Khamis, 8 Disember 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil

Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil


Teh Tarik Terakhir Sebelum Ajal

Posted: 07 Dec 2011 07:30 PM PST



MELAKA: Seorang pengawal keselamatan sempat menikmati teh tarik terakhir sebelum maut selepas basikal ditungganginya dirempuh sebuah Perodua Kenari di Jalan Telok Emas-Melaka berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Zulkepli Ab Rauf, 58, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan.

Mangsa yang masih bujang ketika itu hanya beberapa meter dari kawasan sekolah tempatnya bekerja. Jiran mangsa, Md Radzi Senin, 30, berkata, dia terkejut apabila mendapat tahu mangsa meninggal dunia kerana baru berbual dengannya sambil minum bersama di sebuah gerai di Alai.

Katanya, ketika itu arwah memberitahu mula bekerja jam 7 petang dan sempat minum teh tarik sebelum mengayuh basikalnya meninggalkan gerai untuk ke tempat kerja.

"Ketika duduk bersama rakan lain, tiba-tiba orang memberitahu arwah dilanggar kereta dan meninggal dunia sebelum saya bergegas ke tempat kejadian.

"Ketika tiba saya mendapati badannya sudah terkujur di tepi jalan dan tidak menyangka sempat menemuinya sebelum meninggal dunia," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Muhammad Koey Abdullah mengesahkan kejadian itu.

Menurutnya, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang basikal memasuki arah kanan menghala ke sekolah berkenaan.

"Ketika itu, sebuah Perodua Kenari dari pusat bandar raya merempuh mangsa menyebabkannya maut di tempat kejadian," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dikebumikan.

Pelacuran Aktif Negeri Melaka

Posted: 07 Dec 2011 04:21 PM PST



MELAKA: Satu sindiket pelacuran yang aktif di negeri ini sejak sekian lama dengan menjadikan wanita warga Vietnam sebagai pelayan pelanggan (GRO) dan pelacur tumpas apabila diserbu anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Melaka, semalam.

Operasi dijalankan di dua unit sebuah kondominium di Klebang, dekat sini, jam 12.30 tengah hari itu menahan 29 wanita berusia 18 hingga 55 tahun.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Kamalludin Ismail, berkata anggotanya terpaksa memotong kunci pintu sebuah unit kondominium itu selepas keengganan wanita berusia 55 tahun dipercayai ibu ayam memberikan kerjasama.

"Serbuan diketuai Timbalan Penolong Pengarah negeri, Salmah Omar bersama 14 anggota selepas menjalankan risikan selama dua minggu dan hasil maklumat awam.

"Pasukan kami menahan 29 wanita warga Vietnam iaitu 12 wanita ditahan di unit pertama manakala bakinya di unit kedua. Ketika diserbu, mereka tidak melarikan diri, sebaliknya ada yang tidur dan makan," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap semua yang ditahan mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (c) dan Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Katanya, risikan dilakukan mendapati dua unit kondominium berkenaan dipercayai hanya dijadikan tempat penginapan.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati dua daripada ditahan tinggal lebih masa, lapan tiada pas manakala 19 lagi termasuk ibu ayam itu menyalahgunakan pas lawatan.

"Mereka masuk menggunakan pas lawatan sosial, namun bekerja di sini, malah ada yang datang semula selepas sebulan pulang ke negara asal dan memasuki negara ini pada hari sama," katanya.

Kamalludin berkata, hasil risikan mendapati sindiket itu menggunakan modus operandi dengan mengambil wanita berkenaan di kondominium itu jam 7.30 petang sebelum dihantar ke pusat hiburan.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan, selain kad kerja semua wanita itu, enam ikat resit perkhidmatan dirampas.

"Terdapat dua jenis resit iaitu kuning dan putih dengan kuning untuk khidmat minuman manakala putih untuk khidmat seks," katanya.

Tiada ulasan:

Pengikut