Ahad, 25 Disember 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Mustafa 'kunci mulut' anggap isu Hasan selesai

Posted: 25 Dec 2011 04:30 AM PST

KUALA LUMPUR, 25 Dis: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (kiri) berkata, beliau tidak akan lagi membuat sebarang ulasan berhubung exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali(kanan).

Katanya, beliau akan mengambil pendekatan 'kunci mulut', sesuai dengan janjinya sebelum ini bahawa jika Hasan tidak lagi menyerang PAS, maka dia juga akan berhenti mengulas tentang bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu.

"Seperti saya janji sebelum ini bila dia (Hasan Ali) berhenti serang PAS maka saya akan tutup mulut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Hasan pada sidang media di kediamannya semalam.

Pada sidang media tersebut, Hasan menyatakan permohonan maafnya kepada pimpinan dan ahli PAS kerana mengkritik konsep Negara Berkebajikan yang telahpun dipersetujui dalam muktamar parti itu Jun lalu.

Hasan juga sebelum ini menyifatkan PAS tergelincir dari perjuangan Negara Islammya apabila memperkenalkan konseb Negara Berkebajikan.

Menyesali pandangannya itu sebagai 'keterlanjuran kata', Hasan juga semalam bertindak menarik balik kritikan tersebut.

"Bagi saya dia dah mintak maaf sungguh-sungguh tu. Pasal dia serang peribadi saya takpe lah saya dah maafkan dia," tegas Mustafa.

Pendekatan Mustafa itu diyakini mampu menutup episod yang dilihat 'pertembungan dalam parti' yang menjadi topik perbincangan hangat sejak dua minggu lalu.

Ditanya jika Hasan tidak mahu berhenti dan masih mahu mengulas isu parti, Mustafa berkata, itu terserah kepada Hasan.

"Kalau dia nak bercakap lagi, biar la dia bercakap sorang, saya tak mahu layan," katanya.

Mesyuarat Lajnah Politik PAS Pusat sebelum ini memutuskan akan memanggil Hasan memberi penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan sejak akhir-akhir ini.

Selain Hasan, dua lagi yang akan dipanggil adalah bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Ketua Penerangan PAS Selangor Saari Sungip.

Shahrizat dedah ramai pemimpin Umno bermasalah

Posted: 25 Dec 2011 04:29 AM PST

KUALA LUMPUR, 25 Dis: Kenyataan Datuk Seri Shahrizat Jalil yang mempersoal 'siapakah pemimpin Umno yang tiada masalah', seperti mendedahkan ramai pemimpin Umno terbabit dengan skandal salah guna kuasa.

Shahrizat selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang terpalit dengan skandal projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) mengeluarkan kenyataan itu sebagai mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang memulakan siasatan terhadap kes itu baru-baru ini.

Bagi Dewan Pemuda PAS Pusat, kenyataan spontan yang keluar dari mulut Shahrizat yang juga ketua wanita Umno itu seperti menyindir semua pemimpin Umno agar tidak berlagak bersih dari masalah.

"Skandal mereka belum terdedah dan masa yang akan menentukan keadaan diri mereka dalam Umno.

"Bagi DPP Malaysia, tidak ada apa yang memeranjatkan dalam kenyataan Shahrizat kerana rakyat sudah sinonim bahawa Umno dan rasuah serta penyelewengan sudah sebati," kata ketua penerangnnya, Riduan Mohd Nor (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya lagi, kes Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang didapati bersalah kerana rasuah di mahkamah Tinggi Shah Alam semalam boleh menjadi bukti dan kayu pengukur bahawa pemimpin Umno sukar untuk dijadikan contoh teladan buat rakyat Malaysia.

Malah ujarnya, selain Khir, ramai lagi pemimpin Umno yang pernah terkait dengan pelbagai skandal.

"Beberapa tahun lepas, beberapa orang pemimpin kanan Umno pernah dihadapkan ke Lembaga Disiplin Umno sehingga ke SPRM kerana dakwaan rasuah.

"Malah, bekas Naib Presiden Umno sendiri turut terbabit dengan rasuah sehingga terpaksa melepaskan jawatan beliau," katanya lagi.

Dengan isu skandal penyelewengan dalam NFC pula katanya, ramai percaya bukan setakat Shahrizat sahaja yang terlibat, malah ramai lagi pemimpin kanan negara juga boleh dikaitkan dengan kelulusan projek tersebut.

Laporan Ketua Audit Negara 2010 juga tegasnya, sudah cukup menjadi bukti kepada rakyat betapa ketirisan dan penyelewengan berlaku dalam kerajaan pimpinan Umno BN.

"Dalam keadaan demikian, tidak hairanlah Indeks Persepsi Rasuah negara merudum buat tahun ketiga berturut-turut.

"Justeru, tidak ada apa lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat dalam negara ini, melainkan perubahan mesti dibuat oleh rakyat dalam PRU ke 13," katanya.

Khir mangsa sembelihan 'drama politik' Umno

Posted: 25 Dec 2011 04:29 AM PST

KUALA LUMPUR, 25 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hanya 'drama politik' Umno BN.

Katanya, dengan pelbagai isu rasuah yang terpalit kepada ramai pemimpin parti itu, maka Umno BN terpaksa 'menempisnya' dengan bertindak ke atas Khir, itu pun selepas Khir tidak mempunyai kuasa lagi.

Jelasnya lagi, tindakan 'memangsakan' Khir itu kononnya bagi memberi gambaran kepada Masyarakat bahawa kerajaan Umno BN secara keseluruhanya tidak berkompromi dengan rasuah.

"Selepas Umno tak mampu nak bersih najis rasuah yang (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kata 'sudah busuk sampai ke usus', maka Khir jadi mangsa sembelihan untuk bersihkan semua kes rasuah dalam Umno," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam  kelmarin yang memutuskan Khir bersalah atas tuduhan rasuah dan dihukum penjara setahun.

Bagi Mahfuz, apa yang cuba ditonjolkan oleh Umno BN dengan bertindak ke atas Khir itu hanya mengulangi skrip lama yang pernah dibuat ke atas bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dalam isu PKFZ.

Bagaimanapun tindakan mendakwa Ling itu selepas beliau bersara dari kerajaan.

"Saya harap Khir sabar banyak-banyak sebab dia seorang sahaja yang kena untuk dijadikan mangsa korban partinya.

"Saya yakin kalau dia masih ada kuasa, dia tak akan diambil tindakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Negara Berkebajikan: Mengada betul Umno

Posted: 24 Dec 2011 08:08 PM PST

KUALA LUMPUR, 25 Dis: Isu Negara Berkebajikan sering dijadikan turning point untuk menyerang PAS kononnya PAS telah tersasar dari landasan perjuangan asal iaitu Negara Islam.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan at-Tantawi berkata, lalu Umno mendesak supaya PAS kembali menggunakan istilah Negara Islam bukannya Negara Berkebajikan.
Lebih menarik, katanya Umno juga menyatakan demikian sedang Umnolah antara yang paling kuat menentang hasrat PAS sewaktu PAS menggunakan istilah Negara Islam sebelum ini.
"Sekarang apabila PAS menggunakan istilah Negara Berkebajikan, mereka sibuk pula mendesak supaya PAS tukar kembali kepada istilah Negara Islam. Mengada-ngada betullah mereka ni!" kata kepada Harakahdaily.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan bahawa langkah dan usaha PAS Membangun Negara Berkebajikan adalah merupakan Fasa 2 pembinaan Negara Islam.
Tambahnya, setelah PAS menerbitkan dokumen Negara Islam tempoh lalu, maka ia seperti pelan induk bagi PAS menjayakan hasrat mendaulatkan syariat Allah SWT, itulah Fasa 1 projek PAS.
Beliau berkata, Fasa ke 2, PAS bergerak dengan lebih praktikal, bukan sahaja membentang plan induk (Fasa 1) yang lengkap dengan teorinya, kini PAS tampil dengan Negara Berkebajikan sebagai subtance kepada Negara Islam.
Jelasnya lagi, ia adalah pengisian dan perlaksanaan, sekaligus menjawab pelbagai tohmahan kononnya Negara Islam adalah negara hukum semata-mata atau juga ditohmah sebagai negara mullah.
"Negara Islam ialah negara yang dibina berasaskan bimbingan syariat Islam. Sementara elemen utama dalam Syariat Islam ialah adil, telus, integriti dan amanah selain ubudiyyah (pengabdian diri kepada Allah)," katanya.
Katanya, ia menepati pembentukan good governence yang menjadi sendi utama bagi Negara Berkebajikan yang mahu dibangunkan oleh PAS.
Menurutnya, menganggap PAS telah tersasar dari landasan asal perjuangannya adalah berpunca dari salah faham atau buat-buat tidak faham terhadap matlamat dan objektif perjuangan PAS.
Justeru, ujar beliau selayaknya mereka terlebih dahulu membuka dan melihat Pelan Lengkap Projek PAS bagi memahami keseluruhan fasa yang akan dibina oleh arkitek PAS.
"Negara Berkebajikan bukan krisis identiti tetapi ia adalah pengukuhan identiti.
"Justeru ia memantapkan lagi pengenalan dan jati diri PAS dengan usaha bina dan tawaran yang lebih praktikal, mudah dan boleh laksana," jelasnya.

Sekitar Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Kreatif di Kelantan 2011

Posted: 24 Dec 2011 08:07 PM PST


















PIALA TOK GURU : Machang ikut ke Separuh Akhir

Posted: 24 Dec 2011 07:50 PM PST

PENGKALAN CHEPA, 24.Dis – Kemuncak Kejohanan Bolasepak Piala Tok Guru 2011 semakin meriah setelah petang ini satu lagi perlawanan antara Machang yang bertemu Ketereh berakhir dengan kemenangan selesa berpihak kepada Machang 2-0.
Perlawanan yang berlangsung di Padang Rumah Sri Kenangan Kemumin petang tadi menyaksikan permainan yang agak seimbang biarpun Machang berjaya membolosi gawang gol Ketereh diminit ke 2 hasil jaringan Mohd Saifuddin Muhammad.
Ketereh yang mula gelisah terus mengatur permainan dengan mengasak penjaga gol Machang dengan beberapa serangan yang agak menarik, namun ia tidak mampu melepasi benteng pertahanan Machang.
Machang akan bertemu Pengkalan Chepa di peringkat Separuh Akhir
Keselesaan terus berpihak kepada Machang setelah jaringan mudah yang dilakukan oleh pemain No10 Mohd Amirul Kasmuri tidak dapat dihalang oleh penjaga gol Ketereh.
Separuh masa kedua turut menyaksikan beberapa serangan menarik dari kedua-dua pasukan namun ia gagal menembusi gawang gol kedua-dua pasukan dan Machang terus unggul sehingga ke minit akhir dengan kemenangan selesa 2-0.
Machang akan bertemu dengan Pengkalan Chepa pada peringkat separuh akhir yang akan berlangsung pada 27hb.Disember bertempat di Stadium Sultan Muhammad ke IV jam 9 malam.

Sekitar Konvensyen Tarbiah Anak Muda Kelantan 2011, Di PUTIK

Posted: 24 Dec 2011 07:49 PM PST








PIALA TOK GURU : KB dan PC mara ke separuh akhir

Posted: 24 Dec 2011 07:40 PM PST

PENGKALAN CHEPA, 23.Dis – Selepas Pasir Mas, kini Kota Bharu dan Pengkalan Chepa pula turut sama mara ke peringkat separuh akhir bagi Kejohanan Bola Sepak berprestij Piala Tok Guru 2011.
Perlawanan yang berlangsung hari ini di padang Rumah Sri Kenangan Pengkalan Chepa iaitu sebelah pagi menyaksikan Kota Bharu berjaya mara ke separuh akhir setelah menewaskan Akademi Bolasepak Melayu Kelantan(ABM) melalui tendangan penalti 2 -1 setelah kedua-duanya terikat seri satu sama pada masa sebenar perlawanan.
Peringkat awal permainan, kedua-dua pasukan seimbang dan ABM mendapat tendangan penalti setelah penjaga gol Kota Bharu Wan Mohd Nizam Najmuddin menjatuhkan pemain ABM Mohd Azijja Zakiran Zahari.
Tendangan penalti minit ke lima diambil oleh Mohamd Saiful Amri, namun sedikit kekecewaan dipihak ABM setelah memasuki separuh masa ke dua, Kota Bharu melalui pemain gantiannya Mohd Juzali Dzulkarnain berjaya mendapat gol penyamaan dan ia terikat hingga ke wisel penamat.
Kota Bharu mara ke separuh akhir melalui tendangan penalti 2 -1
Sementara itu Pengadil Derani Yusof pula bertindak tegas kepada kedua-dua pasukan dan menyaksikan lima kad kuning yang dilayangkan kepada Kota Bharu semasa menentang ABM pagi tadi.
Manakala bagi Pengkalan Chepa pula kedatangan Adun Panchor yang juga Yang DiPertua PAS Pengkalan Chepa Dato Mohd Amar Abdullah menambahkan semangat pasukannya dan masa pertama menyaksikan tiga gol berjaya membolosi pasukan jemputan Dewan Himpunan Penyokong PAS Kelantan(DHPP Kelantan ).
Pengkalan Chepa sedia buat kejutan di Separuh Akhir
Gol yang dijaringkan oleh pemain jersi no 10 Mohd Farhan Yaacob( 2 gol ) dan Mohd Saiful Bahari Abdullah kekal hingga ke masa penamat dengan kesudahan Pengkalan Chepa layak ke separuh akhir yang akan bertemu di antara Ketereh atau Machang yang akan berlangung petang esok di peringkat suku akhir.
Menurut Urusetia penganjur, dua perlawanan Separuh Akhir akan diadakan di Stadium Sultan Muhammad ke IV iaitu Isnin 26.Disember jam 9 malam antara Kota Bharu yang akan bertemu Pasir Mas dan 27.Disember pula akan menyaksikan Pengkalan Chepa bertemu Ketereh atau Machang.

Adam Adli tekad perjuang kebebasan mahasiswa

Posted: 24 Dec 2011 07:23 PM PST

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Walaupun ditekan hebat termasuk menerima ancaman ugutan bunuh, pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Adam Adli Abdul Halim, tetap bertekad untuk meneruskan perjuangannya menuntut kebebasan mahasiswa di negara ini. 

Walaupun sedar jalan yang ditempuhinya itu amat rumit, tetapi beliau dan rakan-rakannya dari kalangan mahasiswa tetap akan meneruskan perjuangan mereka sehingga pihak Kerajaan BN sendiri sedar dengan kesilapannya selama ini. 

Menurut Adam, Kerajaan BN perlu sedar para mahasiswa juga mempunyai hak untuk bersuara dan tidak selamanya boleh dikongkong dengan pelbagai sekatan termasuk menerusi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) yang telah dilaksanakan sejak sekian lama di negara ini. 

"Kini para mahasiswa sudah tidak lagi boleh bersabar dengan kongkongan kerajaan terhadap kami. Kerajaan yang memerintah tidak selamanya boleh bertindak sesuka hati terhadap mahasiswa dan menzalimi rakyatnya," katanya. 

Bercakap kepada Harakahdaily pada satu pertemuan eksklusif sekitar 10 minit selepas memberikan keterangan kepada pihak polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Dang Wangi, di sini, semalam, (gambar) beliau mengakui tindakannya menurunkan bendera Perdana Menteri pada 17 Disember lalu dilakukan dengan penuh kesedaran dan mempunyai mesej jelas mengenai perkara itu. 

"Saya tidak bermaksud untuk menghina. Tetapi itulah mesej kami. Sebab itulah bendera itu pun hanya saya turunkan sekejap sahaja, tak sampai pun lima minit dan kemudian saya naikkan kembali dengan baik," jelasnya. 

Semua pihak, tegas beliau, perlu faham perkara itu dan tidak sewajarnya memutarbelitkan kenyataan serta membuat fitnah kepada beliau dan rakan-rakannya yang lain. 

"Kalau saya dan rakan-rakan saya tak naikkan kembali bendera Perdana Menteri yang kami turunkan itu, lainlah pula ceritanya," ujarnya. 

Namun, dengan hanya menurunkan bendera tersebut dalam tempoh kurang lima minit, beliau berharap agar mesej protes mahasiswa berhubung perkara itu dapat dibaca dengan baik oleh pihak kerajaan. 

Beliau bagaimanapun amat kesal kerana tindakan mereka itu telah dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu sehingga mengaitkannya dengan jenayah, walaupun ia jelas bukan jenayah. 

Malah tindakan tersebut selaras dengan amalan demokrasi di negara ini yang memberikan kebebasan berhimpun secara aman dan bersuara kepada rakyat, termasuk di kalangan mahasiswa, seperti yang termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.  

Di mana-mana negara sekalipun yang mengamalkan demokrasi di dunia ini, terutama di negara-negara maju, suara mahasiswa tidak akan disekat. 

Katanya, malah suara mahasiswa diakui mempunyai kuasa tersendiri dan perlu didengari serta dihormati kerana para mahasiswa juga mempunyai hak untuk menyatakan pandangannya bagi kepentingan agama dan tanah air.  

"Malaysia yang berada di bawah pemerintahan BN dan sedang menuju ke arah negara maju, bagaimanapun menafikan suara dan hak mahasiswa. Inilah yang amat dikesali oleh kami," ujarnya. 

Beliau berharap agar siri-siri protes yang dilancarkan oleh beliau dan rakan-rakannya yang bergabung dalam Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan lain-lain badan akan mengubah dasar kerajaan terhadap mahasiswa. 

"Pada kami, Auku bukan perlu dipinda, tetapi dimansuhkan. Jika kerajaan tetap enggan mendengar desakan kami, kami tidak akan berdiam diri, malah terus berjuang dan mengadakan pelbagai kempen mengenainya, selaras dengan hak kami dan rakyat negara ini seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya. 

Para mahasiswa yang berada dalam kumpulan Pro Mahasiswa, tambahnya, berbeza dengan mereka yang berada dalam kumpulan Pro Aspirasi, malah mereka tidak akan berganjak dari matlamat perjuangan mereka walaupun akan digula-gulakan oleh para pemimpin Umno atau BN. 

Beliau bersyukur kepada Allah kerana tidak berkeseorangan dalam perjuangan itu, malah disokong penuh oleh rakan-rakan pelajarnya yang lain serta lain-lain pihak yang sedar dengan hak masing-masing di tanah air sendiri. 

"Kita rakyat Malaysia atau warganegara Malaysia mempunyai hak ke atas negara ini dan berhak bersuara demi kepentingan agama dan negara. Janganlah lagi hak kami itu dinafikan oleh kerajaan yang memerintah sekarang," tegas beliau.   

Sebelum itu, beliau dengan ditemani rakan-rakannya dalam SMM telah memberikan keterangan selama sejam bermula jam 11.00 pagi kepada pihak polis, berhubung laporan polis yang dibuatnya di Balai Polis Tun H.S Lee, Isnin lalu membabitkan kes ugutan bunuh terhadapnya. 

Sebaik selesai memberikan keterangan kepada ASP Anan, beliau terus diserbu oleh pihak media termasuk dari dalam dan luar negara, bagi mengetahui perkembangan terkini mengenainya untuk dikongsi bersama segenap anggota masyarakat terutama di negara ini.

Walaupun banyak syarikat penerbitan yang ingin mengadakan temubual eksklusif dengannya terutama pada hari itu, tidak kesemuanya dapat dipenuhi kerana kesuntukan masa, lebih-lebih lagi setelah azan dari masjid-masjid hampir berkemundang bagi memanggil umat Islam menunaikan solat Jumaat. 

"Masa dah terlalu suntuk untuk solat Jumaat. Kalau Harakahdaily ingin mengadakan juga temubual eksklusif hari ini, hanya sempat sekitar 10 minit sahaja," jelasnya sambil menyeka peluh yang memercik di dahi kerana cuaca panas dan kesibukannya melayani pelbagai pertanyaan para wartawan yang telah menunggunya hampir dua jam di IPD Polis Dang Wangi semalam.

Hasan Ali tarik balik kritik Negara Berkebajikan

Posted: 24 Dec 2011 07:21 PM PST

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali hari ini mengakui kesilapannya mengkritik pendekatan Negara Berkebajikan yang mahu dibawa PAS seperti diputuskan dalam Muktamar tahunan parti itu Jun lalu.

Ekoran itu juga, beliau yang juga exco kerajaan Selangor pada satu sidang media di kediamannya hari ini menarik balik kritikannya itu dan memohon maaf kepada pimpinan dan ahli parti.

"Sebagai ahli PAS dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat, saya mengakui terdapat unsur keterlanjuran saya waktu membuat ulasan mengenai perkara itu. Dengan ini saya menarik balik komen mengenai Negara Berkebajikan tersebut.

"Saya memohon maaf kepada saf kepimpinan dan ahli-ahli parti terhadap keterlanjuran saya itu," katanya pada sidang media di kediamannya di sini.

Sebelum ini pada satu sidang medianya juga, beliau mendakwa perjuangan PAS sudah menyimpang apabila mengangkat Negara Berkebajikan berbanding Negara Islam sejak sekian lama.

Sehubungan itu beliau menolak konsep Negara Berkebajikan dan mendesak parti itu kembali kepada matlamat asal menubuhkan sebuah negara Islam.

Mengakui ulasannya sebelum ini sebagai terlanjur kata, Hassan hari ini juga menyatakan pendirian bahawa beliau bersetuju dengan konsep Negara Berkebajikan yang diperjuang PAS kerana sebahagian dari initipati dan matlamat ke arah menubuhkan sebuah negara Islam.

"Saya sebagai ahli dan pimpinan, saya menyetujui apa yang dikemukakan dan pada masa sama saya melihat pengisian Negara Berkebajikan sama seperti negara Islam yang dikemukakan parti sebelum ini.

"Kemungkinan besar sama apa yang ada dalam konteks negara Islam dengan Negara Berkebajikan," katanya.

Sementara itu, Hasan juga berkata beliau bersedia bertemu kepimpinan parti bila-bila masa bagi merungkai permasalahan yang timbul yang turut mengaitkan dirinya.

Pemuda PAS ikrar bela mahasiswa

Posted: 24 Dec 2011 07:20 PM PST

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Malaysia memuji keberanian para mahasiswa baru-baru ini yang menurunkan satu kain bercetak wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di hadapan ibu pejabat Umno sebagai simbolik tuntutan mereka terhadap kempen kebebasan akademik yang diperjuangkan selama ini.
Pengarahnya, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi  berkata, tindakan para mahasiswa tersebut sebenarnya rentetan daripada rasa mual mereka terhadap dunia akademik di Malaysia yang semakin lesu dan terkongkong oleh sikap Kerajaan Umno Barisan Nasional yang terus menekan para ahli akademik yang berani bersuara demi kebenaran.
Katanya, Juham melihat tindakan para mahasiswa tersebut adalah tindakan yang berani dan merupakan suatu manifestasi kepada hak dan kebebasan mereka untuk bersuara sepertimana yang dibenarkan oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, jelasnya mahasiswa harus menjadikan perkara itu sebagai suatu momentum untuk terus maju ke hadapan tanpa gusar dan takut dengan ugutan-ugutan bacul dari Umno Barisan Nasional dan konco-konconya.
Malah, ujarnya Juham melihat perarakan kumpulan pelajar pro-Aspirasi yang menjadi budak-budak suruhan Umno berdemonstrasi di hadapan bangunan kementerian pengajian tinggi baru-baru yang menuntut Datuk Saifuddin Abdullah supaya meletakkan jawatan kerana didakwa "terlalu mesra" dengan pelajar pro-Mahasiswa, tidak lain dan tidak bukan adalah tindakan terdesak Kerajaan Umno Barisan Nasional yang malu apabila kain bercetak wajah Presiden mereka diturunkan.
"Sekiranya mereka benar-benar berani dan yakin dengan pendirian mereka, kenapa kumpulan pelajar pro-Aspirasi tersebut enggan untuk berjumpa Datuk Saifuddin Abdullah walaupun telah diminta berbuat demikian," ujarnya kepada Harakahdaily.
Juham selanjutnya, kata beliau mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah menyerahkan notis kepada aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim supaya menghadiri sesi pendengaran tatatertib pada 9 Januari berhubung insiden menurunkan bendera tersebut.
Tegasnya, Juham melihat tindakan UPSI tersebut seumpama menghina keputusan Mahkamah Rayuan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, tambahnya UPSI dan lain-lain institut pengajian tinggi seharusnya mengambil sikap menghormati keputusan mahkamah tersebut yang mengiktiraf hak kebebasan bersuara mahasiswa.
Tambahnya lagi, tindakan UPSI tersebut jelas mencerminkan tindakan terdesak Umno Barisan Nasional bagi menakut-nakutkan mahasiswa kerana Umno sedar bahawa mahasiswa merupakan kuasa perubah yang besar dan mampu menggulingkan mereka dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.
Juham, jelasnya dari dulu, kini dan selamanya tanpa jemu sentiasa berpegang dan berpegang teguh kepada kebebasan untuk bersuara di mana ia adalah suatu hak asasi kepada semua rakyat Malaysia dan ia jelas termaktub di dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun dinafikan oleh Kerajaan Umno Barisan Nasional.
"Justeru, Juham yang terdiri daripada barisan peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong para mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di mahkamah," katanya.
Malah, ujarnya Juham bersedia untuk memberikan khidmat nasihat guaman percuma kepada para mahasiswa sekiranya mereka dipanggil untuk menghadiri tindakan tatatertib sebagai bukti sokongan padu pihaknya kepada gerakan mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan.
"Akhirnya, Juham mengucapkan syabas kepada seluruh mahasiswa atas keberanian mereka dan Juham menyeru mahasiswa sekalian supaya terus maju ke hadapan tanpa rasa gentar dan takut dalam menyuarakan kebenaran yang merupakan hak asasi anda semua dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi negara," tegasnya.

Pemergian Dr Muhammad kehilangan besar buat PAS

Posted: 24 Dec 2011 07:18 PM PST

KUALA LUMPUR, 24 Dis: PAS menyifatkan pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tendong, Dr Muhammad Md Daud (gambar) ke rahmatullah sebagai satu kehilangan besar buat parti. 

Namun, pemergian Allahyarham ke rahmatullah malam tadi sememangnya telah diatur oleh Allah, walaupun ketika ummah masih memerlukan beliau untuk berkhidmat kepada agama dan rakyat. 

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, bagi pihak PAS, beliau amat terasa dengan pemergian Allahyarham dan mengucapkan takziah di atas pemergiannya.  

Menurutnya, PAS sangat menghargai pengorbanan Allahyarham dalam memperjuangkan hak-hak rakyat khususnya di Kelantan sepanjang berada dalam bahtera parti dan berkhidmat sebagai Adun. 

Katanya, beliau serta seluruh kepimpinan dan ahli-ahli parti berdoa semoga Allah membalas jasa beliau dan menempatkan Allahyarham bersama orang-orang yang soleh yang istiqamah memperjuangkan agama Allah. 

"Saya juga mendoakan semoga ahli keluarga beliau, sahabat handai dan seluruh pendokong perjuangan Islam di Malaysia diberi kesabaran dan kekuatan berhadapan dengan pemergian beliau," katanya menerusi Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasaie Ismail ketika menghubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Pemergian Allahyarham, menurut Nasaie, sememangnya amat mengejutkan Abdul Hadi, tetapi ia mesti diterima dengan reda kerana segalanya telah ditentukan oleh Allah.   

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang, Terengganu berharap semoga seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS yang masih hidup dapat meneruskan usaha Allahyarham yang terbukti istiqamah sehingga ke akhir hayatnya.  

Allahyarham Dr Muhammad Md Daud, 64, telah pulang ke rahmatullah jam 12.55 malam tadi kerana dipercayai mendapat serangan jantung.

Jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di suraunya di Kampung Perakap, Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, tidak jauh dari rumahnya yang terletak di Lorong Haji Daud di kampung tersebut.

Solat jenazah diketuai Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan diikuti pemimpin-pemimpin PAS Kelantan.  

Turut hadir menyembahyangkan jenazah beliau bersama Tuan Guru Nik Aziz, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaacob dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri. 

Jenazah Allahyarham telah selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam yang terletak tidak jauh dari surau tersebut selepas solat Zohor hari ini.     

Pagi kelmarin Allahyarham sempat hadir ke Pasti Pasir Mas bagi mengambil bekalan banjir untuk diagihkan kepada penduduk dalam Dun Tendong yang mengalami banjir baru-baru ini.

Dun Tendong merupakan satu Dun di bawah Parlimen Pasir Mas, selain Dun Chetok dan Pengkalan Pasir yang dimenangi PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 tahun 2008 lalu.

Tiada ulasan:

Pengikut