Selasa, 15 Mei 2012

Pakatan Rakyat

Pakatan Rakyat


DIALOG RAKYAT

Posted: 15 May 2012 03:39 PM PDT

Bersih 3.0: MP PKR Tian Chua didakwa

Posted: 15 May 2012 04:23 AM PDT

SINAR HARIAN

Anggota Parlimen Batu Chua Tian Chang

 

 

KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Batu Chua Tian Chang atau dikenali sebagai Tian Chua hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan tidak mematuhi perintah polis supaya beredar dari kawasan larangan di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), sehari selepas perhimpunan Bersih 3.0.
  
Tian Chua, 49, didakwa melanggar perintah yang dikeluarkan oleh DSP A. Rajakopal untuk beredar dari kawasan Pulapol itu yang diisytiharkan sebagai suatu kawasan larangan mengikut perintah kawasan-kawasan larangan 1975.
  
Beliau yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Nasional didakwa melakukan kesalahan itu di Pulapol, Jalan Semarak pada 2.30 pagi, 29 April lepas.
  
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 7 akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
  
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria menawarkan kepada mahkamah supaya Tian Chua diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin, bagaimanapun peguam Latheefa Koya yang mewakili anggota Parlimen itu membantah atas alasan jaminan tersebut adalah tinggi.
  
"Tiada alasan anak guam saya untuk tidak menghadirkan diri ke mahkamah kerana dia merupakan anggota Parlimen. Dia juga akan hadir ke mahkamah kerana masih menghadapi perbicaraan kes lain," kata Latheefa Koya.
  
Hakim Mahmud Abdullah membenarkan Tian Chua diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Julai ini untuk bicara - Bernama

Petisyen 'Jangan pukul wartawan' diserah ke pejabat PM

Posted: 15 May 2012 04:22 AM PDT

SINAR HARIAN

Bersih 3.0

 

 

PUTRAJAYA - Sekumpulan pengamal media yang dikenali sebagai "Committee of Concern Journalists" menyerahkan petisyen bertajuk 'Don't Beat Up Journalist' (Jangan Pukul Wartawan) kepada pejabat Perdana Menteri hari ini, susulan dakwaan keganasan polis terhadap petugas media ketika perhimpunan di ibu kota pada 28 April lepas.
  
Kumpulan itu yang diwakili antaranya petugas dari portal berita Malaysia kini dan Malaysian Insider serta akhbar The Malay Mail, The Star dan Sin Chew Jit Poh menyerahkan petisyen itu kepada Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Umi Hani Sharani di bangunan Perdana Putra di sini.
  
Tiada wakil media arus perdana berbahasa Melayu menyertai kumpulan itu, yang mendakwa berjaya mengumpulkan 500 tandatangan petugas media dan 4,000 tandatangan orang awam menerusi dalam talian dan di atas kertas.
  
Ketika ditemui pemberita, wakil mereka Robind Rudra yang juga bekas petugas akhbar New Straits Times, berkata petisyen setebal 22 muka surat itu memohon pembelaan sewajarnya untuk mereka yang terlibat.
  
Kumpulan ini juga memohon agar siasatan segera dijalankan oleh jawatankuasa bebas dan mereka yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan, katanya.
  
Beliau juga berkata kumpulan itu berharap kerajaan persekutuan akan memberi perhatian sewajarnya terhadap tuntutan mereka termasuk permohonan maaf secara terbuka oleh yang terlibat selain ganti rugi bagi peralatan yang rosak dan kecederaan yang dialami. - Bernama

'Saya tidak boleh paksa syarikat air Selangor'

Posted: 15 May 2012 04:18 AM PDT

SINAR HARIAN

Datuk Seri Peter Chin Fah Kui 

 

 

SHAH ALAM - Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata beliau tiada kuasa untuk meminta agar pemegang konsesi air di Selangor untuk bersetuju terhadap cadangan rancangan penyusunan semula industri air oleh kerajaan negeri.
  
"Sebagai seorang menteri, saya hanya boleh menggunakan kuasa saya mengambil alih bekalan air daripada pemegang konsesi sekiranya berlaku kecemasan, contoh, sekiranya terdapat kekurangan air yang kritikal," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Ujian Kecekapan Tenaga Sirim QAS International Sdn Bhd di Section 16 di sini hari ini.
  
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini berkata beliau berharap yang Chin akan menggunakan kuasa menterinya di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi memastikan pemegang konsesi air untuk bersetuju dengan rancangan penstrukturan semula industri air kerajaan.
  
Ditanya mengenai laporan portal media hari ini yang Khalid akan membawa Chin ke mahkamah kerana enggan menggunakan kuasanya bagi memecah kebuntuan dalam perundingan rancangan penyusunan semula air, beliau berkata, "Terpulanglah kepada dia."
  
Chin berkata jika kerajaan negeri mahu mengambilalih bekalan air daripada pemegang konsesi, ia seharusnya menerusi perundingan di bawah pendekatan "persetujuan bersama".  
  
"Jika kerajaan negeri mahu mengambilalih syarikat bekalan air, mereka seharusnya sanggup menjual kepentingan mereka kerana perjanjian konsesi masih lagi sah secara perundangan sehinggalah perjanjian tamat," kata beliau.
  
Chin berkata kerajaan negeri boleh membawa syarikat-syarikat air ke mahkamah jika ia mahu menamatkan perjanjian konsesi disebabkan oleh sebarang perbuatan salah atau mengingkari kontrak.
  
"Inilah pendapat saya. Saya tidak fikir yang mahkamah akan memaksa saya menamatkan konsesi atau mengambil alih bekalan air daripada pemegang konsesi," kata beliau.
  
Syarikat-syarikat pemegang konsesi itu ialah Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass).
  
Mengenai laporan berikutan dijangkakan kekurangan air di Selangor,129 projek pelaburan telah ditangguh, Chin berkata sebelum ini, Syabas enggan memberi jaminan kepada cadangan pelaburan yang bekalan air mencukupi sebaik sahaja projek ataupun kilang telah siap.
  
Sebelum ini, diramalkan yang Lembah Klang akan berhadapan dengan kekurangan air menjelang 2014 tetapi dengan dua projek tebatan bernilai RM606 juta yang sedang dilaksanakan dan diluluskan oleh Majlis Ekonomi, masalah kekurangan air mungkin tertunda ke tahun 2017, katanya.
  
Beliau berkata projek-projek itu ialah untuk menggantikan paip-paip lama bagi mengurangkan pendapatan bukan air, menambah baik pam air di Sungai Bernam, meningkatkan kapasiti pengagihan semula loji rawatan air Sungai Selangor fasa dua dan tiga.
  
Menteri berkata air dari Sungai Labu di Negeri Sembilan juga akan disalur semula untuk meningkatkan bekalan air di Lembah Klang.
  
"Dengan berbuat demikian, kami menolak tarikh akhir ke tempoh yang kami rasakan air boleh mencukupi sehingga 2017. Saya kini sarankan Syabas untuk memberikan kelulusan kepada lebih 100 projek yang disebutkan itu.
  
"Maksudnya, pemohon bekalan air boleh dimaklumkan mengenai kelulusan projek masing-masing. Air akan cukup sekiranya projek-projek ini siap dengan kerjasama kerajaan Selangor," tambah beliau. - Bernama

Ramai Menteri Besar Dan Ketua Menteri Dalam Bahaya?

Posted: 15 May 2012 03:41 AM PDT

Blog mutaligat.blogspot.com

Beberapa orang Menteri Besar dan Ketua Menteri BN berada dalam bahaya digugurkan oleh Najib dan Rosmah selepas PRU 13 ini.

Antara Menteri Besar yang kemungkinan besar akan digantikan ialah Menteri Besar Perlis, Md Isa Sabu; Menteri Besar Terengganu, Ahmad Said; Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hassan; Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Osman; Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam; Ketua Menteri Sabah, Musa Aman dan Adnan Yaakub. Cuma Taib Mahmud sahaja yang masih berdegil tidak sedar diri tidak mahu berhenti dari jawatannya.

Menteri Besar Perlis, Md Isa Sabu dilihat sebagai Menteri Besar paling senyap tidak banyak publisiti yang beliau perolehi di samping beliau dilihat tidak mempunyai skandal dan salah laku. Cuma Md Isa dilihat gagal membawa perubahan kepada Perlis.

Lain-lain Menteri Besar dan Ketua Menteri semuanya mempunyai masalah samada yang jelas kelihatan atau tersembunyi.

Mendahului senarai yang mempunyai masalah ialah Ali Rustam yang dibuktikan terlibat dengan rasuah di samping melunggunkan hutang kerajaan negeri Melaka sehingga mencecah lebih dari RM850juta  dengan projek-projek gajah putih seperti Eye On Malaysia, Kincir Air, Lapangan Terbang Bt Berendam dan lain-lain. Sikap Ali Rustam yang kebudak-budak dan tidak professional juga menjadi buah mulut rakyat Melaka yang mula berubah. Tindakan mengganggu ceramah Pakatan Rakyat merupakan sikap jahiliyah moden yang sudah lapuk dan tidak dilakukan oleh pengamal politik moden hari ini. Ali yang mula menjadi Ketua Menteri sejak dipilih oleh Mahathir pada 1999, kelihatan masih tidak berubah dari segi corak pentadbirannya. Kronisme menjadi amalan yang tidak dapat disembunyikan lagi di Melaka samada dalam parti Umno atau pentadbiran kerajaan negeri.

Mohamad Hassan juga dilihat gagal membawa sebarang perubahan kepada Negeri Sembilan walaupun beliau merupakan tokoh korporat sebelum ini. Malah dirinya diselubungi dengan skandal wang yang di bawa keluar negeri. Mohamad juga gagal mengekang kemaraan Pakatan Rakyat sehingga pada PRU 12 BN hanya menang dengan majoriti 4 kerusi di Negeri Sembilan. Setelah 2 penggal menerajui Negeri Sembilan, sudah sampai masanya beliau berundur jika tidak mahu negeri tersebut dirampas oleh PR.

Di Terengganu Ahmad Said masih segar dengan perangani samsengnya. Malah turut gagal membawa pembaharuan meyakinkan hanya meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Derih Jusoh. Banyak persoalan yang dibangkitkan oleh PAS di Terengganu gagal dijawab dan diselesaikan oleh Kerajaan negeri Terengganu. Tidak syak lagi Terengganu berada dalam bahaya jika Ahmad terus diberi peluang untuk menunjukkan 'gedebe'nya di Terengganu. Ahmad juga gagal membawa Terengganu keluar dari status negeri miskin di Malaysia malah jauh lebih teruk dari negeri jirannya Kelantan pimpinan Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Manakala di Sabah, Musa Aman gagal menjawab segala dakwaan pihak tertentu yang mengaitkan beliau dengan skandal projek dan sebagainya. Beliau juga dituduh sebagai seorang Ketua Menteri yang kaya raya tidak setimpal dengan elaun dan gaji yang beliau perolehi. Musa juga dilihat gagal untuk membawa perubahan drastik di Sabah sehingga masih ramai rakyat miskin dan tidak mempunyai rumah. Malah Sabah terus menjadi antara negeri paling miskin di Malaysia.

Menteri Besar, Adnan Yaakub juga sudah lama diberikan jawatan berprestij tersebut tetapi beliau gagal melakukan sesuatu bagi membangunkan Pahang. Imej samseng beliau juga tidak disenangi oleh ramai pihak. Adnan menghadapi tugas berat dengan isu balak, isu Lynas dan isu pembangunan. PR Pahang di lihat berada dalam landasan tepat untuk membuat kejutan pada kali ini. Adnan mula menduduki kerusi empuk Menteri Besar sejak 1999 menggantikan Tun Khalil Yaakub.

Kegagalan Ghani Othman untuk memastikan tanah orang Melayu terpelihara; kedudukan ekonomi orang Melayu di samping kesungguhan PR untuk menawan Johor menjadi faktor Ghani akan digugurkan kal ini. Rakyat melihat satu demi satu tanah orang Melayu terlepas ke bangsa lain khususnya orang asing dari Singapura. Tanah Rezab Melayu semakin berkurangan dengan ketara gagal diganti. Bekas Pensyarah Ekonomi ini juga menghadapi tugas berat untuk mempertahankan Johor jika diberi peluang untuk menjadi kapten sekali lagi kerana, Johor mempunyai kedudukan kerusi campuran yang sangat banyak Cuma Parlimen Mersing, Kota Tinggi dan satu dua lagi sahaja yang mempunyai majoriti pengundi Melayu yang besar. Selebihnya semua kerusi campuran yang jika dilihat dari sifir politik sekarang BN berada di ambang bahaya.

Tidak syak lagi kali ini Najib terpaksa menukar 'kapten'nya di semua negeri bagi memastikan kesinambungan Umno/BN berterusan selepas PRU 13. Siapa yang akan menjadi pengganti kepada kuda-kuda tua sama-sama kita lihat. Najib sudah pasti akan membuat kejutan kali ini sebagaimana Dr Mahathir membuat kejutan dengan memilih Khir Toyo, seorang Doktor gigi yang mencabut sejuta gigi menjadi Menteri Besar Selangor selepas PRU 1999. Najib sudah pun mempunyai nama-nama di kepalanya dan Rosmah sudah tentu ada calonnya sendiri. Ramai yang mula pasang badan dan mengaku diri mereka adalah bakal Menteri Besar dan Ketua Menteri. Tetapi sedarkah mereka bahawa calon-calon Menteri Besar dan Ketua Menteri bukan sahaja datang dari BN tetapi peluang lebih cerah ianya datang dari Pakatan Rakyat

Calon PRU13 S'wak diserah pada PM

Posted: 15 May 2012 03:12 AM PDT

Ketua Menteri Sarawak sudah menyerahkan senarai calon kepada Perdana Menteri dan terserah kepada beliau untuk menentukan siapa yang layak.

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Negeri mengesah sudah menghantar semua senarai bakal calon untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kepada Perdana Menteri baru-baru ini, demikian kata Pengerusinya Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

"Senarai itu saya sudah berikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi saya tidak akan memberitahu lanjut kerana terpulang kepada beliau untuk menentukan (siapa yang layak)," kata Taib selepas mesyuarat persediaan Persidangan Dewan Undangan

Negeri serta Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.

Menurut beliau, menjelang pilihan raya semua parti sudah menyatakan kesediaan namun wujud sedikit kebimbangan berhubung pertukaran kerusi Parlimen di antara parti komponen BN.

"Untuk keseluruhan kita bersedia dan mereka (parti) nampaknya juga sudah menunggu masa untuk melakukan tindakan tetapi terpulanglah kepada Perdana Menteri menentukan tarikh sebenar (pilihan raya).

"Bagaimanapun ada sedikit kebimbangan dalam pertukaran kerusi Parlimen kelak, namun ianya sihat. Kita dapat lihat di padang semua orang mahu bekerja dengan BN dan ini bukan sahaja mengenai ahli politik dan parti berseorangan. Ia kini lebih kepada fakta mereka mahukan BN semula," jelasnya.

Ketua Menteri, pada 17 April lepas memberitahu akan ada beberapa muka baru dan calon wanita diketengahkan bagi pilihan raya umum ini tetapi beliau tidak mahu mengulas lanjut butiran siapa yang dicadangkan itu.

Perkasa PP: Demontrasi bertujuan bertemu Lim

Posted: 15 May 2012 03:10 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Keputusan itu dibuat disebabkan keengganan ketua menteri itu untuk mengadakan perjumpaan setelah pelbagai usaha ke arah itu telah dibuat.

GEORGE TOWN:  Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pulau Pinang, Mohd Rizuad Mohd Azudin menjelaskan semua demonstrasi yang dianjurkan Perkasa negeri sebelum ini adalah bertujuan untuk bertemu dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Beliau berkata demonstrasi yang dijalankan bukanlah berniat untuk mengugut mahupun mengganggu ketenteraman Lim dan anggota keluarganya, tetapi hanya untuk mendapatkan perhatian ketua menteri itu supaya mengadakan pertemuan dan memberi penjelasan terhadap tujuh permintaan Perkasa.

"Demo ini saya adakan sebenarnya Guan Eng sendiri yang memaksa saya untuk buat demo ini. Di mana hari ini kalau kita tengok tujuh permintaan Perkasa, dua tahun lebih dia tak jawab dan buat tak tahu kepada kami.

"Jadi dia harus berdepan dengan permasalahan…langsung dia tak ambil kisah tentang nasib rakyat negeri Pulau Pinang dan Perkasa sendiri. Kami berjuang untuk rakyat, kami bukan berjuang untuk peribadi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas mengenai tindakan Perkasa mengadakan demonstrasi di kediaman Lim pada Khamis lepas, Mohd Rizuad berkata keputusan itu dibuat disebabkan keengganan ketua menteri itu untuk mengadakan perjumpaan setelah pelbagai usaha ke arah itu telah dibuat.

Demonstrasi aman

Beliau memberi jaminan demonstrasi yang diadakan adalah secara aman dan tidak akan mendatangkan keburukan kepada orang awam mahupun keluarga Lim kerana ia hanya bertujuan untuk memperjuangkan nasib rakyat di Pulau Pinang.

Mengenai tindakannya menggantung gambar Lim dengan kalungan bunga di hadapan pagar rumah pemimpin itu, Mohd Rizuad berkata tindakan itu bukanlah bertujuan untuk menghina agama lain tetapi ia hanyalah simbolik menolak pemerintahan Lim di negeri ini.

Justeru itu, beliau menegaskan semua tindakan Perkasa terhadap Lim sebelum ini bukanlah sesuatu yang keterlaluan jika dibandingkan dengan perhimpunan Bersih 3.0 kerana sepanjang demonstrasi berlangsung Perkasa tidak pernah  merosakkan harta benda awam mahupun mendatangkan kesusahan kepada orang awam.

"Tindakan ini hanyalah semata-mata untuk menyuarakan keluhan rakyat Pulau Pinang yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Lim sebagai ketua menteri di negeri ini dan tindakan ini juga tidak didorong oleh mana-mana parti politik," katanya.

Mohd Rizuad berkata Perkasa tidak akan berhenti untuk memperjuangkan nasib rakyat Pulau Pinang dan akan terus mengadakan demonstrasi sehingga ketua menteri itu bersetuju untuk mengadakan perjumpaan secara profesional dengan mereka.Bernama

Polis Perak tahan 2 lelaki terlibat Bersih 3.0

Posted: 15 May 2012 03:07 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Amirullah Sidek, 43, dari Tambun dan tukang paip, M.Lekchemanan, 52, dari Klebang, berjaya dikesan melalui gambar yang disiarkan oleh akhbar .


IPOH:  Polis menahan dua individu, dipercayai terliba tdalam kekecohan semasa perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata kedua-dua individu itu,peniaga pasar malam, Amirullah Sidek, 43, dari Tambun dan tukang paip, M.Lekchemanan, 52, dari Klebang, berjaya dikesan melalui gambar yang disiarkan oleh akhbar sebelum ini dan ditahan di rumah masing-masing Sabtu lepas.

Shukri berkata kedua-dua lelaki itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

"Kita telah mengenal pasti hanya dua sahaja individu dari Perak yang terbabit dalam kekecohan semasa perhimpunan Bersih 3.0 itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri berkata polis menahan seorang lelaki kerana memiliki sepucuk pistol ketika sedang menunggang motosikal di sebuah stesen minyak, Jalan Ipoh-Lumut, dekat Manjung, Jumaat lepas.

Beliau berkata lelaki yang berusia 34 tahun itu ditahan pada pukul 1 pagi oleh anggota peronda polis ketika sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan."Pada mulanya lelaki itu melarikan diri selepas menyedari kehadiran polistetapi berjaya ditahan selepas polis mengejarnya sejauh 5km, katanya.

Temui pistol


Katanya polis menemui sepucuk pistol, lapan butir peluru dan empat telefon bimbit dalam beg galas yang disandang lelaki itu.

Lelaki itu yang bekerja sebagai peniaga pasar malam direman selama seminggu untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, polis menahan enam lelaki berusia 20 hingga 35 tahun kerana terlibat menyerang seorang pesakit di sebuah hospital swasta di sini, 8 Mei lepas.

Shukri berkata kesemua lelaki itu ditahan Khamis lepas di kawasan Pekan Barudi sini.

Dalam kejadian itu, sekumpulan lapan hingga 12 lelaki telah melakukan kekecohan di sebuah hospital swasta di sini dengan menyerang seorang pesakit pada pukul 7 pagi.

Siasatan polis mendapati pesakit berkenaan dimasukkan ke wad hospital itu akibat cedera berikutan satu pergaduhan di sebuah pusat hiburan di sini.

Pesakit berkenaan berjaya melarikan diri dengan terjun ke balkoni wad bagi mengelak serangan daripada kumpulan berkenaan.

Kesemua lelaki yang ditahan itu direman seminggu untuk siasatan lanjut.Bernama

Nelayan Kuala Langat Harus Berhenti Persalahkan Kerajaan Negeri

Posted: 15 May 2012 02:59 AM PDT


SHAH ALAM : Masalah yang membelenggu sebahagaian nelayan di Kuala Langat hanya boleh diselesaikan kerajaan pusat yang menentukan kuasa perairan negara.

Masalah seperti kedudukan boya yang didakwa mengganggu hasil tangkapan, pewartaan kawasan 'port limit' dan aktiviti kapal-kapal besi di kawasan perairan di situ di bawah kawalan agensi kerajaan pusat.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kuasa yang ada pada kerajaan negeri hanyalah untuk berbincang dan merayu kepada kerajaan persekutuan.

"Kita telah mengadakan perbincangan menyeluruh bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) , Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Majlis Daerah tetapi tiada kata sepakat kerana permintaan para nelayan adalah luar biasa," katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Laporan media memaparkan satu demonstrasi oleh 20 nelayan di Kelanang, Kuala Langat pada Sabtu lalu bagi mendesak kerajaan negeri membela nasib mereka.

Abdullah Sani berkata perbincangan telah dilakukan sebanyak sembilan kali dan selepas kali terakhir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mengambil alih.

"Selepas Noh Omar campur tangan, saya tidak ambil tahu lagi kerana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang seharusnya bertanggungjawab," jelasnya.

Menurut Abdullah Sani, para nelayan menuntut pampasan berjumlah RM15 juta dari kerajaan negeri.

Katanya, Kerajaan negeri tidak pernah berjanji di dalam manefesto pilihanraya lalu untuk memberikan pampasan sebanyak itu kepada para nelayan.

"Kerajaan pusat terlibat dalam pembinaan 'port limit' tersebut dan kerajaan negeri tidak pernah berjanji sedemikian kepada para nelayan," katanya lagi.

Hormati Tindakan Tunku Abdul Aziz, DAP

Posted: 15 May 2012 02:55 AM PDT

 
Tindakan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim 'cau' dari DAP tidak menjejaskan stabilitas parti itu dan memberi apa-apa impak kepada Pakatan Rakyat. Tindakan itu perkara biasa dalam politik dan amalan orang yang mempunyai prinsip dan jati diri yang mampan. Seseorang yang mempunyai prinsip dan keyakinan sendiri akan melakukan apa yang difikirkan benar tanpa merosakan orang lain.

Umum tahu Tunku Abdul Aziz seorang yang tegas dan berpegang kepada prinsip-prinsip professionalismenya. Seperti mana dijelaskan tempoh perkhidmatan sebagai senator tidak dilanjutkan bukan atas kehendak parti tetapi beliau sendiri minta agar tidak dilanjutkan? Tunku Abdul Aziz berbeza dengan sesetengah politician lain termasuk yang syok mengaku Islam (alias selak kain kencing dalam keadaan disukainya) yang berkelulusan Phd dari lebih dua buah universiti atau pun yang mengakui sudah membaca khutbah sejak berusia 12 tahun.

Tunku Aziz juga menegaskan dia tidak akan sertai Umno kerana dia tahu dengan menyertai Umno akhirnya beliau akan dituduh sebagai pengkhinat. Dalam tanggapan umum, seseorang yang menyeberang dan meninggalkan parti asal atas apa sebab sekalipun dikira jahat. Umno tidak ada dalam kamus hidupnya, lagi pun Umno tidak dipercayainya. Kalau Tunku Aziz berminat dengan Umno, lebih baik dia menyertai Umno sejak awal, tetapi dia memilih DAP.


Keluar dari parti yang tidak sama dengan prinsip dirinya kemudian menyertai parti yang tidak ada prinsip yang jelas satu tindakan yang kurang bijak. Keputusan Tunku Aziz untuk tidak menyertai Umno selepas keluar dari DAP dianggap bijaksana. Pun begitu manusia bila-bila masa saja boleh menjadi tidak waras.

Justeru kalau kita memahami kenapa beliau keluar parti mudah untuk menghayati keadaan dan senario yang berlaku ke atas dirinya. Aziz keluar parti kerana tidak sekata mengenai himpunan Bersih dengan DAP. Alasannya kalau diadakan himpunan akan berlaku kekacauan. Bagi Aziz kekacauan yang timbul dari aksi politik perkara yang tidak boleh berlaku, manakala DAP memerlukan "kekacauan" itu demi keuntungan kepada parti. Ini saja perbezaannya.

Tunku Aziz mencintai kedamaian dan keharmonian sesuai dengan beliau seorang yang berpegang kuat kepada prinsip undang-undang, kebenaran dan keadilan yang kemudian membawa kepada keharmonian secara idealis. Tersilap beliau sedikit di sini pabila beliau masih mempercayai di dalam politik negara ini yang Umno menjadi tunggak kerajaan seolah-olah keadilan dan keharmonian itu masih terpakai dan dihormati.

Tunku Aziz masih tersekurup dalam dunia akademik dan undang-undang yang berfikir mengenai teaori dan mahu mencapai sesuatu itu atas prinsip undang-undang dan keluhuran manusia walhal prinsp itu sudah pun tidak dipakai lagi. Apabila beliau berada dalam rumah politik beliau seharusnya berfikir cara politik (animal) yang mana beliau tidak perlu obses mengharapkan kedamaian. Kedamaian tidak ada dalam politik sebaliknya ia dipenuhi dengan percakaran demi kuasa. Eksploitasi, manipulasi, hipokrasi adalah percakaran minda dalam politik demi kuasa.

Saya sudah mengemukakan prinsip-prinsip atau wajah yang perlu ada kepada setiap pemain politik sekular seperti diamalkan di Malaysia ianya perlu mengikut rukun yang saya namakan 5C, itu Manipulasi, Kontroversi, Ekspoloitasi, Publisiti, dan Hipokrasi. Kalau seseorang yang menerjunkan diri dalam politik dan ia malu-malu atau segan untuk menerima rukun ini dia akan kecewa dan kalah.

Bacaan Tunku Aziz bahawa DAP sebagai parti berdisiplin mempunyai komitmen tinggi kepada rakyat salah. Ia sepatutnya tidak dilihat dari sudut itu saja, tetapi perlu menghayati atau membaca sejarah keseluruhan politik itu. DAP apa pun ia, ia adalah sebuah badan politik yang tidak terkecuali dari rukun-rukun 5C itu.

Sebab itu bagi saya, politik ala Malaysia yang digerakkan dan dinadikan oleh Umno bukan tempat untuk orang akademik, pengamal undang-undang ataupun orang yang berjuang atas prinsip diri mengikut profesyen dan kepercayaan dirinya seperti Tunku Aziz. Kalau dia masuk politik tetapi masih mengamalkan prinsip-prinsip lamanya itu akhirnya dia akan kecewa. Dan hari ini ternyata dia kecewa...

Bukan saja Tunku Abdul Aziz tetapi masih ada lagi mereka yang berpegang kepada prinsipnya sedang dalam keadaan delima dalam rumah politik yang akhirnya membawa dia keluar dari rumah hantu dan berhantu itu. Hanya mereka yang sedia salin prinsip dan menerima prinsip politik sepenuhnya saja akan kekal dalam politik. Bagi saya dunia politik adalah dunia orang-orang kacau akalnya.

Bagaimana pun selaku kita yang berada di luar, apa yang berlaku ke atas Tunku Aziz dan DAP harus dihormati kerana kedua-duanya dilihat betul dalam tindakan masing-masing. Keputusan DAP menegur Tunku Aziz kerana mengeluarkan kenyataan yang anti klimeks mengenai Bersih 3.0 itu tepat. DAP harus jaga pendiriannya dan maruahnya di kalangan pakatan dan rakyat yang sudah komited dengan Bersih. Begitu juga tindakan Tunku Aziz mengundur diri dari parti yang tidak selari dengan fikrahnya juga betul kerana beliau perlu mengelakkan sakit jiwa dan mati dalam keadaan beragam.

Sekali lagi ditegaskan pelayaran samudra Pakatan Rakyat yang didalamnya ada DAP, PKR dan Pas tidak akan tergendala dengan tindakan Tunku Azmin itu yang hanya bueh kecil yang melenting di  buritan kapal.

Hoi..hoi.. Tak tahu membaca ke?

Posted: 14 May 2012 11:45 PM PDT

 Oleh Adil Mat Selamat

Baru-baru ini timbul lagi isu putar alam kumpulan UMNO BN berhubung kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng iaitu "Sekiranya UMNO kembali berkuasa, kuil Hindu mungkin terancam".

Kata-kata ini diajukan ketika ucapan pada mesyuarat di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Bagi UMNO yang 'pantang' disindir, pastinya akan melenting dan sudah tentu ungkapan ini akan digunakan sehabis-habisnya untuk disalahgunakan makna di sebalik ungkapan berfakta itu.

Mengapa kita katakan ungkapan ini berfakta?

Ungkapan itu adalah merujuk kepada satu kes di mana kuil Hindu yang berusia 40 tahun dirobohkan oleh Penang Port Sdn Bhd (PPSB) tanpa sebarang notis pada 20 April 2012. PPSB yang merobohkan kuil itu dipengerusikan oleh ADUN Teluk Bahang, Dato Seri Dr Hilmi Yahaya. Sehingga sekarang Hilmi enggan meminta maaf ataupun melaksanakan janji untuk membina kuil Hindu ini.

Jadi adakah ungkapan ini berniat jahat? Bagi kita yang berakal, pasti tidak. UMNO seperti biasa akan menolak apa jua fakta. Maklumlah, perkara tentang ulang tahun kelahirannya pun sudah salah fakta.

Bukankah UMNO yang sedang diraikan ini adalah UMNO baru yang baru berusia 25 tahun. Bukankah Tun M telah mendaftarkan UMNO baru apabila kuasanya makin terhakis. UMNO sudah lupa ke? UMNO yang berusia 66 tahun itu UMNO zaman merdeka, UMNO zaman Onn Jaafar, UMNO Tunku, UMNO yang tahu beza antara fakta dan fitnah. Bukan UMNO 2020 yang berkarat ni.  Fakta ini pun digelapkan oleh mereka yang kemaruk kuasa.

Berkaitan ungkapan Lim Guan Eng itu, jika benarlah maksud kata-kata itu berniat jahat. Ingin sekali kita tanya tentang berpuluh-puluh ucapan pemimpin UMNO, antaranya;

1.         UMNO mengatakan jika undi Pakatan, maka negara akan bankrap.
2.         UMNO kata jika undi DAP, Islam akan hancur.
3.         UMNO kata jika undi PR, nasib Melayu akan gelap dan musnah.

Malah, baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengatakan;
"Negara akan kembali ke era tahun 1511, dengan agenda bumiputera tidak lagi diwujudkan, sekiranya Barisan Nasional (BN) kalah pada pilihan raya umum ke-13."

Malah beliau tambah; "Negara berkemungkinan kembali kepada zaman pemerintahan Francis Light dan Alfonso de Albuquerque jika pakatan pembangkang mengambil alih tampuk pemerintahan kerana mereka dilihat tidak mampu memperjuangkan agenda bumiputera."

Ini cakap apa ni? Apa fakta di sebalik ungkapan semberono ini? Hoi..hoi.. tak membaca ke?

Lihatlah Buku Jingga… bacalah dasar-dasar Pakatan Rakyat. Janganlah hentam semberono macam orang tak membaca buku. Kalau Pak Menteri nak berfikiran gelap, gelaplah seorang diri, jangan ajak orang lain pun gelap sama macam dia.

Apakah ungkapan ini tidak berniat jahat kepada Pakatan Rakyat dan rakyat sendiri? Sama-samalah kita menilai kualiti kelompok UMNO yang sudah panik kerana kuasanya semakin terhakis.

Undi kepada DAP dan Pakatan Rakyat, pastinya tidak akan merosakkan masa depan Negara sebaliknya undi kepada Pakatan Rakyat adalah undi 'Patriotik' kerana kita mengundi dengan niat untuk
menyelamatkan negara. roketkini.com

Posted: 14 May 2012 11:39 PM PDT

Oleh Mohd Martin Kahar

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (Pakatan) kini dalam peringkat akhir menyiapkan senarai calon untuk Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti komponen dalam Pakatan telah mengemukakan calon masing-masing dan akan diputuskan secepat mungkin.

"Keseluruhannya telah diselesaikan. Parti telah kemukakan senarai calon tetapi mengikut tradisi pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, senarai terbabit akan dimaklum untuk diputuskan bersama.

"Di Sabah dan Sarawak juga sedang berjalan, tetapi kalau ada perkembangan baru yang menarik, Pakatan Rakyat perlu merujuk pandangan rakan-rakan di sana," katanya pada sidang media selepas
mempengerusikan mesyuarat Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali berkata, rundingan pembahagian kerusi dalam Pakatan telah 90 peratus siap dan pimpinan tertinggi akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam masa terdekat untuk memuktamadkannya.

"Kita tak boleh beritahu tarikh secara terperinci, tetapi apa yang saya boleh katakan ia akan diputuskan secepat mungkin, kurang daripada seminggu," katanya.

Spekulasi tarikh pilihan raya hangat diperkatakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Umno Ke 66 pada 11 Mei lalu.

Najib secara sinis dilaporkan kononnya mahu bertemu Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen selepas menyaksikan sambutan daripada penyokongnya pada hari tersebut.

Bloger-bloger turut meramalkan PRU ke 13 akan diadakan pada 9 Jun manakala hari penamaan calon pula dijangka 26 Mei. Ramalan itu berdasarkan cuti sekolah selama dua minggu bermula 28 Mei.

Anwar ketika ditanya mengenai desas desus tarikh PRU, beliau secara berseloroh bertanya kembali kepada pemberita sama ada menerima apa-apa maklumat berkenaan pembubaran Parlimen oleh Najib.

"Anda media mesti tahu, ada tak Najib pergi ke Istana hari ini," katanya disambut gelak tawa pemberita.
Hadir sama, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Jingga 13: SPR perlu bertanggungjawab Bersih 3.0

Posted: 14 May 2012 11:36 PM PDT

Oleh Norutul Ilham

KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah punca perhimpunan Bersih diadakan kerana masih gagal membersihkan daftar pemilih yang meragukan selain berkepentingan politik.

Menurut badan bukan kerajaan (NGO), Jingga 13, sikap berat sebelah SPR berhubung insiden dalam perhimpunan itu terbukti apabila bukti, laporan dan fakta penyelewengan tidak diambil tindakan, sebaliknya rakyat dipersalahkan.

Ketua Koordinatornya, Fariz Musa berkata, komplot kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) bersama SPR itu dapat dilihat bila mana media kawalan mereka mensensasikan huru-hara insiden perhimpunan berbanding lapan tuntutan bagi pilihan raya bersih dan adil.

"Perhimpunan Bersih wujud berpunca daripada kegagalan SPR bertindak telus, adil dan profesional dalam menjalankan sistem pilihan raya benar-benar diyakini dan berkecuali dalam mengimplimentasikan amalan demokrasi dalam negara.

"Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR wajar dipersalahkan dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku sebagai peneraju kegagalan dan penyelewengan SPR serta berfungsi sebagai badan yang sepatutnya berkecuali, bebas dan profesional," katanya pada kenyataan.

Justeru itu kata Fariz, tiada lagi pihak lain yang perlu dipersalahkan selain SPR dan kerajaan kerana sengaja mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan itu.

"Jingga 13 mendesak agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dilucutkan jawatan atau meletakkan jawatan dengan segera dan dilantik individu yang benar-benar diyakini menerajui badan yang sangat penting ini.

"Perhimpunan yang sebelum itu berlaku dengan aman telah dicemari oleh tindakan polis apabila gas pemedih mata ditembak kepada para demonstran yang berhimpun bagi menyuarakan sokongan terhadap lapan tuntutan Bersih bagi pilihan raya yang bersih," katanya.

Jika kalah PRU, Najib akan didakwa di Perancis

Posted: 14 May 2012 11:30 PM PDT

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak paling takut menghadapi kekalahan dalam pilihan raya umum kerana jika itu berlaku, beliau akan diheret sebagai saksi perbicaraan Scorpene di Perancis, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.

Tian berkata, Najib pada masa ini masih mempunyai imuniti sebagai ketua negara yang boleh menghalang beliau sebagai saksi dalam kes itu.

Beliau merujuk kes sama yang terjadi ke atas diktator Chile, Agusto Pinochet yang ditangkap hanya selepas tidak lagi memegang kuasa.

"Najib paling takut kalau kalah pilihan raya umum ke-13. Bila menjadi orang biasa, dia boleh didakwa di Perancis sekiranya menjejakkan kaki di mana-mana negara Kesatuan Eropah (EU)," jelas Tian.

Katanya, selaku ketua negara, Najib masih boleh membuat permohonan untuk mengenepikan perintah mahkamah apabila waran dikeluarkan untuk membantu siasatan kelak.

"Boleh jadi dalam masa terdekat, dia tiba-tiba muncul di Paris dan bersalaman dengan presiden baru Perancis, Francois Hollande. Kononnya 'bukti' dia berani ke Eropah dan tak didakwa. Sedangkan, ini kerana imuniti Najib sebagai ketua negara," jelas Tian.

75 Waris Terima Bantuan SMUE Di DUN Sri Muda, Kota Raja

Posted: 14 May 2012 11:28 PM PDT


KLANG : Skim Mesra Usia Emas (SMUE) hari ini menyampaikan bantuan RM1,500 kepada 75 waris warga emas bagi DUN Sri Muda dan Kota Raja.

Rata-rata waris yang hadir ditemui ternyata gembira dan mengucapkan terima kasih di atas usaha kerajaan negeri.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, SMUE ini adalah skim khairat kematian sebagai usaha menghargai warga emas tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan tahap sosial mereka.

"Tujuan SMUE ini adalah untuk meringankan beban pewaris dalam menyelesaikan beberapa perkara seperti proses pengurusan jenazah serta pengkebumian dan membantu melangsaikan hutang si mati," katanya ketika memberi ucapan di Majlis Penyampaian Bayaran Manfaat SMUE Fasa Kedua di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) Jalan Kebun hari ini.

Katanya, SMUE bertujuan memberi manfaat dalam bentuk perlindungan bemilai RM2,500 kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang mendaftar secara rasmi dengan urus setia SMUE.

Sejumlah RM1,500 seorang akan diberi selepas kematian, manakala RM1,000 akan diberikan setelah selesai proses pengebumian dan waris boleh menuntut di Pejabat Khidmat DUN di setiap kawasan.

SMUE dilancarkan pada Ogos 2008 dan merupakan salah satu daripada tujuh agenda dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang kini sudah memasuki Fasa Kedua.

Selain itu, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang turut hadir berkata, kerajaan negeri ingin mengembalikan hasil yang diperolehi oleh negeri kembali kepada rakyatnya.

Shuhaimi turut menasihati waris si mati supaya menggunakan wang yang diperolehi daripada SMUE itu untuk kebajikan dan manfaat kepada si mati serta tidak sesekali menyalahgunakan wang berkenaan.

Sehubungan itu, semua warga emas yang belum menikmatinya hendaklah mendaftar dengan berpandukan kepada syarat-syarat seperti mesti berumur 60 tahun dan ke atas, lahir dan sedang menetap di Selangor, bermastautin di Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun.

Pakatan Mendahului Umno-BN Dalam Menjaga Kebajikan dan Hak Pekerja

Posted: 14 May 2012 11:25 PM PDT


SHAH ALAM : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mendedahkan bahawa Pakatan Rakyat (PR) adalah pimpinan pertama yang mengamalkan dasar kebajikan pekerja yang lebih progresif, bukan Umno-BN.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata kebajikan terhadap pekerja bermula se-awal tahun 1990-an lagi di negeri Kelantan yang kemudiannya diikuti oleh negeri-negeri lain.

Perubahan itu termasuk pemberian cuti rehat sebanyak dua hari setiap minggu kepada pekerja, cuti bersalin 60 hari kepada pekerja wanita dan cuti tujuh hari kepada suami yang isterinya melahirkan anak.
Malah dasar-dasar seperti ini pernah dikecam kuat oleh Umno-BN di bawah Perdana Menteri ke-empat Tun Dr Mahathir Mohamed pada masa ia perkenalkan.

"Umno-BN sebelum ini ada mendakwa bahawa cuti rehat dua hari yang diberikan kepada pekerja akan menyebabkan produktiviti menjadi rendah dan rakyat akan malas.

"Tetapi akhirnya mereka meniru kita dan terpaksa memberi cuti rehat selama dua hari kepada pekerja sebab kita dah laksanakan dulu.

"Tidak terkecuali, negeri Selangor juga turut memberi cuti 90 hari kepada wanita bersalin. Itu adalah bukti betapa kerajaan PR begitu prihatin terhadap hak pekerja," ujarnya.

Mat Sabu berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri Majlis Himpunan "Pekerja : Menjulang Martabat Pekerja" di Stadium Malawati, di sini malam tadi.

Himpunan yang disertai lebih 3,000 orang itu turut dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan pimpinan kerajaan Selangor.

Turut kelihatan exco-exco Selangor Dr Halimah Ali, Rodziah Ismail, Ronnie Liu Tian Khiew dan Dr Yaakop Sapari. Juga hadir MP Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid dan ADUN Meru Dr Rani Othman.

Pakatan di dalam dasar bersamanya pada 2010 telah berjanji untuk melaksanakan gaji minima di dalam semua sektor di negara, lebih awal dari dasar Umno-BN yang baru diumumkan beberapa minggu lalu.
Malah Kerajaan Selangor menetapkan kadar gaji minima pada RM1,500 sebulan untuk setiap anak syarikat di bawahnya.

Kadar itu adalah lebih tinggi daripada RM900 yang diumumkan oleh Umno-BN.

Pemegang MyKad Merah Berhimpun 27 Mei

Posted: 14 May 2012 11:22 PM PDT


SHAH ALAM : Berlarutan sejak sekian lama tanpa pemegang MyKad merah dari seluruh Selangor dan negara akan mengadakan satu perjumpaan di Dewan Hamzah, Klang pada 27 Mei depan.

Perjumpaan yang dianjurkan kerajaan negeri bertujuan menyelesaikan isu membelenggu masyarakat India yang tinggal di ladang-ladang yang menghadapi masalah bagi mendapatkan MyKad biru dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, Selangor sendiri sebagai negeri maju dianggarkan terdapat beribu orang di kalangan masyarakat India yang menghadapi masalah berkenaan serta orang Cina, Melayu dan Orang Asal.

Kerajaan negeri mengambil inisiatif menganjurkan perhimpunan ini kerana Kerajaan Pusat menjelaskan akan mengambil tindakan segera bagi meenyelesaikannya sekiranya segala maklumat diberikan.

"Menteri Dalam Negeri atau kerajaan BN kata kalau kita boleh serahkan nama pemegang MyKad merah ini, mereka akan ambil tindakan secepat mungkin. Sebab itu kita ambil cabaran ini.

"Orang-orang ini dianggap sebagai warganegara Malaysia kerana lahir dan bekerja di negara ini tetapi akhirnya lebih dari 55 tahun, tiada sebarang bantuan diberi Kerajaan Pusat kerana mereka pemegang MyKad merah. Mereka ini juga tidak boleh mendapatkan bantuan dari kerajaan negeri melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Taman Medan, Haniza Talha dan Adun Kampung Tunku, Lau Weng San.

Bagi mencari jalan penyelesaian, Dr Xavier berkata, kerajaan negeri berusaha menghimpunkan golongan itu dalam majlis itu yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang.

Katanya, kerjasama dari pelbagai pihak termasuk Adun, pertubuhan bukan kerajaan(NGO), Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), Ketua Komuniti dan selainnya diperlukan bagi menghimpunkan kesemua mereka termasuk membantu kalangan yang uzur dan tua serta kanak-kanak yang dikesan turut tidak memiliki sijil kelahiran.

Menurutnya, mereka diminta membawa dokumen seperti MyKad merah, dokumen perkahwinan dan yang berkaitan bagi memudahkan segala bukti dikumpulkan.

"Semua data-data ini kita akan hantar kepada Menteri Dalam Negeri untuk diambil tindakan selanjutnya.
Dalam majlis ini, saya harap dan jangkakan lebih 1,500 orang akan hadir. Kita juga akan menjemput pihak Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) untuk hadir," katanya yang mempersoalkan isu pendatang asing yang didakwa memiliki MyKad biru tetapi golongan berhak dinafikan haknya.

Orang Afrika: Antara stereotaip dengan realiti

Posted: 14 May 2012 11:16 PM PDT

Terdapat pelbagai teori media yang mengatakan bahawa saluran media mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pendapat awam, terutamanya kuasa untuk mengeruhkan lagi sentimen perkauman terhadap pekerja dan penuntut asing yang sudah lama berakar umbi di minda dan jiwa rakyat kebanyakan. Sentimen perkauman terhadap lelaki Afrika di Malaysia didapati lebih parah daripada wanita. Tanggapan buruk ini banyak disumbang melalui stereotaip lelaki Afrika sebagai kaki lawan dan penjenayah yang memporak-perandakan keamanan dan budaya kita. Stereotaip ini muncul di kaca televisyen, di internet, dan di muka akhbar. Seringkali orang berkulit hitam disamakan dengan orang Afrika seolah-seolah Afrika itu satu negara yang monolitik, tanpa kepelbagaian budaya, bahasa, dan rupa. Realitinya, ramai yang meneruskan pelajaran atau datang mencari rezeki di Malaysia datang daripada latar belakang sosial, kelas, agama, bahasa, dan keadaan geopolitik yang berbeza.

Kini, kita sering mendengar di wahana media tentang "kebanjiran" pekerja dan penuntut Afrika pada tahap yang membimbangkan di seluruh pelusuk Malaysia, dari Kota Kinabalu hingga ke Alor Setar. Kita menggarapi migrasi sebagai satu masalah "baru" yang melanda negara, yang menyerupai gejala jenayah, hakisan budaya tempatan, dan meningkatkan satu iklim yang menakutkan dan penuh bahaya. Kehadiran populasi Afrika dianggap sebagai sesuatu yang baru, seolah-olah tidak wujudnya sejarah migrasi dan penempatan orang-orang dari benua Afrika.

"Gelombang" pertama pergerakan orang Afrika (atau "Negrito") ke Asia bermula lebih kurang 100,000 tahun dahulu, dan kemudiannya berkembang di Pakistan selatan, dan kepulauan Polynesian dan Melanisia. Golongan ini berpecah kepada etnik Khyeng di Pakistan, Jawawa di Teluk Benggala, dan Agta di Filipina. Sejak 1970-an, kedatangan warga asing ke tanahair dimangkinkan oleh situasi ekonomi dan globalisasi. Tahap penghijrahan yang meninggi jelas menunjukkan kemakmuran ekonomi Malaysia dan gawatnya ekonomi negara-negara penghantar para penghijrah. Malangnya, tahap kesedaran sosial tidak setimpal dan jauh kebelakang; lain kata, kemakmuran dan pembangunan tidak pernah menjamin perikemanusiaan dan keadilan.

Disebabkan layanan kelas kedua yang terpaksa dipikul oleh warga Afrika amnya, kesahihan kes cabul yang dibayar oleh Onochie dengan nyawanya mungkin tidak dipersoalkan lagi, seperti kesahihan kes-kes jenayah lain yang melibatkan warga Afrika yang lain. Tragedi seperti beberapa penuntut IPTS dari negara Botswana pernah dilaporkan membunuh diri disebabkan tekanan yang dicetus oleh perkauman dan layanan buruk warga Malaysia. Ekoran kejadian tersebut, kematian seorang warganegara Nigeria bulan lalu di tangan pengganas RELA, yang kemudiannya mencetus pertunjukan perasaan oleh kumpulan sewarganegara di Ulu Langat kini menunjukkan betapa parahnya keadaan perkauman yang mengganas dan berdarah di Malaysia dewasa ini.

Terdapat beberapa faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi tarikan ramai penuntut Afrika. Pertama sekali, kerana kos pembiayaan untuk pendidikan tertiari adalah lebih rendah daripada di Eropah, Amerika Syarikat, atau di Australia. Kemudahan dan kualiti pendidikan juga dianggap setanding dengan IPT di negara-negara tersebut. Sesetengah IPT memperuntukkan RM25,000 bagi penuntut pasca-siswazah antarabangsa. Kedua, ramai penuntut yang beragama Islam dari benua Afrika yakin bahawa gaya hidup di negara yang majoriti Islam seperti Malaysia membantu memelihara akidah mereka. Ketiga, visa untuk belajar di Malaysia lebih muda diperolehi berbanding negara-negara barat yang kini mengetatkan polisi imigresen negeri masing-masing. Dan keempat, ramai akan mengambil peluang untuk meninggalkan negara masing-masing untuk kehidupan di luar negara kerana nilai prestij mereka akan meraih daripada pengalaman merantau dan gaji yang dijangka lebih lumayan di sini. Faktor-faktor diatas begitu logikal, tetapi mampukah kesemuanya menangkis prejudis terhadap warga asing Afrika yang menular?

Terdapat lebih kurang 22,000 penuntut di IPT dari benua Afrika; yang terjebak dalam gejala jenayah dan sosial adalah sangat minima mengikut Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin - terdapat hanya 66 kes dilaporkan membabitkan orang Afrika lewat tahun lepas. Menurut Abiodun Musa Aibinu, wakil Diaspora Nigeria dan Profesor Madya kejuruteraan mekatronik di Universiti Islam Malaysia (UIA) pula, hanya 5% daripada 5,000 warga Nigeria yang berada di Malaysia terlibat dalam pengedaran dadah dan penipuan ("black money"). Hakikatnya wujud hierarki manusia di mana layanan yang diberikan kepada mereka di lapisan bawah pekerja, penuntut IPT asing, dan golongan pelarian secara automatis jauh lebih teruk. Tetapi kesemua warganegara Afrika yang berkulit hitam digolongkan sebagai "pariah" di mata rakyat Malaysia: walaupun sebagai seorang pensyarah, Abiodoun juga sering menjadi mangsa penghinaan orang-orang tempatan.

Sebagai rakyat Malaysia, kita merayakan imej negara kita yang berbilang kaum - itulah satu-satunya "keistimewaan" yang diwarisi daripada sejarah kolonial kita. Tetapi sayangnya, kepelbagaian bangsa dan budaya yang dibanggakan hanya dikhaskan untuk mereka yang berwarganegara Malaysia, walaupun mereka yang bukan banyak menyumbang kepada pembangunan dan melancarkan kehidupan seharian kita. Kepelbagaian bangsa dan budaya Malaysia senantiasa berubah dan kita seharusnya menerima bahawa migrasi adalah hakikat masakini di era globalisasi dan geopolitik dan ekonomi dunia ketiga yang tidak pernah lelah goyah.

*Alicia Izharuddin adalah pelajar Doktor Falsafah dalam kajian Islam, gender, dan media.

Gimik aiskrim bukan tuju pada Azmin

Posted: 14 May 2012 11:14 PM PDT

Secara simbolik, sekumpulan 20 petugas mengagihkan aiskrim percuma sempena Kempen Aiskrim 1Malaysia.

SHAH ALAM: "Duduk, makan dan agih aiskrim percuma," itulah gimik kempen yang diadakan di Dataran Shah Alam petang tadi dengan lebih 200 batang aiskrim pelbagai perisa dan jenama diedar kepada para pengunjung yang melalui kawasan berkenaan.

Dengan kira-kira 20 petugas yang turun untuk mengagihkan aiskrim tersebut, Pengerusi Kempen Aiskrim 1Malaysia, Rafi Awang Kecil berkata, tujuan ia diadakan bukan untuk menyindir Ahli Dewan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, ia sekadar untuk memberi aiskrim percuma dan mahu ia dimakan di tempat terbuka dan bukannya di tandas.

Sambil berseloroh beliau berkata, "lepas makan jangan tak balik rumah".

Katanya, kempen ini akan diteruskan di kawasan Dewan Negeri (Dun) Bukit Antarabangsa dan gimik 'aiskrim percuma' akan diadakan.

"Kita bagi aiskrim percuma, duduk dan agih sampai bersih. Tujuan nak beritahu agar makan aiskrim di tempat terbuka dan bukannya di tandas.

"Ini kempen 1.0, lepas ni 2.0 yang kita adakan di Dun Bukit Antarabangsa. Hari ini permulaannya. Tak kata ia simbolik kepada Azmin, tapi kalau makan aiskrim jangan sampai tak balik rumah," katanya sambil berseloroh.

Azmin sebelum ini dikaitkan dengan video dan foto lucah yang menghias muka depan akhbar Utusan Malaysia pada minggu lalu

.

Namun dakwaan tersebut dinafikan Azmin dan mendapat sokongan daripada rakan-rakannya dalam PKR.
Pemberian aiskrim percuma itu turut mendapat sambutan baik para pengunjung, namun berlaku kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan sehingga dibantu seorang polis trafik.

Turut kelihatan kelibat Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) Hamidzun Khairuddin.
Tidak ketinggalan, rakan-rakan media yang membuat liputan juga menerima aiskrim pelbagai perisa secara percuma.

SU Agung: Pas buka pintu untuk jelas isu Islam

Posted: 14 May 2012 11:10 PM PDT

HASLINA KAMALUDIN

Datuk Mustafa Ali

 

 

SHAH ALAM - Kesediaan Pas bermuzakarah untuk memberi penjelasan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah sebagai bukti parti itu masih berada di landasan sebenar dalam perjuangan politik.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, sesi yang akan dikendalikan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi itu akan merungkai kekeliruan umat Islam di negara ini termasuk dakwaan mengatakan parti itu sudah terpesong daripada landasan sebenar perjuangannya.

"Dalam sesi itu, Pas akan menerangkan perjuangan kami yang mana ia masih sama, tidak seperti dakwaan beberapa pihak. Islam tetap menjadi keutamaan Pas.

"Kita tidak gentar untuk berhadapan dengan mana-mana pihak. Bukan sahaja NGO, ia juga terbuka kepada mana-mana parti lain termasuk Majlis Fatwa Kebangsaan seperti diusulkan Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman.

"Penjelasan ini adalah bukti Pas masih sama dan tidak pernah berubah sejak awal penubuhannya. Mungkin ada pihak masih tidak faham dengan perjuangan Pas," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, sesi tersebut adalah medan terbaik untuk pihak luar mengetahui mengenai Pas dan Islam secara keseluruhannya.

"Dengan pelbagai tuduhan­ yang dilemparkan kepada Pas, sedikit pun tidak menggugat perjuangan kami, malah Pas tetap optimis dengan misi kami selama ini dan yakin perjuangan yang berlandaskan Islam masih utuh.

"Pihak-pihak terbabit boleh mendengar penjelasan, kemudian barulah boleh menilai," katanya.

Umno sedia bermuzakarah bersama PAS - Rais

Posted: 14 May 2012 11:04 PM PDT

KUALA LUMPUR: Barisan kepimpinan Umno bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan PAS demi masa depan masyarakat Melayu dan agama Islam.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim yang ditemui menyifatkan peluang untuk bermuzakarah antara parti itu merupakan saat yang dinanti-nantikan demi kepentingan kaum majoriti di negara ini.

Bagaimanapun katanya, usaha untuk mengadakan perbincangan sering dibatalkan pada saat-saat akhir oleh pemimpin PAS kerana ianya sering disalah ertikan selain mendakwa  usaha tersebut adalah sia-sia.

"Dulu pemimpin UMNO sangat menunggu-nunggu muzakarah, perbincangan atau pertemuan biasa tapi saat akhir pemimpin PAS kata tidak perlu demi ummah.

"Saya fikir jawapan dulu tidak betul kerana ia dijawab dalam keadaan angkuh. Yang penting sekarang menyedari ummah itu terdiri dalam golongan yang ramai justeru kita perlu cari jalan untuk tentukan ke mana kita selepas ini," katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Ikon Membaca Kebangsaan dan Penyemarakan Kempen Nilai Murni 1Malaysia di Perpustakaan Negara Malaysia, di sini, petang tadi.

Beliau turut yakin PAS tidak akan bersama DAP dalam jangka masa panjang kerana prinsip perjuangan kedua-dua parti itu jelas bertentangan sejak bergabung.

Katanya, apa yang lebih penting kepimpinan yang diterajui Musyidul Am Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat perlu segera mengadakan perbincangan bersama Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak kerana kedua-dua pemimpin itu mewakili sebilangan besar masyarakat Melayu beragama Islam.

"Tentu skali PAS tidak bersama Karpal Singh atau Lim Kit Siang untuk jangka masa panjang. Saya kira bermesyurat dgn Najib lebih afdal dari kira amalan agama dan pengiktirafan ummah.

"Itu terjawab. Pemimpin PAS harus terima hakikat bahawa mereka orang Melayu dan orang Islam, kenapa tidak berunding dan tidak bercakap," katanya lagi.

Askar Veteran adakan senaman punggung untuk Ambiga

Posted: 14 May 2012 10:59 PM PDT

Oleh Shannon Teoh

KUALA LUMPUR — Kira-kira 10 askar bersara membuat senaman punggung pagi tadi dalam protes kedua yang dilakukan di luar rumah Datuk Ambiga Sreenevasan di Bukit Damansara untuk membantah perhimpunan Bersih pada 28 April yang lalu.

Ahli-ahli Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) melakukan senaman punggung itu sebagai protes terhadap pengerusi Bersih yang mereka dakwa adalah "musuh" negara.

"Kami tentera veteran ada hak untuk membantah 'musuh' yang cuba cemarkan nama negara," presiden PVTM Datuk Mohd Ali Baharom berkata.

Apabila Ambiga (gambar) berjumpa dengan veteran askar di luar rumahnya, mereka memberikan poster yang ditulis "tolak Ambiga Anwar" kepadanya, yang merujuk kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di poster itu juga terdapat lukisan seorang lelaki berpakaian kuning, iaitu warna rasmi Bersih, dengan seluarnya terbuka dan punggungnya terdedah di bawah perkataan "perusuh haram Bersih 3.0".

Protes yang diadakan pada pukul 8.30 pagi itu merupakan demonstrasi kedua di hadapan rumah bekas presiden Majlis Peguam dalam kurang daripada seminggu.

Pada hari Khamis, ahli-ahli Ikhlas telah adakan "protes burger" di luar rumah Ambiga selepas mendakwa mendapat kerugian sebanyak RM200,000 disebabkan perhimpunan di ibu kota negara yang melibatkan berpuluh ribu orang.

Kira-kira 10 peniaga dan individual berpakaian seragam Barisan Nasional (BN) memasak 200 burger sewaktu protes selama satu jam itu.

Malah mereka juga menawarkan burger kepada Ambiga, yang merupakan vegetarian, serta wartawan di sana.

Namun Ambiga meminta peniaga memfailkan semua tuntutan rugi mereka di mahkamah, dan bukan adakan protes di luar rumahnya.

"Adakah perbuatan menganggu privasi seorang individual itu betul, di mana privasi sudah tiada maksud? Saya bukan berkata mereka tiada tuntutan, tapi mereka tiada hak untuk datang ke rumah saya dan berkelakuan sebegini.

"Saya terpaksa buat laporan polis kerana... ini bukan sahaja melibatkan saya tapi juga jiran-jiran dan keluarga saya," bekas presiden Majlis Peguam itu berkata.

Kini Ikhlas merancang untuk adakan protes yang lebih besar dengan melibatkan 500 peniaga pada Mei 24 kerana mereka inginkan "penganjur perhimpunan bertanggung jawab ke atas tindakan mereka dan memberi pampasan kepada peniaga".

Pihak polis telah berkata yang mereka tidak akan mengambil tindakan ke atas para peniaga kerana perbuatan "duduk di luar rumahnya tanpa menganggu orang lain" tidak salah.

"Mereka tidak memasuki rumahnya, mereka berada di kawasan awam," timbalan ketua polis Datuk Khalid Abu Bakar berkata semalam.

Beliau juga berkata bahawa semua pihak boleh berhimpun secara aman di bawah Akta Perhimpunan Aman yang dilaksanakan baru-baru ini.

Protes Ikhlas ini diadakan selepas kekecohan April 28 yang berlaku apabila penyokong Bersih melanggar penghalang yang dipasang pihak polis di sekeliling Dataran Merdeka selepas polis mendapat arahan mahkamah untuk menghalang orang ramai dari memasuki kawasan bersejarah itu.

Dataran Merdeka biasanya dibuka untuk orang awam dan disewa ke agensi kerajaan serta badan korporat untuk adakan majlis-masjlis yang besar.

Perhimpunan 28 April menyaksikan ribuan peserta berkumpul di enam lokasi berasingan sebelum bergerak menuju ke Dataran Merdeka pada mulanya aman bertukar ganas apabila Ambiga mengarahkan peserta untuk bersurai.

Namun arahan pengerusi Bersih itu tidak diendahkan pengikutnya yang berkumpul di sekitar dataran yang dikawal dan dipagar ketat pihak berkuasa.

Sejurus sebelum 3 petang, sebahagian perusuh merempuh halangan tersebut dan memaksa polis bertindak melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah perusuh.

Polis kemudiannya terus mengejar perusuh ke beberapa jalan dan suasana tegang dan kecoh menyaksikan keganasan dari kedua-dua belah pihak berlangsung hampir empat jam.

Beberapa perusuh mendakwa dibelasah pihak polis dalam lingkungan 10 orang dalam satu-satu masa dan video membuktikan dakwaan mereka, namun pihak polis menafikan perkara itu, dan mengatakan perusuh juga melakukan keganasan terhadap pihak berkuasa terbabit.

Kereta polis turut rosak, malah diterbalikkan oleh perusuh.

BN tidak dapat tawan Selangor jika PRU bulan Jun, kata Dr Ling

Posted: 14 May 2012 10:55 PM PDT

Oleh Ida Lim

KUALA LUMPUR— Barisan Nasional dijangka bakal menawan kembali Selangor dalam Pilihan Ryaa Umum ke-13 (PRU13) jika Parlimen dibubarkan bulan hadapan," kata bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.

Dr Ling berkata kerajaan persekutuan masih lagi belum bersedia kerana masih lagi ada beberapa isu yang tidak selesai yang bakal memberikan kesan terhadap pekimpinan negara pada masa akan datang.

"Tarikh paling sesuai untuk PRU adalah debat yang tidak memberiakn hasil. Bila nak lakukan pilihan raya? bila masa yang sesuai, tetapi sebaliknya anda belum bersedia," katanya kepada akhbar Sin Chew dalam temubual yangdisiarkan hari ini.

"Untuk lebih jelas, BN tidak pasti akan menang dalam PRU akan datang. Saya rasa (BN) masih belum bersedia. Ada yang kata Jun, tapi saya tidak tahu jika mereka berani (mengadakan pilihan raya pada Jun), banyak isu masih belum selesai," kata bekas menteri pengangkutan ini lagi.

Dr Ling (gambar) turut berkata, beliau tidak yakin BN akan berjaya menawan Selangor kembali daripada Pakatan Rakyat (PR).

Ini jelasnya, kebanyakan kepimpinan PR di Selangor tidak terlibat dengan isu gejala moral dan rasuah kecuali Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr Ling turut memuji kepimpinan PR seperti Tan Sri Khalid Ibrahim dan Lim Ketua Menteri Pulau Pinang Guan Eng yang bebas daripada skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Tambahnya, kewujudan sistem dwi-partisan yang sihat di Malaysia masih lagi berlaku berdasarkan pengamatannya daripada hasil PRU 2008 lalu.

"Tapi ia masih lagi bergantung kepada kualiti pembangkang, jika mereka teruk, jadi tidak akan implimentasi yang efektif terhadap sistem dwi-partisan tersebut.

"Jika bagus seperti di Pulau Pinang ... sebenarnya DAP telah melakukan yang terbaik namun ada sedikit perbalahan antara Pengerusi DAP, karpal Singh dan juga timbalannya Ramasamy," katanya lagi.

BN tewas dua pertiga majoriti apabila tewas lima negeri kepada PR dalam PRU 2008 yang mana BN pada masa itu diterajui oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selepas mengambil alih pada 2009, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mula melakukan transformasi dan pembaharuan bagi menarik kembali sokongan rakyat terhadap BN, termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mewujudkan Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (PSC) untuk mengkaji semula sistem pilihan raya di negara ini.

Najib dijangka akan membubarkan Parlimen Jun depan selepas memberikan pemberian "one-off" kepada golongan berpendapatan rendah dan mengumumkan polisi kadar gaji minimum minggu lalu.

Ada apa dengan tarikh PRU?

Posted: 14 May 2012 10:48 PM PDT

MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN

MENJELANG PRU 13 - PARLIMEN

 

 

SEJAK merdeka, tarikh pilihan raya umum secara amalannya adalah hak mutlak Perdana Menteri, malah tarikh itu kelihatan amat misteri sehingga semua pihak membuat pelbagai ramalan, teka-teki dan tidak kurang juga memaki hamun tarikh misteri tersebut.

Apa yang menarik mengenai amalan 'keberatan' Perdana Menteri mendedahkan tarikh misteri ini jelas memberi kelebihan besar dan elemen kejutan kepada pihak lawan sekiranya Dewan Rakyat dibubarkan secara tiba-tiba.

Jadi jentera parti kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) boleh bersiap sedia dalam tempoh tersebut sedangkan pihak pembangkang masih berteka-teki. Jika tersilap langkah dan termakan jerat permainan Umno-BN ini, padah besar buat pembangkang.

Kenapa saya mengatakan padah buat pembangkang? Kerana jika pembangkang tidak berhati-hati dan terlalu ghairah, sehingga semua 'modal politik' habis keluar, alih-alih Perdana Menteri tidak jadi bubar Dewan Rakyat. Jadi mahu guna modal apa lagi?

Sebagai contoh di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau sering menjadikan tarikh pilihan raya ini sebagai strategi mengenakan pihak lawan supaya kelebihan terus berpihak kepadanya.

Seperti Pilihan Raya Umum Ke-10 pada 1999, ketika era kemuncak reformasi selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ramai pihak menjangkakan Tun Mahathir akan melambatkan tarikh, tetapi beliau teruskan juga dan menang dua pertiga kerusi pada pilihan raya itu.

Tun Mahathir juga adalah Perdana Menteri yang sering meletakkan tarikh pilihan raya umum pada hari bekerja. Sejurus dilantik menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981, beliau tidak tunggu lama apabila mengadakan Pilihan Raya Umum Keenam pada 22 April 1982, jatuh pada hari Khamis.

Kemudian pada Pilihan Raya Umum Kesembilan 1995, Tun Mahathir sekali lagi memilih hari bekerja iaitu Isnin. Begitu juga pilihan raya umum seterusnya pada 1999, juga jatuh pada hari Isnin tanggal 29 November.

Selain itu, Tun Mahathir juga sering membiarkan pihak pembangkang terkapai-kapai menggunakan segala taktik, modal dan hujah untuk tempoh lama sehingga 'kering kontang', kemudian barulah jentera Umno-BN mengeluarkan segala kekuatan untuk menarik pengundi. Ternyata taktik ini terus relevan.

Begitu juga ceritanya berkenaan Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, saya masih ingat pada tahun 2008 dengan jelas bagaimana beliau terus berkeras menafikan Dewan Rakyat akan dibubarkan tetapi esoknya beliau sendiri yang mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan pembubaran.

Tidak keterlaluan sekiranya rakyat meminta Perdana Menteri mengisytiharkan tarikh pilihan raya umum lebih awal, setidak-tidaknya setahun sebelum pilihan raya umum.

Ini kerana pilihan raya umum adalah perkara besar dan melibatkan banyak pihak termasuk kos yang sangat tinggi. Berlangsung pun hanya lima tahun sekali.

Di negara jiran seperti Thailand, Filipina, Indonesia sehinggalah kepada negara maju seperti Jepun, China, Britain, dan Amerika Syarikat, tarikh pilihan raya umum telah dimaklumkan sekurang-kurangnya setahun lebih awal, supaya semua pihak dapat mempersiapkan diri dan jentera sebaiknya. Ini lebih adil kepada parti-parti yang bertanding khususnya kepada pembangkang.

Jadi tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka ramai pihak pada 9 Jun nanti terus menjadi misteri apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke luar negara malam kelmarin dan hanya dijangka pulang pada 25 Mei.

Pekarangan IPD Kuala Muda jadi mahkamah dakwa PATI

Posted: 14 May 2012 10:07 PM PDT

MALAYSIA KINI

Pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda meriah seketika apabila dijadikan 'mahkamah terbuka' untuk mendakwa 293 pendatang tanpa izin lelaki.
  
Semua tertuduh, dipercayai warga Myanmar dan berusia lingkungan 15 dan 51 tahun, didakwa memasuki negara ini tanpa pas yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2000).
  
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, dan boleh dikenakan enam kali sebatan.
  
Pendakwaan dikendalikan tiga Timbalan Pendakwa Raya iaitu Muhammad Syaiful Akmar Mohamad Razi, Rehab Abdul Shukur dan Nur Anida Mohd Nasir.

Bagaimanapun, tidak ada pengakuan dicatat ketika pertuduhan dibacakan di depan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli, yang menetapkan kes itu disebut semula pada 18 hingga 21 Jun ini bagi mendapatkan khidmat jurubahasa.
  
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Ghafar Rajab berkata mereka ditahan dalam satu operasi ketika cuba menyeludup masuk ke perairan negara di kawasan ternak ikan dekat Kampung Segantang Garam, Pantai Merdeka, 30 April lalu.
  
Beliau berkata operasi itu dilakukan pukul 10 pagi selepas menerima maklumat daripada orang awam dan siasatan menunjukkan mereka dibawa dari Pulau Andaman dekat perairan India untuk bekerja secara haram di negara ini.
  
Katanya, polis turut menahan lima warga Myanmar yang bertindak sebagai ejen serta seorang lelaki tempatan iaitu pemilik bot dan mereka didakwa mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan 2007.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hashim ali berkata pihaknya terpaksa menjemput Majistret dan kakitangan sokongan untuk membuat pertuduhan di IPD tersebut memandangkan Kompleks Mahkamah Sungai Petani tidak dapat menampung jumlah tertuduh yang ramai pada satu-satu masa.

"Proses pendakwaan dilakukan di sini bagi memudahkan polis menjalankan kawalan keselamatan terhadap semua tertuduh di samping mengelak kesesakan di kompleks mahkamah.
  
"Seingat saya, ini adalah kali pertama kita melakukan pendakwaan secara beramai-ramai di IPD ini," katanya.- Bernama

Najib disambut laungan 'Bersih' di London

Posted: 14 May 2012 10:02 PM PDT

Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di satu pertemuan bersama warga Malaysia di London semalam disambut dengan laungan slogan BERSIH oleh sebahagian hadirin.

Sorakan slogan itu bermula apabila Najib mula mengambil tempat di atas pentas dan berlarutan ketika beliau memulakan ucapannya.

Sorakan slogan itu menyebabkan Najib hilang tumpuan untuk meneruskan ucapannya dan terpaksa merayu supaya sorakan itu dihentikan.

"Bolehkah anda tolong berhenti? Boleh tolong berhenti," rayu Najib seperti dirakamkan dalam satu video yang dimuatkan di laman Youtube.

Rayuan Najib itu disambut oleh seorang hadirin yang bertanya mengenai hak mereka untuk mengundi.

"Kami mahu mengundi. Kenapa anda tak bagi kami mengundi?" tanya individu itu di majlis tersebut.

Najib kemudian cuba menenangkan kumpulan tersebut agar beliau boleh meneruskan ucapannya.

"Anda boleh jumpa saya kemudian ok...bolehkah anda tolong hentikannya?" kata Najib.

Sorakan tersebut kemudiannya surut dan Najib meneruskan ucapannya seperti biasa.

Acara yang dinamakan 'An Evening with the Prime Minister' itu dianjurkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di lokasi berprestij O2 Arena di kota tersebut.

Program berkenaan diuar-uarkan sebagai satu acara untuk membolehkan rakyat Malaysia di London berinteraksi secara tidak formal dengan perdana menteri.

Kerabu Bersuara ®

Posted: 15 May 2012 03:31 PM PDT

MUHAMAD MAT YAKIM, MOHAMMAD FAIRUZ JUMAIN & FAKHRURRAZI USULDIN

SHAH ALAM – Mengundi pada 7 atau 8 Julai!

Itu tarikh baru yang popular setelah jangkaan pada 9 Jun 'terbang' bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke United Kingdom malam kelmarin.

Sumber dalaman Umno memberitahu Sinar Harian, satu perhimpunan besar-besaran ahli parti komponen BN akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Jun ini.

"Selepas itu, Perdana Menteri dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk bubar Parlimen. PRU13 mungkin pada 7 atau 8 Julai, iaitu sebelum puasa," katanya menerusi SMS yang dihantar malam tadi.

Berkongsi tarikh yang sama, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian ketika dihubungi sebelum itu berkata, PRU13 mungkin diadakan pada awal Julai.

"Semalam (kelmarin) Najib terbang ke United Kingdom dan mungkin apabila kembali pada hujung bulan ini. Beliau akan menggunakan masa yang ada bagi mengenal pasti calon BN yang akan bertanding nanti.

"Perkara ini (pemilihan calon) tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa bagi mengelakkan timbul isu lain. Saya menjangkakan Julai depan tarikh PRU13 iaitu sebelum bulan Ramadan atau secara tepatnya, 8 Julai," katanya.

Menurut Sivamurugan, jika negeri Pakatan Rakyat (PR) masih mahu meneruskan pilihan raya berasingan, ia akan memberi kelebihan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Saya melihat ini (pilihan raya berasingan) memberi kelebihan kepada BN dari segi logistik dan jentera pilihan rayanya, tetapi PR juga dilihat belum bersedia melakukan pilihan raya berasingan kerana kosnya agak besar," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak pula berkata, jika Perdana Menteri masih tidak membubarkan Parlimen bulan depan, hampir pasti PRU13 diadakan pada September ini.

Beliau bagaimanapun berkata, Najib masih mempunyai masa sehingga pertengahan Jun untuk memastikan PRU13 sempat dilangsungkan pada awal Julai, sebelum bermula Ramadan.

"Hari ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada 2 Jun, jadi Perdana Menteri masih boleh bubarkan Dewan Rakyat pada Isnin selepas itu (4 Jun)," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan Parlimen dibubarkan sebelum 2 Jun, Dr Mohamed Mustafa berkata, kemungkinan itu amat tipis kerana Najib sudah tentu tidak akan memiih untuk meraikan hari ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri kerajaan sementara (caretaker government).

"Untuk majlis rasmi meraikan Yang di-Pertuan Agong sudah tentu belum mahu hadir sebagai Perdana Menteri yang sebenar," katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian ketika dihubungi berpendapat PRU13 mungkin diadakan pada awal Julai.

"Semalam (kelmarin) Najib terbang ke United Kingdom dan mungkin apabila kembali pada hujung bulan ini, beliau akan menggunakan masa yang ada bagi mengenal pasti calon BN yang akan bertanding nanti.

"Perkara ini (pemilihan calon) tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa bagi mengelakkan timbul isu lain. Saya menjangkakan Julai depan tarikh PRU13 iaitu sebelum bulan Ramadan atau secara tepatnya 8 Julai.

Menurut Sivamurugan, jika negeri PR masih mahu meneruskan pilihan raya berasingan, ia akan memberi kelebihan kepada Umno dan BN."Saya melihat ini (pilihan raya berasingan) memberi kelebihan kepada BN dari segi logistik dan jentera pilihan rayanya, tetapi PR juga dilihat belum bersedia melakukan pilihan raya berasingan kerana kosnya agak besar," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut