Isnin, 11 Julai 2011

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KOTA RAJA

DEWAN PEMUDA PAS KAWASAN KOTA RAJA


UCAPAN TAKZIAH PEMUDA PAS SELANGOR

Posted: 11 Jul 2011 12:49 AM PDT

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

                                      UCAPAN TAKZIAH PEMUDA PAS SELANGOR

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan ucapan TAKZIAH kepada seluruh ahli keluarga AL MARHUM BAHARUDIN AHMAD, yang telah meninggal dunia sewaktu menyertai perhimpunan BERSIH 2.0, jenazah Al Marhum telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Lembah Keramat di Taman Seri Keramat Tengah, Kuala Lumpur semalam. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga keluarga Al Marhum bersabar di atas kehilangan dan ujian ini dan mendoakan semoga roh Al Marhum akan ditempatkan di kalangan orang-orang yang mendapat keredhaan Allah Taala. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mengutuk dan mengecam tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya pihak Polis Diraja Malaysia yang telah melakukan kezaliman dan penganiayaan terhadap peserta-peserta himpunan aman BERSIH 2.0 dengan menembak gas pemedih mata dan semburan air kimia secara berdepan tanpa belas ihsan.

Laporan Malaysiakini 10 Julai menyebut, Al Marhum Baharudin, 58 tahun, bersama rakan dan keluarganya berkumpul di KLCC, terjatuh dan pengsan apabila disembur gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga menuntut siasatan yang telus bagi menyiasat laporan yang mengatakan bahawa empat tulang dada dan tiga batang gigi Al Marhum patah selepas menjalani post-mortem. Sesungguhnya kejadian seumpama kini amatlah memilukan dan menjadi satu lagi episod malang dan hitam bagi sejarah demokrasi Negara kita. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat menyanjung tinggi jasa, komitmen dan pengorbanan Al Marhum di dalam memperjuangkan agenda menuntut ketelusan dan keadilan di dalam sistem pilihanraya di Malaysia bersama-sama Sekretariat BERSIH 2.0. Sesungguhnya Al Marhum Baharudin Ahmad adalah WIRA NEGARA (BERSIH 2.0).

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mengucapkan ucapan TAKZIAH kepada ahli keluarga Al Marhum Mohd Radzi Yusuf yang telah meninggal dunia akibat masalah paru-paru pagi semalam di Hospital Selayang. Semoga Allah merahmati dan mencucuri rahmat ke atas roh Al Marhum dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang hampir kepadaNYA. Al Marhum atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Radzi merupakan mantan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Selangor sesi 2009-2011, juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gombak dan penyelia DUN Gombak Setia. Cikgu Radzi merupakan seorang yang cukup mesra dengan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan usia. Beliau adalah seorang yang mempunyai komitmen yang tinggi, akhlak yang baik, berdisiplin tinggi, peramah, periang, tegas dan lucu pada masa-masa yang tertentu. Sesungguhnya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat berasa sedih dan terkesan di atas kehilangan ini kerana Al Marhum Cikgu Radzi merupakan orang yang banyak memberikan tunjuk ajar terutamanya ilmu-ilmu berkaitan pilihanraya kepada pemuda di semua peringkat. Jasa baik dan tunjuk ajar yang telah diberikan akan sentiasa dikenang dan disanjung tinggi oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor

HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS
NEGERI SELANGOR

11 Julai 2011

Laporan BERSIH oleh Media Luar Negara

Posted: 10 Jul 2011 09:22 PM PDT

Tiada ulasan:

Pengikut