Dewan Pemuda Pas Kawasan Bukit Katil |
Lokasi Sumbang Di Ikan Bakar Terapung Posted: 23 Nov 2011 03:29 PM PST Ketika mula beroperasi kira-kira tujuh tahun lalu, Perkampungan Ikan Bakar Terapung (PIBT) Umbai Baru, Jasin menjadi lokasi kebanggaan penduduk kawasan itu sekali gus mempopularkan lokasi itu kepada pengunjung dari luar Melaka. Namun, entah di mana silapnya, pusat pelancongan yang dibina dengan kos RM9.21 juta gagal dimanfaatkan sepenuhnya dan sunyi tanpa kehadiran pengunjung. Sebaliknya, suasana sunyi terutama pada waktu malam ditambah dengan keadaan sekelilingnya yang gelap memberi peluang kepada pengunjung melakukan perbuatan sumbang dan kegiatan jenayah lain. Peniaga dan penduduk di kawasan itu yang ditemui mendakwa kawasan persekitaran PIBT yang seolah-olah terbiar itu berpunca daripada masalah kemudahan lampu jalan yang tidak berfungsi menyebabkan suasana sekitarnya suram. Tinjauan di PIBT Umbai Baru mendapati hampir seluruh kawasan berhampiran menara tinjau dan laluan jambatan kayu paya bakau di situ gelap gelita sehingga menjadi tempat pasangan melakukan perbuatan tidak bermoral. Rata-rata pengunjung PIBT kurang yakin dan berasa tidak selamat untuk bersiar-siar di kawasan itu memandangkan keadaannya yang gelap dan sunyi selain kehadiran pasangan yang melakukan perbuatan sumbang. Salah seorang pengunjung, Herman Awaludin, 26, berkata, biarpun kemudahan menara tinjau dan laluan kayu di kawasan paya bakau disediakan, namun kemudahan itu hanya sia-sia kerana kawasan sekitarnya yang gelap. "Saya sendiri takut untuk bersiar-siar di kawasan itu walaupun berkumpulan kerana keadaannya amat gelap dan tidak tahu apa yang tersembunyi di sebalik pokok bakau di situ. "Pernah juga kawasan ini diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) pada waktu siang kerana ada aduan pasangan berkhalwat," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. PIBT diuruskan Perbadanan Melaka Holdings (PMH) melibatkan keluasan 2.4 hektar. Salah seorang peniaga, Abdul Malik Abdul, 49, berkata, keadaan persekitaran PIBT yang gelap menyebabkan kawasan itu kurang dikunjungi pelancong. "Bagaimana mereka mahu makan hidangan ikan bakar dengan selesa jika terpaksa meninggalkan kenderaan di tempat yang gelap, pengunjung tidak mahu tanggung risiko itu. Lebih baik mereka makan ikan bakar di tempat lain yang lebih baik dan keadaan sekitarnya selamat," katanya. Menurut Abdul Malik, ekoran masalah itu ramai peniaga ikan bakar di situ terpaksa menutup operasi perniagaan kerana tidak mampu membayar sewa gerai memandangkan keuntungan yang diperolehi tidak mencapai RM100 sehari. Sehubungan itu, dia merayu pihak berkuasa terlibat termasuk kerajaan negeri melakukan usaha sewajarnya bagi menghidupkan semula kawasan tersebut yang masih berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan makanan di negeri ini. Sementara itu Md. Tawil Haron, 63, berkata, sewaktu PIBT mula-mula beroperasi, pelbagai tarikan dan landskap indah dibina di pintu masuk dan laluan ke kawasan itu, namun usaha tersebut mula berkurangan dan kini langsung tidak diendahkan oleh pihak pengurusan. "Kira-kira tiga tahun lalu ada juga hiasan dipasang pada pintu gerbang laluan masuk ke PIBT, tetapi sekarang anda lihatlah, cuma tinggal pintu gerbang yang tidak membawa sebarang makna," katanya. P/s: Ikan pun tak berani nak buat maksiat. Mungkin kerana lanjutan hiburan membuatkan berlaku gejala ini |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda PAS Bukit Katil To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan