Khamis, 9 Jun 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Mengapa Umno menggelupor dengan negara kebajikan

Posted: 08 Jun 2011 07:26 PM PDT

TEMERLOH, 8 Jun: Mengapa Umno menggelupor dengan 'negara kebajikan'? Ia adalah kerana PAS menawarkan penyelesaian kepada rakyat  di tengah-tengah kegagalan Umno BN untuk menjaga rakyat marhaen.

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika mengulas sikap Umno dan medianya yang terlalu melampau dalam menunjukkan kebimbangannya dengan negara kebajikan itu.
(Gambar: Presiden PAS berucap ketika membentangkan gagasan negara kebajikan di Muktamar PAS ke 57)

"Apabila PAS mengutarakan negara berkebajikan, tak tersangka pula Umno yang mengelupor dengan istilah tersebut, bak kata tok bomoh picit lada hitam pada jari kaki orang masuk hantu. Barangkali memang Umno ini dah lama kena rasuk… Cuma mungkin tak kena cara tiupnya saja.

"Kini, kita boleh lihat dengan nyata bahawa Umno benar-benar terasa dengan istilah 'negara kebajikan' ini kerana ia memberi ancaman kepada mereka.

"Maklumlah, PAS menawar sebuah negara berkebajikan di tengah-tengah kegagalan Umno menjaga kebajikan rakyat marhaen demi menjaga hati kroni yang semakin angkuh, sombong dan tamak," nukil Tuan Ibrahim dalam satu kenyataannya ke Harakahdaily hari ni.

Semenjak Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membentangkan gagasan penubuhan sebuah negara kebajikan semasa ucapan dasarnya di Muktamar PAS ke 57, pimpinan Umno dan medianya telah menyerang bertubi-tubi untuk menguasai pemikiran rakyat terhadap parti Islam tersebut dengan tuduhan kononnya PAS telah mengubah dasar perjuangan.

"Walhalnya konsep negara berkebajikan, keadilan, keselamatan, kesejahteraan, kemakmuran adalah intipati dari negara Islam," kata Tuan Ibrahim (gambar).

Istilah 'negara kebajikan' yang dilaungkan PAS, kata beliau telah berjaya menunjukkan kepada rakyat isi perut Umno sebenar yang sememangnya 'rakyat dahulu' menjadi mangsa dalam segala hal berkaitan dengan program pengurangan subsidi berbanding kroni-kroni Umno BN seperti penjana tenaga bebas (IPP).

Mengenai serangan Umno terhadap pimpinan baru PAS, Tuan Ibrahim berkata selain istilah 'negara kebajikan', Umno juga menerima tamparan hebat apabila pewakilan PAS membuat kejutan dengan memilih barisan kepimpinan baru yang di luar jangkaan mereka.

"Kebijaksaan perwakilan membaca keperluan barisan pimpinan bagi mengempur Umno menyebabkan mereka rasa tertekan. Ini dapat dibaca dari luahan kenyataan mereka.

"Mulanya menyerang, kemudian menyatakan bahawa Umno sudahpun melaksana negara kebajikan dan kini bertukar kepada rayuan 'Umno tetap membuka ruang untuk penyatuan Melayu' dan kad simpati dengan mengatakan 'Umno kecewa PAS tolak perpaduan' dan sebagainya," terang beliau.

Tun M wajar mohon maaf pada PAS, Anwar

Posted: 08 Jun 2011 07:25 PM PDT

SHAH ALAM, 9 Jun: Nasihat segera bertaubat Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dilihat sangat tepat pada masanya.
Timbalan Setiausaha DAP Selangor, Ng Swee Lim (gambar) berkata, nasihat itu sewajarnya diikuti baik oleh Mahathir memandangkan beliau seorang perdana menteri selama 22 tahun yang banyak melakukan kesilapan.
Menurut Swee Lim, Tun Mahathir mestilah menerima nasihat itu kerana sebagai seorang beragama Islam, beliau wajib percaya kepada konsep halal haram, dosa pahala dan syurga neraka.
Katanya, jika Mahathir tidak menerima nasihat bertaubat itu, nescaya di akhirat nanti, beliau akan disiksa dengan azab pedih ekoran kesalahan besar yang dilakukan semasa hidup di dunia.
"Antara kesalahan paling besar adalah memfitnah PAS dan menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan liwat yang tidak dapat dibawa saksi yang adil dan mencukupi.
Swee Lim yang juga Adun Sekinchan, Selangor berkata, sekiranya Tun Mahathir sudi bertaubat, maka selepas itu beliau hendaklah memohon maaf kepada PAS, Anwar serta keluarganya secara terbuka.
"Saya seorang bukan Islam tetapi saya menerima konsep halal haram, dosa pahala dan syurga neraka apatah lagi agama Islam (Allah SWT) itu Maha Pengampun.
"Semua orang pernah melakukan kesalahan, jangan berdegil, wajib dan sudah sampai masanya untuk beliau bertaubat serta memohon maaf sesama umat kerana jika enggan, ada bara api neraka menunggu di akhirat kelak," tegasnya.
Adun dua penggal itu berkata, Mahathir pernah menulis surat kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz menghalang dilaksanakan Kanun Jenayah Syariah II dan hari ini, tiba-tiba beliau pula yang sukakan hukum Islam itu.
Sekiranya masih tidak mahu bertaubat, Swee Lim berkata, tunggulah satu hari nanti Mahathir terpaksa menjawab di akhirat kelak kerana sebagai manusia biasa, tiada apa yang rakyat boleh lakukan terhadapnya.
Dalam pada itu, Swee Lim berkata, apa yang dilakukan Mahathir adalah bertolak dari perasaannya yang kesunyian sekarang dan tidak dipedulikan lagi, lalu keluarkan berbagai kenyataan merapu.
Terbaru, Mahathir mengulas keputusan pemilihan pimpinan PAS dalam Muktamar Tahunan ke 57 dari 3 hingga 5 Jun lalu yang disifatkannya sebagai kemenangan kepada Karpal.
Ini ekoran tema ucapan dasar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Membangun Negara Berkebajikan yang pada Mahathir, PAS membuang perjuangan tegakkan Negara Islam yang ditentang Karpal.
Bertindak balas dari jawapan itu, Karpal pula menasihatkan Mahathir agar segera bertaubat.
Sementara itu, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, pihaknya masih menyimpan surat ancaman daripada Mahathir sewaktu beliau menjadi perdana menteri yang menghalang Kelantan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II termasuk Hukum Hudud.

Pegawai kanan SPR pertahan agenda Umno?

Posted: 08 Jun 2011 07:24 PM PDT

KOTA BHARU, 8 Jun: Di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Gual Ipoh, Tanah Merah jentera pilihan raya PAS mengesan lebih 300 orang tidak dikenali pada senarai pemilih baru suku pertama dipamerkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Dan ketika proses bantahan dikendalikan SPR kesemua pemilih baru itu tidak hadir.
Ini bermakna mereka tidak dapat dikesan SPR biar pun disenarai pada senarai pemilih baru di Dun berkenaan.
Begitu juga di Dun Kemahang dan Bukit Panau dikesan lebih 100 orang tidak dikenali di setiap Dun terbabit pada senarai pemilih suku pertama tahun ini.
Dan ketika proses bantahan dilakukan petugas PAS kesemua pemilih baru terbabit tidak hadir. Bagaimanapun setiap seorang yang dibantah perlu dibayar sebanyak RM10 oleh pembantah.
Wang deposit bantahan tersebut tidak dikembalikan biar pun pembantah menang pada perbicaraan dikendalikan SPR.
Malah pada 2004 seramai 1,800 orang tidak dikenali disenarai di Dun Bukit Panau, dan ketika proses bantahan kesemua mereka tidak hadir.
Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan, Mohd Khir Zahri Abdul Ghani berkata, bantahan penting dilakukan bagi memastikan pemilih baru benar-benar penduduk tempatan.
"Ini sudah terbukti kerana banyak proses bantahan sebelum ini orang yang disenaraikan pada pameran pendaftaran pemilih baru setiap suku tahun memang ramai tidak dikenali.
"Tetapi hari ini mengapa tiba-tiba Timbalan Pengerusi SPR menganggap proses bantahan mempunyai agenda politik parti tertentu.
"Kalau pegawai SPR itu tidak bekerja untuk memenangkan Umno sudah tentu tidak mengeluarkan kenyataan tersebut kerana proses bantahan dibenarkan dalam peraturan pilihan raya," katanya di sini.
Akhbar hari ini melaporkan Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar dilaporkan berkata, proses bantahan dianggap mempunyai agenda politik menyebabkan 81,000 pemilih tidak dapat disahkan dalam suku pertama tahun ini.
Malah dakwanya ada pihak kurang bertanggungjawab dan mempunyai agenda politik mahu menghalang pendaftaran baru di satu-satu kawasan.
Oleh itu  Mohd Khir berkata, sudah terbukti setiap bantahan dikemukakan berjaya kerana orang yang tidak dikenali cuba didaftar bukannya penduduk tempatan.
"Kalau benar pemilih baru disenarai SPR penduduk tempatan mengapa mereka tidak datang ketika proses bantahan berlangsung bagi mempertahankan diri," katanya.
Beliau juga berkata, Timbalan Pengerusi SPR sewajarnya meletak jawatan memandangkan banyak kenyataannya sebelum ini mencalar imej suruhanjaya terbabit.
Menurutnya nampak sangat pegawai kanan berkenaan seolah-olah bekerja untuk Umno dan bukan meningkatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap SPR.
Hujah itu turut dipertahankan Adun Gual Ipoh, Wan Yusof Wan Mustafa di mana katanya, gambaran SPR menjadi orang suruhan Umno semakin jelas sekarang.
"Ada orang tidak dikenali dikenal pasti ketika pendaftaran baru dipamerkan SPR setiap suku tahun. Mereka tidak tinggal pada alamat yang didaftar.
"Contohnya ada kes satu alamat terdapat sehingga 30 orang. Mereka berasal dari Johor, Melaka, Perak dan negeri-negeri lain lagi," katanya.
Menurutnya kenyataan Timbalan Pengerusi SPR itu memperlihatkan secara jelas perancangan Umno dengan kerjasama SPR bagi mengekalkan kuasa politik secara tidak sah.
Anggota parlimen Ketereh, Abdul Aziz Kadir berkata, setiap bantahan dibuat adalah berdasar kepada fakta kes.
Kata beliau sekiranya ada kekeliruan dan ketidakmunasabahan bantahan perlu dibuat demi ketelusan dan kebertanggungjawaban setiap warga negara.
Namun malangnya kata Abdul Aziz ada pegawai kanan SPR cuba menyanggah peraturan digubal SPR sendiri.

Tiada ulasan:

Pengikut