Rabu, 14 November 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Muktamar: Medan jihad untuk menangkan Islam

Posted: 13 Nov 2012 03:36 PM PST


KUALA LUMPUR: Para pendukung PAS diseru menjadikan Muktamar Tahunan PAS ke-58 sebagai medan meningkatkan semangat jihad dalam meneruskan usaha memenangkan perjuangan Islam di Malaysia.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ini kerana muktamar kali ini merupakan ijtimak terakhir parti sebelum menghadapi PRU13.

"Jadikan ia medan meningkatkan semangat jihad dalam meneruskan usaha memenangkan perjuangan Islam di Malaysia," ujarnya.

Beliau menegaskan, PAS yakin perwakilan akan menggunakan kesempatan ini untuk saling mengukuhkan gerak kerja, mengemaskan jentera dan meningkatkan pengorbanan seluruh ahli.


Menurutnya, muktamar diadakan sempena bulan hijrah bagi mengingatkan pimpinan dan ahli kesukaran Rasul dalam mempertahankan Islam sehingga menuntut pengorbanan yang besar seluruh pihak Muhajirin dan Ansar.

Katanya, pemilihan bulan Muharam sebagai bulan muktamar mempunyai matlamat terselindung agar dapat dihayati oleh seluruh perwakilan dan pemerhati.

"Inilah masa terbaik menggerakan semangat dan pengorbanan. Marilah kita hayati ucapan Presiden sebagaimana para sahabat mendengar arahan daripada Rasulullah," ujarnya dalam Facebook.

Justeru, beliau berharap janganlah ada yang berjalan terlalu laju sehingga meninggalkan pengikut di belakang, dan jangan pula terlalu perlahan sehingga orang di belakang menendang kaki orang di hadapan.

"Kita berjuang di atas satu saf yang kukuh, ibarat bangunan yang tersusun teguh. Jangan terganggu perjalanan ini kerana adanya panggilan-panggilan kiri kanan yang berusaha untuk melengahkan kemenangan Islam.

"Ya Allah, satukan kami, perteguhkan azam kami dan terimalah taubat kami," ujar beliau lagi.

Unit Amal sertai Istiadat Perbarisan Kehormatan

Posted: 13 Nov 2012 03:36 PM PST


(Unit Amal menyertai pembarisan sempena sambutan ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad)

KOTA BHARU: Pasukan Unit Amal diberi penghormatan menyertai Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormatan sempena sambutan ulangtahun Hari Keputeraan Sultan Muhammad V di Padang Merdeka, kelmarin.

Unit Amal diwakili Briged Amal dari Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Mardhiah, Panchor, Pengkalan Chepa.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pertama kali dalam sejarah pasukan Unit Amal dijemput menyertai acara rasmi peringkat negeri.

"Ini merupakan satu pengiktifaran yang belum pernah berlaku sejak kewujudan Unit Amal kira-kira 25 tahun lalu.

"Saya yang turut sama berada di pentas utama terasa begitu teruja melihat kecekapan anggota-anggota Unit Amal, yang mana sebelum ini hanya kelihatan pada program-program parti.

"Mereka juga berkemampuan menyertai acara besar seperti itu dengan segak berbaris seperti pasukan berpakaian seragam lain," katanya di sini.

Pasukan Briged Amal tersebut disertai 35 anggota pernah muncul sebagai johan pertandingan kawat kaki anjuran Yayasan Islam Kelantan.

Abdul Latiff yang juga Adun Mengkebang berkata, Unit Amal mengembangkan pasukan berpakaian seragam itu ke beberapa sekolah agama di bawah Yik, di mana mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar.

Sementara itu sempena perasmian Muktamar PAS kali ke-58 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) pada Jumaat ini difahamkan pasukan Unit Amal juga akan diberi penghormatan mengadakan perbarisan kehormatan.

Bantu Islam, bukan jadi batu penghalang - Tuan Ibrahim

Posted: 13 Nov 2012 03:35 PM PST


(Tuan Ibrahim berucap di Padang Rengas - foto Muslimeen United)

PADANG RENGAS: "Cukuplah zaman kita menjadi penyokong PAS, sudah tiba masanya kita menjadi pekerja dan pembantu kepada PAS," kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam majlis Kembali Ilmu di Kg Biong, Sauk, Padang Rengas dekat sini.

Untuk mencapai matlamat tersebut, beliau menggesa kepada semua ahli agar bersiap dan memperkemaskan jentera dan organisasi disemua peringkat.

Ini bagi memastikan misi untuk menawan Putrajaya akan berhasil, tegas Tuan Ibrahim sebagaimana yang dilaporkan oleh blog Muslimeem United.

(Sebahagian orang ramai yang hadir - foto Muslimeen United)

Beliau juga mengingatkan kepada ahli-ahli supaya jangan menjadi batu penghalang kepada kemenangan Islam, "Sekiranya kita tidak berpuas hati dengan sesuatu tindakan parti, maka ada salurannya, jangan kita menggunakan media musuh sebagai medan kita meluahkan ketidakpuasan."

Dalam ucapannya juga beliau menyarankan kepada pimpinan agar menggunakan segala ruang yang ada disekeliling bagi memenangkan Islam.

"Orang muda dengan cara orang mudanya, orang tua dengan cara orang tuanya, bahkan sekiranya seseorang itu hanya boleh makan sahaja pun perlu digunakan untuk memenangkan Islam," seloroh beliau.

Program Jelajah Kembara Ilmu bersama beliau dimulakan dengan Kuliah Dhuha di Balai Tasawur Islam, Simpang Empat, Semanggol, kemudian Hitea di Kg Biong, sauk.

Kuliah Maghrib pula di Kg luat Lenggong dan ceramah umum bersama Ketua Pemuda PAS Perak di Pekan Karai, Kuala Kangsar.

Najib perdaya artis tarik sokongan kepada Umno

Posted: 13 Nov 2012 03:34 PM PST

KUALA LUMPUR: Pengacara, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman (gambar) atau nama sebenar, Muhammad Hakim Lokman berkata, pelancaran Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya untuk tarik sokongan golongan itu kepada BN.

Katanya, Umno terbukti semakin parah kerana sanggup menjanjikan habuan demi kepentingan politik.

"Ini janji tak ikhlas, kenapa baru sekarang nak bagi (perhatian) kepada artis. Adakah kerana tiada penyokong, baru nak gunakan artis.

"Ini semua tindakan terdesak mereka. Selama ini siapa yang pandang artis, kami hanya digelar sebagai penghibur, tiada kepentingan," tempelaknya.

Najib melancarkan YA1M itu semalam sebagai langkah menarik sokongan golongan seni yang semakin peka dengan isu politik kepada BN.

Dalam ucapannya, beliau berjanji kepada golongan seni menyokong kerajaan akan mendapat bantuan lebih banyak kelak jika BN meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Najib turut mengumumkan sumbangan RM2 juta kepada YA1M pada tahun ini dan RM3 juta pada tahun depan di samping akan menimbang untuk menyediakan skim perlindungan insurans kepada golongan seni.

"Kalau dah buat macam-macam, takkan artis tak boleh fikir, mesti ada muslihat di sebalik janji-janjinya. Kalau mereka (artis) waras, mereka tak akan sokong perkara ini. Kalau tak boleh baca lagi (muslihat Najib), maknanya mereka tak normal.

"Tapi kalau mereka tidak bermaruah, orang itu pastinya mudah ditipu," tegasnya ketika dihubungi.

Antara artis yang telah menyertai parti politik ialah penyanyi dan pelakon kontroversi Abby Abadi yang mengumumkan penyertaan ke dalam PAS.

Selain Bob Lokman, terdapat beberapa artis lain yang menyertai Pakatan Rakyat antaranya pelakon Hairie Othman, penyanyi Dayangku Intan, Noryn Aziz dan Yatt Hamzah.

Sementara itu, Ketua Biro Kebudayaan dan Kesenian Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN, Tengku Intan Tengku Abd Hamid atau Dayangku Intan (kanan) menyifatkan tindakan terdesak Najib itu kerana sedar beliau akan kalah dalam PRU 13 sehingga terpaksa bergantung kepada artis.

"Ini semua kerana mereka takut kalah PRU 13, baru mereka tahu bagaimana artis boleh mempengaruhi rakyat dengan hasil seni mereka.

"Kalau mahu bercakap mengenai royalti, perlindungan kepada artis, ini bukan perkara baru. Sudah bertahun kita perjuangkan. Kenapa baru sekarang mahu jaga artis," kata penyanyi yang terkenal dengan lagu Semakin Rindu Semakin Sayang.

Kata artis veteran itu lagi, Umno sebenarnya ketandusan idea kerana terpaksa meniru apa yang dibuat Pakatan Rakyat.

"Kalau mahu tarik sokongan artis, Umno sebenarnya sudah terlambat kerana Pakatan lebih dahulu memahami artis.

"Semuanya ditiru, dari (jelajah) bas, sehinggalah beri peluang kepada artis ke pentas ceramah (Umno). Sudut ini pun kita boleh tengok Pakatan lebih dekat dengan artis," ujarnya.

Tiada ulasan:

Pengikut