwat dengan seorang pegawai kementerian sama, Wan Syarifah Nooraazmanita Wan Hassan, 36, di sebuah bilik Hotel Pullman Putrajaya, di sini kira-kira 2.18 pagi hari ini.
  
Wan Syarifah Nooraazmanita turut mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut dan dikenakan denda RM2,900 atau penjara 30 hari jika gagal membayar denda itu.
  
Mereka membayar denda itu.

Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain mengenakan hukuman denda itu setelah mengambil kira bahawa ia merupakan kesalahan pertama bagi kedua-dua mereka dan mereka telah mengaku insaf terhadap kesalahan tersebut serta mempunyai niat melangsungkan perkahwinan selepas ini.
  
Dr Hasan didakwa mengikut Seksyen 27(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 manakala Wan Syarifah Nooraazmanita didakwa mengikut Seksyen 27 (b) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun jika sabit kesalahan.
  
Mengikut fakta kes yang dikemukakan oleh pendakwa syarie Che Saupi Che Husin dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), sepasukan anggota penguatkuasa dari JAWI bertindak memeriksa bilik tersebut selepas menerima maklumat awam.
  
Pasukan itu kemudiannya mengetuk pintu bilik itu dan lebih kurang lima minit ia dibuka oleh Dr Hasan yang berbaju kemeja berwarna biru dan berseluar coklat.
  
Selepas dibenarkan masuk oleh Dr Hasan, pemeriksaan mereka mendapati Wan Syarifah Nooraazmanita yang memakai baju dan berseluar hitam sedang duduk di kerusi berhampiran katil.

Hasil siasatan lanjut mendapati Dr Hasan merupakan seorang duda dan Wan Syarifah Nooraazmanita masih lagi isteri yang sah kepada pasangannya.
  
Wan Syarifah Nooraazmanita, bagaimanapun memberitahu mahkamah bahawa beliau dalam proses perceraian dengan suaminya.
  
Ketika merayu hukuman ringan, Dr Hasan berkata beliau mengaku bersalah dan bertanggungjawab atas kesalahan itu dan beliau belajar daripada kesilapannya dan insaf. - Bernama

MCA dan GERAKAN ditolak masyarakat Cina?

Posted: 14 Nov 2012 03:31 PM PST

Pilihan Raya Umum ke-13 sudah hampir tiba dan semua parti politik dah pun bersiap siaga untuk bertarung dalam gelanggang rakyat. Macam-macam muslihat dan propaganda oleh semua pihak yang berminat sudah dan terus menghiasi dada-dada akhbar dan saluran media elektronik ataupun media baru. 

Barisan Nasional (BN) yang berkuasa diperingkat Persekutuan dan sembilan  buah negeri pasti akan sedaya upaya dan dengan apa jua cara akan cuba mempertahan dan jika boleh menawan semula empat buah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR). 

 Di Semenanjung, BN bukan sahaja bergantung kepada UMNO tetapi kepada tiga rakan politiknya iaitu MCA, Gerakan dan MIC. UMNO amat mengharapkan rakan-rakan politiknya itu membantu calon BN di kawasan-kawasan undi dalam bandar ataupun yang mempunyai sejumlah besar pengundi bukan Melayu. 

 Walaupun UMNO sendiri tidak terjamin untuk memenangi semua kawasan undi majoriti Melayu, ia amat memerlukan kemenangan calon-calon MCA, Gerakan dan MIC untuk terus berkuasa. 

 Mampukah MCA, Gerakan dan MIC membantu BN berkuasa semula? Persoalan ini yang perlu dicari jawabannya oleh pucuk kepimpinan UMNO kerana hidup-mati atau masa depan mereka bergantung kepada sama ada pengundi bukan Melayu, khasnya Cina, akan terus menyokong BN. 

 Saya sempat bertanya mengenai persoalan ini kepada beberapa orang sahabat dari masyarakat Cina dan hampir semua berkata majoriti pengundi Cina akan menolak MCA dan Gerakan. Mereka akan memberi sokongan kepada DAP dan parti-parti sekutunya termasuk PAS. 

 Jika betul apa yang dikatakan itu, maka harapan BN untuk menang besar ataupun menawan semula negeri-negeri yang ditadbir oleh PR termasuk mempertahankan Perak yang diperolehi melalui saluran istana/mahkamah, amat tipis. 

 Bahkan ada pihak, termasuk dari luar negara seperti Singapura, yang meramalkan PR akan menawan Negeri Sembilan selain memberi tentangan hebat kepada BN di peringkat Persekutuan. 

 Sabah dan Sarawak bukan lagi 'simpanan tetap' BN dan walaupun BN mampu berkuasa semula di kedua-dua negeri itu,  ia akan mengalami kekalahan beberapa kerusi Dewan Rakyat.

 Yang pasti, pihak mana  akan memenangi pilihan raya akan datang ini akan ditentukan oleh penggundi bukan Melayu dan peranan mereka tidak boleh diperkecilkan sama sekali. Undi Melayu sudahpun berpecah-belah manakala undi bukan Melayu semakin kukuh untuk PR. 

 PM Najib Razak mungkin disukai ramai tetapi ia tidak memberi jaminan bahawa rakyat akan menyokong BN. Seperti yang dinyatakan oleh salah seorang pengundi Cina yang saya temui, kerajaan bagi wang kami terima, undi lain cerita.http://kudaranggi.blogspot.com

Hijrah tuntut rakyat berani lakukan perubahan

Posted: 14 Nov 2012 03:29 PM PST


Hijrah bertitik tolak daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan banyak peristiwa penting berlaku selepas itu. Pastinya, banyak pengajaran dapat dipelajari daripada perjuangan Rasulullah yang boleh dijadikan iktibar. Allah SWT tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu sia-sia bahkan ada pengajaran di sebaliknya sebagai panduan kepada umat berikutnya.

Kisah nabi yang terkandung dalam al-Quran bukanlah cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut dalam kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi mereka yang mahu beriman.

Begitu juga dengan apa yang terjadi kepada Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa kebenaran kepada seluruh umat.

Maksud hijrah

Perkataan 'hijrah' bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain dan dalam konteks lain, hijrah juga dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku. Dalam hal ini Allah SWT menyarankan umat Islam berhijrah daripada tidak baik kepada yang lebih baik, lebih kukuh dan mantap.

Kita tidak boleh berpuas hati dengan apa yang ada sekarang, sebaliknya perlukan perubahan demi kebaikan semua. Selagi rakyat tidak berani mengubah selagi itu keadaan hidup mereka tidak berubah kepada yang lebih baik, sejahtera dan selamat.

Hijrah juga boleh dikaitkan dengan aspek pengorbanan dan jihad kerana hijrah adalah antara cara untuk mempertahankan akidah umat Islam yang suci serta menjaga kehormatan diri.

Sempena sambutan Maal Hijrah ini, sewajarnya setiap rakyat bermuhasabah diri atau memperbetulkan kesilapan lalu demi kebaikan untuk mengelak rakyat daripada terus ditipu, disalahguna pihak yang tidak bertanggungjawab.

Hijrah ke arah lebih berjaya

Ini selaras dengan pemahaman mengenai peristiwa hijrah nabi adalah titik permulaan bagi membina masyarakat dan menjurus rakyat melakukan transformasi ke arah lebih berjaya.

Rakyat negara ini hendaklah mengambil iktibar peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW menghayati ajaran Islam supaya hidup mereka lebih bermakna serta berjaya. Biarlah niat hijrah kita menjanjikan kebahagiaan serta kejayaan di dunia dan akhirat.

Hijrah haruslah difahami sebagai berpindah daripada suatu keadaan yang tidak baik kepada keadaan lebih baik, yakni apa perkara yang tidak baik yang dilakukan baik oleh diri sendiri, orang lain atau pemerintah hendaklah diubah kepada yang terbaik.

Hijrah membawa seseorang mengambil peluang berhijrah daripada melakukan keburukan kepada kebaikan.
Setiap tahun apabila bertukarnya tahun sama ada kalendar Islam mahupun konvensional, setiap individu tidak kira bangsa, jantina sudah pastinya menanam niat dan cita-cita di hati sanubari mereka mahukan perubahan.

Ubah untuk kemakmuran dan harga diri

Untuk menambah baik azam dan cita-cita amat sesuai untuk kita berfikir sejenak sejauh mana kita mempersiapkan diri untuk melakukan perubahan demi kemakmuran rakyat dan kemajuan negara yang berteraskan maruah dan harga diri.

Peristiwa hijrah adalah peristiwa besar yang memberi pengajaran bermakna kepada rakyat Malaysia yang akan berdepan pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Sudah lebih setengah abad Malaysia merdeka dalam keadaan rasuah dan jenayahnya yang sangat parah. Ia merosakkan negara dan rakyat sehingga menjadikan negara dan rakyatnya mundur.

Oleh itu, menerusi semangat hijrah, rakyat perlu berani berubah dengan meletakkan kepimpinan negara kepada manusia yang amanah yang bukan saja mampu membangunkan negara, tetapi amanah dalam pemerintahan dan adil layanannya kepada rakyat.

Semoga tahun baru hijrah ini akan membawa perubahan bermakna kepada rakyat dan negara yang lebih adil dan terkeluar daripada kezaliman, peperangan dan penindasan yang banyak berlaku ketika ini.

Selagi rakyat tidak mahu mengubah, selagi itu pemerintah bermaharaja melakukan apa saja mengikut kemahuan mereka.

Kalau rakyat merelakan apa saja yang dilakukan pemerintah selagi itu nasib mereka tidak akan terbela dan tahap kehidupan dan ekonomi mereka sukar berubah.

Semoga kehadiran 1 Muharam 1434 akan membawa kebaikan dalam segala aspek kehidupan diri dan masyarakat. – Roketkini.com

Yayasan Terengganu sambung pinjaman pelajar terlibat himpunan Bersih Mesir

Posted: 14 Nov 2012 03:25 PM PST

SINAR HARIAN

KUALA TERENGGANU - Yayasan Terengganu (YT) menyambung semula pinjaman pengajian seorang pelajar di Universiti Al-Azhar setelah ditahan menyertai perhimpunan Bersih dan Adil (Bersih 2.0) di Dataran Hayyu Asyier, Kaherah, Mesir tahun lepas.
  
Ketua Penolong Pengarah Tajaan Pelajar YT Mohd Razali Mahmud berkata Muhamad Hasyim Che Ngah, 21, telah membuat pengakuan dan rayuan mengenai penglibatan beliau dalam perhimpunan itu.
  
"Jadi bagi menentukan nasibnya, kita bawa kesnya ke mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu yang bersidang pada 8 Oktober lalu.
  
"Lembaga itu dalam keputusannya bersetuju untuk menyambung semula pinjaman pelajar berkenaan setelah ditamatkan apabila dia didapati terlibat dalam himpunan berkenaan tahun lepas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
  
Muhamad Hasyim, 21, pelajar tahun tiga jurusan perubatan Universiti Al-Azhar adalah antara sembilan pelajar anak Terengganu yang terlibat dengan perhimpunan itu sebelum masing-masing ditamatkan pinjamannya tahun lepas.
 
Beliau adalah salah seorang daripada sembilan pelajar yang terlibat, telah menemui Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said pada 1 Ogos lepas dan membuat pengakuan serta merayu agar pinjamannya disambung semula.
  
Mohd Razali berkata semasa pinjamannya diberhentikan pada Mac lalu, Muhamad Hasyim telah membelanjakan sebanyak RM170,000 daripada RM301,144 yang diluluskan YT sebelum itu.
  
Katanya kini pelajar berkenaan meneruskan pengajian enam tahunnya di bidang perubatan di universiti berkenaan. - Bernama

Mat Yo mungkin kekal bersama Kelantan

Posted: 14 Nov 2012 03:24 PM PST

SINAR HARIN

 

KOTA BHARU - Penyerang sensasi Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo mungkin kekal bersama Kelantan pada Liga Super musim depan jika Johor tidak bersetuju dengan syarat dan terma perpindahan yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Kelantan (KAFA).
  
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata KAFA terpaksa menanggung kos berjumlah hampir RM1 juta termasuk pemberian insentif ketika mengikat kontrak selama dua tahun dengan pemain itu pada tahun ini.
  
Mat Yo, yang dipilih sebagai 'Pemain Paling Bernilai' dalam anugerah bola sepak kebangsaan 2012 baru-baru ini, masih mempunyai kontrak selama 13 bulan dengan persatuan itu.
  
Annuar berkata nilai pakej gaji Mat Yo untuk dua tahun berjumlah RM800,000 tidak termasuk bonus antara RM70,000 dan RM80,000 setahun.
  
"Kita kena hitung kos untuk menanggung Mat Yo bukan sahaja gaji tetapi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pemberian khusus setiap kali menang anugerah selain pemberian gratuiti.

"Mat Yo kahwin kita bagi hampir RM100,000. Itu semua kos yang kita terpaksa kira," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perarakan tiga piala di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, di sini, hari ini.
  
Musim ini, Kelantan memenangi tiga kejohanan iaitu Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
  
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan nilai, syarat serta terma yang telah disertakan dalam surat tawaran kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung urusan perpindahan Norshahrul.
  
Beliau berkata KAFA bersetuju melepaskannya untuk menyertai Johor dan semuanya bergantung kepada persetujuan antara kedua-dua persatuan negeri itu.
  
Perpindahan Mat Yo, pemain paling bernilai untuk tiga tahun berturut-turut itu, mencipta polemik apabila timbul khabar angin mengatakan PBNJ sanggup membayar yuran perpindahan sebanyak RM1 juta kepada KAFA bagi membolehkan Mat Yo beraksi bersama pasukan Johor pada musim hadapan.

Annuar berkata polemik perpindahan Mat Yo juga menyebabkan reaksi negatif daripada beberapa penaja 'The Red Warriors' berikutan khabar angin mengatakan Kelantan tidak mungkin menjuarai sebarang kejuaraan pada musim hadapan.
  
"(Perkara ini) sudah mula menjejaskan rundingan yang sedang berjalan serta penaja yang ada sekarang. Kita mungkin hilang dua atau tiga penaja disebabkan ini.
 
"Kalau kita kata kerugian sampai RM6 juta, takkan nak minta dengan Johor sampai RM6 juta?. Kita terpaksa ambil pendekatan yang munasabah. Masa sama, kita pun tak boleh nak menanggung kerugian," katanya.  - Bernama

Muktamar Pas: Tiada sekatan bahas isu Izzah

Posted: 14 Nov 2012 03:19 PM PST

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

PENGKALAN CHEPA - Isu menyelubungi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak akan mengundang kontroversi dalam Muktamar Pas ke-58, yang akan bermula di sini dengan majlis perasmian persidangan sayap-sayap malam ini.

Menurut Timbalan Pengarah Muktamar Ke-58, Datuk Takiyuddin Hassan, para perwakilan tidak akan disekat daripada membahaskan topik-topik tertentu termasuk isu Nurul Izzah.

"Kita tidak akan sekat tapi dalam kawalan pengerusi. Kita percaya ia tak akan jadi isu kontroversi," katanya pada sidang media di Dewan Tarbiyah Islamiah Kelantan.

Malah ujarnya, Pas tidak pernah mengehadkan perwakilannya daripada membahaskan apa juga topik.

"Kita tidak pernah hadkan perbahasan. Perbahasan ini bergantung kepada ucapan dasar presiden. Garis kasar kita beri kepada perwakilan,"ujarnya.

Sementara itu, menurut Pengarah Muktamar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, setakat ini 95 peratus persiapan menjelang muktamar yang akan berlangsung pada Jumaat ini sudah selesai.

Beliau yang ditemui pada sidang media terakhir jawatankuasa pelaksana muktamar memberitahu, perasmian Dewan Muslimat akan dirasmikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang malam ini.

Di tempat berasingan malam ini, Muktamar Dewan Pemuda pula akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Perwakilan dari 186 kawasan Pas, dari seluruh Malaysia termasuk 15 kawasan baru dari Sabah dan Sarawak akan hadir.

"Dijangka 1,100 perwakilan akan hadir," katanya lagi.

Menjawab sama ada Nurul Izzah akan hadir, Takiyuddin berkata setakat ini hanya Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution mengesahkan kehadiran mereka.

"Izzah setakat ini tidak ada kepastian lagi, kita tak tahu dia datang. Kita jemput parti dan individu-individu," katanya.

Sementara itu, DAP mengesahkan kehadiran pemimpin veteran, Lim Kit Siang: Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony dan Ahli Parlimen DAP dari Bukit Bendera, Liew Chin Thong.

Radio BN Selangor dilancar

Posted: 14 Nov 2012 03:18 PM PST

SINAR HARIAN

 

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini melancarkan saluran radio Internet dikenali sebagai Radio BN Selangor yang boleh diakses menerusi laman web www.selangorbn.fm.
  
Koordinator BN Selangor Datuk Seri Mohd Zin Mohamed berkata radio Internet itu akan memulakan operasi pada 17 Nov ini, 24 jam sehari dan boleh diakses melalui komputer dan telefon pintar.
  
"Radio ini boleh didengar menerusi laman web manakala bagi pengguna telefon pintar, mereka boleh memuat turun menerusi aplikasi Tune In untuk mendengar Radio BN Selangor," katanya pada sidang akhbar sempena majlis pra-pelancaran radio itu oleh Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar di sini hari ini.
  
Beliau berkata radio itu juga bakal menjadi alternatif untuk rakyat Selangor memberi pandangan, mengutara aduan dan masalah mereka selain mendapat maklumat terkini berkaitan program anjuran BN Selangor.
  
Beberapa slot rancangan turut disediakan dalam siaran radio itu untuk menjawab terus aduan dan persoalan yang dibangkitkan seperti 'Aduan Rakyat' dan 'Bersama Pemimpin' yang dibawa secara langsung.

Mohd Zin berkata radio itu juga akan menjadi saluran untuk BN menerangkan sebarang isu berbangkit di Selangor selain mendapat maklumat dan berita terkini menerusi rancangan 'Berita @ Info'.
  
Beliau berkata rancangan 'Resepi Selebriti' juga akan dikeudarakan dengan beberapa tokoh politik, wakil rakyat dan artis akan diundang untuk berkongsi resipi istimewa mereka serta segmen 'Bakat Selangor' pula memberi peluang kepada rakyat di negeri itu  menunjukkan bakat mereka.
  
Sementara itu, Mohd Zin berkata Pusat Khidmat Rakyat Barisan Nasional (Pakar) menerima laporan berhubung isu mengenai masalah kenaikan harga rumah yang begitu mendadak di Selangor.
  
Beliau berkata BN Selangor meneliti masalah ini dengan serius dan menganggap ia sebenarnya berpunca daripada kelemahan kerajaan negeri itu mengurus dan mengawal isu perumahan dengan baik dan berkesan.
  
"Di kesempatan ini, saya ingin memberikan jaminan kepada rakyat Selangor bahawa jika BN (Barisan Nasional) memerintah Selangor kelak, masalah perumahan mampu milik ini akan diberi perhatian khusus.
  
"Saya tidak boleh menyatakan angka-angka dengan spesifik namun perkara ini akan turut dimuatkan dalam manifesto BN untuk pilihan raya umum akan datang," katanya. - Bernama

Kebebasan beragama: DAP 'kunci mulut'

Posted: 14 Nov 2012 01:01 AM PST



SHAH ALAM: DAP bertindak 'mengunci mulut' dari mengeluarkan sebarang kenyataan tentang pendirian Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang mengesyorkan kebebasan agama kepada masyarakat Melayu beragama Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Sue Lim berkata DAP tidak akan masuk campur dalam isu tersebut dan menyerahkannya kepada pihak yang lebih arif tentang agama Islam.

"Kita tidak masuk campur kerana ini berkaitan dengan agama dan kita hormat. Kita serahkan kepada pihak yang beragama Islam. Kita yakin isu ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.

Nurul Izzah sebelum ini dalam sebuah forum anjuran gereja Kristian di Subang Jaya mencadangkan agar masyarakat Melayu Islam diberikan hak bebas beragama sama seperti golongan bukan Islam yang lain.

Walau bagaimanapun beliau yang menjawab pertanyaan hadirin berkata sebagai umat Islam seperti dirinya, akidah yang kuat menjadi penghalang kepada gejala murtad yang ditegah agama.

Kenyataan tersebut mendapat reaksi negatif pelbagai pihak termasuk Sultan Selangor.

Persatuan Ulama S'gr kesal SIS sokong murtad

Posted: 14 Nov 2012 12:52 AM PST

ANTARA POS.COM

KUALA LUMPUR: Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Selangor hari ini menyatakan rasa kesal berhubung tindakan NGO Sisters in Islam (SIS) yang murtad secara tidak langsung, serta menggesa pihak berkuasa agama mengadakan pertemuan dengan pertubuhan tersebut bagi membendung fahaman pluralisme dan kebebasan beragama daripada merebak.

Setiausaha PUM, Mohd Khairunnizam Mohd Supian menegaskan, walaupun SIS telah "menafikan menyokong murtad, namun kenyataan mereka tentang kebebasan keluar masuk agama Islam tidak boleh diterima atas alasan apa pun kerana hukum yang digunapakai di Malaysia jelas mengenainya."

"Perlu diingatkan, kebebasan beragama telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dengan erti kata penganut agama bukan Islam berhak menjalani amalan dan ibadah mereka tanpa diganggu dan mengganggu orang lain, manakala umat Islam sebagai penduduk asal dan majoriti negara ini berhak untuk mengamalkan ajarannya termasuklah dalam hal menyekat penukaran agama yang dilarang dalam agama Islam secara qat'ie," jelas Khairunnizam dalam kenyataan tersebut.

Khairunnizam turut menegaskan, setiap kenyataan berkaitan agama perlu dirujuk kepada pihak yang berkenaan terutamanya para ulama muktabar dan pihak berkuasa agama.

"Walaupun secara umumnya sebagai umat Islam mereka berhak untuk berbicara tentang agama mereka secara asasnya, namun dalam perkara yang melibatkan perbahasan hukum yang mendalam, pihak ulama dan cendekiawan Islam merupakan pihak yang lebih berautoriti untuk dirujuk manakala pihak berkuasa berhak menguat kuasakan mana-mana pandangan ulama muktabar yang sesuai dengan realiti tempat dan masa berdasarkan kaedah," jelas kenyataan itu lagi.

"PUM memandang berat kenyataan NGO tersebut yang bertentangan dengan kehendak ajaran Islam dan menggesa pihak berkuasa agama berbuat sesuatu dengan mengadakan pertemuan dengan mereka seterusnya tindakan lain yang perlu bagi membendung kefahaman yang salah seperti liberalisme, pluralisme dan inklusivisme daripada merebak."

PUM turut menggesa isu berkaitan agama itu juga tidak dipolitikkan kerana ia boleh menimbulkan konflik dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

SIS sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa, kebebasan beragama mestilah termasuk untuk menukar agama, kata badan bukan kerajaan yang memperjuangkan wanita Muslim berikutan dakwaan kenyataan Nurul Izzah Anwar sebelum ini yang dikatakan menyokong kebebasan beragama termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu, Islam di negara ini.

SIS turut mempersoalkan, bagaimana Muslim menuntut kebebasan, yang mahu menarik lebih ramai orang bukan Islam untuk memasuki agama itu tetapi dalam masa sama tidak membenarkan penganutnya keluar dari agama tersebut.

"Kepercayaan berdasarkan paksaan akan jadi hipokrit," menurut SIS dalam kenyataan medianya.

Pengarah program SIS, Suri Kempe menerangkan bahawa NGO tersebut tidak menggalakkan umat Islam untuk murtad, sebaliknya memperjuangkan kebebasan meninggalkan agama bagi mereka yang tidak lagi mempercayainya.

"Islam bukanlah agama jalan sehala," kata Suri.

Kenyataan Nurul Izzah, yang juga merupakan naib presiden PKR dalam forum berkenaan dengan isu negara Islam di Subang Jaya minggu lalu telah menyebabkan beliau diserang oleh pemimpin agama dan pemimpin Umno dengan mengatakan beliau menggalakkan murtad.

Nurul Izzah telah membuat laporan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menjelaskan perkara tersebut dan akan mengambil tindakan ke atas akhbar yang dimiliki Umno, Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog kerana memutarbelitkan kenyataannya.

Murtad dan kebebasan beragama adalah isu sensitif di Malaysia, di mana Melayu — yang mewakili 60 peratus dari 28 juta penduduk — dari segi Perlembagaan adalah Muslim.

Sementara kebebasan untuk beragama adalah dijamin bagi bukan Muslim di bawah Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, semua orang Melayu adalah Muslim di bawah undang-undang.

Undang-undang Islam melarang Muslim dari keluar dari agama tersebut dan undang-undang syariah negara ini telah memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengenakan hukuman kepada golongan murtad.

Dengan mempunyai dua sistem perundangan syariah dan persekutuan, ianya sering mencetus kontroversi dalam kebebasan beragama di bawah artikel 11 apabila orang Muslim cuba untuk keluar dari agamanya.

Ini boleh dilihat dalam kes Lina Joy (Azalina Jailani), Revathi Massosai dan Nyonya Tahir (Wong Ah Kiu).

Pas Sudah Ada 25 Kerusi Dalam Tangan

Posted: 13 Nov 2012 11:58 PM PST

MSO

Bila orang bertanya saya mengenai kedudukan dan peluang Pas di Kelantan dalam pilihan raya umum ke-13 akan datang saya menjawab begini; setakat hari ini Pas masih mampu membentuk kerajaan tetapi bukan dengan majoriti lebih 2/3 tetapi dengan majoriti tipis.

Kedudukan ini berdasarkan angka dan suasana semasa. Saya meletakkan Pas melebihi Umno dua atau tiga kerusi saja. Angka hampir sama gagah iaitu Pas 25,  Umno 20 kerusi. Saya tidak mahu menggunakan istilah status quo seperti tahun 2004. Kenapa?

Di atas kertas bagi Pas mereka mempunyai 15 kerusi yang betul-betul sedap duduk. Ini berdasarkan kepada jumlah majoriti yang diperolehi dalam pilihan raya lalu. Kalau pun undi wakil-wakil berkenaan merosot hingga 20 persen mereka masih dapat mengawal kerusi mereka.

Kerusi-kerusi itu ialah; Kelaboran (2,212), Pasir Pekan (4,516), Chempaka (4,249), Panchor (3,437), Tanjung Mas (6,112), Kota Lama (5,206), Bunut Payung (4,341), Pengkalan Pasir (2,348), Chetok (2,670), Meranti (3,135), Salor (3,232), Pasir Tumbuh (3,403),  Demik (4,799), Tawang (3,278) dan Bukit Panau (4,148).

Kerusi-kerusi ini boleh disifatkan sebagai kerusi paling selamat untuk Pas dan tidak mungkin dapat digugat oleh BN dengan perkembangan dan bentuk-bentuk kempen BN yang ada hari ini. Pas juga tidak perlu menukar atau menyalin calon-calon untuk kerusi ini kecuali ada sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Dengan kedudukan ini secara mudah Pas hanya memerlukan lapan kerusi saja untuk mendapat majoriti mudah, 23 kerusi. Lapan kerusi itu Pas boleh mengambilnya daripada kerusi-kerusi yang dimenangi dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,000 undi.

Terdapat 12 kerusi yang dimenangi Pas dengan majoriti antara 1,000 hingga 2,000. Kerusi itu ialah Tendong (1,656), Jelawat (1,022), Melor (1,616), Kadok (1,802), Gual Ipoh (1,663), Kemahang (1,833), Limbongan (1,633), Pulai Chonbdong (1,535), Temangan, (1,239), Mengkebang (1,903), Manek Urai (1,352) dan Perupok (1,270).  Sebuah kerusi milik PKR, Guchil (1,000) boleh juga diambil kira.

Berdasarkan status itu Pas dengan mudah akan dapat mempertahankan kerajaan Kelantan. Ertinya paling busuk sehingga hari ini Pas akan memperolehi 25 kerusi ke atas. Sekiranya Pas dapat merampas sekurang-kurangnya tiga dari enam kerusi dimenangi Umno ini bermakna Pas akan berkedudukan selesa memperolehi 28 kerusi.

Terdapat tiga kerusi Umno yang menang dibawah 1,000 undi. Kerusi itu ialah Bukit Bunga (348), Pengkalan Kubur (100) dan Kok Lanas (550).

Pun begitu Pas tidak boleh bersedap hati. Pas perlu juga insaf dan sedar bahawa parti itu mempunyai 10 kerusi yang dimenangi dibawah 1,000 undi di mana kerusi-kerusi ini menjadi idaman utama Umno. Kerusi-kerusi berkenaan ialah; Wakaf Baharu (660), Gual Periok (733), Bukit Tuku (456), Galas (646), Selising (783), Semerak (831), Gaal (323), Kemuning (916), Air Lanas (795) dan Dabong (552). Kerusi-kerusi ini merupakan kerusi 'senak' buat Pas dan diletakkan dalam lingkungan warna kelabu.

Seandai Umno dapat merampas kerusi-kerusi ini tanpa kehilangan enam kerusi dimiliki kini bermakna Umno akan memperolehi 15 kerusi. Pencapaian ini merupakan peningkatan kepada Umno di dalam pilihan raya nanti dan merupakan angka yang cukup munasabah buat masa ini.

Bagaimana pun harus diingat, politik itu serba mungkin dan tidak mustahil Umno dengan usaha bersungguh-sungguh akan berjaya merampas kerusi-kerusi dianggap kritikal ini. Sekiranya Pas selesa dengan keadaan hari ini, ia tidak mustahil bagi Umno yang mempunyai semangat juang lebih tinggi dari Pas mampu membuat up-set.

Justeru Pas perlu bertindak segera mengambil langkah bagi memperkukuhkan kerusi-kerusi berkenaan. Salah satu tindakan yang patut dilakukan Pas perlu menukar wakil rakyat yang ada kini kepada muka baru yang lebih dinamik dan komited dengan parti. Pas tidak perlu takut untuk mengorbankan mereka walaupun mereka dari latar belakang ustaz dan senantiasa berjubah dan tasbeh ditangan. Dalam dunia politik tasbeh tidak banyak membantu.

Wakil-wakil rakyat yang mewakil 10 kerusi 'senak' berkenaan ialah; Che Abdullah Mat Nawi (Wakaf Baharu), Abdul Fatah Haron (Bukit Tuku), Muhammad Awang (Gual Periok), Arifabillah @ Mohd Asri Ibrahim (Dabong), Wan Hassan Wan Ibrahim (Semerak), Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Gaal), Drs Saiful Baharin Mohamad (Selising), Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (Kemuning) hendaklah ditukar dengan muka baru.

Kebetulan pula mereka itu semua bermasalah (kecuali Wan Ahmad Lutfi dan Che Abdullah), jadi elok kalau yang lain itu diusahakan tukar atau pun mereka sendiri mengangkat bendera putih untuk berundur dengan terhormat. Ternyata mereka gagal menunjukkan perfomance sebagai wakil rakyat yang sesuai dengan zaman ini. Sesetengahnya masalah dihadapi adalah masalah moral.

Keperluan menukarkan calon-calon ini juga bukan saja terkira kerana majoriti yang dicapainya rendah, kurang 1,000 tetapi wakil rakyat yang selalu sakit, uzur, malas dan tidak memberi sumbangan besar kepada parti dan kerajaan juga perlu dirihatkan.

Misalnya Adun Melor Wan Ismail Wan Jusoh dan Drs Zainuddin Awang Hamat yang sakit dan bermasalah wajar dirihatkan. Abdul Halim Abdul Rahman (Chetok), Rohani Ibrahim (Tanjung Mas) yang kurang berfungsi perlu difikirkan untuk dirihatkan sama. Mereka ini perlu diberi kefahaman, agar berfikir meletakkan kepentingan parti melebihi dari kepentingan peribadi.

Kebetulan juga mereka ada yang sudah dua penggal atau lebih berkhidmat, seperti Wan Ismail, Abdul Halim, Drs Saiful Baharin, Rohani Ibrahim, Dr Nik Mazian dan Abdul Fatah Haron.

Tidak keterlaluan dikatakan kalau Pas sedia melakukan muhasabah dan membuat pembaiki ke atas calon dan wakil rakyat untuk menstabilkan Pas. Dan sekiranya gelombang ke Putrajaya melantun sampai ke segenap kampung dan ceruk di Kelantan, Umno tidak payah bermimpi untuk merampas Kelantan, kemungkin juga parti itu akan ditimpa sejarah seperti tahun 1990 di mana Umno akan gagal memperolehi satu kerusi pun di Kelantan.

Sejarah dalam kehidupan dan politik juga selalu berulang. Sebaliknya kalau Pas masih merasa complacent dengan keadaan yang ada dan terus mengambil calon berdasarkan laporan dan rekomen dari kawasan (atau dipilih secara dalam berdasarkan kroni) tidak mustahil juga Pas boleh menangis tidak beriramal dan akan berlaku istidraj politik. 

Mokhzani dapat kontrak Petronas RM836j, Dr M patut letak jawatan

Posted: 13 Nov 2012 11:02 PM PST

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa meletak jawatan dalam Petronas kerana gagal menjaga kepentingan Petronas dan lebih mengutamakan syarikat milik anaknya.

Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail mengulas penganugerahan kontrak Petronas Carigali Sdn Bhd bernilai RM836 juta kepada anak syarikat SapuraKencana Petroleum Bhd.

Anak Mahathir – Datuk Mokhzani Mahathir adalah salah seorang Ahli Lembaga Pengarah dan Naib Pengerusi Kencana.

Azan berkata, sebagai negarawan, Mahathir patut malu kerana sinonim dengan jolokan kronisme.

"Kalau dia tahu malu dan bertanggungjawab, sudah lama dia letak jawatan. Petronas merupakan syarikat milik negara. Mahathir tak boleh gunakan pengaruh beliau rompak harta negara untuk diagih kepada anak pinak," kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu ketika dihubungi.

SapuraKencana dilapor memaklumkan bursa saham pada 1 November lalu mengenai anak syarikat milik penuhnya, Allied Marine & Equipment Sdn Bhd dianugerahkan kontrak RM700 juta bagi membekal perkhidmatan dalam laut selam tiga setengah tahun.

Satu lagi anak syarikat, Kencana HL Sdn Bhd memperoleh kontrak RM135.8 juta daripada HESS Exploration and Production Malaysia BV untuk projek gas di medan Kamelia. Projek itu dikatakan terletak 150 kilometer timur laut di luar pantai Kota Bharu.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli sebelum ini mencabar Mahathir selaku Penasihat Petronas untuk membuktikan beliau tidak terlibat dalam penganugerahan kontrak tersebut.

"Mahathir tak boleh nafikan itu, semua dasar penswastaan bertujuan mengkayakan keluarga sendiri," kata Azan lagi.

Majalah perniagaan Malaysian Business melaporkan Mokhzani antara tiga tokoh perniagaan Melayu terkaya di Malaysia. Beliau menduduki tangga ke-19 dalam senarai majalah itu dengan memiliki kekayaan sebanyak RM1.6 bilion.

Mohkzani juga memiliki saham di dalam THB Industries Berhad, Tongkah Holdings Berhad dan Pantai Holdings Berhad.

Najib bangkit isu kondo Batu Caves untuk rampas Selangor – Adun

Posted: 13 Nov 2012 10:58 PM PST

Oleh Aisha Geoffrey

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat terhegeh-hegeh membangkitkan isu kondominium Batu Caves menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) bertujuan untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, Amirudin Shari berkata, Najib amat terdesak untuk meraih kembali sokongan masyarakat India terhadap BN yang mula merosot.

"Kononnya mahu membatalkan projek itu semula, sedangkan ia diluluskan oleh BN. Nampak sangat itu permainan Umno BN, sengaja cipta isu konon untuk menunjukkan mereka prihatin dan mampu selesaikan.
"Kenapa tidak dari dulu saja selesaikan, malah luluskan pula? Itu pentadbiran caca marba namanya," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Najib yang juga Pengerusi BN Selangor ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC di pekarangan kompleks Batu Caves, berjanji akan membatalkan projek kondominium 29 tingkat di situ jika BN berjaya menawan Selangor.

Sebelum ini, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu yang bertanggungjawab meluluskan projek tersebut.

8 November lalu terbongkar minit mesyuarat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pada 29 November 2007 mengesahkan, projek kondominium Park Avenue itu turut disokong oleh ahli majlis dari MIC.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan akan menubuhkan pasukan petugas bebas untuk menyiasat isu kondominium yang berdekatan kuil Subramaniar itu.

Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu pula berkata, Kerajaan Selangor mungkin membatalkan projek yang diluluskan BN itu kerana terletak di kawasan sempit dan berdekatan Gua Batu Caves dan berisiko menyebabkan tanah runtuh.

Amirudin berkata, isu tersebut tidak akan menjejaskan kredibiliti pimpinan Pakatan Rakyat di Selangor kerana telah ditangani dengan baik.

"Pimpinan Pakatan di Selangor sudah tangani isu ini sebaiknya. Kita semak fakta siapa yang luluskan, tubuh pasukan menyiasat dan tangguh projek tersebut, jadi tiada isu yang patut timbul," jelasnya.

"Malah, sejak Pakatan ambil alih, tiada sebarang projek pun dibangunkan di kawasan itu, tapak masih kosong, jadi tiada apa yang perlu Najib bangkitkan," tegasnya.

Rosmah Masih Jadi Beban Berat Kepada UMNO

Posted: 13 Nov 2012 10:55 PM PST

Isu Rosmah Mansor yang dianggap gila glamour muncul kembali. Kali ini ketika beliau hadir di majlis persandingan pemain badminton, Lee Chong Wei dan Wong Mei Choo menjadi percakapan ramai. Dalam majlis persandingan itu, Rosmah duduk di tengah-tengah antara kedua mempelai, suatu perbuatan yang amat luar biasa dan lari dari kebiasaan.

Biasanya, ketika majlis persandingan tetamu VIP lelaki akan duduk di sebelah pengantin lelaki manakala tetamu VIP perempuan akan duduk di sebelah pengantin perempuan. Namanya pun raja sehari, maka pengantinlah menjadi raja ketika itu.

Namun dengan Rosmah duduk di tengah-tengah antara kedua mempelai, Lee Chong Wei dan Wong Mei Choo tidak lagi menjadi raja sehari. Sebaliknya Rosmah yang menjadi raja di majlis itu.

Ketika majlis resepsi pertama Lee Chong Wei dan Wong Mei Choo yang turut dihadiri oleh Yang Dipertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Perdana Menteri, menteri-menteri kabinet serta tetamu VIP yang lain sehari sebelum itu, Rosmah telah mengambil keputusan untuk tidak hadir menemani Najib.

Najib hadir seorang diri walaupun Yang Dipertuan Agong hadir bersama Raja Permaisuri Agong. Jemputan untuk majlis itu juga sudah dimaklumkan lebih awal dan tidak diketahui sebab sebenarnya ketidakhadiran Rosmah di majlis resepsi pertama itu.

Ada dakwaan mengatakan Rosmah sengaja memilih tidak hadir di majlis resepsi pertama dan memilih untuk hadir di majlis resepsi kedua adalah kerana tidak mahu kehadirannya dibayangi oleh penampilan baru Raja Permaisuri Agong yang bertudung litup sebaik kembali dari menunaikan haji.

Sebelum itu, penampian baru Raja Permaisuri Agong sebaik kembali dari menunaikan haji tersebar luar di pelbagai media dan mendapat pujian daripada semua pihak. Baginda benar-benar dilihat sebagai "First Lady" yang menawan hati dan menjadi kebanggaan rakyat.

Dengan memilih hadir di majlis resepsi kedua dan hanya beliau tetamu VIP, duduk pula di tengah-tengah antara kedua mempelai, fokus dan tumpuan ramai tentunya hanya kepada beliau seorang sahaja.

Dalam hal ini, ternyata Rosmah memang gila glamour.

Sebaik Najib menjadi Perdana Menteri, isu Rosmah yang suka tampil dengan gaya mewah serta menonjol seolah-olah sama berkuasa dalam pentadbiran kerajaan yang diterajui oleh suaminya, sering menjadi bahan tatapan di media dalam negara dan antarabangsa.

Beliau cuba tampil dengan watak yang begitu berbeza dengan isteri-isteri Perdana Menteri sebelum ini yang begitu setia menjadi pendamping dan teman rapat kepada kejayaan suami mentadbir negara. Rosmah sebaliknya ingin dilihat sama-sama menyingsing lengan turun ke lapangan melakukan aktiviti yang disukainya.

Beliau tidak sahaja aktif melalui aktiviti Permata tetapi juga sibuk berkempen dalam beberapa pilihanraya kecil. Beliau juga mempromosi gelaran "First Lady" untuk dirinya dengan mengadakan persidangan antarabangsa mengenainya serta mengadakan lawatan ke luar negara atas secara sendirian ditemani beberapa isteri menteri dengan pembiayaan wang negara.

Di media-media pula, penampilan beliau hampir setiap hari sehingga kadangkala menenggelamkan aktiviti Timbalan Perdana Menteri atau menteri-menteri yang lain.

Di dalam politik Malaysia dan adab Melayu, perwatakan Rosmah adalah sesuatu yang sukar diterima. Rakyat tidak dapat menerima isteri yang mahu menunjuk kuasa dan berlagak atas kuasa yang diberikan kepada suaminya.

Jika isteri seorang Ketua UMNO cawangan atau isteri ketua pejabat pun yang cuba berlagak dan menunjuk kuasa tidak disukai ramai dan menjadi cemuhan, apatah lagi jika isteri Perdana Menteri yang mempunyai pelbagai kuasa berbuat demikian.

Isu Rosmah yang tak sudah-sudah gila glamour ini sebenarnya sudah lama menjadi percakapan umum, baik di dalam UMNO mahupun di kalangan rakyat biasa. Secara umumnya, tiada siapa yang dapat menerima perwatakan yang beliau tonjolkan itu.

Tidak menjadi rahsia lagi bahawa kerisauan utama UMNO sendiri dalam pilihanraya ini ialah Rosmah sendiri. Beliau dilihat masih menjadi beban kepada UMNO dan BN di samping beban lain seperti isu rasuah di kalangan pemimpin, isu hudud yang melibatkan Chua Soi Lek dan sebagainya.

Sementara Najib dan pimpinan UMNO lain berhempas pulas menarik sokongan rakyat dan memastikan kemenangan UMNO dalam pilihanraya, penampilan Rosmah sebaliknya seakan meruntuhkan apa yang cuba dibina oleh Najib dan lain-lain pemimpin UMNO sejak lebih tiga tahun lalu.

Segala macam transformasi, pemberian tunai serta janji-janji Najib dan UMNO selama ini dengan mudah ditenggelamkan oleh isu-isu yang muncul berkaitan Rosmah.

Dengan Rosmah terus menampakkan keghairahan terhadap kuasa dan glamour, kebimbangan rakyat ialah apa akan jadi selepas pilihanraya nanti jika Najib dan UMNO terus diberikan kuasa. Sudah tentu tahap keghairahan dan gila glamour Rosmah mencanak lebih tinggi lagi.

Dalam masa yang sama watak Rosmah yang sentiasa keletah terhadap kuasa dan glamour juga mengggambarkan kegagalan Najib mengawal dan menasihati isterinya itu. Rakyat tentunya menilai ianya sebagai kelemahan paling asas bagi Najib.

Dengan pilihanraya umum semakin hampir, dan keletah Rosmah sebelum ini dengan pelbagai laporan yang didedahkan sudah cukup menjejaskan sokongan rakyat terhadap Najib dan UMNO, apa yang ditonjolkan Rosmah dalam majlis perkahwinan Lee Chong Wei dan Wong Mei Choo baru-baru ini tentunya menambahkan-parahkan beban yang ditanggung oleh Najib, UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang ini.

Jika Najib sering melaungkan slogan berubah sebelum rebah, ternyata orang paling dekat dengannya iaitu isterinya juga tidak pernah ambil peduli dengan slogan itu.

Rosmah masih mengejar kuasa, perhatian dan glamour. Satu demi satu cerita mengenainya muncul menjadi tatapan rakyat. Meskipun pernah reda seketika, tetapi kemudian didapati galaknya tidak pernah berbeza. Cerita mengenainya seakan episod sinetron yang tiada titik penamatnya.

Dengan Najib dan UMNO tiada keberanian menegur dan menghentikan gelenyar Rosmah ini, kini nampakna hanya rakyat yang boleh meletakkan titik penamat kepada keletah dan gila glamour Rosmah ini

Muktamar: Pas Kedah tonjol model tadbiran Islam

Posted: 13 Nov 2012 10:45 PM PST

NURUL FATIHAH SULAINI

 

ALOR SETAR - Pas Kedah akan menonjolkan model pentadbiran Islam dalam masyarakat majmuk pada Muktamar Pas Pusat kali-58 yang berlangsung di Kelantan minggu ini.

Ketua Penerangan Pas Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, mereka akan menggunakan sepenuhnya peluang pentas muktamar untuk mengetengahkan pencapaian serta kejayaan Pas dalam menerajui sepenggal kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Kedah.

Menurutnya, usaha berkenaan bagi membolehkan segala maklumat berkenaan pencapaian itu sampai sepenuhnya kepada pengetahuan Pas Pusat serta Pas negeri lain.

Pas mengetuai pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah sejak Mac 2008.

"Walaupun kita menghadapi cabaran dalam mentadbir kerajaan, namun tidak besar hanya sedikit cabaran sahaja," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Mengulas mengenai kenyataan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berhubung perwakilan Pas bebas membentangkan sebarang usul walaupun pada tahap mengkritik pemimpin sendiri, Sanusi turut menyambut baik usaha itu.

Menurutnya, bagaimanapun isu yang lebih penting untuk diketengahkan perlu menyentuh usaha untuk mengukuhkan pendirian Pas dari dalam terutamanya menghadapi situasi negara yang semakin mencabar.

"Muktamar kali ini juga dilihat sebagai medan untuk pembahas mempersiapkan isu menjurus kepada usaha Pas menerajui Kerajaan Persekutuan termasuk mengukuhkan Pas dalam komponen PR.

"Perwakilan tidak boleh menjadikan pentas muktamar sebagai tempat melepaskan geram semata-mata tetapi untuk kemajuan Pas," katanya.

Sanusi yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Kedah berkata, muktamar berkenaan turut membantu mempersiapkan Perwakilan Pemuda Pas yang boleh menyediakan pelbagai jawapan untuk berhadapan dengan pertanyaan pengundi baru tentang pelbagai isu politik.

"Golongan pengundi muda sekarang memerlukan jawapan kukuh serta pantas bagi menjawab tohmahan serta pertanyaan isu yang sering diputarbelit  oleh pihak mempunyai kepentingan tertentu," katanya.

Menurutnya, mereka juga akan memfokuskan isu yang dapat mendekati kelompok pengundi muda yang pertama kali mengundi melalui media baru termasuk jaringan laman sosial serta blog.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat Pas Kedah, Datuk Siti Ashah Ghazali berkata, antara isu yang akan disentuh oleh perwakilan mereka turut memfokuskan isu pendidikan dan ekonomi termasuk isu lain.

"Bagaimanapun maklumat secara terperinci kita belum terima kerana Dewan Muslimat Pas Kawasan menghantar terus usul berkenaan kepada Muslimat Pas Pusat," katanya.

Cubaan rompak ATM gagal

Posted: 13 Nov 2012 10:43 PM PST

NUR FARHANA ABDUL MANAN

 

PUCHONG – Terkejut dengan kehadiran seorang pekerja stesen minyak, empat lelaki gagal melarikan wang dari mesin juruwang automatik dalam premis kedai yang dipecah masuk mereka di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi, pekerja stesen minyak di Kampung Kenangan berusia 60 tahun itu dikatakan baru memulakan operasi kedai serbaneka stesen yang turut menempatkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Ketika hendak membuka pintu kedai, pekerja terbabit dikatakan mendengar suara orang bercakap dan terlihat percikan api dari dalam premis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, curiga apa yang berlaku pekerja itu memerhatikan dari pintu cermin kedai sebelum dia didatangi dua lelaki dari arah belakang yang memakai topi keledar.

Menurutnya, lelaki bersenjatakan sebatang besi itu terus menarik, mengheret dan memijak mangsa sebelum membawanya ke belakang kedai.

Beliau berkata, suspek yang berada bersama mangsa mengarahkan dua lagi rakannya yang berada di dalam keluar melalui pintu belakang.

Menurutnya, kesemua empat suspek kemudiannya melarikan diri dengan dua motosikal yang diletakkan di tepi kedai.

Yahaya berkata, kesemua suspek dipercayai memecah masuk kedai itu melalui pintu belakang yang diumpil mereka.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek sudah memotong sebahagian pintu mesin ATM, tetapi tidak berjaya mengeluarkan wang.

"Dua tong gas  jenis oxy acetelyne berwarna hitam dan coklat, peralatan welding serta sebatang besi dipercayai ditinggalkan suspek di depan mesin ATM selepas perbuatan mereka disedari pekerja itu," katanya.

Yahaya berkata, kamera litar tertutup (CCTV) disembur cat berwarna hitam, namun dapat merakam pergerakan suspek yang memakai topi keledar.

"Kami difahamkan stesen ini tidak beroperasi 24 jam, ditutup jam 11 malam sebelum memulakan perniagaan pada jam 6 pagi. Siasatan menyeluruh masih dijalankan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Gembira cuti bertukar tragedi, 3 beranak dan pembantu rumah maut

Posted: 13 Nov 2012 10:35 PM PST

NURUL MAZWANA HAMDAN

 

 


TAIPING – Kegembiraan seorang bapa meraikan anak pulang bercuti bertukar pilu apabila anak kesayangan, menantu, seorang cucu dan pembantu rumahnya maut dalam kebakaran di Assam Kumbang di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam itu, akauntan di Royal Bank of Scotland di Kuala Lumpur, Mohd Hakimi Zubair, 40, dan isterinya seorang pakar teknologi maklumat, Leila Sahak, 40, serta anak bongsu mereka, Ahmad Faris, 3, juga pembantu rumah mereka yang dikenali sebagai Rizki, warga Indonesia, maut dalam kebakaran banglo dua tingkat itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Hasna Rashid ketika ditemui berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.24 tengah malam sebelum 13 anggota bersama tiga jentera dari balai bomba di sini dan Kamunting bergegas ke tempat kejadian.

"Operasi ini berakhir jam 2.05 pagi dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa dipercayai maut akibat sesak nafas selepas terperangkap di dalam asap tebal.

"Seorang mangsa ditemui di pintu keluar menuju ke balkoni rumah, manakala tiga lagi ditemui di bilik tidur utama. Ketika bomba tiba, rumah itu sudah 50 peratus terbakar. Kebakaran dipercayai bermula dari tingkat atas," katanya.

Tiga lagi anak pasangan itu, Lokman Hafiz, 13, Ain Najwa, 11 dan Aizad Fahmi, 8, serta bapa Hakimi, Zubair@Rubir Puteh, 73, dan adik Hakimi, Rozita, 31, terselamat.

Menurutnya, mereka berada di tingkat bawah ketika kebakaran dan sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.

"Siasatan awal mendapati kejadian itu juga tidak melibatkan sebarang unsur jenayah," katanya.

Bapa mangsa, Zubair berkata, dia tidak menyangka keputusan anaknya menambah cuti semata-mata berhajat makan kuey tiaw kombat kegemaran mereka sekeluarga, berakhir tragedi.

"Mereka sempat makan dan pak cik juga ada belikan sate 50 cucuk untuk dimakan bersama pada malam kejadian," katanya.

Zubair ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Taiping memberitahu, pada malam kejadian, dia bersama tiga lagi cucu iaitu, Lokman Hafiz, Ain Najwa, dan Aizad Fahmi tidur di bahagian bawah.

Menurutnya, dia tidak dapat berbuat apa-apa kerana api marak dengan cepat dari arah tangga utama rumah menyebabkan kesemua mangsa terperangkap dan gagal diselamatkan.

"Pakcik bersama tiga lagi cucu berjaya menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Zubair yang juga pesara guru, sebelum ini tinggal bersama anak bongsunya, Rozita, 31, namun ketika kejadian anak bongsunya berada di wad sebuah hospital swasta akibat masalah kesihatan.

Walaupun reda dengan pemergian anak, menantu dan cucunya, Zubair tetap sedih kerana percutian anaknya sekeluarga bertukar tragedi.

Ketiga-tiga mangsa selamat disembahyangkan di Masjid Al-Hidayah Assam Kumbang sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Tekah, di sini.

Sementara itu, Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang turut hadir menziarahi keluarga mangsa akan meminta pihak hospital menghubungi  kedutaan Indonesia bagi menguruskan jenazah pembantu rumah terbabit.

Kali terakhir jumpa Aidiladha

Sementara itu, ibu Leila, Hadijah Mongin, 62, berkata, dia pasrah dengan kejadian menimpa anak, menanti dan cucunya selepas kali terakhir bertemu mereka ketika sambutan Aidiladha lalu.

Hadijah berkata, selepas bertemu pada Aidiladha di Kampung Jambatan Duyong, Melaka, dia tidak lagi berjumpa mahupun berhubung dengan anaknya itu sehinggalah dimaklumkan arwah maut dalam kebakaran di rumah bapa mertuanya jam 2.30 pagi semalam.

"Selepas menerima panggilan, kami semua bergegas ke sini untuk melihat jasad arwah buat kali terakhir," katanya.

Menurutnya, disebabkan keluarga sebelah menantunya tidak mempunyai nenek lagi, dia berhasrat menjaga tiga cucunya itu.

"Mereka memang rapat dengan mak cik dan mak cik akan berbincang dengan ahli keluarga serta anak-anak untuk menjaga tiga beradik ini," katanya.

Hadijah berkata, arwah Leila adalah anak sulung daripada enam beradik.

"Dia memang seorang yang bertanggungjawab dan rapat dengan adik-adik. Mak cik tak sangka kejadian seumpama ini boleh berlaku kepada mereka sekeluarga," katanya.

Azman lepas jawatan pengurus skuad Kelantan

Posted: 13 Nov 2012 10:31 PM PST

SINAR HARIANDESAS-desus mengatakan Azman Ibrahim akan berundur sebagai pengurus pasukan The Red Warriors pada musim hadapan akhirnya terjawab apabila beliau sendiri mengesahkan peletakan jawatannya itu.

Azman yang menjadi pengurus pasukan bola sepak Kelantan sejak 2005 berkata, ia masa yang tepat untuk beliau berundur selepas Kelantan berjaya menggondol kejayaan treble dengan menyapu bersih ketiga-tiga piala dalam saingan Liga Super, FA dan Piala Malaysia musim ini walaupun Kelantan pada suatu ketika dahulu pernah bermain di Liga FAM.

"Saya ambil pasukan ini bersama Datuk Ahmad Jazlan Yaacob (ketika itu Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan) pada  2005 bila Kelantan jatuh ke Liga FAM yang mana tidak ramai yang berminat untuk menguruskan pasukan ini dan kembali ke Liga Perdana pada tahun berikutnya.

"Saya bersyukur dapat bersama Kelantan dalam saat kegemilangan dan harap The Red Warriors lebih berjaya pada masa  hadapan. Saya percaya Bojan (Hodak) boleh lakukan tugas sebagai pengurus walaupun pada masa yang sama menjadi jurulatih," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkaitan perarakan tiga piala itu, di Kota Bharu hari ini.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebooknya dipetik sebagai berkata, Kafa membuat keputusan untuk melantik Bojan Hodak sebagai Ketua Jurulatih dan Pengurus Pasukan selepas Azman yang juga Setiausaha Agung persatuan  tersebut memohon untuk tidak menjadi pengurus pasukan pada musim 2013.

Bagaimanapun Azman masih kekal sebagai Setiausaha Agung KAFA.

Ketika ditanya sebab-sebab pengunduran beliau daripada pengurusan pasukan, Azman berkata, beliau ingin memberikan  peluang  kepada orang baru supaya Kelantan dapat diuruskan dengan lebih baik.

"(Pengunduran) ini telah lama saya fikirkan, tapi seboleh-bolehnya saya pun nak beri peluang kepada orang lain kerana bila terlampau lama akan banyak perkara yang boleh berlaku.

"Usia saya pun sudah meningkat. Daripada segi tekanan dan beban kerja, saya rasa saya harus lepaskan secara beransur-ansur," katanya.   

Sementara itu, Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail berkata, penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha yang lebih dikenali sebagai Mat Yo akan dilepaskan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) jika persatuan itu bersetuju dengan syarat-syarat KAFA.

"Jawatankuasa Pengurusan bersetuju untuk menyerahkan urusan pemindahan Mat Yo (Norshahrul) kepada Tan Sri (Annuar Musa). Beliau akan guna budi bicara dan pandangan dia dalam menentukan kedudukan Mat Yo.

"Selain itu, kita telah hantar surat tawaran kepada PBNJ dan terserah kepada mereka untuk membuat keputusan sama  ada setuju atau tidak dengan tawaran yang kita tetapkan," katanya.

Beliau enggan menyatakan syarat-syarat itu.

Perpindahan Mat Yo, pemain paling bernilai untuk tiga tahun berturut-turut itu, mencipta polemik apabila timbul khabar angin mengatakan PBNJ sanggup membayar yuran perpindahan sebanyak RM1 juta kepada KAFA bagi membolehkan Mat Yo beraksi bersama pasukan Johor pada musim hadapan.

Dalam perkembangan lain, Rosmadi berkata, Kafa akan mengadakan Majlis Perarakan Tiga Piala pada 20 November ini bagi menghargai penyokong yang sentiasa memberi sokongan kepada The Red Warriors sehingga berjaya menyapu bersih ketiga-tiga piala pada musim ini.
 
Rosmadi berkata, perarakan itu akan bermula pada 10.30 malam di perkarangan Hotel Renaissance selepas santapan  malam bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, selain turut mempersembahkan ketiga-tiga piala tersebut kepada baginda di hotel itu.

Perarakan itu bermula daripada perkarangan hotel tersebut melalui Jalan Sultan Yahya Petra, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Temenggong dan Jalan Mahmood sebelum berakhir di perkarangan Stadium Sultan Muhammad ke-IV.

Beliau menjangka kehadiran kira-kira 7,000 hingga 10,000 penyokong Kelantan pada perarakan itu dan Annuar turut dijangka mengumumkan kesebelasan utama The Red Warriors yang akan beraksi pada musim hadapan. - Bernama

Polis trafik parah dirempuh motosikal ketika bertugas

Posted: 13 Nov 2012 10:29 PM PST

SINAR HARIAN

GEORGETOWN - Seorang anggota polis trafik parah akibat dirempuh sebuah motosikal di Kilometer 127.6 menghala arah utara Sungai Dua, Butterworth, dekat sini Isnin lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata pada kejadian 2.50 petang itu anggota berkenaan, Lans Koperal Abu Talib Shariff, 23, sedang mengeluarkan surat saman kepada seorang pemandu kereta yang didapati tidak memakai tali pinggang keledar dan memandu melebihi had laju.

"Motosikal yang dipandu laju seorang lelaki secara tiba-tiba merempuh Abu Talib dan mengheretnya sejauh 30 meter sebelum beliau tercampak ke lorong kecemasan," katanya kepada pemberita selepas melawat anggota berkenaan di Penang Adventist Hospital, di sini hari ini.

Beliau berkata susulan insiden itu keseluruhan struktur tulang muka dan bahu kiri anggota berkenaan patah selain tulang rusuk di bahagian belakangnya retak.

Difahamkan anggota berkenaan berada dalam keadaan stabil dan ditahan di hospital itu untuk jangka masa yang lama berikutan kecederaan yang dialaminya.

Abdul Rahim menggesa semua pengguna jalan raya agar peka dengan keadaan persekitaran sewaktu memandu terutamanya ketika terdapat sekatan jalan atau seumpamanya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya lelaki yang melanggar Abu Talib yang turut patah bahu kanannya kini berada di Hospital Kepala Batas dan dia akan ditahan sebaik sehaja selesai menjalani rawatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda minimum RM4,000 dan maksimum RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan," katanya.- Bernama

Empat individu tak dikenali dikhuatiri lemas, kereta terbabas ke dalam sungai

Posted: 13 Nov 2012 10:27 PM PST

SINAR HARIAN

PENDANG - Empat individu yang tidak dikenali identitinya dikhuatiri lemas setelah kereta yang mereka naiki terbabas ke dalam Sungai Padang Kerbau, Titi Haji Idris dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 1.30 petang tadi apabila kereta jenis Proton Saga berwarna putih dipercayai masuk ke Kampung Titi Haji Idris dekat sini, iaitu kira-kira 200 meter dari jalan utama Titi Haji Idris- Pekan Pendang dengan tempat kejadian.   

Siti Fatimah Hussin, 34, berkata dia ketika itu yang berada di hadapan rumahnya yang bertentangan dengan tempat kejadian ternampak sebuah kereta dari jalan utama menghala masuk ke kampungnya dan tiba-tiba dia  terdengar bunyi dentuman kuat dari arah sungai.

Katanya kereta tersebut yang terbabas ke dalam sungai tenggelam dengan cepat akibat arus sungai yang deras. Bagaimanapun tiada kelibat mangsa yang cuba keluar daripada kenderaan tersebut bagi menyelamatkan diri.  

"Saya dengar bunyi 'boom' dan terus nampak ada kereta dah jatuh dalam sungai. Kemudian saya beritahu jiran dan tak lama kemudian kereta tu terus tenggelam. Saya terus hubungi bomba dan polis," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Difahamkan kesemua mangsa bukan penduduk kampung tersebut dan mungkin orang luar yang datang untuk melakukan aktiviti memancing di kawasan sungai itu.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kota Setar, Mohd Faizol Aziz berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.30 petang dan bergegas ke tempat kejadian dengan kekuatan 22 anggota dari Pendang dan Kota Setar termasuk empat penyelam.

Katanya operasi mencari dan menyelamat yang bermula pada 2.30 petang tadi bagaimanapun menghadapi kesukaran ekoran arus sungai yang terlalu deras serta keadaan sungai yang dalam iaitu kira-kira 5 meter.

JPAM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Setar menggunakan dua bot bagi melakukan kerja-kerja menyelamat dan mencari kenderaan mangsa di sekitar kawasan tersebut.

Setakat pukul 5 petang ini usaha mencari dan menyelamat mangsa yang dipercayai lemas, gagal. - Bernama

Bendera Malaysia dibakar berhampiran kediaman Duta Besar di Jakarta

Posted: 13 Nov 2012 10:24 PM PST

SINAR HARIAN

JAKARTA - Isu tiga anggota polis Malaysia yang didakwa merogol seorang wanita rakyat Indonesia di Pulau Pinang baru-baru ini menyebabkan sekumpulan penunjuk perasaan berdemonstrasi berhampiran kediaman Duta Besar Malaysia ke Indonesia, di Jalan Patra Kuningan Utara di sini pada Selasa.
  
Dalam demonstrasi pada pukul 1 petang itu, kira-kira 20 orang yang mewakili kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) mendesak kerajaan Indonesia mengusir Duta Besar Malaysia dari republik itu selain bertindak membakar bendera Malaysia bagi menunjukkan kemarahan terhadap kejadian yang berlaku ke atas wanita berusia 25 tahun itu.
  
Demonstrasi itu diadakan kira-kira 100 meter dari Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia itu kerana pihak polis Indonesia telah menutup jalan di hadapan kediaman itu dan menghalang kumpulan penunjuk perasaan daripada beraksi di hadapan kediaman itu.
  
Kumpulan penunjuk perasaan itu turut mendesak Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono bertindak tegas berhubung kejadian itu dengan mengusir Duta Besar Malaysia ke Indonesia dari republik itu.
  
Mereka menyalahkan Yudhoyono yang didakwa gagal melindungi warganegara Indonesia di Malaysia dan meminta Presiden Indonesia itu mengundurkan diri jika beliau gagal mengusir Duta Besar Malaysia.

Dalam demonstasi selama 50 minit itu, beberapa peserta termasuk kanak-kanak dan wanita memegang kain sepanduk berwarna merah yang antara antara lain bertulis 'Usir Duta Besar Malaysia, Ganyang dan lawan Malaysia'.
  
Pasukan Polis Indonesia, termasuk anggota dari unit pemusnah bom, mengawal ketat di kawasan sekitar Kediaman Rasmi Duta Besar Malaysia itu sepanjang demonstrasi berlangsung.
  
Sejumlah besar anggota polis Indonesia turut berkawal di luar bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jalan H.R. Rasuna Said, Kuningan bagi mengawal keadaan jika berlaku demonstrasi di situ, namun bas yang membawa kumpulan dari Bendera itu hanya melalui kawasan itu.  - Bernama

BERFIKIR.... MENCARI HAKIKAT KEBENARAN

Posted: 14 Nov 2012 03:01 PM PST

Posted by Admin Direktori Blog | | 3:01 PTG

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info

sumber :-

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info

Tiada ulasan:

Pengikut