Ahad, 1 Januari 2012

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Insiden UPSI: Hishammuddin, KPN bertanggungjawab

Posted: 31 Dec 2011 07:14 PM PST

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengkritik sekeras-kerasnya tindakan pihak keselamatan terhadap mahasiswa yang menyertai himpunan aman di hadapan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang ingin menuntut pihak universiti menggugurkan kes Adam Adli dan bantahan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). 
 
Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samudin berkata, PKPIM difahamkan mereka yang terlibat dalam dibelasah dan dipukul sehingga menyebabkan Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Muhammad Safwan Anang dan beberapa mahasiswa cedera parah dan luka di badan sementara beberapa pimpinan mahasiswa ditahan oleh pihak polis awal pagi tadi. 

"PKPIM berpandangan tindakan polis termasuk FRU  yang meleraikan mahasiswa secara ganas pada awal pagi ambang tahun baru akan menimbulkan polemik baru yang tidak berkesudahan kerana tindakan seumpama ini  tidak bertepatan dengan hasrat transformasi politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  yang merangkumi langkah-langkah mengukuhkan lagi demokrasi yang memberi kebebasan kepada rakyat sesuai  dengan tuntutan generasi mahasiswa hari ini," ujarnya dalam satu kenyataan. 

Seharusnya, kata beliau sebarang perbezaan pandangan serta kritikan perlu diraikan serta diberikan ruang dengan sebaik-baiknya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, ujarnya PKPIM melihat isu itu juga berkait langsung dengan kelulusan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 kerana kandungannya bercanggah dengan dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin serta melindungi hak untuk warganegara mengadakan perhimpunan aman. 

PKPIM juga, katanya memandang berat serta menolak pemusatan kuasa serta budi bicara untuk polis mengenakan apa-apa sekatan dan syarat tambahan yang difikirkan perlu atau sesuai sepertimana yang terdapat alam Fasal 15, di samping kuasa dalam Fasal 21 yang membolehkan polis untuk menggunakan segala kuasa serta kekerasan untuk menyuraikan sesebuah perhimpunan yang telah terbukti di dalam kejadian yang menimpa mahasiswa di UPSI awal pagi tadi. 

"PKPIM merasakan  bahawa bahawa tragedi mahasiswa di ambang 2012 ini sekiranya tidak diselesaikan dengan baik akan membuka ruang lebih banyak ruang untuk sebarang penyalahgunaan kuasa atau budi bicara pihak yang berkenaan akibat dari ketiadaan peruntukan yang jelas untuk mengawal serta menghadkan kuasa serta budi bicara pihak polis dalam mengawal serta menyuraikan sesebuah perhimpunan aman pada masa akan datang," katanya lagi. 

Justeru, PKPIM mendesak Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bertanggungjawab dengan insiden ini dengan tampil memohon maaf dan memberikan penjelasan secara terbuka kepada seluruh mahasiswa dan rakyat demi menjaga kelestarian prinsip demokrasi dan hak-hak asasi manusia.

Protes Auku: 17 ditangkap, 2 parah

Posted: 31 Dec 2011 07:13 PM PST


TANJUNG MALIM, 1 Jan: Himpunan mahasiswa protes Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam tadi dicemari insiden keganasan pihak polis yang bertindak memukul mahasiswa ketika cuba meleraikan mereka.

Dalam insiden awal pagi tadi, dua mahasiswa termasuk Timbalan Presiden GAMIS merangkap Pengerusi BEBAS, Safwan Anang Talib dilaporkan cedera parah dibelasah anggota FRU.

Beliau dilapor patah tulang rusuk, patah gigi geraham akibat dipijak anggota polis dan kini didakwa sedang mendapat rawatan di wad kecemasan di Hospital Slim River.

Seorang lagi mahasiswa yang cedera parah, Amar Rasyidi dari Universiti Malaysa (UM) dilaporkan menerima beberapa jahitan di hidungnya yang koyak akibat dipukul.

Selain itu, sekurang-kurangnya 17 mahasiswa lain ditangkap dalam insiden malam tadi dan kini telah dibawa ke balai polis Tanjung Malim.

Antara mereka termasuk pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli; dua bekas Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Shazni Munir dan Hilman Idham serta Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Khalid Ismath.

Dalam satu respon segera, Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan mengutuk keganasan ke atas mahasiswa yang berhimpun secara aman malam tadi.

"Saya beri masa kepada pihak kerajaan dan juga PDRM sehingga jam 12 tengahari ini agar semua tahanan itu dibebaskan.

"Mereka juga mesti mengambil tanggungjawab jika sesuatu yang buruk berlaku kepada mahasiswa khasnya Timbalan Presiden GAMIS yang masih dirawat dalam wad kecemasan di Hospital Slim River," katanya kepada Harakahdaily.

Menyifatkan tindakan tersebut sebagai sungguh zalim dan kejam, Nasruddin juga memeberi amaran, satu himpunan lebih besar akan diadakan bagi mendesak pembebasan mahasiswa tersebut.

"Saya harap seluruh pemuda dari seluruh negara bersedia.

"Jika tidak satu himpunan besar anak muda akan diadakan bagi mendesak pembebasan mahasiswa dan pihak polis yang terlibat melakukan kekasaran ini mestilah disiasat dan diambil tindakan tegas," tegasnya.
Harakahdaily sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden tersebut.

PKR tuntut Hisham, KPN beri penjelasan

Posted: 31 Dec 2011 07:13 PM PST

KUALA LUMPUR, 1 Jan: PKR mengecam tindakan polis termasuk FRU untuk meleraikan perhimpunan aman mahasiswa di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) secara ganas pada awal pagi ini.

Pengarah komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, difahamkan kira-kira 100 orang mahasiswa berhimpun di hadapan UPSI semalam sebagai bantahan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) serta mendesak UPSI menarik balik tindakan terhadap Adam Adli. 

Adam merupakan mahasiswa UPSI yang mendapat perhatian meluas apabila menggantikan bendera yang tertera gambar PM dengan panji kebebasan akademik. 
 
Pihak polis, termasuk dua trak FRU dan pegawai Cawangan Khas hadir beramai-ramai dan pada 2.30 pagi, bertindak ganas apabila mahasiswa enggan bersurai.

Salah satu mahasiswa tersebut, Muhammad Safwan Anang dipukul oleh lapan orang pegawai polis dan SB sebelum beliau dilarikan oleh rakan-rakannya ke Hospital Slim River. 

Beliau mula-mulanya koma dan mengalami tulang pipi yang patah sebelum beliau akhirnya sedar diri.
Sehingga kini difahamkan kira-kira 17 mahasiswa termasuk Adam Adli telah ditangkap oleh pihak polis..

Pihak mahasiswa turut mendakwa beberapa wartawan yang menunjukkan pas media mereka turut dipukul pihak polis.
"Tindakan polis pada hari ini jauh berbeza dengan tindakan mereka ketika perarakan mahasiswa ke PWTC yang berkesudahan dengan berkibarnya panji kebebasan akademik," katanya kepada Harakahdaily. 

Justeru, beliau berharap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara dapat segera tampil memberikan penjelasan.

"Keganasan ini membuktikan ucapan Hari Malaysia Perdana Menteri dan agenda transformasinya tidak membawa sebarang makna," ujarnya.

PMUKM bantah polis belasah mahasiswa

Posted: 31 Dec 2011 07:08 PM PST

KUALA LUMPUR, 1 Jan: Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) memandang serius tindakan Federal Reserve Unit (FRU) dalam menangani isu yang berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi tadi.
 
PMUKM dalam satu kenyataan pagi ini menyelar sekeras-kerasnya tindakan FRU membelasah mahasiswa dalam menyuraikan perhimpunan di UPSI. Pengerusi Bebas, Safwan Anang dilaporkan kritikal dan beberapa mahasiswa lain yang turut tercedera dengan tindakan zalim pihak polis.
 
"Ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar kerana secara terang-terangan bertentangan dengan roh Perlembagaan Persekutuan yang sememangnya memberi hak kebebasan kepada rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat," tambah kenyataan itu kepada Harakahdaily. 

Sekalipun himpunan itu dilihat sebagai satu perkara yang boleh mengganggu-gugat keselamatan awam, pihak polis tidak sewajarnya menggunakan kekerasan dalam menangani himpunan itu kerana mereka hanya berdepan dengan mahasiswa dan bukannya penjenayah bersenjata.

Tambahnya, tindakan yang diambil pada waktu kejadian seolah-oleh menggambarkan pihak polis terlalu terdesak seolah-olah tiada jalan lain dalam menangani himpunan tersebut. 

Ini sama sekali tidak sesuai dilakukan dalam negara yang mengamalkan demokrasi.
Menurut PMUKM lagi, sikap double standard polis juga terlihat apabila sebelah pihak yang menyokong kerajaan membuat demostrasi di Putrajaya pada 21 Disember baru-baru ini tidak pula dikenakan apa-apa tindakan, sebaliknya kekerasaan diperlakukan kepada mahasiswa yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

"Seharusnya pihak polis menjadi badan yang bertanggungjawab dalam memastikan keharmonian, keadilan, dan kesaksamaan semua pihak khususnya rakyat jelata dan bukannya bertindak di luar peri kemanusiaan," ujar kenyataan.
Oleh itu, PMUKM mendesak supaya Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar Rabusupaya bertanggungjawab atas tindakan kejam pihak polis terhadap mahasiswa yang berhimpun di UPSI pada awal tahun baru 2012.

Tiada ulasan:

Pengikut