Isnin, 3 Oktober 2011

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KOTA RAJA

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KOTA RAJA


Ong Tee Keat tak relevan kepada MCA: Chua

Posted: 02 Oct 2011 08:01 PM PDT

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyifatkan bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai tidak lagi relevan kepada parti itu. 

Ini kerana katanya, Ong mempunyai peluang untuk membuat perubahan dalam parti ketika meneraju MCA selama 17 bulan, namun tidak melakukan apa-apa.


"Apa yang beliau lakukan hanya menghukum dan memecat mereka yang menentang beliau," katanya pada sidang media selepas perasmian Perhimpunan Agung ke-58 MCA, di sini hari ini.


Dr Chua berkata sepanjang era Ong, MCA mengadakan dua mesyuarat agung luar biasa (EGM) berbanding hanya lima yang diadakan sepanjang 62 sejarah parti itu. 

"Mungkin apa yang beliau maksudkan kita tidak mengadakan EGM, maka sebab itulah kita tidak relevan," kata Dr Chua dengan nada sinis. 

Beliau mengulas kenyataan Ong yang dilapor berkata MCA akan hilang relevannya dalam Barisan Nasional (BN) jika parti itu tidak menyahut gesaan supaya berubah, selepas kalah 25 daripada 40 kerusi parlimen dan 59 daripada 90 kerusi dewan undangan negeri yang ditandingi pada pilihan raya umum 2008. 


Mengulas lanjut, Dr Chua juga secara terbuka meminta Ahli Parlimen Pandan itu agar tidak bertanding sebagai calon MCA bagi mempertahankan kerusinya pada pilihan raya umum akan datang. 

Malah, Dr Chua juga berkata Ong tidak wajar berkhidmat kepada rakyat di bawah tiket MCA jika beliau tidak lagi yakin dengan parti itu. 

"Terpulang kepada kebijaksanaan beliau untuk mentafsirkan kenyataan saya ini," katanya. - BERNAMA

Hudud: DAP tetap bersama PAS lawan BN

Posted: 02 Oct 2011 07:43 PM PDT

KEPALA BATAS, 2 Sept: Perbezaaan pandangan berhubung perlaksanaan undang-undang Islam khususnya hudud tidak bermakna DAP putus kerjasama dengan PAS.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, DAP tetap akan bekerjasama dengan PAS kerana masih banyak persamaan dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat khususnya melawan BN.

Bercakap sewaktu menyampaikan pidato di program rapat umum sempena Kongres 60 Tahun PAS di sini malam tadi, Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga secara tegas menyatakan mereka juga tidak akan bersama Umno biarpun Umno juga sama pendirian dengan DAP menolak perlaksanaan hudud.

"Pimpinan DAP jelas kita tak setuju dengan hudud. Umno pun tak setuju dengan hudud. Tetapi tak kan kerana DAP tak setuju Umno tak setuju, DAP dan Umno nak kerjasama.

"Kita terus akan bekerjasama dengan PAS kerana kita masih banyak persamaan. Kita sama-sama lawan rasuah, sama-sama lawan kebatilan, sama-sama lawan BN," tegasnya disambut tepukan dan laungan takbir hadirin.

Dalam majlis itu dianggarkan lebih 20 ribu hadirin hadir dan duduk bersila memenuhi ruang dalam dan perkarangan Dewan Milenium.

Dalam mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat minggu lalu, kesemua parti komponen PAS, PKR dan DAP menyatakan persetujuan bersama memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan Terengganu.

Mereka juga menghormati pendirian PAS untuk mengangkat isu hudud dan membincangkannya agar difahami oleh masyarakat.

Pada masa yang sama, mereka juga menghormati pendirian DAP yang tidak bersetuju dengan perlaksanaan hudud kerana bertentangan dengan perlembagaan.

Keputusan bersama itu sekaligus didakwa menggagalkan rencana Umno BN memecah belahkan parti-parti dalam Pakatan menggunakan isu hudud yang selama itu dianggap senjata ampuh mereka.

"Kita (DAP) ditubuh untuk bela perlembagaan bukan lawan perlembagaan. Sama juga kita bukan mahu lawan Islam tetapi kita mahu lawan Umno, MCA, MIC dan BN," katanya.

Turut menjadi pemidato dalam majlis malam tadi adalah Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Tiada ulasan:

Pengikut