Khamis, 1 Disember 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Syor PSC perlu dilaksana pada PRU13

Posted: 01 Dec 2011 05:48 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Dis: PAS mahu kerajaan melaksanakan segala syor yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya di Dewan Rakyat hari ini pada PRU13 nanti.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr. Mohd Hatta Ramli berkata, adalah sia-sia jika syor tersebut dibentang kepada kerajaan sekiranya ia dibakul sampahkan.

"Paling penting kita minta usul yang dibahaskan ini diguna pakai untuk pilihan raya umum ke-13.

"Kalau pilihan raya bulan depan, bulan depan lah syor ini dilaksanakan," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Krai kepada Harakahdaily hari ini.

Beliau mengulas 10 syor PSC yang dibentang di dewan rakyat hari ini.

Syor tersebut antara lain mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminda segera peraturan pilihan raya agar dakwat kekal boleh digunakan pada PRU akan datang.

Selain itu, beberapa syor turut dikemukakan untuk menambahbaik sistem pengundian awal, pengundi tidak hadir luar negara, pengundi luar kawasan, penukaran alamat pusat mengundi, pembersihan daftar pemilih, pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan, ketelusan proses mengundi, proses ulang kira kertas undi, penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan SPR.

Mengulas lanjut, Mohd Hatta yang juga salah seorang anggota PSC tersebut berkata, jika ia tidak dilaksana, bermakna reformasi pilihan raya yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya satu pembohongan.

"Kalau tidak dilaksana, maka kerja PSC yang dipilih oleh parlimen ini hanya sia-sia. Rakyat akan menilai ini semua.

"Kalau diluluskan tetapi tidak ada apa-apa tindakan, maknanya ini satu pembohongan kerajaan BN kepada rakyat," katanya.

PAS lawan Umno, tak kan yang menang DAP

Posted: 01 Dec 2011 05:48 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Dis: "Budak tadika pun tahu jawapannya, jika Umno lawan PAS, yang menang sudah tentu antara Umno atau PAS," kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika merasmikan Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di Dewan Merdeka PWTC pada 29 November lalu yang menyatakan DAP ganti PAS, bukan PAS ganti Umno.
"Sifir mana Timbalan Presiden Umno ini belajar.
"Bagaimana Najib lawan Muhyidin yang menang ialah Chua Soi Lek. Analogi yang tidak masuk akal langsung," ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, kalau itulah kenyataan yang keluar daripada seorang Menteri Pelajaran, maka amat malanglah rakyat Melaysia kerana lain yang ditanya maka lain pula yang dijawab.
Tambahnya, Timbalan Presiden Umno menyebut DAP ganti PAS sebagi strategi Umno untuk menakutkan rakyat daripada memilih PAS dan meninggalkan Umno walaupun anologi beliau sebagai orang yang pening lalat.
Menurutnya, rakyat Malaysia sedar Persidangan Umno pada kali ini akan menjadi pesta memaki hamun dan memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat.
Ini, ujarnya adalah strategi Umno untuk menutup kelemahan Umno yang menjadi teras kepimpinan negara.
Katanya lagi, parahnya pentadbiran negara telah didedahkan oleh Ketua Audit Negara, sebaliknya pujian urus tadbir cemerlang diberi kepada negeri Pakatan Rakyat.
"Walaupun Tan Sri Muhyiddin cuba menakutkan rakyat terutama orang melayu daripada  menyokong PAS, kononnya DAP yang mengganti PAS tetapi rakyat semakin cerdik dan tahu siapa sebenarnya pengkhianat RM52 bilion saham bumiputera, RM32 juta wang PPRT, 1.3 juta hektar tanah rezab melayu digadai di bawah kepimpinan Umno.
"Jika inilah yang berlaku layaklah PAS ganti Umno," ujarnya.

Wacana Pilihanraya: Husam lawan Nazri

Posted: 01 Dec 2011 05:47 AM PST

KOTA BHARU, 1 Dis: Selepas program Debat Perdana yang disiarkan TV1 berkubur, orang ramai kini tidak lagi dapat menyaksikan wacana yang mengupas pelbagai isu politik.
Program yang disiarkan secara langsung itu hanya muncul seketika semasa Tun Abdullah Ahmad Badawi menerajui negara. Ini sesuai dengan sikapnya lebih terbuka.
Begitu juga program Hujjah yang diterbit TV9, berjaya menarik minat orang ramai. Namun Hujjah yang dihidupkan kembali dengan versi baru sekarang kelihatan tidak bermaya.
Pentas diskusi, wacana dan debat seperti itu hanya sekali sekala diadakan di dewan tertutup dan tiada lagi siaran langsung kecuali melalui internet.
Kumpulan Karangkraf dan beberapa pihak lain termasuk kerajaan Kelantan masih mempertahankan debat terbuka mengupas isu semasa yang berlaku.
Ruang untuk rakyat mendapat maklumat secara telus melalui media elektronik kini semakin sempit di bawah kepimpinan negara sekarang.
Kalau ada wacana sekali sekala pun di TV1 dan TV9, panelis jemputan hanya dari kelompok yang sama. Tiada lagi diskusi terbuka yang lebih matang dan mendebarkan.
Maka mengambil kira kepincangan itu kerajaan Kelantan sejak tiga tahun lalu menganjur wacana perdana dengan mengupas isu kritikal membabit panelis daripada Pakatan Rakyat, Barisan Nasional dan NGO.
Dan pada 8 Disember ini sekali lagi wacana 'panas' akan diadakan bakal mengupas isu bertajuk "Pilihan Raya Bersih dan Adil : Realiti Atau Ilusi?"
Pengarah program Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan anggota Exco, Datuk Husam Musa dijemput sebagai ahli panel wacana berkenaan.
Manakala Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusof bertindak sebagai moderator.
Program itu dijangka bermula jam 9 malam akan diadakan di Dewan Besar, Balai Islam Lundang, merupakan siri kelapan.
Ia dianjurkan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, turut mendapat kerjasama Harakah, Malaysiakini dan KTV sebagai media rasmi. Selain itu Rekabentuk Grafik dan Muslim Life.
Ahmad Baihaki berkata, wacana itu akan disiarkan secara langsung melalui mykelantan.tv.
"Sebanyak tujuh siri wacana yang diadakan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan sehingga melimpah ke luar dewan.
"Ini menggambarkan orang ramai amat mengharap program seumpama itu bagi mendengar kupasan isu semasa yang berlaku secara matang dan sihat," ujarnya.
Antara panelis dari Umno yang pernah diundang termasuk Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin, Pegawai JASA, Lokman Nor Adam. Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Affandi Yusof dan bekas Pengerusi Yadim, Datuk Nakhaie Ahmad.

Umno ‘mendakap demokrasi’ ibarat bunyi tin kosong

Posted: 01 Dec 2011 05:46 AM PST

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) memandang sinis ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menganggap Umno parti yang 'mendakap demokrasi'.
"DPP Malaysia menganggap ucapan beliau umpama ibarat tin-tin kosong yang hanya kuat berdegar berbunyi apabila diketuk, tetapi kosong di dalamnya," kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.
Bagi DPP Malaysia, katanya Perdana Menteri mungkin mahu rakyat serta ahli-ahli partinya menganggap Umno adalah parti yang suci bersih dan mengamalkan demokrasi tulen.
"Beliau mungkin merasakan rakyat percaya kenyataan beliau tersebut dan menelannya hidup-hidup, walhal hakikatnya, rakyat kini semakin cerdik dan tidak lagi boleh ditipu," katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, mungkin dalam mentaliti ahli-ahli dan pemimpin Umno 'mendakap demokrasi' bererti mendera dan membuli rakyat sesuka hati terutama pembangkang.
Demokrasi bagi mereka, kata beliau adalah bertindak berat sebelah dalam pilihanraya, menggunakan seluruh jentera kerajaan sama ada media, jabatan kerajaan dan agensi di bawahnya bagi berkempen untuk mereka.
Beliau menambah, bagi Umno, memberi rasuah, mengugut, memberi habuan atau projek segera pilihanraya kepada rakyat dibenarkan untuk mereka.
Katanya lagi, menjadikan insitusi penting negara sebagai perkakas yang boleh arah sesuka hati adalah budaya mereka selama ini.
Umum, ujarnya mengetahui sejak dahulu hingga sekarang, sistem pilihanraya di Malaysia tidak pernah berlangsung dengan adil dan bebas.
Menurutnya, walaupun Jawatankuasa Khas Parlimen baru ditubuhkan, namun kedengarannya ia tidak sempat menghabiskan tugasnya kerana pilihanraya akan berlaku bila-bila masa dari sekarang.
Malah, kata beliau rakyat masih belum melupakan bagaimana RUU Perhimpunan Aman diluluskan baru beberapa hari yang lepas dengan mudah yang bererti menyekat kebebasan dan hak rakyat untuk berhimpun.
"Dengan daftar pemilih yang sangat diragui, dengan beberapa siri pengangkapan warga asing yang diberi hak kerakyatan dan mengundi, beberapa bukti daftar pemilih klon dan bertindih, penemuan pemilik kad pengenalan palsu, dengan undi pos yang jelas diselewengkan hasil dari pengakuan beberapa bekas anggota tentera, dakwat kekal yang masih tidak terlaksana, pengundi mati yang masih turun mengundi, dan banyak lagi pendedahan boleh dibuat apakah maksud demokrasi sebenar," katanya.
Justeru, katanya DPP Malaysia mahu bertanya kepada PM, bilakah pemimpin Pakatan Rakyat diberikan akses kepada media khususnya menjelang pilihanraya kecil atau umum dengan adil sebagaimana yang dibuat oleh pemimpin Umno sekarang.
Setahu rakyat, ujarnya bukan setakat tidak berpeluang muncul berkempen di media, malah habis teruk pemimpin Pakatan Rakyat diserang pelbagai penjuru menggunakan media rasmi kerajaan.
"Pernahkah PM memikirkan untuk melaksanakan 'kerajaan sementara' setelah bubarnya parlimen sebagaimana yang penah dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen," tanya beliau.
Bagi PM, tambahnya mungkin idea ini tidak 'mendakap demokrasi' kerana jika dilaksanakan sudah pasti akan mengancam dirinya dan Umno dalam PRU ke 13 nanti.
Justeru, katanya DPP Malaysia berpendapat, PM kena tukar istilah dari 'mendakap demokrasi' kepada 'mendekam demokrasi' kerana istilah inilah yang paling sesuai memandangkan inilah realiti yang berlaku ke atas nilai demokrasi di negara ini sejak merdeka sehingga kini.

Tiada ulasan:

Pengikut