Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- 'Terima kasih PM sebab tak bunuh kami'
- Dibuang universiti kerana anjur Bersih 2.0 Mesir. Kenapa hanya di Mesir?
- Kuning: Najib terima tamparan di London
- Pakatan desak bebaskan segera 6 tahanan EO
'Terima kasih PM sebab tak bunuh kami' Posted: 15 Jul 2011 03:41 PM PDT KUALA LUMPUR, 15 Julai: Dengan nada sinis, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad mahu rakyat khususnya mangsa keganasan polis semasa himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Razak. Gesaan itu katanya kerana Perdana Menteri Malaysia itu mendakwa pihak polis menggunakan tindakan agak "ringan" terhadap peserta himpunan aman itu. "Seharusnya rakyat berterima kasih dan sayang kepada Najib sebab dia tak bunuh peserta himpunan hari tu," katanya kepada Harakahdaily sambil ketawa terbahak-bahak. Najib ketika ditemubual CNN di Britain semalam dilaporkan berkata, pihak polis menggunakan tindakan yang sewajarnya dalam usaha menyuraikan perhimpunan Bersih 2.0 di ibu negara Sabtu lalu. Katanya tindakan polis agak ringan kerana tahanan dibebaskan selepas lapan jam dan mereka dilayan dengan baik. Beliau juga mendakwa tiada penggunaan tindakan yang tidak wajar oleh polis dan penunjuk perasaan disuraikan dengan menggunakan pasukan yang minumum. Sambil mendakwa kenyataan Najib itu sebagai kelakar, Khalid yang turut menerima 6 jahitan di kepala akibat terkena kelongsong peluru gas pemedih mata pada hari himpunan tersebut mendakwa itulah wajah sebenar autokrat pemimpin nombor satu negara ini. "Itulah minda autokrat perdana menteri kita. Kita tidak boleh salahkan dia. "Saya yakin dia tak rasa dia menipu, dan tak rasa bersalah pun (mengeluarkan kenyataan sedemikian), walaupun seluruh dunia sudah melihat rakaman video dan gambar keganasan polis dalam internet," katanya yang juga AJK PAS Pusat. Pada himpunan yang dianggarkan lebih 50,000 orang pada 9 Julai lalu di ibu negara itu, sejumlah 1,667 ditahan oleh pihak polis dan kemudiannya dibebaskan selepas diambil keterangan pada hari yang sama. Ianya termasuk jawatankuasa penganjur, pemimpin Pakatan Rakyat dan orang ramai yang menyertai himpunan itu. Selain Khalid, turut cedera ketika mengelak terkena kelongsong peluru gas pemedih mata adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, manakala pengawal peribadinya, Fayad Al-Bakri patah tulang pipi dan terpaksa menjalani pembedahan. Lebih mendukacitakan, seorang peserta turut meninggal dunia selepas sesak nafas terhidu gas pemedih mata yang dilepaskan oleh pihak polis. Polis bagaimanapun menafikan kematian itu ada kaitan dengan tindakan polis melepaskan gas pemedih mata tersebut. Dalam beberapa aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) juga, ada peserta mendakwa polis menendang dan memukulnya sebelum ditangkap. Suhakam yang juga menghantar pasukan pemantau pada hari himpunan tersebut juga mengakui, polis menggunakan kekerasan sewaktu menyuraikan peserta himpunan. Beberapa bukti kekasan dan keganasan polis itu juga kini sedang tersebar dai internet khususnya di Youtube. Dan terbaru dalam temubual bersama Malaysiakini, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri yang "memang kejam" berbanding dengan beberapa perdana menteri sebelum ini. Beliau merujuk kepada "kebengisan" polis dalam menangani perhimpunan Sabtu lalu itu dan mendakwa pentadbiran Najib sekarang mengarah kepada menjadikan Malaysia negara kuku besi. A Samad berkata, perkara itu boleh dilihat melalui rakaman video dan gambar di internet yang mana kerajaan "berantakan dengan orang awam". "Youtube siarkan, kita boleh lihat semua dan (dia) tak boleh tipu. Cuma, malangnya dalam akhbar-akhbar (dan) media utama, sudah tentu kamu nampak berat sebelah," katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad. "Tapi kalau (di) Youtube, tak boleh tipu. Kamu kata tidak jentik-jentik, (itu) pun nampak (di Youtube). Kamu kata tidak ada orang yang dipijak, (tetapi ada) yang ditendang berulang kali," katanya. |
Dibuang universiti kerana anjur Bersih 2.0 Mesir. Kenapa hanya di Mesir? Posted: 15 Jul 2011 03:36 PM PDT Semalam saudara Mohd Firdaus Madzlan atau lebih mesra di kalangan mahasiswa Islam di Mesir sebagai Ust Alang. Menerima panggilan telefon daripada doktor kuliahnya, di Darul Ifta' Misriyyah. Bahawa beliau telah dibuang daripada universiti atas alasan ada masalah dengan kedutaan Malaysia di Mesir. Kemungkinan besar adalah disebabkan beliau adalah penganjur kepada Bersih 2.0 Mesir baru-baru ini. Saudara Firdaus adalah penuntut kursus lanjutan untuk menjadi mufti di Darul Ifta' Misriyyah. Beliau yang akan menamatkan pengajiannya pada 25 Julai ini, setelah 3 tahun menghabiskan masa untuk melayakkannya menjadi seorang bakal mufti terpaksa berputih mata, atas alasan menganjurkan Bersih 2.0 dan ia tiada kena mengena dengan undang-undang atau kesalahan universiti. Hanya kerana mendapat arahan daripada kedutaan Malaysia, beliau dinafikan haknya. Apakah ini demokrasi dan keterbukaan kerajaan Malaysia? Walhal di Mesir, atau pelajar Malaysia yang belajar di luar negara sama sekali tidak terikat dengan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU) yang membolehkannya untuk dikenakan tindakan yang terkandung didalam akta tersebut. Amat malang dan menyedihkan tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia kerana politik sempit. Persoalannya sekarang, mengapa hanya di Mesir diambil tindakan? Bukankah Bersih 2.0 dianjurkan diseluruh dunia? Di Australia, Jepun, Taiwan, United Kingdom, US dan lain-lain lagi? Adakah hanya kerana beliau seorang mahasiswa Melayu Islam, maka tindakan tersebut dikenakan keatas beliau? Jika kerajaan Malaysia ingin mengenakan tindakan sebegitu, biarlah adil, hukum semua penganjur atau mereka yang terlibat dengan tindakan yang sama ditempat-tempat lain. Jangan hanya kerana kami anak Melayu, kamu berani mengambil tindakan, berbanding pelajar bangsa lain? Ini sikap double standart kerajaan Malaysia. Apa yang salahnya dengan penganjuran Bersih 2.0 di Mesir atau diseluruh dunia? Walhal ia dilaksanakan untuk menyokong dan menuntut kearah sistem pilihanraya yang bebas dan lebih adil. Malah, ia dilaksanakan dengan aman dan tiada sebarang provokasi dan kekecohan. Maka, dimana atau atas alasan apa beliau dihukum? Jika dikatakan menderhaka kepada Yang Dipertuan Agong, dimana lafaz atau tindakannya yang menderhaka? Dalam titah Yang DIpertuan Agong sendiri tiada kenyataan dikeluarkan melarang perhimpunan Bersih, tetapi baginda hanya menasihatkan bahawasanya himpunan/demonstrasi jalanan lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan walaupun niat asalnya baik. Seluruh dunia melihat, bahawa keburukan dan kekecohan itu berlaku adalah disebabkan provokasi polis dan menggunakan kekerasan. Walaupun perdana menteri cuba menafikan dengan mengatakan polis hanya menggunakan tindakan yang paling minimum keatas demonstran dalam temubualnya dengan CNN dalam rangka lawatan ke UK semalam. Tenyata, kebenaran tidak dapat disembunyikan lagi, semua mata memandang dan mengatakan bahawa tindakan polis dan FRU adalah zalim dan melanggar hak asasi manusia. Jika tidak, masakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyelar tindakan kerajaan Malaysia dalam menyurai dan mengendalikan himpunan aman Bersih baru-baru ini. Sepatutnya kerajaan menggunakan peluang himpunan bersih 2.0 sebagai satu peluang dan menambah kredit bagi menunjukkan kepada rakyat Malaysia dan dunia, bahawa Kerajaan Barisan Nasional yang ada sekarang adalah terbuka dan rasional dalam memberikan hak kepada semua rakyat seperti mana yang terkandung dalam perlembagaan negara, hak setiap warganegara untuk berhimpun secara aman dan bebas bergerak diseluruh negara. Tetapi, kerana ketakutan yang amat terhadap tuntutan bersih, kerajaan tidak nampak peluang dan ruang yang boleh mereka ambil daripada perhimpunan aman tersebut. Kami berharap kerajaan Malaysia tidak sebodoh itu dan menarik balik tindakan kurang cerdiknya hanya kerana seorang rakyat menuntut hak agar diadakan pilihanraya yang bersih dan adil. Ayuh sahabat-sahabat sama-sama kita mendoakan agar mereka yang dizalimi mendapat pembelaan dan mereka yang zalim Allah beri hidayah atau hancurkan mereka. Rasulullah Sollallahu alaihi wasalam pernah bersabda: "Barangsiapa yang memudahkan jalan orang yang ingin menuntut ilmu, Allah akan mempermudahkan jalannya untuk ke Syurga" maka dengan tindakan menyusahkan serta ingin menyekat orang ingin menuntut ilmu hanya kerana perbezaan fahaman politik, seolah-olah ia menolak tawaran syurga daripada Allah subhanahu wataala. Maka, lawan kepada syurga adalah neraka. Sabda Rasulullah SAW: "Bantulah saudaramu yang zalim atau yang di zalimi". Para sahabat lalu bertanya: "Memang kita perlu membantu saudara kita yang dizalimi, tetapi bagaimana pula kita membantu mereka bilamana mereka melakukan kezaliman?". Maka Rasulullah SAW menjawab : "Engkau mencegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara membantu saudaramu yang zalim." (H.R. Al-Bukhari) Selalu bayangkan diri anda di dalam kasut seseorang. Jika anda rasa ianya menyakitkan, fikirlah ia mungkin menyakitkan orang lain juga Jika demonstrasi aman sebegini pun dikata tindakan yang memalukan negara, hingga dibuang universiti. Lebih baik kita buat huru hara sungguh, biar tindakan buang universiti tersebut setimpal dengan tindakan yang dilakukan. Jangan cabar anak muda untuk melakukannya. Kami mampu merusuh, menyerang kedutaan, tetapi kami tidak mahu lakukan, sebab kami tahu bukan sebegitu yang Islam ajar dan kami masih ada pertimbangan yang rasional dan menghormati adab tingkah laku sebagai seorang mahasiswa Islam. Dan yang paling penting perlu difahami adalah kami bukan menentang kerajaan, kami sekadar mahu penambah baikan dalam sistem piliharaya negara. Tanda cinta dan semangat patriotisme kami anak Malaysia. |
Kuning: Najib terima tamparan di London Posted: 15 Jul 2011 03:33 PM PDT KUALA LUMPUR, 15 Julai: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerima tamparan hebat dalam kunjungannya ke London, hari ini apabila turut disambut puluhan penunjuk perasaan berbaju kuning yang terdiri daripada rakyat Malaysia dan asing yang menyokong perjuangan Bersih 2.0. Mereka berkumpul di Mansion House di London sejam sebelum ketibaan Perdana Menteri yang dijadual mengadakan pertemuan dengan tokoh perniagaan Britain. Lebih hebat lagi, semalam, Ratu Elizabeth turut memakai gaun berwarna kuning ketika menerima mengadap Najib dan Rosmah di Istana Buckingham, London. Manakala Setiausaha Pengangkutan Negeri, Philip Hammond bertali leher kuning ketika mengiringi Najib melawat Stesyen Kereta Api London. Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, tindakan puluhan penunjuk perasaan, Ratu Elizabeth dan Philip Hammond itu merupakan satu tamparan yang besar terhadap Najib akibat kegagalannya menangani perhimpunan aman Bersih 2.0 yang diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu dengan baik. Menurut beliau, dalam hal ini, Najib perlu sedar, seluruh dunia sedang memerhatikan kerajaan Malaysia sekarang kerana kegagalannya menangani perhimpunan itu dengan baik. Katanya, sebelum ini, pemimpin-pemimpin dunia menganggap kerajaan BN adalah kerajaan yang rasional, tetapi kekerasan polis terhadap para peserta himpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu telah mengubah pandangan pemimpin-pemimpin dunia terhadap pemimpin BN. "Kekerasan polis dalam menyuaraikan perhimpunan itu ternyata telah mendatangkan kejutan kepada pemimpin-pemimpin dunia terhadap kerajaan BN yang dianggap rasional sebelum ini, tetapi sebenarnya bertindak keras terhadap rakyat. "Jadi tindakan penunjuk-penunjuk perasaan, Ratu Elizabeth dan Philip Hammond itu adalah satu sindiran serta teguran kepada Najib agar mengubah sikap terhadap rakyat supaya tidak bertindak keras, tetapi menangani perhimpunan aman dengan baik seperti pemimpin-pemimpin di negara-negara maju," katanya ketika dihubungi, hari ini. Untuk memulihkan kembali imej kerajaan BN di mata dunia, menurut beliau, Najib perlu memohon maaf secara terbuka kepada para peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. "Dalam masa yang sama, Najib juga perlu mengarahkan agar diadakan satu siasatan terperinci tentang keganasan polis dalam menangani perhimpunan tersebut," katanya yang juga Pengarah Pilihanraya PAS Pusat. Namun dalam hubungan ini, beliau kesal apabila Najib tetap juga menunjukkan sikap tidak faham dengan pandangan dunia terhadap beliau dan kerajaan BN yang berada di bawah pimpinannya. Malah dalam kenyataannya baru-baru ini, Najib tetap juga mempertahankan tindakan polis dengan menafikan tindakan kekerasan polis dalam menangani perhimpunan itu. "Pada hal, segala keganasan polis itu telah diketahui dengan meluas di seluruh dunia. Penyokong-penyokong Bersih 2.0 juga turut mengadakan perhimpunan di seluruh dunia pada hari itu. Isu ini pula berkaitan dengan hak asasi manusia yang sememangnya menjadi perhatian dunia. "Dengan tamparan yang diterima di London itu, Najib sendiri boleh faham bahawa apa yang diperjuangkan oleh Bersih 2.0 itu memberikan isyarat perpaduan banyak pihak dalam perjuangan isu itu dan ia adalah satu isyarat perpaduan dunia," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai. Harakahdaily hari ini atas tajuk "Gelombang kuning 'kejar' Najib di UK" turut melaporkan, biarpun dilihat seolah-olah lari dari isu Bersih 2.0 sehingga ke luar negara, kehadiran Najib Razak di United Kingdom hari ini bagaimanapun tetap 'dikejar' gelombang kuning. Puluhan penunjuk perasaan itu memakai baju kuning, membawa poster serta sepanduk mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menangani peserta himpunan Bersih 2.0 di ibu negara 9 Julai lalu yang berhimpun secara aman menuntut pembaharuan dalam sistem pilihan raya. Dalam tulisan yang terpapar pada sepanduk yang dibawa itu, mereka juga mendesak Najib supaya membebaskan segera enam tahanan Parti Sosialis (PSM) yang dinamakan sebagai "EO6" yang ditahan mengikut Ordinan Darurat. Daripada gambar-gambar yang disebar di internet, Najib dilihat sempat menoleh ke arah kumpulan penunjuk perasaan itu yang hanya berjarak kira-kira 50 meter dari tempat turun kereta yang dinaikinya, manakala sebuah van dan dua anggota polis juga dilihat berkawal di hadapan peserta himpunan itu. Amnesty International sebelum ini mendesak Kerajaan UK agar memberi signal protes terhadap layanan zalim Kerajaan Malaysia kepada peserta perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu. |
Pakatan desak bebaskan segera 6 tahanan EO Posted: 15 Jul 2011 03:31 PM PDT KUALA LUMPUR, 15 Julai: Pakatan Rakyat hari ini berpeluang melawat salah seorang tahanan di bawah Ordinan Darurat (EO), Dr Jeyakumar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, penasihat DAP, Lim Kit Siang dan naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah bertemu dengan Jeyakumar yang juga ahli Parlimen Sungai Siput kira-kira setengah jam. Pakatan Rakyat mendesak Jeyakumar dibebaskan segera kerana ditahan tanpa pertuduhan yang serius. Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan tersebut, Salahuddin berkata, berdasarkan cerita Jeyakumar, beliau hanya dikaitkan dengan perhimpunan Bersih 2.0. "Mengikut beliau (Jeyakumar) sebentar tadi, sepanjang beliau ditahan tidak ada langsung pertuduhan yang serius seperti dakwaan melawan Yang di-Pertuan Agong ataupun apa yang dikatakan memudaratkan keselamatan negara. "Yang ditekankan ialah isu Bersih, menganjurkan perhimpunan Bersih dan adakah kerana itu beliau ditahan di bawah EO? "Saya bagi pihak Pakatan Rakyat mendesak supaya kerajaan membebaskan mereka dengan segera kerana ini adalah satu perkara yang tak menepati lunas-lunas kemanusiaan dan perundangan negara," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian. Kit Siang pula menegaskan, jika kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedar bahawa imej mereka telah tercalar di mata dunia keenam-eman tahanan itu mesti dibebaskan segera. "Kalau kerajaan cerdik dia akan bebaskan Jeyakumar dan aktivis PSM yang lain dengan segera tapi kalau enggan dia telah melakukan kesilapan dan imej negara akan tercemar di mata antarabangsa," katanya yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur. Sementara itu, Sivarasa menyuarakan nada yang sama, mereka dibebaskan dan menyifatkan dakwaan keenam-enam mereka ingin menentang Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak masuk akal. "Saya yakin penahanan ini hanya kerana untuk menggagalkan Bersih.Tak munasabah langdung mereka ditahan atas dakwaan ingin melancarkan perang dan sebagainya kerana kita semua tahu bagaimana Jeyakumar, seorang doktor yang banyak berkhidmat untuk masyarakat. "Kita harap kerajaan sedar kesilapan ini kerana dunia sedang melihat apa yang berlaku di Malaysia ini yang dianggap sebagai negara polis yang boleh tangkap sesiapa sahaja," katanya yang juga ahali Parlimen Subang. Enam yang ditahan itu ialah ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Jeyakumar, M. Saraswathy, M. Sukuraman, A. Letchumanan, Choo Chon Kai dan R. Sarat Babu. Mereka ditahan pada 25 Jun lalu di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang sewaktu menjalankan kempen parti itu, "Udahlah...Bersaralah" dan dituduh di bawah Seksyen 122 Kanun Keseksaan iaitu melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan