Rabu, 11 Julai 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Presiden PAS ke Mesir raikan kejayaan Ikhwan

Posted: 10 Jul 2012 06:42 PM PDT


(Ustaz Hadi dan rombongan berbincang dengan Dr Musa di pejabatnya dekat Kaherah)




KAHERAH: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta rombongan tiba di Mesir hari ini dalam rangka lawatan rasmi beliau selepas perubahan tampuk kepimpinan baru di bawah Presiden, Mohammed Mursi.

Beliau tiba di sini kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan dan bakal melalui jadual yang sangat padat sepanjang dua hari berada di sini.

Turut mengiringi beliau adalah Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi selaku Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat.

Lawatan beliau yang pernah belajar di Mesir sehingga ke peringkat master sebelum ini antara lain bagi meninjau perkembangan yang sedang berlaku di sini.

Rombongan presiden juga dijangka bertemu pimpinan Ikhwan Muslimin Mesir yang beliau sertai serta pimpinan parti politik Freedom and Justice Party (FJP) yang menguasai kerusi parlimen Mesir selepas pilihan raya lalu.

Dalam program pertamanya hari ini, Tuan Guru Abdul Hadi turut diraikan dalam satu  pertemuan dengan Dr. Musa Abu Marzouk, Timbalan Ketua Biro Politik Hamas di pejabat pergerakan itu yang terletak di pinggir bandar Kaherah di sini.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut adalah Ketua Fraksi Parlimen Hamas di Gaza Dr. Khalil Al Heyya.

(Berbincang dengan Dr Musa, Hamas)

Selain bertukar-tukar pandangan, pertemuan hampir sejam itu antara lain turut membincangkan soal perkembangan semasa yang sedang berlaku di Timur Tengah serta perkembang di bumi Palestin.

Dalam program lain hari ini, Tuan Guru juga dijangka mengadakan pertemuan dengan Mantan Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Dr Mehdi Akif petang ini waktu tempatan.

Presiden juga dijadual menghadiri pertemuan dengan pelajar-pelajar Malaysia di sini malam ini.

Bicara Ambang Ramadhan

Posted: 10 Jul 2012 06:42 PM PDT


Pengerusi Kada cuba sembunyikan isu sebenar

Posted: 10 Jul 2012 06:41 PM PDT


KOTA BHARU: Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Tan Sri Annuar Musa disifatkan cuba menyembunyi kegagalan projek menyiapkan benteng sebagai punca air tidak dapat dialirkan ke sawah.

Sebaliknya melalui kenyataan media baru-baru ini beliau menyalah pula aktiviti perlombongan pasir sebagai punca air tidak dapat dialirkan ke sawah.

Sedangkan kerja-kerja pembinaan benteng di hadapan rumah pam di Kemubu gagal disiap mengikut jadual dikenal pasti antara punca utama.

Anggota Exco kerajaan negeri, Che Abdullah Mat Nawi berkata, berdasar kepada penjelasan pegawai KADA, benteng sepatutnya siap dibina pada Jun lalu, namun terpaksa dilanjut pula kepada Oktober.

"Fungsi benteng untuk menahan air sungai supaya boleh dipamkan ke tali air KADA seterusnya dialirkan ke sawah padi di Bachok, Pasir Puteh dan Kota Bharu," katanya ketika melawat projek berkenaan hari ini.

Lawatan itu turut dihadiri Adun Kadok, Azami Mohd Nor, anggota Parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir, Pengarah Jabatan Parit dan Saliran Negeri, Mat Rahim Ismail dan pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Sebelum ini Annuar dilaporkan mendakwa paras air Sungai Kelantan semakin rendah disebabkan aktiviti perlombongan pasir secara besar-besaran, pembalakan dan penerokaan tanah berleluasa di kawasan hulu.

Ceramah Terkini : 13hb Julai 2012

Posted: 10 Jul 2012 06:41 PM PDT


Najib takut PRU, mageran kekalkan kuasa?

Posted: 10 Jul 2012 06:40 PM PDT


KUALA LUMPUR: Adakah pilihan raya tidak akan diadakan langsung jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berjumpa tarikh dan waktu yang sesuai dan menguntungkan Barisan Nasional (BN)?

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan, adakah Najib akan mengisytiharkan pemerintahan Majlis Gerakan Negara (Mageran) di bawahnya untuk membolehkan beliau terus berkuasa jika beliau terus tidak berjumpa tarikh dan waktu yang sesuai dan menguntungkan BN untuk mengadakan pilihan raya.

"Inilah kali pertama dalam sejarah kita melihat seorang Perdana Menteri yang paling takut untuk menghadapi pilihan raya sehingga beliau kelihatan seolah-olah tidak mahu mengadakan pilihan raya sama sekali kerana tidak berani dan tidak mampu menghadapi arus kebangkitan rakyat.

"(Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) kata, Najib ialah Perdana Menteri yang dengan Mahathir dia takut, dengan Perkasa dia takut, dengan (Barrack) Obama dia takut, balik rumah takut.

"Ada lagi yang Najib takut. Takut umum tarikh pilihan raya," katanya.

Mahfuz menyifatkan perbuatan menyorok tarikh pilihan raya semata-mata kerana hendak mendapatkan tarikh yang sesuai dan menguntungkan BN adalah perbuatan menganiaya rakyat dan tidak demokratik.

"Bila tarikh pilihan raya disorok, rakyat jadi sukar hendak mengatur kehidupan. Umpamanya, mereka yang hendak ke tanah suci jadi terhalang untuk membuat keputusan kerana bimbang akan bertembung dengan tarikh pilihan raya.

"Nak buat kenduri susah, nak merancang perjalanan susah, semuanya takut bertembung dengan tarikh pilihan raya yang Perdana Menteri umum ikut suka hatinya sesuai dengan kepentingan diri dan partinya," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Tindakan itu juga sangat tidak demokratik kerana tarikh pilihan raya dipilih berdasarkan kepentingan BN dan bukan berdasarkan kepentingan rakyat, katanya.

Mahfuz berkata, pihaknya boleh bertolak ansur pada waktu bila sekalipun pilihan raya akan diadakan asalkan bukan musim perayaan dan musim haji umpamanya.

"Tidak mengapa hendak adakan pilihan raya tahun ini atau tahun depan, asalkan bukan musim haji atau musim perayaan.

"Yang penting, tetapkan tarikhnya supaya ia tidak menyusahkan rakyat," kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan berbincang dengan Peguam Negara berhubung cadangan bagi memastikan pilihan raya umum diadakan setelah tempoh  mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun.

Nazri berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Peguam Negara bagi meastikan sama ada Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda atau sebaliknya.

"Saya nak minta nasihat daripada Peguam Negara kalau ada keputusan macam ini, bagaimana nak dilakukan. Sama ada kita buat pindaan Perlembagaan atau diadakan dalam peruntukan Suruhanjaya Pilihan Raya," katanya.

Petani Pekan minta Najib dengar masalah mereka

Posted: 10 Jul 2012 06:40 PM PDT


PEKAN: "Tidak ada istimewanya berada di kawasan Perdana Menteri (PM) kerana nasib kami penanam padi tidak pernah dibela," uah seorang penduduk Pahang Tua.

Md. Fadzir Bidin, 44, merupakan salah seorang daripada lebih 500 penanam padi di kampung Pahang Tua, Langgar dan Lamir di daerah ini yang pernah diisytiharkan sebagai Jelapang Padi Negeri Pahang dahulu.

Projek seluas 1,226 ekar itu mendapat kerjasama Jabatan Pertanian Pahang, Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS).

Menurut Fadzir yang juga ketua blog Melur, para petani di tiga kampung berkenaan banyak kali terpaksa menanggung kerugian akibat hasil rosak, kerana masalah mesin jentuai (jentera penuai padi), yang tidak dihantar tepat pada masanya.

Katanya, urusan jentuai di bawah kendalian Pasfa namun sering kali menimbulkan masalah mengakibatkan hasil pendapatan petani merosot sehingga 50 peratus.

"Umpamanya pada musim lalu petani di Pahang Tua sahaja telah kerugian tidak kurang daripada RM84,000. Biasanya dalam satu ekar mereka dapat dua tan kalau jadi seperti ini hasil pendapatan merosot sehingga 50 peratus.

"Masalah seperti ini bukannya baru tetapi sudah berlarutan sejak 10 tahun, kenapa jadi begini sehingga tidak membuat perkiraan awal membawa masuk mesin-mesin ini oleh Pasfa.

"Selain mesin sistem perairan juga menimbulkan banyak masalahtan juga banyak masalah, pembajakan  tanah paya pula tidak sempurna di samping kelewatan barang subsidi seperti baja dan racun," ujarnya ketika ditemui di sini.

Menurut Fadzir, selain sering membuat laporan kepada agensi berkenaan perkara tersebut juga sudah banyak kali diadukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Peramujaya namun tiada tindakan diambil. Mereka juga sudah menghantar memorandum kepada Ahli Parlimen Pekan namun masih tiada tindakan penyelesaian.

"Harapan kami kalau boleh Najib turun-turunlah dengar masalah petani di sini. Ini semua saudara mara waris dia belaka. Walaupun kami pengundi dia tapi nak mengadu secara langsung tak pernah dapat kerana banyak sangat birokrasi. Ketua kampung dan wakil rakyat juga tidak menyampaikan masalah kami dengan jujur.

"Masalah dibiar berlarutan seperti inilah yang membuatkan Najib hampir kalah dalam PRU 1999. Jadi eloklah Najib datang lunaskan slogan pemerintahannya iaitu Rakyat didahulukan, Janji ditepati dan YB turun padang," tegasnya.

Seorang petani lagi, Wan Zulbazlan Wan Nasir, 38, berkata sudah tiga orang Menteri Pertanian yang datang ke kampung mereka iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Effandi Norwawi dan Datuk Seri Noh Omar lalu mengumumkan kawasan tersebut sebagai Jelapang Padi Negeri Pahang oleh Kementerian Pertanian dan kerajaan negeri Pahang sebagai Jelapang Padi negeri.

Katanya, kerajaan juga sudah mengumumkan suntikan sebanyak RM30 juta tetapi sehingga kini tidak nampak menguntungkan petani dan nasib mereka tidak berubah.

"Satu lot paya petani bersamaan dua ekar. Kos RM700 seekar jadi RM1,400. Harga padi RM1,150 setan. Pada masa ini petani sudah boleh mengusahakan padi dua kali setahun, jadi sepatutnya sudah boleh menjadi sumber pendapatan utama," katanya.

Isrulnizam Yusof, 30, pula berkata mereka mengadu ialah untuk menjaga undi Najib juga sebab itu harap Najib selepas berlegar menabur janji seluruh negara, sesekali turunlah ke kampung asalnya menjenguk masalah penanam padi di sini biar jabatan kerajaan memberi perkhidmatan lebih baik.

Media baru: Najib resah dengan generasi muda

Posted: 10 Jul 2012 06:39 PM PDT


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kena sedar bahawa generasi muda tidak boleh dibodoh dan digula-gulakan begitu sahaja, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.
"Zaman untuk membodohkan rakyat sudah berlalu. Sekarang bukan zaman Perdana Menteri tahun 70-an, tetapi zaman millenium baru yang sarat dengan maklumat sepantas kilat," ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Najib meminta generasi muda perlu dilatih supaya mempunyai kemahiran berfikir secara mendalam, supaya  persepsi yang terdapat menerusi internet dan media sosial tidak mengganggu mereka di dalam membuat keputusan.

Katanya, ucapan Najib menandakan keresahan beliau kepada generasi muda yang tidak lagi bergantung kepada media yang dikongkong oleh BN yang sarat dengan provokasi dan fitnah.

Idris berkata, macam mana generasi muda hendak mendengar nasihat daripada seorang pemimpin yang tidak mempunyai daya intelektual untuk berhujah.

Ini, katanya kerana cabaran untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak disambut sedangkan ia adalah medan percambahan fikiran, merupakan pendekatan baru yang perlu diambil untuk menguji kematangan dan tahap intelektual.

"Generasi muda yang ada ialah mereka yang bermaklumat, tidak boleh dikongkong oleh mana-mana pihak. Mereka akan berfikir, kalau dah hebat sangat kenapa tidak sanggup untuk berdebat," katanya.

Oleh itu, ujar beliau Najib jangan marah jika generasi muda tidak bersama dengan Umno, kerana mereka menilai berdasarkan ilmu dan fakta.

Soalnya, macam mana Najib hendak memaksa generasi muda menolak laporan internet dan media sosial di zaman langit terbuka.

"Menjadi tanda tanya kepada mereka apakah laporan yang dikeluarkan oleh internet itu palsu. Jika laporan itu palsu kenapa mereka tidak ambil tindakan undang-undang," ujarnya lagi.

Idris menambah, generasi celik maklumat tidak boleh menerima ketika mereka terpaksa memerah tenaga untuk mendapat kerja, sedangkan kroni Umno mendapat peluang dengan begitu mudah.

"Apakah ini satu persepsi, fitnah atau laporan palsu yang disiarkan oleh media sosial, yang mereka tidak dapat daripada media lama?" tanya Idris.

Contohnya, kata beliau laporan melupuskan hutang Tan Sri Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta, projek NFC kepada suami Shahrizat sebanyak RM250 juta, Raja Farhana anak Raja Nong Chik dianugerah projek membina Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar Johor sebanyak RM30.8 juta, Ikhwan anak Jamaludin Jarjis mendapat projek Pusat Kawalan Trafik Udara Subang bernilai RM128.4 juta.

Reformasi parlimen jadikan Malaysia lebih baik

Posted: 10 Jul 2012 06:38 PM PDT


PETALING JAYA: Reformasi parlimen menjadi agenda utama Pakatan Rakyat dalam menjadikan Malaysia lebih baik apabila memenangi piihan raya umum yang akan datang.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memberitahu pemisahan kuasa boleh bermula dengan reformasi parlimen yang akan memberi kuasa dan mengukuhkan institusi perundangan untuk memberi 'check and balance' terhadap kezaliman eksekutif dan ketidaksenonohan kehakiman.

"Pengasingan kuasa adalah prinsip utama yang struktur demokrasi yang berfungsi dan membolehkan keseimbangan kuasa lebih dinamik untuk menghasilkan penyelesaian yang terbaik.

"Serta menyatakan semua perkara terutamanya dalam bidang membuat dasar, pelaksanaan dasar dan kajian semula dasar," jelasnya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Tambahnya, pengasingan kuasa akan memastikan ketelusan dan akauntabiliti tadbir urus yang baik yang akan mengurangkan terhadap penyalahgunaan kuasa serta rasuah, yang akan membenarkan kepentingan semua pemegang saham diwakili secara saksama.

"Penubuhan struktur jawatankuasa dengan ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua belah jurang politik yang meliputi semua aspek utama kerajaan termasuk kewangan, pendidikan, kesihatan, pertahanan, undang-undang, perkhidmatan awam di kalangan orang lain dengan mandat untuk mengadakan pengawasan dan dimasukkan ke dalam tadbir urus utama.

"Semua perkara-perkara ini yang akan menjamin penyertaan penuh demokrasi dan akauntabiliti untuk rakyat," kata beliau.

Beliau yang memberi contoh dalam isu Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang mendapati satu contoh tadbir urus demokrasi yang lemah.

"Jika ada jawatankuasa parlimen mengenai perkhidmatan awam, maka tidak akan wujud flip-flop dasar birokrasi yang akan memberi manfaat kepada golongan elit melalui pelarasan gaji yang lebih tinggi berbanding dengan pekerja biasa.

"Ia bukan sahaja meningkatkan jurang gaji yang sudah luas sebagai salah satu yang tertinggi di dunia tetapi juga meluaskan ketidakadilan sosial majoriti untuk memberi manfaat kepada minoriti elit," jelas Nurul Izzah.

Beliau percaya dengan pembaharuan parlimen menyediakan 'check and balance' rakyat tidak akan menanggung lagi beban kewangan seperti penyelewengan di dalam NFC, PKFZ, SELEX, Scorpene, Istijuara dan banyak lagi.

Tiada ulasan:

Pengikut