Isnin, 16 Mei 2011

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan

Dewan Pemuda Pas Kawasan Machang -dppkm- Mempersada Perjuangan


Nik Aziz nasihatkan Anwar banyak bersabar

Posted: 16 May 2011 01:22 AM PDT

KUALA LUMPUR, 16 Mei: "Saya nasihatkan supaya DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) banyakkan bersabar, kezaliman akan kalah jua akhirnya," ujar Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan Anwar membela diri terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
"Saya diberitahu tentang keputusan mahkamah yang memerintahkan DSAI membela diri dalam kes liwat II.
"Nampak sangat bahawa DSAI cuba disabitkan bersalah dalam apa jua keadaan sekalipun," tulis Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan di laman twitter.
Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, berdasarkan bukti beliau mendapati ada kes prima facie sekaligus mengarahkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang membela diri.
Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.
Peguam bela utama Karpal Singh dalam hujahnya sebelum ini juga berkata pihak pendakwa telah gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Anwar dan oleh itu, tertuduh patut dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.
Katanya, saksi utama Mohd Saiful telah berbohong dalam laporan polis yang dibuatnya pada 28 Jun, 2008 bahawa kononnya aksi itu berlaku tanpa kerelaannya.

Anwar terkejut hakim buat hukuman awal

Posted: 16 May 2011 01:22 AM PDT

 KUALA LUMPUR, 16 Mei: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diperintahkan untuk membela diri dalam kes fitnah II hari ini melahirkan rasa terkejut kerana hakim telah menjatuhkan hukuman awal.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, hakim Datuk Mohd Zabidin seolah-olah terikat dengan hujah pendakwaan.

"Ia bukan sesuatu yang mengejutkan. Tetapi apa yang mengejutkan ialah beliau (Mohd Zabidin) telah membuat pengadilan terlebih dahulu dalam kes ini dan menjangkaui kes prima facie," kata beliau kepada pemberita di perkarangan mahkamah selepas selesai mendengar keputusan hakim hari ini.

Hakim Mohd Zabidin hari ini berkata, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa  diliwat oleh  Anwar  telah disifatkan sebagai "saksi yang benar dan berwibawa".

Pengakuan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah ketika memerintahkan Anwar supaya membela dirinya.

Anwar mempertahankan bahawa beliau tidak bersalah sambil berhujah bahawa kesnya tidak mengambil kira keterangan beberapa saksi penting, antaranya doktor hospital Pusrawi Dr Osman Hamid dan pemilik unit kondominium Desa Damansara.

"Saya telah menegaskan saya tidak bersalah, mengikut undang-undang kes ini tiada asas," katanya yang juga ketua pembangkang di parlimen.

Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu membela diri terhadap tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim menetapkan 6 hingga 30 Jun ini untuk menyambung perbicaraan kes liwat peringkat bela diri.


Cabar Najib hadir sebagai saksi


Sementara itu, Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar hadir ke mahkamah sebagai saksi kerana beliau merupakan saksi yang sangat relevan dalam kes ini.

Ini kerana katanya, Saiful sendiri mengaku bertemu dengan Najib selepas beliau didakwa diliwat Anwar.

Beliau juga memberi amaran kepada Najib agar tidak mengikut jejak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang enggan hadir ke mahkamah meskipun beliau salah seorang saksi pening dalam kes liwat pertama dahulu.

"Kita nak tengok keberanian Datuk Najib untuk hadir ke mahkamah memberi keterangan kerana beliau orang yang pertama bertemu Saiful.jadi beliau sangat relevan sebagai saksi.

"Saya ingin cabar Perdana Menteri supaya jangan guna alasan seperti mana yang digunakan Tun Mahathir dalam kes pertama untuk mengelakkan diri dari hadir ke mahkamah. Kita nak selesaikan di mahkamah," katanya yang juga ditemui di perkarangan mahkamah hari ini.

Shamsul turut 'terkejut' dengan keputusan mahkamah yang seolah-olah telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Anwar.

"Ini keputusan yang telah kita jangka dan saya yakin peguam bela Anwar akan menyusun strategi dan mengumpul seramai mungkin saksi kerana mentaliti pemikiran hakim sebentar tadi lebih menjurus kepada memutuskan Anwar telah bersalah walaupun sebelum mendengar keseluruhan kes.

"Ini agak meranjatkan kerana pada masa ini bukan hakim kena buat keputusan yang muktamad siapa yang bersalah, hanya perlu buat keptusan samaada Anwar perlu membela diri atau tidak," katanya.

Beliau turut mendakwa BN akan menggunakan sepenuhnya mahkamah untuk mengherat Anwar ke penjara kerana isu video seks dilihat bukan lagi 'peluru yang berkesan' untuk menjatuhkan Anwar.

"Saya yakin akan ada lagi sokongan rakyat kerana kes ini digunakan sepenuhnya untuk mengekang kemaraan Anwar kerana isu video seks ini bukan lagi peluru yang berkesan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan kepada Anwar bagi memastikan keadilan terlaksana di Malaysia.

Minyak naik: Jangan sampai rakyat hilang sabar

Posted: 16 May 2011 01:21 AM PDT

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Kerajaan sekali lagi dilihat mahu perbodohkan rakyat negara ini dengan kajian rasionalisasi subsidi minyak yang dijalankan dan berkemungkinan menaikan harga petrol RON95.

Menurut Mohd Anuar Mohd Tahir, Pengerusi Lajnah Buruh & Setinggan PAS, Kerajaan dilihat mahu mencabar rakyat dan menguji kesabaran rakyat dengan mahu menaikkan harga minyak sekali lagi.

"Selepas menaikkan harga gula dan minyak petrol RON97 sekian ini, tidak sampai sebulan pun masih lagi mahu menaikan harga minyak petrol RON95 pula.

"Pekara ini dilihat menyeksakan rakyat dan terus membebankan rakyat yang berpendapatan sederhana, tambahan lagi kita semakin hampir mendekati bulan Ramadan seterusnya menyambut Syawal tiba.

"Hal ini tidak patut dilakukan oleh kerajaan pusat yang dilihat tidak bertanggungjawab dalam menjaga kebajikan rakyat," jelas beliau yang sedikit terkejut dengan tindakan kerajaan itu.

Beliau sewaktu dihubungi tengah hari tadi dengan lantang dan keras menegaskan bahawa kerajaan tidak usah terus memperbodohkan rakyat dan membohongi lagi rakyat.

"Kita adalah antara negara pengeluar minyak terbesar dunia, mana mungkin harga minyak boleh dinaikan dengan sewenang-wenangnya.

"Kerajaan jelas nampak membohongi rakyat dengan membandingkan harga minyak negara dengan harga minyak negara serantau seperti Thailand, Singapura dan Filipina.

"Sedangkan negara-negara tersebut bukanlah negara pengeluar minyak seperti Malaysia, kerajaan dilihat sengaja membutakan mata rakyat untuk kita tidak membandingkan harga minyak dengan negara pengeluar minyak terbesar dunia yang lain.

"Negara-negara pengeluar minyak yang lain seperti Arab Saudi dan Venezuela yang mencatatkan harga minyak paling rendah berbanding Malaysia.

"Malah contoh yang paling dekat yang dapat dilihat ialah negara Brunei yang jauh lebih rendah harga minyak berbanding negara kita tapi tidak dibandingkan oleh kerajaan, atau sengaja dibutakan mata dipekakkan telinga oleh mereka," kata Anuar (gambar) yang penuh bersemangat dengan pekara ini.

Beliau yang sebelum ini adalah bekas Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menambah kerajaan dilihat gagal memainkan peranannya dalam menguruskan perbelanjaan negara dan memberi anologi terhadap kerajaan yang dipimpin oleh Umno itu sebagai "buruk siku"

"Kerajaan memberi subsidi kepada rakyat kemudian menarik balik subsidi tersebut atas dasar-dasar untuk menampungi perbelanjaan boros yang dilakukan oleh kerajaan seperti projek-projek "kosmestik" atau "projek solekan" yang diutamakan oleh kerajaan atau Umno ini dilihat banyak membazir duit negara.

Pekara ini dilihat kerajaan pimpinan Umno ini gagal mengimbangi perbelanjaan negara, sebagai contohnya menambah kos infrasruktur di ibu negara tanpa melihat kos pembaikannya pada masa yang sama.

Pekara ini dipetik dari laporan Bernama di Putrajaya semalam, di mana Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memaklumkan kemungkinan akan berlaku kenaikan harga petrol RON95.

Beliau mejelaskan lagi kemungkinan kenaikkan harga minyak tersebut berdasarkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi yang dijangka akan dibuat sekali lagi bulan depan.

Justeru itu, beliau meminta rakyat bersedia dan tidak terkejut dengan kenaikan harga minyak nanti.

Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember tahun lalu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.

Tiga hari lalu, Ismail berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa harga minyak petrol RON95 tidak akan dinaikkan buat masa ini.

SMS: SPR jangan undur ke belakang

Posted: 16 May 2011 01:20 AM PDT

KUANTAN, 16 Mei: PAS mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mengambil jalan undur ke belakang dengan melarang ejen calon membawa telefon bimbit untuk mengelakkan penyaluran tidak rasmi berlaku di hari pengundian seperti yang dilaporkan di sebuah akhbar tempatan hari ini.
"Adalah lebih baik untuk SPR mencari jalan yang lebih telus dengan menyiarkan keputusan jumlah undian di setiap peti undi melalui tayangan skrin besar di luar kawasan penjumlahan.
"Ini sekaligus akan berjaya mengelakkan maklumat tidak rasmi di setiap peti undi," kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) dalam reaksinya terhadap laporan akhbar Berita Harian hari ini.
Berita Harian melaporkan bahawa mulai pilihan raya umum ke-13 yang dijadualkan tidak lama lagi, ejen parti politik yang bertugas di pusat pengiraan undi dan pusat mengundi dilarang membawa masuk telefon bimbit.
"Ia bagi mengelakkan parti politik menyalurkan maklumat, khususnya keputusan tidak rasmi menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), Facebook atau Tweeter sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan orang ramai seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, baru-baru ini," tambah laporan itu lagi.
Namun begitu, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berpendapat bahawa dengan kecanggihan teknologi masa kini adalah sukar untuk menghalang penyebaran maklumat.

Selepas Kedah, pemuda PAS berhimpun di Kelantan

Posted: 16 May 2011 01:19 AM PDT

PENGKALAN CHEPA, 16 Mei: Rakyat Kelantan khususnya golongan muda di negeri ini diseru menghadiri majlis munajat rakyat Kelantan menerusi program Himpunan 10,000 Pemuda Kelantan (Ipon 10,000).

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Hafiz Musa ketika ditemui selepas program di sini memberitahu program berkenaan diadakan bertujuan untuk mempertahankan kerajaan Kelantan.

"Ianya juga diadakan bertujuan untuk menghalang perancangan pihak musuh yang tidak pernah letih untuk mengganggu-gugat pentadbiran kerajaan negeri,"ujarnya.

Jelasnya, ianya juga diadakan bertujuan untuk melancarkan jentera pemuda di peringkat negeri dan kawasan agar sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan diadakan bila-bila masa sahaja.

"Program ini juga untuk mendedahkan kepada rakyat Pemuda PAS Kelantan tidak pernah meninggalkan kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz walau setapakpun,"ujarnya lagi.

Program perhimpunan ini akan bermula pada jam 3.00 petang di Padang Perdana pada 20 Mei nanti.

Majlis akan bermula dengan solat Asar berjamaah, kemudian solat Maghrib berjemaah, kuliah Maghrib, bacaan al-Quran beramai-ramai untuk menjayakan 100 kali khatam.

"Kemudian solat sunat hajat, solat Isyak dan berakhir dengan ceramah isu-isu semasa,"ujarnya lagi.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat Kelantan hadir beramai-ramai menjayakan majlis itu dengan membawa anggota keluarga bersama-sama.

Tiada ulasan:

Pengikut