Rabu, 12 September 2012

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah


Ketua Pemuda Menerima Anugerah Tokoh Pendidik Muda

Posted: 11 Sep 2012 08:55 PM PDT


Oleh : HESA

Dewan Universiti Industri Selangor (UNISEL), Shah Alam menjadi tempat perhimpunan bagi menghimpunkan para pendidik dari dalam negara dengan bertemakan "Pendidik Menjana Kebijaksanaan". Majlis ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Modal Insan Negeri Selangor dan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) dengan kerjasama UNISEL dan MAPPIS. Turut menjadi agenda utama perhimpunan ini adalah penyampaian Anugerah Tokoh Pendidik Muda dan Anugerah Tokoh Pendidik Nusantara. Majlis ini dirasmikan oleh YB Dr Hajah Halimah Ali selaku PENGERUSI Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Modal Insan Negeri Selangor. Turut hadir pada majlis ini ialah YAB Tuan Guru Dato' Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan, Cikgu Normala Bt Sudirman Presiden PENDIDIK, YBhg. Dato' Ustaz Abu Bakar B Chik Mustasyar PENDIDIK dan A. Samad Said, Sasterawan Negara.

Berucap di dalam majlis tersebut, Dato' Ustaz Abu Bakar Chik berkata himpunan ini adalah salah satu usaha untuk kita meninggikan kalimah Allah SWT. Kita sebagai pendidik hendaklah menyampaikan ilmu kepada orang lain dengan penuh hikmah kerana kita adalah mata rantai penyambung kepada pendidikan agama Islam, tambahnya lagi. Setelah itu, majlis diteruskan dengan persembahan deklamasi sajak oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said.
Selesai persembahan sajak, sesi penyampaian anugerah berlangsung. Terdapat dua anugerah yang disampaikan iaitu Anugerah Tokoh Pendidik Muda yang diterima oleh Ustaz Ahmad Yahaya dan Anugerah Tokoh Pendidik Nusantara yang diterima oleh YAB Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat.
Turut berucap di dalam majlis tersebut, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat berpesan supaya menjadikan ilmu sebagai salah satu tenaga gergasi untuk memartabatkan Islam. Seterusnya mendekati golongan – golongan muda non-muslim untuk berdialog menerangkan tentang Islam kerana diketahui bahawa golongan - golongan ini sudah mula untuk memahami tentang Islam. Akhir ucapan, beliau menyeru supaya semua pihak haruslah jelas apa sebenarnya mesej yang ingin dibawa supaya Islam itu dapat dijulang tinggi, katanya kepada hampir 1000 orang tetamu yang hadir.

Tiada ulasan:

Pengikut