Selasa, 13 Disember 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Kelantan bangga dengan perlantikan Timbalan Agong

Posted: 13 Dec 2011 12:55 AM PST

KOTA BHARU, 13 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa melahirkan rasa bangga beliau dan rakyat Kelantan atas perlantikan Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke V,  sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu kenyataannya, Husam yang juga Exco kerajaan negeri berkata, "Perkenan para kekanda ke Bawah DYMM Raja-Raja Melayu memilih Tuanku Sultan Kelantan selaku Timbalan Yang di-Pertuan Agong besar ertinya terhadap kedaulatan dan kebesaran Tuanku.

"Besar pula maknanya bagi seluruh rakyat Negeri Kelantan Darul Naim," kata Husam dalam satu kenyataan medianya.

Husam juga melahirkan keyakinannya,  Tuanku Faris Petra  mampu memberi makna kepada kesaksamaan kemajuan wilayah dan mengharumkan nama negeri ini dengan hemah, prihatin, bijaksana, berjiwa rakyat, mempunyai visi yang dinamik dan berdedikasi yang ada pada baginda.

"Selama ini, dalam tempoh yang singkat, Tuanku menjadi kebanggan rakyat Kelantan dan rasa bangga itu akan Insya Allah akan dikongsi pula oleh seluruh rakyat Malaysia," tegas Husam dalam kenyataannya.
Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Kelantan juga merakamkan 'sembah tahniah' di atas pengisytiharan Sultan Muhammad ke V memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Ketuanya, Abdul Latif Abdul Rahman, berkata pihaknya berbesar hati di atas perlantikkan itu.

"Semoga perlantikan tuanku membawa berkah dan keamanan di negeri Kelantan Tadahan Wahyu ini.

"Patik mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, merakamkan sembah tahniah kepada tuanku semoga tuanku di lindungi dunia dan akhirat,"ujarnya.
Syukur atas perlantikan Agong

Husam juga mempersembahkan ucapan tahniah dan rasa syukur di atas perlantikan DYMM Al Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah   dan DYMM Al Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, yang masing-masing selaku DYMM Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang ke 14.

Selaku rakyat yang menjunjung tinggi kelangsungan Kesultanan Melayu selaku teras utama politik negara menerusi konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen sejak turun temurun, saya merasa bangga dan bertuah menyaksikan perlantikan Tuanku berdua, kata Husam.

"Selaku DYMM Yang di-Pertuan Agong bagi kali yang kedua bagi Ke  Bawah DYMM Al Sultan Kedah, sudah tentu memberikan nostalgia zaman anak-anak saya dengan ketinggian budi, hemah, bijaksana  dan mesra rakyat ke Bawah Duli Tuanku sewaktu berada di atas singgahsana sebagai DYMM Yang di-Pertuan Agong bagi kali pertama dahulu.

"Insya Allah, dengan pengalaman luas dan berpandangan jauh lagi saksama yang dianugerahkan Allah kepada Tuanku, Malaysia akan terus bersatu maju, adil, makmur, maju dan aman damai," kata Husam.

Husam juga mengucapkan junjung kasih kepada DYMM  Yang di-Pertuan Agung ke 13, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin atas khidmat baginda yang cemerlang.

"Semoga Allah melanjutkan usia baginda dalam keadaan sihat dan 'afiat serta diberikan hidayah dan taufik yang berterusan," katanya dalam kenyataan itu.

Agong baru akan rapatkan Kedah dan Pusat

Posted: 13 Dec 2011 12:48 AM PST

ALOR SETAR, 13 Dis: Kerajaan negeri Kedah yakin, hubungan antara kerajaan negeri Kedah dengan Pusat selepas ini akan bertambah baik ekoran perlantikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Demikian kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak dalam sidang medianya semalam bagi mengucapkan tahniah kepada Tuanku Abdul Halim.
Ini adalah perlantikan yang kedua kalinya buat Tuanku Abdul Halim sebagai Yang DiPertuan Agung.

Bagi Azizan, pelantikan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim merupakan penghormatan bersejarah dan menjadi kebanggaan bagi seluruh rakyat Kedah.

Beliau berkata seluruh rakyat mendoakan agar baginda dan Sultanah Haminah Hamidun dilimpahi rahmat, dipanjangkan usia, sihat sejahtera serta dapat memerintah dengan penuh kedaulatan dan keamanan.

"Akan tetapi, rasa bangga patik-patik sekalian bercampur hiba, berat rasanya hati untuk berjauhan dengan seorang raja pemerintah, tempat sekalian patik bergantung harap selama ini," katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Pelantikan Jemaah Pemangku Sultan di Istana Anak Bukit di sini semalam.

Azizan berkata beliau mewakili seluruh anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, anggota-anggota perkhidmatan awam serta seluruh rakyat berikrar akan taat setia mencurahkan tenaga dan fikiran bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negeri itu.

Katanya agenda kerajaan negeri bagi menjamin kebajikan rakyat akan terus didokong dan hubungan baik dengan kerajaan persekutuan akan terus dijaga.

"Pastinya pesanan serta pandangan Tuanku yang konstruktif, galakan dan tunjuk ajar kepada kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat serta menekankan supaya keadilan, keamanan terus ditegakkan menjadi suntikan dan panduan bagi patik mengemudikan pentadbiran negeri," katanya.
Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut merafak sembah tahniah kepada Tuanku Abdul Halim.
Katanya, perlantikan Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong baru bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat negeri Kedah malah seluruh rakyat di negara ini.
"Kita memohon kesejahteraan kepada Tuanku untuk memerintah Malaysia.
"Kita harap pemerintahan baik Tuanku di Kedah akan disebarkan ke seluruh Malaysia," katanya.
Timbalan Agong
Sementara itu, rakyat Kelantan  menyambut baik perlantikan Sultan Kelantan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, yang dilantik Timbalan Yang di-Pertuan Agong, merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati penduduk negeri itu.

Tengku Muhammad Faris Petra, 42, putera sulung Sultan Ismail Petra, yang sering membahasakan diri baginda sebagai "kita", telah menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010.

Baginda yang gemar turun padang termasuk ke kawasan pedalaman serta perkampungan Orang Asli di Gua Musang dan Jeli, sering membahasakan diri baginda sebagai "kita".

Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Okt 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat yang dikenali sebagai berbaju "gumbang", berkopiah putih ketika melawat rakyat.

Penghina hudud jangan kurang ajar - Ridhuan Tee

Posted: 13 Dec 2011 12:47 AM PST

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kolumnis media Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah baru-baru ini menyelar pihak yang lantang menghina Islam khususnya hudud dan memberikan amaran kepada mereka.

Tanpa menamakan secara jelas, Mohd Ridhuan dalam tulisan yang disiar akhbar Sinar Harian kelmarin menggambarkan pihak yang dimaksudkannya adalah 'penzina' dan yang 'berlatar belakang menjijikkan'.

Katanya parti-parti politik atau orang bukan Islam boleh memberikan teguran dalam perkara lain seperti salah tadbir urus, salah laku peribadi, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi bila tiba kepada perkara berkaitan agama Islam, 'jangan terlalu kurang ajar'.

"Apatah lagi jika yang menegur itu, latar belakangnya amat menjijikkan. Seks rambang dan perzinaan sudah menjadi budaya hidupnya.

"Saya masih lagi boleh bersabar jika mereka tidak menerima 'hudud Pas'. Tetapi cara mereka bercakap tidak menampakkan rujukan kepada 'hudud PAS', tetapi menghina Islam secara keseluruhan dan isi kandung al-Quran. Perbuatan ini amat melampau," tulisnya.

Biarpun tidak dinyata dengan jelas siapa sasaran tulisannya, namun ianya dipercayai ditujukan kepada Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Ini kerana, dalam tulisannya itu beliau merujuk kepada kenyataan yang mendakwa pelaksanaan hukum hudud akan membawa kepada kemusnahan ekonomi negara dan binasa diri.

Ianya termasuk dakwaan bahawa pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan "binasa diri" jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia yang pernah diucap Soi Lek pada satu forum di Wisma MCA baru-baru ini.

"Jangan bermain dengan api wahai penzina. Ini bukan kali pertama beliau mengeluarkan kenyataan yang menghina Islam. Apakah kita boleh menerima kenyataan seperti pelabur-pelabur akan meninggalkan Malaysia manakala negara akan berhadapan dengan 'binasa diri' jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia.

"Persoalan saya, apakah Malaysia akan menjadi daya tarikan pelabur-pelabur dengan lambakan pelacur-pelacur yang datang daripada Cina dan Vietnam yang datang 'memberi khidmat'?


"Apa matlamat sebenar membawa masuk mereka ini? Apakah mungkin beliau turut melanggan kerana memang menjadi kesukaannya menyimpan mistres?" soalnya lagi.

Dalam nada tegas, beliau yang juga penyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia turut mengingatkan pihak tersebut tidak mencampuri urusan orang Islam khususnya berkaitan dengan soal hudud.

Apatah lagi katanya jika seseorang itu berlainan bidang kepakaran, maka sewajarnya tidak perlu banyak mengulas tentang bidang yang lain.

"Jika bidang beliau mengenai kesihatan seperti mana jawatan yang pernah dipegang sebelum ini, lebih baik dia bercakap mengenai keburukan yang dibawa hasil seks luar nikah atau seks rambang atau penzinaan," tegasnya.

Soi lek sebelum ini juga mendakwa sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa.

Selain itu beliau turut meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan ia juga akan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan.

"Wah! bukan main pandai lagi beliau meramal seperti nujum.

"Justeru, tunggu apa lagi, marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti dan ideologi, mempertahankan Islam yang semakin lama semakin berani dimamah dan diratah oleh ultra kiasu yang wujud di mana-mana, termasuk dalam Barisan Nasional," kata Ridhuan.

Peneroka tuntut Datuk Zulkifli kekal, Isa undur

Posted: 13 Dec 2011 12:47 AM PST

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Kira-kira 50 wakil peneroka Felda daripada beberapa negeri hari ini menyerahkan memorandum menyokong Pengarah Besar Felda, Datuk Zulkifli Abd Wahab di Ibu Pejabat Felda, Jalan Gurney, dekat sini.

Memorandum sokongan itu ekoran tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengarahkan Zulkifli bercuti dan mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan bagi meningkatkan prestasi untuk melakukan transformasi Felda.

Ia merupakan cadangan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad melalui surat yang dihantar kepada Najib bertarikh 21 November.

Arahan bercuti dikeluarkan melalui surat yang diikeluarkan Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri 25 November lalu.

Difahamkan, Zulkifli mula bercuti 25 November lalu dan telah berlepas ke London minggu lalu.

Memorandum yang diserahkan kepada  wakil Felda, Muhamad Ibrahim antaranya menuntut Perdana Menteri menarik balik arahan bercuti itu dan menggugurkan Isa daripada jawatannya.

Mereka diketuai Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman berarak kira-kira satu kilometer menuju ke bangunan Felda dengan diawasi kira-kira 30 anggota polis beruniform termasuk polis cawangan khas.

Mereka melaungkan "undur Isa Samad", "hidup rakyat" sambil membawa sepanduk bertulis "kami sayang Zul, benci Isa".

Bercakap kepada media selepas penyerahan memorandum, Mazlan berkata, pihaknya amat kesal dengan tindakan yang dilakukan terhadap Zulkifli yang dianggap sebagai seorang yang sangat amanah dan berdedikasi dalam tugasnya.

"Kami yakin tindakan ini sebenaranya penyingkiran kepada Datuk Zul.

"Ia tidak beretika dan biadap terhadap Ketua Eksekutif Kumpulan yang mempunyai 23 kakitangan," katanya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Menurut Mazlan, Isa tidak senang dengan Zulkifli kerana menganggap Zulkifli menghalang usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia.

"Dalam mesyuarat lembaga pengarah, Datuk Zul pernah mempersoal di mana Felda nak cari duit untuk bayar gaji kakitangan Felda RM1.5 bilion bila FGVH melabur dalam Bursa Malaysia. Isa tidak senang kerana mengganggu usahanya untuk penyenaraian," jelas beliau.

Rakyat Perak masih taruh harapan pada Nizar

Posted: 13 Dec 2011 12:47 AM PST

KUALA LUMPUR, 13 Dis: Dewan Pemuda PAS Perak mendakwa terdapat usaha dari pihak tertentu yang akan cuba mencemarkan imej dan nama baik bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) menjelang PRU-13 nanti.
Tindakan itu, kata mereka ekoran Mohamad Nizar masih mendapat sokongan dan menjadi harapan seluruh rakyat negeri itu untuk kembali memegang tampuk kepimpinan kerajaan negeri.

Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata, faktor sokongan padu rakyat terhadap Nizar itu juga turut menjadi kebimbangan besar BN negeri itu terutama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

"Pada kami, sebenarnya Barisan Nasional (BN) Negeri Perak amat bimbang perkara tersebut dan cuba memastikan imej Datuk Seri Nizar diburukkan dengan pelbagai serangan.

"Kami yakin rakyat sedang menunggu untuk menyuarakan 'undi' mereka bagi memastikan Datuk Seri Nizar dan PR meneruskan pentadbiran bersih yang 'terhenti' dalam tempoh 11 bulan sahaja," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Pada masa sama jelasnya, Umno Perak kini sedang berdepan krisis dalaman apabila ramai di kalangan pemimpin Umno negeri itu kurang senang dengan Zambry dan mahu teraju kepimpinan negeri itu diganti orang lain.

Zambry juga dikatakan bukan calon pilihan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kebanyakkan pimpinan Umno Bahagian terutamanya kurang senang dengan kepimpinan Datuk Seri Zambry berikutan ramai dikalangan mereka adalah penyokong kepada bekas Menteri Besar Perak ke-9 iaitu Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali.

"Kami mencabar BN Perak agar segera menamakan siapakah calon Menteri Besar jika BN Perak berjaya kembali mentadbir Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti," katanya.

Mega Dinner Anak Kelantan Di Lembah Klang

Posted: 13 Dec 2011 12:22 AM PST

BR1M: Jangan untung sehari, rugi 5 tahun

Posted: 12 Dec 2011 04:01 PM PST

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Rakyat dinasihatkan agar sedar bahawa Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanyalah sogokan dan umpan Umno BN menjelang pilihan raya umum ke-13 yang boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf (gambar) berkata, bantuan sebanyak RM500 secara one off itu hanya bersifat sementara, sebaliknya rakyat akan terus menanggung beban kenaikan harga barang dan kos sara hidup selagi menyokong Umno BN.

"Jangan rakyat untung sehari, tapi rugi lima tahun kerana berada di bawah pemerintahan Umno BN.

"Fenomena pemberian one off ini sedang rancak berlaku sekarang. Ini budaya sogok yang sudah lama berlaku dalam pemerintahan Umno BN," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Siti Zailah juga berkata, rakyat terutamanya yang mempunyai tanggungan ramai tidak seharusnya terlalu teruja dengan jumlah RM500 itu kerana ianya tidak berbaloi dengan harga barang yang tinggi.

"Rakyat kena celik sikit, pemberian cuma RM500. Kalau ada anak ramai, tak cukup pun hendak membeli keperluan sekolah dan sebagainya sedangkan dalam tempoh lima tahun lagi, terpaksa melalui masa-masa sukar," katanya yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang.

Sabtu lalu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah melancarkan BR1M di Dewan Komuniti 1Malaysia, Chemor.

Menurutnya, jumlah isi rumah yang layak itu diperoleh daripada pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan permohonan akan dirujuk semula antaranya melalui semakan pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurutnya, jumlah isi rumah yang layak memohon itu diperolehi daripada pangkalan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan permohonan akan dirujuk semula antaranya melalui semakan pihak Bank Negara Malaysia (BNM).

"Kumpulan sasaran terdiri mereka yang berpendapatan kurang RM3,000 bagi satu isi rumah dengan ramai tanggungan, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan anggota keluarga berdaftar di bawah program eKasih.
Sementara itu, menyentuh mengenai Umno BN yang mempersoalkan hanya sebuah masjid berjaya didirikan oleh Kerajaan Negeri Kelantan, Siti Zailah berkata, apa yang harus diberi perhatian bukan kuantiti, tetapi cara masjid itu diimarahkan.

"Kenyataan BN itu menggambarkan betapa jauhnya pemimpinnya dengan ajaran Islam.
"Dalam sejarah dulu, kaum munafik mendirikan Masjid Dirar bagi menyaingi masjid yang didirikan para sahabat dan Rasulullah mengarahkan masjid itu dibakar," katanya.

Siti Zailah berkata, Menteri Besarnya, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih gemar mendidik rakyat negeri itu agar menginfakkan wang untuk membina masjid.

"Tok Guru Nik Aziz mahu masjid yang didirikan itu hasil kutipan derma daripada rakyatnya sendiri kerana pahala menderma untuk pembinaan masjid itu sampai ke akhirat," katanya.

NFC: Muhyidin kena undur bersama Sharizat

Posted: 12 Dec 2011 03:59 PM PST

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berpendapat, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin lebih bertanggungjawab atas skandal yang berlaku dalam Perbadananan Feedlot Kebangsaan (NFC).

Ini kerana, ketika pinjaman mudah RM250 juta itu diberikan, Muhyidin sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani adalah pihak yang bertanggungjawab memantau projek itu.

"Shahrizat sebagai menteri dan suami kepada Pengerusi Eksekutif NFC dan ibu kepada anak-anaknya yang menjadi pengarah NFC juga bertanggungjawab, namun bagi saya Muhyidin sebagai menteri lebih bertanggungjawab.

"Oleh itu, bukan Shahrizat sahaja yang kena letak jawatan, Muhyidin juga tidak terlepas," kata Mohamad Sabu kepada Harakahdaily.
Beliau ditemui di majlis pelancaran buku Haji Subky Latif, Anak Apak, yang dilancarkan oleh Datuk A Samad Said di Mid Valley Mega Mall hari ini. (gambar)

Mohamad mengulas desakan demi desakan agar Shahrizat meletakkan jawatan ekoran skandal NFC yang melibatkan pinjaman mudah RM250 juta kerajaan tetapi digunakan untuk tujuan lain itu.

Terbaru Tun Dr Mahathir juga campur tangan yang meminta Shahrizat meletakkan jawatan sebelum dia dihalau dari Kabinet.

Sebelum itu, tiga pemimpin Umno Ghafur Salleh, Bung Mokhtar Radin dan Syed Ali Al Habshi juga mendesak Shahrizat meletakkan jawatan.

Pengerusi Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik juga mengulasnya dengan berkata, pimpinan Umno seharusnya mengambil tindakan.

NFC ditubuhkan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke 9 (RMK-9) untuk meningkatkan hasil daging negara dari bergantung kepada negara asing.

Namun, ia semacam telah diselewengkan termasuk membelanjakan wang pinjaman itu untuk pembelian kondo dan kereta mewah serta memberikan gaji yang mahal kepada pemimpin projek itu iaitu keluarga Shahrizat.

Muhyidin selaku menteri berkaitan ketika itu diberikan tanggungjawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi untuk melaksanakannya.

Menteri Pertanian Industri Asas Tani sekarang, Datuk Seri Noih Omar berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai pinjaman itu kerana ia tidak pernah diluluskan dalam Kabinet.

Ketika itu, Noh turut berada dalam Kabinet tetapi menjaga portfolio lain.

Beliau menafikan keputusan mahu menganugerahkan projek NFC pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Kabinet.

"Saya boleh sahkan bahawa NFC (sebenarnya) terletak di bawah Jawatankuasa Projek Impak Tinggi dan ketika pinjaman diluluskan kepada NFC, ia bukan di bawah Kabinet, tidak (disebutkan) dalam mesyuarat (Kabinet)," kata beliau kepada pemberita di sini.

Noh, bagaimanapun enggan menyebut nama pegawai yang bertanggungjawab ke atas jawatankuasa yang menghalusi perkara berkenaan.

Jumaat lepas, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mencadangkan agar kerajaan merampas harta termasuk kondo dan kereta mewah NFC untuk mengurangkan kerugian yang ditanggung kerajaan.
Mahfuz sokong
Pandangan Mohamad disokong Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) yang berkata, adalah tidak wajar jika tekanan hanya diberikan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sahaja, sedangkan projek yang dianugerahkan kepada syarikat suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat itu diluluskan sendiri oleh kerajaan khususnya Kementerian Pertanian.

"Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sendiri sahkan wang dikeluarkan kepada akaun khas dengan kelulusan pihak kementerian pertanian.

"Siasatan menyeluruh wajib diadakan bukan sahaja kepada dakwaan penyalahguanaan wang RM250 juta itu oleh keluarga Shahrizat, tetapi juga kena siasat pihak kementerian dan kabinet," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

PAC sebelum ini juga mendedahkan duit RM250 juta tersebut habis dikeluarkan dari tahun 2008 hingga 2009, namun perjanjian hanya dibuat pada 2010.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sebelum ini juga menjelaskan bahawa kelulusan pinjaman RM250 juta dan penganugerahan projek tidak dibuat di Kabinet, sebaliknya di peringkat Jawatankuasa Projek Impak Tinggi yang dipengerusikan Perdana Menteri sendiri.

"Apakah jawatankuasa itu sahaja yang buat keputusan? Tanpa kelulusan kabinet?

"Muhyiddin selaku bekas menteri juga perlu dipertanggungjawab. Kita nak tahu apa bentuk perbincangan yang menyebabkan kabinet luluskan projek ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata, rakyat tidak mahu kes Fidlot ini sama mengulangi apa yang berlaku pada skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) di mana kabinet hanya sedar ditipu hanya selepas menteri berkenaan bersara.

"Lepas menteri pencen baru kabinet sedar kena tipu.

"Kita tidak mahu Fidlot ini jadi macam PKFZ, sebab itu kita minta siasatan menyeluruh ketika semua menteri terlibat masih belum pencen lagi ni," katanya.
Salleh kena jelaskan
Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta Pengerusi Eksekutif Perbadanan Fidlot Nasional (NFC), Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail menjawab sendiri tuduhan terbaru mengenai projek itu bagi mengelak rakyat berterusan menyalahkan kerajaan.

Katanya, sikap berdiam diri Mohamed Salleh menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung beban dituduh bersubahat sedangkan semua dakwaan melibatkan urusan syarikat.

"Saya gesa Mohamad Salleh tampil ke depan dengan segera untuk menjawab segala tuduhan baru yang tersebar di dalam blog, yang dibuat oleh pembangkang supaya rakyat tidak terkeliru dan kerajaan tidak menjadi mangsa tuduhan.

"Bila berdiam diri, tak jawab segala dakwaan, seolah-olah dia tidak bertanggungjawab, seolah-olah dia sengaja nak susahkan Umno dan kerajaan," katanya kepada Bernama Ahad.

Mohd. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, tuduhan berhubung pembelian tanah di Putrajaya, menerima elaun RM100,000 dan memberi elaun RM40,000 kepada anak sendiri serta pembelian kereta mewah, yang kesemuanya menggunakan dana syarikat, perlu dijawab segera bagi mengelakkan kekeliruan selain turut memberi kesan negatif terhadap kerajaan.

Doktor saksi ketiga kes Husam saman blogger

Posted: 12 Dec 2011 03:59 PM PST

KOTA BHARU, 12 Dis: Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa menolak andaian peguam, nama Faisal Rohban dan Mohd Faisal Mohd Rohban Ahmad adalah orang berlainan.

Beliau berkata, blogger terbabit yang menggunakan nama Ruang Bicara Faisal (RBF) adalah orang yang sama biar pun memaparkan nama berlainan dalam blognya.

Sebelum itu peguam Adly Abdul Manas mewakili Mohd Faisal cuba menimbulkan keraguan tersebut pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

Ketika awal perbicaraan Adly membantah peguam plaintif, Hisham Fauzi mahu memanggil semula saksi pertama dan kedua kes saman Husam terhadap blogger terbabit.

Bagaimanapun Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim membenarkan peguam plaintif memanggil semula saksi pertama, Husam dan saksi kedua Mohd Syahfarin Ali Rajkumar Abdullah, 40 pada prosiding berkenaan.
Hisham turut dibantu peguam Zainal Abidin Mustafa dan Hazalawati.

Faisal dalam blognya ruangbicarafaisal.blogspot.com pada 3 Oktober 2009 menulis rencana berunsur fitnah terhadap Husam yang bertajuk, "Husam dan Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta."

Husam dalam pernyataan tuntutannya menjelaskan artikel disiarkan dalam blog defendan adalah menggelirukan dan bermaksud memberi gambaran buruk serta tidak benar terhadapnya.

Ekoran itu plaintif melalui peguam mengemukakan notis menuntut defendan memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi.

Husam menuntut defendan memohon maaf secara bertulis tanpa syarat kepadanya, menyiar permohonan maaf dalam blognya, mengiklan permohonan maaf dalam akhbar harian utama, membayar ganti rugi RM500,000.
Selain itu gantirugi teladan, gantirugi melampau, punitif, injuksi menghalang defendan atau agen mengulangi penerbitan kenyataan tersebut.

Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, pada awalnya tulisan memfitnahnya turut dipetik dalam banyak blog proUmno yang juga memuatkan gambar Faisal. Bagaimanapun selepas fail saman dikemukakan Husam memberitahu gambar Faisal dihilangkan dalam blognya dan milik group Umno.

Bagaimanapun hakim menegur peguam defendan kerana cuba menimbulkan kekeliruan mengenai siapa sebenarnya pemilik blog terbabit.

Mohd Syahfarin ketika tampil di kandang saksi bagi kali kedua juga memberitahu mahkamah, beliau cam penulis blog terbabit dan ada dalam mahkamah.

Pihak plaintif juga akan memanggil seorang lagi saksi, Dr Ahmad Sharwan Mohd Sidek yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II. Perbicaraan bersambung pagi esok.

Peguam Anwar berjaya patah hujah pendakwa

Posted: 12 Dec 2011 03:58 PM PST

KUALA LUMPUR, 12 Dis: AJK PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaffar yang turut hadir mengikuti sesi penggulungan hujah kes liwat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika perbicaraan itu dilakukan secara adil akan memihak kepada Anwar.

Beliau yang ditemui di perkarangan lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberitahu peguam Anwar telah memberikan bukti yang begitu banyak dan dari segi teknikal amat mustahil untuk hakim membuktikan Anwar bersalah.

"Bukti-bukti begitu terperinci telah dikemukakan oleh peguam-peguam Anwar dan segala hujah pihak pendakwa sebelum ini telah dapat dipatahkan oleh barisan peguamnya.

"Begitu juga berkaitan dengan DNA ataupun bukti Saiful berada di kondominium sewaktu kejadian fitnah tersebut, malah bukti-bukti yang menimbulkan kesangsian," jelasnya.

Beliau begitu yakin dengan pengadilan yang adil akan mendapati begitu banyak keraguan yang telah ditimbulkan oleh pihak pembela hari ini.

"Sewaktu pihak pembela mengemukakan hujah pihak pendakwa tidak sedikit pun bangun untuk mencelah atau mencabar, sudah tentu mereka akan memberikan hujan mereka esok dan mereka mengatakan hanya memerlukan masa dua jam untuk mengemukakan hujah mereka.

"Dalam pada itu saya amat yakin bahawa pembelaan yang dilakukan oleh barisan peguam Anwar itu amat berkesan," katanya lagi.

Sementara itu, mahkamah yang bersidang semula jam 2 petang tadi memperlihatkan peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sankara Nair berhujah dengan menyifatkan Saiful Bukhari adalah seorang penipu.

Beliau yang memulakan hujah menyatakan banyak fakta serta kenyataan yang dinyatakan oleh Saiful bersifat luar biasa, seperti menipu apabila mendakwa pintu kondominium tempat kejadian ditutup dan dikunci dengan rapat.

Menurutnya lagi, jika benar pintu tersebut dikunci rapat siapakah yang telah menghidang kopi dan karipap yang didakwa telah dimakan oleh Saiful dan Anwar selepas kejadian fitnah tersebut.

Berkenaan dengan Saiful yang mendapatkan nombor telefon bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan juga sesuatu yang aneh di mana beliau mendapat nombor telefon tersebut dengan cara mencuri dengar perbualan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada waktu itu.

Sankara berhujah, mana mungkin Timbalan Perdana Menteri tidak mempunyai nombor telefon Ketua Polis Negara ketika itu.

Dalam pada itu, Sankara bercakap kepada media menjelaskan sesi penggulungan hujah pihak pembelaan sudah selesai dan menunggu pihak pendakwa mengemukakan hujah mereka esok.

"Hari ini kita telah tamat mengemukakan hujah bagi pihak pembela dan esok pihak pendakwa akan memulakan hujah mereka sebelum Hakim menentukan tarikh keputusan.

"Selesai sahaja pihak pendakwa mengemukakan hujah, pihak pembela diberi peluang untuk menjawab hujah pihak pendakwa.

"Mungkin esok atau lusa mahkamah akan menentukan bila keputusan akan diputuskan dan kalau pihak pembela tidak dapat habiskan esok hujah terhadap pihak pendakwa kita akan meminta tempoh untuk satu hari lagi," jelasnya.

Sementara itu, Anwar memberitahu, peguamnya telah selesai mengemukakan hujah penggulungan.
"Hari ini peguam telah mengemukakan hujah penggulungan pembelaan dan kalau mengikut kepada fakta serta undang-undang maka kes ini telah habis, inilah yang kita tunggu iaitu mendengar keputusan dari hakim.

"Mereka yang kecam kita tidak pernah hadir mendengar segala perbahasan di dalam mahkamah dan kalau mereka yang mengikut perbicaraan ini secara teperinci segala hujah-hujah pihak pendakwa telah dapat dipatahkan, begitu juga segala bukti-bukti yang mereka kemukakan.

"Kita tunggu keputusan dan pihak pendakwa akan memulakan hujah mereka esok pada jam 1.30 petang," jelasnya.

Liwat II : Ucapan Najib boleh pengaruhi mahkamah

Posted: 12 Dec 2011 03:57 PM PST

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Peguam Karpal Singh dalam hujah penggulungannya pagi tadi mendakwa ucapan Datuk Seri Najib pada Perhimpunan Agung Umno lalu yang menyerang Datuk Seri Anwar adalah campur tangan berat dalam kes Liwat II.

Tindakan itu juga ujarnya bukan sahaja menghina mahkamah malah boleh mempengaruhi keputusan yang akan dibuat.
Sementara itu, Anwar yang ditemui juga turut menyatakan pendirian sama dan mahu mahkamah mengambil perhatian berhubung perkara itu.

"Melihat kepada perbicaraan sebelum ini kita telah menyediakan segala bukti yang mencukupi dan fakta yang jelas terhadap kes tersebut.

"Tetapi apa yang dilakukan tadi Peguam Karpal Singh telah menyatakan bahawa ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agong Umno yang lalu telah menyerang saya secara terus," kata Anwar ketika mahkamah berehat seketika tengah hari tadi.

"Ini dilihat sebagai menghina perjalanan perbicaraan kes hari ini dan ia dilihat dapat mempengaruhi rakyat serta keputusan yang akan dibuat nanti," katanya yang juga ketua pembangkang.

Selain itu, pada penggulungan pagi tadi, Karpal turut mendesak mahkamah memanggil semula Timbalan Pendakwa Raya, Farah Azlina dan penuduh Saiful Bukhari bagi memastikan keputusan perbicaraan dapat dijatuhkan dengan adil.

Menurut Karpal, mereka perlu dipanggil kerana sehingga kini kedua-duanya belum menafikan hubungan di antara mereka berdua.

Hubungan antara Farah dan Saiful menurut Karpal, membolehkan Saiful mempunyai akses kepada kertas pendakwaan.

Dalam pada itu, perbicaraan liwat II yang bermula hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar penggulungan hujah kedua-dua pihak.

Hujahan yang sepatutnya dijadualkan pada 23 hingga 24 November lalu berlangsung hari ini di hadapan hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Turut hadir mendegar penghujahan hari ini adalah Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail; Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul. Tiba lebih awal adalah Pengarah Biro Guaman PKR, Latheefa Koya, Naib Presiden N Surendran, dan Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Kes Bukit Kepong: Peguam akan failkan rayuan

Posted: 12 Dec 2011 03:57 PM PST

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Peguam Mohamad Hanipa Maiden berkata, beliau akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan ekoran penolakan saman Mohamad Sabu ke atas akhbar Umno, Utusan Malaysia.

Ini kerana, penolakan saman oleh Mahkamah Tinggi baru-baru ini adalah isu teknikal yang sebelum ini tidak menjadi kesalahan kepada kes yang lain.

"Apa yang berlaku adalah mahkamah menyalahkan permohonan saman itu kerana saya tidak masukkan sebab penuh saman itu dalam saman tetapi memasukkannya dalam afidavit yang dikepilkan sekali.

"Semasa saya failkan kes Khalid Samad terhadap Utusan, saya menang kes itu walaupun cara yang saya buat sama sahaja.

"Jadi ia soal tafsiran yang saya rasa saya betul dan tidak menjejaskan permohonan Mohamad dan tidak menjejaskan hak pihak defendan kerananya.
(Hanipa bercakap dengan A Samad selepas pelancaran buku Subky, Anak Apak di Mid Valley Megamall)
"Oleh itu, saya akan merayu kepada Mahkamah Rayuan terhadap penolakan ini," kata Hanipa kepada Harakahdaily.
Hanipa ditemui di majlis pelancaran buku Haji Subky Latif, Anak Apak, yang dilancarkan oleh Datuk A Samad Said di Mid Valley Megamall hari ini.

Mahkamah Tinggi di sini pada 6 Disember lepas menolak Mohamad terhadap Utusan Melayu (Malaysia)Berhad berhubung penerbitan satu artikel mengenai isu komunis Bukit Kepong.

Hakim Datuk John Louis O'Hara memutuskan saman yang difailkan plaintif (Mohamad) merupakan kes biasa dan jelas untuk ditolak, tanpa adanya kenyataan sokongan yang mencukupi mengenai butiran penerbitan dalam saman itu.

Oleh itu, katanya, saman itu menyakitkan hati, tidak serius, melampau dan menyalahguna proses mahkamah.

Katanya, plaintif (Mohamad) perlu mengesahkannya dengan butiran penerbitan yang mencukupi dalam samannya, yang diperlukan di bawah undang-undang.

Papan tanda hospital sudah naik lalang

Posted: 12 Dec 2011 03:56 PM PST

PENSIANGAN, 12 Dis: Janji manis sebuah kerajaan Barisan Nasional Sabah di daerah ini sudah tidak memberi apa-apa erti lagi.

Pembangunan sebuah hospital yang dijanjikan sejak beberapa tahun lalu kini umpama 'hospital lalang' yang tidak ubah mencekik duit dan nyawa rakyat.

Yang Dipertua PAS Pensiangan, Hisammuddin Sulaiman berkata, janji yang diberikan Barisan Nasional kepada penduduk kawasan Pensiangan dan Keningau ibarat 'janji pilihanraya' yang mencekik darah dan nyawa rakyat.

"Janji hospital 5 tahun dulu, hari ini janji lagi… nak buat klinik. Tanah yang rata dah tumbuh lalang. Bukan pendek-pendek… tapi datanglah tengok sendiri.

"Papan tanda pun dah nampak nak terbalik, macam beri signal BN akan terbalik macam itu," katanya dalam nada yang marah.

Menurutnya, pendedahan yang dibuat oleh Ketua Daerah Nabawan, OKK Sayau dalam sebuah akhbar tempatan Utusan Borneo mengesahkan lagi mengenai ketidakupayaan sebuah kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Musa Aman yang hanya berjanji tapi tidak melaksanakan.

"Bukan saya yang dedahkan maklumat ini. Rakyat Sabah sudah baca kenyataan ini yang dikeluarkan sendiri oleh rakyat Sabah," jelasnya.

Kata Hisammuddin, keresahan rakyat terutama golongan ibu yang mengandung yang menghadapi kesukaran mendapat bantuan di saat kelahiran bayi.

"Bayangkan ibu-ibu yang ingin melahirkan bayi terpaksa mengharungi jalan berbatu sejauh di pedalaman Sook menuju ke hospital terdekat di Keningau.

"Ada kemungkinan tidak sempat tiba di hospital, anak sudah dilahirkan dalam perjalanan," dakwanya.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Sabah mendesak kerajaan negeri menyediakan prasarana yang mencukupi di Klinik Nabawan.

"Klinik ini bukan kekurangan kakitangan, malah ubat-ubatan yang diperuntukkan tidak mampu menampung keperluan penduduk," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut