Rabu, 22 Jun 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


2 Julai pra himpunan aman Bersih 2.0

Posted: 22 Jun 2011 07:23 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Sebagai suatu usaha menyahut seruan himpunan aman Bersih 2.0 yang bakal diadakan pada 9 Julai ini di ibu kota, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan  menyarankan seluruh warga pemuda PAS di semua peringkat termasuklah anak-anak muda yang prihatin agar menjadikan 2 Julai ini sebagai Hari Pra Bersih 2.0 dengan memakai baju Bersih 2.0 yang berwarna kuning.
Katanya, ia sebagai warm up (persiapan) bagi membangkitkan semangat dan persediaan seluruh rakyat bagi menyertai Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.
"Saya menegaskan bahawa pada 2 Julai ini tidak perlu diadakan sebarang himpunan, cukup sekadar setiap warga khususnya anak-anak muda memakai baju kuning Bersih 2.0 sebagai tanda sokongan kita terhadap himpunan aman ini serta persiapan mental dan spiritual sebelum turun ke medan Himpunan Bersih 2.0 kelak.
"Ayuh kita bersama-sama kuningkan seluruh negara pada 2 Julai 2011 ini.  Kepada mereka yang masih belum memiliki baju Bersih 2.0, sila dapatkannya di pasaran dan pastikan semua warga muda negara memakainya dan seterusnya turun ke Kuala Lumpur untuk menyertai Himpunan Bersih 2.0," ujarnya.
Jelasnya, rasional seruan itu adalah sebagai warm up (raptai) permulaan bagi menghadapi Himpunan Bersih 2.0.
Tambahnya, ia juga sebagai menunjukkan sokongan rakyat Malaysia terhadap himpunan aman nanti dengan mengharapkan Malaysia menjalankan sistem pilihan raya yang bersih dan adil di masa akan datang.
Ini juga, ujarnya membuktikan bahawa semua lapisan rakyat yang akan hadir ke himpunan aman Bersih 2.0 adalah mereka yang cintakan keamanan dan keadilan sejagat tanpa menanam apa-apa sentimen sempit dan ingin menunjukkan bahawa himpunan nanti tidak memberikan kesan negatif terhadap negara.
Selain itu, katanya 2 Julai  sebagai hari memakai baju kuning sebagai tarikan atau promosi terhadap rakyat Malaysia yang lain agar turut sama mengambil bahagian menyertai himpunan itu.
"Perlu diingatkan, bahawa himpunan aman pada 9 Julai nanti adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang matang dan menjadi hak rakyat Malaysia berhimpun bagi menunjukkan sikap dan perasaan mereka," katanya.

Pemuda Kelantan kerah 30,000 peserta

Posted: 22 Jun 2011 07:22 AM PDT

KOTA BHARU, 22 Jun: Biar pun hampir 800 laporan polis dibuat terhadap penganjuran perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil (Bersih) 9 Julai ini, namun ia tidak mematah semangat anak muda yang prihatin.
Mereka tetap bersemangat meneruskan agenda memastikan pilihan raya umum akan datang lebih telus dan benar-benar bersih.
Sehubungan itu pemuda PAS dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) akan menghantar kira-kira 30,000 peserta pada program berkenaan.
Ketua Pemuda PAS negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, setiap kawasan di Kelantan dijangka menghantar 1,000 peserta pada perhimpunan tersebut.
"Ini bermakna Pemuda PAS Kelantan menyumbang seramai 14,000 peserta bagi mencapai matlamat menghimpunkan ratusan ribu rakyat pada perhimpunan aman tersebut.
"Perhimpunan itu diyakini tidak berlaku masalah sekiranya tidak ada sebarang provoksi dibuat pihak lain.
"Pemuda kita lebih berdisiplin kerana Islam melarang sebarang tindakan kekerasan. Jadi pihak kerajaan tidak perlu bimbang dengan perhimpunan aman itu," katanya di sini.
Sehingga kini dilaporkan sebanyak 790 laporan polis dibuat terhadap penganjuran Bersih 2.0 dilakukan badan bukan kerajaan yang baru muncul.
Dipercayai NGO berkenaan ada kaitan dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) memandangkan sebelum ini mereka langsung tidak dikenali.
Abdul Latif berkata, NGO-NGO terbabit tidak lebih sebagai nyamuk kerana wujud semata-mata untuk membuat laporan polis terhadap Bersih 2.0.
"Kita percaya mereka membuat laporan polis atas arahan politik kerana kerajaan BN begitu bimbang kebangkitan menyeluruh rakyat sekarang," ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan pemuda PAS Tumpat dan Kuala Krai pula masing-masing akan menghantar peserta menggunakan perkhidmatan kereta api. Sebahagian mereka dijangka memenuhi sehingga lapan gerabak.
Difahamkan juga Bersih 2.0 akan mengadakan 'road show' di Pasir Mas pada 2 Julai ini bertempat di Mini Stadium, dijangka dihadiri Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Manakala pada 4 Julai pula road show Bersih 2.0 akan diadakan di Dun Manek Urai, Kuala Krai membabitkan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasharuddin Hassan.
Sementara itu Ketua Penerangan AMK Kelantan,  Rosdi Mat Zin berkata, AMK Kelantan bersedia menghantar 30,000 peserta ke perhimpunan Bersih 9 Julai ini.
"Kami menyahut cabaran ini atas dasar kesedaran ingin mengubah lanskap politik tanah air yang dicengkam pemimpin rakus dan zalim.
"Ayuh bersama menuntut agar SPR menghapuskan undi pos, menggunakan dakwat kekal, membersih daftar pemilih dan memberi peluang akses media kepada semua pihak ketika kempen pilihan raya," ujarnya.

Bersih 2.0: Anak Muda Sayang M’sia sahut seruan

Posted: 22 Jun 2011 07:21 AM PDT

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Anak Muda Sayang Malaysia menyahut seruan Bersih untuk turun ke Kuala Lumpur pada 9 Julai ini bagi menyatakan sokongan kepada kelapan-lapan tuntutan Bersih.
Menurut jurucakap Anak Muda Sayang Malaysia, Muhammad Zaki Sukery, front itu terdiri daripada kelompok anak muda yang cakna dan prihatin kepada tadbir urus yang efisien dalam  pengurusan pilihan raya.
"Sokongan ini secara langsung disebabkan oleh kesemua tuntutan yang dibuat oleh Bersih menjurus ke arah satu komitmen rakyat dalam usaha menzahirkan satu sistem pilihanraya yang telus, boleh dipercayai, bebas dan berwibawa," katanya.
Menurutnya, ditambah dengan isu-isu yang tidak berkesudahan setiap kali berbicara soal pilihan raya terutama penglibatan undi hantu, tiada jaminan ketelusan dalam undi pos dan akses media yang berat sebelah, Anak Muda Sayang Malaysia melihat bahawa ia boleh diatasi dengan mengaplikasikan kesemua tuntutan yang dibuat oleh Bersih.
Beliau menambah, Anak Muda Sayang Malaysia turut melihat bahawa sebarang usaha untuk mengapi-apikan Bersih adalah berniat songsang dan tidak berpijak di alam realiti dengan bersandarkan kepada demonstrasi pertama Bersih pada November 2007 yang berlangsung dengan baik sehinggalah diprovokasi oleh pihak berkuasa dengan tembakan water canon dan sekatan jalan raya.
"Bertambah pelik, apabila keberadaan kita di sebuah negara beridealismekan demokrasi dan hak asasi manusia, tetapi layanan yang diberikan sama sekali berbeza kepada para demonstran jika melibatkan gerakan ala pro-Pakatan," ujarnya lagi.
Katanya, Anak Muda Sayang Malaysia turut mempersoal SPR yang dilihat cuba bermain tarik tali dalam isu tuntutan Bersih 2.0 apabila berdalih dalam soal mekanisme pilihanraya dalam keadaan satu pun tuntutan dalam Bersih 1.0 tidak ditunaikan.
Beliuau berkata, dengan keyakinan kepada pendekatan penganjur Bersih untuk bergerak secara aman termasuk langkah-langkah yang telah diambil dalam menjayakan Bersih, Anak Muda Sayang Malaysia akan sekali lagi turun bersama-sama dalam Bersih 2.0 demi kepentingan rakyat marhaen.
"Oleh yang demikian, front ini akan memobilasi lebih kurang 10,000 anak muda di kampus di seluruh negara dan turut mensasarkan anak muda yang tidak berada di lapangan universiti untuk turun di bawah payungan Anak Muda Sayang Malaysia sebelum turut sama menyertai kumpulan utama Bersih," ujarnya.
Sambil mempromosikan tagline Anak Muda Turun Bersih, tambahnya Anak Muda Sayang Malaysia turut menjemput kepada kesemua anak muda untuk turut sama menyertai facebook 'Anak Muda Sayang Malaysia' dengan menekan butang 'Like' sebagai tanda solidariti dalam menyokong kesemua tuntutan Bersih dan turun bersama pada 9 Julai nanti. 

Tiada ulasan:

Pengikut