Selasa, 26 Julai 2011

Dewan Pemuda PAS Petaling Jaya Utara

Dewan Pemuda PAS Petaling Jaya Utara


SISTEM BIOMETRIK UNTUK KELANGSUNGAN KEMENANGAN BN

Posted: 25 Jul 2011 07:35 PM PDT

KENYATAAN AKHBAR JABATAN PILIHANRAYA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menolak kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang menyatakan bahawa pihak SPR akan memperkenalkan sistem biometrik untuk memantapkan lagi tahap keselamatan dalam proses pilihan raya di negara ini. Tan Sri Abdul Aziz menyebut di dalam satu sidang media di Kuching bahawa perlaksanaan sistem itu diharap dapat mengatasi isu pengundi hantu yang sering dibangkitkan pihak pembangkang setiap kali menjelang musim pilihan raya umum atau kecil. Keputusan ini di ambil apabila pihak kerajaan bersetuju untuk memberikan sejumlah peruntukan kepada SPR untuk menggunakan sistem biometrik ini. Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendirian tegas menolak penggunaan sistem biometrik ini yang pastinya masih boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempastikan kemenangan UMNO/BN dan akan membabitkan kos penyelenggaraan yang tinggi yang membabitkan duit rakyat berbanding penggunaan dakwat kekal yang lebih murah, mudah dan selamat.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia bersetuju dengan pandangan YB Dr. Dzulkifly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang menyebut bahawa sistem biometrik ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah isu pertindanan pemilih di dalam daftar pemilih, pemilih yang di pindah keluar dan masuk tanpa pengetahuan mereka, isu pengundi yang melebihi usia 100 tahun, isu lebih dari seorang pengundi di alamat yang sama, isu pengundian pos, isu tentera dan polis yang telah bersara tetap mengundi sebagai pengundi pos dan lain-lain isu yang telah menyebabkan sistem pilihanraya di Malaysia ini nampak tempang. Sepertimana pendedahan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor baru-baru ini dalam pertemuan dengan pihak SPR di Putrajaya, mereka telah menunjukkan sebahagian pembuktian pertindanan nama-nama pemilih di dalam daftar pemilih induk mengikut corak pengenalan diri (tarikh lahir/no kad pengenalan lama) dan corak nama hasil daripada gerakerja mencari dan mengenalpasti pemilih-pemilih yang diragui yang telah dilaksanakan secara berterusan di seluruh kawasan.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berharap semoga pihak SPR tidak meneruskan agenda mereka untuk menggunakan sistem biometrik ini yang belum pernah teruji keberkesanannya untuk memastikan sistem pilihanraya dapat dilaksanakan secara adil dan telus. SPR tidak perlu berasa malu untuk menggunakan kaedah dakwat kekal seperti yang digunakan di Indonesia atau India tetapi hasilnya cukup memberangsangkan, tiada penipuan, tiada rusuhan dan sebagainya berbanding sistem biometrik yang tidak terjamin lagi ketelusannya. BERSIH 2.0 telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini telah bangkit untuk menolak sebarang penyelewengan dan penipuan, mereka juga memerhatikan dengan penuh minat bagaimana pihak SPR ingin mengendalikan pilihanraya Umum ke 13 ini secara telus dan adil. Adakah SPR akan menjadi pihak yang mempunyai integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya secara beramanah ataupun berterusan menjadi salah satu daripada parti komponen Barisan Nasional yang akan mengusahakan pelbagai kaedah dan cara yang akan mempastikan kemenangan UMNO/BN di dalam pilihanraya yang akan datang.

MOHD SANY BIN HAMZAN

PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

26 Julai 2011

Tiada ulasan:

Pengikut