Khamis, 4 Ogos 2011

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KOTA RAJA

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KOTA RAJA


PEMUDA PAS SELANGOR UCAP TAHNIAH

Posted: 03 Aug 2011 09:32 PM PDT

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

                                        PEMUDA PAS SELANGOR UCAP TAHNIAH

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang telah meneruskan secara berperingkat agenda memberikan kemudahan akses internet percuma kepada rakyat negeri Selangor. Projek Wireless City Selangor yang dilancarkan pada 10 April yang lalu di Medan Selera Prima 2, Seksyen 2, Shah Alam telah mula memasuki kawasan persekitaran seperti di Seksyen 3, Seksyen 9, Kompleks PKNS dan Dataran Shah Alam di Shah Alam dan beberapa kawasan di luar bandar seperti di Medan Selera Bandar Utama, Batang Kali dan Restoran Fazlina Maju di Kuala Kubu Baru.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor percaya kewujudan Wireless City Selangor akan dapat melahirkan golongan rakyat yang berilmu dan bermaklumat menepati Agenda Kerajaan Negeri yang berhasrat melahirkan generasi modal Insan yang terbaik dan berkualiti yang akan membina masyarakat madani yang cemerlang di negeri Selangor. 
                                                                                                    
Selain itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan agenda Wireless City Selangor ini dapat diperbanyakkan lagi kewujudannya di kawasan-kawasan luar bandar lagi supaya mereka dapat mendapatkan maklumat-maklumat terkini tentang pelbagai isu, perbahasan dan lain-lain perkara yang boleh di akses melalui internet. Semoga Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri Selangor.


USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

02 Ogos 2011

Temu Bual PM Dan 14 Yang Lain Diputuskan Pada 8 Ogos

Posted: 03 Aug 2011 09:20 PM PDT

Permohonan Anwar Untuk Temu Bual PM Dan 14 Yang Lain Diputuskan Pada 8 Ogos
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Ogos untuk mmebuat keputusan berhubung permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor bagi perbicaraan kes liwat yang sedang dihadapinya.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh dan Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan, selesai mengemukakan hujahan masing-masing.
Dalam permohonan itu, Anwar memohon mahkamah mengarahkan pihak pendakwaan memastikan kehadiran semua saksi, yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan di akhir kes mereka, kepada mahkamah, untuk ditemu bual oleh pihak pembelaan.
Dalam permohonan itu, Anwar mahu menemu bual Najib, Rosmah, Hasanuddin Abd Hamid, pemilik unit kondominium di mana kejadian liwat itu didakwa berlaku, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.
Ketua Pembangkang itu juga mahu menemu bual 10 saksi alibi sebelum beliau memberikan keterangan pada Isnin.
Kesemua 15 saksi berkenaan ialah antara 25 saksi yang mahu ditemu bual oleh pihak pembelaan dalam membuat persediaan bagi kes pembelaan dijadualkan dari 8 hingga 26 Ogos.
Pada akhir kes mereka, pihak pendakwaan menawarkan 71 saksi, di mana pihak pembelaan memilih untuk menemu bual 25 saksi.
Daripada 25 saksi itu, hanya lima saksi telah ditemu bual setakat ini.
Mereka ialah bekas ratu pecut negara Datuk Mumtaz Jaafar, Dr Mohd Osman Abd Hamid yang pernah bertugas di Pusrawi, adik perempuan bongsu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Saidaiti Azlan, seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Dr Daniel dan Khairil Anaz Yusof, pegawai khas kepada Najib semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri.
Pada awal prosiding hari ini, Karpal Singh berhujah bahawa pihak pendakwaan sepatutnya membawa saksi berkenaan ke mahkamah untuk ditemu bual oleh pihak pembelaan berikutan pihak pendakwaan telah menawarkan mereka kepada pasukan pembelaan.
Karpal berkata pasukan pembelaan sepatutnya diberikan hak untuk menemu bual mereka sepertimana ketetapan undang-undang.
Mohamed Yusof dalam hujahnya berkata dalam afidavit Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hanafiah Zakaria untuk menjawab permohonan Anwar telah menyatakan bahawa Najib, Rosmah, Musa dan Mohd Rodwan enggan ditemu bual kerana mereka bukan saksi penting dalam kes itu.
Bagaimanapun, Mohamed Yusof berkata mereka bersedia untuk ditemu bual sekiranya mereka disapina.
Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pengadu dalam kes liwat itu, adalah saksi yang bercakap benar dan berwibawa.
Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos, 2008, terhadap pertuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun yang sama. - BERNAMA

Kerajaan Selangor Sedia Geran RM 1 Juta Untuk Cabar Daftar Pemilih SPR

Posted: 03 Aug 2011 08:50 PM PDT

Kerajaan Selangor Sedia Geran RM 1 Juta Untuk Cabar Daftar Pemilih SPR
SHAH ALAM: Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Selasa bersetuju untuk menubuhkan satu geran tidak lebih RM1 juta bagi membiayai usaha menfailkan bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap senarai daftar pengundi baru yang mencurigakan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, geran itu ditubuhkan kerana kerajaan negeri memandang serius aduan mengenai kepincangan pada daftar pengundi sedia ada dan pengundi baru.
"Aduan dan tuduhan termasuk rakyat negera jiran yang mendapat taraf pemastautin tetap dan disenarai sebagai pengundi amat merungsingkan dan perlu diatasi dengan segera.
"Kami berpendapat bahawa rakyat berhak menuntut satu daftar pemilih yang bersih untuk membuka laluan kepada sistem pilihan raya yang bersih dan adil," katanya.
Menurut beliau, geran itu terbuka kepada orang ramai tanpa mengira kaum, agama dan kecenderungan parti politik.
"Oleh kerana dana kerajaan negeri digunakan, bantahan ini hanya melibatkan kawasan di Selangor saja," katanya.
Khalid berkata, pilihan raya bersih dan adil merupakan tiang utama kepada demokrasi sebenar dan apa jua usaha perlu diambil demi memastikan kredibiliti pilihan raya terus terpelihara serta pilihan rakyat dihormati.
"Pilihan raya bukan saja perlu bersih dan adil tetapi harus kelihatan bersih dan adil di mata masyarakat," ujarnya.

Tiada ulasan:

Pengikut