Selasa, 10 Julai 2012

Blog Rasmi Dewan Pemuda PAS Puchong

Blog Rasmi Dewan Pemuda PAS Puchong


Ini Dia Dokumen Sahkan Najib Campurtangan Projek LRT Ampang

Posted: 10 Jul 2012 02:51 AM PDT

PKR telah mendedahkan satu dokumen (lihat lampiran di bawah) yang didakwanya membuktikan bahawa jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menganugerahkan projek sambungan LRT Ampang bernilai RM1.18 bilion kepada konsortium yang diketuai oleh George Kent Bhd.

Dokumen itu adalah minit mesyuarat kelima Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) pada 21 Jun, yang mempengerusikan Najib kerana beliau juga merupakan menteri kewangan.

Dalam sidang akhbar hari ini, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata anugerah itu adalah pelik kerana George Kent dianggap sebagai "pembida lebih tinggi tidak berpengalaman" dalam tender tersebut.

Menurutnya, kepakaran yang George Kent ada ialah mengilang meter air dan syarikat itu sebelum ini ditolak kerana ia tidak memenuhi keperluan minimum teknikal bagi kerja tersebut.

Najib, yang sebelum ini diminta menjelaskan dakwaan tersebut, menyangkalnya dengan berkata semuanya mengikut aturan. -mk

Jawatankuasa Perolehan Menteri
Kewangan Telah Menganugerahkan Tender Kepada George Kent Pada 21 Jun 2012, Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) telah mengadakan mesyuarat kelima bagi tahun 2012 (Bil 5/2012).

JPMK adalah jawatankuasa tertinggi yang menentukan anugerah tender projek-projek besar kerajaan. Keanggotaannya adalah seperti berikut:

1. Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Ser Najib Tun Razak selaku pengerusi,
2. Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Husni Hanadzlah,
3. Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abd Aziz Wan Abdullah, dan
4. Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Nozirah Bahari Mesyuarat tersebut telah memutuskan untuk melantik George Kent sebagai kontraktor bagi kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang pada harga RM1,180,037,624.

Keputusan ini kemudiannya dimaklumkan kepada Dato’ Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana bagi tindakan beliau yang selanjutnya dalam satu surat bertarikh 25 Jun 2012 yang disertakan bersama. Pendedahan keputusan JPMK ini mengesahkan dakwaan KEADILAN sebelum ini bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak telah campur tangan di dalam proses penilaian dan penganugerahan tender kerja-kerja tambahan LRT Laluan Ampang.

Lebih mengejutkan, keputusan JPMK yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri itu membatalkan keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa yang sama pada 25 Januari 2012 yang melantik kontraktor lain yang lebih layak.

Saya mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak berterus terang dengan menjawab 3 soalan berikut, rentetan kenyataan tunggal beliau setakat ini kononnya proses anugerah tender ini mengikut prosedur yang betul:

1. Prosedur bahagian mana di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan sebuah syarikat yang telah jelas gagal di dalam penilaian teknikal diberikan tender bertentangan dengan keputusan jawatankuasa teknikal?

2. Prosedur bahagian mana di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan Perdana Menteri menganugerahkan projek pada harga yang lebih tinggi (harga George Kent adalah RM1.18 bilion berbanding harga Balfour Beatty pada RM1.01 bilion, iaitu lebih mahal sebanyak RM167 juta) kepada pembida yang gagal penilaian teknikal dan kewangan? dan

3. Prosedur bahagian mana di dalam Pekeliling Perbendaharaan yang membenarkan Perdana Menteri campur tangan sedemikian rupa di dalam anugerah tender besar seperti ini?

Segala keputusan anugerah tender setakat ini membayangkan berlaku pergolakan dan menimbulkan lebih banyak persoalan.

Apakah pertimbangan sebenar Dato’ Seri Najib yang sanggup membahayakan nyawa ratusan ribu orang ramai dengan melantik sebuah syarikat milik rakan karibnya yang hanya berpengalaman mengilang meter air untuk membina sistem LRT negara?

Kenapa harga yang dianugerahkan kepada syarikat milik rakan karib beliau ini lebih mahal sebanyak RM167 juta sedangkan ada pembida yang dinilai layak kepakarannya pada harga yang lebih rendah?

Apakah jumlah RM167 juta ini juga boleh dikaitkan dengan apa-apa pembayaran berbentuk komisen kepada mana-mana ahli politik Umno/BN, seperti mana wujudnya pembayaran komisen kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Dato’ Seri Najib semasa pembelian kapal selam Scorpene dahulu?

Soalan-soalan ini akan terus berlegar dan akan memburukkan lagi imej Dato’ Seri Najib selagi ia tidak dijawab dengan jitu dan ikhlas oleh beliau.

Pun begitu, saya percaya Dato’ Seri Najib akan terus membisu kerana itulah tindakan beliau setakat ini bila berdepan dengan skandal di dalam pentadbiran beliau.

Oleh yang demikian, saya percaya tanggungjawab yang sama perlu digalaskan di bahu Dato’ Shahril Mokhtar sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana untuk mengesahkan bahawa George Kent telah dilantik sebagai kontrak bagi kerja-kerja pembinaan tambahan LRT Laluan Ampang, seperti mana yang diarahkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
10 JULAI 2012

gr1eenboc



Media baru: Najib resah dengan generasi muda

Posted: 10 Jul 2012 02:24 AM PDT

KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Najib kena sedar bahawa generasi muda tidak boleh dibodoh dan digula-gulakan begitu sahaja, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad. 

“Zaman untuk membodohkan rakyat sudah berlalu. Sekarang bukan zaman Perdana Menteri tahun 70-an, tetapi zaman millenium baru yang sarat dengan maklumat sepantas kilat,” ujarnya kepada Harakahdaily. 

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Najib meminta generasi muda perlu dilatih supaya mempunyai kemahiran berfikir secara mendalam, supaya  persepsi yang terdapat menerusi internet dan media sosial tidak mengganggu mereka di dalam membuat keputusan. 

Katanya, ucapan Najib menandakan keresahan beliau kepada generasi muda yang tidak lagi bergantung kepada media yang dikongkong oleh BN yang sarat dengan provokasi dan fitnah. 

Idris berkata, macam mana generasi muda hendak mendengar nasihat daripada seorang pemimpin yang tidak mempunyai daya intelektual untuk berhujah. 

Ini, katanya kerana cabaran untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak disambut sedangkan ia adalah medan percambahan fikiran, merupakan pendekatan baru yang perlu diambil untuk menguji kematangan dan tahap intelektual. 

“Generasi muda yang ada ialah mereka yang bermaklumat, tidak boleh dikongkong oleh mana-mana pihak. Mereka akan berfikir, kalau dah hebat sangat kenapa tidak sanggup untuk berdebat,” katanya. 

Oleh itu, ujar beliau Najib jangan marah jika generasi muda tidak bersama dengan Umno, kerana mereka menilai berdasarkan ilmu dan fakta. 

Soalnya, macam mana Najib hendak memaksa generasi muda menolak laporan internet dan media sosial di zaman langit terbuka. “Menjadi tanda tanya kepada mereka apakah laporan yang dikeluarkan oleh internet itu palsu. Jika laporan itu palsu kenapa mereka tidak ambil tindakan undang-undang,” ujarnya lagi. 

Idris menambah, generasi celik maklumat tidak boleh menerima ketika mereka terpaksa memerah tenaga untuk mendapat kerja, sedangkan kroni Umno mendapat peluang dengan begitu mudah. 

“Apakah ini satu persepsi, fitnah atau laporan palsu yang disiarkan oleh media sosial, yang mereka tidak dapat daripada media lama?” tanya Idris. 

Contohnya, kata beliau laporan melupuskan hutang Tan Sri Tajudin Ramli sebanyak RM589 juta, projek NFC kepada suami Shahrizat sebanyak RM250 juta, Raja Farhana anak Raja Nong Chik dianugerah projek membina Institut Kemahiran Belia Negara Bandar Penawar Johor sebanyak RM30.8 juta, Ikhwan anak Jamaludin Jarjis mendapat projek Pusat Kawalan Trafik Udara Subang bernilai RM128.4 juta. 


Utusan hilang integriti siar berita fitnah

Posted: 10 Jul 2012 02:18 AM PDT

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyelar tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan fitnah mendakwa DAP akan bertanding di 90 buah kerusi Parlimen dalam PRU ke 13 nanti. 

Bagi DPPM, penyiaran berita seperti adalah berniat jahat bagi menimbulkan keresahan di kalangan pengundi Melayu terhadap Pakatan Rakyat. 

DPPM menganggap Utusan Malaysia adalah akhbar paling tidak beretika di negara ini kerana sanggup menyiarkan berita pembohongan dan fitnah terhadap Pakatan Rakyat. 

Dasar ‘ampu’ atau bodek keterlaluan Utusan Malaysia terhadap pemerintah menjadikannya hilang integriti sehingga sanggup menyiarkan apa sahaja berita memburukkan Pakatan Rakyat meskipun ia layak ‘dibakulsampahkan’ untuk menyenangkan pihak tertentu. 

DPPM hairan dari mana Utusan Malaysia mendapat khabar angin seperti ini. Maklumat mereka seperti terperinci lebih dari pemimpin Pakatan Rakyat sendiri yang hadir dalam mesyuarat tertutup.

Seolah-olah, mereka mempunyai maklumat penuh setiap pergerakan dan hasil keputusan mesyuarat peringkat tertinggi Pakatan Rakyat, walhal maklumat yang disiarkan itu hanyalah fitnah dan pembohongan semata-mata. 

DPPM ingin menegaskan, bahawa DAP hanya bertanding tidak lebih dari 60 buah kerusi Parlimen daripada keseluruhannya 222 buah, atau lebih tepat lagi 40 buah kerusi Parlimen di negara ini.

Kerusi-kerusi inilah yang mempunyai majoriti pengundi Cina di negara ini. Bagaimana mungkin DAP boleh bertanding di kerusi majoriti Melayu selebihnya?

Sudah tentu fakta yang dikemukakan oleh Utusan Malaysia jauh bercanggah dari kebenarannya. 

Justeru, DPPM meminta Ketua Pengarang, kumpulan editor dan pihak berkepentingan dalam Utusan Malaysia agar segera insaf dari terus melakukan pembohongan. 

Rakyat semakin benci dengan penipuan yang tidak bermaruah dan politik fitnah seperti ini. 
Zaman ini rakyat semakin celik maklumat dan cerdik dalam menilai sesuatu.

Rakyat tidak sesekali terpengaruh dengan dakyah liar yang ditaburkan bagi mengabui pemikiran mereka. Jangan sampai Utusan Malaysia menjadi bankrap disebabkan etika pemberitaan yang jahat dan jangan sampai pula Umno BN kalah teruk dalam PRU ke-13 disebabkan penolakan rakyat terhadap mereka ekoran berita mengarut seperti ini! 

Riduan ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Tiada ulasan:

Pengikut