Khamis, 19 Julai 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Debat Sinar pada petang ini

Posted: 18 Jul 2012 05:19 PM PDT

Ceramah Perdana Isu - Isu Semasa

Posted: 18 Jul 2012 05:16 PM PDT


Kebangkitan Islam, dunia Arab akan terus berlaku

Posted: 18 Jul 2012 05:14 PM PDT


(Gambar: Abdelilah Benkirane mengucapkan terima kasih kepada Tuan Guru Abdul Hadi kerana bersama dengan kemenangan PJD.)

RABAT: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berada di Maghribi pada Jumaat dan Sabtu lalu bagi menghadiri Muktamar kali ke-7 Parti Islam Pembangunan dan Keadilan (PJD).

Kehadiran Presiden PAS itu adalah atas jemputan rasmi Perdana Menteri Maghribi Abdelilah Benkirane yang juga ketua parti PJD.

Muktamar yang diadakan di Kompleks Moulay Abdellah itu turut dihadiri 2,000 perwakilan dan puluhan pemerhati dari negara luar khususnya pemimpin negara Arab dan pemimpin gerakan Islam seluruh dunia.
Muktamar kali ini adalah yang pertama diadakan selepas PJD memenangi pilihan raya parlimen yang diadakan November tahun lalu.
Ianya sekaligus menjadi medan meraikan kemenangan parti itu oleh seluruh pemimpin dan ahli PJD.
Turut hadir dan diberi penghormatan berucap pada majlis itu adalah pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.
Pemimpin gerakan Islam yang hadir juga turut mengambil kesempatan mengadakan pertemuan bagi membincangkan hala tuju negara-negara yang kini dimenangi parti Islam dan juga krisis Asia Barat.
Tuan Guru Abdul Hadi juga turut mengadakan pertemuan secara tidak langsung dengan Abdelilah Benkirane sekaligus menyampaikan ucapan tahniah PAS kepada parti PJD pimpinannya itu yang telah memenangi pilihan raya tahun lalu.
Abdelilah Benkirane dalam ucapannya sebelum itu berkata kebangkitan Islam yang berlaku merupakan sesuatu di luar jangkaan dan diyakini akan terus berlaku di negara-negara lain.
"Apa yang berlaku kepada dunia Arab dan umat Islam sekarang ini adalah sukar untuk dipercayai dan ianya akan terus berlaku di tempat lain," katanya dalam ucapan pembukaan Muktamar.


Tuan Guru Abdul Hadi bersama pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.


Tuan Guru Abdul Hadi ditemubual wakil media Maghribi.

Bicara Selebriti @Balai Islam Lundang....Mas Azzam, Saiful Islam, Yatt & Anna Rafali

Posted: 18 Jul 2012 05:13 PM PDT




Umum awal tarikh PRU: PKR dan DAP sokong

Posted: 18 Jul 2012 05:10 PM PDT


KUALA LUMPUR: PKR dan DAP turut menyokong kenyataan Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa Pakatan Rakyat akan menetapkan terus tarikh pilihan raya umum ke-14 jika menang dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, mengumumkan tarikh PRU awal tanpa ada teka-teki menunjukkan kerajaan benar-benar bersedia dalam apa jua keadaan menghadapi pilihan raya yang adil dan telus.

Katanya, mengumumkan tarikh pilihan raya awal merupakan perkara biasa yang diamalkan sebuah negara demokrasi, mantap, telus dan terbuka.

Tegasnya,  Malaysia mesti menuju ke arah politik yang matang dengan mengumumkan tarikh PRU lebih awal tanpa perlu menjadi teka teki seperti yang menjadi amalan kerajaan Umno BN mana hari ini.

"Negara-negara yang mengamalkan demokrasi sudah lama melakukan perkara ini, selalunya pemerintah memberi hak kepada rakyat secara terbuka untuk menentukan tarikh pilihan raya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Iaitu, katanya tarikh pilihan raya tidak menjadi teka-teki pemerintah semata-mata untuk menjadi strategi kerajaan bagi mendapatkan kelebihan.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw menyifatkan tempoh mandat genap lima tahun sebagaimana diperuntukan dalam perlembagaan adalah satu cara untuk selesaikan masalah menentukan tarikh PRU.

Namun yang terpenting, katanya proses dan prosedur PRU mesti adil dan saksama sama ada Pakatan Rakyat mengumumkan tarikh cepat atau lewat.

"Umum tarikh PRU, lain kira. Apa yang kita buat PRU nanti mesti adil dan saksama. Tidak kira bila, semua mesti berjalan dengan betul," katanya dihubungi.

Bagaimanapun beliau tidak membantah sebaliknya menyerahkan kepada rakyat sekiranya mereka mahukan tarikh pilihan raya diumumkan lebih awal.

Terdahulu,  Takiyuddin Hassan berkata, jika PR mengambil alih kerajaan pusat antara perkara yang diberi perhatian utama ialah menetapkan tarikh pilihan raya umum selepas itu.

"Jika PR menang sebagai sebuah kerajaan di peringkat persekutuan dan peringkat negeri, insya Allah PR akan mengisytiharkan segera tarikh pilihan raya umum berikutnya," katanya.

Takiyuddin berkata, Pakatan Rakyat boleh memberi tempoh sama ada sekurang-kurangnya akhir lima tahun atau empat tahun setengah.

Misalnya, PRU mesti diadakan dalam tempoh enam bulan sebelum berakhir penggal atau sebagainya.

RAKR: Kelantan tidak pernah dapat peruntukan

Posted: 18 Jul 2012 05:09 PM PDT

KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan diminta menyalurkan peruntukan khas untuk pembinaan Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) kepada kerajaan Kelantan bagi membolehkan kerajaan negeri ini menyediakan rumah kepada rakyat yang memerlukan.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata kerajaan negeri seharusnya mendapat peruntukan yang sama dari kerajaan Pusat sebagaimana di negeri-negeri lain.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri tidak pernah menerima peruntukan yang sama sebagaimana negeri lain.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran projek Perdana D'Cemerlang, di sini pagi tadi.

Pada masa yang sama beliau mendedahkan kerajaan negeri memperuntukkan RM4.4 juta kepada projek rumah awam rakyat dalam Belanjawan 2012.

Kerajaan Kelantan yang dituduh miskin, tidak mampu mentadir kini sedang membina sebuah projek D'Perdana Sri Cemerlang bernilai RM70 juta.

Projek berkenaan diselenggarakan anak syarikat milik kerajaan negeri Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dan dimajukan oleh SPP Development Sdn Bhd.

Apartmen yang bertemakan 'urban living' atau kehidupan dalam bandar itu setinggi 25 tingkat yang merangkumi 244 unit servis apartmen, enam unit kedai pejabat dan lima tingkat tempat letak kereta.

Pada majlis itu jugaTuan Guru memberitahu, dengan terbinanya projek ini akan mematahkan dakwaan pihak tertentu yang berkata Kelantan mundur dan tiada pembangunan.

Menurutnya, projek pembangunan kedua selepas KTC menjadi bukti keupayaan kerajaan Kelantan dalam melaksanakan pembangunannya.

Hadir sama pada majlis itu, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Adun Bunut Payong, Datuk Anuar Tan, Ketua Eksekutif PKINK, serta pegawai kanan kerajaan negeri pelbagai agensi.

Projek berkenaan dijangka siap pada 2015.

Mas Azzam kunjungi Tuan Guru Nik Aziz

Posted: 18 Jul 2012 05:09 PM PDT



(Mas Azzam bersolat bersama Tuan Guru Nik Aziz di JKR 10)

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menerima kunjungan artis Indonesia 'Mas Azzam' pelakun filem 'Bila cinta bertasbih' dan Yatt Hamzah di JKR 10 sebentar tadi.

Mereka hadir untuk memenuhi undangan kerajaan negeri Kelantan untuk program Bicara Selebriti pada malam ini di Balai Islam, Lundang.

Di samping bertemu, mereka sempat solat Zohor dengan berimamkan Tuan Guru Nik Aziz di JKR 10.

Empat artis termasuk Mas Azam atau nama sebenarnya Khairul Azzam akan menyertai program Bicara Selebriti malam ini di Dewan Balai Islam, Lundang.

Selain Mas Azzam dan Yatt, turut serta malam ini adalah Ana Rafalli dan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.
Program ini akan dipengerusikan oleh Amin Idris, pengacara TV Al Hijrah.
 

(Sidang media bersama antara Tuan Guru Nik Aziz dengan Mas Azzam dan Yatt)

Roadshow Pemuda PAS Negeri Kelantan ke Kawasan Machang

Posted: 18 Jul 2012 05:08 PM PDT


Husam bawa kes saman blogger ke Mahkamah Rayuan

Posted: 18 Jul 2012 05:05 PM PDT


KOTA BHARU: Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa (gambar) akan membawa kes samannya terhadap blogger Mohd Faisal Rohban Ahmad ke Mahkamah Rayuan.

Peguamnya, Hisham Fauzi berkata, beliau sudah mendapat arahan daripada anak guamnya untuk memfailkan kes tersebut di Mahkamah Rayuan.

"Datuk Husam sekarang berada di luar negara, pengurusan kes tersebut di mahkamah lebih tinggi akan dibuat sekembalinya dari luar negara nanti," katanya di sini.

Semalam Mahkamah Tinggi di sini menolak saman fitnah difailkan Husam terhadap blogger terbabit yang dikaitkan dengan blog ruangbicarafaisal (rbf).

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menolak dengan kos kerana plaintif gagal membuktikan Mohd Faisal merupakan pemilik blog ruangbicarafaisal.blogspot.com. Peguam Adly Abdul Manas, mewakili Mohd Faisal.

Blog ruangbicarafaisal.blogspot.com pada 3 Oktober 2009 menulis rencana yang didakwa berunsur fitnah terhadap Husam bertajuk, "Husam dan Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta."

Husam dalam pernyataan tuntutannya menjelaskan artikel disiarkan dalam blog defendan adalah menggelirukan dan bermaksud memberi gambaran buruk serta tidak benar terhadapnya.

Ekoran itu plaintif mengemukakan notis menuntut defendan memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi sebanyak RM500,000.

Jika menang, Pakatan umum segera tarikh PRU14

Posted: 18 Jul 2012 05:05 PM PDT


KOTA BHARU: Pakatan Rakyat (PR) Insya Allah akan menetapkan terus tarikh pilihan raya umum ke 14 jika menang dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan (gambar) berkata, walau pun pimpinan belum lagi membuat keputusan muktamad, namun jika PR menjadi kerajaan (mentadbir negara Malaysia), antara benda yang diberi perhatian utama ialah menetapkan tarikh pilihan raya umum selepas itu.

"Jika PR menang sebagai sebuah kerajaan di peringkat persekutuan dan peringkat negeri, insya Allah PR akan mengisytiharkan segera tarikh pilihan raya umum berikutnya.

"Kerajaan PR gentleman dan kita menjadi satu kerajaan yang berperlembagaan, constitutional government," kata Takiyudin yang juga Exco kerajaan negeri Kelantan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan satu mesyuarat di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini petang semalam.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa dalam tempoh pemerintahan PR nanti, insya Allah, akan diisytiharkan tempoh tarikh pilihan raya umum seterusnya.

"Maknanya, dalam tempoh itu sama ada akhir lima tahun atau empat tahun atau empat tahun setengah sekurang-kurangnya, kita boleh beri tempoh.

"Misalnya, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh enam bulan sebelum berakhir penggal atau sebagainya.

"Bagaimana pun tarikh pilihan raya itu sendiri mesti diisytiharkan awal.

"Ini penting kerana ia memberi keselesaan kepada pelanggan (parti) politik, pengamal demokrasi serta pegawai kerajaan sendiri boleh mengurus dengan selesa kerja-kerja pilihan raya," jelasnya.

Takiyuddin melahirkan rasa cukup anih, cukup pelik bagi Malaysia sebagai sebuah negara, yang sentiasa merahsiakan tarikh pilihan raya umum.

"Keadaan ini tidak seperti diamalkan negara lain termasuk Indonesia, Thailand atau negara Barat.

"Di negara itu, selepas saja-satu pilihan raya umum, next election mereka sudah pun tahu.

"Inilah yang menjadi satu bantahan PR terhadap sikap pihak berkenaan," ujarnya.

Saya tak boleh lupa bendera parti - Nik Aziz

Posted: 18 Jul 2012 05:05 PM PDT



Gambar: Tuan Guru Nik Abdul Aziz memukul gendang sebagai gimik pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 Tahun 2012 Peringkat Negeri Kelantan sambil disaksikan Mustapa Mohamed. Foto: Rizal

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak boleh melupakan 'bendera parti' walau pun Kempen Kibar Jalur Gemilang diadakan.

Ini, katanya kerana kalau tidak ada parti, maka negara atau negeri tidak dapat diperintah.

"Zaman dahulu, zaman tidak ada parti politik.  Justeru negara atau negeri pada masa itu diperintah oleh raja-raja. Tetapi sekarang ada parti politik, maka di samping Jalur Gemilang, bendera parti 'ada juga'," kata beliau yang juga Mursyidul Am PAS kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 Tahun 2012 Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini malam tadi.

Beliau juga menggesa masyarakat tidak lupa bahawa orang pertama memerdekakan tanah air, bahkan memerdekakan manusia iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Katanya, Nabi Muhammad s.a.w. bukan saja memerdekakan tanah air tetapi juga memerdekakan akal manusia daripada dijajah oleh keduniaan dan 'taghut'.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata Nabi Muhammad s.a.w. walau pun baginda miskin ketika itu, namun apabila baginda sampai di Madinah disambut meriah sebagai 'Perdana Menteri'.

"Dan ini satu benda yang pelik.  Baginda miskin, ibu bapa tidak ada, bahkan Madinah bukan negeri dia, negeri dia di Mekah, tetapi orang menerima baginda di Madinah sebagai seorang 'Perdana Menteri', segala kata-katanya dihormati, segala perbuatannya dihormati dan tindak-tanduknya dihormati.

"Inilah benda yang kita nak buatkan di seluruh dunia termasuklah Kelantan khasnya. Mudah-mudahan rakyat Kelantan faham bahawa Islam bukan sekadar meminta negara dimerdekakan, tetapi negara dan kalbu manusia juga dimerdekakan daripada fikiran taghut dan pemikiran keduaniaan," ujarnya.

Presiden PAS jangka PRU13 selepas raya

Posted: 18 Jul 2012 05:04 PM PDT



(Gambar atas: Presiden PAS bersama wakil pimpinan gerakan Islam lain menyertai muktamar ke 7 parti Keadilan Dan Pembangunan Maghribi.)

RABAT: PAS menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan pembubaran parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, selepas cuti Hari Raya Aidilfitri akan datang.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, BN berkemungkinan menggunakan peluang itu kerana pengundi luar akan sukar untuk pulang ke kampung dua kali berturut-turut selepas baru sahaja menghabiskan cuti Aidilfitri mereka di kampung halaman.

"Kita jangka BN akan menggunakan peluang mengadakan pilihan raya selepas cuti hari raya Aidilfitri ini.

"Sudah tentu jika itu berlaku, pengundi akan berfikir banyak kali untuk pulang sekali lagi ke kampung masing-masing selepas mereka baru sahaja balik bercuti hari raya," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Muktamar Parti Islam Pembangunan dan Keadilan (PJD) Maghribi di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Perdana, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan PRU-13 tidak akan diadakan tahun depan dan menganggap tahun ini adalah masa yang terbaik.

Dalam kenyataannya kelmarin itu, Muhyiddin juga turut membayangkan ianya "mungkin beberapa bulan akan datang".

Mengulas lanjut, Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, banyak faktor yang akan menjadi pertimbangan rakyat untuk pulang kali kedua ke kampung termasuk soal kos yang terpaksa ditanggung dan cuti yang terpaksa diambil mereka.

"Jika berlaku, kesannya akan lebih teruk lagi berbanding dengan kesan PRU musim haji," katanya.

Sehubungan itu katanya, jika BN memanggil pilihan raya selepas cuti Aidilfitri, ianya sekaligus akan menyusahkan rakyat khususnya yang berada di perantauan.

Sebelum ini, PAS juga membantah keras jika PRU-13 kali ini dibuat di musim haji kerana ianya bakal menafikan hak hampir 30,000 rakyat negara ini yang pergi mengerjakan haji di Mekah untuk mengundi.

Awal bulan lalu, Najib ada membayangkan PRU-13 hanya akan diadakan selepas genap tempoh lima tahun penggal ini.

Bagaimanapun kenyataan terbaru dari Muhyiddin kelmarin seperti mengesahkan desas-desus bahawa PRU-13 berkemungkinan diadakan September atau penghujung tahun ini dan bukannya tahun hadapan.

(Gambar bawah: Presiden PAS bersalaman dengan Perdana Menteri Maghribi yang juga Ketua Parti Pembangunan dan Keadilan Islam (PJD), Abdelilah Benkirane.)

Duit tak cukup, PIBG kempen 1M1RK4

Posted: 18 Jul 2012 05:02 PM PDT


SHAH ALAM: BR1M, K1M dan pelbagai 1 Malaysia lagi yang dibuat kerajaan untuk memancing undi, namun di Sekolah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam lain pula jadinya.

Di sini, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) terpaksa membuat kempen 1M1RKA4 atau 1 Murid 1 kertas A4.

Ini kerana, menurut surat yang dihantar PIBG kepada ibubapa, peruntukan Kementerian Pelajaran untuk membeli kertas tidak mencukupi.

Ia perlu untuk kegunaan ujian dan peperiksaan.

Pihak sekolah juga, kata surat itu, kekurangan dana untuk menangani masalah ini.

"Sehubungan itu, pihak PIBG memohon agar pihak ibubapa/penjaga murid SKS19 dapat menyumbangkan 1 Murid 1 Rim kertas A4 untuk setiap murid.

"Sekiranya tuan/puan tidak dapat menyediakan kertas A4, tuan/puan bolehlah menyumbang RM10 untuk seorang anak," kata surat yang ditanda tangani Hashim Anang, YDP PIBG sekolah itu.

Telefon ke sekolah: NUTP tunggu maklum balas

Posted: 18 Jul 2012 05:02 PM PDT


KUALA LUMPUR: NUTP menunggu maklum balas daripada ahli-ahlinya berhubung cadangan kerajaan membenarkan penggunaan telefon bimbit kepada pelajar sekolah.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata Kesatuan Perkhidmatan Perguruan kebangsaan Malaysia (NUTP) akan menyatakan pendirian rasmi selepas memperoleh maklum balas daripada ahlinya.

"Berdasarkan maklumat yang diperolehi secara tidak rasmi, ada di kalangan guru-guru yang bersetuju, tidak kurang juga yang berfikir lebih banyak keburukan berhubung cadangan tersebut," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, berdasarkan maklum balas yang diterima nanti, NUTP akan berbincang mengenainya sebelum mengemukakan sebarang tindakan kepada kerajaan.

Semalam, Kementerian Pelajaran dilaporkan dalam usaha merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang akan membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pihaknya bagaimanapun akan menetapkan garis panduan yang mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelakkan ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Menurutnya, keputusan untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah adalah selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar.

Beliau juga dilaporkan berkata para ibu bapa pernah beberapa kali meminta Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka.

Tiada ulasan:

Pengikut