Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- Nik Aziz berdoa untuk Agong di depan Kaabah
- Bersih 2.0: Pemuda pastikan 30,000 setiap negeri
- Berhimpun di Stadium Merdeka
- Bersih 2.0: Tiada makna jika stadium tidak melimpah
- Mengapa sekat jalan hari ini, Bersih kan Sabtu?
- PRU 13: Buka bilik gerakan pemuda
- Gambarkan himpunan Bersih 2.0 ganas, strategi kuno
- MB tawar stadium Selangor untuk Bersih 2.0
- Perhimpunan Bersih 2.0 di stadium?
Nik Aziz berdoa untuk Agong di depan Kaabah Posted: 06 Jul 2011 08:10 AM PDT KUALA LUMPUR, 6 Julai: "Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT," kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang berada di Mekah waktu ini kerana menunaikan umrah menyatakan demikian di dalam suratnya kepada Yang di-Pertuan Agong. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengutuskan surat itu sebagai respons kepada titah Yang di-Pertuan Agong berhubung perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Berikut adalah kandungan penuh surat berkenaan. Mengadap Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj. Bismillahir Rahmanir Rahim. Sukalah patik ingin memaklumkan kepada pihak Tuanku bahawa patik sedang berada di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah untuk mengerjakan umrah dan Insya-Allah dijadualkan akan pulang ke tanah air pada 10 Julai 2011. Patik di sini mendoakan agar KDYMM Tuanku serta Permaisuri sentiasa dilimpahi keberkatan yang berpanjangan daripada Allah SWT. Patik mendengar khabar berita bahawa pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) telah diberi ampuni untuk mengadap KDYMM Tuanku pada pagi ini dan menyembahkan tuntutan-tuntutan ke arah memastikan perjalanan pilihan raya yang lebih bersih dan terjamin ketelusannya. Patik juga dimaklumkan bahawa pihak penganjur telah dinasihatkan agar tidak mengadakan perarakan di tempat terbuka dan memindahkannya di tempat yang tertutup seperti stadium bagi menjamin perjalanan yang aman dan tidak mengganggu ketenteraman awam. Justeru, patik ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah di atas keprihatinan KDYMM Tuanku terhadap kehendak rakyat untuk merasai keadilan melalui sistem demokrasi yang telah dijamin di dalam perlembagaan Malaysia. Sukalah patik mempersembahkan pendirian patik bahawa sebarang pertukaran kepimpinan negara di bawah sistem pilihan raya yang adil tidak akan mendatangkan huru-hara sama sekali seperti yang berlaku di negara-negara lain seperti Jepun dan terkini negara jiran iaitu Thailand. Sekali lagi tahniah dan junjung kasih berpanjangan dari patik. Semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri terus dilindungi Allah SWT dan terus berperanan sebagai payung yang menaungi seluruh rakyat jelata. Sesungguhnya KDYMM Tuanku adalah umpama ibu bapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah. Di bawah naungan Kaabah, patik dengan penuh rasa kasih dan sayang berdoa semoga KDYMM Tuanku dan Permaisuri dilimpahi rahmat oleh Allah SWT. Patik yang menjunjung kasih, YANG AMAT BERHORMAT DATUK BENTARA SETIA HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT, Al-Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS). Bertarikh: 3 Syaaban 1432H bersamaan 5 Julai 2011M |
Bersih 2.0: Pemuda pastikan 30,000 setiap negeri Posted: 05 Jul 2011 11:35 PM PDT KUALA LUMPUR, 6 Julai: Dewan pemuda PAS Pusat mengulangi komitmen mereka untuk menghantar 30,000 ahlinya dari setiap negeri ke himpunan aman Bersih 2.0 yang dijadual diadakan di Stadium Merdeka pada Sabtu ini. "Kami akan pastikan jumlah asal 30 ribu pemuda dari setiap negeri akan dicapai. "Kita harap jangan luntur semangat dan batal hasrat menyertai himpunan tersebut walaupun telah ditukar ke stadium," kata ketuanya, Nasruddin Hassan kepada Harakahdaily hari ini. Selain hak yang diperuntukkan perlembagaan, perhimpunan itu juga sebagai menghormati titah Yangd i-Pertuan Agong yang memperkenan himpunan itu diadakan di stadium. Pihak istana juga ujarnya, akan menghantar wakil mereka untuk menerima memorandum di stadium itu nanti. Sehubungan itu, beliau juga mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membenarkan Bersih 2.0 menggunakan Stadium Merdeka sebagai menunaikan janjinya sebelum ini yang membenarkan himpunan tersebut diadakan di stadium. "Kini giliran kerajaan menunjukkan keikhlasan terhadap janjinya. "Saya minta pemuda yang akan datang ke sini, memakai baju bersih dan jangan takut, Agong pun terima Bersih 2.0 mengadap, bermakna Bersih bukan pertubuhan haram seperti didakwa BN. "Saya harap pihak polis tidak melakukan sekatan atau halangan yang menyukarkan anggota kami berhimpun di Stadium kelak,"katanya lagi. Beliau merujuk anggota jawatankuasa Bersih yang terdiri daripada pengerusinya Datuk S Ambiga , Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin yang mengadap Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara, petang semalam. Dengan perkembangan terbaru itu juga, Nasruddin mendesak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri dan polis membebaskan semua tahanan yang dikatikan sebagai menyokong Bersih yang ditangkap sebelum ini. Kerajaan juga ujarnya mesti menarik balik kenyataan dan tindakan mereka mengharamkan pemakaian baju Bersih 2.0 Selain itu beliau juga mendesak semua pertuduhan yang dikenakan kepada mereka yang ditangkap ditarik balik. |
Posted: 05 Jul 2011 11:35 PM PDT KUALA LUMPUR, 6 Julai: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) bercadang untuk mengadakan Himpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini di Stadium Merdeka. Pemilihan yang dibuat ke atas Stadium Merdeka berdasarkan kedudukan stadium itu di tengah pusat bandar dan mudah didatangi orang ramai dari seluruh negara. Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan menjelaskan, penyerahan memorandum yang mengandungi 8 tuntutan Bersih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tidak akan dilakukan dengan perarakan. Sebaliknya, ia hanya akan dilakukan oleh tidak lebih 10 orang wakil Bersih yang akan berkunjung ke Istana Negara dari tempat perhimpunan diadakan di Stadium Merdeka. "Penyerahan memorandum itu tidak membabitkan seorangpun pemimpin parti-parti politik dari Pakatan Rakyat. Mereka yang terbabit adalah dari Bersih atau NGO sahaja dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan parti politik," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, hari ini. Sebelum itu, beliau menjelaskan, Bersih 2.0 menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan baginda menerima mengadap wakil Bersih yang terdiri daripada beliau, Datuk A Samad Said dan Zaid Kamaruddin, semalam. Bersih 2.0 menjunjung kasih Seri Paduka Baginda Tuanku di atas keprihatinan terhadap aspirasi rakyat untuk menikmati demokrasi dan hak asasi seperti yang termaktub di dalam perlembagaan Persekutuan. Menurut beliau, pada pertemuan itu, rombongan Bersih 2.0 telah mempersembahkan kepada Tuanku di antara lain kenyataan dan pendirian Bersih 2.0. "Pertama, Bersih 2.0 menerima tawaran kerajaan untuk mengadakan rapat umum di Stadium dan berharap polis memberi kerjasama untuk memastikan perhimpunan berjalan lancar, manakala wakil Bersih 2.0 tidak melebihi 10 orang akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong. "Kedua, kerajaan menunjukkan good faith dengan membebaskan semua yang telah ditahan termasuk individu-individu yang ditahan di bawah EO dan memberhentikan tekanan, gangguan serta halangan kepada penyokong-penyokong Bersih 2.0. "Ketiga, menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk pembaikan sistem dan proses pilihanraya," katanya. Tuntutan Bersih 2.0 Bersih 2.0 adalah gabungan yang sah kerana disertai oleh pertubuhan-pertubuhan dan entiti yang berdaftar. Menurut Ambiga, Bersih 2.0 menuntut satu Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk mengkaji secara menyeluruh kelemahan-kelemahan di dalam dan mencadangkan penambahbaikan kepada sistem dan proses pilihanraya yang sedia ada. "Suruhanjaya ini hendaklah dianggotai mereka yang berkaliber dan mewakili semua pihak yang berkepentingan (stakeholders)," katanya. Lapan tuntutan jangka pendek Bersih 2.0 dipenuhi sebelum PRU Ke-13 iaitu bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, masa kempen minima 21 hari, akses media yang bebas dan adil, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Menurutnya, semua yang telah ditahan berkaitan sokongan kepada Bersih 2.0 hendaklah dibebaskan termasuk enam pemimpin PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) mestilah dibebaskan serta merta atau dihadapkan ke mahkamah. Pendakwaan terhadap mereka yang ada kaitan dengan Bersih 2.0 ditarik balik atau digugurkan dan mereka yang masih ditahan dibebaskan tanpa syarat. Katanya, Bersih 2.0 turut menuntut agar semua gangguan (harassment), ugutan, tuduhan dan fitnah terhadap penyokong-penyokong Bersih 2.0 dihentikan dan ini bermakna rakyat dibenarkan memakai baju kuning, usaha-usaha menjayakan perhimpunan Bersih 2.0 di stadium tidak dihalang. "Pihak polis, DBKL atau pihak-pihak lain tidak memberikan apa-apa halangan kepada semua rakyat yang menghadiri perhimpunan Bersih 2.0 di Stadium Merdeka pada pukul 2 hingga 4 petang 9 Julai (Sabtu) ini. "Bersih 2.0 bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi memastikan perhimpunan ini berjalan dengan aman dan lancar," jelasnya. Beliau juga memberitahu, Bersih 2.0 sedang berusaha untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan segera untuk membincangkan semua tuntutan itu dan sebarang perkara berkaitan Bersih 2.0. |
Bersih 2.0: Tiada makna jika stadium tidak melimpah Posted: 05 Jul 2011 11:34 PM PDT KUALA LUMPUR, 6 Julai: Bersih 2.0 sudah mencapai 60% matlamatnya iaitu kebanyakan rakyat hari ini sedar akan kewujudannya, namun segalanya tidak bermakna sekiranya perhimpunan di stadium nanti tidak melimpah hadirinnya, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataannya hari ini. "Dengan kegigihan jawatankuasa Bersih 2.0 dan juga publisiti percuma daripada Umno Barisan Nasional dan medianya serta tindakan Kementerian Dalam Negeri yang mengarah polis untuk bertindak melampau dengan mengada-adakan konspirasi tak masuk akal terhadap Bersih 2.0, pergerakan itu kini dikenali di seluruh pelosok negara. "Rakyat kini tahu akan apa itu Bersih 2.0, apakah tuntutan mereka dan juga keganasan kerajaan Barisan Nasional. "Bersih 2.0 sudah mencapai 60% matlamatnya – kebanyakan rakyat hari ini sedar akan kewujudannya, namun segalanya tidak bermakna sekiranya perhimpunan di stadium nanti tidak melimpah hadirinnya," terang beliau. Tuan Ibrahim juga berkata rakyat usahakan 40% yang selebihnya untuk memastikan agenda Bersih 2.0 berjaya bagi meyakinkan diri sendiri serta orang-orang sekitarnya yang sedar tentang kewujudan dan fungsi Bersih 2.0 dengan menghadirkan diri secara beramai-ramai ke perhimpunan awam nanti. "Dengan stadium yang melimpah, percayalah bukan sahaja rakyat sendiri berasa yakin mereka tergolong dalam golongan majoriti yang menuntut perubahan dalam sistem pilihanraya, bahkan juga kerajaan pimpinan Barisan Nasional bahawa rakyat menuntut perubahan dilakukan segera sebelum pilihanraya ke 13 diadakan. "Itulah 40% lagi, yang hanya boleh diusahakan oleh rakyat Malaysia yang cintakan kebebasan dan keadilan untuk menjayakan Bersih 2.0 sepenuhnya," seru beliau. Beliau juga mengucapkan syabas atas kegigihan yang ditunjukkan para penganjur Bersih 2.0 yang berjaya menunjukkan tahap ketabahan yang mengkagumkan sepanjang minggu lepas walaupun diasak, diugut dan dipersenda oleh "mereka-mereka yang berkuasa tapi tidak menghormati undang-undang" sehinggalah mendapat pengiktirafan diRaja apabila diberi peluang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong. Daripada digelar sebagai satu pertubuhan haram, diasak oleh Kementerian Dalam Negeri dengan menggunakan polis dan akta-akta yang zalim seperti Akta Ordinan Darurat 1966 sehinggalah mendapat restu dan pengiktirafan diRaja dengan diberi peluang menghadap Agong, rakyat perlu kagum dan bangga dengan kegigihan aktivis-aktivis Bersih 2.0 untuk meneruskan agenda mereka tanpa gerun demi rakyat, tambah beliau. Walaupun tempat perhimpunan aman bertukar daripada demonstrasi aman di jalanraya kepada stadium, PAS menyeru seluruh ahlinya untuk tetap menghadirkan diri di stadium yang ditentukan nanti untuk menyokong Bersih 2.0 kerana dasar perjuangannya tetap sama iaitu untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil di negara ini. "Kepada para penyokong Bersih 2.0 yang kecewa dengan kompromi ini, bersangka baiklah pada jawatankuasa Bersih 2.0 telah melakukan yang terbaik demi rakyat," nasihat Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang. PAS, katanya juga ingin menegaskan bahawa Bersih 2.0 ialah sebuah badan bukan politik dan berkecuali, dan PAS menyokong kerana dasar perjuangannya untuk menuntut satu pilihanraya yang bebas dan adil demi masa depan negara dan generasi akan datang. "PAS menyokong Bersih 2.0, termasuklah keputusannya untuk mengadakan perhimpunan aman pada Julai 9 ini di Kuala Lumpur," kata beliau. Ingatan kepada Pakatan Rakyat Tuan Ibrahim juga mengingatkan Pakatan Rakyat Rakyat bahawa sokongan rakyat terhadap Bersih 2.0 dan kecaman mereka terhadap keganasan yang digunakan kerajaan Umno Barisan Nasional terhadap penyokong Bersih 2.0 bukanlah petanda sokongan rakyat kepada pembangkang. "Rakyat menyokong Bersih 2.0 hanya semata-mata untuk memastikan undi-undi mereka tidak di'offset'kan secara tidak sah oleh pengundi hantu, pengundi pos yang tidak sah dan juga memastikan mereka mendapat maklumat yang tepat sebelum mengambil keputusan untuk mengundi siapa-siapa. 8 tuntutan Bersih 2.0 adalah untuk memastikan wakil yang dipilih menang nanti di pilihanraya akan datang betul-betul adalah pilihan rakyat dan bukannya pilihan parti pemerintah yang memanipulasi sistem pilihanraya negara untuk kekal berkuasa," terang beliau. Pakatan Rakyat, katanya juga tidak harus terlalu yakin bahawa dengan pilihanraya yang lebih bersih, mereka bakal dapat menewaskan Umno Barisan Nasional secara automatik. "Rakyat yang menyokong Bersih 2.0 tetap tidak akan mengundi kita sekiranya prestasi kita lemah dan tidak dapat memberikan keyakinan kepada mereka untuk menerajui negara," tegur Tuan Ibrahim. Untuk kerajaan Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya, Tuan Ibrahim berkata PAS menasihatkan agar menunaikan 8 tuntutan Bersih 2.0 ini. "Barisan Nasional akan menghayati kepentingannya sekiranya di pilihanraya umum ke 14 apabila tewas di pilihanraya ke 13 nanti," kata beliau, sambil menambah bahawa sekiranya diberi kuasa memerintah nanti Pakatan Rakyat akan juga melaksanakan 8 tuntutan Bersih 2.0. "(Ini bagi memastikan) supaya kita dapat bersaing secara sihat dan seimbang di padang yang sama rata dengan semua pembangkang - dengan penuh keyakinan daripada rakyat bahawa demokrasi negara adalah subur, telus dan tulen," kata beliau. |
Mengapa sekat jalan hari ini, Bersih kan Sabtu? Posted: 05 Jul 2011 11:33 PM PDT KUALA LUMPUR, 6 Julai: Beberapa jalan utama memasuki bandar Kuala Lumpur sesak teruk hari ini berikutan sekatan jalan oleh pihak polis dipercayai ada kaitan dengan perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Harakahdaily difahamkan, sekatan tersebut dibuat di lebuh raya Besraya berhampiran stesen komuter Serdang, lebuh raya Karak di plaza tol Bentong, lebuh raya Sprint, seksyen 16 Petaling Jaya, dan di Lebuh Raya Plus dari Shah Alam menghala ke KL. Beberapa jalan lagi juga difahamkan terdapat sekatan serupa termasuk di Cheras, Ampang dan Gombak. Tinjauan Harakahdaily di Besraya mendapati polis hanya membuka satu sahaja dari tiga lorong menyebabkan kekesakan teruk sepanjang jalan di hadapan pusat membeli belah Mines, dari Balakong dan juga Serdang lama. Sekatan itu juga dijangka akan diteruskan sehingga 9 Julai ini iaitu hari yang dijadual berlakunya himpunan Bersih 2.0. Di Bentong, polis turut menggeledah kenderaan orang ramai, dipercayai mencari barang yang ada kaitan dengan himpunan Bersih. "Dia buka bonet kereta, cek dalam kereta, tanya dari mana nak ke mana. "Saya cakap dari Temerloh nak ke Mahkamah Jalan Duta. Dia tanya lagi Temerloh kat mana," cerita Mohd Sabri Shafie kepada Harakahdaily yang melalui jalan itu pagi tadi. Beliau hari ini hadir ke mahkamah bagi mendengan permohonan memfailkan petisyen rayuan di luar masa berhubung perhimpunan Bersih 1 pada 10 November 2007 lalu. Ramai pengguna jalan raya yang menuju ke tempat kerja hari ini mengecam tindakan polis membuat sekatan jalan raya itu melalui laman Facebook dan Twitter. Ada juga yang mempersoalkan mengapa pihak polis mengadakan test sekatan jalan pada hari ini iaitu hari kerja sedangkan himpunan Bersih pada hari Sabtu, bukan hari bekerja bagi jabatan kerajaan dan sebahagian swast |
PRU 13: Buka bilik gerakan pemuda Posted: 05 Jul 2011 11:32 PM PDT KUALA LUMPUR, 6 Julai: Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) kini telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi. Sehubungan itu, Jabatan Pilihanraya DPPP telah mengeluarkan arahan kepada Dewan Pemuda PAS Negeri-negeri supaya mengenal pasti dan membuka sekurang-kurangnya sebuah Bilik Gerakan Pemuda di setiap kawasan. Pengarah Jabatan Pilihanraya DPPP, Mohd Sany Hamzan menjelaskan, bilik gerakan tersebut akan menjadi pusat perkumpulan anak muda untuk mendapatkan pelbagai maklumat, beriadah, bersantai dan bersukan. Menurut beliau, Jabatan Plihanraya DPPP cukup yakin bahawa seluruh pemuda-pemuda PAS kawasan-kawasan telah bersiap siaga untuk menghadapi PRU Ke-13 yang akan datang. Katanya, persediaan tersebut pasti dibuat dengan penguasaan segala ilmu dan taktik pilihanraya, selain daripada pengalaman-pengalaman semasa membantu jentera parti menghadapi pilihanraya-pilihanraya kecil lalu. "Sesungguhnya motivasi untuk mempertahankan negeri-negeri kerajaan Pakatan Rakyat daripada dirampas oleh Umno BN dan menuju ke Putrajaya sudah pastilah akan menyemarakkan gerakerja pemuda di semua peringkat," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdailly, hari ini. Jabatan Plihanraya DPPP, menurut beliau, mengucapkan tahniah kepada PAS Kawasan Gombak di atas pelancaran Bilik Gerakan Jentera Pilihan Raya PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Gombak Setia di Majlis Tindakan Dun Gombak Setia yang telah dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Negeri Selangor, Saari Sungib baru-baru ini.. Katanya, dengan pelancaran itu telah menunjukkan komitmen, kesungguhan dan keprihatinan PAS Kawasan Gombak untuk menghadapi PRU Ke-13 yang akan dilaksanakan pada bila-bila masa mengikut perkiraaan Perdana Menteri. "Dengan kewujudan Bilik Gerakan ini sudah pastilah akan menyemarakkan lagi aktiviti dan program ke arah gerakerja pilihanraya yang lebih kemas dan tersusun," katanya. Oleh itu, Jabatan Plihanraya DPPP, tegasnya, menuntut komitmen yang sama daripada PAS kawasan-kawasan di seluruh negara supaya dapat melakukan persediaan yang sama seperti itu. "Komitmen seperti itu tidak terkecuali sama ada di kawasan-kawasan yang PAS bertanding ataupun tidak bagi mewujudkan suasana dan gelombang semangat gerakerja petugas-petugas parti di semua peringkat. "Begitu juga diharapkan kepada pemuda-pemuda PAS kawasan supaya dapat menggembleng sepenuh tenaga untuk membantu jentera pilihanraya parti di semua peringkat," ujar beliau. |
Gambarkan himpunan Bersih 2.0 ganas, strategi kuno Posted: 05 Jul 2011 05:23 PM PDT KUALA LUMPUR, 5 Julai: Tindakan kerajaan Umno BN cuba menggambarkan perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini sebagai ganas adalah strategi kuno dan lapuk, kata Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Sambil menyelar tindakan itu, beliau turut mengecam tindakan pemimpin Umno BN yang dakwanya berselindung di sebalik pihak keselamatan untuk mengekalkan kuasa politik mereka. "Provokasi demi provokasi yang ditimbulkan saban hari di media cetak arus perdana dan televisyen, untuk memberi gambaran bahawa perhimpunan aman Bersih 2.0 akan bertindak ganas dan sebagainya. "Kami ingin memperingatkan mereka bahawa strategi kuno sebegini sudah lapuk dan tidak akan berjaya memenjarakan fikiran rakyat yang sudah merdeka pada zaman ini," katanya kepada Harakahdaily. Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap beberapa siri tangkapan dan juga penemuan terbaru polis yang mengaitkan Bersih 2.0 sebagai himpunan ganas. Ianya termasuk rampasan sejumlah besar senjata daripada pelbagai lokasi di sekitar Lembah Klang semalam antaranya 44 molotov cocktails, 23 parang dan 48 baju T dengan logo BERSIH. Semuanya dirampas semasa operasi polis di Gombak, Selangor dan tiga lokasi di Kuala Lumpur iaitu di sekitar kawasan pusat membeli belah Sogo, Wisma Bumi Raya dan Komplek Pertama. Tidak cukup dengan itu, beberapa siri tangkapan termasuk anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sedang menyebarkan risalah Bersih dan maklumat kepincangan negara dibawah BN kepada rakyat Johor, juga cuba dikatkan dengan Komunis. Antaranya ahli parlimen Sungai Siput Dr D Michael Jeyakumar dan lima anggota PSM lain yang ditangkap semula di bawah Ordinan Darurat (EO). Mengulas siri tangkapan terhadap pemimpin dan penyokong Bersih itu, presiden PAS itu mendakwa ia bukti kegelabahan Barisan Nasional yang tidak bijaksana dan semakin tidak waras dalam menangani isu. "Dengan ini PAS mendesak pihak yang berkenaan supaya membebaskan rakyat yang sudah menjadi mangsa di tahan akibat dari tindakan rakus kerajaan pimpinan BN ini," katanya lagi. Himpunan Bersih 2.0 ujarnya adalah untuk mendesak dibersihkan pilihanraya yang kotor, bukan himpunan untuk menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi. Tambahnya, sememangnya sudah sekian lama Pakatan Rakyat berusaha untuk menumbangkan Barisan Nasional yang melakukan kerosakan dalam negara, dan ia bukan lagi suatu yang rahsia. Tetapi Barisan Nasional berlagak seperti negara ini milik peribadi mereka, merasa kebal dan tidak sedia untuk kalah sehingga memperalatkan berbagai agensi kerajaan untuk kepentingan mereka. "Kerajaan Barisan Nasional sangat mundur amalan demokrasinya, berjiwa kecil, jauh mundur berbanding negara-negara maju yang membuka pintu demokrasi seadil-adilnya. "Di Australia, seorang Perdana Menteri yang kalah dalam pemilihan partinya, sedia duduk dibawah Perdana Menteri yang baru dengan menjawat jawatan Menteri Luar sahaja. Ini kerana mereka meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bukannya jawatan untuk kepentingan dunia dan peribadi. "Sebaliknya Barisan Nasional merasakan kerajaan ini milik mereka selama-lamanya, sehingga tidak sedia untuk kalah dan diganti dengan kerajaan yang baru. Sehubungan itu beliau turut mengingatkan Umno BN agar sedia berundur secara terhormat, sebelum jatuh dalam kehinaan dan membebaskan SPR dan jabatan-jabatan kerajaan daripada diseleweng. "PAS menyokong sebarang usaha memulihkan demokrasi dan menggunakan pilihanraya untuk mendapatkan kuasa pemerintahan," tegasnya. |
MB tawar stadium Selangor untuk Bersih 2.0 Posted: 05 Jul 2011 05:21 PM PDT KUALA LUMPUR, 5 Julai: Selangor tampil negeri pertama menawarkan stadium negeri untuk digunakan penganjur himpunan Bersih 2.0 selepas Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersetuju untuk diadakan di stadium. Tawaran itu dilontarkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lewat petang ini, lapor TV Selangor. Beliau berkata sekirannya penganjur Bersih 2.0 memohon untuk menggunakan stadium- stadium di Shah Alam, beliau akan meluluskannya tertakluk kepada syarat- syarat biasa yang dikenakan kepada pihak yang mahu menggunakan premis sebegitu. "Sekiranya NGO Bersih meminta kebenaran untuk menggunakan Stadium Shah Alam, saya akan setuju. Bagaimanapun perhimpunan itu perlulah dilakukan dengan penuh tatatertib serta berdisiplin," ujar Khalid. Khalid berkata, perhimpunan Bersih harus disokong oleh rakyat kerana ia bertujuan memastikan pengundi berpeluang memilih kerajaan yang terbaik menerusi pemilihan yang bebas daripada penipuan dan pembohongan. "Secara peribadinya saya berpendapat, usaha Bersih adalah untuk memastikan pilihan raya di negara ini diadakan dengan adil dan bersih. "Perhimpunan ini diadakan bukan untuk diri saya, tetapi untuk anak cucu saya pada masa akan datang. Golongan muda juga pastinya mahu tuntutan seperti itu dilaksanakan," kata beliau. Tengah hari tadi penganjur Bersih 2.0 menghadap Yang di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan akur dengan nasihat baginda supaya perhimpunan aman pada 9 Julai ditukar ke stadium. |
Perhimpunan Bersih 2.0 di stadium? Posted: 05 Jul 2011 05:18 PM PDT KUALA LUMPUR, 5 Julai: Besar kemungkinan perhimpunan Bersih 2.0 diadakan di stadium ekoran pengumuman Pengerusi Bersih dan juga kata sepakat yang dicapai Pakatan Rakyat yang menyebut mereka terbuka untuk perhimpunan di stadium. Keputusan Bersih dibayangkan pengerusinya Datuk S Ambiga pada sidang media lepas mengadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, petang tadi manakala keputusan Pakatan pula diumumkan tiga pimpinan tertinggi mereka. (Ambiga ketika dikerumuni wartawan di perkarangan Istana Negara - gambar Malaysiakini) Ambiga bersama Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dan presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin mengadap Tuanku Mizan Zainal Abidin tengahari tadi. Bagaimanapun setakat ini belum ditentukan stadium mana yang akan digunakan. Menurut Ambiga, pihak jawatankuasa BERSIH 2.0 berjanji memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa. Sebelum itu, Pakatan membayangkan akan bersetuju untuk berhimpun di stadium melalui tiga pemimpin kanan mereka. Pakatan Rakyat juga menyeru kesemua individu yang ditahan kerana Bersih 2.0 dibebaskan serta-merta dan tuduhan terhadap mereka digugurkan di samping terbuka dengan tawaran Perdana Menteri agar berhimpun di stadium. Pakatan Rakyat mengambil maklum kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam yang menyatakan kesediaan pihak kerajaan memberikan kerjasama untuk menganjurkan perhimpunan aman Bersih 2.0 di stadium. "Setelah melalui beberapa proses perbincangan, kami ingin merakamkan pendirian bahawa ketiga-tiga parti mengambil sikap terbuka dengan tawaran Perdana Menteri itu selagi ia menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Teresa Kok Suh Sim dalam kenyataan bersama, petang ini. Menurut mereka, Pakatan Rakyat ingin menegaskan bahawa tuntutan reformasi dalam sistem pilihan raya negara agar bersih, telus dan adil kekal sebagai matlamat perhimpunan tersebut. Mereka berkata, proses reformasi itu perlu dilaksanakan segera sebelum Pilihanraya Umum ke-13 bersesuaian dengan lapan tuntutan Bersih 2.0 dan memerlukan komitmen Perdana Menteri; selain dari komitmen sedia ada beliau untuk menawarkan stadium bagi perhimpunan aman Bersih 2.0. "Kesediaan ini juga perlulah disambut oleh pihak berkuasa dengan menghentikan pendekatan keras yang diambil setakat ini," kata mereka. Mereka menambah, ketiga-tiga parti bersedia untuk bekerjasama dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang lain bagi memastikan perjalanan perhimpunan itu nanti boleh berjalan dengan baik dan aman. "Oleh yang demikian, Pakatan Rakyat menyeru supaya kesemua individu yang ditahan kerana Bersih 2.0 dibebaskan serta-merta dan tuduhan yang dikenakan terhadap mereka digugurkan," ujar mereka lagi. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan