Rabu, 28 Disember 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Hassan datang minta maaf, Nik Aziz buat kenduri kesyukuran

Posted: 28 Dec 2011 12:57 AM PST

BACHOK, 28 Dis: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Datuk Dr Hassan Mohd Ali telah bertemu dengan pimpinan tertinggi PAS semalam dan menarik balik segala kenyataannya terhadap PAS sebelum ini.

Beliau juga berkata, Hassan Ali juga telah meminta maaf dari pimpinan PAS mengenainya.

"Saya melahirkan rasa syukur di atas rasa rendah diri Datuk Hassan Ali yang bersedia memohon maaf serta menarik balik kenyataan negatifnya terhadap parti sebelum ini.

"Bukan mudah bagi orang yang melakukan kesalahan serta mengakuinya dan memohon maaf, jadi tindakan beliau itu begitu mengharukan saya.

"Saya juga berharap, orang lain yang mempunyai masalah seperti ini berlapang dada seperti Datuk Dr Hassan," kata Nik Aziz kepada wartawan di sini.

Nik Aziz bercakap kepada pemberita ketika melawat kesan hakisan ombak di Pantai Irama, Bachok hari ini.

Menurut beliau, pertemuan itu berlangsung di JKR 10 semalam di mana Hassan dan Ustaz Nasharudin Mat Isa bertemu dengan tiga pemimpin tertinggi PAS di Kota Bharu.

Dua lagi pemimpin adalah Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din.

Menurut Nik Aziz, pertemuan ini dianjurkan oleh PAS Pusat "Dan jika PAS Pusat tak atur pun, saya akan panggil dia."

Kenduri kesyukuran

"Saya sendiri akan membuat kenduri makan tengahari kecil-kecilan di JKR 10 hari ini tanda kesyukuran penyelesaian kes ini.

"Saya berharap PAS Pusat boleh menganjurkan kenduri besar-besaran untuk meraikannya dan ahli-ahli PAS boleh memberi sumbangan untuk menjayakan kenduri kesyukuran ini," cadang beliau.

Nik Aziz yakin, hal ini tidak lagi boleh dijadikan isu oleh Umno kerana ruangnya sudah ditutup rapat.

Najib takut bertindak bimbang Shahrizat dedah keburukan Umno

Posted: 28 Dec 2011 12:57 AM PST

SHAH ALAM, 28 Dis: Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk bertindak ke atas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil boleh menimbulkan pelbagai persepsi berhubung penyelewengan NFC membabitkan wang rakyat yang diamanahkan kepada kerajaan Pusat.

Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha berkata tidak ada sebab munasabah untuk Najib melengah-lengahkan tindakan sedangkan pelbagai pihak termasuk pemimpin Umno sendiri menggesa Shahrizat diambil tindakan, lapor TVSelangor.

"Apakah Najib takut bertindak disebabkan bimbang Shahrizat mendedahkan pelbagai lagi penyelewengan lain yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno lain termasuk keluarga Najib sendiri sekiranya beliau dipecat?.

"Apakah juga disebabkan ada pemimpin lain yang turut terlibat, Kalau tidak mengapa Najib masih membisu" kata beliau mencabar Najib bertindak menjawab segala persepsi yang ada bagi membersihkan imej kerajaan dimata rakyat.

"Sepatutnya sebagai Perdana Menteri, beliau seharusnya mendepani masalah ini kerana beliau adalah ketuanya," tegas Haniza (gambar) yang juga Timbalan Speaker Dun Selangor.

Melihat kepada kepincangan yang dicetuskan oleh Shahrizat, Haniza menzahirkan rasa kecewa kerana tidakannya itu bukan sahaja mengkhianati wang rakyat, malah turut mengaibkan kaum wanita.

"Ia amat memalukan sebagai seorang ketua wanita dari satu organisasi yang besar pada masa yang sama mewakili kaum melayu terbabit dalam salah laku seperti ini," katanya.

"Ini adalah pertama kali pemimpin wanita negara melakukan kesalahan secara terang-terangan," jelas Hanzia ketika dihubungi TVSelangor.

Katanya di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat pemimpin yang terlibat dengan skandal akan segera meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab.

Namun begitu, Haniza berkata, ini tidak mungkin akan berlaku dalam kepimpinan Umno-BN.

Mengulas lanjut, Haniza berkata penyelewengan tersebut adalah dilema hebat dalam kepimpinan Umno kerana apa jua tindakan yang bakal diambil tetap akan menerima hukuman dan kritikan daripada rakyat.

"Luah mati emak, telan mati bapak. Bagaimana cara sekalipun, Umno tidak akan terlepas daripada diadili oleh rakyat dan tidakan mereka itu akan dilihat sebagai sebuah janji yang telah mengkhianati rakyat, " kata beliau.

PKR sebelum ini mendakwa sejumlah RM250 juta dana awam diberikan kepada syarikat berkenaan yang dikaitkan dengan suami Menteri Pembangunan, Wanita dan Keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun wang itu didakwa telah disalahguna sehingga projek tersebut dikatakan dalam  'kucar-kacir' seperti dirumuskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

PKR kemudiannya mendedahkan wang tersebut digunakan oleh NFC bagi membeli dua buah unit  kondominium mewah di Bangsar bernilai RM13.8 juta.

Selain itu, PKR turut mendakwa sejumlah RM5 juta pula dibelanja untuk membeli kereta Mercedes Benz dan tanah di Putrajaya serta RM588,585 disalurkan kepada syarikat-syarikat milik keluarga menteri itu.

Selain PKR, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) juga berpendapat siasatan awal mendapati beberapa kelemahan yang berlaku pada awal perancangan dan juga perlaksanaan.

Mahathir bukan cerdik sangat - Ku Li

Posted: 28 Dec 2011 12:56 AM PST

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Tengku Razaleigh Hamzah meramalkan dalam pilihanraya umum ke 13 yang akan datang ini United Malay National Party (UMNO) akan menerima kekalahan lagi.

Dari pemerhatian beliau pengundi bukan Melayu semakin menjauhkan dari Barisan Nasional atau lebih tepat lagi lari dari UMNO.

Beliau dakwa ada kemungkinan Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat tidak memiliki majoriti yang meyakinkan. Bila terjadi sedemikian, negara kita mungkin menghadapi krisis.

Menurut Ku Li, hampir 90% peratus  pengundi China bersedia untuk mengundi Pakatan Rakyat. Ada pengundi India yang telah kembali menyokong Barisan Nasional, tetapi majoriti masih bersama Pakatan Rakyat. Pengundi Melayu pula kini terbahagi kepada dua.

Ku Li, ahli parlimen Gua Musang semenjak 1974  dan juga  bekas Menteri  Kewangan Malaysia, menganggap pentabiran dibawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak ini amat lemah dan tidak memahami  krisis ekonomi global yang sedang melanda dunia sekarang.

Mengikut Ku Li  pentabiran sekarang ini selalu berdulak-dalik -   flip flop  - apabila mengajukan sesuatu dasar. Dasar sorong tarik ini terjadi  kerana banyak dasar-dasar ini tidak difikirkan  secara masak terlebih dahulu.

"Mereka tidak peduli satu apa pun... tetapi mereka tidak ingin masuk penjara,"  Ku Li memberi kesimpulan terhadap pentabiran Najib Razak.

Ku Li, seorang bekas penuntut Malay College Kuala Kangsar (MCKK), berkata demikian dalam satu makan tengah hari bersama beberapa orang murid tua MCKK minggu lalu.

Mengenai isu hak royalti minyak, Ku Li dengan tegas menerangkan bahawa perjanjian antara Petronas dengan negeri-negeri jelas disebutkan hak royalti dan tidak ada fasal yang menyebut wang ehsan.

Malah Ku Li amat berbangga kerana beliau sebagai Pengerusi Petronas 1974  telah bertanggung jawab membuat butiran perjanjian minyak ini atas arahan Tun Abdul Razak.

"Walaupun perjanjian ini dalam bahasa hukum-hakam tetapi amat jelas Petronas wajib memberi 5% kepada negeri dimana minyak ditemui."

Krisis tuntutan Kelantan terhadap royalti minyak ini hanya boleh diselesaikan jika Malaysia memiliki apa yang Ku Li namakan sebagai Mahkamah Perlembagaan atau Constitutional Court.

Beliau berpendapat telah sampai masa Malaysia  mewujudkan Mahkamah Perlembagaan khusus untuk menyelesaikan isu yang berkaitan  dengan perlembagaan seperti kedudukan  Raja Raja Melayu, hak kebebasan rakyat ,  pilihanraya yang bebas atau tuntutan royalti minyak.

Kecekapan Ku Li ini sebagai pakar ekonomi dan Menteri Keewangan terbukti pada tahun 1979 apabila  beliau telah berjaya mengambil alih  kembali harta tanah  Guthrie dalam apa yang dikenali sebagai 'the dawn raids'.   Ketika itu Ku Li dilihat sebagai nasionalis ekonomi yang berjaya mengambil kembali harta negara  yang telah dijarah oleh penjajah.

Mengikut lajenda politik Malaysia, Ku Li sepatut telah menang dalam pemilihan Presiden UMNO dalam tahun 1987 tetapi malangnya ketika pengiraan undi berjalan tetiba bilik menjadi gelap dan lampu leterik telah terpadam.  Mahathir Muhamad telah berjaya menewaskan Ku Li dengan 43 undi apabila lampu terpasang kembali.

Ku Li tidak menimbulkan hal ini malah pertanyaan mengenai ' kes lampu padam' ini  hanya akan dijawab dengan senyuman yang panjang. Ku Li enggan melintasi  dilurah yang sama.

"Mahathir ini bukanlah cerdik sangat. Dia selalu menjalankan dasar 'ad hoc'. Selalu mencuri idea dan pandangan orang lain dan mengakui sebagai haknya," dakwa beliau.

"Dia curi-lah. Saya selalu melihat dia 'playing to the gallery'," kata Ku Li, menerangkan pandangan dan pengalaman  beliau yang terkumpul selama 5 tahun bersama Mahathir Muhamad sebagai menteri.

Bila ditanya tentang Anwar Ibrahim Ku Li menerangkan bahawa dia hanya mengetahui Anwar sebagai aktivis belia. Walau pun mereka berdua belajar di Malay College tetapi  mereka agak jauh bertelingah zaman.

Mengikut surah Ku Li,  kali pertama secara rasmi dia dengar nama Anwar ialah dari  Putera  Muhamad anak kepada Raja Feisal dari Saudi Arabia. Ketika itu Ku Li sedang menjawat Pengerusi Bank Islam OIC.  Putera Raja ini bertanya kepada Ku Li apakah patut Anwar Ibrahim dan ABIM  ini dibantu oleh dana Yayasan Feisal.

"Sekarang Anwar sedang menjadi dilema kepada Najib. Ini mengikut lojik yang kita lihat. Saya yakin Anwar akan masuk penjara. Kalau Anwar bebas UMNO akan habis. Tidak dapat tidak Anwar akan dipenjara."

Ku Li merumuskan bahawa  pentabiran pimpinan Najib Razak  kebelakangan ini bukan sahaja lemah malah dalam huru hara. Mengikut pandangan Ku Li , Najib Razak sebagai Presiden UMNO  terlepas peluang yang amat besar di Perhimpunan Agong UMNO yang baru berlangsung. Ketika mata dan telinga seluruh negara  berpusat memandang ke PWTC,  Najib tidak melaku-kan apa-apa terhadap Shahrizat.

"Shahrizat sepatutnya dibuang. Termasuk beberapa orang menteri yang nama mereka telah busuk ditelinga orang ramai. Tetapi Najib senyap membisu," katanya.

Apakah peranan yang masih boleh dimainkan oleh Putera raja dari Kelantan ini  masih belum jelas.  Ku Li dibesarkan di Istana dan dididik di Malay College — seharusnya menjadi kimia terbaik untuk memimpin negara ini. Ku Li dilihat sebagai sebagai ahli politik yang tidak  membawa  beban 'kerpai buruk'. Tetapi Ku Li juga adalah  sosok yang berkontradiksi.

Ku Li tidak akan memboceng motosikal untuk berkempen jika jalan raya berasak asak. Ku Li juga  tidak akan mengambil 'loud hailer' untuk menggumpulkan  massa. Jauh sekali Ku Li  untuk turun memasang poster atau memasang khemah atau turun berdemo. Tengku Razaleigh  bin Tengku Mohd Hamzah  ialah putera raja. Mungkin inilah  sosok yang digambarkan oleh   Sir Frank Swetthenham 100 tahun dahulu : Gentleman Melayu Terakhir — The Last Perfect Malay Gentleman.

Jangan guna media arus perdana - Haron Din

Posted: 28 Dec 2011 12:56 AM PST

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Datuk Dr Haron Din bersetuju dengan pandangan Mursyidul Am PAS, agar semua pihak yang bertelagah tidak menggunakan media arus perdana.

Beliau berkata demikian dalam wawancara khasnya dengan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dan Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hassan di rumahnya Isnin lepas.

Haron Din, timbalan Mursyidul Am PAS itu berkata, apa yang berlaku dalam PAS sekarang hanya sebutir pasir yang dijadikan sebuah busut dan diperbesarkan.

"Saya mahu semua pihak berhenti bercakap, jangan cakap apa-apa lagi," katanya.

Beliau juga mahu Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Exco kerajaan negeri Selangor Datuk Dr Hasan Mohd Ali bermaf-maafan di antara satu sama lain.

"Saya amat gembira jika semua pihak yang terbabit meminta maaf secara terbuka," katanya.

PIALA TOK GURU : KB, Machang mara ke Akhir

Posted: 27 Dec 2011 05:13 PM PST

KOTA BHARU, 28.Dis – Kemuncak kejohanan Bolasepak Piala Tok Guru 2011 kini berada dipenghujungnya, Jumaat ini 30.Dis akan berlangsungnya peringkat akhir bagi merebut piala berprestij negeri ini di samping RM10 ribu bagi yang menjadi juaranya.

Parlimen Kota Bharu yang berjaya menewaskan Pasir Mas 3-0 dengan seawal permainan di saat ke 24 jaringan kencang dari pemain sayapnya Mohd Akimi Che Sulaiman ternyata mengejutkan Pasir Mas yang belum bersedia sepenuhnya mengatur rentak permainan.

Kota Bharu terus mengamuk diminit ke15 dengan membolosi gawang gol Pasir Mas hasil jaringan pemain pertahanannya Mohd Yuzmuhaimizee Yaacob.

Pasir Mas seolah-olah kehilangan arah dan setiap serangan yang dilakukan berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan Kota Bharu sehinggakan babak pertama menyaksikan permainan yang seolah-olah berpihak sepenuhnya kepada parlimen Kota Bharu.

Memasuki separuh masa kedua diminit ke 44 sekali lagi Pasir Mas dikejutkan dengan jaringan pemain penyerangnya Mohd Juzali Dzulkarnain yang berjaya memperdayakan dua pemain Pasir Mas dalam kotak panalti dan menewakan penjaga gol Pasir Mas.

Sementara itu malam tadi Machang yang terkejut dengan serangan Pengkalan Chepa di minit pertama tidak mudah mengalah terus mengasak Pengkalan Chepa di separuh masa kedua yang mendatangkan hasil cemerlang tigal gol biarpun tewas di masa pertama dua gol.

 
Pengkalan Chepa melalui Mohd Shaiful Bahari Abdullah merembat kencang gol Machang menjadikan perlawanan semakin rancak dengan kedua-dua pihak sering membuat serangan kearah pintu gol lawan masing-masing.

Minit ke16 sekali lagi gawang gol Machang lumpuh setelah benteng pertahanannya ditembusi Pengkalan Chepa melalui tendangan kencang Mohd Nor Hamizi menjadikan Machang ketinggalan 2 gol.

Rentak perlawanan di masa kedua tidak mematahkan semangat pemain Machang dan pencaturan merombak susunan permainannya ternyata berhasil setelah dim init ke 44 Mohd Amirul Kamsuri berjaya membolosi gawang gol Pengkalan Chepa menjadikan 2-1.


Sementara itu gol penyamaan dari Machang terus tercapai setelah Mohd Amirul Kamsuri sekali lagi menjaringkan gol dalam masa dua minit selepas gol pertama.

Pengkalan Chepa yang seolah-olah kehilangan arah terus diasak oleh Machang yang semakin mendapat sokongan penonton dan biarpun mendapat beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan, namun gol ketiga bagi Machang terus terhasil melalui jaringan pemain jersi 15 di minit ke 57 Irman Jazman Azhar.

Machang yang berjaya membuktikan kehebatan kesebelas pemainnya akan beraksi menentang Kota Bharu di perlawanan akhir nanti bertempat di Stadium Sultan Muhammad ke IV Jumaat ini jam 9 malam.

Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan pimpinan negeri dijangka akan hadir sama bagi menyaksikan perlawanan akhir tersebut dan menutup tirai sukan bolasepak Kelantan tahun 2011.

Urusetia penganjur kejohanan berharap peminat sukan bolasepak akan hadir beramai-ramai memberi sokongan kepada kedua-dua pasukan dan membuktikan Piala Tok Guru adalah merupakan piala berprestij di negeri ini.

Amanat terakhir DSAI

Posted: 27 Dec 2011 04:10 PM PST

Sogokan: Muhyiddin perlu bersihkan nama

Posted: 27 Dec 2011 04:01 PM PST

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) memandang serius dakwaan bahawa setiausaha sulit kanan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin ada menerima sogokan.

Dalam laporan yang dikeluarkan oleh media pada hari ini mendakwa Setiausaha Sulit kanan TPM, Mohd Shukor Abdul Manan menerima lebih daripada RM100,000 sebulan.

"Bagi DPP Malaysia, dakwaan seperti ini amat berat dan memerlukan siasatan terperinci kerana ia melibatkan integriti dan nama baik Timbalan Perdana Menteri Malaysia.

"Dalam hal ini, TPM perlu membersihkan namanya dengan bersikap berani dan telus menyiasat secara menyeluruh dakwaan tersebut," kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Katanya, Muhyiddin tidak perlu menyembunyikan kebenaran sekalipun kebenaran itu amat pahit untuk ditelan kerana melibatkan orang kepercayaan beliau.

Jika benar dakwaan tersebut, ujarnya TPM itu perlu mengambil tindakan tegas terhadap setiausaha sulit kanannya.

Ini, katanya sebagai suatu hukuman bahawa kedudukan sebagai orang penting dan di tempat strategik bukan boleh disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.

Ia juga, tambah beliau sebagai peringatan bahawa amanah bukan suatu yang boleh dipandang ringan, melainkan ia perlu ditunaikan dengan sebaiknya.

Jika dakwaan tersebut pula tidak benar, ujarnya TPM perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebar dakyah tersebut.

Menurtnya lagi, fitnah dan spekulasi tidak boleh dibiarkan berleluasa oleh pihak tertentu yang dengki kerana ia boleh menjatuhkan maruah dan harga diri seseorang.

Belia berkata, budaya fitnah adalah budaya yang tidak sihat yang boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara ini.

Katanya, DPP Malaysia mengingatkan bahawa isu rasuah dan penyelewengan kuasa merupakan teras terhadap kejayaan atau kegagalan kepemimpinan negara.

Baginya, pemimpin yang berjaya bukan setakat diukur terhadap prestasi kerjanya semata-mata, lebih dari itu bagaimana pemimpin tersebut menunaikan amanah yang dipikulnya sebaik mungkin.

Ini, ujarnya termasuk mereka yang terlibat secara langsung sebagai pembantu dan pegawai pemimpin tersebut.

"Seseorang pemimpin akan dianggap gagal sekiranya beliau dan orang bawahannya terkait dengan pelbagai skandal yang memburukkan nama beliau dan parti pimpinannya meskipun hasil kerjanya cemerlang," ujarnya.

Katanya, DPP Malaysia percaya rakyat Malaysia inginkan pemimpin negara yang benar-benar bersih, jujur dan ikhlas dalam memberikan sumbangan dan jasa bakti terhadap rakyat dan negara.

"Sebaliknya rakyat jemu dan benci terhadap pemimpin yang mengharapkan sokongan rakyat, tetapi akhirnya mengaut keuntungan dan kekayaan untuk kepentingan diri sendiri," katanya lagi.

Piala Tok Guru – Machang Ke Final

Posted: 27 Dec 2011 04:00 PM PST



Pulau Pinang ada 1500 anggota PPS

Posted: 27 Dec 2011 03:57 PM PST

KEPALA BATAS, 27 Dis: Pasukan Peronda Sukarela (PPS) Pulau Pinang bertekad menjalankan tugasan dengan jujur, amanah dan bertanggungjawab bersama pasukan polis serta penduduk tempatan untuk membantu mengurangkan kadar jenayah yang semakin meningkat.
(Seorang anggota PPS menerima walkie talkie dari Ketua Menteri tanda pengiktirafan kepada tugas mereka)
Baru-baru ini keseluruhan 71 pasukan berbanding 31 pasukan tahun lalu diberikan walkie talkie dan vest PPS oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng bertempat di Dewan Endon, Pusat Budi Penyayang, Kepala Batas sempena
kunjungan beliau ke majlis penyampaian wang RM1,000 kepada waris warga emas peringkat Seberang Perai Utara.

Adanya alat komunikasi segala tugasan menjaga keselamatan lebih terjamin serta membolehkan pengawasan terhadap petugas PPS dapat diseliakan dengan lebih cepat dan cekap.

PPS mula ditubuhkan 17 September 2011 yang lalu menunjukan perkembangan yang positif apabila berjaya menambah bilangan kepada 1500 ahli yang berdaftar bagi kesemua Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di Pulau Pinang.

Anuar Rejab yang bertugas di kawasan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Dua berkata, kewujudan PPS memang di nanti-nantikan oleh mereka yang prihatin terhadap masalah gejala moral dan jenayah.

Ramai masyarakat menyifatkan, penubuhan dan keaktifan PPS kena pada tempatnya sesuai dengan mengwujudkan persekitaran kejiranan yang ceria, selamat dan bersatu padu.

"Ramai yang menanti kemunculan PPS di kampung-kampung atau di mana sahaja kerana ia mampu berkawal bersama polis dan orang kampung untuk tangani jenayah yang semakin parah, " tegasnya.

Sankaran dari Kampung Perlis, Butterworth menambah, PPS yang diamanahkan mengawal persekitaran kena memikul tanggungjawab dengan penuh minat jangan 'main-main' atau melakukan sambil lewa.

Beliau bimbang sikap lewa akan mencetuskan anggapan yang salah maklumlah ianya datang dari program Kerajaan Pakatan Rakyat .

"Keyakinan penduduk tempatan terhadap PPS amat tinggi maka mereka yang memakai baju PPS berwarna ungu mesti cergas melaksanakan tugasan bila dikehendaki, " katanya.

Sementara itu rakannya Neoh Eng Seng dari Taman Dedap, Sungai Puyu merasa sungguh seronok bila memakai vest PPS kerana bila mengenakan pakaian itu di tubuh dapat rasakan peningkatan semangat yang membuak-buak.

Pilihan raya umum Mac depan?

Posted: 27 Dec 2011 03:54 PM PST

KUALA TERENGGANU, 27 Dis: PAS menjangkakan pilihan raya umum ke 13 akan diadakan Mac tahun depan dan mahu semua peringkat parti membuat persiapan terbaik.

"Kali ini saya agak yakin berbanding dengan tarikh-tarikh sebelum ini," kata ahli politik veteran PAS yang juga Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali (gambar).

Beliau berkata demikian dalam satu majlis makan malam dekat sini baru-baru ini.

Beliau membuat andaian itu berdasarkan laporan media dan ramalan awal tentang status ekonomi negara.

"Bagi saya, Umno akan timbang dua perkara kali ini sebelum mengadakan pilihan raya iaitu keadaan dalam Pakatan Rakyat yang sedang diserang.

"Satu lagi, kedudukan ekonomi yang dijangka bermasalah tahun depan ekoran krisis ekonomi dunia khasnya di Amerika dan Eropah.

"Sebelum Malaysia terasa kesannya, baik buat pilihan raya dulu," kata Mustafa dalam ucapannya itu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua organisasi dalam PAS membuat persiapan yang terbaik untuk menghadapi pilihan raya kali ini.

"Najib sudah isytiharkan, ini adalah ibu kepada segala peperangan (mother of the batle), yang tidak pernah dirasai BN sebelum ini, jadi kita mesti membuat persiapan terbaik," katanya.

Mustafa bersetuju, ramai pemimpin dan Umno sangat terpengaruh dengan teori R.A.H.M.A.N yang menghasilkan Datuk Seri Najib perdana menteri di kalangan Umno yang terakhir.

Teori R.A.H.M.A.N adalah teori berdasarkan turutan perdana menteri Malaysia dari Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Husein, Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah dan kini Datuk Seri Najib.

Sehubungan itu, Mustafa meminta semua ahli PAS memberikan fokus sepenuhnya untuk memenangi pilihan raya kali ini khasnya di Terengganu.

Bagi beliau, Umno Terengganu sudah terlalu kekeringan idea dalam menghadapi PAS sehingga terpaksa menimbulkan kembali isu yang sudah berlangsung puluhan tahun lalu iaitu isu kafir mengkafir dan sembahyang dua iman.

Ia dibangkitkan dalam satu titah Tuanku Sultan Terengganu di sebuah masjid baru-baru ini yang antara lain kesal kerana masih ada pihak yang tidak bersembahyang di masjid kawasan masing-masing.

Namun isu ini dijawab dengan mudah oleh penduduk kariah masjid Pengadang Baru dekat sini.

Masjid Pengadang Baru adalah masjid kerajaan negeri tetapi jawatankuasa dan imannya dikuasai oleh pemimpin PAS tempatan.

Ekoran itu, ramai pemimpin Umno tempatan tidak sembahyang termasuk sembahyang Jumaat di masjid itu.

Antaranya adalah Pengerusi JKKK Pengadang Baru yang sembahyang di masjid lain iaitu Masjid Kubang Durian.
(Dua orang kanak-kanak remaja menyampaikan sumbangan derma untuk dana pilihan raya kepada Datuk Mustafa Ali sambil diperhatikan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar dalam majlis makan malam mengumpul dana Dun Ladang).

Ekoran itu, Mustafa merumuskan Umno sudah kekeringan idea untuk melawan PAS.

Oleh itu, pilihan raya ini disifatkan beliau sebagai masa terbaik untuk PAS merampas kembali Terengganu.
Dalam pada itu juga, Mustafa Ali mengingatkan jentera parti agar tidak mengharapkan masalah 'dalaman' Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk menang pilihan raya.

Justeru itu, kata beliau PAS perlu mempunyai kekuatan sendiri bagi menarik sokongan pengundi dan rakyat seluruhnya.

Menurutnya, meski pun Umno-BN menghadapi banyak masalah termasuk isu perbalahan dalaman parti itu tetapi bukan jaminan kepada PAS pada pilihan raya akan datang.

"Kita (PAS) tidak boleh bergantung dengan isu Umno dan Barisan Nasional 'berbalah' (krisis) tetapi kena ada kekuatan kita sendiri," tegasnya.

Mustafa mahu jentera PAS di semua peringkat bekerja kuat bagi menambah serta memperkukuhkan daftar pemilihnya.

Menurutnya, senario politik hari ini menunjukkan gelombang bukan Melayu Islam agak kuat menyokong PAS dan Pakatan Rakyat.

20 pelajar miskin dapat pakaian sekolah

Posted: 27 Dec 2011 03:54 PM PST

IPOH, 27 Dis: Pemuda PAS Perak meraikan 20 kanak-kanak miskin dalam usaha mereka meringankan bebanan ibu bapa mereka menjelang musim persekolah baru Januari nanti.
(Gambar kenangan selepas membeli pakaian sekolah)

Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak telah memulakan program bersempena pembukaan sekolah tidak lama lagi dengan meraikan pelajar miskin berkenaan membeli peralatan sekolah.

Pengerusinya, Isran Fahmi Ismail yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Sungai Siput (Utara) telah memilih 20 orang pelajar miskin untuk kali ini.

Turut hadir bersama adalah kepimpinan Pemuda PAS Sungai Siput.

Program yang berbentuk pembelian terus ke kedai ini bersama dengan pelajar yang dipilih untuk membeli peralatan sekolah seperti uniform sekolah dan kasut sekolah.

Program seumpama ini akan diteruskan oleh Lajnah Kebajikan Pemuda PAS Perak di tempat-tempat lain pula selepas ini.

Surau Salihiah: Sejak bila Umno juara agama

Posted: 27 Dec 2011 03:54 PM PST

KUALA LUMPUR, 27 Dis: PAS mempersoal sejak bila Umno mula menjuarai isu agama apabila cuba menunjukkan keperihatinan mereka dengan menentang kerajaan Kedah yang mahu merobohkan Surau Salihiah Kanchot di Alor Setar untuk diganti dengan surau baru ditapak baru.

AJK PAS Pusat Idris Ahmad berkata, rakyat tidak pernah lupa pengkhianatan Umno dalam isu perobohan dan penutupan banyak masjid surau sejak parti itu memerintah negara.

"Kenapa pemimpin Umno seperti (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah) Datok Ahmad Bashah, (Ahli Parlimen Jerlun) Datuk Mukhriz Mahathir dan (Ketua Umno Bahagian Baling) Datuk Azeez Abdul Rahim pekak dan bisu ketika kerajaan pimpinan Umno meruntuhkan masjid Bujal di Kemaman, menutup surau Jubli Perak di Bandar Baru Bangi, menutup Surau al Rahmah di Seksen 8 Shah Alam, menutup surau di Puchong Perdana.

"Rakyat tertanya-tanya sejak bila Umno menjadi juara agama dan hendak membela surau," soalnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya dalam isu perobohan surau Salihiah itu, Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah telah memberi kebenaran, dan pihak pemaju bersetuju untuk membayar pampasan dan memberi tapak baru kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).

Namun ujarnya pimpinan Umno Kedah yang bankrap idea unuk menawan hati rakyat Kedah cuba mengambil isu surau untuk menjadi modal kempen.

Beliau melihat isu tersebut sengaja dimainkan Umno Kedah kerana mereka sedang lemas melihat kerajaan Kedah di bawah kepimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak berjaya memimpin Kedah dengan cemerlang walaupun terpaksa menanggung hutang lapuk yang ditinggal BN sebanyak RM2.3 bilion. 

"Contohnya kebijaksanaan kerajaan Kedah mengurus negeri sehingga pendapatan balak daripada RM8 juta setahun meningkat RM53 juta.

"Umno takut rakyat Kedah  membandingkan kejayaan Pakatan Rakyat dengan pemerintahan Umno selama 51 yang menindas rakyat, maka Umno cuba  menjadi juara membela agama, sehingga udang di Kolam Kerpan pun terkejut kerana Umno sudah bertukar nada," katanya lagi.

Perobohan Surau Salihiah untuk diganti baru diputus kerajaan negeri ekoran ianya antara bangunan yang terjejas untuk pembangunan projek Aman Central.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebelum ini memaklumkan surau itu akan dirobohkan selepas semua pembinaan di kawasan itu selesai, dan kemudian digantikan dengan bangunan baru.

Azizan juga berkata beliau telah melihat pelan surau yang baru dan apabila surau itu siap kelak ia dapat menampung sehingga 400 jemaah dalam satu masa.

Bagaimanapun isu itu menjadi modal kempen Umno negeri bagi memburukkan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui PAS.

PKR nafi kerah ahli cetus huru-hara 9 Januari

Posted: 27 Dec 2011 03:53 PM PST

KUALA LUMPUR, 27 Dis: PKR hari ini menafikan pihaknya terlibat dalam penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) yang meminta semua anggota parti itu berkumpul pada 9 Januari 2012 ini di Mahkamah Tinggi Jalan Duta Kuala Lumpur dan mengajak untuk mencetuskan huru-hara di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution berkata, SMS itu menggunakan namanya dengan mendakwa beliau telah mengeluarkan suatu surat pekeliling mengarahkan semua ahli parti hadir.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa terdapat arahan seperti ini, yang saya yakin merupakan satu lagi fitnah jahat Umno yang sememangnya sedang semakin gentar dengan kebangkitan rakyat menentang kezaliman dan kekejaman mereka yang terus rakus merompak dan menyeleweng harta rakyat dan negara.

"Wajar dinyatakan juga bahawa sifat jahat memfitnah, membohong dan menyebarkan berita palsu serta usaha memporak-perandakan keamanan rakyat Malaysia kini telah menjadi semakin sebati dan lumrah dalam setiap nafas dan gerak nyawa Umno.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai, anggota PKR dan penyokong-penyokong gerakan reformasi yang akan keluar beramai-ramai pada 9 Januari nanti bagi menunjukkan sokongan kepada Ketua Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim supaya berhimpun secara aman dan mematuhi arahan petugas-petugas serta tidak terpengaruh dan terjebak dengan tindakan provokatif golongan yang tidak bertanggungjawab pada hari berkenaan.

Tiada ulasan:

Pengikut