Selasa, 7 Jun 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Geram kumpul tandatangan bantah harga air naik

Posted: 06 Jun 2011 05:22 PM PDT

JASIN, 6 Jun: Gerakan Anak Muda Melaka (Geram) bersama rakan Pakatan Rakyat meneruskan kempen jelajah ke seluruh negeri Melaka bagi mendapatkan tandatangan penduduk sebagai tanda membahtah kenaikan harga air oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB).
Jelajah kali kedua di Pasar Besar Jasin semalam mendapat sambutan menggalakkan dari rakyat yang rata-rata tidak berpuas-hati dengan kenaikan bil air tersebut.
Seorang peniaga kedai runcit, Lim Pin Seng, 65, yang di temui di pasar besar tersebut mengeluh dengan kenaikan tersebut.
"Setiap hari harga barang naik, dulu minyak naik, kemudian air naik dan sekarang elektrik pula naik, ini sangat membebankan saya sebagai peniaga yang sudah lama berniaga di sini," katanya yang sudah 10 tahun berniaga.
Ada pengunjung yang ditemui tidak sedar kenaikan hargal air sejak 1 April lalu memandangkan notis rasmi tidak dikeluarkan oleh SAMB.
"Saya langsung tak tahu dan tak di maklumkan tentang kenaikan air, sedar-sedar terpaksa membayar lebih walaupun penggunaan hampir sama setiap bulan," ujar Yusof Ahmad dari Jasin.
Kadar lama tariff air adalah 55 sen bagi setiap meter padu untuk 1-15 meter padu pertama, 85 sen bagi setiap meter padu untuk 15.1-40 meter padu berikutnya dan RM1.33 sen untuk setiap meter padu berikutnya.
Manakala kadar baru pula ialah 55 sen bagi setiap meter padu untuk 15 meter padu pertama, 85 sen bagi setiap meter padu untuk 15.1-30 meter padu berikutnya, 0.95 sen bagi setiap meter padu untuk 30.1-35 meter padu berikutnya dan RM1.45 sen bagi setiap meter padu berikutnya.
Kenaikan sebanyak 20% berbanding sebelumnya.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif  SAMB bagi mendapatkan maklum balas tentang tarif baru air dan jawapan yang diberikan adalah disebabkan arahan dari pusat.

Baru rakyat tahu kenapa Ani Arope tinggalkan TNB

Posted: 06 Jun 2011 05:22 PM PDT

TEMERLOH, 6 Jun: 15 tahun yang lalu, Tan Sri  Ani Arope mengejutkan seluruh negara dengan tindakan beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), akhirnya rakyat hari ini tahu bahawa peletakan jawatannya dilakukan demi menjaga kepentingan mereka, kata Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Ramai yang menganggap (pengunduran Ani) sebagai satu tindakan biasa seorang staf yang meletakkan jawatan, mungkin faktor umur atau prestasi kerja. Hari ini, kita tahu ianya adalah kerana sikap tegasnya dalam membantah perjanjian yang sangat tidak adil antara TNB dan IPP (pengeluar bebas kuasa elektrik)," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Ani sebelum ini di laman Facebooknya menyelar tindakan kerajaan untuk menaikkan tarif elektrik baru-baru ini sebanyak 7 peratus 1 Jun yang lalu dengan mendakwa ia berpunca daripada perjanjian yang tidak adil dengan IPP dan TNB.

"Anda tidak perlu pergi ke sekolah bisnes yang canggih untuk memahami mengapa kita memerlukan peningkatan tarif – Cuma perlu tengok balik syarat-syarat yang diberikan kepada IPP.

Dengan fasal ambil-dan bayar, dan dengan 40 peratus rizab berlebihan yang kita ada hari ini, satu pihak hanya perlu menghasilkan setengah keupayaan pihak  lain dan dibayar 80 sen dengan kapasiti dipersetujui.

"Bagus EPU — Unit Penyamun Ekonomi," tulis beliau di laman Facebooknya minggu lalu.

Ani mencetuskan kontroversi 15 tahun yang lalu apabila beliau lebih rela melepaskan jawatan beliau daripada menandatangani perjanjian berat sebelah, yang melihat penciptaan generasi pertama IPP, seperti YTL Power Services, Powertek dan Malakoff semasa pentadbiran Mahathir.

Ani turut berkata TNB tidak boleh dipersalahkan atas hal ini kerana mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga yang perlu dibayar kepada IPP.

"TNB ialah budak belasahan. TNB tidak mempunyai kawalan harga yang ia perlu bayar kepada IPP. Pergi kepada punca masalahnya," katanya.

Kata Tuan Ibrahim, yang juga merupakan bekas Naib Presiden PAS, apa yang dibimbangi Ani kini menjadi kenyataan apabila kerajaan Barisan Nasional berdolak-dalih untuk menyemak semula perjanjian dengan IPP yang sangat tidak adil walaupun didesak pelbagai pihak.

"Kerajaan tidak sanggup bertegas memotong subsidi sebanyak RM19 billion utk IPP berbanding tindakan mereka memotong subsidi ke atas keperluan rakyat.

"Hari ini rakyat merasa bangga di atas ketegasan Tan Sri Ani Arop menentang dasar yang tidak adil ini. Syabas dan tahniah di atas pengorbanan beliau dalam menentang kemungkaran ekonomi yang dibuat tangan Umno Barisan Nasional ini," tambah Tuan Ibrahim.

Kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengumumkan kenaikan tarif elektrik sebanyak tujuh peratus bermula Jun 1 itu adalah sebagai langkah mengurangkan subsidi yang dikatakan semakin menghauskan perbendaharaan negara ekoran keputusan kabinet untuk menaikkan harga gas asli kepada RM3 mmBtu setiap enam bulan, dari  RM10.70 juta unit termal British (mmBTU) kepada RM13.70 mmBTU sehingga mencapai paras pasaran menjelang 2016.

PRU 13: Umno bawa masuk rakyat Kemboja pula?

Posted: 06 Jun 2011 05:14 PM PDT

KUALA LUMPUR, 6 Jun: Para pemimpin dan jentera PAS di semua peringkat diminta melakukan pemantauan rapi kemasukan beramai-ramai rakyat Kemboja ke negara ini secara berperingkat-peringkat kerana ia dipercayai dibawa masuk oleh Umno BN untuk tujuan politik.
Kemasukan mereka dikesan seramai 50 orang sehari dan berterusan hingga sekarang sejak lebih sebulan lalu melalui Kelantan dan selepas itu mereka didapati sudah tidak keluar lagi.
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP), Siti Zailah Mohd Yusof menegaskan, mereka dibawa masuk melalui Rantau Panjang dan selepas itu tidak diketahui ditempatkan di mana, tetapi dipercayai disembunyikan oleh pihak Umno BN.
Menurut beliau, kemasukan rakyat Kemboja seramai 50 orang sehari merupakan sesuatu yang luar biasa kerana sebelum ini tidak pernah rakyat negara itu masuk ke Malaysia seramai itu, lebih-lebih lagi angka tersebut berterusan setiap hari sejak lebih sebulan lalu.
Katanya, mereka dibawa masuk secara terancang oleh pihak Umno BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dan diyakini untuk dijadikan pengundi bagi pihak BN untuk memenangkan parti itu dalam PRU Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.
"Saya mengetahui perkara ini melalui maklumat orang ramai dan sumber yang boleh dipercayai. Ia sememangnya merupakan sebahagian strategi jahat Umno BN bagi tujuan politik," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kemasukan rakyat Kemboja itu, menurut beliau, diyakini untuk membantu BN menghadapi PRU Ke-13 bukan sahaja bagi negeri Kelantan, tetapi juga akan diserapkan ke negeri-negeri lain.
"Saya percaya, selain digunakan sebagai pengundi bagi pihak BN di Kelantan, mereka juga akan diserapkan ke negeri-negeri lain termasuk ke Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak, terutama di negeri-negeri yang berada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat," katanya.
Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menegaskan, kemasukan rakyat Kemboja itu dilakukan atas alasan pelancongan, tetapi ia sememangnya amat meragukan.
"Oleh itu, jentera PAS di semua peringkat amat perlu memantau kemasukan mereka itu sama ada atas alasan pelancongan dan pekerjaan lebih-lebih lagi menjelang PRU Ke-13 tidak lama lagi," katanya.
Selain itu, beliau amat berharap agar jentera PAS turut berusaha mengesani di mana mereka disembunyikan bagi memudahkan tindakan seterusnya dilakukan.
"Jika benar mereka masuk untuk tujuan pelancongan, kenapa kemasukan mereka itu begitu sistematik dan berterusan sebanyak 50 orang sehari sejam lebih sebulan lalu.
"Lebih musykil lagi, kenapa setelah mereka masuk, mereka sudah tidak keluar lagi? Jika tidak kerana strategi Umno BN sehingga sanggup menyembunyikan mereka untuk tujuan politik, mustahil mereka tidak keluar lagi, sedangkan mereka masuk atas alasan pelancongan," katanya.
Umno BN yang berada dalam keadaan terdesak sekarang, katanya, sememangnya sanggup melakukan apa sahaja termasuk dengan membawa masuk rakyat Kemboja untuk dijadikan pegundi bagi pihak mereka untuk menghadapi pilihanraya bagi membolehkan mereka mendapat kejayaan.
"Perbuatan itu ternyata bersalahan dengan undang-undang dan merupakan satu pengkhianatan yang jelas terhadap negara, tetapi Umno BN sanggup melakukannya tanpa mempedulikan semua itu bagi kepentingan mereka sendiri," ujar beliau kesal.

Najib bakal berbesan dengan pembesar Kazakhstan?

Posted: 06 Jun 2011 05:13 PM PDT

KUALA LUMPUR, 6 Jun: Apakah tujuan sebenar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri ke Kazakhstan, atas urusan rasmi negara atau untuk menguruskan perkahwinan anaknya, Nooryana Najwa?

Inilah persoalan yang ditimbul oleh ramai wartawan termasuk yang menyertai rombongan Najib ke Kazakhstan.
(Gambar: Noryana Najwa bersama ibu dan bapanya ketika menerima ijazah dari Universiti Georgetown, Washington, Mei lalu)
Ini kerana, menurut laporan portal Eurasia, Najib bakal mendapat menantu anak seorang pembesar  Kazakhstan bernama Daniyar Nazarbayev.

Menurut laporan portal itu, anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa telah ditawan hatinya oleh seorang bangsawan Kazakhstan ini.
Nooryana Najwa, 22, pada 22 Mei lalu menerima ijazah Bachelor of Science in Foreign Science dari Universiti Georgetown, Washington, selepas empat tahun belajar di School of Foreign Service, universiti berusia 222 tahun itu.

Nama akhir Daniyar iaitu Nazarbayev adalah sama dengan nama President Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev – namun, menurut laman portal Eurasia, mereka mungkin tidak mempunyai sebarang kaitan.
"Seorang jejaka dengan nama Daniyar dengan nama akhir yang pelik, dilihat tidak kurang kontroversinya daripada ibunya dalam hal perkahwinan. Terdapat khabar bahawa beliau telah menawan hati Nooryana Najwa, anak perempuan Perdana Menteri Malaysia, dan akan mengahwininya tidak lama lagi," tulis Leonid Komarovskiy, seorang "wartawan" daripada New York di bawah artikel bertajuk "Borat is out of competition."
Keseluruhan artikel Leonid menyentuh tentang latar belakang Daniyar, yang didakwanya mempunyai kehidupan yang serba mewah dan penuh kontroversi kerana nama akhir "Nazarbayev" yang diberi ibunya selepas penceraiannya dengan suami terdahulu D. Kesikbayev sebelum berkahwin dengan Bolat Nazarbayev, seorang ahli kerabat Presiden Kazakhtan.

"Pada Oktober 2006, New York Post telah melaporkan Daniyar Nazarbayer, yang dinamakan di dalam tulisan mereka sebagai 'anak kepada President Nursultan Nazarbayev', telah membeli beberapa apartment di 55 Wall Street.

Salah satu apartment dengan dua bilik bernilai $2.9 juta dan satu lagi dengan satu bilik bernilai $2.1 juta. Saya tak tahu ia benar ataupun khabar angin, tapi akhbar melaporkan bahawa 'President Nazarbayev telah melawat rumah tersebut sendiri semasa menghadiri UN Summit (Persidangan PBB) dan memberikan kebenaran untuk pembelian tersebut. Ia nampaknya melibatkan banyak duit," tulis Leonid lagi.

Dalam tulisannya lagi, Leonid berkata Daniyar patut berterima kasih kepada emaknya Mayra Kurmangaliyeva untuk nama akhir beliau dan segala transformasi yang berlaku kerana nama akhir tersebut.

"Beliaulah yang dapat menawan Bolat Nazarbayev ke jaringannya – satu saudara tulen (ada yang mengatakan ialah adik-beradik) kepada President Kazakh – dan berkahwin dengannya, supaya dapat cepat-cepat melupakan suami dulu D. Kesikbayev, yang nama akhirnya dimiliki Daniyar sebelum menerima surat lahirnya yang kedua dengan nama akhir Nazarbayev," dakwa Leniod lagi.

Disebabkan itu, Leonid dalam tulisannya turut menyuruh Najib untuk berhati-hati dan menyiasat latar belakang Daniyar sebelum apa-apa berlaku.

"Mengapa tidak (untuk berkahwin dengan Daniyar)? Seorang jejaka terkenal, penuh adunan dan dengan nama akhirnya yang cukup menawan… tapi, jika saya ialah bapa Malaysia, saya akan semak dulu takut-takut: adakah Daniyar sudah berkahwin semasa zaman muda? Buah epal adalah dari pokok epal, seperti yang kita tahu… dan Alma-Ata (ibu kota Kazakhstan) ialah bandar buah epal dan pokok epal," nasihat Leonid.

Najib kini dalam lawatan ke Kazakhstan yang dikatakan untuk  lawatan rasmi selama dua hari ke negara bekas Soviet Union itu.

Lawatan rasmi pertama Najib ke Kazakhstan selepas menjadi Perdana Menteri ini adalah antara lain bagi memenuhi jemputan Presiden Nursultan Nazarbayev.

Ketika lawatan itu, Najib dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Nazarbayev dan mengadakan rundingan dua hala dengan rakan sejawatannya, Karim Massimov.

Lawatan rasmi Najib ke Kazakhstan dan penyertaan beliau dalam WIEF ke-7 akan mengukuhkan hubungan politik yang akrab selain merintis laluan ke arah kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Kazakhstan demi manfaat bersama.

Jika benar laporan Eurasia, tahniah diucapkan kepada keluarga Perdana Menteri atas berita gembira perkahwinan anaknya.
Sekiranya ini betul berlaku, sudah tentu pilihanraya umum ke 13 tidak akan diadakan dalam masa terdekat.

Tiada ulasan:

Pengikut