Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan |
- 8 tuntutan Bersih sangat munasabah
- PAS pertikai polis tutup pintu rundingan
- Khutbah hentam Bersih, Jawi jadi alat Umno
- Polis diminta bebaskan remaja demo bantah Bersih
- Sedihnya negara hilang tanah KTMB selamanya
- Dewan Pemuda PAS Kawasan Machang Buat Laporan Polis
- PAS alu-alukan Najib kumpul 3 juta ahli Umno
8 tuntutan Bersih sangat munasabah Posted: 02 Jul 2011 08:51 AM PDT SHAH ALAM, 2 Julai: Dewan Pemuda PAS Selangor menyifatkan lapan tuntutan Bersih adalah sangat munasabah kerana telah lama dilaksanakan di negara lain. Ketuanya, Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, tuntutan itu merupakan kehendak rakyat yang inginkan suasana pilihan raya berada dalam bersih dan bebas. Kerana ketiadaan lapan perkara itulah maka Bersih terpaksa menganjurkan himpunan 9 Julai ini. Hasbullah mempersoalkan kenapa susah sangat untuk kerajaan BN laksanakan semua tuntutan kerana ia paling mudah dilakukan. Kecualilah, ujarnya, pihak terbabit mempunyai agenda tersendiri yang menyebabkan mereka tidak berani dan gagal memahami kehendak rakyat yang ingin suasana bersih di dalam pilihan raya. Himpunan Bersih yang digerakkan berbagai NGO akan diadakan di Kuala Lumpur pada 9 Julai dalam usaha menyerahkan lapan tuntutan kepada Istana Negara. Lapan tuntutan itu adalah Bersihkan senarai undi, Mereformasikan undi pos, Gunakan dakwat kekal, Masa kempen minima 21 hari, Akses media yang bebas dan adil, Kukuhkan institusi awam, Hentikan rasuah dan Hentikan politik kotor. Exco Pemuda PAS Malaysia itu menyatakan perkara ini ketika menjawab soalan media dalam Majlis Ramah Mesra Pemuda PAS Selangor bersama Media dekat sini, petang semalam. Menurutnya, pihak penganjur memberi jaminan tentang keselamatan dan peserta himpunan sama sekali tidak akan membawa sebarang jenis senjata. Bagi mereka, ia adalah himpunan aman yang dibenarkan oleh Perlembagaan Negara. Dalam hal ini, Hasbullah menyatakan kekesalannya kerana pihak Kerajaan BN menghalang satu himpunan aman yang jelas dibenarkan oleh perlembagaan. "Jika kerajaan tidak izinkan Bersih ini, kenapa pula perlembagaan dengan jelas membenarkannya? "Halangan sebegini juga adalah antara sebab rakyat hendak berhimpun sangat pada 9 Julai ini. "Apatah lagi bagi umat Islam, himpunan seumpama ini sangat digalakkan selagi mana ia diadakaa dalam keadaan aman seperti ibadat haji di Makkah," tegasnya. |
PAS pertikai polis tutup pintu rundingan Posted: 02 Jul 2011 08:50 AM PDT KOTA BHARU, 2 Julai: Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu, mempertikaikan tindakan polis yang menutup pintu rundingan dengan pihak penganjur Bersih 2.0 (Mohamad Sabu disambut para jamaah masjid Darul Qarar) Ini kerana Bersih adalah pencinta demokrasi dan keamanan, apa lagi untuk dikena tindakan ISA terhadap mereka yang menyertai Bersih. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkara itu selepas majlis ramah mesra bersama beliau di masjid Darul Qarar di sini hari ini. Menurutnya, Bersih adalah pencinta keamanan dan demokrasi. Namun begitu, Umno dan BN dilihat terlalu takut dengan Bersih. Ia dibayangkan dengan tindakan menangkap pemakai baju Bersih serta bertindak kepada mana-mana pihak yang menganjurkan program berkaitan Bersih. Hampir 100 sudah ditangkap ekoran cadangan perhimpunan Bersih 9 Julai ini. "Amat tidak wajar jika pintu rundingan ditolak,"ujarnya lagi. Turut berucap pada majlis itu, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan yang dipertua PAS Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah. Pada masa yang sama Mohamad Sabu berkata, PAS tetap akan menyokong perhimpunan Bersih demi untuk kepentingan rakyat pada masa akan datang. "PAS tetap akan sertainya, kerana Bersih hanya untuk menuntut keadilan dalam pilihanraya dan bukannya untuk menggugat kestabilan negara," ujarnya lagi. Terdahulu ketika berucap pada majlis itu beliau berkata Umno dan BN sebenarnya takut pada kebenaran yang bakal dibawa oleh Bersih. Tegasnya, kemenangan BN kini hanya diperolehi dari undi pos dan Felda sahaja. "Undi individu dah lama tak ada, apa lagi sekarang ini golongan muda juga semakin menyokong Pakatan Rakyat,"ujarnya. Sementara itu, Mahfuz pula berkata PAS menuntut pilihanraya secara bersih dan gentleman, bukan dengan cara himpunan haram. Katanya, PAS dan Pakatan Rakyat bukan ingin memerintah negara dengan cara demontrasi dan bukannya dengan cara mengguling kerajaan yang ada. "Kita gentleman, bukan nak guling kerajaan, kalau dia (BN) nak terguling sendiri, terpulanglah," ujarnya yang dipercayai mengulas tindakan BN yang seolah-olah sangat takut dengan Bersih. |
Khutbah hentam Bersih, Jawi jadi alat Umno Posted: 01 Jul 2011 07:58 PM PDT KUALA LUMPUR, 1 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) amat kesal dengam khutbah Jumaat keluaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan dibacakan di masjid-masjid di seluruh Kuala Lumpur hari ini, memandangkan ia jelas memburukkan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) dan perhimpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini. Di tengah kita menyambut Israk dan Mikraj yang mengandungi amat banyak pengajaran besar, Jawi hari ini telah melakukan kesilapan besar dengan mengeluarkan khutbah tersebut yang jelas melampau dan bertentangan dengan ajaran Islam. Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Riduan Mohd Nor menegaskan, pada hal di dalam negara kita ini amat banyak perkara yang perlu diketengahkan oleh Jawi termasuklah usaha-usaha untuk mengatasi gejala sosial dan penghinaan terhadap syariat Islam. Menurut beliau, tiba-tiba mimbar Jumaat di seluruh Wilayah Persekutuan hari ini dicemari dengan propaganda Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi APCO. Katanya, DPPP amat kesal apabila masjid yang mulia dicemari dengan politik kotor dan hina yang menjadi pegangan Umno BN selama ini. "Pada hal jika kita kembali kepada sirah Rasulullah s.a.w, khutbah merupakan medium dakwah yang penting yang mengandungi pelbagai nasihat dan ajaran berguna. Ia disampaikan dengan penuh semangat dan ketika menyampaikan khutbah, Nabi sendiri turut memegang tombak dan pedang. "Oleh itu, dalam Islam, setiap makmun diwajibkan mendengar khutbah dengan teliti. Malah Nabi sendiri pernah menegur seorang sahabatnya kerana bermain-main dengan anak batu ketika khutbah dibaca," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini. Isi khutbah, menurut beliau, mesti didengar dan dihadam oleh setiap makmun dan dengan itu ia secara jelas memberikan pengajaran kepada kita bahawa setiap khutbah yang dibacakan di mimbar-mimbar masjid mestilah yang menepati ajaran Islam. Katanya, bagaimanapun, perkara itu amat berbeza dengan khutbah yang dibacakan di mimbar-mimbar masjid di Kuala Lumpur hari ini kerana ia jelas telah diperalatkan oleh BN untuk propaganda politik murahannya. "Dengan itu, setiap umat Islam wajib menolak khutbah yang bersalut propaganda politik murahan BN itu dan sebaliknya turut memberikan kerjasama dengan Bersih untuk menolak politik kotor dan hina dan pilihanraya yang kotor dan hina di negara kita," tegasnya. Rakyat di seluruh negara, katanya, diyakini amat faham dengan tujuan Bersih hendak mengadakan Perhimpunan Aman Bersih 2.0 pada 9 Julai ini yang bukannya untuk melakukan kekacauan, tetapi untuk menuntut kerajaan melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil. "Oleh itu, di tengah BN menyerang Bersih termasuk dengan menggunakan mimbar masjid, saya yakin sejuta umat Islam akan turun berhimpun di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini, bagi mendesak kerajaan BN yang korup melaksanakan pilihanraya dengan bersih dan adil kerana rakyat sendiri sudah tidak tertahan dengan permainan politik kotor BN sejak sekian lama," katanya. Sementara itu, PAS Wilayah Persekutuan turut kesal dengan teks khutbah Jumaat hari ini yang dikeluarkan oleh Jawi untuk menghentam Bersih. Dalam keadaan mereka beria-ia menolak politik kepartian di dalam masjid, tetapi Jawi hari ini telah terjebak sebagai alat politik Barisan Nasional (BN). Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail berkata, tindakan menggunakan platform agama untuk mengharam dan melabelkan pelampau kepada Himpunan Bersih 2.0 dikira melampau dan bertentangan dengan ajaran Islam. Menurut beliau, label pelampau dan haram dikaitkan kononnya Bersih hendak menimbulkan kekacauan dan kerosakan jelas merupakan satu fitnah yang dilakukan terang-terangan menggunakan mimbar Jumaat. Katanya, PAS Wilayah Persekutuan amat kesal kerana mimbar Jumaat dijadikan tempat sebaran fitnah, sedangkan umum mengetahui tujuan Bersih adalah untuk berhimpun secara aman bagi mendesak pilihanraya yang bebas dan adil, bukan untuk melakukan kerosakan dan huru-hara. "Tetapi khutbah yang dikeluarkan oleh Jawi ini melaporkan sebaliknya," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini. PAS Wilayah Persekutuan juga, menurutnya, kecewa kerana Jawi menggunakan platform khutbah yang berbentuk komunikasi sehala untuk memfitnah himpunan Bersih. "Kita mohon supaya Jawi sedia berdialog secara terbuka dengan umat Islam dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi memastikan di mana haram dan melampaunya himpunan Bersih? Jika JAWI tidak sedia berdialog, beliau secara tegas mengatakan, itu tandanya JAWI sebenarnya melaksanakan arahan Barisan Nasional. "Kita hendak ingatkan Jawi supaya tidak menjadi alat BN dan merasakan masjid-masjid di Wilayah milik Barisan Nasional sehingga tergamak melakukan hal ini. "Perlu diingat, 9 daripada 10 Parlimen di Kuala Lumpur ini dimenangi oleh Pakatan Rakyat dan sudah pasti yang mendengar khutbah itu majoritinya menolak politik kotor Barisan Nasional," tegas beliau. Beliau juga memberitahu PAS Wilayah Persekutuan akan menurunkan lebih 20 ribu orang ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya ke Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Mereka, katanya akan turun dengan disiplin yang tinggi sebagaimana amalan biasa dalam PAS dan seperti yang telah sedia dimaklumi oleh pihak polis sendiri berhubung akhlak dan disiplin ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS sepanjang puluhan himpunan yang pernah diadakan sebelum ini. Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail menjelaskan, kesediaan PAS Wilayah Persekutuan menurunkan ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya ke perhimpunan itu adalah selaras dengan arahan Mursyidul Am dan Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Menururut beliau, PAS Wilayah Persekutuan juga menyeru ahli-ahlinya supaya menjadikan diri mereka sebagai saksi-saksi sejarah terhadap perubahan demokrasi yang bebas dan bersih dengan penglibatan mereka dalam himpunan itu. Katanya, himpunan aman yang diadakan itu adalah untuk mendesak kerajaan memulihkan sistem pilihanraya yang kotor selama ini dan ia akan memberi kesan yang cukup besar jika berlaku perubahan. "Ia akan menjadi catatan sejarah yang akan dibaca dan dipelajari oleh anak-anak dan cucu kita pada masa akan datang dan sudah pasti ibu bapa dan datuk neneknya dahulu salah seorang daripada saksi sejarah tersebut," katanya. PAS Wilayah Persekutuan juga, menurut beliau, mengalu-alukan kehadiran ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS dari seluruh negara ke ibu kota bagi menjayakan perhimpunan itu. Katanya, sehingga kini keadaan di ibu kota begitu aman dan tidak ada sebab untuk ahli-ahli PAS dan orang ramai tidak hadir ke Kuala Lumpur pada tarikh tersebut. "Tambahan pula dengan jumlah anggota polis yang ramai, sudah pasti keamanan lebih terjamin. Di samping itu, 400 peguam yang disediakan parti sepanjang perhimpunan ini akan dapat membantu memastikan peserta sentiasa patuh pada undang-undang," tegasnya. |
Polis diminta bebaskan remaja demo bantah Bersih Posted: 01 Jul 2011 07:57 PM PDT TEMERLOH, 1 Julai: Enam remaja yang berdemonstrasi di hadapan bangunan pejabat Badan Perhubungan PAS Pahang, dekat sini selepas solat Jumaat tadi, diberkas polis dan dibawa ke balai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh. Mereka sebahagian daripada kira-kira 20 orang yang berhimpun di jalan Dato' Bahaman di sini yang dikatakan bertindak membantah perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini. Budak-budak lepasan sekolah itu memegang sepanduk "Kami NGO Temerloh bantah himpunan BERSIH" sambil memekik "Selamatkan Malaysia" dan berada kira-kira dua minit di depan pejabat PAS. Mereka yang berasal dari kampung-kampung berdekatan itu kemudiannya bertempiaran lari dan menunggang motosikal masing-masing apabila diusir oleh anggota mata-mata termasuk polis wanita sementara enam orang daripadanya dimasukkan ke dalan van polis. Sementara itu salah seorang peserta demo tersebut ketika ditanya, mengaku menerima wang upah antara RM20 hingga RM30 seorang daripada pihak tertentu. Turut hadir memerhatikan gelagat mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Semantan, Syed Hamid Syed Mohamad, Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pahang, Ahmad Nizam Hamid, puluhan anggota Unit Amal serta ahli-ahli PAS yang turut berkumpul di depan pejabat PAS. Sementara itu, Ahmad Nizam yang juga pengamal undang-undang meminta enam remaja yang ditahan polis itu dilepaskan segera kerana mereka mempunyai hak untuk berhimpun. "Mereka mempunyai hak untuk berhimpun secara aman membantah sesuatu yang tidak disukai kerana ia termaktub dalam perlembagaan. "Jadi kita harap pihak polis segera bebaskan mereka," katanya. |
Sedihnya negara hilang tanah KTMB selamanya Posted: 01 Jul 2011 07:56 PM PDT KUALA LUMPUR, 1 Julai: Seluruh rakyat Malaysia terutama yang tinggal di Johor sepatutnya bersedih mulai hari ini, apabila tanah Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang telah dipajak selama 79 tahun hilang buat selama-lamanya dari pemilikan Malaysia kerana diserahkan kepada pihak Singapura. Sebagai balasannya, pihak Singapura akan menggantikan kepada Malaysia (Johor) dengan tanah bertaraf antarabangsa di empat lot Marina South dan satu bidang di Ophir Rochor. Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Suhaizan Kaiat berkata, penyerahan tanah KTMB yang berlaku hari ini menjadi satu sejarah penting kepada negara dan memberi banyak pengajaran kepada generasi akan datang. Menurut beliau, pangajaran yang paling besar adalah Kerajaan Malaysia sanggup menyerahkan tanah KTMB kepada Singapura demi mengejar keuntungan material semata-mata dengan mengenepikan persoalan maruah rakyat dan negara tercinta ini. Katanya, Pemuda PAS Negeri Johor amat sedih dengan catatan sejarah duka ini kerana ia tidak sepatutnya dialami oleh seluruh rakyat Johor dan Malaysia. "KTMB mempunyai tanah pajakan dengan Kerajaan Singapura selama 999 tahun bermula tahun 1932 seluas 217 hektar. Tanah sepanjang 30 km ini adalah dari Woodland, Kranji, Tanjung Pagar dan 3 lot di Bukit Timah (lot 76-2Mk 16, lot 249 Mk 4 & lot 32-10 Mk 16)," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini. Tanah tersebut, menurut beliau, cukup strategik kerana terletak di tengah-tengah Singapura, terlengkar dari utara di Woodland hingga ke Selatan di Tanjung Pagar. Katanya, perjanjian pajakan yang telah dimeterai dengan pihak British telah menyatakan bahawa tanah tersebut hanya boleh digunakan untuk tujuan keretapi sahaja. Ini bermaksud bahawa jika KTMB membuat aktiviti lain daripada keretapi, katanya, maka perjanjian pajakan akan terbatal dan Singapura berhak untuk merampas tanah tersebut. "Persoalannya, mengapa perjanjian yang mengikat negara ini tidak dipinda semasa Singapura keluar daripada Malaysia?" tegasnya. Hari ini, ujarnya, tanah tersebut tidak akan kembali lagi kepada kita dan digantikan dengan tanah di empat lot Marina South dan satu bidang di Ophir Rochor yang akan dibangunkan oleh syarikat usahasama Malaysia dan Singapura, M-S Pte Ltd yang dimiliki 60 peratus ekuiti oleh Khazanah Nasional Berhad dan 40 peratus ekuiti oleh Temasek Holdings. "Persoalannya, mengapa Syarikat M-S Pte Ltd belum menunjukkan sebarang progres projek tetapi tanah KTMB sudah dilepaskan kepada Singapura? "Di manakah maruah rakyat dan negara Malaysia jika Syarikat M-S Pte Ltd gagal sedangkan tanah KTMB telah diserahkan kepada Singapura?" katanya. Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor menegaskan, tanah di Marina South dan Ophir Rochor yang dibangunkan oleh M-S Ptd Ltd itu bakal dijual kepada pasaran setelah siap dibangunkan. "Oleh itu, tanah ini akan terdedah kepada pemilikan bebas. Berkemungkinan tanah ini sedikit demi sedikit akan hilang daripada pegangan Khazanah Nasional. "Akhirnya rakyat Malaysia sudah tidak memiliki tanah di Singapura yang boleh dibanggakan oleh generasi akan datang. Apakah jaminan tanah di Marina South dan Ophir Rochor tidak terlepas kepada pihak luar?" ujar beliau. |
Dewan Pemuda PAS Kawasan Machang Buat Laporan Polis Posted: 01 Jul 2011 07:55 PM PDT 30//6/2011(Khamis)-Beberapa org AJK DPPKM yang di ketuai oleh Hatman Abdullah selaKu Ketua Pemuda PAS Kawasan Machang(DPPKM) membuat report berkenaan dengan isu kegagalan pihak TNB meningkatkan mutu bekalan elektrik di Negeri Kelantan menyebabkan timbulnya msalah bekalan air..Report trsebut telah dibuat di Balai Polis Machang pada pukul 5.10ptg..Menurut Htman Abdullah Bekalan elektrik terputus mengambil masa yg panjang untuk dipulihkan semula menyebabkan sumber air loji tidak dapat berfungsi..Selalunya sekiranya bekalan elektrik terputus selama 1 jam akan menybbkan bekalan air akan terganggu selama hampri 1 hari.. pihak kerajaan pusat sepatutnya mengambil tindakan sewajarnya dengan menyegerakan peruntukan tambahan kpd pihak Air Kelantan Sdn. Bhd(AKSB) bg mengatasi masalah tersebut.. |
PAS alu-alukan Najib kumpul 3 juta ahli Umno Posted: 01 Jul 2011 07:53 PM PDT KUALA LUMPUR, 1 Julai: PAS mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang dengan penuh bangga untuk menghimpunkan seramai 3 juta ahli Umno. "Persoalannya bolehkah beliau mengumpul ahli sebanyak itu?" tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. Katanya, sedangkan untuk menghimpunkan 1 juta belia pada 27 hingga 28 Mei lalu pun gagal, yang hanya dihadiri lebih kurang 10 ribu orang sahaja. Najib selaku Presiden Umno, berkata jika ia mahu, Umno mampu mengerahkan tiga juta anggotanya untuk menentang habis-habisan hasrat golongan yang mahu mewujudkan kekacauan melalui demonstrasi jalanan. "Kita (Umno) ada tiga juta ahli, tidak termasuk parti komponen (Barisan Nasional)...kita boleh kumpulkan tiga juta orang yang tunggu isyarat. Kalau semboyan dibunyi, mereka juga akan berjuang habis-habisan... tetapi apakah itu satu cara yang bertanggungjawab," katanya ketika berucap pada satu majlis di Sipitang, Sabah, semalam. Idris berkata, pengalaman Umno dalam siri-siri himpunan mereka berakhir dengan kegagalan, seperti program Semarak, himpunan untuk membuang kekebalan Raja-Raja Melayu dan pemimpin bersama rakyat walaupun mereka membuat kerahan kepada pegawai-pegawai kerajaan. Baginya, apabila Presiden Umno mengaku boleh mengumpulkan 3 juta ahli hanya merupakan satu ilusi semata-semata kerana Umno di era ini bukan ada ruh perjuangan sebaliknya menyertai Umno hanya untuk mendapat benda. Menurutnya, bertempit sorak marah kepada kerajaan Pakatan Rakyat bukan kerana rakyat ditindas, tetapi kerana saluran pernafasan pemimpin Umno semakin sempit kerana projek tidak diperolehi dengan mudah seperti zaman pemerintahan Umno BN. Mereka, ujarnya tidak sanggup berhimpun jika tidak dibayar tambang dan nasi bungkus. Ini, ujarnya boleh dilihat ketika hari penamaan calon pilihan raya, mereka tidak tahan lama untuk berhimpun, kadang- kadang beredar sebelum pengumuman dibuat. "Ia berlainan dengan penyokong Pakatan Rakyat ia hadir dengan jiwa yang tulus dan suci sanggup berjemur dan berpanas semata-mata untuk menuntut pilihan raya yang adil," katanya. |
You are subscribed to email updates from Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan