Pakatan Rakyat |
Posted: 06 Jan 2012 04:03 PM PST 6 JANUARI – Pada Ahad ini 8 Januari 2012 bersamaan dengan 14 Safar 1433H akan menyaksikan sebuah parti pelbagai kaum – Parti Tindakan Demokratik (DAP) – yang bakal bersidang di Shah Alam, Selangor. Perhimpunan kali ini dilihat amat penting dalam waktu yang cukup genting. Ini adalah kerana para ahli dan pemimpin DAP akan menetapkan agenda parti dalam meneruskan legasi ketuanan rakyat yang bebas dari perkauman dan keagamaan yang sempit. Apa sahaja keputusan, rancangan dan matlamat yang bakal diungkapkan, pasti untuk memastikan parti ini terus dilandasan idealisme dan bersedia menghadapi apa jua kemungkinan dalam gelora politik yang mendatang. Kerana itu juga, ia dilihat sebagai perhimpunan dalam waktu yang genting atau kritikal. Dalam mengerah intelek dan kudrat tenaga untuk bekerja, tekanan dari parti memerintah cukup menggila sekali. Maka pada kongres kali ini DAP mengajukan tema 'Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia'. Tema ini jelas dan tepat, tiada konotasi negative, malah ia mengandungi satu pernyataan 'harapan' yang besar dalam maksud tema tersebut. Harapan ahli Para perwakilan DAP yang akan hadir dari segenap pelusuk negara, sudah tentunya datang untuk memastikan harapan ahli-ahli dan juga rakyat umumnya, agar parti moderat ini akan terus setia memperjuangkan nasib bangsa (nation). Bukan dengan kata-kata, tetapi dengan satu ketetapan yang jelas dengan usaha kerja. Ahli-ahli dan rakyat hidup dalam persekitaran masing-masing, ada yang miskin, ada yang berada, ada yang berpendidikan tinggi dan ada yang kurang berpendidikan. Inilah latarbelakang ahli dan rakyat yang mendukung DAP. Justeru, mereka ini semua mahukan nilai kepemimpinan yang bersih, kerajaan dan pentadbiran yang kekal telus demi menjamin kestabilan hidup rakyat. Prestasi cemerlang urus tadbir di negeri-negeri Pakatan Rakyat, khususnya di Pulau Pinang, harus terus dikekalkan dan diperluas ke negeri-negeri yang bakal diterajui kelak (dengan izin Tuhan dan mandat rakyat). Kehidupan rakyat bergelumang dengan rutin harian, mereka mahu persekitaran yang bersih dari kekotoran sampah-sarap, bersih dari urusan perniagaan kronisme dan rasuah, bersih dari sebarang provokasi melaga-lagakan sifat berpuak-puak dan perkauman. Semua ini adalah perkara yang dihadapi oleh ahli dan rakyat sehari-harian baik dari tekanan parti UMNO BN, mahu pun kadangkalanya dari segelintir pemimpin Pakatan. Ia adalah suatu hal yang hakikat, inilah yang mereka mahu dijauhkan. Ahli dan rakyat tidak meminta lebih dari itu. Harapan pemerhati Tidak dapat dinafikan sama sekali, pasca pilihan raya umum 2008 benar-benar telah mengubah perwatakan atau imej DAP di mata, hati dan minda rakyat Malaysia. Selama ini DAP digambarkan sebagai cauvinis dengan segala konotasi negatif, malah mereka tidak berpeluang langsung untuk mempertahankan diri dan menunjukkan bukti kemampuannya mengurus dan mentadbir sesebuah kerajaan kerana media massa yang kesemuanya dikawal oleh UMNO-BN. Kini persepsi buruk itu kian melebur. DAP muncul dengan imej baru tanpa menggadaikan prinsip perjuangannya yang ditegakkan dengan ideologi demokrasi sosial serta menyokong penuh sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Asakan demi asakan untuk menconteng arang pada imej baru DAP ini kelihatan menemui titik kegagalan. Inilah hasilnya apabila rakyat memberi peluang kepada parti-parti Pakatan Rakyat khususnya DAP untuk menunjukkan kebolehan mereka. Jika tidak pasti DAP masih bergelut dengan stigma lama UMNO itu. Di sebalik rangkaian perubahan ini, sebagai pemerhati yang cenderung untuk meletakkan sekian harapan dan sasaran, pastinya mahu melihat sejauh mana kesediaan DAP untuk menyulam dimensi baru politik mereka demi menjadi sebuah parti yang berideologikan jalan tengah, moderat dan penuh dengan kepelbagaian budaya dan ras kaum. Cabaran ini bukan mudah, dasar parti yang berbilang kaum sememangnya menjadi dasar dan pratiknya. Namun kini, dasar yang sama itu juga tidak semestinya akan memberi impak yang sama seperti sebelumnya. Keghairahan DAP dengan menjemput bakat-bakat baru dari kalangan Melayu khususnya, pasti akan berdepan dengan pelbagai cabaran, bukan sahaja dari serangan UMNO-BN tetapi juga sentimen, semangat dan setiakawan dari dalam Pakatan Rakyat sendiri. Dan jangan kita lupa, sejauh mana iltizam politik di kalangan ahli dan pimpinan pusat DAP dalam isu ini. Apakah mereka benar-benar bersedia untuk menerima perubahan yang bakal memberi kesan dengan kehadiran bakat-bakat baru khususnya di kalangan orang-orang Melayu ini? Perubahan ini kelak akan berasiosasi antara budaya lama dengan budaya baru yang merangkumi dimensi kerja, fikir dan pendekatan politik. Sungguh pun dasar DAP itu sudah jelas dan kukuh, pelaku-pelaku didalam organisasi yang semakin membesar ini pasti akan berdepan dengan pelbagai ragam. Pesanan kepada pengkritik DAP Dalam prospek pilihan raya, DAP berdepan tugas sukar bukan sahaja untuk mempertahankan kemenangan kerusi tetapi mereka juga perlu memastikan kemenangan moral. Ini sudah tentu akan memberi impak besar kepada imej dan kredibiliti DAP. DAP tidak perlu bimbang dengan segala kritikan melampau dan tidak munasabah, sebaliknya gunakanlah itu sebagai bukti perlaksanaan prinsip mereka sendiri, iaitu 'Jalan Tengah'. Pengkritik juga boleh melihat bahawa ini adalah pengorbanan besar yang telah dibuat dan dibuktikan oleh DAP – parti yang setia dengan janji dan semangat setia kawan Pakatan Rakyat. Memang diakui DAP masih tandus dengan kehadiran ahli-ahli dari kalangan Melayu yang benar-benar berkualiti dan memenuhi pakej sebagai seorang pemimpin. Kini cabarannya lebih besar, bukan sekadar menarik orang Melayu menyertai parti untuk menjadi sukarelawan, pekerja, pemimpin dan calon, tetapi mendapatkan mereka dari kalangan yang bersifat dan bersikap sederhana dan tawadhuk dengan dasar parti serta berjiwa Malaysia. Kerja ini ibarat mencari seinci jarum dalam rimbunan jerami. Namun ia bukanlah suatu hal yang fantasi atau mustahil. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kerja, kerja dan teruskan kerja Untuk membersihkan sekeping lantai sekali pun kita memerlukan kayu mop yang baik, air yang bersih, sabun yang bermutu, berus yang baik dan pekerja yang sihat dan rajin. Hanya dengan pakej ini sahaja yang mampu membersihkan lantai dengan sempurna sebelum berupaya membersihkan sebuah rumah atau sebuah bangunan yang besar. Keinginan atau azam mesti diterjemahkan dengan usaha kerja. Siapa bilang kerja yang berulang-ulang itu suatu kerja yang bodoh? Kerja berulang bukan bererti di takok lama, ia perlu disertakan dengan inovasi dan cara baru dari semasa ke semasa. Namun ia tetap kerja. Hanya si pemalas sahaja yang mahu melakukan sekali kerja dan bermimpi untuk melihat perubahan besar. Dan seterusnya DAP akan menyambung segala usaha-usaha ini dengan satu kerja yang cukup besar iaitu " Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia". Jika ditanya mahu ke mana DAP, maka inilah jawapannya. Selamat bersidang. – Roketkini.com Full content generated by Get Full RSS. |
Posted: 06 Jan 2012 03:49 PM PST Saya petik: Penerangan KEADILAN Selangor terpanggil untuk memberikan sedikit kenyataan terhadap Hasan Mohd.Ali dalam beberapa liputan media kebelakangan ini. Kenyataan ini pastinya adalah pendirian yang dilahirkan setelah sekian lamanya tersimpan hingga senak terasa di perut! Hendak dibuang "angin bimbang berbau busuk, hendak ditahan sakit sudah melata ke dada". Saya percaya Hasan Ali adalah seorang yang istimewa. Saya sendiri, malah ramai rakan-rakan saya bersetuju bahawa Hasan Ali mempunyai kelebihan dan perwatakan yang menarik, petah dan tegas. Namun saya juga mempercayai bahawa Hasan Ali, dengan sesungguhnya tanpa ragu-ragu, mempercayai bahawa Hasan Ali sendiri terlebih-lebih istimewa. Perkara ini dapat disimpulkan dalam pelbagai tindakan, ulasan dan gaya Hasan Ali sehingga kini, erutamanya apabila melihat isu pertelagahan "dalam kain" antara pimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS) di Selangor. Saya tidak begitu "berani" mempersoalkan pentadbiran dalaman sahabat seperjuangan PAS dalam menangani isu ini kerana "amat hormatkan saudara tua", namun apabila saya terlihat temubual Hasan Ali agar adik-adik siswa dan siswi menjauhkan diri daripada menghadiri hari "penultimate" Anwar Ibrahim, Penerangan KEADILAN Selangor tidak terdaya lagi menahan jari untuk menulis kenyataan ini dengan menyatakan "perasaan menyampah sangat" dengan tindakan Hasan Ali. Apakah siswa dan siswi akan secara otomatisnya gagal dan mencapai CGPA yang rendah apabila memperjuangkan kebenaran dan keadilan? Apakah perjuangan hanya digalas oleh mereka yang berintelek dan berijazah daripada Universiti Pittsburgh? Secara tidak langsungnya Hasan Ali telah menghina mereka yang turut merasakan kezaliman rejim UMNO dan BN dan mereka yang dianiaya tanpa pembelaan sewajarnya. Umum mengetahui bahawa di Malaysia ini "justice is only available to those who could afford it" dan sekiranya manusia Anwar Ibrahim ini dapat menyatukan rakyat untuk menyatakan tidak kepada kes fitnah 2 tanpa bukti kukuh, dan membelakangi undang-undang Syari'ah kepada kedudukan "second-tier", apakah salahnya mereka hadir untuk menyatakan dan menzahirkan sokongan mereka? Sekurang-kurangnya sebagai sokongan moral kepada Anwar Ibrahim: simbol kepada mangsa fitnah berterusan! Pencapaian akademik tidak selama-lamanya merupakan pre-requisite kejayaan kerana "otak tanpa ruh Islam" akan menyebabkan keruntuhan akhlak para genius Melayu sepertimana berlaku sekarang di United Kingdom dan Eropah. KEADILAN Selangor hairan, Hasan Ali seolah-olah terperangkap dengan hujah "counter-intelligence" UMNO bahawa isu ini hanyalah isu peribadi. Sebenarnya Hasan Ali, isu ini adalah isu nasional. Buktinya adalah perjuangan beliau dan rakan-rakan semuanya berlandaskan kepentingan rakyat. Polisi Pakatan Rakyat dimodelkan atas premis primer ini dan kini Rakyat dapat merasakan hasil titik peluh mereka sendiri walau dinafikan oleh UMNO selama ini. Sedangkan UMNO dan PDRM sendiri menyatakan bahawa ini melibatkan keselamatan persekutuan! Bagaimana Hasan Ali boleh mengatakan ia peribadi? Parti Keadilan Rakyat telah menunjukkan solidaritinya bersama PAS dan Pakatan Rakyat apabila mengheret ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dan menyingkirkannya walaupun dalam keadaan genting. Namun tindakan Hasan Ali cuma menambahkan derita dengan tidak menggalakkan secara terbuka (melalui RTM dan TV3 juga) agar tidak hadir ke Mahkamah. Apakah Hasan Ali sebegitu buta hati terhadap masalah Anwar Ibrahim (DSAI)? Apakah sebegitu gelap dan jijik pandangan Hasan Ali terhadap DSAI? Bukankah isu DSAI itu sendiri membantu Hasan Ali mendapat kemenangan dalam pilihanraya yang akhirnya menjayakan Hasan Ali menduduki kerusi empuk di Bangunan SSAAS Shah Alam? Inilah padahnya jika "terlalu kerap terlewat hadir di taklimat dan mesyuarat yang diadakan". Saya percaya Hasan Ali tertinggal semua taklimat penting hingga Hasan Ali tenggelam punca. Tindakan Hasan Ali seolah-olahmenyatakan bahawa sesiapa sahaja boleh menuduh zina kepada mana-mana Rakyat dan kita harus mendiamkan diri. Tindakan ini adalah tindakan pengecut, pentingkan diri sendiri dan kebas terhadap penderitaan mereka yang difitnah. Hasan Ali juga sebegitu pasif dan naif dalam membuat kenyataan. Hasan Ali sehingga hari ini gagal menjawab Harakah berkenaan dakwaan Hasan Ali bahawa pertemuan Hasan Ali bersama Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan adalah berkenaan permohonan maaf. Apabila kes diumumkan tutup, Hasan Ali tanpa segan silu menggunakan media UMNO lagi untuk membuat serangan selanjutnya. Apakah sebegitu dendam Hasan Ali sehingga sanggup membakar rumah sendiri? KEADILAN Selangor yakin Hasan Ali sudah "terkena sesuatu". Hasan Ali, sama ada setuju atau tidak Hasan Ali kini merupakan liabiliti kepada Pakatan Rakyat. Hasan Ali mungkin merasakan Hasan Ali berjuang berlandaskan jalan Allah SWT namun saya ingin Hasan Ali bermuhasabah diri sendiri dan bertanya sama ada Hasan Ali benar-benar di pihak yang benar atau benar-benar keliru. Kedua-duanya lain dan melihat tindakan Hasan Ali yang terkini, seolah-olah Hasan Ali menyatakan bahawa Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang tersilap dan tersasar. Apakah Hasan Ali sebegitu fasih, qatam dalam agama sehingga sanggup menyatakan sedemikian? Sejak bila Islam dan Melayu itu satu Hasan Ali? Islam tidak memerlukan Melayu malah Melayu dan manusia amnya yang memerlukan Islam. Menyatukan keduanya adalah sesuatu yang jahil melihatkan kepada kes perkahwinan jantina sejenis bersongkok dan keruntuhan moral anak bangsa di luar Negara kini. Saya menyeru agar Hasan Ali jangan terlalu mengikut perasaan. Masa Hasan Ali untuk menjadi Menteri Besar masih ada. Jangan kita merajuk sampai terlupa kita sebenarnya membakar rumah kita sendiri. Masih ada ruang "untuk berjiwa besar" dengan menoleh sejenak ke belakang. Apakah langkah Hasan Ali sederap dengan pimpinan, atau ia semakin sumbang? Hasan Ali lebih mengerti dengan maksud "kura kura dalam perahu". Saya memohon maaf sekiranya tulisan saya menyakiti hati dan perasaan Hasan Ali. Sesungguhnya tulisan, ucapan dan tindakan Hasan Ali telah melukakan hati saya dan ramai teman seperjuangan yang lain termasuk Anwar dan keluarganya. Dalam keadaan mereka memerlukan, sekurang-kurangnya janganlah kita merendahkan moral dan menjatuhkan lagi semangat mereka yang mungkin perlu dipaksa berpisah lagi sekali dan berhubung hanya melalui jeriji besi. Sila bayangkan sekiranya perkara yang sama berlaku kepada Hasan Ali. *Surat terbuka ini ditulis oleh Shuhaimi Haji Shafiei (gambar kanan) selaku Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, merangkap ADUN Sri Muda. Full content generated by Get Full RSS. |
You are subscribed to email updates from Pakatan Rakyat To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan